loading...

Saturday, November 30, 2013

Pelatih Maut Kemalangan



Inalillahi wainailaihi rojiun

30 November 2013
LEDANG – Seorang pelatih sebuah pusat kemahiran di Melaka, maut selepas kereta yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Solok-Serom 8, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5.15 petang, mangsa, Mohd Faridzul Anuar Abd Hamid, 20, dari Kampung Sungai Rambai, Bukit Gambir, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan anggota badan.

Difahamkan, mangsa yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah bengkel di Bukit Gambir dalam perjalanan pulang dari Tangkak ke bengkel berkenaan.

Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, kereta jenis Datsun yang dipandu rakan sekerjanya dipercayai hilang kawalan dan berpusing-pusing sebelum memasuki laluan bertentangan.

Kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki lingkungan usia 30an dari arah Serom 8 menghala ke Tangkak pula tidak sempat mengelak seterusnya merempuh bahagian hadapan penumpang.

Akibat rempuhan kuat itu, mangsa tersepit di tempat duduknya dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba Bukit Gambir, Omar Saat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.29 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan enam anggota bersama satu jentera.

“Kita terlebih dahulu mengeluarkan dua mangsa terselamat untuk dihantar ke hospital dan diikuti mangsa yang sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Mohd Salleh Razak ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian.

Katanya, dua pemandu kereta terbabit mengalami kecederaan serius dan dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

“Mayat mangsa dibawa ke rumah mayat Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131130/dn_15/Pelatih-kemahiran-maut-nahas
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/pelatih-pusat-kemahiran-maut-1.225959



Maut MyVi terperosok bawah bas



30 November 2013
MUAR – Seorang lelaki maut selepas tersepit dalam kereta jenis Perodua MyVi dipandunya yang terperosok di bawah sebuah bas dalam kemalangan di Batu 7 Jalan Muar-Pagoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi, mangsa, Toh Toon Cheng, 47, dari Sengkang, Pagoh meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Mangsa dari arah Pagoh menghala ke Muar dipercayai cuba memotong sebuah kereta di hadapannya namun gagal sebelum bertembung dengan sebuah bas yang datang dari arah bertentangan.

Kejadian itu turut menyebabkan laluan berkenaan sesak sejauh satu kilometer.

Konduktor bas, Mohamad Wahab, 66, berkata, bas itu memulakan perjalanan dari Muar pada jam 10.15 pagi untuk ke Bukit Kepong.

“Bas ini dinaiki lima penumpang dan apabila tiba di tempat kejadian, kereta tersebut berada di laluan ini.

“Pemandu bas tidak sempat mengelak kerana ketika itu keadaan jalan sedikit sesak dan berlaku pelanggaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata, kesemua penumpang terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat dan melihat pemandu kereta itu sudah terkulai dan meninggal dunia.

“Saya bersyukur kesemuanya terselamat tanpa sebarang kecederaan termasuk penumpang dan pemandu bas.

“Ini kejadian pertama kemalangan saya lalui selepas lebih lima tahun menjadi konduktor bas,” katanya.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Johar Tumin berkata, seramai sembilan anggota bersama satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.30 pagi.

“Kita mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/kereta-terperosok-bawah-bas-1.225982



Friday, November 29, 2013

Guru Maut Konvoi di Thailand

Inalillahi wainailaihi rojiun

30 November 2013
Kulim: “Arwah sangat meminati aktiviti permotoran dan dia sangat teruja untuk berkonvoi bersama rakannya ke Thailand sempena cuti persekolahan.

“Pagi sebelum kejadian, arwah bersikap seperti biasa dan dia sempat minum air kopi yang dibancuhnya sendiri,” kata Rubiah Abdul Mutalib, 37, isteri kepada Nasir Hashim, 47, yang maut dalam kemalangan ketika berkonvoi bersama sebuah kelab motosikal berkuasa tinggi di Surat Thani Thailand, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 7 malam, mangsa yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Juru, Pulau Pinang cedera parah selepas dipercayai terbabas lalu melanggar sebuah pokok.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Surat Thani, Thailand, sebelum disahkan meninggal selepas itu.

Rubiah berkata, arwah meninggalkan rumah di Taman Saga, Keladi, di sini, kira-kira jam 7 pagi, kelmarin, dan tidak menunjukkan sebarang tanda perubahan.

“Saya sempat bersalaman dengannya pagi itu, namun terkejut apabila kira-kira jam 7 malam, saya menerima panggilan daripada adik ipar yang memaklumkan suami terbabit dalam kemalangan ketika berkonvoi bersama rakannya di Thailand.

“Saya terima berita ini dengan hati yang tenang dan reda dengan pemergiannya.

“Arwah seorang yang mesra dengan semua orang dan dia suka menunggang motosikal serta sering mengikuti rakannya menjelajah ke seluruh negara termasuk ke negara jiran,” katanya ketika ditemui di rumah kakak iparnya di Taman PKNK, di sini, semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GuruberkonvoimautdiThailand/Article/index_html



Kemalangan ngeri di Ladang Mukah



30 November 2013
Mukah: “Sebaik tiba di tempat kejadian, kami melihat mayat seorang kanak-kanak masih dalam pangkuan ibunya,” kata pekerja ladang, Sallim Mukrime, 43, ketika menceritakan kemalangan ngeri yang mengorbankan enam orang termasuk lima beranak di Kilometer 14, Jalan Mukah-Selangau, berhampiran Ladang Mukah 1 di sini, semalam.


Kemalangan dipercayai berlaku pada jam 3 petang itu menyebabkan Perodua Kancil dinaiki enam sekeluarga bertembung Toyota Hilux mengakibatkan lima daripadanya maut di tempat kejadian manakala seorang lagi kritikal.

Kejadian itu juga menyaksikan seorang penumpang kenderaan pacuan empat roda yang dikenali Wong Tai Yen, 27, maut dan tercampak keluar ke bahu jalan.

Menurut Sallim, sebelum kejadian dia bersama rakan berada di ladang terbabit sebelum dikejutkan bunyi dentuman kuat dari arah jalan raya dan bergegas keluar menyiasat apa yang sebenarnya berlaku.

“Apabila tiba ke tempat kejadian, saya terkejut melihat lima orang tersepit dalam kereta manakala seorang lagi telentang di bahu jalan dipercayai tercampak akibat kemalangan itu.


“Kami panik dan tidak tahu apa perlu dilakukan. Seorang rakan berusaha mendapatkan bantuan pengguna jalan raya yang kebetulan melalui kawasan ini sebelum menghubungi bomba dan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Omar Bakhtiar Yaakub berkata, seorang mangsa terbunuh dikenali sebagai Mohd Hisyam Abdullah, 40, yang memandu Perodua Kancil manakala anak perempuannya, Nor Syafidah, 14, kritikal dan dirawat di Hospital Sibu.

Beliau berkata, setakat ini, identiti empat lagi mangsa dipercayai anak dan isteri kepada Mohd Hisyam masih belum diketahui.

“Tiga penumpang Hilux yang parah pemandunya, Wong Kim Kui, 48, abang kepada Tai Yen, Wong Tai Hing, 28, serta bapanya Wong Kheng Ki, 57. Tai Hing yang parah kemudian dikejarkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

“Kemalangan berlaku apabila Perodua Kancil dinaiki enam beranak dalam perjalanan dari Selangau ke Mukah bertembung Hilux menuju ke Selangau. Namun, sehingga kini polis masih belum dapat mengesahkan punca sebenar kemalangan berlaku.

“Keenam-enam mangsa terbunuh di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan. Kami masih menjalankan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi kejadian.

“Semua mayat dibawa ke Hospital Mukah untuk bedah siasat.” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Mukah ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.20 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Anggota kami mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan semua mangsa tersepit dalam kenderaan remuk itu,” katanya.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pangkusampaiajal/Article/index_html



Thursday, November 28, 2013

Pelajar Maut, Rakan Parah dirempuh kereta



Inalillahi wainailaihi rojiun

29 November 2013
DUNGUN - Seorang pelajar maut manakala rakannya parah setelah motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 84.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan lampu isyarat hadapan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Kejadian kira-kira 2 petang itu berlaku ketika dua pelajar berkenaan dalam perjalanan untuk ke kampus mereka.

Akibat rempuhan itu, Muhammad Asraf Hamidin, 18, pelajar Diploma Teknologi Komputer yang berasal dari Batu 17, Rawang, Selangor maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Rakan sekelasnya, Muhammad Fathil Deraman, 18, yang berasal dari Kampung Pancur Kemumin, Kelantan cedera parah di bahagian kepala dan dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan laporan berhubung kejadian itu.







Mayat mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat manakala rakannya yang cedera parah di bahagian kepala dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut. - Bernama

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/pelajar-maut-rakan-kritikal-dilanggar-kereta-1.225501
http://www.tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Pelajar_Maut_Rakan_Parah.html



Tahlil atuk jadi kenduri arwah ibu


Inalillahi wainailaihi rojiun

29 November 2013
Pekan: “Ibu mahu mengadakan kenduri arwah atuk hari ini (semalam). Tidak sangka hajatnya bertukar menjadi majlis kenduri arwah untuk dia dan dua adik,” kata Mohd Zulhilmi Razali, anak Rosmah Othman yang maut dalam kemalangan di Kilometer 40 Jalan Pekan-Rompin, di sini, petang kelmarin.

Kemalangan yang berlaku jam 5.30 petang itu mengorbankan dua adik Mohd Zulhimi iaitu Mohd Haikal Syukri, 19, Norzafirah, 12, manakala seorang lagi, Nurul Najila, 7, cedera parah.

Dalam kejadian itu, ketiga-tiga mereka maut selepas Perodua Kancil dipandu Rosmah, 47, bertembung dengan lori milik Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mohd Zulhilmi, 20, berkata, kali terakhir dia bertemu ibunya, ketika menukar kereta di sebuah pusat beli-belah di Kuantan, jam 1 petang kelmarin.

“Kami berjumpa setengah jam kerana ibu mahu segera pulang.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Kancil yang dinaiki keluarga itu terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.

"Ekoran rempuhan itu, kereta Perodua Kancil tersebut remuk menyebabkan kesemua mangsa tersepit dan tiga daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu lori pula tidak cedera walaupun dua tayar hadapan kenderaan itu tercabut," katanya ketika dihubungi semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.kosmo.com.my/
http://www.hmetro.com.my/



2 Penyamun Maut



29 November 2013
SUNGAI SIPUT - Seorang wanita berdepan detik cemas apabila kereta dan wang kutipan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang dibawanya dilarikan tiga lelaki di sini, kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa yang sedang memandu kereta Proton Saga BLM dihimpit sebuah kereta Proton Wira dinaiki tiga lelaki dan memaksanya untuk memberhentikan kereta.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, seorang daripada suspek keluar dan mengugut mangsa supaya keluar dari kereta dan melarikan kenderaan itu bersama wang dianggarkan puluhan ribu ringgit hasil kutipan duit AIM dari cawangan berdekatan.

Menurutnya, ketika suspek cuba melarikan diri, kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Simpang Temin, Felda Lasah, Sungai Siput dan menyebabkan kedua-duanya maut.

"Suspek yang memandu kereta berkenaan berusia 42 tahun dari Kampung Bahagia Sungai Siput, maut di tempat kejadian manakala rakannya berusia 37 tahun dari Kampung Suak Petai, Manong maut di Hospital Sungai Siput.

“Seorang lagi rakan suspek yang belum dikenal pasti identitinya sempat melarikan diri. Polis masih mengenal pasti identiti suspek yang masih melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, Azman mengesahkan mangsa samun tidak cedera dan hanya ditinggalkan di tepi jalan. Pihak polis juga berjaya menemui semula barangan milik mangsa yang disamun termasuk wang tunai.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/maut-kemalangan-selepas-samun-1.225545



Anggota tentera maut rempuh belakang lori


Inalillahi wainailaihi rojiun

28 November 2013
KOTA BHARU - Seorang anggota tentera maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan lalu terlanggar belakang bahagian lori pasir dari arah bertentangan dalam kejadian di Jalan Salor - Pasir Mas, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa, Muhammad Fazli Md Yusoff, 28, yang memandu kereta jenis Perodua Viva dari arah Pasir Mas ke Kota Bharu secara tiba-tiba memasuki lorong bertentangan dan menyebabkan kereta terbabit melanggar belakang lori pasir di laluan berkenaan.

Akibat perlanggaran itu, mangsa maut di tempat kejadian berikutan kecederaan di bahagian kaki dan dada.

Bagaimanapun, pemandu dan kelindan lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Ab Rafar mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mangsa dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk berdasarkan siasatan yang dilakukan.

“Mangsa yang memandu kereta berseorangan secara tiba-tiba masuk ke lorong bertentangan ketika melalui kawasan terbabit.

“Akibat perlanggaran itu,  mangsa mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dibawa pulang ke Kedah bagi urusan pengebumian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/maut-langgar-belakang-lori-1.225227




Monday, November 25, 2013

Terserempak lembaga lintas jalan?


26 November 2013
Santubong: Kemalangan membabitkan sebuah lori aiskrim di Jalan Santubong di sini, malam kelmarin, diselubungi misteri apabila pemandunya mendakwa cuba mengelak ‘seseorang’ yang tiba-tiba menyeberangi jalan sebelum kenderaan itu terbabas lalu melanggar sebatang pokok.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 8 malam ketika lori dipandu lelaki berusia 27 tahun itu dalam perjalanan dari Bintawa menuju ke pusat bandar raya Kuching sebelum dikejutkan dengan insiden itu.

Sumber berkata, mangsa memberitahu dia menyangka penduduk kampung berdekatan melintas jalan menyebabkan dia cuba mengelak daripada melanggarnya menyebabkan kenderaan itu terbabas lalu merempuh pokok di tepi jalan.

“Sebaik kemalangan itu, mangsa melihat tiada sesiapapun di sekitar lokasi kejadian dan hatinya mula terdetik bahawa seseorang yang dilihat bukanlah manusia.

“Sebelum ini, pengguna jalan raya pernah mengalami situasi sama apabila terserempak lembaga menyerupai manusia merayau-rayau di sekitar kawasan berkenaan terutamanya sebelum jambatan Santubong dari arah Kuching,” katanya.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Tragediloriaiskrim//Article?HarianMetro



Staf klinik kesihatan maut langgar lari



Inalillahi wainailaihi rojiun

26 November 2013
KUALA KURAU - Hajat seorang kakitangan Klinik Kesihatan Kuala Kurau untuk memakan mi segera bagi mengisi perutnya yang lapar tidak kesampaian selepas dia terbabit dalam kemalangan ngeri di Batu 7, Jalan Kuala Kurau, di sini, semalam.

Mangsa, Khairul Nizam Wahi Nordin, 34, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran maut di tempat kejadian setelah motosikal Honda Wave ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira yang datang dari arah Simpang Lima menghala ke Kuala Kurau.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, ketika kejadian pada jam 1.25 pagi itu, mangsa yang tinggal di Taman Mutiara Pelangi, Parit Buntar difahamkan dalam perjalanan ke Batu 7 di sini untuk membeli mi segera di sebuah kedai serbaneka 24 jam.

“Mangsa sedang menunggang motosikal dari arah Kuala Kurau ke Batu Lima sebelum dilanggar oleh sebuah kereta yang masuk ke laluan bertentangan.

“Pertembungan itu menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan digilis sebuah kenderaan lain, menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

“Manakala motosikal mangsa diseret sejauh lebih 60 meter oleh kereta yang melanggarnya sebelum terbabas dan jatuh ke dalam parit berhampiran,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mat Fauzi berkata, pemandu kereta Proton Wira terbabit sehingga kini tidak dapat dikesan dan dipercayai melarikan diri sebaik sahaja kenderaan itu terjunam ke dalam parit.

“Polis masih berusaha mengesan pemilik kenderaan itu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, sahabat karib mangsa, Mohd Radzi Said, 43, berkata, sebelum kejadian, mangsa singgah di kedai runcitnya untuk membeli sebungkus mi segera, namun kehabisan stok.

Menurutnya, mangsa sempat berbual-bual dengannya dan empat rakan lain, malah turut berpesan kepada mereka supaya sentiasa menjaga hati kawan-kawan sebelum beredar.

“Saya tidak menyangka pesanan ‘Jangan lupa kawan-kawan’ yang disampaikan arwah kepada saya merupakan pesanan terakhir sebelum arwah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.

“Sepanjang hidupnya, arwah seorang yang baik dan sentiasa membantu rakan-rakan memerlukan,” katanya.

Mangsa meninggalkan seorang isteri, Nani Hasnor, 34, dan dua anak.

Sinar Harian difahamkan, mangsa sempat menikmati makan malam bersama keluarga sebelum keluar menemui rakan-rakan pada malam kejadian.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/staf-klinik-kesihatan-maut-1.224460
http://www.peraknews.com/berita-negeri/11637-hasrat-nikmati-mee-segera-tidak-kesampaian



Digilis pacuan empat roda



25 November 2013
BAGAN SERAI - Hajat seorang warga emas menemui rakannya tak kesampaian apabila dia maut digilis kenderaan pacuan empat roda setelah motosikal ditunggangi dirempuh kenderaan berkenaan di Kilometer 116 Jalan Ipoh-Butterworth, berhampiran Sungai Rawa, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian jam 2.30 petang, mangsa, S Manikam, 62, yang berasal dari Taman Kerian, Parit Buntar maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami di bahagian kepala dan badan.

Menurutnya, mangsa difahamkan dalam perjalanan bertemu dengan seorang kawan di Bagan Serai sebelum dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang cuba mengelak kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

“Tindakan pemandu kenderaan pacuan empat roda cuba mengelak kenderaan lain yang memasuki laluannya mengundang padah apabila dia terlanggar sebuah motosikal yang dipandu mangsa yang secara kebetulan turut melalui laluan itu.

“Akibat rempuhan itu, mangsa difahamkan terpelanting sejauh hampir 10 meter dan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya sewaktu dihubungi media, semalam.

Mat Fauzi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga untuk dijalankan upacara pengebumian.

Saksi kejadian, Irwan Zainal 34, berkata, dia terkejut mendapati pemandu pacuan empat roda tersebut tergesa-gesa melarikan diri meninggalkan kenderaannya dengan menaiki sebuah kenderaan lain yang ditahan.

“Saya terkejut dengan tindakan pemandu itu dan menjangkakan dia cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan lain yang ditahannya.

“Namun sangkaan saya meleset apabila lebih kurang setengah jam kemudian pemandu tersebut muncul bersama beberapa anggota polis bagi menunjukkan lokasi kejadian kemalangan berlaku.

“Berdasarkan maklumat polis, pemandu itu bertindak melarikan diri pada mulanya gara-gara panik kerana bimbang diapa-apakan orang ramai dan membuat berhenti di balai polis kemudian untuk membuat laporan,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/maut-digilis-pacuan-empat-roda-1.224088



Penunggang Maut Motosikal Terbakar


25 November 2013
BENTONG – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan di Kilometer 49 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur kira-kira jam 10.55 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa dikenali sebagai Alif Lee Soon Han, 38, beralamat di Kuantan maut selepas motosikal ditungganginya itu terbabas.

Katanya, mangsa menunggang motosikal jenis BMW seorang diri dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur.

“Setibanya di tempat kejadian iaitu satu selekoh tajam, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan.

“Kemudian motosikal ditunggang terbabas dan terbakar manakala mangsa kemudiannya tercampak ke tepi lebuh raya,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, berdasarkan siasatan ketika kejadian berlaku cuaca baik dan jalan kering.

“Kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.







Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/penunggang-maut-motosikal-terbabas-1.224203
http://www.tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Penunggang_Maut_Motosikal_Terbakar.html




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my