loading...

Saturday, August 3, 2013

Maut saat isteri sarat mengandungkan

Dosivan maut kemalangan di Kilometer 426.8 Lebuhraya Utara Selatan

4 Ogos 2013
BUKIT BERUNTUNG - “Dia sempat hubungi saya, minta diambil. Bila saya sampai sini dia sudah jadi begini,” kata Arumugan, 35, abang saudara mangsa kemalangan maut di Kilometer 426.8 Lebuhraya Utara Selatan, dekat sini, petang semalam.

Ibu Dosivan meraung lihat Dosivan terlentang berlumuran darah

Arumugan berkata, setibanya di tempat kejadian, mangsa, M Dosivan, 19, ditemui terlentang berlumuran darah manakala motosikalnya terseret kira-kira 10 meter di hadapan.

Menurutnya, Dosivan dikatakan terbabas dan terseret pada besi pengadang jalan sebelum terbabas di lorong kiri menghala Utara.

“Dia baru balik dari jumpa kawan di Bukit Beruntung dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Kenari, Lembah Beringin.

“Saya sedih sebab dia baru berkahwin dan isterinya sarat mengandungkan anak pertama yang dijangka bersalin bulan depan,” katanya.

Lebih menyedihkan mangsa anak bongsu dari lapan beradik meninggal hanya selang sebulan selepas abangnya meninggal dunia.

Suasana memilukan turut dirasai di tempat kejadian apabila ibu mangsa M Puspawali, 49, meraung kerana tidak dapat menahan kesedihan melihat mayat anaknya.
Puspawali dapat ditenangkan beberapa minit kemudian oleh suaminya, R Muniandi, 53.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/anak-tak-sempat-jumpa-ibu-1.189935




Lori Minyak Masak Terbalik


4 Ogos 2013
KUALA TERENGGANU – Orang ramai yang melalui Jalan Permint Jaya, Chendering, di sini terkejut apabila mendapati ratusan botol minyak masak disusun di jalan berkenaan.


Ia berikutan sebuah lori yang membawa bahan kegunaan harian seberat 25 tan itu tiba-tiba terbalik ketika melalui selekoh jalan tersebut kira-kira jam 11 pagi semalam.

Bagaimanapun, Sinar Harian difahamkan pemandu lori berusia 30-an dari Kelulut, Marang yang ketika itu sedang memandu sendirian tidak mengalami kecederaan.

Rakan mangsa, Syukri Mohamad, 28, berkata, ketika kejadian, lori terbabit dalam perjalanan menghantar minyak masak itu ke Gong Badak selepas mengambil stok di Kelang, Selangor.

“Ketika sampai selekoh itu, ia gagal dikawal lalu terbalik,” katanya.

Susulan kejadian itu, berpuluh-puluh botol minyak masak rosak dan pecah, manakala sebahagian yang masih elok dikumpul untuk dihantar ke kilang.

Menurut Syukri, bagi memudahkan urusan memindahkan minyak masak yang masih elok ke tiga lori lain, pihaknya menyewa dua buah forklift.

Selain itu, tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa penduduk sekitar turut turun membantu mengangkat dan membersihkan kesan minyak di kawasan tersebut yang mengambil masa kira-kira enam jam untuk diselesaikan sepenuhnya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/lori-minyak-masak-terbalik-1.189929



Remaja maut rempuh belakang lori

Mohamad Izmi Fariqzawan Mohamad Fauzi, 19, maut apabila kereta dipandunya merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 243.6, Lebuharaya Utara-Selatan (Plus)


Inalillahi wainailaihi rojiun

3 Ogos 2013
SEREMBAN - Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 243.6, Lebuharaya Utara-Selatan (Plus) arah utara, dekat sini hari ini.
 
Mohamad Izmi Fariqzawan Mohamad Fauzi, 19, cedera parah di kepala dan badan dan mati di tempat kejadian.
 
Jurucakap polis berkata ketika kejadian pada pukul 9 pagi, Mohamad Izmi dikatakan memandu bersendirian untuk pulang ke rumahnya di Port Dickson.
 
"Kereta dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan. Rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa tersepit dan cedera parah," katanya.
 
Dua belas anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dan Senawang mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Lori yang membawa muatan pokok itu dikatakan berhenti di lorong kecemasan kerana tayarnya pancit, kata jurucakap itu dan memberitahu bahawa pemandu lori berusia 33 tahun itu tidak cedera.
 
Pegawai Turus Trafik negeri ASP Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.  - Bernama

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/kereta-langgar-belakang-lori-pemandu-maut-1.189808



Pelajar IKBN Chembong maut


3 Ogos 2013
REMBAU – Seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa, S Jeenasvarrma, 20, maut di tempat kejadian, sementara rakannya pula mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban untuk rawatan lanjut.

Saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Kumar, 30, berkata, sewaktu melalui lokasi kejadian, dia ternampak seorang mangsa kemalangan sudah tercampak di bahu jalan manakala seorang lagi mengalami kecederaan.

"Saya difahamkan motosikal dinaiki mangsa hilang kawalan lalu melanggar tiang,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, dipercayai mangsa gagal mengawal motosikal yang ditungganginya dan terbabas lalu melanggar tiang elektrik.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat.

“Sehubungan dengan itu, saksi diminta tampil ke hadapan bagi membantu siasatan polis dengan menghubungi bilik gerakan IPD Rembau di talian 06-6851999," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pelajar-ikbn-maut-motosikal-hilang-kawalan-1.189755



Tak sempat kenalkan calon isteri



Inalillahi wainailaihi rojiun

3 Ogos 2013
UMBAI - Dia merancang untuk memperkenalkan calon isterinya kepada keluarga ketika Aidilfitri ini, Namun, hajatnya itu tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia sebelum sempat menunaikan impian murninya itu.


Itulah nasib seorang pembantu perubatan yang tidak sempat merayakan Aidilfitri bersama keluarga selepas terbabit kemalangan di Lebuh AMJ, berhampiran Serkam di sini, lewat petang kelmarin.

Muhammad Izzat Yusop, 24, yang sudah pun mengikuti kursus pra perkahwinan bersama teman wanitanya itu meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta Perodua Viva dinaikinya dilanggar sebuah Proton Saga dari arah bertentangan ketika dalam perjalanan ke Serkam, Jasin, dalam kejadian kira-kira 6.45 petang.

Manakala, teman wanitanya, Asiilah Shyaira, 24, yang turut berada dalam kereta berkenaan, cedera parah dan kini masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka.

Kakak arwah, Nurwahida Yusop, 29, berkata, lebih menyedihkan apabila adiknya itu dijadualkan pulang ke kampung halaman di Kampung Ganun, Alor Gajah, esok.

Nurwahida yang bekerja sebagai jururawat di Riyadh, Arab Saudi pulang cuti sempena hari raya sebelum itu meminta Izzat balik ke rumah ibu bapa mereka lebih awal supaya mereka sekeluarga dapat berbuka puasa bersama.

“Namun, saya tak sangka dia sebagai adik yang paling rapat dengan saya balik awal ke kampung dalam keadaan macam ni. Saya terkilan kerana tidak dapat bertemu dengannya sejak kali terakhir pada Februari lalu,” katanya.

Menurutnya, dia mengetahui adik bongsunya itu mahu memperkenalkan Asiilah sebagai calon isteri kepada keluarga hari raya ini. Malah, dia sendiri pernah melihat wajah Asiilah menerusi Whatsapp.

“Ibu memang tahu adik dan teman wanitanya itu sudah mengikuti kursus pra perkahwinan. Tapi ibu dan ayah belum pernah berjumpa dengan calonnya itu. Arwah merancang memperkenalkan ketika hari raya ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.

Nurwahida berkata, ketika kejadian, Izzat yang bekerja di Klinik Kesihatan Parit Bakar, Muar, Johor itu dalam perjalanan mengambil kereta jenis Perodua Myvi miliknya di sebuah bengkel di Serkam, Jasin.

“Ketika saya di Riyadh, Izzat menggunakan kereta saya. Dia menghantar kereta saya ke bengkel untuk dibaiki  selepas saya mengatakan saya mahu menggunakan kereta itu raya ini. Jadi, dia ke Serkam menaiki Perodua Viva milik teman wanitanya, Asiilah yang bekerja di Hospital Muar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Masri Ibrahim berkata, Izzat yang tersepit di tempat duduk hadapan disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan sebelum usaha mengeluarkannya dari dalam kereta dilakukan.

“Sebuah jentera membabitkan enam anggota dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan," katanya.

Menurutnya, bomba terlebih dulu mengeluarkan pemandu Proton Saga dikenali sebagai Amir Azamuddin Haisan, 19, yang tersepit dalam tempoh 15 minit, sebelum Izzat pula dikeluarkan dalam masa dua minit.

Bagaimanapun, menurut sumber, kemalangan berlaku selepas kereta dipandu Amir berseorangan menghala ke Muar terbabas masuk ke laluan bertentangan, lalu merempuh kereta dinaiki Izzat dan Asiilah selepas melanggar pokok hiasan di pembahagi jalan.

“Kereta dipandu Amir terbalik menyebabkan dia tersepit. Izzat yang turut tersepit meninggal dunia di tempat kejadian, sementara Asiilah yang cedera parah dikeluarkan orang ramai," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/hajat-sempena-raya-berkecai-1.189670



Kembar maut tercampak



Inalillahi wainailaihi rojiun

3 Ogos 2013
HULU SELANGOR - Seorang pekerja kilang pembuatan kereta maut, manakala kembarnya parah apabila tercampak daripada motosikal ditunggang setelah dipercayai dilanggar sebuah lori di Kilometer 423.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.12 petang itu, mangsa Mohamad Hisyam Sawal, 21, tercampak masuk ke dalam longkang, manakala abangnya, Mohamad Hasyim Sawal, 21, di bahu jalan.

Menurut sumber, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Rantau Panjang melalui Bukit Tagar menuju ke tempat kerja di Sungai Choh.

“Motosikal mereka dilanggar dari belakang oleh lori satu tan menyebabkan penunggang dan pembonceng tercampak.

“Manakala lori terbabit terbabas dan terbalik di lorong memotong sebelum sebuah bas ekspres melanggar belakang lori berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kaki kiri hampir hancur.

Manakala, kembarnya cedera parah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati topi keledar mangsa turut tertanggal.

Sinar Harian masih menunggu sumber pihak polis mengenai punca sebenar nahas tersebut.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/kembar-maut-tercampak-1.189665



Friday, August 2, 2013

Maut kereta dirempuh treler

Jackie Kiau maut kemalangan

3 Ogos 2013
Seremban: Seorang lelaki maut apabila sebuah treler dari ibu kota ke Senawang hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan dan kereta dipandu mangsa di Kilometer 283.3 arah utara, Lebuhraya Utara- Selatan (Plus), dekat sini, semalam.

kereta hancur dalam kemalangan

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Jackie Kiau, 29, mati di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan.

Jurucakap polis berkata, mangsa dari Rahang dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur sebelum sebuah treler dari ibu kota tiba-tiba hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan.

“Akibatnya, treler berkenaan memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta Toyota dipandu mangsa dan sebuah lagi kereta Proton Wira,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, untuk bedah siasat.

Menurutnya, pemandu kereta Proton Wira berusia 38 tahun tidak cedera, manakala pemandu treler berusia 44 tahun cedera ringan.

“Pemandu treler terbabit ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Jurucakap polis berkata, pihaknya belum mengetahui identiti mangsa sepenuhnya dan akan memanggil keluarga bagi menuntut mayat.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautkeretadirempuhtreler/Article/index_html
nst.com.my/latest/mechanic-killed-in-lorry-car-crash-1.331531




Meraung lihat jenazah isteri

RAIDAH terpelanting ke atas jalan raya akibat kemalangan

2 Ogos 2013
Kota Kinabalu: Seorang suami meraung sekuat hati apabila melihat mayat isterinya tertiarap berlumuran darah selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan pikap di persimpangan lampu isyarat Jalan Lintas-Kepayan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 6 petang, Raidah Lumamdai, 37, mati serta-merta di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala suaminya, Harry Kudin, 38, hanya mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Cybercity selepas menemani mangsa mendapatkan rawatan di Klinik Luyang.

Sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah pikap Isuzu D-Max yang mahu memasuki simpang tidak menyedari kehadiran motosikal ditunggangi pasangan terbabit lalu bertembung.

Kejadian itu menyebabkan mangsa terpelanting ke tengah jalan dan cedera parah di kepala.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Meraunglihatjenazahisteri//Article





Bertabur alat tulis


2 Ogos 2013
NYALAS - Dua lelaki cedera selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di hadapan Tanah Perkuburan Islam Kampung Melangkan di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Ketika kejadian, pemuda berusia 20-an yang belum dikenal pasti identitinya memandu kereta jenis Proton Viva bersama rakan sekerjanya, Dzarul Hafiz Malek, 19, dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nyalas untuk mempromosikan alat tulis.

Kejadian menyebabkan pelbagai jenis pen bertaburan atas jalan, sebelum dikutip orang ramai yang datang menyaksikan kejadian.

Difahamkan, selepas kejadian itu, pemandu lori berkenaan melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya di tepi jalan.

Jurucakap polis berkata, akibat kejadian itu, pemandu kereta berkenaan cedera parah di bahagian kaki dan dikejarkan ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Manakala rakannya hanya cedera ringan dan punca kejadian ini masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Roslan Masrah, 53, berkata, sebelum kejadian dia sedang menoreh getah tidak jauh dari lokasi kemalangan sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

Menurutnya, dia menghampiri kereta mangsa dan berusaha mengeluarkan penumpang kereta terbabit melalui tingkap dengan bantuan beberapa orang awam.

“Disebabkan penumpang hanya cedera ringan kami tiada masalah untuk membantu mengeluarkannya melalui tingkap, namun keadaan pemandu ketika itu tersepit di tempat duduk," katanya.

Katanya, pemandu kereta itu dikeluarkan dengan bantuan Jentera Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari yang ketika itu sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/alat-tulis-bertabur-atas-jalan-1.189368


Lima sekawan nyaris rentung dalam van

Lima sekawan nyaris maut apabila van yang dinaiki mereka terbakar secara tiba-tiba dalam satu kejadian di Jalan Tanjung Ipoh


2 Ogos 2013
TANJUNG IPOH – Lima sekawan nyaris maut apabila van yang dinaiki mereka terbakar secara tiba-tiba dalam satu kejadian di Jalan Tanjung Ipoh menghala ke Kuala Pilah, pagi semalam.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mazalan Jantan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.08 pagi dari Balai Polis Tanjung Ipoh sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, van yang dinaiki lima sekawan itu sudah terbakar.

“Bila kami tiba di tempat kejadian jam 9.11 pagi, van tersebut sudah hampir 60 peratus terbakar. Bagaimanapun, kelima-lima mangsa sempat menyelamatkan diri dan tidak cedera.

“Jika lewat sedikit, berkemungkinan mangsa terperangkap ekoran sukar membuka pintu apabila api sedang marak. Bagaimanapun, Alhamdulillah, mereka semua selamat,” katanya.

Mazalan berkata, berdasarkan maklumat awal sebelum kejadian, pemandu van berkenaan terlanggar objek dipercayai besi di selekoh jalan berkenaan.

“Kemudian, salah seorang penumpang daripada mereka ternampak percikan api dari bawah van berkenaan lalu memberitahu pemandu van.

“Sejurus itu, pemandu van memberhentikan kenderaan di bahu jalan sebelum kesemua mereka bertindak keluar bagi mengelakkan terperangkap. Selepas itu, api semakin marak dan membakar van berkenaan hampir 93 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kebakaran itu berjaya dipadamkan dalam masa lima minit dengan kekuatan enam anggota dan sebuah jentera.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Bagaimanapun mangsa memberitahu terdapat dua komputer riba dan peralatan Telekom Malaysia hangus terbakar,” katanya.

Sementara itu, difahamkan kelima-lima mangsa hendak pergi ke Kuala Pilah bagi menghadiri mesyuarat.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lima-sekawan-nyaris-maut-1.189263




Thursday, August 1, 2013

Had laju diturunkan kepada 80km/j

Had laju diturunkan kepada 80km/j


1 Ogos 2013
Kuala Lumpur: Had laju bagi Jalan Persekutuan dan negeri di seluruh negara diturunkan sebanyak 10 kilometer sejam (km/j) bersempena Ops Selamat 3 yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 18 Ogos depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof, berkata pihaknya sudah menetapkan had laju maksimum sepanjang tempoh terbabit bagi Jalan Persekutuan dan jalan negeri adalah 80 km/j.

“Pewartaan pengurangan had laju sementara ini adalah langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan yang kerap kali berlaku pada musim perayaan.

“Selain itu, kami bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi langkah-langkah awal program pemantauan jalan raya,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama pelajar Sarawak di Semenanjung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara langkah awal diambil kementeriannya itu termasuk penyelenggaraan jalan raya, pemberhentian kerja penyelenggaraan dan pembinaan dalam rizab jalan, penubuhan pasukan peronda serta penyelarasan pengurusan lalu lintas di setiap daerah

Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/Hadlajuditurunkankepada80km_j/Article

samseng jalanan

JPJ kenal pasti laluan kerap kemalangan di Penang


1 Ogos 2013
BUTTERWORTH 1 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang akan meletakkan anggotanya di lima laluan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan sepanjang tempoh ’Ops Selamat’ mulai hari ini hingga 18 Ogos, kata Pengarahnya, Datuk Hassan Yaccob.

Beliau berkata, langkah penguatkuasaan itu bertujuan memastikan pengguna jalan raya tidak melanggar peraturan dan sentiasa mematuhi undang-undang sedia ada selain membantu mengurangkan kadar kemalangan setiap kali tiba musim perayaan.

"Lima laluan yang dikenal pasti itu ialah di kilometer 26 Jalan Butterworth ke Ipoh (hadapan stesen penimbang (SP) Valdor), kilometer 12 Jalan Butterworth ke Sungai Petani (hadapan SP Penaga), dan Jalan Machang Bubuk (berdekatan Taman Machang Manis).

"Dua lagi laluan ialah di Jalan Sungai Dua, Seberang Perai Utara (SPU) dan Jalan Tun Sardon, Balik Pulau," katanya kepada pemberita sebelum membuat operasi penguatkuasaan JPJ sempena Hari Raya Aidilfitri di Terminal Bas Sementara Penang Sentral di sini hari ini.

Hassan berkata, seramai 180 orang anggota JPJ akan terlibat dengan semua operasi penguatkuasaan sepanjang tempoh sambutan Aidilfitri kali ini.

Selain itu, Hassan berkata, JPJ Pulau Pinang telah memeriksa sebanyak 221 buah bas ekspres untuk tempoh 23 hingga 31 Julai, di terminal bas sementara Penang Sentral, Butterworth.

"Pemeriksaan adalah menyeluruh daripada pemandu bas hinggalah buku log dan keadaan bas termasuk keadaan brek dan tayar," katanya.

Selain itu, Hassan turut menasihatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati ketika memandu serta patuhi peraturan ditetapkan. - BERNAMA

Sumber:
utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130801/dn_45/JPJ-kenal-pasti-laluan-kerap-kelangan-di-PP



Pelajar Malaysia Maut Di Jordan

Inalillahi wainailaihi rojiun

1 Ogos 2013

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar persendirian Malaysia yang mengikuti kursus jangka pendek Bahasa Arab di Amman, Jordan meninggal dunia dalam nahas jalan raya di negara itu pada Rabu.

Nik Mohd Ariff Suparjo, 19, maut dalam kemalangan itu setelah kenderaan yang dinaikinya terbabas di jalan menuju ke Laut Mati.

Turut terlibat dalam kemalangan itu ialah abang mangsa, Nik Mohd Alif, 20, yang kini dirawat di Hospital Karak dan keadaannya dilaporkan stabil.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Jordan dengan kerjasama Education Malaysia Jordan telah menghubungi keluarga mangsa dan sedang menguruskan proses dokumentasi serta pengurusan yang diperlukan.

"Atas permintaan keluarga mangsa, pihak kedutaan sedang membuat persediaan untuk pengebumian jenazah di Mutah, Jordan," katanya.

Dalam pada itu Anifah mewakili Wisma Putra mengucapkan takziah serta simpati kepada keluarga mangsa dan mendoakan mereka sabar menghadapi ujian tersebut. - BERNAMA

Al-Fatihah

Sumber:
mstar.com.my/berita/




Kakitangan Jakim Sarawak maut bertembung lori balak


Inalillahi wainailaihi rojiun

1 Ogos 2013
SRI AMAN: Empat kakitangan termasuk seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki enam penumpang itu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 48, Jalan Sri Aman-Sarikei di sini, petang tadi.

Penolong Pengarah JAKIM Jakim Sarawak maut kemalangan

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mereka terbunuh adalah Penolong Pengarah JAKIM negeri, Ibrahim Hailee, 35, yang memandu Toyota Innova, terbunuh di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Turut terbunuh di tempat kejadian adalah Pembantu Hal Ehwal Islam, Harliani Hanani, 29; Halimah Hamrie, 30 dan Qurratu Aini Rolfandy, 23.

Seorang penumpang yang juga Pembantu Hal Ehwal Islam, Mohd Firdaus Ahmat, 23, dilaporkan dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Sri Aman, manakala Fakih Ikhwan berusia 20-an, kritikal sebelum dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mat Jusoh Mohammad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu Bangai Asong, 44, terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung kenderaan dinaiki enam kakitangan JAKIM terbabit.

Kakitangan Jakim Sarawak maut kemalangan

Katanya, kejadian berlaku di selekoh berdekatan Memaloi, apabila lori balak dari arah Sarikei menuju ke Sri Aman hilang kawalan lalu bertembung MPV dinaiki kakitangan terbabit.

"Pertembungan Toyota Inova berkenaan tersadai di bahu jalan dengan Ibrahim tersepit di tempat duduk pemandu," katanya ketika dihubungi.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sri Aman untuk tindakan selanjutnya sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.

"Susulan kemalangan itu, pemandu lori dipercayai melarikan diri dan polis sedang memburunya untuk siasatan lanjut. Pada masa sama, polis meminta saksi kejadian atau sesiapa mempunyai maklumat mengenai pemandu lori berkenaan diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya

Kakitangan Jakim maut kemalangan

Al-Fatihah

Sumber:
nst.com.my/latest/sarawak-jakim-assistant-director-3-staff-killed-in-crash
hmetro.com.my/articles/KakitanganJakimmautkemalangan/2013/Article
utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130801/je_19/5-pegawai-agama-maut-nahas-menuju-majlis-berbuka

pakailah tali pinggang keledar

Pemain hoki kebangsaan maut

Pemain hoki kebangsaan, Chua Boon Huat, 33, maut dalam kemalangan selepas kereta dipandunya melanggar lori siram pokok di Kilometer 10.4, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Kelana Jaya

1 Ogos 2013

PETALING JAYA - Pemain hoki kebangsaan, Chua Boon Huat, 33, maut dalam kemalangan selepas kereta dipandunya melanggar lori siram pokok di Kilometer 10.4, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Kelana Jaya, di sini, kira-kira jam 3 pagi tadi.

Pemain hoki kebangsaan, Chua Boon Huat, 33, maut dalam kemalangan

Jurucakap polis Petaling Jaya berkata, kereta Proton Perdana dipandu Boon Huat dipercayai terlanggar sebuah lori tangki air di LDP dalam kejadian awal pagi itu.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Damansara diketuai seorang pegawai dan lima anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan Chua yang tersepit dalam keretanya.

Beliau berkata Boon Huat mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemain hoki kebangsaan, Chua Boon Huat, 33, maut dalam kemalangan

"Mayat telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Berasal dari Bukit Cina, Melaka, Boon Huat merupakan antara pemain hoki negara paling lama yang mula beraksi untuk skuad kebangsaan sejak berusia 17 tahun pada 1998.- Bernama

Chua Boon Huat maut


Ibu tak sangka nasib Boon Huat seperti bapanya

PETALING JAYA 1 Ogos - Tan Kuai Neo tidak menyangka akan kehilangan anak, Chua Boon Huat, pemain hoki kebangsaan, dalam kemalangan jalan raya hari ini, tragedi sama meragut nyawa suaminya sembilan tahun lepas.

Kuai Neo , 64, berkata suaminya, Chua Peng Hock maut dalam kemalangan dengan kenderaan lain ketika menunggang motosikal di Melaka, dan kini anak bongsu kesayangannya pula jadi mangsa kemalangan jalan raya.

"Saya terkejut dengan berita kematian anak saya kerana ayahnya juga pergi akibat kemalangan.

"Teman wanita Boon Huat memaklumkan kepada saya melalui panggilan telefon pada 4 pagi tadi mengenai anak saya," katanya kepada pemberita sambil menangis di Bilik Mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini.

Boon Huat, 33, maut setelah kereta Proton Perdana dipandunya terlanggar sebuah lori tangki air di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran stesen LRT Kelana Jaya, pada 2.25 pagi.

Mengetahui khabar mengejut itu, Kuai Neo bersama keluarganya dari Melaka segera ke Kuala Lumpur sejauh 130 kilometer untuk ke PPUM dan tiba di sini pada 6 pagi.

Kuai Neo berkata, Boon Huat mempunyai seorang abang dan dua orang kakak.

"Boon Huat adalah seorang anak yang suka bercakap, periang dan taat," katanya.

Bagi Boon Huat, hoki adalah hidupnya kerana anaknya itu meminati dan bermain hoki dalam pertandingan sejak sekolah lagi sehingga mewakili Sekolah Kebangsaan Bandar Hilir, Melaka semasa di darjah empat dan bermain untuk Melaka High School bagi peringkat sekolah menengah, katanya.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan Boon Huat adalah pada penghujung Jun lalu, sewaktu dia ada masa lapang dan tiada perlawanan," katanya sambil menambah tiada tanda-tanda pelik ditunjukkan anaknya sebelum kemalangan itu.

Beliau berkata, mayat anaknya akan dibakar pada Isnin ini di Semabok, Melaka.

Suasana pilu menyelubungi bilik mayat hospital itu apabila 10 anggota keluarga mendiang Chua hadir sementara menunggu proses bedah siasat yang selesai pada 10 pagi.

Sementara itu, abang sulung mendiang, Aliff Nor Najmi Chua, 42, berkata, minat mendiang dalam sukan hoki berkembang di peringkat sekolah rendah selepas beliau memperkenalkan sukan itu kepada mendiang.

Bekas pemain ragbi kebangsaan dari 1998-2004 itu berkata, beliau berjumpa mendiang buat kali terakhir pada pertengahan Jun lepas di Melaka ketika mendiang pulang ke kampung halaman di Semabok.

"Kali terakhir saya jumpa dengan dia, tiada apa-apa perkara ganjil yang berlaku pada mendiang... mendiang seorang yang kuat bekerja dan amat komited ketika melakukan sebarang tugasan yang diberikan," katanya dalam nada suram kepada pemberita. Aliff menerima berita kematian adik bongsunya itu kira-kira pukul 4 pagi dan bergegas ke ibu negara dari Melaka.

"Saya tidak menduga beliau pergi seawal ini, kerana saya amat menyayangi beliau, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya yang memeluk agama Islam sejak lapan tahun lepas. - BERNAMA



Boon Huat disemadi Isnin ini

PETALING JAYA 1 Ogos - Mayat pemain hoki kebangsaan, Chua Boon Huat, 33, akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Semabok, Melaka selepas selesai bedah siasat hari ini sebelum disemadikan pada Isnin ini.

Mayatnya dibawa masuk untuk bedah siasat di bilik Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya kira-kira pukul 9.30 pagi ini.

Yang turut hadir melawat ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M.Saravanan dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong serta ahli keluarga dan rakan-rakan sepasukannya


Boon Huat nadi pasukan hoki Malaysia - Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Presiden Kofenderasi Hoki Malaysia, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyifatkan mendiang Chua Boon Huat sebagai nadi penting kepada pasukan hoki kebangsaan.

Baginda bertitah, ini kerana pemain hoki kebangsaan itu berpengalaman luas dalam skuad negara selain mempunyai semangat dan kesungguhan yang tinggi untuk membantu pasukannya dalam memenangi setiap kejohanan yang ditandingi.

"Kita berharap keluarga mendiang bersabar dengan pemergian mendiang dan negara akan sentiasa mengingati jasa dan pengorbanan mendiang.

"Saya lihat sudah tentu pemain skuad hoki kebangsaan akan meneruskan perjuangan pada kejohanan Piala Asia bagi memperingati mendiang Boon Huat," titah baginda kepada pemberita selepas menziarahi jenazah mendiang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2.25 awal pagi tadi, mendiang yang memandu kereta jenis Proton Perdana dipercayai telah terlanggar sebuah lori tangki air di Lebuh Raya Damansara-Puchong.

Boon Huat yang mengalami kecederaan parah di kepala dan leher meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke PPUM untuk bedah siasat. - BERNAMA


Sumber:
utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri
youtube.com/watch?v=4I8fBWz8nfo
sinarharian.com.my/pemain-hoki-maut-kemalangan-1.188899
nst.com.my
hmetro.com.my/articles/Pemainhokikebangsaanmautkemalangan//Article



Wednesday, July 31, 2013

Hasrat bertunang terkubur

Mashitah, 45, adalah kakak kepada Mohd Izwan Faiz Rafie, 26, yang maut dalam kemalangan bersama rakan niaganya, Zahiroh Zakaria, 39


Inalillahi wainailaihi rojiun

31 Julai 2013
Alor Setar: “Arwah ada menyuarakan hasratnya untuk bertunang selepas Aidilfitri ini beberapa hari lalu, malah dia nampak bersemangat mengemas dan mengecat rumah sambil dibantu rakannya, Sabtu lalu,” kata Mashitah Rafie.

Mashitah, 45, adalah kakak kepada Mohd Izwan Faiz Rafie, 26, yang maut dalam kemalangan bersama rakan niaganya, Zahiroh Zakaria, 39, apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebuah lori tangki di Batu 6, Jalan Alor Setar-Sungai Petani, dekat sini, jam 4.30 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, Mohd Izwan yang memandu kereta Nissan Sylphy dipercayai mati serta-merta di tempat kejadian akibat tersepit di tempat pemandu, manakala Zahiroh meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, ketika menerima rawatan kira-kira sejam kemudian.

Mashitah berkata, Mohd Izwan paling rapat dengannya, malah banyak berkongsi masalah dengannya kerana arwah adik kelima yang juga lelaki tunggal dalam keluarga seramai enam beradik.

“Sabtu lalu saya pulang ke rumah ibu di Kampung Lengkuas, Bukit Pinang, dekat sini, untuk berbuka puasa dan ketika itu, saya sempat bertemu dengan Mohd Izwan yang ketika itu sangat sibuk mengemas rumah serta memasang lampu hiasan dalam rumah.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Hasratbertunangterkubur//Article



5 maut 1 cedera


Inalillahi wainailaihi rojiun

31 Julai 2013
JOHOR BAHRU: Lima maut dan seorang cedera apabila kenderaan pelbagai guna Honda Odyssey dinaiki merempuh pokok dan tiang lampu dalam kejadian di Kilometer 21 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini, jam 2 pagi tadi.

Ketua polis daerah Kulaijaya Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila Honda Odyssey itu terbabas dan ternaik ke pembahagi jalan sebelum merempuh pokok serta tiang lampu.

Lima yang maut ialah Hairul Adham Abidin, 25, Nazierul Khalies Mohd Ashari, 19, Nor'ain Alias, 23, Mohd Fadzli Mohd Fakri, 20, dan seorag lagi dikenali sebagai Su, 23.

Mangsa yang cedera ialah Nor Sharifah Hazwani Bardaidi, 23.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulajaya untuk bedah siasat manakala yang cedera ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk rawatan.

Kenderaan pelbagai guna dinaiki mangsa remuk teruk dalam kemalangan maut di Kilometer 21, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Kulaijaya, Johor


Tanya mama soal mati

Johor Bahru: “Mama, kalau saya meninggal macam mana?“ Itu antara kata-kata terakhir Mohd Fadzli Mohd Fakri, 20, kepada ibunya, Mazliah Yakub, 45, sebelum keluarga menerima berita kematiannya bersama empat rakan akibat kemalangan di Kilometer 21, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini, awal pagi semalam.

Mazliah berkata, kehilangan anak keempat daripada lima beradik itu cukup dirasai lebih-lebih lagi menjelang Syawal. Menurutnya, persiapan untuk menyambut Aidilfitri di kampung mereka di Melor, Kelantan juga sudah dilakukan.


“Kini hanya jubah merah jambu dihadiahkan arwah untuk sambutan Aidilfitri menjadi kenangan paling bermakna bagi saya. Sebelum ini, arwah tidak pernah membelikan saya pakaian, sebaliknya lebih selesa memberi wang untuk persiapan Aidilfitri.

“Sebelum pergi, Mohd Fadzli sering bertanya bagaimana jika dia mati menyebabkan saya hairan. “Pada malam sebelum kejadian, arwah kelihatan gembira dan meminta saya menggoreng talapia kegemarannya dan di memakannya penuh berselera,” katanya ketika ditemui di Hospital Kulaijaya.

Bagi Nor Hidayah Abu Bakar, 26, balu kepada seorang lagi mangsa yang terbunuh, Hairul Adham Hamidan, 25, suaminya turut meninggalkan pesanan pelik kepadanya.

Menurutnya, pesanan itu disampaikan ketika mereka dan anak tunggal, Danish Izham, 2, keluar membeli lauk untuk bersahur di sebuah pasar raya selepas berbuka puasa pada malam sebelum kejadian. “Dengan nada bersahaja, arwah suami berkata ‘ini lauk terakhir saya belikan untuk awak’, malah dia juga mengizinkan saya membawa anak kami pulang ke kampung jika mahu menyambut Aidilfitri bersama keluarga mentua berikutan dia tidak mendapat cuti.

“Suami kemudian keluar berjumpa rakannya pada jam 10 malam dan saya tidak mengesyaki perkara pelik kerana itu rutin hariannya. Bagaimanapun, dia tidak pulang seperti biasa, pada jam 3 pagi saya menerima panggilan daripada polis memaklumkan berkaitan kemalangan itu,” katanya.

Ibu Hairul Adham, Monarita Mohd Kamil, 49, pula berkata, dia umpama mendapat petanda perkara buruk akan menimpa keluarganya apabila merasa debaran luar biasa ketika beribadat sepanjang, malam semalam.



5 sahabat maut dalam nahas selepas makan bersama di Kulaijaya, Johor

Kulaijaya: Kegembiraan enam sahabat keluar makan bersama sebelum masing-masing pulang bercuti Aidilfitri, bertukar tragedi apabila lima daripada mereka maut dalam nahas ngeri di Kilometer 21, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini, awal pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 2.30 pagi itu, Mohd Fadzli Mohd Fakri, 20, berasal dari Kelantan; Hairul Adham Hamidan, 26, (Melaka); Nor'ain Alias, 23, (Kota Tinggi) serta pelajar Diploma Kejuruteraan Marin UniKL, Nazierul Khalies Mohd Ashari, 19, (Johor Bahru); dan Siti Sabariah Mohd Nordin, 24, (Kelantan) maut di tempat kejadian.


Kenderaan milik abang 

Seorang lagi, Nor Syarifah Hazwani Bardaidi, 21, pembantu stesen minyak di Johor Bahru cedera ringan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey milik abang kepada Mohd Fadzli yang dinaiki mereka terbabas.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata kemalangan berlaku apabila kenderaan dipandu Mohd Fadzli terbabas naik ke atas pembahagi jalan sebelum merempuh tiang lampu serta pokok di tempat kejadian.

Katanya, akibat rempuhan itu, empat penumpang yang duduk di tempat duduk belakang MPV terbabit tercampak keluar, manakala pemandu MPV tersepit dalam kenderaan yang remuk itu.

“Siasatan awal mendapati enam rakan terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas berjumpa dengan seorang rakan mereka di sebuah restoran di bandar Kulai, sebelum masing-masing pulang bercuti sempena Aidilfitri.

Hilang kawalan 

“Bagaimanapun, dalam perjalanan pulang ke rumah sewa masing-masing, kenderaan dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tiang lampu serta pokok,” katanya.

Zulkefly berkata, lima mangsa mati di lokasi kejadian kerana cedera parah di kepala dan tubuh badan masing-masing, sementara mangsa yang terselamat kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Mayat semua mangsa dibedah siasat di Hospital Kulaijaya sebelum diserahkan kepada waris masing-masing untuk pengebumian,” katanya.

Zulkefly memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Limamaut_seorangcedera//Article
thestar.com.my/News/Nation/2013/08/01/Tragic-outing-for-six-friends-Only-one-survives-car-crash-in-Senai.aspx
bharian.com.my/bharian/articles/Makanbersamaterakhir/Article/
hmetro.com.my/myMetro/articles/Tanyamamasoalmati/Article/index_html



Dua remaja parah rempuh kereta

Dua remaja lelaki mengalami cedera parah apabila terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 6, Jalan Kuala Sepetang

31 Julai 2013
KUALA SEPETANG – Dua remaja lelaki mengalami cedera parah apabila terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 6, Jalan Kuala Sepetang, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, kejadian pada jam 5.30 petang itu membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta.

Menurutnya, pemandu kenderaan difahamkan sedang dalam perjalanan pulang dari Simpang ke Kuala Sepetang.

“Apabila sampai di tempat kejadian kereta terbabit membuat pusingan U dan tiba-tiba dilanggar oleh dua remaja lelaki berusia 20-an yang sedang menunggang motosikal.

“Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua remaja terbabit mengalami cedera parah dan di bawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Yusuf berkata, dalam kes terbabit, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) kerana memandu dengan cuai dan mendatangkan cedera parah.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan kedua-dua mangsa dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Taiping.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/dua-remaja-parah-rempuh-kereta-1.188735



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my