Inalillahi wainailaihi rojiun
17 November 2013
GERIK - Seorang pelajar perempuan yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut dalam kemalangan apabila motosikal dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan di kilometer 60.4, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, kelmarin.
Mangsa, Siti Nursyafiqah Muhamad Fuzi, 17, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad (SMKDA) Lenggong, maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Gerik.
Kemalangan pada jam 12.30 tengah hari itu turut menyebabkan penunggang motosikal yang juga sepupu mangsa, Fatin Ezwani Mohd Zaidi, 24, dan seorang penumpang kereta yang belum diketahui identitinya maut serta merta di tempat kejadian.
Pemandu dan dua penumpang kereta yang terlibat dalam kemalangan itu pula cedera dan menerima rawatan lanjut di Hospital Gerik.
Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Inspektor Mohd Zamzuri Mat Nawi berkata, Siti Nursyafiqah dan Fatin Ezwani tercampak ke atas jalan raya selepas bertembung dengan kereta secara bertentangan.
“Siasatan awal polis mendapati kereta dari arah Lenggong ke Gerik yang dipandu seorang wanita terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal dinaiki dua remaja perempuan terbabit,” katanya.
Sepupu Siti Nursyafiqah yang enggan dikenali berkata, mangsa dalam perjalanan ke sekolahnya untuk mengambil telefon bimbit yang dipinjam rakannya.
Dua remaja itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Lawin Selatan selepas solat Isyak pada hari sama.
Sementara itu di Taiping, seorang pekerja kilang turut maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain di kilometer 7.7 Jalan Taiping-Selama jam 6.30 pagi semalam.
Mangsa, Hasiah Ariffin, 48, dari Kampung Changkat Larah, Kamunting dan dalam perjalanan ke tempat kerja di Kamunting meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat. Seorang lagi penunggang motosikal hanya cedera ringan.
Katanya, lelaki berusia 30 tahun dari Taman Kaya Simpang itu dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.
“Mayat mangsa telah selamat dibedah siasat dan dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan," katanya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, memandu secara melulu menyebabkan kematian.
Yusuf berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Inspektor Razif Harun di talian 05-8291231.
Al-Fatihah
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/empat-maut-nahas-jalan-raya-1.221629