Inalillahi wainailaihi rojiun
16 Mac 2013
KUALA LIPIS - Empat maut dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres dan kereta di Km 17, Jalan Lipis-Merapoh, dekat sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian 12.30 malam itu, bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kelantan bertembung dengan kereta jenis Honda City yang datang dari arah bertentangan.
Empat yang terbunuh merupakan penumpang kereta iaitu Nur Hamira Baharum, 24; Hasnah Che Hussin, 66; Nik Eryna Nik Ahmad, setahun; dan seorang warga Indonesia dikenali sebagai Yanti, 20-an, manakala penumpang dan pemandu bas tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Abdul Razak Hassan memberitahu pemberita di sini hari ini, siasatan awal polis mendapati kereta terbabit hilang kawalan sebelum bertembung dengan bas berkenaan.
"Pemandu kereta terbabit (identiti belum dikenal pasti) dan seorang lagi penumpang kereta berkenaan (identiti belum dikenal pasti) cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh," katanya.
Beliau berkata, semua yang mati dan cedera itu dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- Bernama
Dari Utusan Malaysia, Empat termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun maut selepas kereta jenis Honda City yang mereka naiki bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 17, Jalan Lipis-Merapoh dekat sini tengah malam tadi.
Kejadian berlaku pukul 12.30 tengah malam itu turut menyebabkan pemandu dan seorang lagi penumpang kereta berkenaan mengalami cedera parah.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki lima mangsa termasuk bayi perempuan terbabit dalam perjalanan dari arah Gua Musang, Kelantan.
"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kelantan.
"Rempuhan itu menyebabkan mangsa, Nur Hamira Baharum, 24; bersama ibunya, Hasnah Che Hussin, 66; dan seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai Yanti berusia 20-an maut di tempat kejadian.
"Seorang bayi perempuan berusia setahun, Nik Emily Nik Ahmad Zukwan iaitu anak kepada pemandu kereta disahkan mati dalam perjalanan ke Hospital Lipis," katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pemandu kereta tersebut, Nik Ahmad Zukwan Nik Anwar, 34, dan seorang lagi anak perempuannya berusia lima tahun, iaitu Nik Eryna mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, siasatan mendapati semua mangsa dalam perjalanan dari Kampung Banang Bayan, Kota Bharu, Kelantan.
Katanya, pemandu kenderaan tersebut merupakan menantu kepada Hasnah dan abang ipar kepada Nur Hamira.
"Sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit.
"Pemandu bas ekspres, Zulbain Ismail, 39, dan semua penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Beliau berkata, semua mangsa yang maut dan cedera mempunyai hubungan kekeluargaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai yang melihat kemalangan tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Lipis, Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan untuk membantu siasatan menerusi talian 09-3122222 atau 013-9300428.
Sementara itu suami kepada Hasnah Che Hussin, Baharum Abu Bakar, 70, berkata, sebelum berangkat ke Kuala Lumpur, arwah isteri menangis dan meminta saya mengampunkan segala kesalahannya.
Baharum berkata, sebelum ini isterinya tidak pernah menangis sedemikian rupa dan dia sama sekali tidak menyangka perubahan sikap tersebut menjadi petanda yang isterinya itu akan pergi buat selama-lamanya.
Menurutnya, kejadian tersebut diketahuinya selepas dimaklumkan oleh adiknya, Aisah Abu Bakar pada kira-kira pukul 4.30 pagi.
"Adik dapat tahu kejadian itu daripada anaknya selepas dimaklumkan oleh pihak polis," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tanjong Che Mas, Tumpat, Kelantan, hari ini.
Baharum berkata, mengikut perancangan asal, mereka semua mahu berangkat ke Kuala Lumpur hari ini tetapi terpaksa diubah pada saat-saat akhir.
Katanya, perancangan tersebut terpaksa diubah selepas mendapat khabar salah seorang cucu mereka Syazreen Izati Ahmad Azmi, 18, yang sedang menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Perak terkena serangan virus kencing tikus.
"Perkhabaran tersebut membuatkan isterinya mengubah fikiran dan bergegas ke sana untuk melihat keadaan Syazreen," katanya.
"Keadaan tersebut menyebabkan anak bongsu saya, Nur Hamira turut sama mahu mengikut ibunya untuk melihat keadaan Syazreen.
"Disebabkan Nur Hamira ingin turut sama dan kereta sudah penuh, saya mengambil keputusan untuk ke Kuala Lumpur menaiki kereta api secara bersendirian. Jadi mereka mengambil keputusan untuk bertolak ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 6 petang semalam," ujarnya.
Al-Fatihah
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/empat-maut-nahas-bas-dan-kereta-di-jalan-lipis-merapoh-1.139821
http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130316/je_02/Empat--maut-nahas-di-laluan-Merapoh