loading...

Saturday, September 21, 2013

Pelajar maut rempuh pembahagi jalan



21 September 2013
LUNAS - Hasrat seorang pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini tidak kesampaian apabila mangsa maut dalam kemalangan kira-kira jam 1.20 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki RR 150 dipercayai menunggang dengan laju dari arah Taman Kuchai menuju ke Taman Lobak.

Menurutnya, tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelah kiri sebelum terpelanting ke tengah jalan.

"Akibat rempuh kuat, motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala cebisan daging mangsa terlekat pada motosikal dan jalan raya," katanya.

Sementara itu, menurut waris terdekat, mangsa bekerja sampingan dengan syarikat yang mengendalikan barangan peralatan perkahwinan.

Manakala, Ghuzlan menyatakan, dari siasatan dijalankan motosikal yang ditunggang mangsa dimiliki oleh rakannya.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala maut di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Kulim untuk siasatan lanjut.

"Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) kerana memandu secara merbahaya,” katanya.

Ghuzlan meminta pengguna jalan raya memandu perlahan di Lebuh Butterworth Kulim Expressway (BKE), Jalan Sungai Seluang, Jalan Mahang Kulim, Jalan Paya Besar, Jalan Sepilai dan beberapa jalan lain.

"Ini adalah kerana struktur permukaan jalan yang tidak rata dan gelap sehingga sering mengakibatkan kemalangan maut terutama pada waktu malam dan hujan," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-rempuh-pembahagi-jalan-1.204016



Ibu tunggal tiga anak maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

21 September 2013
BANDAR CHENEH BARU - Seorang jurujual produk kosmetik yang juga ibu tunggal tiga anak maut, sementara rakannya parah dalam satu kemalangan di Kilometer 153.7 Jalan Jerangau - Jabor berhampiran Balai Pemeriksaan Hutan Cheneh Baru, dekat sini, malam kelmarin.

Mangsa, Asbalela Kamarudin, 34, berasal dari Kampung Wakaf Ajik, Tawang, Bachok, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa bersama rakannya, Normasliza Makhtar yang beralamat di Flat Buluh Kubu, Kota Bharu, dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Kuantan, Pahang.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu kereta Perodua Kancil hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah lori treler membawa muatan batu bijih yang diletakkan di bahu jalan.

Berikutan itu, kedua-dua mereka tersepit di tempat duduk masing-masing dan Asbalela yang mengalami kecederaan parah di leher maut di tempat kejadian.

Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Cheneh Baru mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.

Sementara itu, majikan Asbalela yang enggan dikenali berkata, kali terakhir dia berjumpa mangsa pada Ahad lalu.

Bagaimanapun katanya, mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda atau kelakuan pelik.

“Kali terakhir saya menghubunginya pada jam 8 malam bertanyakan lokasinya dan dia memaklumkan berada di sekitar Air Putih, Kemaman.

“Namun sekitar jam 8.30 malam saya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mereka berdua terlibat kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan kejadian itu dan menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat sementara rakannya yang mengalami kecederaan parah turut dirawat di hospital sama.

Al- Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/ibu-tunggal-tiga-anak-maut-1.204155




17 nyaris maut bas ekspres jatuh gaung



20 September 2013
SLIM RIVER – Seramai 17 penumpang sebuah bas ekspres nyaris maut apabila kenderaan yang dinaiki itu terjunam ke dalam gaung sedalam hampir enam meter setelah terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 308.1 (arah Utara), Lebuh raya Utara Selatan (PLUS), di sini, petang tadi.



Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, semua penumpang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Ipoh sebelum bas berkenaan hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah kereta jenis Mazda yang terbabas.

Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Superintendan Sharul Othman Mansor berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dalam perjalanan dari Selatan ke Utara itu hilang kawalan ketika cuba untuk memotong bas berkenaan.

Menurutnya, kegagalan cubaan memotong itu menyebabkan kereta melanggar besi pembahagi jalan sebelum berpusing beberapa kali di hadapan bas.

“Bas cuba untuk mengelak dari merempuh kereta itu, tetapi tidak berjaya menyebabkan kedua-dua kenderaan jatuh ke tebing lebuh raya.

“Buat masa ini, tiada kematian dilaporkan, semua penumpang selamat apabila hanya mengalami cedera ringan.

“Kesemua mereka dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan lanjut, buat masa ini, semua mangsa termasuk pemandu bas dilaporkan stabil.

“Pemandu kereta dilaporkan parah dan patah tangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Md Zin Mohd Saaidin berkata, bomba yang menerima panggilan pada jam 5.33 petang bergegas ke lokasi, berjaya mengeluarkan lapan mangsa yang cedera.

Katanya, kebanyakan mangsa lain diselamatkan orang awam.

“Kita terpaksa melakukan kerja pembersihan di tempat kejadian berikutan tumpahan minyak berlaku semasa pelanggaran.

“Operasi menyelamat yang disertai tujuh anggota tamat pada jam 6.34 petang tadi,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/17-nyaris-maut-bas-jatuh-gaung-1.203992



Friday, September 20, 2013

Meraung tepi jalan



20 September 2013
Kuantan: Dua rakan baik meraung kesakitan selama hampir setengah jam apabila kaki mereka cedera parah selepas tersembam ke jalan raya akibat motosikal dinaiki bergesel dengan lori di Kilometer 35 Jalan Kuantan - Kemaman, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, mangsa masing-masing berusia 25 dan 31 tahun dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Gebeng menghala Cherating dengan menaiki motosikal Honda EX-5.


Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian, namun ketika melalui jalan terbabit, motosikal mereka bergesel dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Menurut saksi yang enggan dikenali, kejadian itu menyebabkan kedua-duanya terjatuh ke atas jalan dan masing-masing mengalami kecederaan serius di lutut dan betis kanan, tetapi pemandu lori terbabit dipercayai tidak menyedari kejadian itu dan meneruskan perjalanan.


“Melihat keadaan mangsa yang terbaring sambil meraung kesakitan, orang ramai segera menghulurkan bantuan dan cuba menenangkan mangsa selain menghubungi talian kecemasan,” katanya.


Dia berkata, ambulans tiba di lokasi kejadian kira-kira setengah jam kemudian dan pasukan paramedik memberikan rawatan awal sebelum menghantar mangsa ke Hospital Kemaman, Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Kemalangan sering berlaku di kawasan ini walaupun jalan lurus dan rata. Sepanjang tahun ini sudah beberapa kemalangan maut berlaku dan orang ramai sepatutnya lebih berhati-hati ketika menggunakan laluan ini,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, siasatan awal mendapati lori dari arah Kemaman memotong sebuah lori lain di hadapannya sebelum ekor kenderaan itu bergesel dengan motosikal mangsa.

“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal terbabit yang dikenali sebagai Mohd Noor Harfais, 25, remuk tulang betis kanan manakala rakannya yang membonceng dikenali sebagai Mohd Hidzin, 31, retak lutut kanan.


“Lori berkenaan tidak berhenti dan meneruskan perjalanan ke arah Kuantan manakala kedua-dua mangsa terbabit dihantar ke Hospital Kemaman.


“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Azizudin Abd Kudus di talian 012-9528793 bagi membantu siasatan,” katanya.


Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Meraungtepijalan/Article/index_html



Anggota polis maut nahas


Inalillahi wainailaihi rojiun

20 September 2013
SIMPANG RENGGAM - Seorang polis berpangkat sarjan mejar maut manakala tiga rakannya cedera ringan apabila kereta yang dipandu hilang kawalan di  Kilometer 62.2 Jalan Johor-Ayer Hitam di sini, pagi kelmarin.

Mangsa, Mohd Bohari Wagimin, 53, bersama rakan setugas menaiki kereta jenis Honda Accord dalam perjalanan pulang selepas menziarahi keluarga salah seorang anggota Cawangan Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian yang kematian ayah di Kampung Bukit Nyamuk, di sini.

Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, menyebabkan kenderaan yang dipandu hilang kawalan sehingga menghentam sebatang pokok di tepi jalan.

Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia di lokasi, manakala tiga rakannya cedera ringan dan dirawat di Hospital Kulaijaya.

Ketua Cawangan Trafik dan Ketenteraman Awam, Asistan Suprintendan Azmi Suratman berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 12.50  tengah hari.
Juliza Mohd Saad
Jelasnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Renggam dikejarkan ke  lokasi kejadian.

“Jenazah mangsa telah dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom untuk bedah siasat dan telah dituntut oleh keluarga petang kelmarin, untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Pontian.

“Mangsa meninggalkan seorang isteri dan dua anak yang masih bersekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Azmi berkata, siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami berpunca daripada rempuhan kuat nahas berkenaan.

Jelasnya, menurut saksi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa cuba mengelak lori yang datang dari arah hadapan menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu melanggar pokok di sebelah kiri jalan.

“Mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian badan dan kepala menyebabkannya maut di lokasi,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/anggota-polis-maut-kereta-dipandu-hilang-kawalan-1.203766




Thursday, September 19, 2013

Maut tersepit


19 September 2013
MARAN - Seorang pemandu kereta Perodua Kancil maut tersepit di tempat duduk apabila kenderaan mangsa bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan di Kilometer 33 Jalan Maran-Jerantut dekat Sungai Jerik, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang semalam, mangsa, Chan Kwai Chew, 43, yang beralamat di Sungai Siput, Perak maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, siasatan awal mendapati, kereta mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Sungai Jerik ke Maran ini terbabas ketika melalui
laluan berdekatan persimpangan ke Pusat Perkelahan Lubuk Yu sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah lori datang dari arah bertentangan menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit bertembung dari arah hadapan,” katanya.

Sulaiman berkata, pengguna dinasihatkan berhati-hati ketika menggunakan laluan Maran-Jerantut yang sempit dan berselekoh serta turut dilalui kenderaan berat termasuk treler panjang.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/lelaki-maut-tersepit-1.203271


Bas ekspres terbalik Pemandu maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

19 September 2013
ROMPIN – Seorang pemandu bas ekspres maut, manakala 14 penumpang lagi cedera apabila bas dinaiki terbabas dan terbalik di kilometer 158.9 jalan Johor Bahru–Kuantan, di hadapan stesen minyak Petronas Tanjung Gemok.

Dalam kejadian jam 5 pagi semalam, pemandu bas berkenaan Ismail Ali, 59, maut di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian hadapan bas serta cedera parah di kepala.

Pemandu bas berkenaan dipercayai memandu secara bersendirian.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya, berkata, bas ekspres tersebut membawa penumpang terdiri daripada 10 lelaki dan enam perempuan.

"Semasa kejadian, bas ekspres itu terbabas lalu merempuh pembahagi jalan dan tiang lampu di hadapan stesen minyak Petronas Tanjung Gemok, sebelum terbalik dan melintang di tengah jalan.

"Pemandu terbabit maut di tempat kejadian kerana tersepit di bahagian hadapan serta cedera parah di kepala,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian, semalam.

Menurut Johari, 14 daripada 16 penumpang mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke klinik berhampiran untuk rawatan.

Seorang penumpang ditemui, Ummi Kalthum Zulkifli, 25, berkata, dia yang duduk di kerusi perseorangan di sebelah kiri bas terjaga beberapa kali dari tidur kerana terasa bas seperti bergoyang.

“Saya naik bas di Bachok dan dari sana memang seorang pemandu sahaja yang memandu. Ada juga saya dengar penumpang lain kata bas dipandu laju,” katanya.

Sementara, Mohd Tajul Fikri Mahmud, 34, berkata, dia menaik bas di Jerteh, Terengganu dan tidur.

“Sepanjang perjalanan bas hanya berhenti sekali sahaja untuk minum di Cherating. Saya hanya tersedar setelah dibawa keluar dari bas selepas kemalangan berlaku,” kata guru di sebuah sekolah di Pasir Gudang itu.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/bas-ekspres-terbabas-terbalik-1.203269



Tiga sekeluarga cedera rempuh treler


19 September 2013
PASIR PUTEH - Tiga sekeluarga cedera apabila kereta yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh belakang treler yang diparkir di bahu jalan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Gaal dekat sini, malam kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, kereta jenis Proton Iswara milik mangsa dari arah Jerteh dikatakan mengelak lembu yang dilanggar kereta lain.

Pemandu kereta, Aminuddin Ismail, 47, cedera di muka dan kaki, manakala isterinya, Tuan Rabiah Raja Awang, 44, patah kaki kanan dan cedera di muka.

Mentuanya, Ramlah Tubin, 68, hanya cedera ringan di muka. Bagaimanapun anak Aminuddin, Nik Istihad Baihaki, 6, bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan.

Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Anis untuk rawatan lanjut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharudin Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai pada jam 11.50 malam.

Menurutnya, ketika bomba tiba di tempat kejadian, Aminuddin dan isterinya tersepit di tempat duduk hadapan kerana kereta terperosok di bawah treler.

“Kita menggunakan peralatan Power Unit untuk memotong bahagian kereta bagi memudahkan kerja-kerja mengeluarkan mangsa. Kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa tersepit.

“Manakala, Ramlah dan Nik Istihad berada di luar kereta dan ditenangkan orang ramai,” katanya yang ke lokasi kejadian bersama empat lagi anggota.

Saksi kejadian, Mohd Shahrul Nizam Mohd Shahadan, 46, berkata, dia sempat melihat kereta jenis Proton Waja melanggar lembu yang melintas jalan ketika dia berada pada jarak 30 meter dari tempat kejadian.

“Saya memandu menghala ke Jerteh, tiba-tiba saya ternampak sebuah kereta terhuyung-hayang, lembu yang dilanggar mati dan berada di tengah jalan menyebabkan beberapa kereta dari Jerteh cuba mengelaknya.

“Dalam kekalutan itu, saya terdengar dentuman kuat. Saya dapati sebuah kereta remuk teruk kerana melanggar belakang treler,” katanya sambil memberitahu dia bersama beberapa penduduk cuba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit tetapi gagal.

Katanya, dia sering menggunakan laluan berkenaan dan sudah beberapa kali terpaksa brek mengejut gara-gara lembu berkeliaran melintas jalan.

Mohd Shahrul Nizam berkata, dia diberitahu rakan mengenai kemalangan lain di mana sebuah lori kecil melanggar lembu berhampiran jambatan di Kampung Tok Nik yang mana jaraknya hanya dua kilometer dari lokasi pertama dan hanya berlaku kira-kira 25 minit selepas kemalangan itu.

“Kawasan ini terlalu banyak lembu berkeliaran. Saya kesal dengan pemilik haiwan yang membiarkan sahaja lembu berkeliaran sehingga mengancam nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/3-cedera-kereta-rempuh-treler-1.203236



Berteraburan Kampit Baja


19 September 2013
Kuantan: Terdesak selepas terperangkap dalam kesesakan lalu lintas akibat treler terbalik merentangi laluan di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan di Sungai Karang, di sini pagi semalam, segelintir pengguna jalan raya bertindak membina jalan alternatif dengan menutup sebahagian longkang menggunakan kampit berisi baja yang dibawa treler berkenaan.



Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, treler membawa muatan baja terbabit dikatakan dalam perjalanan ke Cheneh, Kemaman sebelum belakangnya terbalik merentangi jalan sehingga menyebabkan kesesakan sejauh lebih 10 kilometer.

Kejadian berlaku ketika orang ramai mula keluar untuk ke tempat kerja serta menghantar anak ke sekolah menyebabkan mereka mengambil tindakan menutup longkang di tepi jalan raya menggunakan kampit berisi baja serta merobohkan tebing longkang yang agak tinggi bagi membolehkan kenderaan melepasi belakang treler yang terbalik.

Difahamkan, pemandu dan kelindan treler itu yang berusia lingkungan 30 tahun tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalang orang ramai mengambil baja berharga RM150 sekampit untuk menutup longkang disebabkan pengguna jalan raya berang kerana perjalanan mereka tertangguh hampir empat jam.

Tinjauan di tempat kejadian mendapati ratusan kenderaan menghala ke kawasan perindustrian Gebeng terperangkap dalam kesesakan sebelum pihak berkuasa membuka laluan bersebelahan bagi melancarkan pergerakan trafik.


Malah, ada kenderaan mengalami kerosakan dan tersadai di bahu jalan akibat terlalu lama terperangkap dalam kesesakan selain terdapat pemandu kurang sabar menjerit marah ketika melepasi treler berkenaan.

Menurut kelindan treler itu yang enggan dikenali, mereka dalam perjalanan dari Johor Bharu ke Cheneh untuk menghantar baja, namun ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan itu hilang kawalan sebelum bahagian belakang terbalik merentangi jalan.

“Ketika itu treler dipandu perlahan berikutan muatan penuh selain menaiki jalan berbukit. Tiba-tiba ekor treler bergoyang dan pemandu cuba mengawal kenderaan, tetapi gagal sebelum ia terbalik,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya mereka bernasib baik kerana kepala treler tidak terbalik, malah ketika kejadian tiada kenderaan lain di belakang.

Sementara itu, saksi yang ingin dikenali sebagai Shahir, 40-an, berkata, orang ramai terpaksa membina jalan alternatif untuk memberi laluan kepada kenderaan yang terperangkap memecahkan tebing serta menutup longkang menggunakan kampit baja.

“Jalan ini memang sentiasa sibuk terutama waktu pagi kerana ia laluan utama bagi pekerja perindustrian di Gebeng serta ibu bapa yang mahu menghantar anak ke sekolah berdekatan,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Kampitbajajadijalan/Article/index_html



Pelajar Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) maut



 “Saya terdengar jeritan sayu seorang gadis meminta tolong dari dalam kereta yang hampir terputus dua.

“Pilu hati saya apabila gadis yang tersepit dalam kereta itu semakin lemah sebelum tidak bergerak beberapa saat kemudian,” kata pelanggan sebuah kedai makan dikenali sebagai Rohani, 39, di sini, semalam.
Rohani antara orang terawal tiba di lokasi kemalangan ngeri yang mengorbankan seorang pelajar Kolej Universiti Islam Melaka di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin, Balai Panjang, di sini, awal pagi semalam.



Inalillahi wainailaihi rojiun

19 September 2013
BACHANG - Seorang pelajar Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kuala Sungai Baru maut apabila kereta dipandu rakan sekolejnya terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Lebuh AMJ berhampiran Balai Panjang di sini, pagi semalam.

Mangsa, Teh Arifah Hanani Mohd Nasri, 20, maut apabila tersepit di tempat duduk  penumpang hadapan selepas kereta jenis Perodua Kancil dinaikinya melanggar pokok kira-kira jam 1.30 pagi.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu yang sampai ke lokasi jam 1.45 pagi selepas menerima panggilan 10 minit sebelumnya mengambil masa 10 hingga 15 minit untuk mengeluarkan kedua-dua remaja terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superitendan Muhammad Koey Abdullah berkata, ketika kejadian, kereta yang dipandu rakan mangsa, Muhammad Zul Akmal Abd Halim, 19, dalam perjalanan dari arah Malim menghala persimpangan lampu isyarat Lee Rubber, Bachang

“Kereta terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar sebatang pokok yang terletak di kiri jalan dalam keadaan mengiring.

“Akibat kemalangan ini, kedua-dua remaja terbabit tersepit, namun mangsa yang berasal dari Serendah, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, Muhammad Zul Akmal yang terselamat kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, bapa, Teh Arifah, Mohd Nasri Hashim, 59, berkata, kali terakhir bertemu anak keempat daripada tujuh beradik itu adalah pada Isnin lalu sebelum balik ke Melaka menaiki bas.

“Kebiasaannya dia akan balik ke rumah dua atau tiga minggu sekali atau jika cuti panjang. Pada cuti hujung minggu lalu, dia ceria seperti selalu, tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Kira-kira jam 3 pagi, saya mendapat panggilan telefon daripada polis mengatakan anak kemalangan. Saya terkejut, namun dapat mengagak sesuatu lebih teruk berlaku,” katanya.

Katanya, Teh Arifah yang menuntut dalam jurusan Diploma Sumber Manusia kini semester tiga sering berulang-alik dari Serendah ke Melaka sejak lebih setahun lalu.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Sayumintatolong//Article
sinarharian.com.my/arkib/pelajar-maut-tersepit-1.203322



Wednesday, September 18, 2013

Lima kanak-kanak nyaris maut


18 September 2013
REMBAU – Lima kanak-kanak Tabika Kemas Sungai Timun menghadapi saat mencemaskan apabila kereta mereka naiki berlanggar dengan sebuah kereta lain ketika pulang dari latihan futsal dan bola jaring, semalam.


Kejadian berlaku kira-kira 11 pagi di Kilometer 3, Jalan Kota-Astana Raja, Legong Ulu, di sini, apabila kereta jenis Proton Saga yang dipandu guru tabika berkenaan gagal mengelak sebuah kereta yang secara tiba-tiba keluar dari simpang.

Guru terbabit, Nur Mashitah Ibrahim, 24, berkata, ketika kejadian, dia sedang dalam perjalanan membawa pulang kelima-lima kanak-kanak, kesemua berusia 6 tahun dari Tabika Kemas Pekan Kota ke Tabika Kemas Sawah Raja dan Sungai Timun.

“Saya tidak sempat mengelak apabila tiba-tiba ada sebuah kereta keluar dari simpang menyebabkan kenderaan kami berlanggar," katanya.

Akibat pelanggaran itu, katanya, seorang daripada anak muridnya, Arina Umairah Salmi cedera di muka.

"Arina duduk di bahagian hadapan penumpang dan dibawa ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Mashitah berkata, empat kanak-kanak lain kemudian dibawa pulang keluarga masing-masing yang tiba di tempat kejadian.

Menurutnya, mereka berulang alik sejak minggu lalu untuk menjalani latihan di Kota sebagai persediaan menghadapi Hari Potensi Kemas Parlimen Rembau, 25 September ini.

Sementara itu, Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati, Proton Saga yang membawa kanak-kanak itu gagal mengelak sebuah kereta jenis Nissan yang tiba-tiba keluar dari persimpangan.

"Kesemua selamat, bagaimanapun seorang kanak-kanak dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kemalangan-lima-kanak-kanak-cemas-1.203030



Pelajar maut rempuh lori


18 September 2013
NILAI – Seorang pelajar sebuah kolej maut selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di Kilometer 287.0 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran susur masuk Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Nilai, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa, Yap Tet Shen, 18, maut serta merta di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan badan.

Sementara rakannya cedera ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini, untuk rawatan.

Jurucakap polis berkata, mangsa bersama rakannya itu menaiki kereta jenis Proton Waja dipercayai dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke kolejnya di Nilai.

“Bagaimanapun, sejurus tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kiri.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami cedera parah akibat tersepit di bahagian duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Jurucakap berkata, pemandu lori dan kelindan masing-masing berusia 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan awal pihaknya mendapati lori terbabit yang membawa muatan ikan dalam perjalanan ke Seremban bagi menghantar muatan tersebut.

“Namun, pemandunya tiba-tiba memilih untuk berhenti di lorong kiri berhampiran susur masuk R&R Nilai disebabkan kenderaannya mengalami kerosakan,” katanya.

Kata Jurucakap, mayat mangsa dihantar ke HTJ untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superitendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan kejadian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/rempuh-belakang-lori-berhenti-1.203029



Digilis bas ekspres



18 September 2013
JERANTUT- Seorang wanita maut apabila di gilis sebuah bas ekspres ketika mangsa dalam perjalanan untuk menoreh getah di Kilometer 7 Jalan Jerantut-Temerloh, dekat Kampung Paya Rajin, di sini, kira-kira jam 7.30 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Azid Ismail berkata, mangsa, K. Saraswahty, 56, dari Kampung Mat Kilau 2, maut di tempat kejadian ekoran kecederaan parah akibat digilis bas ekspres itu di bahagian kepala.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai telah dilanggar oleh bas ekspres tersebut yang berada di belakang mangsa yang kedua-duanya dari arah jalan Jerantut-Temerloh.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu bas tersebut tidak berhenti dan meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Azid berkata, pemandu bas itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut selepas menyerah diri petang kelmarin.

“Sehubungan ini, pihak polis minta penumpang  yang menaiki bas tersebut dari Jerantut menuju ke Kuala Lumpur pada jam 7 pagi pada  16 September lalu atau mana-mana saksi untuk tampil ke IPD Jerantut.

“Mereka boleh menghubungi  IPD Jerantut di talian 09-2662222 atau 09-2666889,” katanya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/maut-digilis-bas-ekspres-1.202948



Pasangan kekasih berkecai digilis treler



Inalillahi wainailaihi rojiun

18 September 2013
MUAR,  Hajat sepasang kekasih untuk bertunang hujung tahun ini tidak kesampaian apabila motosikal yang mereka tunggangi terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori treler dekat Kampung Buah Keras 2, Jalan Temenggung Ahmad di sini.


Dalam kemalangan kira-kira 11.05 malam semalam itu, Mohd Azamudin Ahmad, 18, berasal dari Parit Limbung, Jalan Parit Jawa di sini, dan teman wanitanya Wan Hs Norfatihah Wan Pauzi, 16, dari Kampung Parit Bakar di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Supt Sahadan Jaafar ketika dihubungi berkata ketika kejadian Mohd Azamudin dalam perjalanan menghantar kekasihnya pulang ke rumah di Kampung Parit Bakar dekat sini setelah menjemputnya dari sebuah pasar raya.

"Setiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Ex-5, cuba memotong sebuah treler dari arah sama, namun bertembung sebuah motosikal lain yang datang dari arah hadapan dengan menunggang secara kumpulan.

"Pasangan tersebut yang terjatuh kemudian tercampak ke bawah lori dan terseret beberapa meter menyebabkan anggota tubuh mereka mengalami kecederaan parah termasuk putus beberapa bahagian anggota," katanya.

Seorang lagi penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu dan masih belum dikenali pasti identitinya patah kaki dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu pemandu treler seberat 25 tan itu, Mohd Isa Hamid, 52, berkata semasa kejadian, dia bersama kelindan lori itu, Musa Muhamad, 45, sedang dalam perjalanan menghantar muatan makanan ayam dari Pelabuhan Klang ke Semerah, Batu Pahat.

"Selepas berlaku perlanggaran, saya lihat di cermin sisi, motosikal mangsa terseret jauh tetapi tidak nampak penunggang serta pemboncengnya. Kami ingatkan tidak ada apa-apa berlaku dan memberhentikan treler kira-kira 40 meter selepas itu.

"Namun apabila turun, kami terkejut apabila melihat dua tubuh manusia bergelimpangan dalam keadaan putus dan hancur anggota badan di atas jalan raya," katanya.
-- BERNAMA

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Matrempitragutkasih//Article
my.news.yahoo.com/pasangan-kekasih-maut-dilanggar-lori-treler-135052942.html



Tuesday, September 17, 2013

Penumpang teksi maut



17 September 2013
Serdang: Seorang wanita maut selepas teksi dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 17.4, Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) dari arah Kuala Lumpur menuju Putrajaya, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa Nimai Chandra Pal, 73, meninggal dunia di unit kecemasan Hospital Putrajaya pada jam 12.15 tengah hari semalam akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Razak Elias berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kereta Proton Satria Neo dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang teksi berkenaan.

“Ketika kejadian, mangsa menaiki teksi bersama empat lagi ahli keluarga. Mangsa duduk di bahagian paling tepi tempat duduk belakang penumpang menyebabkan dia cedera ketika dirempuh manakala penumpang lain hanya cedera ringan.

“Pemandu teksi Ab Maalek Omar, 51, dan pemandu kereta Rasid Azali, 28, tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Penumpangteksimatidilanggar//Article



Maut tersepit di tempat duduk



Inalillahi wainailaihi rojiun

17 September 2013
JEMPOL - Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan tiga kereta di Kilometer 18 Jalan Bahau-Kemayan, petang kelmarin.

Menurut sumber polis, mangsa, Ali Johari, 27, dari Felda Serting Hilir Tiga di sini, disahkan maut di tempat kejadian kerana cedera parah.

Menurutnya, mangsa dari arah Kemayan-Bahau, memandu kereta jenis Honda hilang kawalan selepas melalui selekoh di laluan itu kira-kira jam 4.30 petang,

“Kenderaan mangsa masuk ke laluan bertentangan dan melanggar belakang kereta jenis Proton Persona.

“Kemudian, kereta mangsa dilanggar pula sebuah kereta yang berada di belakang kereta Proton Persona. Mangsa mengalami cedera parah kerana tersepit di tempat duduk pemandu," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,”katanya.

Dua individu yang cedera dihantar ke Hospital Jempol dan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Jempol, Deputi Superitendan Tukiman Seriman mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-tersepit-di-tempat-duduk-1.202698



Monday, September 16, 2013

Pelajar SMK Syed Ibrahim maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

16 September 2013
PENDANG - Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ibrahim maut selepas motosikal yang ditunggangi terperosok di bawah lori pasir tanpa muatan di Jalan Sungai Tiang Pendang, di sini, pada jam enam petang, kelmarin.

Kejadian yang berlaku dekat Kampung Sawa Kecil itu menyebabkan penunggang motosikal, Muhammad Alif Adha Mohd Asri, 14, dari Kampung Sawa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang, Inspektor Jasmin Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan maut dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang memandu secara berbahaya.

“Penunggang motosikal dari arah Sungai Tiang manakala lori dipandu lelaki berumur 50 tahun dari Bidong Kedah dikatakan dalam perjalanan dari arah Pendang pulang ke rumahnya.

“Penunggang motosikal disyaki telah mengangkat tayar hadapan dan perbuatan tersebut menyebabkan beliau (mangsa) terjatuh ke laluan bertentangan sebelum terperosok ke bawah lori.

"Malangnya pemandu lori ini tidak sempat memberhentikan lori akibat jarak yang terlalu dekat,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/padah-tunggang-motosikal-secara-bahaya-1.202505



Sunday, September 15, 2013

3 remaja maut rempit



Inalillahi wainailaihi rojiun

15 September 2013
Muadzam Shah: Tindakan tiga remaja berlumba dan menunjukkan kehebatan menunggang motosikal bertukar tragedi apabila dirempuh lori tangki minyak di Kilometer 120.5 Jalan Kuantan-Segamat, di sini, awal pagi semalam.


Dalam kejadian jam 12.30 pagi, Mohamad Mubarak Mohamad Sabri, 18, dan Mohd Ilham Kusyairy Ahmad Roslan, 16, dari FELDA Keratong 9 di sini, serta Mohd Hakim Ghazali, 17, mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, ketika kejadian, tiga sahabat itu berlumba dengan menunggang motosikal masing-masing dari arah Kuantan menghala ke Segamat.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, sebuah lori tangki minyak tanpa muatan dari arah bertentangan cuba memotong sebuah kereta di depannya tanpa menyedai kehadiran ketiga-tiga mangsa sebelum merempuh mereka.

“Berdasarkan siasatan awal, pemandu lori gagal mengelak mangsa dan terus merempuh mereka sebelum kenderaannya terbabas ke bahagian kanan jalan dan terbalik.


“Akibat rempuhan itu, semua mangsa tercampak kira-kira empat meter dan mati di tempat kejadian akibat cedera parah, termasuk pecah kepala dan putus tangan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, siasatan juga mendapati ketiga-tiga mangsa berlumba bersama beberapa rakan lain, namun mereka sempat mengelak dirempuh lori.

Johari berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.

Bagaimanapun, polis masih mengesan pemandu lori yang dipercayai melarikan diri sejurus selepas kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berhampiran untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautketikaberlumba/MA/Article/index_html



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my