loading...

Wednesday, May 23, 2012

Warga emas dirempuh Perodua Viva



ALOR SETAR – ‘Tolong, tolong pakcik!’ Hanya itu mampu dilaungkan seorang warga emas yang terjatuh apabila motosikalnya dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Lencong Barat di sini, kelmarin.

Mangsa, Otman @ Ahamad Jusof, 70, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala mengerut dahi kesakitan sambil mengerang memohon dirinya dibantu.

Difahamkan, kejadian berlaku pada jam 2.05 petang ketika mangsa menunggang motosikalnya dari persimpangan pusat beli belah Alor Setar Mall untuk pulang ke rumahnya yang terletak di Kampung Tengah Mukim Kuala Kedah.

Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat, secara tiba-tiba sebuah kereta Perodua Viva yang datang dari arah Kuala Kedah membelok ke kanan tanpa berhenti.

Ia kemudian merempuh motosikal yang dipandu warga emas tersebut menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia mendengar dentuman kuat dari arah hadapannya sebelum ternampak sebuah kereta Perodua Viva melanggar motosikal yang ditunggangi warga emas itu menyebabkan mangsa terpelanting.

“Saya segera memberhentikan kenderaan dan berlari ke arah mangsa. Ketika itu saya melihat banyak darah mengalir menerusi luka di kepalanya. Saya tak berani untuk mengalih mangsa di tengah jalan bimbang mangsa mengalami kecederaan serius lain,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar (HSB) dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kota Setar untuk mendapat rawatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/kepala-warga-emas-parah-dirempuh-kereta-1.50337

Lori terjunam 200 meter



KUALA KRAI - Pemandu dan kelindan sebuah lori nyaris maut apabila kenderaan mereka terbabas dari tebing curam lalu terjunam kira-kira 200 meter ke dalam semak tebal berhampiran Sekolah Menengah Teknik Kuala Krai, di sini, semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 8 pagi di Jalan Kuala Krai-Gua Musang itu, pemandu lori dikenali sebagai Zawawi, 39, hanya cedera ringan di tangan manakala kelindan, Johairi Mat Jusoh, 30, tidak cedera.

Ketika kejadian, lori milik syarikat perkhidmatan logistik berpengkalan di Petaling Jaya, Selangor itu dikatakan dalam perjalanan menghantar barangan elektrik dan ubat-ubatan dari Glenmarie, Shah Alam ke Kota Bharu.

Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu lori terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dari tebing jalan pada kecuraman kira-kira lima meter ke dalam semak tebal di kawasan itu menyebabkan bahagian hadapan kenderaan berkenaan rosak teruk.


Kelindan tidur ketika nahas

Sementara itu, Johairi berkata, dia tidak tahu punca sebenar kemalangan itu kerana sejurus sebelum kejadian, dia baru lelapkan mata kerana keletihan selepas bertolak dari Shah Alam kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

“Saya baru terlelap bila tiba-tiba terasa gegaran kuat dan terus tersedar. Waktu itu, saya tak dapat buat apa-apa, hanya mampu jerit ‘ALLAH’, ‘ALLAH’,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Johairi dari Ketereh, dekat Kota Bharu dan baru dua tahun bekerja dengan syarikat itu berkata, dia amat bersyukur kerana terselamat dan tidak cedera dalam kejadian berkenaan.

Katanya, dia dan Zawawi juga bernasib baik kerana lori terbabit tidak terlanggar pokok kelapa sawit di tebing jalan dan pokok besar dalam semak tebal itu ketika terbabas.

“Nasib baik ketika terbabas dengan laju menuruni tebing jalan, tidak ada pokok besar dalam laluan lori, kalau tidak, tak tahu apa akan jadi pada kami berdua,” katanya.

Zawawi bagaimana pun gagal ditemu bual kerana dikatakan berada di Hospital Kuala Krai bagi membuat pemeriksaan tangannya yang cedera dalam kejadian itu.

Satu jam keluarkan lori

Sebelum itu, usaha membawa keluar lori terbabit dari dalam semak tebal menggunakan jentolak berantai dengan bantuan tujuh pekerja mengambil masa kira-kira satu jam.

Jentolak terlebih dahulu membersihkan kawasan semak untuk dijadikan laluan keluar, sementara pekerja membuang dahan, ranting pokok dan semak samun pada lori.

Lori mula ditarik keluar pada jam 10.30 pagi dan terhenti seketika apabila badan kenderaan itu tersangkut pada sebatang pohon besar sebelum akhirnya berjaya dibawa keluar pada jam 10.40 pagi.

Dalam pada itu, sehingga jam 5 petang ini (semalam), polis masih belum menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/2-nyaris-maut-lori-terbabas-1.50251

Pelajar Maut Digilis Bas Sekolah



TAIPING – Seorang pelajar sindrom down maut dipercayai digilis bas sekolah ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dalam satu kejadian di Jalan Raja Muda, di sini, petang semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, pelajar Sekolah Semangat Maju Taiping, Ooi Shee Kai, 21, dikatakan baru turun dari bas berkenaan dan mahu melintas jalan.

Bagaimanapun, kedudukannya yang berada di hadapan bas berkenaan tidak disedari pemandu kenderaan itu sebelum bertindak merempuhnya.

Shee Kai maut di tempat kejadian sementara pembantu bas yang secara kebetulan berada hampir dengan mangsa mengalami patah kaki kiri.

Ibu mangsa, Tan Ah Yew, 60, berkata, dia difahamkan ketika kejadian, anaknya mahu melintas jalan dan dibantu seorang pembantu bas.

Menurutnya, berkemungkinan pemandu bas berkenaan menyangka pembantunya sudah masuk ke dalam kenderaan dan mahu meneruskan perjalanan.

“Saya sangat sedih dengan kehilangannya kerana dia sangat rapat dan sentiasa menemani saya sejak suami meninggal,” katanya kepada Sinar Harian.

Ah Yew berkata, sebelum kejadian, Shee Kai tidak menunjukkan sebarang petanda bahawa dia akan meninggalkannya.

Katanya, dia mungkin mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri hidup tanpa anaknya yang kebiasaannya bising ketika di rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah ketika dihubungi memaklumkan akan menjalankan siasatan lanjut termasuk menahan pemandu bas berkenaan bagi diambil keterangan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/maut-digilis-bas-sekolah-1.50218

Tuesday, May 22, 2012

Dirempuh Toyota Innova


PUTRAJAYA - Seorang lelaki ‘terbang’ dan maut selepas kereta yang dipandunya dirempuh sebuah kenderaan serba guna (MPV) di Kilometer 22.3, Lebuh Raya Maju, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa berumur 27 tahun, memandu kereta jenis Perodua Kancil, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah.

Setibanya di lokasi, kenderaan mangsa dirempuh sebuah kereta jenis Toyota Innova dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman berkata, impak rempuhan itu menyebabkan kereta dipandu mangsa berpusing beberapa kali dan terbabas.

“Mangsa tercampak keluar dan maut dipercayai akibat kecederaan parah di kepala serta anggota badan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat,” katanya.

Imran berkata, pemandu MPV, berumur 40 tahun hanya cedera ringan.

Menurutnya, siasatan awal mempercayai kereta MPV itu dipandu laju dan hilang kawalan­ sebelum merempuh kereta mangsa.

“Kita akan merakamkan keterangan pemandu MPV itu untuk membantu siasatan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta hubungi balai polis berdekatan­ bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/terbang-sebelum-maut-1.50005

7 kenderaan terbabas



KEMAMAN – Sebanyak tujuh kenderaan terbabas di selekoh yang sama dalam tempoh tiga jam, hingga ada kenderaan yang terlingkup empat tayar ke atas.

Malah, ada kenderaan terhumban ke bawah tebing jalan dan masuk ke dalam parit akibat laluan di selekoh di situ yang dikorek serta diletakkan batu kisaran tetapi tidak diletakkan papan tanda amaran.

Persekitaran jalan yang berkabus juga menyebabkan pemandu yang dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu tidak menyedari jalan sepanjang hampir 200 meter di selekoh itu dalam proses pembaikan.

Kejadian berlaku antara jam 4.30 hingga 7.10 pagi kelmarin di Kilometer 147 Jalan Jerangau-Jabor, di Kampung Jenang Baru berhadapan Ladang Sawit TDM Bhd, dekat sini.

Tiada kemalangan maut dilaporkan

NAMUN, semua pemandu yang kebanyakanya pegawai dan pengurus ladang tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kenderaan masing-masing mengalami kerosakan teruk termasuk remuk di bahagian hadapan serta pecah cermin.

Kenderaan yang terlibat dalam nahas berkenaan membabitkan Nissan Frontier, Rexton, Toyota Hilux, Toyota Camry, Honda Jazz, Proton Waja dan Perodua Myvi.

Kejadian pertama berlaku kira-kira jam 4.30 pagi membabitkan kereta Honda Jazz yang dipandu pe-ngurus ladang yang gagal mengawal kenderaan apabila melalui selekoh berkabus berkenaan.

Ini diikuti dengan kejadian kedua kira-kira jam 5 pagi membabitkan Proton Waja yang terlingkup empat tayar ke atas sejurus terbabas.

Selang 1 jam 20 minit kemudian iaitu pada jam 6.20 pagi, pacuan empat roda Toyota Hilux yang dipandu pengurus ladang pula terlingkup disusuli 10 minit selepas itu, Nissan Frontier turut mengalami nasib sama selepas kenderaan gagal dikawal.

Malang turut menimpa pemandu Perodua Myvi yang turut melalui jalan ditambun batu itu apabila kira-kira jam 6.50 pagi kenderaan yang dinaikinya turut terbabas sebelum masuk ke dalam parit di tepi jalan, diikuti Toyota Camry yang terbabas pada jam 7 pagi serta Rexton pada jam 7.10 pagi.

Tiada papan tanda amaran

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian itu berkata, sebelum selekoh berkenaan iaitu dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu tidak diletakkan papan tanda dan hanya diletakkan kon di kawasan dikorek selain permukaan jalan juga tidak rata.

Sementara itu, menurut penduduk, Mohd Mokhtar Abd Rahman, 35, kerja naik taraf selekoh dilakukan kontraktor tiga hari sebelum nahas berlaku dan batu kisaran pula ditambun sehari sebelum kejadian.

“Sepatutnya papan tanda ama-ran di letakkan dalam jarak beberapa meter dari selekoh di kedua-dua arah untuk memaklumkan pengguna mengenai jalan yang dinaik taraf dan mengingatkan pemandu agar tidak memandu laju.

“Kontraktor perlulah lebih prihatin kerana ia membabitkan soal nyawa dan harta benda orang ramai,” katanya yang mengakui penduduk di kawasan sekitar gempar dengan kejadian tujuh kenderaan terbabas di selekoh sama itu yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/7-terbabas-dalam-3-jam-1.49938

Monday, May 21, 2012

Nenek Maut Dilanggar Cucu

Inalillahi wainailaihi rojiun   

SHAH ALAM: Seorang nenek berusia 80 tahun maut dilanggar cucunya yang tidak sengaja mengundur kenderaan dalam kejadian di Taman Ria, Sekinchan, Sabak Bernam, dekat sini, semalam.

Mangsa, Salamah Samion meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanjung Karang.


Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, cucu lelaki mangsa berusia 34 tahun bersiap untuk pulang ke rumahnya di Kuala Lumpur, bagaimanapun tidak sengaja memasukkan gear undur pada Proton Persona miliknya.

Kereta yang mengundur itu melanggar pintu jeriji, pintu kaca dan binaan batu hadapan rumah itu pecah sebelum menimpa neneknya. Bahagian belakang kereta itu diletakkan menghadap rumah.


Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohd berkata, wanita berusia 80 tahun itu dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanjung Karang sejurus selepas itu.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/2012052101160920120521011609/Article/index_html

Pekerja kilang maut rempuh forklift

Inalillahi wainailaihi rojiun   

BUTTERWORTH — Seorang pekerja kilang yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 134.9 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara berhampiran Seberang Jaya, di sini hari ini.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Seberang Perai Tengah, ASP S.Manogaran berkata, mangsa Mohd. Sabri Zainul, 39, dari Tasek Gelugor di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Kemalangan berlaku pada pukul 11.50 pagi apabila motosikal yang ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang forklift yang dipandu seorang lelaki menyebabkan mangsa jatuh ke lorong kanan jalan sebelum bergesel dengan sebuah bas.

"Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.— BERNAMA

Al-Fatihah

Sumber:
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0521&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_14.htm

Warga emas maut bertembung lori


Inalillahi wainailaihi rojiun   

FELDA TENANG - Seorang lelaki warga emas meninggal dunia apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Felda Tenang, dekat Hulu Besut petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Wan Ya’Acob Wan Ismail, 65, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkat, kejadian berlaku apabila lori yang dipandu seorang lelaki 42 tahun datang dari arah Pasir Akar ke Felda Tenang melalui jalan sehala.

Menurutnya, motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan dan telah memasuki laluan lori tersebut selepas mengambil selekoh pendek berhampiran tempat kejadian.

“Pemandu lori itu tidak sempat mengelak kerana jarak yang dekat menyebabkan pelanggaran berlaku secara berdepan dan mangsa tercampak sebelum maut di tempat kejadian,” katanya.

Kamaruddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

Mangsa beralamat di Kampung Cawangan, Hulu Besut, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Sementara itu polis yang menjalankan saringan air kencing terhadap pemandu lori tersebut mendapati dia positif dadah dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/warga-emas-maut-dirempuh-lori-1.49644

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my