loading...

Friday, October 28, 2011

Kanak 3Tahun Maut Tercampak Dari Raga Motosikal



Inalillahi wainailaihi rojiun

KEPALA BATAS: Hati seorang bapa hancur apabila melihat anak kesayangannya maut di depan mata selepas tercampak dirempuh sebuah kereta di Pasir Gebu, Penaga, dekat sini, semalam.

Mangsa, Nor Afina Khalida Mohd Zamri, 3, maut akibat parah di kepala selepas tercampak daripada raga motosikal bapanya ketika menunggu dua kakaknya keluar dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu kira-kira jam 12.10 tengah hari.

Bapa mangsa, Mohd Zamri Hashim, 37, seorang nelayan berkata, dia duduk atas motosikal di kiri jalan, manakala anak bongsunya itu duduk di dalam raga motosikal itu sambil menunggu dua lagi anaknya, Nor Alia Farhana, 7, dan Nor Ellys Najwa, 9.

Menurutnya, sebaik sesi persekolahan tamat, anaknya Nor Alia muncul dan duduk di belakangnya diikuti Nor Ellys.

“Sebaik Nor Alia duduk, sebuah kereta muncul dari arah belakang lalu merempuh bahagian kanan pemegang motosikal.


Sumber: myMetro

Yang Merempuh adalah Seorang Guru.

 KEPALA BATAS - Seorang kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila kepalanya dikatakan pecah selepas dirempuh dan digilis sebuah kereta dalam kejadian di luar Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu di sini semalam.

Kejadian pukul 12.10 tengah hari itu menimpa Nor Afina Khalida Zamri, 3, ketika dia sedang duduk di atas motosikal bersama bapanya, Mohd. Zamri Hashim, 36. Ketika itu, dua kakaknya, Nor Ellys Najwa, 9, dan Nor Alia Farhana, 7, baru hendak menaiki motosikal tersebut.

Tanpa diduga, motosikal itu terus dirempuh sebuah kereta dipandu seorang guru sebuah sekolah di Kuala Muda yang terbabas menyebabkan Nor Afina tercampak sebelum digilis kenderaan terbabit.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Supritendan Suhaimi Mohd. Noor berkata, kereta itu hanya berhenti selepas bergesel dengan sebuah lagi kenderaan yang diletakkan di luar sekolah.

Katanya, sebaik diperiksa, mangsa yang tinggal di Kampung Permatang Rawa di sini didapati tidak lagi bernyawa akibat cedera parah di kepala.

"Dua kakak mangsa mengalami luka di beberapa bahagian badan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kepala Batas manakala Mohd Zamri tidak cedera.

"Pemandu kereta itu yang cedera turut dirawat di hospital itu sebelum dia ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai dan membahayakan," katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakau Tua di sini semalam.


Sumber: Kosmo

Nor Afina Khalida Diseret Nissan Sunny

KEPALA BATAS: Hancur hati seorang bapa melihat anak kesayangan maut depan mata selepas diseret sebuah kereta yang sebelum itu merempuh motosikal mereka dalam kejadian di Pasir Gebu, Penaga, dekat sini jam 12.10 tengah hari semalam.

Sebelum kejadian, Mohd Zamri Hashim dan anaknya, Nor Afina Khalida, 3, sedang duduk di atas motosikal di sebelah kiri jalan sementara menunggu dua lagi anaknya, Nor Alia Farhana, 7, dan Nor Ellys Najwa, 9, keluar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gebu.
Mohd Zamri berkata, sebaik sesi persekolahan tamat, Nor Alia Farhana muncul dan duduk di belakangnya diikuti Nor Ellys Najwa, tetapi kemudian sebuah kereta tiba-tiba muncul dari belakang lalu merempuh bahagian kanan pemegang motosikal menyebabkan mangsa duduk di depan tercampak, diikuti kedua-dua kakaknya.

Sebaik terjatuh, Nor Afina Khalida dikatakan diseret kereta Nissan Sunny dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an itu menyebabkannya cedera teruk di kepala dan maut di tempat kejadian, manakala dua kakaknya cedera di muka.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Seberang Prai Utara, Asisten Superintendan Suhaimi Md Noor, berkata pemandu kereta itu ditahan untuk soal siasat mengikut Seksyen 41 1(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan cuai hingga menyebabkan kematian.

Nor Afina Khalida sering ikut saya ambil mereka di sekolah. Sebelum kejadian ini, selalunya arwah tidak minta nasi, tapi pagi tadi (semalam) dia beria-ia hendak makan nasi, kata nelayan itu yang hanya cedera ringan.

Sumber: Berita Harian

Al-Fatihah

Perjalanan Maut ke Pusara Ibu


Inalillahi wainailaihi rojiun

PRAI: Ketika kubur isterinya masih merah, seorang lelaki terpaksa menanggung kesedihan berganda apabila anak keduanya pula maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok berhampiran Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang (JPP) di sini, semalam.



Kejadian berlaku jam 8 pagi ketika mangsa, Batrisyia, 7, bersama tiga adik-beradiknya menaiki Toyota Avanza dipandu bapa mereka, Osman Kerya, 42, dalam perjalanan dari Batu Uban, di sini, ke Grik, Perak, untuk menziarahi kubur isterinya, Norzita Mustafa, 37, yang meninggal dunia 12 hari lalu akibat kanser tulang.

Ketika tiba di tempat kejadian, kereta Osman dipercayai bergesel lori sebaik melepasi Plaza Tol JPP sebelum terbabas dan merempuh pokok di kiri jalan. Berikutan itu, mangsa tercampak keluar sebelum meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala dan anggota badan.

Selain Osman yang cedera di kedua-dua tangan, tiga lagi anaknya, Balqis, 10, Baizatul Akmah, 6, dan Baizatul Husnah, 4, cedera dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini. Nenek mangsa, Fatimah Wan Chik, 70, yang juga ibu Osman berkata, pada awalnya anaknya merancang ke Grik hari ini, tetapi mengubah rancangan dengan bertolak pagi semalam.




“Dia (Osman) mahu bawa anak-anak menziarahi kubur isteri yang meninggal dunia 12 hari lalu akibat kanser tulang.

Al-Fatihah...

Sumber: myMetro
             nst

Mangsa Ragut Cedera



BANDARAYA MELAKA -Seorang gadis berusia 24 tahun cedera terjatuh daripada motosikalnya apabila beg sandangnya direntap seorang penunggang motosikal dalam satu kejadian ragut, kelmarin.

Siti Rohani Md Lelah, 24, cedera di tapak tangan kiri dan bahagian tangan lain dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam, di persimpangan lampu isyarat Lebuh AMJ berhampiran Kandang.

Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Balik Bukit, Bukit Lintang.

Menurutnya, dia sendiri tidak menyedari motosikal suspek mengekorinya, walaupun pada awalnya terlihat sebuah motosikal berhenti di tepi jalan.

“Sebaik melepasi jambatan Sungai Duyong, secara tiba-tiba tali beg direntap.

“Saya terus melepaskan pegangan pada motosikal kerana takut jika saya tak lepaskan, saya mungkin akan dihempap motosikal,” katanya.

Siti Rohani berkata, dia terjatuh di atas jalan tetapi bernasib baik kerana tiada kenderaan lalu ketika itu.

“Walaupun sakit dan ketakutan, saya gagahkan diri bangun ambil beg yang diragut apabila ternampak ia terjatuh 20 meter dari lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, peragut terbabit berpatah balik dan mengambil beg berkenaan yang hanya mengandungi sedikit wang tunai, selain kad pengenalan, lesen memandu, pelbagai kad mesin wang automatik (ATM) dan telefon bimbit,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Motosikal Terperosok di Bawah Bas


Inalillahi wainailaihi rojiun  

BANDA HILIR – Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggang bersama rakannya melanggar sebuah bas yang berhenti di bahu jalan di Jalan Syed Abdul Aziz, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang, mangsa, Muhammad Shafie Hakim Roslan, 18, maut di tempat kejadian, sementara rakannya Azizan Alias, 19, yang membonceng parah selepas motosikal dinaiki melanggar :bahagian belakang bas tersebut.

Kedua-dua rakan sekampung itu dalam perjalanan dari tempat kerja di Kampung Gelam dekat Tangga Batu ke rumah mereka di Kampung Padang Temu sebelum terbabit kemalangan di kawasan belakang Mahkota Parade, di sini.

Menurut seorang saksi, Mohd Faiz Abdul Kadir, 23, mangsa bagaimanapun sempat mengucap kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir ketika hujan mulai lebat.

“Selepas memakir kereta, saya terdengar bunyi :dentuman kuat dan terkejut melihat sebuah motosikal terperosok di bawah bas dengan keadaan roda masih berpusing di hadapan saya.

“Kedua-dua mangsa terbaring dan saya serta beberapa orang awam termasuk pemandu bas cuba membantu, bagaimanapun gagal kerana mangsa cedera parah malah saya sempat mengajar salah seorang daripada mereka mengucap dua kali syahadah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman yang mengesahkan kejadian itu berkata, kemalangan berlaku selepas jambatan di Jalan Syed Abdul Aziz menghala bandar.

“Kedua-kedua kenderaan datang dari persimpangan lampu isyarat Kota Laksamana sebelum motosikal yang berada di belakang melanggar bas yang berhenti di lokasi terbabit.

“Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk dibedah siasat sementara seorang lagi mangsa kritikal kerana parah dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU),” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Sementara itu, bapa Muhammad Syafie Hakim, Roslan Jabal, 52 berkata, anaknya yang baru mula bekerja sejak hampir empat bulan lalu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum ini.

“Arwah anak kesembilan daripada 14 beradik, baru bekerja sebagai buruh am membuat tar selepas Aidilfitri lalu dan seperti biasa setiap pagi keluar bekerja dan balik selepas jam 5 petang.

“Arwah periang dan sebelum ini tidak menunjukkan sebarang perubahan walaupun pada saat kali terakhir saya melihat wajahnya iaitu pagi tadi (semalam) sebelum saya menghantar aadiknya ke sekolah dan dia keluar bekerja,” katanya.

Menurut Roslan, dia dan keluarga kesal dengan sikap pemandu bas yang mengabaikan undang-undang jalan raya dengan memberhentikan kenderaan di tempat yang dilarang namun reda dengan pemergian anaknya itu.

Al-Fatihah...


Sumber: Sinar Harian

Tak Sempat Bercuti di Cameron Highlands


 FELDA SUNGAI KOYAN - Hasrat sebuah keluarga India untuk bercuti ke Cameron Highlands sempena cuti sambutan perayaan Deepavali berakhir tragedi apabila dua daripada 28 ahli keluarga itu maut dalam satu kemalangan jalan raya, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian yang meragut nyawa M Sivagnanam, 29, dan SV Genesin, 51, itu berlaku di Kilometer 55 Jalan Sungai Koyan-Raub, kira-kira jam 9.20 malam kelmarin.

Menurutnya, kedua-dua mangsa bersama tujuh anggota keluarga yang lain menaiki sebuah kereta jenis Toyota Alphard dipandu anak Genesin, SV Murugan.

“Kereta berkenaan bersama dua kereta lain dalam perjalanan dari Kota Tinggi, Johor menuju ke Cameron Highlands untuk bercuti sempena perayaan Deepavali.

“Sampai di tempat kejadian, kereta dipandu Murugan hilang kawalan sebelum terhumban ke kawasan ladang tanaman semula kelapa sawit lalu terbalik,” katanya, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Koyan akibat kecederaan parah di kepala dan luka dalaman.

“Empat mangsa yang menaiki kereta itu turut mengalami kecederaan parah, manakala tiga lagi hanya cedera ringan. Semua mangsa menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis.:

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi Inspektor Johnny James Bujang di talian 09-3122222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, anak saudara Genesin, M Letchumi, 34, berkata, sebelum kejadian, mereka sempat berkunjung ke rumah saudara di Raub.

“Setelah selesai makan malam di rumah saudara kami itu, bapa saudara meminta anaknya (Murugan) memandu kenderaan kerana dia penat dan mengantuk.

“Kereta saya naiki bersama sebuah lagi kereta berada di hadapan, manakala kereta dinaiki mendiang berada paling belakang,” katanya.

Letchumi berkata, ketika dalam perjalanan menuju ke Sungai Koyan, mereka mendapati kereta Alphard yang dinaiki sembilan ahli keluarganya itu tidak kelihatan.

“Saya cuba mendail nombor telefon seorang daripada ahli keluarga dalam kereta itu dan terkejut apabila dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut” katanya.

“Kami kemudian berpatah semula ke tempat kejadian dan cuba menyelamatkan mangsa yang parah dengan menghantar mereka ke Klinik Kesihatan Sungai Koyan. Namun, bapa saudara dan seorang lagi saudara kami disahkan meninggal dunia,” katanya.

Sumber: Sinar Harian
              myMetro

Tak Sempat Ke Jinjang Pelamin

Inalillahi wainailaihi rojiun

KEMAMAN – Rancangan seorang juruteknik untuk melangsungkan perkahwinan dengan tunang tercinta beberapa bulan lagi tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal yang ditunggangi hilang kawalan sebelum merempuh pengadang jalan dalam kejadian di Jalan Mak Lagam – Pengkalan Binjai, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Abdul Alim Muda @ Abu Bakar, 23, yang merancang untuk berkahwin pada Mac tahun depan dengan gadis pilihan hatinya, Nur Hafizah Hamid, 20, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan selepas dikejarkan ke Hospital Kemaman.

Lebih menyentuh hati, mangsa yang terbabas seorang diri dan terbaring di atas jalan dalam keadaan cedera pada badan, ditemui sendiri oleh bakal bapa mentuanya yang kebetulan melalui jalan itu, sebelum dia dibawa ke hospital.

Bapa mangsa, Muda @ Abu Bakar Salleh, 63, berkata, musibah yang menimpa anaknya itu yang merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik, diketahuinya selepas mendapat panggilan telefon daripada abang Abdul Alim yang berada di hospital petang kelmarin.

Katanya, kehilangan anaknya itu tidak disangka apatah lagi anaknya yang bekerja Pelabuhan Kuantan, Gebeng, Pahang dalam keadaan sihat sebelum itu, dan hanya menunggu waktu untuk melangsungkan perkahwinan selepas mengikat tali pertunangan pada Ogos lalu.

“Namun, sejak belakangan ini anak saya (Abdul Alim) menjadi sedikit pendiam, malah beberapa hari sebelum ini saya ada berpesan kepadanya agar jangan keluar malam dan dia hanya mengangguk.

“Arwah seorang anak yang baik, kami sekeluarga sayangkannya namun kami reda kerana ALLAH lebih sayangkannya,” katanya yang juga seorang nelayan ketika ditemui di rumahnya di Jalan Kurau, Kampung Geliga, dekat sini, petang kelmarin sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Turut menziarahi keluarga mangsa, Yang Dipertua Pas Bahagian Kemaman, Ismail Harun dan Pengarah Pas Majlis Tindakan Dun Chukai, Hanafiah Mat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kejadian itu berkata, motosikal Yahama 125Z yang ditunggangi Abdul Alim dipercayai hilang kawalan sewaktu melalui selekoh sebelum terlanggar pengadang jalan dan seterusnya mangsa dijumpai oleh bakal bapa mentua dan orang awam yang melalui laluan itu.

“Mangsa dalam perjalanan dari Mak Lagam sebelum terbabas di selekoh untuk naik ke jalan jambatan kereta api berdekatan jambatan baru Pengkalan Binjai,” katanya.

Jenazah dituntut keluarga mangsa kira-kira jam 11.30 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Geliga.

Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian

Maut Selepas Membeli Nasi

Inalillahi wainailaihi rojiun

KOTA BHARU- Seorang ibu tidak menyangka perubahan sikap ketara anaknya yang begitu berselera makan berbanding hari-hari biasa adalah petunjuk dia akan kehilangan anak lelakinya itu buat selama-lamanya.

Mangsa, Mohd Zaidi Zulkilfi, 20, yang juga penjual pakaian di Pasar Malam Wakaf Che Yeh disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II pada jam 9 malam semalam selepas dia terbabit dalam kemalangan jam 5.30 pagi kelmarin di Jalan Tunjong, dekat sini.

Ibu mangsa, Surianun Che Mat, 52, berkata, dua hari sebelum kejadian anak lelakinya itu sangat berselera makan dan mampu menghabiskan nasi bersama dua mangkuk mi sup yang dibelinya.

“Sebelum ini saya tidak pernah melihat gelagat yang agak berlainan daripada kebiasaannya ini, tetapi tidak terdetik di hati saya untuk bertanyakannya.

“Saya melihat tingkah lakunya agak pelik tetapi tidak pernah menjangkakan sesuatu yang buruk akan menimpanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Wakaf Che Yeh, semalam.

Surianun berkata, dia mengetahui kemalangan yang melibatkan anak kelima daripada enam beradik itu selepas rakan anaknya datang memberitahunya di rumah ketika dia tidur.

“Kami bergegas ke hospital dan mendapati ketika itu dia sudah tidak sedarkan diri yang kemudiannya beberapa jam kemudian dia menghembuskan nafas terakhirnya di sisi saya,” katanya.

Surianun berkata, sebelum kejadian Mohd Zaidi ke HRPZ II untuk menemani kawannya yang kemalangan jalan raya dan pulang ke rumah semula pada jam 2 pagi untuk menukar pakaian kerana hujan.

“Selepas itu, dia keluar semula untuk ke hospital dan saya dimaklumkan oleh rakan-rakannya dia kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli nasi yang tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya.

Katanya, dia reda dengan pemergian anaknya itu dan jenazah Mohd Zaidi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pendek, pada jam 11.30 pagi semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Abd Rafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan terbabit.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari Jalan Wakaf Che Yeh ke Mulong bersendirian dikatakan gagal mengawalnya sebelum merempuh kereta yang berada di tepi jalan berkenaan.

Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian

Ambulans Dirempuh Kereta

GEORGETOWN: Seorang pesakit nyaris maut apabila ambulans yang membawanya ke hospital terbalik selepas terbabit dalam kemalangan dipercayai akibat dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Pinang, Jelutong di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 5.25 pagi itu membabitkan sebuah ambulans milik Hospital Pulau Pinang (HPP) yang membawa pesakit bersama dua waris dan dua pembantu perubatan berusia antara 20 hingga 47 tahun dengan sebuah Proton Satria dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, berdasarkan siasatan ambulans berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun dari arah Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Jalan Sungai Pinang manakala kereta berkenaan dari arah Jalan Gudwara ke Jalan Jelutong.

Beliau berkata, ketika melalui persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Pinang itu berlaku pertembungan antara satu sama lain menyebabkan beberapa penumpang serta pesakit yang berada dalam ambulans mengalami kecederaan.


Katanya, pemandu ambulans dan kereta bagaimanapun tidak cedera dan polis sudah mendapatkan keterangan daripada kedua-dua pemandu. itu untuk mengetahui punca kejadian.


“Polis juga mengambil sampel darah dan air kencing kedua-dua pemandu terbabit dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. “Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu tidak cermat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM4,000 atau tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Gan berkata, polis turut meminta kerjasama orang ramai mempunyai sebarang maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Zhafran Mohd Kashim dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181822.

Sumber: myMetro

Tiga Wanita Nepal Maut



SHAH ALAM 27 Okt. - Hasrat tiga wanita warga Nepal untuk mencari rezeki di negara ini tidak kesampaian apabila mereka maut dalam satu kemalangan jalan raya, tidak sampai dua jam selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang hari ini.

Kejadian di Kilometer 4.4 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Klang itu berlaku pukul 3 petang ketika mereka bersama 16 pekerja warga Nepal dalam perjalanan ke sebuah kilang di Meru, Klang untuk melapor diri dengan menaiki dua buah van.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Supritendan Ruslan Abdullah berkata, selain dua buah van tersebut, kemalangan itu turut melibatkan sebuah kereta Perodua MyVi dan lori treler.

Nahas itu mengakibatkan lima yang lain termasuk seorang pemandu warga tempatan cedera parah.

"Ketiga-tiga wanita yang mati di tempat kejadian ialah Dil Kumari Shrestha, Kamaladevi Gurigai dan Dil Maya Gurung berusia antara 25 hingga 30 tahun.

"Kesemua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Lima mangsa yang parah turut dibawa ke hospital yang sama untuk menerima rawatan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Ruslan berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 3.10 petang dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

"Punca kemalangan masih disiasat dan pihak polis perlu mengambil masa menyiasat kemalangan tersebut dengan lebih terperinci," jelasnya.







Sumber: Utusan Malaysia
              myMetro

Sambutan Perayaan Deepavali Yang Terakhir



KUANTAN - Sambutan Perayaan Deepavali tahun ini menjadi yang terakhir buat seorang lelaki selepas dia terbunuh dalam nahas jalan raya di Kilometer 12, Jalan Pintasan Kuantan di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.05 malam itu, mangsa, W Surendran, 21 dari Taman Bintang, Cheroh, Raub maut di tempat kejadian selepas kereta yang dipandu rakannya, Ramachandran, 21 terbabas sebelum melanggar tebing dan tiang lampu.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohd Rizal Abdullah berkata, dua sahabat itu menaiki sebuah kereta jenis Hyundai Sonata dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kemaman.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi nahas, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tebing dan tiang lampu.

“Akibat kejadian, kereta yang dinaiki mereka remuk manakala mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Mohd Rizal berkata, ketika kejadian keadaan cuaca hujan lebat dan permukaan jalan basah serta licin.

Sementara itu dalam nahas berasingan, seorang peniaga warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan sebelum merempuh tembok jambatan di Kilometer 3, Jalan Pekan- Kuantan, atas Jambatan Sultan Abu Bakar, Pekan, awal pagi kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa Mohd Fauzi Abdul Rahman, 65 dari Taman Sepekan Jaya, Pekan mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Rizal berkata, mangsa dipercayai menunggang bersendirian dalam perjalanan dari rumahnya untuk memulakan perniagaannya di Pasar Besar Pekan.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, motosikalnya hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua nahas yang meragut nyawa penumpang kereta dan penunggang itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Sinar Harian

Thursday, October 27, 2011

Kemalangan Rentung Tragedi Deepavali

 ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat salah seorang mangsa yang rentung dalam kemalangan di Rembau, Negeri Sembilan semalam. -KOSMO:SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI

REMBAU – Sebuah keluarga yang sedang berkabung atas kematian dua ahlinya tidak menyangka akan kehilangan dua lagi ahli keluarga mereka secara serentak selepas terlibat dalam kemalangan ngeri semalam.

Kejadian pukul 8.50 pagi di Kilometer 16, Jalan Seremban-Tampin di sini itu mengakibatkan P. Mugunthan, 42, dan isterinya, K. Jothi, 36, rentung manakala dua anak lelaki mereka, M. Visagaran, 14, dan M. Sreekhantuun, 10, cedera parah.

Difahamkan, keluarga Jothi tidak membuat sebarang persiapan menyambut Deepavali kerana masih berkabung atas kematian bapa saudara dan sepupu mereka akibat sakit beberapa bulan lalu.

Sebelum kejadian, empat beranak itu dalam perjalanan ke Palong, Jempol dari Taman Seremban Jaya, Seremban bagi melawat saudara-mara Mugunthan.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Honda City yang dinaiki empat beranak itu bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan sebelum kereta mangsa terbakar.

Katanya, sebuah kereta jenis Toyota Camry yang berada di belakang kereta mangsa turut melanggar kenderaan empat beranak tersebut selepas gagal menekan brek. Pemandu kereta itu tidak cedera manakala pemandu Proton dikejarkan ke hospital.

“Polis masih menyiasat bagaimana kereta tersebut boleh bertembung hingga mengakibatkan kemalangan ngeri,” kata jurucakap itu lagi.

Tambahnya, dua anak mangsa sempat dibawa keluar oleh orang ramai yang melalui jalan tersebut tetapi pasangan suami isteri itu tersepit dan gagal ditarik.

Menurut jurucakap itu, dua beranak yang diselamatkan sempat melihat ibu bapa mereka terbakar sebelum kedua-duanya pengsan lalu dibawa ke hospital.

Seramai 14 anggota dan tiga buah jentera bomba dari Senawang, Seremban 2 dan Rembau dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran serta mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah memberitahu pihaknya masih menyiasat punca sebenar kemalangan itu.

Dalam pada itu, adik Jothi, K. Vishnu, 28, memberitahu, keluarga kakaknya tiba di rumah ibunya di Seremban dari Skudai, Johor sejak Sabtu lalu sempena cuti Deepavali.

Katanya, sepanjang berada di Seremban, empat beranak itu tidak menunjukkan perangai pelik tetapi gembira kerana dapat berjumpa dengan adik-beradik yang lain walaupun masih berkabung.

“Kami jarang berjumpa kerana kakak menetap bersama suaminya di Skudai dan hanya pulang ke Seremban apabila cuti.

“Mereka sekeluarga sebenarnya mahu melawat abang Mugunthan yang tinggal di Palong tetapi hajat mereka tidak kesampaian,” ceritanya sedih.

 Kedua-dua kereta rentung

Pasukan bomba dan penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa.

Salam takziah...


Sumber: Kosmo
              tv3

Wednesday, October 26, 2011

Dua Beranak Maut Dirempuh Bas Ekspres

Inalillahi wainailaihi rojiun  

KUANTAN: Dua beranak maut selepas kereta Proton Iswara dinaiki dirempuh bas ekspres di Kilometer 145, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, di Batu 5, dekat Temerloh, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.40 petang, mangsa yang juga pemandu kenderaan, Mohd Khairi Abdullah Jis, 31, dari bandar ini bersama anak perempuannya, Nurul Najwa Hannani, 6, disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Isteri Mohd Khairi, Suryati Sudin, 31, dan seorang lagi anak lelaki mereka, Muhammad Airel Zikry, 4, cedera dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Md Nor Mansor, berkata keluarga terbabit dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kuantan sempena cuti umum Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bas ekspres terbabit yang membawa 15 penumpang dalam perjalanan dari Mentakab menghala ke Kuala Lumpur hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan di lokasi itu.

“Bas ekspres terbabit kemudian bertembung dengan kereta itu menyebabkan Mohd Khairi yang juga pekerja sebuah kilang di Bentong dan anak perempuannya yang duduk di belakang tersepit di tempat duduk mereka,” katanya, semalam.

Md Nor berkata, sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Temerloh kemudian ke lokasi kejadian sebelum mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa.

Beliau berkata, pemandu bas terbabit berusia 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penumpang dipindahkan ke bas lain sebelum meneruskan perjalanan.

“Kita sudah mengambil keterangan pemandu bas terbabit selain turut melakukan ujian air kencing terhadapnya.

“Bas ekspres terbabit juga sudah dihantar ke Pusat Servis Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah..

Sumber: Berita Harian

Empat pelumba basikal remaja Melaka rempuh pokok kelapa


 MELAKA 26 Okt. - Hasrat empat pelumba basikal remaja Melaka dan ketua jurulatih untuk menyertai perlumbaan Terbuka Perlis bermula hari ini tidak kesampaian apabila mereka terlibat dalam kemalangan sesama sendiri, gara-gara sebatang pokok kelapa yang tumbang secara tiba-tiba.

Kejadian pukul 9.45 pagi di Kilometer 27.5 Ayer Tawar, Sungai Rambai di sini semalam itu, turut mencemaskan mereka apabila diserang sekumpulan tebuan yang bersarang di pokok kelapa itu.

Orang ramai yang menyaksikan insiden itu dan berhasrat menolong mereka terpaksa menunggu lima minit untuk menghalau serangga berkenaan sebelum dapat menyelamatkan kesemua mangsa.

Berikutan kemalangan itu, seorang pelatih, Muhammad Shaiful Adlan Mohd. Shukri, 13, cedera parah dengan koyak di kening mata kiri dan retak tempurung kepala manakala yang lain hanya cedera ringan.

Mereka terdiri daripada ketua jurulatih, Fairoz Izni Abd. Ghani manakala tiga lagi ialah Muhammad Naim Suardi, 13, dan Aziz Loqman Hakim Jenal, 15, dan Muhammad Syafiq Syahrill Izwan, 20.

Muhammad Shaiful Adlan dikejarkan ke Hospital Melaka dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan malam tadi.

Empat yang lain pula turut mendapat rawatan di hospital yang sama.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Fairoz Izni berkata, dia bersama empat anak didiknya menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Terbuka Perlis bermula hari ini hingga Sabtu ini.

"Saya menunggang motosikal sambil diekori oleh mereka dari belakang. Kami menjalani latihan bermula dari Semabok menuju ke Parit Bunga di Muar melalui jalan lama kira-kira pukul 7.30 pagi," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sewaktu tiba di tempat kejadian, katanya, tiba-tiba sebatang pokok kelapa tumbang di hadapannya lalu motosikal yang ditungganginya tidak sempat mengelak dan terus melanggar pokok tersebut.

Katanya, empat pelumba yang mengayuh di belakangnya juga tidak sempat mengelak lalu berlanggar sesama sendiri.

"Muhammad Shaiful Adlan paling teruk apabila dia terperosok di bawah motosikal dan turut dilanggar oleh tiga rakannya yang berada di belakang.

"Ketika saya dan tiga yang lain cuba bangkit hendak menolong Muhammad Shaiful Adlan tiba-tiba kami diserang tebuan menyebabkan kami yang cedera bertempiaran menyelamatkan diri," ujarnya yang bengkak di muka dan lengan akibat disengat tebuan.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan mereka terpaksa membatalkan hasrat untuk menyertai pertandingan di Perlis sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang tahun depan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi hari ini mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia

Sunday, October 23, 2011

Mat despatch Digilis Lori

Inalillahi wainailaihi rojiun 

NILAI: Perjalanan seorang ‘mat despatch’ untuk menghantar barang bertukar tragedi memilukan apabila terkorban selepas motosikalnya hilang kawalan sebelum dilenyek kenderaan lain dalam satu kemalangan di Kilometer 284.1 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Mohamad Asmirul Farhan Ismail, 23, yang menunggang motosikal secara bersendirian sedang menuju ke daerah ini. Jurucakap polis berkata, hasil siasatan awal mendapati sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa yang berada di laluan paling kiri lebuh raya dipercayai cuba memotong sebuah lori di depannya.

“Ketika mahu memotong, motosikal mangsa yang berasal dari Semenyih, Selangor, itu tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bersebelahan,” katanya.

Al-Fatihah...

Sumber: myMetro

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my