loading...

Tuesday, October 24, 2017

Kemalangan 2 Bas Kilang (Gambar Dan Video)



PERAI - Siasatan awal dijalankan mendapati salah sebuah bas kilang yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 147.0 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara, awal pagi tadi, berhenti di kiri lebuh raya kerana mengalami kerosakan enjin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komissioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, bas itu membawa 40 pekerja kilang warganegara Indonesia dan Nepal.

"Terdapat sebuah bas kilang yang membawa 17 penumpang lagi yang datang dari arah belakang dipercayai gagal mengelak lalu melanggar belakang tepi bas tersebut.

"Kesemua penumpang dan pemandu bas seramai 59 orang. Setakat ini jumlah kematian ialah  lapan orang yang terdiri daripada tujuh warga asing dan seorang rakyat tempatan," katanya.


Pemandu Ditahan Polis

Pemandu dua bas kilang terbabit nahas meragut lapan nyawa dan menyebabkan 40 cedera di Kilometer 147.0 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara, awal pagi tadi, ditahan untuk membantu siasatan.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komissioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, kedua-dua warga tempatan itu ditahan di IPD Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut.

"Ujian saringan air kencing dan ujian darah akan dijalankan terhadap kedua-dua pemandu," katanya.


Tujuh warga asing, seorang rakyat tempatan maut

Tujuh warga asing seorang warga tempatan dipercayai antara yang terlibat dalam nahas di Kilometer (KM) 147.0 Lebuhraya Utara Selatan(Plus) arah utara, awal pagi tadi.

Berdasarkan maklumat awal diterima kesemua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Sementara itu, empat mangsa lain yang dipercayai warga asing, dirawat di Hospital Sungai Bakap susulan kecederaan dialami.

Difahamkan, beberapa mangsa lagi menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.















Video












http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/bas-kilang-berhenti-di-kiri-jalan-akibat-rosak-1.747172

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-lapan-maut-dua-bas-pekerja-bertembung-1.541925

Sunday, October 8, 2017

Empat Penunggang Maut Kemalangan



KAJANG - Empat penunggang motosikal maut dalam kejadian kemalangan berasingan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, mangsa berusia 23 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dipercayai telah melanggar belakang sisi kanan sebuah kereta jenis Perodua Axia di lorong kedua di Kilometer 301.5 lebuhraya berkenaan.

“Akibat kejadian itu, pemandu kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan, lalu kenderaan yang dinaikinya berpusing sekali seterusya dilanggar oleh enam penunggang motosikal lain yang tidak sempat mengelak,” katanya.

Katanya, penunggang motosikal berusia 23 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Manakala seorang lagi penunggang motosikal lain telah meninggal dunia di Hospital Serdang, lima mangsa termasuk pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan dalam kemalangan itu,” katanya.

Kenderaan yang terlibat telah di bawa ke balai dan ditahan untuk di bawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk siasatan lanjut.

Dalam kes berasingan, dua penunggang motosikal lain maut dalam kemalangan di Kilometer 302 di lebuhuraya sama.

Ahmad Dzaffir berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.20 pagi itu,  motosikal yang dinaiki oleh mangsa berusia 26 dan 16 tahun itu melalui haluan yang sama.

“Berdasarkan keterangan saksi ditempat kejadian penunggang motosikal berusia 16 tahun itu dipercayai melanggar sisi kiri motosikal yang dinaiki oleh seorang lelaki berusia 26 tahun.

“Akibat perlanggaran tersebut kedua-dua penunggang motosikal berkenaan mengalami cedera parah dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Kesemua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Serdang untu bedah siasat. Kedua-da kes kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/empat-penunggang-motosikal-maut-kemalangan-1.740311 

Sunday, October 1, 2017

Anggota Polis Skudai Maut



JOHOR BAHRU - Seorang anggota polis maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang dipandu seorang remaja di Kilometer ke 24 Johor Bahru menghala Pontian.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam itu, mangsa, Rashkhairul Aqil Raszali, 23 yang bertugas di Balai Polis Skudai meninggal dunia ditempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

Ketua Polis Iskandar Puteri, Assisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kerana mangsa gagal mengelak sebuah kereta yang memasuki laluannya secara tiba-tiba.


"Mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang selepas tamat tugas sentri lokap di Balai Polis Skudai. Ketika kejadian mangsa berada di lorong kanan gagal mengelak sebuah kereta jenis Produa Myvi yang tiba-tiba memasuki laluannya.

"Berdasarkan daripada maklumat, pemandu kereta berusia 20 tahun itu dipercayai mahu membuat pusingan U ketika kejadian. Kami juga memeriksa keadaan jalan yang mana ketika itu cuaca baik serta mempunyai lampu jalan," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Noor Hashim berkata, pemandu kereta tersebut kemudiannya ditahan reman tiga hari bermula semalam, selepas tampil di balai polis berhampiran sejurus selepas kejadian.

"Pemandu mempunyai lesen memandu tetapi kita akan lakukan siasatan lanjut berhubung kejadian ini. Orang awam yang mempunyai maklumat juga dimohon untuk memberi kerjasama bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/anggota-polis-maut-rempuh-kereta-1.737215

Penunggang Motosikal 250cc Maut



KUALA ROMPIN - Akibat pusingan U sebuah kenderaan, seorang penunggang motosikal 250cc meninggal dunia selepas tidak sempat mengelak sebelum merempuh kenderaan berkenaan.

Kejadian kemalangan yang berlaku di Kilometer 139.2 Jalan Kuantan - Johor Bahru sekitar jam 9.55 malam tadi itu menyebabkan mangsa, Mustapa Kamal Nordin, 46, berasal dari Felda Keratong 10 maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azli Mohd Noor, berkata, kedua kenderaan terlibat dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Tanjung Gemok.


Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca dari kenderaan jenis Proton Wira yang sedang membuat pusingan U sebelum dirempuh mangsa.

"Lokasi kejadian merupakan jalan lurus, mangsa yang menunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar Proton Wira berkenaan.

"Akibat perlanggaran, motosikal itu telah terbabas ke laluan bertentangan dan mangsa telah meninggal di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Azli berkata, pemandu Proton Wira yang tidak mengalami kecederaan itu telah ditahan di lokap IPD Rompin untuk siasatan lanjut.

"Mayat mangsa pula telah dibawa ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat," katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/maut-rempuh-kereta-buat-pusingan-u-1.737161 

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut



HULU SELANGOR - Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terlibat kemalangan jalan raya di KM 44.5 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Lim Bak Phai berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.45 pagi.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Muhammad Nur Syazwan Mohd Zamri, 21.



“Mangsa yang menunggang motosikal telah memotong sebuah lori lalu sebelum masuk laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah kereta dari hadapan.

“Akibat kemalangan ini,  mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan cedera parah di bahagian kepala,” katanya.

Bak Phai berkata, kedua-dua pemandu dan penumpang kereta berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.



Sumber:
https://www.nst.com.my/news/nation/2017/10/286068/young-superbike-rider-killed-kl-collision

http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/penunggang-motosikal-kuasa-tinggi-maut-1.737209

Sunday, September 24, 2017

Enam motosikal 'rebah' dalam terowong


SEKURANG-kurangnya enam motosikal yang sedang berkonvoi, terbabit dalam kemalangan dalam Terowong Genting Sempah, dekat Bentong, petang kelmarin.

Rakaman dipercayai kamera litar tertutup (CCTV) dalam terowong memaparkan kejadian itu turut tular di media sosial sejak malam kelmarin.

Syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) ANIH Berhad dalam kenyataan mengesahkan kejadian berlaku kira-kira 5.35 petang.


“Kami sebagai syarikat konsesi KLK memaklumkan kemalangan dalam Terowong Genting Sempah yang rakamannya sedang tular menerusi Facebook berlaku pada 5.35 petang semalam (Sabtu).

"Kejadian membabitkan dua motosikal bergesel sesama sendiri dan jatuh di laluan kanan. Susulan kejadian, seorang penunggang mengalami kecederaan ringan.

"Kemalangan itu dapat dikawal sepenuhnya oleh petugas LPT Ronda,” katanya.

Dalam video itu, sebuah motosikal yang berada di garisan tengah cuba memotong dua kereta apabila ia bergesel dengan sebuah lagi motosikal.

Pergeselan itu menyebabkan sebuah kereta di lorong kanan tidak sempat mengelak dan melanggar salah satu motosikal berkenaan yang kemudian terjatuh ke bahu jalan.

Tiga motosikal yang berada di belakang tidak sempat mengelak daripada merempuh sebuah motosikal yang jatuh.

Sementara itu, polis yang dihubungi menyatakan seorang mangsa yang cedera ringan dalam kemalangan itu diberi rawatan awal di lokasi dan siasatan lanjut sedang dilakukan

Sumber: https://www.hmetro.com.my/utama/2017/09/266493/enam-motosikal-rebah-dalam-terowong-metrotv

Sepasang suami isteri maut kemalangan



KOTA TINGGI - Sepasang suami isteri maut manakala tujuh lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 59.5 Lebuh Raya Senai-Desaru pagi tadi.

Kejadian itu menyebabkan mangsa dikenali sebagai Muhamad Faizal Ramli, 30, dan Nurul Farehah Syawal, 28 maut di lokasi kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Sailaini Oda berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.19 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HRV, Proton Waja dan Perodua Myvi.

"Dua mangsa maut manakala tujuh lagi dilaporkan cedera. Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Kesemua mangsa yang cedera termasuk seorang kanak-kanak perempuan merupakan anak pasangan berkenaan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bandar Penawar dan Sungai Mas.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/suami-isteri-maut-kemalangan-babit-tiga-kenderaan-1.734583

Dua maut motosikal bertembung



BANDARAYA MELAKA - Dua lelaki maut termasuk seorang anggota polis selepas motosikal ditunggangi masing-masing dipercayai bertembung dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah, Melaka Tengah, Jasin (AMJ) dekat Semabok, di sini, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku jam 8.45 pagi itu, mangsa Lans Koperal Sokongan, Mohd Hilmi Ismail, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa, Ismail Abd Majid, 52, meninggal dunia di Unit Kecemasan, Hospital Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggangi kedua-dua mangsa bertembung sesama sendiri secara berdepan.

“Kedua-dua kenderaan kini ditahan bagi pemeriksaan Puspakom dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya yang menjelaskan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, isteri kepada anggota polis yang maut, Nor Afizah Jamil, 32, berkata, dia diberitahu mengenai kejadian kemalangan itu kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

“Ketika menerima panggilan telefon saya baru keluar dari rumah emak di Pengkalan Balak kerana semalam saya dengan anak balik bercuti di kampung, sementara suami tak ikut sebab kena panggil bertugas.

“Saya ingatkan ia sekadar kemalangan biasa, tak sangka pula sehingga menyebabkan kematiannya. Kali terakhir saya jumpa suami tengah hari semalam sebelum saya berangkat ke kampung dan sempat meninggalkan duit belanja untuk kami dan anak,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Melaka.

Allahyarham Mohd Hilmi meninggalkan seorang anak lelaki berusia tiga tahun dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Padang Temu, selepas solat Asar.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/dua-maut-motosikal-bertembung-1.734231

Penunggang motosikal maut terbabas



JASIN - Seorang pemuda maut dalam satu kemalangan jalan raya apabila kenderaan ditunggangnya dipercayai hilang kawalan di Jalan Kelubi Jasin malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, Mohd Syafiq Muhammad, 29, yang menunggang motosikal bernombor pendaftaran jenis Yamaha R1 dalam perjalanan dari Kelubi menghala ke Bandar Jasin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Arshad Abu, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang Mohd Syafiq terbabas lalu melanggar bahagian hadapan kenderaan Honda CRV yang diparkir di kiri jalan menghala ke Kelubi.

"Dalam kemalangan ini penunggang telah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Bagaimanapun pemilik kenderaan Honda CRV tersebut, Wan Azlan Wan Abd Jalil,51, tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Mayat Mohd Syafiq yang merupakan seorang peniaga dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

“Pihak polis meminta saksi awam kejadian tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/penunggang-motosikal-maut-terbabas-1.734591 

1 Maut 4 Cedera Dalam Pertembungan


MARANG - Seorang wanita maut manakala empat cedera selepas kereta dinaiki bertembung  di Kilometer 42, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan, di Gong Balai di sini, hari ini.

Ketika kejadian pada jam7.10 pagi itu, mangsa, Noorulizaine Mat Noh, 35, yang memandu kereta jenis Proton Iriz maut di tempat kejadian dan  penumpang, Mohamad Norkhairullah Mohd Subaha, 28, cedera ringan.

Mangsa  yang beralamat dari Taman Sakti Manir, Kuala Terengganu dalam perjalanan ke Kemaman, manakala penumpang kenderaan itu dari Jalan Merawang Kampung Mak Chili Paya, Kemaman.

Tiga lagi mangsa, pemandu Proton Persona, Lim Mee Cin, 35, dan dua penumpang, Chal Siok Fun, 37,  Lee Jul Si, 7, yang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu turut cedera.

Kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Lim hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dipandu Noorulizaine dari arah bertentangan.

Pemandu Proton Persona juga merupakan seorang guru bersama dua penumpang kereta itu dipercayai dalam perjalanan untuk menyertai pertandingan Larian Jambatan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, pemandu Proton Iriz meninggal dunia di tempat kejadian akibat pertembungan dua kenderaan itu.

Menurutnya, penumpang Proton Iriz dan tiga lagi mangsa cedera menaiki Proton Persona dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Bedah siasat tidak dijalankan kerana waris tidak mahu menjalankan bedah siasat dan telah membuat laporan polis untuk tidak menjalankan bedah siasat ke atas mangsa.

"Jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital sama dan kemudiannya diserahkan kepada waris mangsa untuk urusan pengebumian," katanya hari ini.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/satu-maut-empat-cedera-kereta-bertembung-1.734428 

Saturday, August 26, 2017

Tiga Terbunuh Di Marang


TIGA terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 44, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Pasir Putih, Marang, awal pagi ini.

Kemalangan membabitkan Perodua Viva dan Proton Saga BLM, pada 7.30 pagi.

Difahamkan, mangsa membabitkan dua penumpang Proton Saga BLM dan seorang Perodua Viva maut di tempat kejadian.

Identiti ketiga-tiga mangsa masih belum diperoleh.

Ketua Balai Bomba Marang, Penolong Penguasa Bomba, Hasan Embong berkata, sepasukan lapan anggota dengan satu jentera ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

“Mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sember : https://www.hmetro.com.my/utama/2017/08/257829/tiga-maut-di-marang

Saturday, August 12, 2017

Anak ADUN Jitra maut kemalangan


ANAK lelaki Exco Kedah maut selepas 4WD dinaiki terbabas dan melanggar pokok di KM12.7 lebuh raya PLUS, Changlun, dekat Kampung Bendang Perang, hari ini.

Mangsa iaitu Irfan Aminuddin, 20, adalah anak Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan Kedah, Datuk Aminuddin Omar.

Allahyarham duduk di kerusi depan penumpang.

Pemandu yang juga rakannya, Wan Khuzairi Wan Cik, 27, turut maut dalam kemalangan pada kira-kira 4 petang itu.




Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 4.30 petang.

Menurutnya, seorang pegawai dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, mereka mendapati Toyota Hilux remuk teruk selepas melanggar pokok.

"Anggota bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit namun mereka disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Aminuddin yang turut ke lokasi kemalangan sebaik mengetahui kejadian itu kelihatan sebak dan menekup mukanya sebaik melihat jenazah anaknya dibawa keluar.

Tidak sempat memotong


TANAH MERAH - Dua maut dan seorang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 9.7, Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, dekat Kampung Paloh, di sini, malam kelmarin.

Nahas kira-kira jam 8.16 malam itu membabitkan kereta Toyota Corona dinaiki dua mangsa yang maut, Proton Persona dipandu seorang guru lelaki dan Toyota Vios dinaiki seorang pembantu farmasi wanita.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, mangsa yang maut ialah Mohamad Fikri Firdaus Mat Deris, 25, dan Shafiq Safwan Mohd Foza, 26.

Katanya, pembantu farmasi berusia 31 tahun pula patah tangan kanan dan luka di kaki, manakala guru berusia 53 tahun tidak cedera.

“Siasatan awal mendapati kereta Toyota Corona dinaiki dua mangsa dipandu laju dari arah Pasir Mas ke Tanah Merah dipercayai cuba memotong kenderaan lain sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta mangsa kemudian merempuh kereta Proton Persona yang datang dari arah bertentangan lalu berpusing dan merempuh pula kereta Toyota Vios yang berada di belakang.

“Rempuhan itu menyebabkan kereta Toyota Vios terbabit terbabas ke dalam gaung di sebelah kiri jalan menghala ke Pasir Mas,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Suzaimi berkata, kedua-dua mangsa yang masing-masing beralamat di Jalan Mahsuri dan Kampung Bendang Baru, Bukit Panau, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat kedua-duanya dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama untuk rawatan,” katanya.

Tambah beliau, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Sumber:  sinarharian.com.my/edisi/kelantan/tidak-sempat-memotong

Maut Bertembung Di Kampung Chepa


KOTA BHARU - Seorang pemuda maut selepas tercampak dari motosikal yang ditunggangnya dalam kejadian kemalangan di Kampung Chepa, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa, Muhamad Azam Shafie, 20, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa bersama seorang rakannya berusia 19 tahun masing-masing menunggang motosikal jenis Honda EX5 secara berasingan.


“Masing-masing menunggang motosikal dari arah Binjai menuju ke Kota Jembal dalam keadaan laju. Setibanya di Kampung Chepa, dua motosikal terbabit bergesel.

“Motosikal dinaiki Muhamad Azam kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dari arah hadapan,” katanya.

Ismail berkata, akibat kejadian itu Muhamad Azam tercampak dan cedera parah sebelum meninggal dunia.

“Rakan mangsa yang turut terjatuh dari motosikal cedera ringan manakala pemandu kereta tidak cedera.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat dan kes di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sumber: sinarharian.com.my/edisi/kelantan/maut-motosikal-bertembung-kereta


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my