loading...

Saturday, June 11, 2011

Penstrukturan Semula Jalan Kuala Kangsar – Gerik



BUKIT CHANDAN – Bagi mengelak dan mengurangkan kejadian kemalangan jalan raya yang kerap berlaku di laluan Kuala Kangsar menuju ke Gerik, pihak berkuasa kini menjalankan kerja penjuru teraan atau penstrukturan semula.

Berdasarkan rekod, laluan berkenaan termasuk di sekitar Sauk mencatat rekod kemalangan jalan raya dan kemalangan maut yang tinggi termasuk mengorbankan empat sekeluarga, semalam.

Exco Negeri Perak, Datuk Ramly Zahari berkata, penjuru teraan semula bagi laluan itu sudah bermula awal tahun 2011 dan dijangkakan menelan kos sebanyak RM25 juta. 


Menurutnya, sama ada orang tempatan atau orang luar tidak biasa dengan keadaan jalan berkenaan dan sering menimbulkan kecuaian.

“Jalan ini sudah dibina sejak 10 tahun lalu dan pada awal pembinaannya ia adalah jalan awam serta jaraknya kira-kira 200 kilometer.

“Jadi pihak berkuasa memandang serius kejadian kemalangan dan kemalangan maut yang sering berlaku di laluan berkenaan serta menaik taraf mengikut kesesuaian,” katanya kepada pemberita ketika menziarahi keluarga mangsa kemalangan di Taman Sultan Yusof, di sini, semalam.

 Majlis pengebumian empat sekeluarga di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kenas, Kuala Kangsar. Allahyarham Zenodin@Zainuddin Abas dan isteri, Azizah Mahmood, masing-masing berusia 69 tahun; anak perempuan mereka, Zalinda, 33, serta cucu yang juga anak Zalinda, Aishah Suffian Afendi, 7, diturunkan ke dalam liang.

Beliau berkata, selain penjuru teraan semula jalan, orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati ketika menggunakan laluan itu.

“Kita berusaha untuk meningkatkan tahap keselamatan di sepanjang laluan terutama lokasi kemalangan termasuk perubahan simpang, tambahan lampu isyarat atau pemasangan lampu di kawasan gelap dan bersesuaian.

“Diharapkan dengan langkah itu dapat mengurangkan kejadian dan risiko kemalangan,” katanya.


Tahun 2010,  Dua kereta bertembung di Kilometer 42.7 Jalan Kuala Kangsar-Grik dekat Kampung Lahar. Mereka yang meninggal dunia ialah Mariah Ahmad, 61; anaknya, Abdul Lajis Zakaria, 42 dan Mohd Mukmin, 4, yang juga cucunya.


Dan terbaru  pasangan pesara guru, Zenodin@Zainuddin Abas dan isteri, Azizah Mahmood, masing-masing berusia 69 tahun; anak perempuan mereka, Zalinda, 33, serta cucu yang juga anak Zalinda, Aishah Suffian Afendi, 7 di Kilometer 73, Jalan Kuala Kangsar-Gerik.

Pemandu Kontena Nyaris Maut


SEORANG pemandu sebuah treler membawa kontena nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya hampir terjunam selepas terbabas di jejambat di bulatan Seberang Jaya, di Kilometer 135.5 Lebuhraya Utara Selatan menghala Selatan. Pemandu treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya keluar dari kenderaannya yang ‘tergantung’ di tepi jejantas terbabit.

Foto: Mohamad Danial Mohamad Saad (10/06/2011)

Ibu Tunggal Maut Dalam Perjalanan ke Melaka


Al-Fatihah..

ALOR GAJAH – Seorang wanita maut dan seorang lagi cedera ringan apabila kereta jenis perodua Kelisa yang dinaiki merempuh sebuah lori yang membawa barang perkakasan rumah di Kilometer 209 Lebuh raya Utara ke arah Selatan, berhampiran restoran jejantas, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, Adeleen Kasim, 37, yang juga ibu tunggal maut serta merta di tempat kejadian dalam perjalanan ke Melaka bersama seorang adiknya yang memandu kereta, Aireen Kasim, 34, dari Kuala Lumpur menuju pulang ke rumahnya di Kampung Pasir Putih, Bachang, Melaka.

Saksi yang enggan dikenali mendakwa, dia menyedari lori terbabit yang pada awalnya berada di laluan paling kiri hendak memasuki ke laluan tengah secara tiba-tiba sementara perodua Kelisa tadi sudah berada dalam jarak yang dekat.

“Saya sendiri menyaksikan lori itu yang tiba-tiba memasuki laluan tengah dan pemandu kereta Kelisa itu brek mengejut dan gagal mengawal kenderaan terpaksa merempuh belakang lori dan penumpangnya terkena pada besi pada lori berkenaan.

“Masa itu saya lihat lori itu terus terbalik dan terseret ke kiri jalan sebelum merempuh penghadang jalan dan berpusing semula ke arah utara dan pemandunya cuba untuk keluar dari lorinya yang sudah terbalik ke sebelah kanan,” kata saksi berkenaan.

Sementara itu, pemandu lori, Wong Loong Fah, 44, berkata, dia dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke Johor Bahru untuk menghantar perkakasan hendak menyusuri laluan kedua lebuh raya dkejutkan dengan rempuhan yang begitu kuat dari arah belakang lorinya sebelum hilang kawalan.

“Saya berada di laluan pertama hendak ke laluan tengah memandu secara perlahan seorangan tiba-tiba dirempuh dengan kuat hingga lori saya bergegar kuat sebelum hilang kawalan memakan ke kanan dan kiri jalanraya sebelum lori saya terbalik beberapa kali.

“Saya sudah tekan brek sekuat hati berharap lori saya tidak merempuh mana-mana kenderaan lain yang masih melalui kiri kanan jalan dan lori saya terbalik terbabas ke kiri melanggar penghadang lebuh raya sebelum berpusing semula ke arah utara.

“Dalam keadaan cemas saya yang sudah terbalik ke sebelah kanan terpaksa keluar mengikut cermin hadapan lori yang sudah pecah dalam keadaan kaki terhenjut-henjut akibat terseret dan menghentam penghadang lebuh raya,” katanya.

Menurutnya, ketika dia mendekati kereta tersebut penumpang di tempat duduk bersebelahan pemandu dalam keadaan tersepit selepas merempuh hingga bahagian hadapan kereta Kelisa itu remuk teruk dan mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

“Masa saya turun dari lori dalam keadaan badan sakit dan cedera di tangan kanan saya dapati kereta Kelisa tadi sudah melintang menghalang laluan kedua lebuh raya, mujur semua kenderaan yang memandu laju ketika itu sudah memperlahankan kenderaan.

“Kemudian saya terus berlari ke arah kereta Kelisa yang merempuh lori saya tadi dengan harapan dapat cuba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit tetapi disebabkan mangsa dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ dan saya terpaksa menunggu anggota bomba tiba.

“Pemandu kereta Kelisa itu sudah berada di luar kenderaan dalam keadaan tidak tentu hala sambil meraung meminta bantuan orang ramai namun disebabkan mangsa sudah tenat tiada siapa yang berani menyentuh dan mangsa meninggal dunia tidak berapa lama kemudian,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat, PBK II, Razali Che Ari, ketika dihubungi berkata, seramai tujuh anggota dengan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam mendapati penumpang kereta dalam keadaan nazak.

“Anggota kami tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit selepas menerima panggilan dan mangsa berjaya dikeluarkan dalam masa kurang dari lima minit yang ketika itu mangsa dalam keadaan nyawa-nyawa ikan,” katanya.

Ketua Polis Derah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan.

“Kenderaan perodua Kelisa yang dinaiki dua beradik ini dipercayai dipandu laju menghala ke arah Melaka, setibanya di lokasi kejadian, pemandu kereta ini hilang kawalan hingga merempuh bahagian belakang sebuah lori muatan satu tan itu,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Lori Gula Terbalik


AYER KEROH - Gara-gara jalan yang tidak rata menyebabkan sebuah treler 36 tan yang membawa muatan 1,0000 bungkus gula pasir terpisah dari kepala traler sehingga menyebabkan bungkusan gula bertaburan di jalan di susur keluar 500 meter sebelum sampai ke Tol Ayer Keroh di sini semalam.

Pemandu treler terbabit, M Subramaniam, 35, berkata, selain jalan tidak rata selekoh yang tajam dipercayai menjadi penyebab badan treler dan kepala terpisah sejauh 50 meter dalam kejadian yang berlaku lebih kurang jam 3.30 petang.


Menurutnya, dia yang seorang diri dalam perjalanan dari Sungai Buluh mengakui jarang melalui jalan itu dan ini pertama kali terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan muatan gula namun bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pukul 12 tengah hari saya bertolak dari Sungai Buluh untuk hantar muatan gula ini ke stor di Malim, namun tidak sangka apabila melalui kawasan di situ, badan lori secara tiba-tiba tercabut dari kepalanya sehingga saya terlanggar tepi penghadang jalan.

“Jalan ini tak rata dan selekohnya agak tajam yang menyebabkan badan treler yang membawa 1000 kilogram gula terbalik dan bungkusan gula bertaburan di atas jalan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah. Supritendan Umar Ali Saifudin Shaharudin, yang dihubungi berkata, mengesahkan treler yang membawa 20 tan gula dari Kuala Lumpur menuju ke Melaka mengalami insiden kepala dan badan tertanggal di susur tol Ayer Keroh.

Keadaan itu menyebabkan kenderaan yang menghala ke arah tol ayer keroh mengalami sesak teruk dan tinjauan kira-kira jam 5.30 petang mendapat kerja-kerja memindahkan gula ke treler lain sedang giat dijalankan oleh beberapa orang pekerja.

Ngeri Pelajar Sekolah Menengah Bukit Sentosa Digilis Treler


Al-Fatihah...
Seorang pelajar maut, manakala rakannya parah selepas digilis treler dalam kemalangan di Jalan Rasa Bukit Beruntung, berhampiran Masjid Bukit Sentosa.

Anggota bomba terpaksa mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.


Nahas yang menimpa mereka hanya disedari pengguna jalan raya pagi tadi setelah hairan melihat sebuah treler dibiarkan merintangi jalan dalam keadaan enjin yang masih hidup.

Selepas diperiksa, dua mangsa ditemui terperosok dibawah treler.



Penunggang motorsikal, Muhd Zulfali Ramli, 16 tahun, maut setelah parah digilis di bahagian badan serta kaki.

Manakala, rakannya, Muhammad Azim Firdaus Mohamad Abdullah, 14 tahun, ditemui bernyawa di celah tayar.



Keadaan menjadi hiba apabila ibu bapa kedua-dua mangsa tiba di lokasi sebaik dimaklumkan kemalangan berkenaan.

Mereka terpaksa ditenangkan anggota polis dan orang ramai.



Mayat Muhd Zulfali dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.


Manakala Muhammad Azim Firdaus dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan.

Treler terpaksa digerakkan perlahan-lahan ketika mengeluarkan mangsa bagi mengelakkan kecederaan lebih parah.


Kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Bukit Sentosa ini dipercayai dalam perjalanan pulang setelah makan di sebuah restoran.

Motosikal mangsa dilanggar treler bermuatan besi keluli yang cuba membuat pusingan U di laluan ini.

Pemandu treler melarikan diri ke arah Balai Polis Bukit Sentosa.

Anak maut digilis treler

 

Berita dari Harian Metro;

BUKIT BERUNTUNG: “Saya tak sanggup melihat mayat anak yang hancur kaki dan badannya akibat digilis treler. Sungguh tidak sangka dia pergi secara mengejut dan ia memilukan kami sekeluarga,” kata Rosnah Dollah, 49, ibu Mohd Zulfadzli Ramli, 16, yang maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Bukit Sentosa-Kuala Kubu Bharu, dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha dan dibonceng rakannya, Muhammad Azim Firdaus Mohamad Abdullah, 14, pulang daripada bekerja sambilan sebagai pelayan restoran di Bandar Bukit Sentosa ke rumah mereka di Taman Seroja, dekat sini.


Menurutnya, dia bergegas ke tempat kejadian kira-kira jam 3.10 pagi selepas menerima berita itu daripada jiran.

“Saya tidak dapat menahan sebak melihat mayat anak yang terperosok bawah treler panjang. Rakannya parah dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) sejam selepas kejadian.


“Arwah mahu pulang ke rumah selepas bekerja sambilan sejak setahun lalu di Bandar Bukit Sentosa untuk mencari wang saku untuk belanja persekolahannya. Dia anak yang baik dan manja dengan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Menurut Rosnah, ketika kejadian dia dan suaminya, Ramli Mohd Yusof, 54, tidur di rumah.

Katanya, arwah yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sentosa 2 anak bongsu daripada tiga beradik suka berjenaka dan penyayang.


“Saya tidak sangka perangai peliknya yang meminta digosok kakinya berulang kali dua hari lalu petanda akhir hayatnya.

“Kami terkilan melihat keadaannya yang teruk selepas terbabit kemalangan itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi, berkata kejadian itu membabitkan motosikal ditunggang dua remaja bertembung treler dipandu seorang lelaki dikenali sebagai Nehru, 40, yang membuat pusingan U di laluan terbabit.


Katanya, treler terbabit melanggar motosikal mangsa mengakibatkan mangsa terperosok sebelum digilis.


“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu terbabit datang ke Balai Polis Bukit Sentosa untuk membuat laporan sejurus kejadian itu,” katanya.


Maut digilis treler


Berita dari Sinar Harian;

BUKIT SENTOSA - Seorang remaja maut sementara rakannya parah setelah digilis treler dalam kemalangan di simpang tiga, Jalan Rasa-Bukit Beruntung dekat Masjid As Salam, di sini awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Zulfadhli Ramly, 16, maut akibat kecederaan parah di kepala dan kaki setelah terperosok di bawah treler dan rakannya, Mohd Azim Firdaus Mohamad Abdullah, 14, yang turut terperosok parah dan mengalami patah dibeberapa bahagian badan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kejadian itu melibatkan motosikal ditunggang kedua-dua mangsa dengan treler dipandu Nehru, 40 yang membuat pusingan U di laluan terbabit.

Bagaimanapun katanya, treler terbabit telah melanggar motosikal mangsa mengakibatkan mangsa terperosok sebelum digilis.

“Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu lori terbabit datang ke balai polis untuk membuat laporan sejurus kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat. Mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu yang mengambil masa hampir sejam berbuat demikian.

Sementara itu, menurut beberapa saksi di lokasi kejadian, traler terbabit didapati membuat pusingan U di laluan salah iaitu menongkah arus kerana didakwa tidak mahu melalui jalan jauh di hadapan masjid.

Dalam pada itu, suasana pilu menyelubungi rumah mangsa di Jalan Seroja 5, di sini apabila ahli keluarga tiba dan bersiap untuk solat jenazah selepas solat Jumaat di Masjid As Salam.

Ibu mangsa, Rosmah Dollah, 49, ketika ditemui hanya sempat menceritakan permintaan anak bongsunya itu yang kerap mahu diurut setelah letih bersukan.

Menurutnya, anaknya bekerja sambilan di sebuah restoran di Bandar Bukit Sentosa dan pulang selepas habis kerja kira-kira jam 2.45 pagi.

“Arwah seorang anak yang baik dan banyak membantu keluarga dengan bekerja sambilan.

“Tetapi, tidak sangka arwah mati dalam keadaan tragis begini,” katanya.

Rakan mangsa, Mohd Azim Firdaus masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB dan dilaporkan stabil.

Friday, June 10, 2011

Kemalangan Tiga Kenderaan, Innova, Nissan Sunny dan Van


SEREMBAN - Tiga kenderaan terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Seremban-Kuala Pilah dan Jalan Senawang - Paroi berhampiran Pusat Dakwah Islamiah, Paroi dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dari arah Senawang dikatakan hilang kawalan di persimpangan berkenaan lalu terbabas.

MPV dipandu seorang lelaki berumur sekitar 40-an itu seterusnya merempuh sebuah kereta jenis Nissan Sunny yang berada di simpang lampu isyarat untuk membelok ke Jalan Senawang-Paroi.

Sebuah van milik Akademi Latihan Felda dari arah Kuala Pilah menghala ke Seremban cuba mengelak MPV terbabit, namun melanggar satu tiang lampu isyarat di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, semua pemandu tiga kenderaan berkenaan dan seorang penumpang van tidak mengalami sebarang kecederaan.

Penumpang van, Mohd Fairus Abd Aziz, 29, berkata, dia dan pemandu dalam perjalanan dari Stadium Tuanku Abdul Rahman menuju ke Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini sebelum kemalangan berlaku.

“Kami baru tiba hari hari di Seremban untuk menyertai Sukan Felda Malaysia bersama warga Felda yang lain. Mujurlah, kami selamat walaupun agak terkejut dengan kemalangan ini,” katanya.

Thursday, June 9, 2011

Pasangan Pesara Guru Maut Bersama Anaknya


Al-Fatihah...

KUALA KANGSAR: “Permintaan ayah sebelum ini yang seakan-akan mahu anak-anaknya pulang ke Kuala Kangsar, rupa-rupanya membawa petanda bahawa kami adik-beradik akan pulang dan melihat jenazah dia dan ibu hari ini (semalam),” kata Zaliana Zainuddin, 44, anak sulung pasangan pesara guru, Zenodin@Zainuddin Abas dan isteri, Azizah Mahmood, masing-masing berusia 69 tahun yang maut dalam kemalangan di sini, petang semalam. 



Kejadian menyayat hati itu turut meragut nyawa anak perempuan bongsu pasangan itu, Zalinda, 33, anak perempuannya, Aishah Suffian Afendi, 7, manakala seorang anaknya, Nurul Sarah Sufian Affendi, 2, cedera parah dan masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh. Dalam kejadian jam 2.40 petang di Kilometer 73, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, berhampiran Kampung Seterus, Sauk itu, keempat-empat mangsa maut apabila kereta Proton Saga dinaiki hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang jalan.

Difahamkan, lima sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Kangsar untuk menghadiri majlis perkahwinan jiran, di sini selepas bertolak dari Pasir Mas, Kelantan, pagi semalam.

Lebih menyayat hati, keempat-empat mereka maut apabila kereta dinaiki ditembusi besi penghadang jalan itu yang dipercayai menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa terutama di kepala.

Zaliana ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Sultan Yusuf, Bukit Chandan di sini, semalam berkata, kali terakhir dia bertemu semua arwah pada Rabu lalu ketika berada di rumah saudara ibunya di Pasir Mas, Kelantan.


“Dalam pertemuan terakhir itu, bapa bertanya saya bila mahu pulang ke Kuala Kangsar, tapi saya tidak nampak sebarang perubahan pada arwah,” katanya.

Bapa saudara kepada Azizah, Kamarudin Zainal Abidin, 67, berkata, mereka sekeluarga terkejut dan sedih dengan kejadian itu yang meragut empat nyawa ahli keluarga sekali gus.

Bagaimanapun, usaha wartawan untuk menemubual bapa Nurul Sarah, Sufian Affendi, 30-an, di pekarangan HRPB gagal kerana dia masih trauma dengan kehilangan isteri dan anaknya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang ketika dihubungi, semalam berkata, siasatan mendapati kenderaan dipandu Zainuddin gagal dikawal ketika tiba di lokasi kejadian sebelum terbabas.

“Tiga daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi maut ketika mendapatkan rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Sauk, dekat sini. “Kami mendapati lokasi terbabas adalah laluan lurus dan tiada kesan brek kenderaan. Jadi, polis mengesyaki pemandu kenderaan gagal mengawal keretanya dan terbabas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian jam 2.40 petang bersama jentera dengan lapan anggota.

Beliau berkata, kereta mangsa terperosok dan menembusi penghadang besi jalan dan pihaknya terpaksa mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan semua mangsa.

Semua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Chandan, pagi ini.

Buruh Indonesia Maut Dirempuh Treler


PONDOK LIMAU – Hasrat seorang buruh warga Indonesia untuk pulang ke rumah selepas mengerah keringat di ladang sawit berakhir tragedi apabila dia terbunuh dalam satu nahas membabitkan motosikal dengan sebuah treler, dekat sini, petang kelmarin.

Kejadian jam 6 petang di Kilometer 108 Jalan Jerangau-Jabor berdekatan kuari Pondok Limau itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dirempuh sebuah treler yang memotong sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan.

Ketika kejadian, mangsa dikenali sebagai Abdullah, 40, difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Pergam, Hulu Jabur selepas selesai melakukan kerja di Ladang Felda Kerteh.

Akibat kemalangan terbabit, bahagian hadapan treler yang dipandu Sukarno Abdul Rahman, 38, dari Bukit Diman serta motosikal bersama mangsa yang terperosok bawah treler berkenaan terbakar.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Treler yang turut merintangi jalan itu kemudiannya dirempuh pula sebuah treler lain menyebabkan pemandunya, V Gunalan dari Puchong, Selangor cedera pada bahagian muka.

Sebuah jentera bersama sepasukan anggota dari Balai Bomba Al-Muktafi Billah Shah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengawal kebakaran.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk disahkan punca kematian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kes masih dalam siasatan pihaknya.

Pemandu Treler Siling Dapur Maut

Al- Fatihah,
JELI- Seorang pemandu treler maut manakala kelindannya parah apabila treler yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 118 Jalan Kota Bharu- Machang- Gerik Lebuh raya Timur Barat, jam 5 pagi semalam.

Zainon Samsu, 57, berasal dari Alor Setar, Kedah maut di tempat kejadian manakala kelindannya Shamirunnizal Md Naayan, 31, dari Kangar, Perlis dihantar ke Hospital Jeli untuk menerima rawatan lanjut.

Treler dengan muatan siling dapur yang dinaiki mereka itu dalam perjalanan dari Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar berkata, setelah treler terbalik, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk sebelum berjaya diselamatkan anggota bomba.

“Mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Jeli bagi siasatan lanjut manakala kelindannya juga dirawat di hospital yang sama dan kes masih disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pemandu kenderaan berat perlu berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan yang berbukit serta mempunyai selingkuh tajam bagi mengelakkan kemalangan.

Sementara itu dalam operasi menyelamat mangsa tersepit, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Jeli, Che Engku Chik berkata, pihaknya mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa tersebut.

“Pihak bomba sampai di tempat kejadian kira-kira 5.30 pagi namun keadaan treler yang terbalik dan separuh badannya masuk ke dalam longkang, menyukarkan kami melakukan operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa dari treler itu.

“Pihak kami menggunakan sokongan kren untuk mengangkat badan treler bagi memudahkan kerja memotong bumbung treler tempat mangsa tersepit,” katanya.

Menurutnya, dengan tiga jentera bomba termasuk Hilux bersama sembilan anggota bomba dan enam bomba sukarela melancarkan lagi operasi menyelamat mangsa tersepit.

“Nasib baik kelindan yang tersepit kaki pada pintu treler sedar diri dan mampu bernafas. Ketika dikeluarkan, dia mengalami kecederaan parah dari paras pinggang ke bawah dan ketika kejadian, dia dipercayai sedang tidur,” katanya.

Wednesday, June 8, 2011

12 Pelajar Cedera Rempuh Lori Pasir


Baik pemandu bas atau pemandu van penumpang atau apa sahaja pemandu kenderaan penumpang, tanggungjawab yang dipikul adalah berat. Pemandu perlu faham bahawa nyawa penumpang adalah ditanggannya. Memang sukar untuk menerima kenyataan jika sesuatu tragedi yang tidak diinggin berlaku atas kecuaian sendiri.
 
 Inilah padahnya apabila memandu dalam keadaan mengantuk. yang menjadi mangsa adalah pelajar.




SEREMBAN: Seramai 12 pelajar dan pemandu van cedera apabila kenderaan dinaiki mereka merempuh lori tanpa muatan di Jalan Mantin-Lenggeng dekat Mantin, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, 12 pelajar Tingkatan Enam sebuah sekolah di Port Dickson dalam perjalanan pulang ke Port Dickson selepas tamat program perkhemahan selama dua hari di Bukit Broga, Semenyih, Selangor.




Jurucakap polis berkata, kejadian berpunca apabila pemandu van berusia 25 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di kawasan kejadian.

“Van itu kemudian merempuh lori 10 tan yang diletakkan di tepi jalan dari arah bertentangan, menyebabkan pemandunya dan 12 pelajar lelaki dan perempuan cedera.


“Semua yang cedera dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), manakala pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini, semalam.

Difahamkan, lima daripada mereka parah, manakala selebihnya hanya cedera ringan di beberapa bahagian anggota badan.



Sementara itu, pemandu lori, R Appavoo, 47, berkata dia dalam perjalanan dari Nilai ke Pantai, di sini, sebelum van dari arah bertentangan masuk ke laluannya.

“Saya bertindak membunyikan hon dan memberi lampu tetapi van itu terus meluru dan merempuh bahagian depan lori saya. Mungkin pemandu van berkenaan tertidur menyebabkan dia tidak sedar memasuki laluan bertentangan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat memberi kerjasama.

Tuesday, June 7, 2011

Sekeluarga Terbabas Ke Dalam Gaung


SEGAMAT: Hasrat sepasang suami isteri yang baru pulang mengerjakan umrah kelmarin, untuk mengagihkan air zam-zam dibawa dari Makkah sebagai oleh-oleh kepada keluarga di kampung tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan di sini, petang semalam.

Dalam kejadian di Kilometer 60, Jalan Muar-Segamat dekat Kampung Batu 10, kira-kira jam 3.30 petang itu, kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mazlan Dollah, 52, dan isterinya Hasnah Ahmad, 48, mati di tempat kejadian.

Kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton, yang dipandu Mazlan hilang kawalan sebelum terbabas dan menjunam serta terbalik dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter.

Tiga anak pasangan itu – Nor Faizah, 24; Nor Amirah, 14; dan Mohd Arif, 12; serta menantu mereka, Shahrul Aidil, 24; serta anak saudara, Nor Shila, tiga tahun, cedera dan dikejarkan untuk rawatan kecemasan di Hospital Segamat.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan M Anuar Ismail, berkata kemalangan berlaku apabila kenderaan dinaiki keluarga terbabit hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam gaung bersebelahan jalan.

“Difahamkan, ketika itu, keluarga terbabit dalam perjalanan ke rumah keluarga di FELDA Sri Ledang dekat sini.

“Sepasukan anggota polis dan tiga jentera Bomba dan Penyelamat Segamat dikejarkan ke lokasi kejadian dan mengambil masa sejam untuk mengeluarkan mangsa tersepit dalam kenderaan yang tercampak ke dasar gaung terbabit,” katanya.


Beliau berkata, punca sebenar kemalangan itu sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, sementara mayat mangsa dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris mereka.

Anak mangsa, Mohd Arif berkata, sejurus kemalangan berlaku, dia yang terselamat merangkak memanjat gaung terbabit sebelum dibantu seorang penunggang motosikal yang berhenti di situ untuk mendapatkan bantuan.

“Kami tinggal di Sepang, pagi tadi saya ikut ibu dan ayah yang baru balik dari umrah semalam (kelmarin), untuk menyampaikan oleh-oleh kepada saudara di Serting,” katanya.

Wanita Hancur Diseret Treler

SUNGAI PETANI: Akibat terlalu marah, kira-kira 100 lelaki menghalang polis menunda sebuah treler selepas kenderaan itu menggilis dan menyeret seorang wanita hingga hancur sebahagian tubuhnya dalam kemalangan berhampiran pekan Sungai Lalang dekat sini, malam kelmarin.

Malah, kumpulan lelaki terbabit dipercayai turut mengganggu dan cuba menghalang seorang pegawai serta anggota polis trafik menjalankan siasatan sehingga berlaku kekecohan menyebabkan laluan berkenaan sesak sejauh lima kilometer sehingga ke Bedong.

Berikutan itu, sepasukan anggota Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda terpaksa dipanggil bagi membantu meleraikan kumpulan terbabit yang dilihat menghalang tugas polis sebelum seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan.

Kekalutan itu bermula apabila sepasang suami isteri yang menaiki motosikal dipercayai bergesel dengan sebuah treler dari arah belakang ketika keluar dari stesen minyak di Jalan Sungai Petani-Alor Setar, jam 7.15 malam.

Kejadian itu menyebabkan motosikal yang dibonceng mangsa, V Muniammah, 44, dan suami, R Selvaraju, 46, terbalik dan wanita itu tercampak ke bawah treler sebelum diseret hampir 100 meter menyebabkan sebahagian tubuhnya hancur sebelum treler itu berhenti, manakala suaminya hanya cedera ringan. Pasangan suami isteri dari Ladang Sungai Getah Division 1, Jalan Bukit Selambau, itu dalam perjalanan ke rumah anak saudara mereka di Taman Desa Ria untuk meraikan sambutan hari lahir.

Saksi yang mahu dikenali sebagai Jat berkata, ketika kejadian, motosikal dinaiki pasangan itu tidak berhenti di persimpangan menyebabkannya bergesel dengan treler sebelum terbalik dan wanita berkenaan terjatuh di bawah kenderaan berat itu.

“Wanita itu diseret sejauh 100 meter dan sebahagian tubuh mangsa digilis tayar treler itu sehingga perut serta sebelah kakinya hancur dan bertaburan di atas jalan sebelum kenderaan itu berhenti, namun pemandunya melarikan diri.

“Tidak lama selepas itu, sekumpulan lelaki muncul dan mencari pemandu terbabit tetapi disebabkan gagal menemuinya, mereka menaiki treler terbabit serta mengambil kuncinya. Keadaan menjadi bertambah kecoh apabila mereka cuba menghalang anggota trafik yang bertugas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Trafik Daerah Kuala Muda, Deputi Superintendan Mohd Kamil Ahmad yang ditemui berkata kemalangan membabitkan treler dan motosikal berkenaan menyebabkan mangsa mati serta-merta di tempat kejadian. “Suami wanita berkenaan hanya cedera ringan di kepala,” katanya.

 Gambar Hiasan

 Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Maut Tercampak dari Kereta


LEMBAH BERINGIN - Seorang maut, manakala dua lagi parah akibat tercampak keluar dari kenderaan dinaiki setelah terlibat kemalangan di Kilometer 404.7 Lebuh Raya Utara Selatan selepas susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim, di sini, pagi semalam.

Mangsa yang maut warga Myanmar, Keshor Kumar berusia lewat 30-an, tercampak kira- kira 25 meter ke laluan bertentangan lebuh raya.

Dua lagi rakan mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Ipoh dan dilaporkan berada dalam kritikal.


Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira 8.10 pagi itu melibatkan sebuah kenderaan dinaiki ketiga-tiga di mana dua daripadanya warga Myanmar dan seorang lelaki yang belum diketahui identitinya namun disahkan berbangsa Cina.

“Kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki mangsa terbabas sebelum melanggar pembahagi lebuh raya.

“Seorang daripada mangsa maut di tempat kejadian dan dua lagi dikejarkan ke hospital.

“Kemalangan turut mengakibatkan enjin kereta tercabut dan terpelanting ke arah bertentangan (Kuala Lumpur - Ipoh) beberapa meter serta terkena pada sebuah kereta lain dan lori, namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, menurut beberapa saksi di lokasi kejadian, kereta mangsa dikatakan terbabas dan terbalik beberapa kali.

Kenderaan terbabit dinaiki mangsa yang dipercayai dari sebuah syarikat pemasangan perencah tapak binaan.



Kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke Subang Jaya setelah bercuti di Pulau Pinang.

Monday, June 6, 2011

Pekerja kebun maut kereta masuk longkang


LEDANG – Seorang pekerja kebun maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Bukit Gambir-Kundang Ulu berhampiran Sawah Ring, Bukit Gambir di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 pagi itu, Gan Su Huat, 56, yang memandu secara bersendirian sebuah kereta jenis pacuan empat roda dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Gresik.

Bagaimanapun setibanya di tempat kejadian, kereta pacuan empat roda mangsa dipercayai melanggar belakang kereta Proton Perdana yang dinaiki tiga pemuda.

Kereta mangsa dan Proton Perdana juga datang dari arah yang sama iaitu dari Bukit Gambir menghala ke Kundang Ulu.

Akibat pelanggaran tersebut kereta mangsa hilang kawalan dan terbalik sebelum masuk ke dalam longkang.

Selain itu, Su Huat juga dipercayai turut tercampak keluar dan badannya terhentak pada kereta yang jatuh ke dalam longkang itu.

Namun ketiga-tiga pemuda yang menaiki kereta Proton Perdana itu terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu jurucakap polis berkata, Su Huat mengalami kecederaan parah di kepala dan di badan serta disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar. 

Pelajar maut dilanggar lori




BATANG KALI - Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut setelah terbabit kemalangan di Kilometer 2, Jalan Batang Kali - Hulu Yam Bharu, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.10 tengah hari apabila motosikal ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang lori seberat satu tan.

“Kejadian berlaku berdekatan simpang empat memasuki sebuah pasar raya di sini. Mangsa, C Tulasi Rau, 17, dikatakan gagal mengawal motosikalnya sebelum melanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong tengah jalan.

“Lori terbabit dipandu warga emas, Nguan San, 61, yang dalam perjalanan ke Hulu Yam namun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Norel berkata, mangsa yang cedera dibawa oleh orang ramai ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) namun tidak dapat diselamatkan sejurus tiba di bahagian kecemasan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan bersama Pengarah Urusan Akademi Memandu PS Samy, Datuk PS Samy hadir pada upacara pengebumian mendiang di tanah perkuburan India, Kerling, di sini, semalam.

Kamalanathan melahirkan simpati kepada ahli keluarga mangsa dan meminta mereka bersabar dengan kejadian ini berkenaan.

Samy juga turut bersedih dengan mangsa yang merupakan pelajar sekolah dan bakal menduduki SPM tahun ini.

Sebelum ini, beliau pernah memberikan suntikan semangat kepada semua pelajar di sekolah mangsa belajar dengan memberikan hadiah RM300 kepada setiap pelajar yang cemerlang dalam setiap ujian bulanan.

Nasib Seorang Lans Koperal


TEMERLOH – Seorang bekas anggota polis berpangkat lans koperal kini hanya mampu terlantar selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya semasa bertugas sebagai polis pengiring di Kuala Kerai, Kelantan, lima tahun lalu.

Zainuddin Mohd Dain, 45, yang mempunyai tiga anak kini dijaga ibu bapanya dan menetap di Kampung Desa Baru Purun, di sini, sejak kejadian kemalangan itu.

Menurutnya, kemalangan yang berlaku pada petang 3 Oktober 2006 semasa dia sedang bertugas mengiring Tengku Mahkota Kelantan ke satu majlis, mengubah terus kehidupannya.

Menceritakan kembali kejadian itu, Zainuddin berkata, semasa menunggang motosikal untuk menyambut ketibaan Tengku Mahkota ke satu majlis berbuka puasa, tiba di satu selekoh, dia gagal mengawal motosikal lalu jatuh.

“Saya tidak sedar. Menurut cerita kawan-kawan, saya terbaring di atas jalan raya dan apabila dibawa ke hospital, doktor sahkan saya mengalami kecederaan pada saraf tunjang menyebabkan saya lumpuh.

“Kini, saya hanya terlantar dan cuma mampu menggerakkan kepala, manakala untuk ke bilik air dan makan, ibulah yang banyak membantu saya,” katanya.

Zainuddin berkata, semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerdau baru-baru ini, dia bersyukur kerana menerima sumbangan katil daripada pemimpin setempat namun masih mengharapkan kerajaan membantunya mendapatkan bayaran pencen lebih banyak.

“Disebabkan bersara awal, saya tidak dapat wang pencen penuh, malah kurang daripada separuh. Kalau boleh, dalam keadaan begini, saya harap dapat menerima pencen lebih daripada apa yang saya dapat sekarang.

“Saya juga merayu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan bantuan bulanan kepada ibu kerana dia yang menjaga saya selama ini,” katanya.

Zainuddin turut merayu kepada orang ramai yang simpati dengan nasibnya supaya dapat menghulurkan sumbangan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di akaun 03200-29-87092482-4 atau berhubung dengan ibunya di talian 014-8052329

Buruh Maut Terlanggar Pengadang


 Al-Fatihah...
JERANGAU – Hasrat seorang buruh pulang ke rumah untuk berehat bersama keluarga selepas minum teh bersama rakan di sebuah warung kopi berdekatan, berakhir dengan tragedi apabila dia terbunuh setelah motosikal ditunggangi terbabit dalam kemalangan dekat sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang di Kilometer 112.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa II Kampung Jerangau itu dipercayai berlaku apabila mangsa, Jefri Mohamad, 30, dari Felda Jerangau dalam perjalanan pulang selepas bertemu rakannya di Felda Jerangau Sungai.

Sebaik sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan lalu merempuh pengadang jalan.

Akibat rempuhan itu, mangsa dikatakan melambung atas jalan lalu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dia dipercayai mati serta merta di tempat kejadian.

Kejadian disedari orang ramai sebaik melihat mangsa terbaring kaku di sisi motosikalnya, sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan pihaknya. 

Warga Emas Maut Ke Masjid



Al-Fatihah...

MARANG – Seorang warga emas, Wazab Omar, 71, dari Kampung Jambu Bongkok di sini, tidak sempat menunaikan solat Asar apabila dia maut dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke Masjid Jambu Bongkok kira-kira 4.15 petang, semalam.




Dalam kejadian di Kilometer 52.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Jambu Bongkok, mangsa membonceng motosikal ditunggang suaminya, Abd Ghani Draman, 75, ketika dalam perjalanan menuju ke masjid kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Mangsa maut di tempat kejadian manakala suaminya mengalami kecederaan parah apabila tangan kirinya patah dan tempurung lutut kanannya pecah akibat dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang dalam perjalanan dari Dungun ke Kuala Terengganu.

Difahamkan, pemandu Kenari terbabit dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebuah kereta Proton Pesona dan motosikal dinaiki pasangan warga emas terbabit, serta sebuah lagi motosikal yang berada berdekatan.


Pada 20 Ogos 2010, satu tragedi pernah berlaku di sekitar sini dimana 2 beranak terbunuh apabila kereta yang mereka naiki meletup dan terbakar selepas bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan di Kilometer 50.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Pasir Putih, Jambu Bongkok di Marang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my