Inalillahi wainailaihi rojiun
19 Mei 2013
Melaka: Hasrat seorang pemandu lori untuk menikmati masak lemak siput sedut tidak kesampaian. “Dia (arwah) meminta supaya masak gulai lemak siput sedut, namun saya tidak berbuat demikian kerana ketiadaan bahan, menyebabkan dia sedih lalu beredar pergi,” kata Roszimah Shaharudin, 45, isteri pemandu lori yang maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Krubong-Pantai Belimbing, di sini, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian jam 3 pagi, Borhan Adam, 46, menuju ke tempat kerjanya di premis menjual bahan binaan lima kilometer dari rumahnya di Taman Krubong Jaya.
Sejurus tiba di tempat kejadian, motosikal Modenas Kriss ditunggang mangsa dipercayai dirempuh sebuah kereta Toyota Corona dipandu lelaki berusia 31 tahun yang terbabas dari laluan bertentangan.
Lelaki itu dikatakan meninggalkan keretanya 98 meter dari lokasi kemalangan sebelum membuat laporan polis.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk bedah siasat.
Menurut isteri mangsa, Roszimah Shaharudun, 45, ketika kejadian, suaminya itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Krubong Jaya ke tempat kerjanya di sebuah kedai menjual bahan binaan yang terletak di Kawasan Perindustrian Krubong.
“Suami keluar rumah awal pagi kerana dia perlu menghantar barang pembinaan ke Kuantan, Pahang.
“Hampir setiap hari dia keluar awal pagi kerana perlu menghantar barangan kepada pelanggan yang terletak di luar Melaka,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka semalam.
Roszimah berkata, dia bagaimanapun berasa terkilan apabila tidak dapat memenuhi hasrat terakhir suaminya itu untuk memakan masak lemak siput sedut.
“Tengah hari semalam (kelmarin), suami ada meminta saya memasak siput sedut namun saya tidak dapat masaknya kerana bahan-bahan seperti siput sedut, santan dan keladi tiada di rumah.
“Sebaik pulang dari kerja kira-kira jam 6.30 petang, dia bertanyakan sama ada saya sudah memasak siput sedut dan berasa kecewa hingga menangis apabila diberitahu saya tidak sempat memasaknya kerana ketiadaan bahan,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian pergi ke Kuala Lumpur menziarahi ibunya dan hanya mengetahui suaminya itu ditimpa kemalangan apabila menerima panggilan telefon daripada anak saudaranya pada jam 6 pagi semalam.
Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa ketika kejadian menunggang motosikal miliknya dari arah Taman Krubong Jaya menghala ke persimpangan lampu isyarat Krubong/Lebuh SPA di sini.
“Tiba di tempat kejadian, sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun yang datang dari arah bertentangan telah terbabas lalu memasuki laluan mangsa.
“Kereta ini kemudian melanggar motosikal mangsa menyebabkan mangsa tercampak ke atas atas cermin kereta hadapan,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala maut di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Katanya, kereta terbabit ditinggalkan pemandunya kira-kira kira 100 meter dari tempat kejadian kerana bimbang akan keselamatannya namun telah melaporkan kemalangan berkenaan kepada pihak polis tengah hari semalam.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Kempunansiputsedut/MA/Article
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/menangis-tak-dapat-rasa-siput-sedut-air-tangan-isteri-1.161650