loading...

Saturday, November 5, 2011

Tak Sempat Menyambut Aidiladha

Inalillahi wainailaihi rojiun

PEKAN: Perjalanan dua sepupu pulang ke kampung halaman menyambut Aidiladha, esok, berakhir dengan tragedi apabila seorang terkorban selepas motosikal ditungganginya merempuh seekor lembu di Kilometer 26, Jalan Pekan-Nenasi di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Mohd Azizul Kamarudin, 21, dari Kampung Raja, Kuala Terengganu, parah di kepala maut di tempat kejadian.

Sebelum kejadian, mangsa yang baru sehari bekerja di Johor Bahru mengekori motosikal ditunggang sepupunya, Muhammad Hizrie Min, 23, dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu dari Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak seekor lembu melintas jalan.


“Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh di permukaan jalan dan mengalami kecederaan di kepala. Sepupu mangsa yang berada di depan menyedari kejadian itu dan berpatah semula untuk memberi bantuan namun mangsa didapati sudah meninggal dunia,” katanya.


Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan (HP) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya, kira-kira jam 12 tengah, malam kelmarin.

“Siasatan awal mendapati permukaan jalan ketika kejadian kering serta cuaca baik namun kawasan berlakunya insiden itu gelap kerana tiada lampu jalan,” kata Yahaya.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: myMetro

Thursday, November 3, 2011

Bertembung Lori Ketika Memotong



Inalillahi wainailaihi rojiun


ALOR GAJAH – Gara-gara memotong beberapa kenderaan untuk berlumba, seorang lelaki maut apabila kereta jenis Wira Aeroback yang dipandu bertembung sebuah lori tiga tan muatan sawit di Jalan Kampung Pematang Darat, berhampiran simpang tiga masuk ke Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kuala Sungai Baru, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Zaini Mohd Zaid, 37, yang berasal dari Telok Kemang Port Dickson memandu dari arah Kuala Linggi menghala ke Kuala Sungai Baru hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan lain dan bertembung dengan lori terbabit yang dipandu seorang lelaki Cina.

Pemandu lori, Gan Siang Cheng, 41, dari arah Paya Lebar menuju ke kilang sawit Sri Lingga, Kuala Linggi, berkata, dia mencuba mengelak ke kiri jalan, namun kereta terbabit dipandu laju merempuh bahagian hadapan lorinya.

“Sebaik melalui selekoh, kereta yang sudah hilang kawalan itu tiba-tiba muncul sebelum terbabas dan berpusing di laluan saya,” katanya.

Menurut Gan yang memandu berseorangan, dia tidak sempat membunyikan hon atau memberi isyarat lampu tinggi kerana kereta terbabit sudah hilang kawalan dan dia hanya mampu mengelak sebelum terbabas ke bahu jalan.

Seorang saksi yang enggan dikenali mendakwa, terdapat kereta di hadapan lori sawit terbabit yang mahu memasuki simpang kanan sebelum kemalangan itu berlaku.

“Kejadian berlaku dalam sekelip mata apabila saya lihat lori yang dipandu bergegar kuat terus di bahu kiri jalan sebelum saya menyedari kereta mangsa sudah terbabas di jalan asalnya,” katanya.

Seorang lagi saksi, Azmi Harun, 47, yang memandu tidak jauh dari kereta mangsa mendakwa, kereta tersebut ada memotong keretanya dan dilihat seperti sedang berlumba dengan kereta lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, R Bajiyen, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, mangsa yang tidak tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan dengan mudah tanpa memerlukan pemotongan pada bahagian kereta.

Operasi tersebut diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Zainuddin Joned bersama sembilan anggota lain dengan kekuatan satu jentera dan sebuah pacuan empat roda berjaya mengeluarkan mangsa yang sudah meninggal dunia kurang dari tiga minit.

“Disebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, orang awam tidak berani menyentuh atau mengeluarkan mangsa sehingga anggota bomba tiba dan seterusnya dihantar ke Hospital Melaka menggunakan kenderaan polis,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Umar Ali Saifuddin Shaharudin, mengesahkan kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu.

Menurutnya, mayat mang­sa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat sementara pemandu lori yang mengalami cedera ringan menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian

Penunggang Maut Rempuh Lembu

Inalillahi wainailaihi rojiun


KUANTAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh seekor lembu di Km 26 Jalan Pekan-Rompin, malam tadi.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata dalam kejadian 8 malam itu, Mohd Azizul Hakim Kamaruddin, 21, berkonvoi bersama sepupunya ke Kuantan dari Nenasi, Pekan.

"Sampai di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa telah merempuh seekor lembu yang tiba-tiba melintas jalan berkenaan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pemandu lori maut selepas kenderaannya terbabas sebelum terbalik di Km 59 Jalan Lipis-Merapoh pada 4.30 pagi semalam.


Zainalabidin berkata ketika kejadian, Azman Jamaluddin, 35, bersama rakannya dalam perjalanan dari arah Lipis ke Merapoh sebelum lori yang membawa muatan buku itu terbabas dan terbalik.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku ketika kenderaan terbabit menuruni bukit serta melalui jalan berselekoh.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya hanya mengalami kecederaan ringan. - BERNAMA

Al-Fatihah

Sumber: myMetro

Kemalangan Maut 3 Sekeluarga

 KEADAAN kereta Proton Saga Aeroback yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan tiga sekeluarga maut berhampiran Kampung Kubang Rusa, Kuala Lipis-HARIS FADILAH AHMAD/kosmo

Inalillahi wainailaihi rojiun 

LIPIS - Sepasang suami isteri dan seorang warga emas maut dalam satu kemalangan di Kilometer 81 Jalan Lipis-Merapoh berdekatan Kampung Kubang Rusa, kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, pasangan suami isteri ­ter­babit, Nik Abdullah Nik Isa, 52, dan Nor Aizan Muhamad, 49, ­meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibu kepada Nik Abdullah, Siti Long, 78, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang.

Sinar Harian

Menurutnya, seorang lagi ­penumpang yang juga adik kepada Nik Abdullah, Nik Norizan Nik Isa, 38, cedera parah dan menerima ­rawatan di Hospital Gua Musang.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Saga Aerobik dipandu Nik Abdullah dari arah Lipis ke Merapoh hilang kawalan dan ­masuk ke laluan bertentangan.

“Dalam masa sama, sebuah ­kenderaan pacuan empat roda di­naiki dua lelaki dari arah Merapoh ke Lipis menyebabkan kedua-dua ­kenderaan itu bertembung,” katanya, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, jenazah Nik Abdullah dan Nor Aizan dibawa ke Hospital Lipis untuk dibedah ­sebelum dituntut ahli keluarga.

Menurutnya, kes disiasat di ­bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta berhubung dengan Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan di talian 09-312 2222 untuk membantu siasatan.

Sementara itu, anak sulung ­arwah Nik Abdullah, Nik Mohd Shahfuleezan, 27, berkata, sebelum kejadian ayahnya ada meng­hubunginya dan memaklumkan ­bahawa mereka ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk pemeriksaan lanjut mata arwah neneknya.

“Mereka pergi hari semalam (­kelmarin) dan sempat tidur di Temerloh. Ayah juga memberitahu bahawa dia kurang sihat tetapi tetap gagahkan diri untuk pergi ke Temerloh,” katanya kepada Sinar Harian di Rumah Mayat Hospital Lipis semalam.

Nik Mohd Shahfuleezan ­berkata, dia yang bekerja di Kuala Lumpur terkejut apabila dimaklumkan ­mengenai berita yang menimpa ahli keluarganya dan bertindak pulang segera ke Lipis.

“Kejadian ini berlaku sekitar lima kilometer sebelum sampai ke rumah. Lebih memilukan, peristiwa ini berlaku beberapa hari lagi sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha.

“Ibu dan ayah tidak menunjukkan apa-apa perubahan ketara ­sebelum ini. Walaupun sedih namun saya pasrah dan menganggap ia ­sebagai ujian dari ALLAH SWT,” katanya.

Nik Mohd Shahfuleezan ber­kata, jenazah ibu, ayah dan neneknya dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Merapoh pada malam itu juga.

Sementara itu, seorang saksi, Hamdan Mat Husin, 43, berkata, setelah mendapat tahu berita itu, dia bergegas ke tempat kejadian dan terkaku apabila melihat orang kampungnya sendiri terlibat dalam kemalangan.

Hamdan berkata, dia tergamam apabila melihat keadaan Saga Aerobik remuk teruk manakala keadaan Nik Abdullah lemah longlai di bahagian pemandu.

“Ketika sampai di tempat ­kejadian, saya lihat arwah Nik Abdullah masih bernyawa manakala isterinya sudah tidak bergerak lagi.

“Saya tidak mampu berbuat­ ­apa-apa termasuk mengajar arwah mengucap kerana terkejut melihat ­keadaan yang menyayat hati itu,” katanya.

Hadir sama menziarahi jenazah di Rumah Mayat Hospital Lipis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Al-Fatihah

Sumber: Kosmo
              Sinar Harian

Wednesday, November 2, 2011

Kemalangan di Taman Indah



Seramai lima ­individu cedera apabila kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam satu kemalangan ­membabitkan sebuah bas henti-henti dan tiga kenderaan di persimpangan lampu ­ isyarat Taman Indah, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 3.45 petang itu, tiga daripada lima individu cedera parah apabila sebuah bas henti-henti dikatakan gagal memberhentikan kenderaan dan melanggar sebuah kereta yang sudah berhenti susulan lampu isyarat merah.

Menurut salah seorang mangsa, Mustafa Cik Man, 46, ketika kejadian hujan lebat dan angin kencang.

Bagaimanapun, beberapa kenderaan dari arah Gemas sudah pun memberhentikan kenderaan kerana lampu ­isyarat sudah menunjukkan tanda berhenti.

“Namun, secara tiba-tiba sahaja kereta Proton Wira saya dilanggar dari belakang oleh sebuah bas henti-henti dan terdorong ke hadapan lalu ­menyebabkan dua kenderaan lain turut berlanggar.

“Saya cemas kerana ketika kejadian saya dan isteri, Norliza Musa, 38, dan dua anak dalam perjalanan pulang dari Kuala Pilah ke Kem Terendak, Melaka,” katanya, kelmarin.

Mustafa berkata, tambah mencemaskannya lagi, ­ susulan kejadian berkenaan, isteri dan anak-anaknya cedera di bahagian muka dan kepala serta dikejarkan ke Hospital Tampin (HT) oleh sebuah ­ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Pemandu dan penumpang sebuah lagi kenderaan di hadapan kereta saya juga turut cedera dan dikejarkan ke HT susulan insiden berkenaan,” katanya

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang mengesahkan kejadian berkenaan dan meminta saksi supaya tampil bagi membantu siasatan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai ­maklumat boleh tampil ke ­balai polis berdekatan atau menyalurkan maklumat ­menerusi talian 06-4411221 atau 06-4411222,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Tuesday, November 1, 2011

Berpantang Maut Sebelum Ajal



LIPIS - Seorang wanita yang mengandung berpantang maut sebelum ajal apabila kereta yang dipandunya terbabas sebelum melanggar besi pengadang jalan dalam satu kemalangan dekat Jeram Bungor, petang kelmarin.

Lebih mencemaskan lagi apabila kepala wanita berkenaan nyaris ditembusi besi pengadang jalan terbabit.

Dalam kejadian itu, mangsa yang baru sahaja menghabiskan cuti hujung minggu di Temerloh sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lipis.

Ketika sampai di tempat kejadian, dia gagal mengawal kenderaan dan merempuh pembahagi jalan menyebabkan keretanya remuk teruk di bahagian depan.

Bagaimanapun, wanita terbabit selamat kerana hanya mengalami pendarahan di hidung dan menerima rawatan lanjut di Hospital Lipis.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian dia bersama ibunya sedang memandu di belakang kereta mangsa sebelum melihat kenderaan yang dipandu mangsa terbabas ke bahu jalan dan menghentam pembahagi jalan.

“Saya terkejut kerana kejadian berkenaan berlaku di depan mata saya. Saya bersama pemandu lain yang melalui jalan berkenaan bertindak menghentikan kereta dan membantu mangsa.

“Orang ramai juga bertindak menanggalkan bateri kereta mangsa bagi mengelakkan berlakunya letupan berikutan asap tebal keluar dari kenderaan,” katanya.

Sehingga tengah hari semalam mangsa belum membuat sebarang laporan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis.

Sumber: Sinar Harian

Bakal Pengantin Maut



Inalillahi wainailaihi rojiun 

KEMAMAN – Rancangan seorang juruteknik untuk melangsungkan perkahwinan dengan tunang tercinta beberapa bulan lagi tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal yang ditunggangi hilang kawalan sebelum merempuh pengadang jalan dalam kejadian di Jalan Mak Lagam – Pengkalan Binjai, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Abdul Alim Muda @ Abu Bakar, 23, yang merancang untuk berkahwin pada Mac tahun depan dengan gadis pilihan hatinya, Nur Hafizah Hamid, 20, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan selepas dikejarkan ke Hospital Kemaman.

Lebih menyentuh hati, mangsa yang terbabas seorang diri dan terbaring di atas jalan dalam keadaan cedera pada badan, ditemui sendiri oleh bakal bapa mentuanya yang kebetulan melalui jalan itu, sebelum dia dibawa ke hospital.

Bapa mangsa, Muda @ Abu Bakar Salleh, 63, berkata, musibah yang menimpa anaknya itu yang merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik, diketahuinya selepas mendapat panggilan telefon daripada abang Abdul Alim yang berada di hospital petang kelmarin.

Katanya, kehila­ngan­ anaknya itu tidak disangka apatah lagi anaknya yang bekerja Pelabuhan Kuantan, Gebeng, Pahang dalam keadaan sihat sebelum itu, dan hanya menunggu waktu untuk melangsungkan perkahwinan selepas mengikat tali pertunangan pada Ogos lalu.

“Namun, sejak belakangan ini anak saya (Abdul Alim) menjadi sedikit pendiam, malah beberapa hari sebelum ini saya ada berpesan kepadanya agar jangan keluar malam dan dia hanya mengangguk.

“Arwah seorang anak yang baik, kami sekeluarga sayangkannya namun kami reda kerana ALLAH lebih sayangkannya,” katanya yang juga seorang nelayan ketika ditemui di rumahnya di Jalan Kurau, Kampung Geliga, dekat sini, petang kelmarin sebelum jenazah dibawa ke tanah perkubu­ran­ untuk dikebumikan.

Turut menziarahi keluarga mangsa, Yang Dipertua Pas Bahagian Kemaman, Ismail Harun dan Pengarah Pas Majlis Tindakan Dun Chukai, Hanafiah Mat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kejadian itu berkata, motosikal Yahama 125Z yang ditunggangi Abdul Alim dipercayai hilang kawalan sewaktu melalui selekoh sebelum terlanggar pengadang jalan dan seterusnya mangsa dijumpai oleh bakal bapa mentua dan orang awam yang melalui laluan itu.

“Mangsa dalam perjalanan dari Mak Lagam sebelum terbabas di selekoh untuk naik ke jalan jambatan kereta api berdekatan jambatan baru Pengkalan Binjai,” katanya.
Jenazah dituntut keluarga mangsa kira-kira jam 11.30 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Geliga.

Al-Fatihah

Sumber: SH

Dua lelaki nyaris maut di Kota Bharu



KOTA BHARU - Dua lelaki nyaris maut apabila kereta dipandu berasingan dirempuh dalam kemalangan yang melibatkan lima kenderaan di Pasir Hor, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, pemandu kereta jenis Proton Wira serta Perodua Kancil cedera akibat tersepit hampir 30 minit, manakala lima penumpang kenderaan berasingan terselamat dan mangsa dihantar ke hospital berhampiran selepas dikeluarkan oleh anggota bomba dengan bantuan orang ramai.

Difahamkan, sebelum kejadian salah sebuah kereta mengelak daripada lopak air yang kemudiannya terbabas lalu merempuh beberapa kenderaan lain termasuk menyebabkan sebuah kereta Perodua Kancil diletakkan berhampiran rumah turut dilanggar.

Seorang mangsa, Mohd Seli Ibrahim, 42, yang juga peniaga kedai makan memberitahu, sebelum kejadian dia melihat terdapat sebuah kereta di depannya dipandu laju dan tiba-tiba kenderaannya dirempuh.

“Saya tidak dapat melihat kenderaan mana yang melanggar kereta saya kerana kejadian ini sangat pantas dan dalam masa sama kereta saya berpusing beberapa kali sebelum terbalik.

“Selepas itu, saya cuba keluar tetapi tidak berdaya kerana kedua-dua kaki saya tersepit dan ketika itu saya hanya mampu mengerang kesakitan sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, semalam.

Mohd Seli berkata, sebelum kejadian dia bersama seorang warisnya dalam perjalanan dari rumahnya di Panji untuk memulakan perniagaannya di Terminal Agribisnes Negara, Tunjong dan akibat kemalangan itu kedua-dua kaki dan tangan kanannya patah.

Sementara itu, seorang penduduk, Zakirah Ismail, 30, berkata, dia menyedari kejadian tersebut apabila mendengar letupan dan setelah melihatnya dari tingkat atas rumahnya didapati sebuah kereta Perodua Kancil berasap dan beberapa kenderaan lain rosak.

“Saya terus keluar dan terkejut kerana melihat kereta Kancil saya turut kemik, pintu rumah termasuk beberapa kelengkapan kediamannya juga rosak akibat dirempuh oleh salah sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan ini,” katanya.

Zakirah berkata, dia bersyukur kerana ketika kejadian anak-anaknya tidur di tingkat atas rumahnya dan akibat kejadian itu dia mengalami kerugian kira-kira RM8,000.

Dalam pada itu, Ketua Operasi, Zainuddin Senawi berkata, sebuah jentera bomba bersama satu kenderaan utiliti dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.29 pagi.

“Bomba mengambil masa hampir 10 minit untuk melakukan kerja-kerja memotong kenderaan dan mengeluarkan mangsa secara berhati-hati kerana keadaan keretanya yang sangat remuk.

“Ketika itu, saya cuba menenangkan mangsa kerana dia merintih supaya mengeluarkannya dari remukkan tersebut,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Video Kemalangan Jalan Raya Oktober 2011



Kemalangan 6 Kereta 2 Parah.




Kemalangan di Guthrie Highway Northbound berhampiran persimpangan Bukit Jelutong 11Oktober2011





Kemalangan di plus highway arah Melaka ke Kuala Lumpur, sebelum susur keluar PD, pada 23/10/2011 jam 3.20PM





Kemalangan maut yang berlaku di Jalan Lahat - Pengkalan sekitar pukul 2.30 petang, 17 Oktober 2011




3 Mati, 5 Parah - Kemalangan Pekerja Warga Asing




kemalangan dijalan watan 25 antara motorsikal dengan sebuah teksi




Kemalangan pada 28.10.11 di Jalan Kota Tinggi Kulai

Mohon Lampu di Jalan Tenglu Laut

MERSING 31 Okt. - Penduduk di sekitar Jalan Tenglu Laut di sini merayu pihak berkuasa segera menyediakan lampu di sepanjang jalan tersebut bagi kemudahan pengguna.

Seorang penduduk, Marsilla Johar, 55, mendakwa, laluan itu terlalu gelap waktu malam kerana ketiadaan lampu jalan.

"Selain gelap, laluan itu juga sunyi kerana tiada sebarang kedai di sekitar kawasan berkenaan," katanya semasa ditemui Utusan Malay-sia baru-baru ini.

Dia kerap menggunakan Jalan Tenglu Laut kerana ia merupakan jalan pintas ke rumah rakannya di Kampung Air Papan.

Norfaizah Mohd. Yusof, 25, pula mengakui takut setiap kali melalui jalan itu kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku pada waktu senja.

"Walaupun senja, namun laluan di sepanjang Jalan Tenglu Laut ini sudah mula gelap dan ia tambah membimbangkan kerana ia bertentangan dengan laut," katanya.

Ekoran ketiadaan lampu jalan, dia yang menunggang motosikal bimbang terlanggar haiwan ternakan atau pejalan kaki.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia pada waktu malam di laluan itu mendapati, keadaan di sekeliling amat gelap dan boleh mendatangkan pelbagai bahaya.

Justeru, pihak yang berkaitan diminta segera memasang lampu di sepanjang laluan itu demi keselesaan dan keselamatan orang ramai.

Sumber: Utusan Malaysia

Staf DBKL Maut Digilis Bas



Inalillahi wainailaihi rojiun

KUALA LUMPUR – Seorang isteri  tidak menyangka perbualan singkat bersama suami tersayang sebelum keluar bekerja adalah yang terakhir  sebelum suaminya itu maut  dalam kemalangan  di Jalan Genting Kelang semalam.

Dalam kejadian  jam 8.15 pagi itu   mangsa dikenali sebagai Azman Mahmed, 45 yang menunggang motorsikal Kriss  dikatakan  bergesel dengan dua buah motorsikal lain sebelum terjatuh dan  digilis oleh sebuah bas yang datang dari arah belakang.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning ketika dihubungi  berkata mangsa yang mengalami kecederaan pada kepala maut serta merta ditempat kejadian.

Menurutnya siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari Setiawangsa menuju ke Bulatan Pahang untuk ke tempat kerjanya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Jalan Raja Laut.

“Dua lagi penunggang motorsikal yang cedera  dikejarkan ke wad kecemasan  HKL manakala pemandu bas yang melanggar mangsa sudah membuat laporan polis,”katanya

Menurutnya kes  disiasat  di bawah seksyen 41(1), akta pengangkutan jalan 1987 mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Sementara itu isteri mangsa Wan Noraizan Wan Ismail, 40 yang datang ke tempat kejadian bersama beberapa ahli keluarganya  memberitahu tiada sebarang perubahan pada diri suaminya sebelum keluar dari rumahnya di Flat Sentul Utara 3 dekat sini.

Menurutnya,  arwah  hanya sempat memberitahunya bahawa dia  perlu hadir pada  mesyuarat pagi itu dan harus segera ke tempat kerja.

Difahamkan  mangsa bekerja sebagai Operator Pemprosesan  Data di  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Al-Fatihah...

Sumber: Sinar Harian

Pelajar Maut Bertembung Ambulans


 Inalillahi wainailaihi rojiun

ALOR SETAR 31 Okt. - Akibat tidak memberi laluan kepada sebuah ambulans, seorang remaja lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya bertembung dengan kenderaan itu yang sedang membelok di Kampung Pokok Asam, Jalan Langgar dekat sini, malam tadi.

Kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 8 malam, namun remaja itu, Muhammad Mu'az Johari, 13, dari Kampung Alor Raja meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kira-kira pukul 10 pagi ini.

Ketika kejadian, ambulans itu dalam perjalanan ke Kampung Pokok Asam untuk mengambil seorang warga emas yang sakit tenat.

Difahamkan, berikutan kemalangan tersebut, pesakit yang sepatutnya diambil ambulans itu meninggal dunia. Ambulans yang sama digunakan untuk menghantar remaja tersebut ke HSB untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan memberitahu, motosikal jenis Modenas Kriss yang dinaiki oleh remaja terlibat bertembung dengan ambulans yang ketika itu mahu membelok di sebuah simpang kanan.

"Sebelum kemalangan, beberapa kereta telah berhenti untuk memberi laluan kepada ambulans itu membelok ke simpang menghala ke Kampung Pokok Asam.

"Bagaimanapun, sewaktu ambulans itu membelok, sebuah motosikal tiba-tiba muncul dan gagal mengelak lalu bertembung dengan ambulans tersebut," katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Katanya, remaja itu dikatakan tidak memakai topi keledar, cedera parah di kepala akibat hentakan kuat pada cermin ambulans selain kaki kanannya patah.

"Pemandu ambulans dan tiga pegawai perubatan di dalam ambulans tidak mengalami kecederaan dan keterangan mereka sudah diambil," katanya sambil memberitahu kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah Muhammad Mu'az yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alor Setol, Jalan Langgar hari ini.

Al-Fatihah...



Kota Setar police chief ACP Adzaman Mohd Jan said Muhammad Mu’az Johari, 13, from Kampung Alor Raja, Langgar near here, sustained severe head injuries and a broken leg after his Modenas Kriss motorcycle collided with the ambulance which was heading to the village to fetch a patient, at 8pm.

“Three medical officers in the ambulance then took the victim to Sultanah Bahiyah Hospital for treatment, but he succumbed to his injuries at 10am yesterday,” he told reporters here yesterday.

Adzaman said the ambulance driver and the three medical officers were unhurt.

Based on the condition of the ambulance and the motorcycle, we believe that the victim was speeding,” he said, adding that the case was being investigated under Section 41 of the Road Transport Act 1987. — Bernama

Sumber: Utusan Malaysia
              The Borneo Post

Monday, October 31, 2011

Tragedi Pulang Berkaraoke



SEREMBAN 30 Okt. - Kegembiraan lima sahabat selepas menghadiri satu majlis di pusat karaoke bertukar tragedi apabila seorang daripadanya terbunuh selepas kereta yang mereka naiki terbabas di Kilometer 19.3 Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) arah utara dekat sini, hari ini.

Dalam kemalangan pukul 7.15 pagi itu, mangsa, Lee Zin Hao, 25, yang bekerja sebagai mekanik maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan selepas tercampak dari kenderaan dipandunya itu.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa memandu kereta Chevrolet Aveo bersama empat lagi rakannya berusia 20-an hingga 30-an dari Seremban menuju ke Kajang, Selangor.

Difahamkan, kelima-lima mereka yang berasal dari Kajang baru sahaja selesai menghadiri satu majlis di sebuah pusat karaoke di bandar ini.

"Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi lebuh raya lalu merempuh besi penghadang jalan.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa dan seorang lagi penumpang di belakang tercampak keluar dari kenderaan sejauh kira-kira 10 meter," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, pemandu kereta itu mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan manakala seorang rakannya yang tercampak turut mengalami kecederaan serius dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS).

"Seorang lagi penumpang di dalam kereta terbabit turut mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut manakala dua lagi rakan mangsa hanya diberi rawatan sebagai pesakit luar," jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

"Kami masih menyiasat punca sebenar kejadian dan mayat mangsa kini berada di HTJS untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia

Pertembungan Camry dan Treler


 JALAN TRAS – Seorang lelaki maut tersepit di tempat duduk pemandu apabila keretanya bertembung dengan sebuah lori treler di Kilometer 355 Jalan Raub – Bentong dekat Hotel Ti Wang.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, Cif Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata, kemalangan pada jam 4.30 petang kelmarin itu melibatkan mangsa, Kong Chee Wah, 41, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Chee Wah memandu kenderaan jenis Toyota Camry dari arah Bentong.

“Tiba di tempat kejadian, mangsa gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung bahagian hadapan lori treler yang penuh muatan.

“Kereta mangsa terseret ke tepi jalan bersama lori treler yang kemudiannya merintangi jalan sehingga menimbulkan kesesakan trafik dari kedua arah,” katanya.

Mohd Nazlan berkata, mangsa yang berasal dari Taman Indah, Sempalit, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Katanya, pemandu lori treler terbabit hanya mengalami kecederaan ringan.

“Pasukan bomba dan penyelamat Raub mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta menghubungi talian kilat polis Raub menerusi 09-3554999,” katanya.

 Sumber: Sinar Harian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my