loading...

Saturday, July 28, 2012

Terperosok belakang lori



PORT DICKSON - Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang sebuah lori yang diletakkan di tepi lebuh raya.

Sinar Harian difahamkan, kejadian berlaku di kilometer 14.1 Lebuhraya Seremban-Port Dickson kira-kira jam 3 petang, kelmarin.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa, S Ravi, 26, menunggang motosikal jenis Modenas GT100 seorang diri.

"Mangsa dipercayai gagal mengelak sebuah lori satu tan yang berhenti di tepi jalan sebelum melanggar belakang lori berkenaan.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala mati di tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, pemandu lori, Mohd Akmal Hijas Mokhtar, 26, berkata, dia bersama empat lagi rakan dari sebuah syarikat kontraktor membuat kerja penyelenggaraan paip Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains).

Menurutnya, ketika kejadian dia dan rakan-rakannya berada kira-kira 10 meter di bawah gaung di tepi lebuh raya untuk membaiki paip air Sains.

"Tiba-tiba kami terdengar dentuman kuat di atas lebuh raya sebelum bergegas naik dan melihat sebuah motosikal bersama penunggangnya terperosok di belakang lori," katanya.

Katanya, selepas itu, mereka segera menelefon pihak polis bagi meminta bantuan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarga, pagi semalam.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-terperosok-belakang-lori-1.70796

Friday, July 27, 2012

Viva Terbabas Ke Dalam Longkang



AYER MOLEK - Seorang wanita berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya terbabas ke dalam longkang di laluan pintas Tambak Paya - Paya Dalam, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu mengakibatkan kereta jenis Perodua Viva milik kakitangan awam itu remuk di bahagian depan.

Mangsa, Aisyah Siaman, 32, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan berjaya diselamatkan orang ramai.

Suami mangsa, Mohd Herman Mohd Ismail, 34, berkata, ketika kejadian, isterinya dalam perjalanan ke tempat kerja di Bukit Katil.

Menurutnya, isterinya yang bertugas sebagai pekerja am di Jabatan Kimia memandu dari rumah mereka di Taman Seri Telok Mas.

“Isteri saya hanya menjalani rawatan sebagai pesakit luar di wad kecemasan Hospital Melaka,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kereta-dipandu-wanita-masuk-longkang-1.70561

2 Sahabat Bertembung Sesama Sendiri



Inalillahi wainailaihi rojiun

KEMAMAN – “Beberapa hari lalu iaitu pada awal Ramadan, dia beritahu saya hari raya tahun ni dia mahu beli baju raya cepat,” kata seorang ibu, Zaidah Ali, 42, yang tidak menyangka hasrat yang diluahkan itu menjadi petanda akan kehilangan insan tersayang.

Ini kerana, anaknya bersama rakan baiknya maut dalam kemalangan di Jalan Pantai Teluk Kalong, Kijal, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.

Mohamad Qusyairi Mukhlis Mohamad Ghazali, 15, yang beralamat di Jalan Pupuk Semangat Teluk Kalong meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kemaman (HK) sementara rakan baiknya, Azmi Ikwan Alias, 17, mati di tempat kejadian sejurus motosikal ditunggangi mereka bertembung sesama sendiri.

Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, selain luka di lengan kanan serta patah kaki kanan.

Zaidah berkata, selain menyuarakan hasrat untuk membeli baju raya awal, anak kedua daripada tiga beradik, Mohamad Qusyairi turut meluahkan hajat untuk membeli pakaian raya berkenaan di Kuantan dan bukan di Kemaman.

“Arwah juga beritahu saya bahawa pada 29 Julai depan, dia akan duduki peperiksaan percubaan PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan apabila peperiksaan selesai, dia mahu berehat di rumah serta tidak mahu ke sekolah, selain hanya mahu ke sekolah bila habis bulan puasa.
“Namun, walaupun dia berkata begitu, tidak terlintas dalam hati saya dia akan ‘pergi’,” katanya yang terkejut apabila dihubungi kira-kira jam 8.45 malam dimaklumkan mengenai tragedi membabitkan anaknya itu.
Kira-kira setengah jam sebelum kejadian, Mohamad Qusyairi keluar dari rumah selepas berbuka puasa untuk menghantar abangnya ke tempat kerja di kafe Kolej Universiti TATI (TATiUC).
Ibu terkilan tak sempat beli motosikal

Sementara itu, ibu Azmi Ikwan, Juriah Mohamad, 50, melahirkan rasa terkilan kerana tidak sempat menempah baju Melayu untuk digayakan anaknya yang juga pelajar jurusan kimpalan di sebuah institut kemahiran pada Aidilfitri nanti.

“10 hari sebelum Ramadan, arwah ke Bandar Chukai bersama saya untuk membeli telefon bimbit dan alang-alang sudah ke bandar, saya cadangkan kami pergi ke kedai jahit untuk tempah baju Melayu serta ambil ukuran badan.

“Tapi kami tak sempat berbuat demikian kerana arwah terlalu asyik memilih telefon bimbit dan akhirnya membeli telefon model Sambung Galaxy dengan wang gajinya, kerana sepanjang cuti semester dia bekerja sambilan di Kompleks Bekalan Kemaman (KSB),” katanya menahan rasa sedih.

Azmi Ikwan yang juga anak kelapan daripada sembilan beradik sedang cuti semester dan akan memulakan pengajian semester kedua pada 29 Julai depan.

Juriah berkata, dia juga sayu kerana tidak sempat membelikan sebuah motosikal buat arwah kerana anaknya sebelum ini beria-ia memintanya membeli kenderaan itu untuk kemudahannya belajar.

“Pada Ahad lalu, saya janji akan belinya sebuah motosikal dan minta dia bersabar. Macam mana sekalipun, saya kata padanya dia akan dapat motosikal sebelum raya nanti. Arwah nampak sangat gembira bila saya cakap begitu dan sejak itu dia tidak tanya lagi perihal motosikal,” katanya ketika diziarahi.

Menurutnya, walaupun agak terkilan kerana tidak sempat menjahit baju Melayu dan menghadiahkan motosikal buat anaknya itu, namun sekurang-kurangnya dia dapat melihat keriangan di wajah anaknya itu apabila hasratnya untuk memiliki telefon bimbit baru menjadi kenyataan.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian itu berkata, mayat kedua-dua mangsa dituntut ahli keluarga masing-masing pada jam 1 pagi sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Teluk Kalong kira-kira jam 11 pagi semalam.

Katanya, dipercayai ketika kejadian, Mohamad Qusyairi yang menunggang motosikal bapanya dan Azmi Ikwan yang menunggang motosikal kawannya dalam perjalanan menghala laluan bertentangan serta menunggang laju sebelum bertembung sesama sendiri.

“Hasil pemeriksaan, punca kematian adalah disebabkan kecederaan parah di kepala,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tak-sempat-pakai-baju-raya-1.70245

Wednesday, July 25, 2012

Warga Emas Maut


  Inalillahi wainailaihi rojiun

 ARAU: Akibat terlajak selepas memotong barisan kereta yang berhenti di lintasan kereta api Kampung Ngulang di sini, seorang warga emas terbunuh apabila keretanya terkandas di tengah landasan dan diseret kereta api sejauh 10 meter, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Yahaya Kassim, 74, maut akibat cedera parah di kepala dan dada apabila Proton Wira dipandunya dirempuh kereta api barang dari arah Butterworth ke Padang Besar.


Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 1, Kampung Ngulang dan kereta dipandunya terlajak melepasi palang sebelum tersangkut di landasan.

Anak keduanya, Asri Yahaya, 50, yang tinggal di Kangar, dekat sini, berkata bapanya kerap menggunakan jalan berkenaan untuk membeli juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.


Dia yang ditemui di Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam, berkata kali terakhir dia bertemu bapanya pada minggu lalu.


“Ayah dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli 60 telur di kedai berhampiran. Dia sempat berpesan kepada anak lelaki saya supaya membelikan juadah untuk berbuka puasa bersama ibu saya (Rosnah Abdullah, 72),” katanya.

Pengawal pagar lintasan kereta api dikenali sebagai Khairul berkata, dia sudah memeriksa kawasan lintasan sebaik palang diturunkan dan kereta serta motosikal berbaris di belakang palang.


Menurutnya, sebaik kereta api melintasi pondoknya yang berada bersebelahan palang, dia terdengar bunyi hon daripada kereta api berkenaan diikuti dentuman kuat.

“Saya tidak sedar kenderaan mangsa melepasi landasan berkenaan kerana sedang memberi isyarat bendera hijau kepada pemandu kereta api yang melintasi sebelum terdengar bunyi hon dan dentuman kuat.


“Sebelum palang diturunkan, saya dapati semuanya berada dalam keadaan elok dengan kereta berbaris di belakang palang, tetapi tidak menyangka sebuah kereta sudah melepasi landasan dipercayai terlajak.


“Saya terkejut apabila mendengar dentuman itu dan nampak kereta mangsa berpusing beberapa kali sebelum tersadai kira-kira 10 meter dari tempat pelanggaran,” katanya.


Khairul dan orang ramai membantu mengeluarkan mangsa yang berlumuran darah dari dalam keretanya dan kereta api barang berkenaan berhenti kira-kira 100 meter dari lintasan itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, kereta mangsa dipercayai memotong kenderaan lain yang beratur sebelum terlajak memasuki landasan.


“Sebaik dirempuh, mangsa yang berada di dalam keretanya diseret kereta api berkenaan sejauh 10 meter sebelum tersadai di bahu landasan.


“Akibat rempuhan itu mangsa yang cedera parah di kepala dan dadanya, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.30 petang ketika menerima rawatan di HTF,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Dentumanmaut/Article/index_html

Wira bertembung lori kelapa sawait


TELUK INTAN - Seorang majikan dan pekerjanya di sebuah pusat membeli hasil kelapa sawit di Jalan Sitiawan maut apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan lori muatan sawit di KM 13, Jalan Teluk Intan - Hutan Melintang, dekat Batu 8, lewat petang semalam.

Kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah masing-masing dekat Hutan Melintang, menaiki kereta jenis Proton Wira berwarna putih bersama-sama dua lagi rakan mereka.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mangsa dikenali sebagai Chai Wei Tack, 20 dan pekerjanya, L. Nanthan Kumaran, 27, maut di tempat kejadian.

Kejadian berlaku apabila mangsa dan rakannya dalam perjalanan pulang dari arah Teluk Intan ke Hutan Melintang dari tempat kerja ke rumah, masing-masing cuba memotong kenderaan di hadapan.

“Kereta yang dipandu oleh Wei Tack itu gagal memotong lalu merempuh sebuah lori muatan sawit yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 41 tahun, dari arah bertentangan.

“Rempuhan itu mengakibatkan lori itu terbalik bersama-sama dengan muatannya di tengah-tengah jalan dan sebuah kereta jenis Volvo yang dipandu seorang pelajar bersama dua orang rakannya berusia di antara 17 hingga 22 tahun yang berada di belakang lori tersebut turut melanggar lori itu kerana jarak terlalu dekat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.


Kok Liang berkata, kesemua pemandu dan penumpang kereta jenis Volvo dan juga lori yang membawa muatan kelapa sawit tidak mengalami kecederaan.

Katanya, Wei Tack dan pekerjanya maut di tempat kejadian manakala dua orang rakannya dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Salah seorang daripadanya dimasukkan wad kerana mengalami kecederaan di kepala manakala seorang lagi dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang maut parah di bahagian kepala turut dihantar ke  Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh waris masing-masing kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

“Pihak kami  masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/kereta-dinaiki-bertembung-lori-kelapa-sawit-1.70212

Bayi maut tercampak dari kereta


 Inalillahi wainailaihi rojiun  

KUANTAN- Seorang  bayi berusia setahun  maut tercampak keluar dari kereta yang dipandu bapanya setelah kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 37, Jalan Temerloh- Mayam dekat Bera, petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 2.40 petang itu, mangsa Mohamad Aysisy Shfyi’ Mohd Rizail, 1, yang sebelum itu berada di pangkuan ibunya di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kemalangan itu, ibu mangsa, Salma Mohd Sadali, 21 cedera parah apabila patah bahu dan terkoyak kulit muka.

Menurutnya, pemandu kereta Mohd Rizail Abd Kadir, 32 yang bertugas sebagai anggota tentera di Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia, Kementah, Kuala Lumpur dan seorang lagi anaknya, Qaseh Nur Syifa’, 2, hanya mengalami kecederaan ringan.

“Pemandu lori, Mohamad Mazani Yusof, 27, dari Felda Bukit Goh dekat sini turut terselamat dan juga hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Beliau berkata, empat sekeluarga dari Felda Sebertak itu dipercayai dalam perjalanan ke Felda Kumai dari arah Temerloh.

“Ketika sampai di lokasi nahas, lori yang dipandu Mohamad Mazani dari arah bertentangan hilang kawalan dan nyaris terbalik ketika cuba mengelak sebuah lori balak yang memotongnya di sebelah kanan.

“Tindakan pemandu lori terbabit mengelak ke kiri menyebabkan kenderaan yang dipandu hilang imbangan memandangkan permukaan jalan di kawasan itu tidak rata,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, pemandu lori menekan minyak untuk masuk kembali ke laluan namun kenderaan tersebut tersasar ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta dinaiki empat beranak itu.

“Akibat pertembungan itu, kereta jenis Proton Persona itu terseret beberapa meter manakala mangsa yang berada di pangkuan ibunya tercampak keluar melalui bahagian pintu depan sebelah kiri yang tercabut.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk bedah siasat manakala kedua ibu-bapa dan kakak mangsa turut dihantar menerima rawatan di hospital sama.

“Pemandu lori yang mengalami cedera ringan hanya mendapat rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Bandar 32, Bera,” katanya.

Beliau berkata, punca sebenar kemalangan yang meragut nyawa bayi terbabit masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/bayi-maut-tercampak-1.69846

Monday, July 23, 2012

2 Pelajar SMK Matang Jaya Dirempuh MPV

KUCHING 21 Julai - Dua pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Jaya di sini cedera dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan sekolah mereka petang semalam.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang, mangsa Mohd. Shaufiq Abdullah, 17, patah kaki kanan dan cedera di telinga kanan selepas terperosok ke bawah kenderaan berkenaan.

Rakannya, Awang Mohd. Kamarul Awang Kamil, 17, pula cedera ringan dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, kenderaan jenis Toyota Unser tersebut dipandu seorang pemuda berusia 19 tahun yang datang ke sekolah untuk mengambil adiknya.

"Siasatan awal mendapati, ketika memasuki pekarangan sekolah, pemandu terbabit yang ingin berhenti tersalah menekan pedal minyak menyebabkan kenderaan dipandunya hilang kawalan.

"Kenderaan itu terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar kedua-dua pelajar itu yang sedang menunggu bas," katanya ketika ditemui di sini semalam.


Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_03.htm

Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Maut

Inalillahi wainailaihi rojiun  

KUANTAN 21 Julai - Seorang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) maut selepas motosikal ditungganginya melanggar sebuah lori yang sedang berhenti di bahu jalan untuk membuat pusingan U di Kilometer 13, Jalan Kuantan-Kemaman dekat Batu Hitam di sini kelmarin.

Dalam kejadian 11.45 malam, mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Mekanikal terbabit, Muhammad Faiz Nor Mohd. Fozi, 23, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kemaman menghala ke Kuantan.

"Dipercayai mangsa telah melanggar bahagian depan sebelah kanan lori tersebut yang hendak membuat pusingan U menghala ke Kemaman.

"Akibat itu, mangsa yang cedera teruk di kepala dan badan mati di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi.

Kata beliau, siasatan mendapati mangsa memakai topi keledar dan memiliki lesen memandu yang sah.

Mayat mahasiswa itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_04.htm

Pelajar SMK Sungai Baging Maut

Inalillahi wainailaihi rojiun  

KUANTAN 22 Julai - Seorang pelajar perempuan tingkatan dua maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Kilometer 33 Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Sungai Ular di sini semalam.

Dalam nahas pukul 1 petang itu, mangsa, Wan Nur Amanina Wan Ramzi, 14, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Baging meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di badan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal sendirian dan dalam perjalanan dari rumahnya di Kuarters Stesen Penyelidikan Mardi Sungai Baging di sini, ke sebuah kedai runcit berhampiran untuk fotostat kerja sekolahnya.

"Sampai di tempat kejadian, dipercayai 4WD jenis Kia Sorento yang datang dari arah Kuantan ke Cherating itu telah memasuki jalan bertentangan sebelum bertembung dengan mangsa.

"Akibatnya, mangsa tercampak daripada motosikalnya dan terjatuh atas jalan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya bagi urusan pengebumian petang semalam.

Tambahnya, polis juga sudah mengambil keterangan daripada pemandu 4WD tersebut, seorang lelaki berusia 24 tahun yang tinggal di Bukit Pelindung di sini, bagi membantu siasatan di bawah di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_03.htm

Tragedi Ramadan berulang


Inalillahi wainailaihi rojiun  

SEREMBAN – "Ini kali kedua kami kehilangan keluarga dalam bulan Ramadan," kata Muhamad Saifullah Zainal Abidin, 19, adik kepada mangsa kemalangan di Kilometer 261.7 Lebuh Raya Utara - Selatan, arah utara, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa, Muhamad Taufiq Zainal Abidin, 20, maut selepas motosikal jenis Yamaha RXZ ditungganginya terbabas dan merempuh pengadang besi.

“Beberapa tahun lalu saya kehilangan adik sehari sebelum Aidilfitri apabila dilanggar kereta. Kali ini, saya kehilangan abang pula ketika hari pertama Ramadan,” katanya yang merupakan anak kedua dari empat adik beradik.

Difahamkan, Muhamad Taufik merupakan adik beradik sulung.

Menurut Muhamad Saifullah, kali terakhir dia bertemu abangnya yang bekerja sebagai penghantar barang, Sabtu lalu kerana sejak beberapa hari lalu, dia bermalam di rumah rakannya di Senawang.

“Saya macam tidak percaya apabila terima panggilan telefon daripada ibu saya ketika waktu sahur pagi tadi (semalam) memberitahu arwah meninggal dunia kerana kemalangan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tuanku Ja'afar, di sini, semalam.

Sementara itu, rakan mangsa, Fadzhil Abdul Rahman, 23, berkata, dia sepatutnya bersahur bersama arwah dan rakan-rakan lain, namun terkejut sebaik sahaja diberitahu arwah telah meninggal dunia.

“Saya sepatutnya sahur bersama arwah pagi tadi (semalam). Kali terakhir saya bercakap denganya kira-kira 3.50 pagi.  Saya terkejut menerima panggilan telefon daripada seorang rakan beberapa minit kemudian memaklumkan arwah terlibat dalam kemala-ngan," katanya.

Menurutnya, sejak hari pertama Ramadan, arwah beria-ria mengajak dia dan rakan-rakan lain berkumpul untuk berbuka puasa bersama tetapi tidak kesampaian kerana masing-masing bercadang berbuka puasa dengan keluarga.

"Sebab itu kami merancang bersahur bersama,” katanya.

Katanya, sehari sebelum kejadian, arwah sempat menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepadanya memohon maaf sempena Ramadan.

Dalam pada itu, jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa bersama seorang lagi rakannya masing-masing menunggang motosikal dalam perjalanan menuju ke Nilai.

Ketika tiba di tempat kejadian, rakan mangsa yang berada di hadapan bergesel dengan sebuah van ketika cuba memotong kenderaan itu, sebelum terbabas.

“Mangsa yang berada di belakang cuba mengelak daripada melanggar rakannya, tetapi dia hilang kawalan lalu merempuh besi pengadang jalan.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak dan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tragedi-ramadan-berulang-adik-kedua-maut-kemalangan-1.69229

Mustahil ayah meninggal


Inalillahi wainailaihi rojiun  

 DUNGUN – “Dia bukan ayah saya, mustahil ayah saya mati, baru pagi tadi kami sahur bersama,” kata Mohd Saiful Zakaria, 14, yang tidak dapat menerima berita kematian bapanya, Zakaria Shapiee, 41, mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 3.30 petang di tapak kuari dekat sini, petang kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa yang memandu lori baru mengambil batu kelikir dari kuari Sunway, Tebing Tembah, Paka untuk dibawa ke satu kawasan pembinaan di Sri Bandi, Kemaman.

Bagaimanapun, selepas memulakan perjalanan kira-kira 300 meter dari kuari terbabit, lori dipandu arwah dikatakan mengalami masalah enjin pada kotak gear lalu gagal membrek menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung.

Muatan batu dalam lori terbabit menghempap bahagian kepala lori menyebabkan mangsa tertimbus lalu tersepit.

Menceritakan detik sebelum tragedi menimpa arwah, Saiful berkata, dia sempat bersahur bersama sebelum bapanya itu keluar dari rumahnya di Sungai Udang seawal jam 4.30 pagi.

Katanya, arwah bapanya  berjanji dengan ibunya, Suriani Mohd Adi, 37, untuk berbuka puasa bersama selepas pulang dari kerja.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Dungun itu berkata, dia menerima berita buruk itu daripada seorang jiran yang secara kebetulan bekerja di tempat sama dengan arwah bapanya.

“Sebaik menerima berita itu, saya terus datang ke sini (tempat kejadian), tapi bila tengok polis bawa turun mayat dari Land Rover, saya tak percaya bahawa dia ayah saya.

“Mustahil itu adalah mayatnya kerana baru pagi tadi kami bersama, lagipun dia janji nak buka puasa bersama,” kata Saiful yang masih trauma.

Bagaimanapun suasana pilu menyelubungi perkarangan Bilik Forensik Hospital Dungun setelah Saiful dibawa masuk untuk mengecam mayat bapanya itu.

Sebaik Saiful membuka kain putih penutup mayat, pelajar tingkatan dua itu tidak dapat menahan sebak apabila mendapati mayat yang terbujur kaku itu sebenarnya adalah insan tersayang yang kali terakhir ditemui waktu sahur sebelumnya.

Saiful yang berlari keluar dari bilik mayat dalam keadaan hiba kemudiannya ditenteramkan ahli keluarga terdekat.

Pasukan penyelamat dengan bantuan kren terpaksa mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mangsa yang kemudiannya berjaya dikeluarkan didapati sudah meninggal dunia setelah mengalami kecederaan parah pada seluruh anggota badan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/dia-bukan-ayah-saya-mustahil-ayah-saya-mati-1.69276

3 Maut di awal Ramadhan


Inalillahi wainailaihi rojiun  

KUANTAN – Tiga remaja maut dalam tragedi awal Ramadan membabitkan motosikal dan dua kenderaan lain di Bentong serta Sungai Ular, Kuantan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kejadian di Kilometer 5 Jalan Lama Bentong-Gombak berhampiran Taman Kolej itu meragut nyawa Mohd Iwan Redzuan, 17, dan Mohamad Iqbal Miqail Ahmad Fahairol, 14.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, motosikal jenis Honda Wave dinaiki dua remaja terbabit dipercayai terbabas di satu selekoh.

“Keadaan itu mengakibatkan penunggangnya gagal mengawal kenderaan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori yang dalam perjalanan dari arah Gombak ke Bentong,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa dipercayai tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kini siasatan masih diteruskan lagi,” katanya.


Sementara itu, dalam kejadian di Kilometer 33, Jalan Kuantan-Kemaman, seorang pelajar perempuan, Wan Nur Amanina Wan Ramzi, 14, maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Kia Sorento, kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 1 petang itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baging terbabit dikatakan tercampak dan terjatuh di atas permukaan jalan selepas bertembung dengan kenderaan dipercayai memasuki jalan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mangsa maut di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah di bahagian badan.

Menurutnya, mangsa yang tinggal di Kuarters Stesen Penyelidikan Mardi, Sungai Baging itu menunggang motosikal seorang diri ke sebuah kedai runcit untuk membuat salinan fotokopi tugasan sekolahnya.

“Namun sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kenderaan dari Kuantan menghala ke Cherating dipercayai ‘makan jalan’ bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.

“Akibat pertembungan itu, mangsa dikatakan tercampak dan terjatuh atas permukaan jalan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dituntut keluarganya sebaik saja bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), petang kelmarin.

Menurutnya, keterangan daripada pemandu terbabit yang juga seorang jurutera berusia 24 tahun dari Bukit Pelindung, di sini, sudah diambil untuk membantu siasatan.

“Kita sudah menjalankan ujian air kencing dan keputusannya negatif dan bebas daripada penyalahgunaan dadah ketika memandu," katanya.

Mohd Jasmani berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/tragedi-awal-ramadan-1.69167

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my