loading...

Saturday, August 24, 2013

Mekanik maut diseret treler 300 meter



24 Ogos 2013
KEPALA BATAS 24 Ogos - Seorang mekanik maut dalam keadaan tragis apabila dia cedera parah digilis sebuah treler di Kilometer 123.1 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur keluar Bertam di sini petang ini.

Kejadian berlaku pukul 1.56 petang ketika mangsa, Lam Siong Yew, 40-an berasal dari Kepong, Selangor menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari Sungai Dua menghala ke Kepala Batas menunggang motosikal berseorangan.

Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya selepas merempuh bahagian tepi belakang sebuah kereta Proton Savy yang berhenti di tepi laluan itu.

Akibat rempuhan itu motosikal dinaiki mangsa terbabas dan mangsa terjatuh di atas laluan berkenaan menyebabkan sebuah treler datang dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh mangsa dan mengheretnya sejauh hampir 300 meter.

Pemandu treler itu memberhentikan kenderaannya dan mendapati mangsa tersepit di bahagian tayar kenderaannya.

Menurut jurucakap polis, mangsa yang terperosok di bawah motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di muka, kepala serta beberapa bahagian lain.

Kemalangan itu mengakibatkan berlaku kesesakan teruk selepas plaza tol Sungai Dua semasa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130825/dn_13/Mekanik-maut-diseret-treler
nst.com.my/latest/mechanic-killed-in-crash-in-nse-in-kepala-batas-1.343234






Pemandu lori maut



24 Ogos 2013
BATU PAHAT – Seorang pemandu maut setelah lori satu tan yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 76, Lebuh raya Utara Selatan (PLUS).

Kejadian kira-kira jam 11.10 pagi berhampiran Ayer Hitam–Machap itu menyebabkan mangsa, See Lam, 73, maut di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian badan serta kepala.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa bersama dengan seorang kelindan yang identiti mangsa masih disiasat, dipercayaiadalam perjalanan dari Muar menuju ke arah Johor Bahru.

Menurutnya, ketika menghampiri lokasi kejadian, lori yang dipandu mangsa  dipercayai hilang kawalan dan melanggar pengadang di sebelah kanan  sebelum kenderaan berkenaan terbalik.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya,” katanya.

Din berkata, kelindan lori berkenaan yang berumur sekitar 40an itu juga cedera parah dan kini dirawat di HSNI.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 .

"Sesiapa yang melihat atau mempunyai maklumat diminta untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Bagi mengelakkan kejadian kemalangan seperti ini berlaku, orang awam dinasihatkan supaya memandu kenderaan secara berhemah dan lebih berhati-hati,” katanya

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/kemalangan-pemandu-lori-maut-1.195081



10 minit 3 kemalangan



24 Ogos 2013
KUALA KANGSAR - Dalam masa tidak sampai 10 minit, tiga kemalangan berlaku di tiga kawasan berhampiran di Jalan Taiping - Kuala Kangsar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, tiga orang cedera dan dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Mohd Haspi Hamzah berkata, tiga kemalangan tersebut berlaku dipercayai berpunca daripada kemalangan pertama yang berlaku berhampiran simpang masuk ke Kampung Talang.

Menurutnya, kesesakan jalan yang berlaku dipercayai menjadi punca kenderaan di belakang berlanggar sesama sendiri dan ada yang terbabas ke kiri jalan.



Kemalangan pertama melibatkan dua motosikal yang agak teruk dengan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan.

“Kesesakan yang berlaku mungkin menyebabkan ada pemandu yang gagal kawal kenderaan mereka,” katanya.

Menurut seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Kangsar, Haidir Tamizi, dia dan rakan setugas bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, tiba di lokasi kejadian, mereka diarahkan untuk pergi ke lokasi lain yang berhampiran kerana terdapat seorang penunggang motosikal terbabas.

"Ketika sedang membantu mangsa, kami dikejutkan dengan bunyi seretan tayar diikuti dentuman tidak jauh dari tempat kami membantu mangsa kemalangan ini.

“Dalam masa lima minit atau lebih, tiga kemalangan berlaku di kawasan yang sangat hampir. Masa kami bantu mangsa kemalangan ini, satu lagi kemalangan melibatkan tiga kereta berlaku di belakang kami,” ujarnya.

Katanya, pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan melihat tiga kereta berlanggar sesama sendiri dan tiga kemalangan itu menyebabkan jalan menjadi sesak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar mengesahkan menerima satu daripada tiga laporan kemalangan tersebut.

Beliau turut menasihatkan pengguna terutamanya penunggang motosikal supaya berhati-hati dan tidak cuai ketika berada di jalan raya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/3-kemalangan-dalam-10-minit-1.195155



Pelajar Sri Maharaja maut dirempuh van



Inalillahi wainailaihi rojiun

24 Ogos 2013
PASIR PUTEH - Seorang pelajar maut manakala rakannya cedera apabila motosikal mereka dirempuh van dalam nahas yang berlaku jam 1.40 petang di Sungai Kelong, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd Kamal Zainal berkata, nahas itu berlaku ketika dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Maharaja, Bukit Abal itu dalam perjalanan untuk pulang ke rumah.

Katanya, Ahmad Amirul Faqarul Amin Sulaiman, 14, mati di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggang rakannya, Ahmad Akif Muhamad Ramli, 14, dirempuh van dari arah Sungai Kelong.

“Berdasarkan siasatan, motosikal itu dikatakan tidak berhenti ketika tiba di simpang Sungai Kelong ke Banggol Pa’Esah sebaliknya terus membelok ke kanan.

“Van yang dipandu lelaki dikenali sebagai Zainol Azhar Zahari terlanggar mangsa sebelum van terhumban ke dalam parit, dia bagaimanapun tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Mohd Kamal berkata, Ahmad Amirul yang tidak memakai topi keledar cedera di kepala dan patah paha kiri manakala rakannya patah kaki kiri.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/pelajar-maut-dirempuh-van-1.195050


Friday, August 23, 2013

Empat Sahabat Maut Bertembung Pacuan Empat Roda



Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Ogos 2013

TANAH MERAH: Empat sahabat maut apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Km54.5 Jalan Machang-Jeli berhampiran simpang empat Kampung Bechah Laut, Machang di sini awal pagi Jumaat.



Dalam kejadian kira-kira 4.40 pagi itu, kereta Kancil yang dipandu Fauzairi Mohammad, 22, dari arah Jeli ke Machang terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung Toyota Hilux dipandu bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Terengganu, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh, 46.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Abdul Aziz Mahmud berkata selain Fauzairi dari Kampung Wakaf Beta di Machang, turut maut di tempat kejadian ialah Muhammad Fakhrunizam Ibrahim, 19, dan Mohamad Hafiz Hakimi Mohamed, 24, yang masing-masing berasal dari Kampung Ka'abah, Machang.

Muhammad Noranas Nordin, 20, dari Kampung Wakaf Bata pula meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Tanah Merah manakala Nik Muhammad Zawawi dilaporkan tidak cedera.

"Keempat-empat mangsa tersepit di dalam kereta yang remuk di bahagian depan akibat pertembungan itu. Polis meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Machang untuk mengeluarkan kesemua mangsa," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini.

Abdul Aziz berkata keempat-empat sahabat itu parah di badan dan kepala yang menyebabkan kematian mereka.

Ketika kejadian, Muhammad Fakhrunizam berada di bahagian penumpang depan manakala Mohamad Hafiz dan Muhammad Noranas duduk di bahagian penumpang belakang.

Sementara itu, ibu Muhammad Fakhrunizam, Hasnah Yusoff, 45, berkata anak bongsu daripada empat beradik itu keluar rumah kira-kira 9 malam tadi selepas dihubungi rakan yang mengajaknya ke Kota Baharu.

"Arwah sempat makan malam di rumah bersama kami. Dia kerja kampung, petang semalam baru dapat gaji. Mungkin kawan ajak keluar untuk membeli-belah di Kota Baharu.

"Saya dapat tahu mengenai kemalangan itu kira-kira 5 pagi tadi selepas dihubungi seorang anak saudara dan bergegas ke tempat kejadian," katanya ketika ditemui di Hospital Tanah Merah di sini.

Jenazah keempat-empat mangsa disemadikan di kampung masing-masing pada 5 petang tadi selepas bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Tanah Merah. -BERNAMA

Al-Fatihah

Sumber:
mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2013/8/23/mstar_jenayah/20130823180158&sec=mstar_jenayah
hmetro.com.my/articles/Empatsahabatmaut//Article
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm



DSP maut nahas

Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Ogos 2013
KUANTAN - Pegawai Turus Trafik Pahang DSP Mohd Rizal Abdullah yang terbabit kemalangan jalan raya pada 15 Ogos lepas, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini hari ini.

Mohd Rizal, 55, meninggal dunia jam 6.52 pagi, kata Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang ASP Zainalabidin Othman.

"Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Wad ICU Teratai pagi tadi selepas lebih seminggu dirawat di hospital itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya jenazah Allahyarham dihantar ke Sungai Petani, Kedah untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kelisa.

Pada 15 Ogos lepas, Mohd Rizal cedera parah selepas kereta dipandunya melanggar belakang treler muatan konkrit di jalan pintasan di Jalan Kuantan pada 7 pagi semasa dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Gebeng. - Bernama

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/dsp-terbabit-kemalangan-meninggal-dunia-1.194982



Wednesday, August 21, 2013

Bas persiaran terhumban dalam gaung


BENTONG: Sebuah bas persiaran terhumban ke dalam gaung di KM3, Lebuh Raya Karak menghala Kuala Lumpur pada kira-kira jam 2.45 petang tadi.


Setakat ini tiada laporan mengenai nasib penumpang bas persiaran terbabit. ANGGOTA Bomba dan Penyelamat sedang mengeluarkan mangsa kejadian selepas sebuah bas persiaran terhumban ke dalam gaung di KM3, Lebuh Raya Karak menghala Kuala Lumpur. Kira-kira 30 penumpang terperangkap dalam bas berkenaan

Ikuti Laporan Langsung Wartawan Utusan Online 2013 Live (KLIK)




KUALA LUMPUR - Seramai 37 terkorban manakala 16 cedera, dalam nahas bas ekspres yang membawa 53 orang, terjunam 60 meter ke dalam gaung di KM3.5 Jalan Genting Highlands hari ini.
 
Mangsa yang maut terdiri daripada 27 lelaki dan 10 wanita, kata Penolong Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Soiman Jahid.
 
Antara yang terbunuh dalam tragedi itu ialah warga Bangladesh, Thailand dan China.
 
Mereka yang cedera termasuk yang dilaporkan kritikal kini dirawat  di Hospital Selayang (lapan), Hospital Kuala Lumpur (lima), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Bentong masing-masing dua mangsa.
 
Kemalangan kira-kira pukul 2.45 petang itu berlaku ketika bas berkenaan menuruni jalan curam dari puncak Genting Highlands menuju ke ibu negara.

Kira-kira 450 anggota bomba, polis dan Jabatan Pertahanan Awam terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian.


Soiman berkata punca kemalangan masih belum diketahui dan pihaknya juga masih belum menemui saksi kejadian.
 
"Tapi kami merasakan keadaan fizikal jalan ini menuruni cerun. Memanglah cerun ini agak menjunam, jadi sekiranya ia tidak dikawal dengan sempurna menyebabkan bas tergelincir dan jatuh ke gaung. Ini penilaian awal daripada pihak penyelamat," katanya.

Sementara itu Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL Datuk Seri Dr Abu Hassan Assari Abdullah pada sidang media berkata kesemua mangsa yang dirawat di hospital itu dilaporkan stabil.
 
Katanya setakat ini 20 mayat telah dihantar ke HKL.
 
Antara warga asing yang cedera dalam nahas itu ialah dari Bangladesh dan Thailand.


Berikut senarai yang menerima rawatan di HKL:

1. Wong Teraphong, 63 - Thailand
2. Ali Haider Syed Haider , 46 - Bangladesh
3. Saidah, 19 - Malaysia
4. Razif, 26 - Malaysia
5. Tan Ming Shing, 26 - Malaysia



Berikut nama mangsa yang cedera dan dirawat di Hospital Selayang
 
1. Raawnok Arefin, 14 - Bangladesh
2. Nu Syamimi Ja'afar, 25 - Malaysia
3. Nur Fathiah Ja'afar, 21 - Malaysia
4. Rashidah Buyah, 50 - Bangladesh
5. Andri Purwadi, 25 - Indonesia
6. Nurul Quraitul Aini, 19 - Malaysia
7. Rezyan Arefin, 24 - Bangladesh
8. Nur Fridil Gusman, 23 - Indonesia


Video Penjelasan 
Kemalangan Bas Terjunam di Gaung Genting Highlands




Pemandu Cuba Elak Lori

Bentong: “Seingat saya pemandu bas cuba mengelak sebuah lori di hadapan menyebabkan ia terbabas lalu terhumban ke dalam gaung sebelum saya terus tidak sedarkan diri. Sebelum itu, semua penumpang menjerit hingga keadaan menjadi kelam-kabut apabila dimaklumkan brek tidak berfungsi ketika bas sedang menuruni cerun berhampiran sebuah tokong,” kata seorang mangsa yang terselamat, Suriadi Budiarto, 52.

Suriadi dari Jakarta, Indonesia terselamat apabila hanya mengalami retak bahu kiri selepas tercampak keluar sejauh beberapa meter dari dalam bas.

“Sebaik tersedar, saya dapati sudah berada di luar bas di dalam gaung. Saya nampak beberapa penumpang lain berada di kawasan sekitar, ada yang cedera dan ada juga yang tidak sedarkan diri dan kemungkinan sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Hospital Bentong, semalam.

Menurutnya, dia yang kali pertama pergi ke pusat peranginan Genting Highlands selepas bercuti bersama rakan di negara ini tidak dapat bergerak dan hanya menunggu bantuan tiba sebelum dibawa ke hospital.

“Kami bertolak kira-kira jam 2 petang dari Hotel First World dan bas bergerak pada kelajuan biasa sehingga tiba di lokasi kejadian,” katanya.



Bas Tergantung Di Pokok

Genting Highlands: “Bomba terpaksa mengambil masa dan berhati-hati menyelamatkan mangsa kerana bas berkenaan tergantung di atas pokok di dalam gaung sedalam hampir 60 meter.

“Jika berlaku kesilapan, kita khuatir akan jatuh 60 meter lagi ke dalam gaung,” kata Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail mengenai tragedi meragut 37 nyawa selepas sebuah bas terhumban ke dalam gaung Jalan Genting Highlands -Kuala Lumpur, semalam.


Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 2.22 petang di Kilometer 3.5 jalan berkenaan, berhampiran Tokong Chin Swee, ketika bas memuatkan seorang pemandu dan 52 penumpang itu dalam perjalanan dari pusat peranginan Genting Highlands menghala ke ibu kota.

Azizan berkata, 16 penumpang disahkan selamat manakala 24 daripada mangsa yang maut lelaki dan sebahagian besar penumpang bas berkenaan warga tempatan, selain beberapa warga asing dari Indonesia, Thailand dan Bangladesh.

“Kejadian berlaku selepas bas harian yang berpangkalan di Stesen Bas Jalan Pekeliling itu gagal dikawal ketika melalui selekoh tajam di lokasi kejadian lalu merempuh tembok penghadang sebelum terhumban ke dalam gaung.

“Tindakan awal kami ketika melakukan kerja menyelamat ialah menstabilkan bas berkenaan daripada terus jatuh ke dalam gaung. Mangsa pertama dikeluarkan dan dibawa naik jam 3.38 petang,” katanya. Menurutnya, kerja menyelamat turut disertai anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis.

Beliau berkata, 16 mangsa yang cedera, sebahagian besarnya parah, dihantar ke Hospital Selayang, Hospital Bentong, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapat rawatan.

“Seorang daripada mangsa yang terbunuh meninggal dunia ketika dibawa naik dari dalam gaung ke atas tebing manakala bakinya disahkan doktor sudah meninggal dunia di dalam bas.

Menurut Azizan, pihaknya terpaksa menggunakan dua kren dalam kerja membawa mengangkat semua mangsa naik ke tebing sebelum dihantar ke hospital.

Katanya, seramai 145 pegawai dan anggota bomba dari beberapa balai bomba dan penyelamat berhampiran dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat.



Mangsa dakwa bas usang


KUALA LUMPUR 21 Ogos - Salah seorang mangsa yang terselamat dalam nahas bas ulang-alik di Genting Highlands petang ini mendakwa bas itu berada dalam keadaan kurang memuaskan untuk membawa penumpang.

Zaid Ismail, 25, teman lelaki kepada salah seorang mangsa yang terselamat memberitahu, teman wanitanya ada memaklumkan bas berkenaan dalam keadaan usang dan kurang disenangi untuk dinaiki dia dan adiknya.

Katanya, teman wanitanya itu, Nur Syamimi Ja'afar, 25, yang terselamat bersama adiknya, Nur Fathiah, 21, juga memberitahu, dia menyedari tayar bas itu telah haus dan berasa kurang senang sepanjang perjalanan turun ke ibu negara.

"Nur Syamimi dan adiknya, Nur Fathiah sepatutnya menaiki bas pada pukul 1.30 petang tetapi ketinggalan dan terpaksa menaiki bas itu pada pukul 2 petang.

"Menurutnya, dia memang berasa kurang senang dan tidak sedap hati menaiki bas berkenaan kerana ternampak tayar bas itu botak selain keadaannya kurang memuaskan.

"Malah Syamimi sendiri memberitahu, dia berharap perjalanannya cepat sampai ke destinasi apabila bas itu berhenti secara tiba-tiba sebelum kemalangan itu berlaku.

"Tidak sangka, perasaannya yang kurang senang sebelum bas itu bergerak itu rupa-rupanya petanda bas itu akan terlibat dalam kemalangan," katanya.

Nur Syamimi dan Nur Fathiah antara lapan penumpang bas itu yang dirawat di Hospital Selayang dan mereka kini dalam keadaan stabil.

Sementara itu, salah seorang mangsa nahas bas Genting Highlands yang terselamat dalam tragedi semalam sempat menceritakan detik-detik cemas dilalui kepada majikannya.

Shyed Ali Haider Shyed Haider, 46, pekerja warga Bangladesh yang mendapat status penduduk tetap menceritakan detik cemas kepada majikannya, Siti Rahamutun Yusof yang sempat melawatnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang ini.

Melalui cerita mangsa yang disampaikan oleh Siti Rahamutun, mangsa membawa empat saudaranya untuk bercuti di Genting Highlands dan merasai pengalaman menaiki kereta kabel.

Menurutnya, mangsa mendakwa bas tersebut gagal dikawal kerana dipandu melebihi had laju dan brek gagal berfungsi dengan baik.

Sumber:
utusan.com.my
bharian.com.my
sinarharian.com.my/semasa/nahas-bas-30-maut-termasuk-pemandu-1.194218
hmetro.com.my




Terpelanting dari bonet



Inalillahi wainailaihi rojiun

21 Ogos 2013
ROMPIN – Seorang wanita maut tercampak keluar melalui bahagian belakang kereta selepas kenderaan dipandu suaminya itu terbabas di Serinkin, di sini kelmarin.


Dalam kejadian yang berlaku di kilometer 154 Jalan Kuantan–Johor sekitar jam 5.50 petang itu, mangsa, Seti Halizah Bonairan, 45, maut di tempat kejadian manakala suaminya, Azman Mat Satt, 47, dan madunya, Junatiah Misbah, 25 cedera ringan.

Anak Junatiah, Ellysa Najwa Azman, 2 tahun, yang mengalami cedera parah meninggal dunia sekitar jam 1.45 pagi, semalam, di Hospital Mersing.

Junatiah berkata, suaminya cuba mengelak kenderaan di hadapannya yang cuba membelok ke kanan menyebabkan kereta dinaiki empat beranak itu terbabas.

“Suami saya mengelak ke kiri dan terbabas lalu melanggar tiang elektrik dan seterusnya masuk ke dalam parit. Semua yang berada dalam kereta tercampak.

“Saya tidak sedar sangat sebab segalanya berlaku dengan pantas. Sedar-sedar saya berada dalam parit dan dibantu oleh orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya yang dihubungi Sinar Harian berkata, kereta tersebut dari Kota Tinggi dan menuju ke Felda Selendang.

“Kereta tersebut yang dipercayai dipandu laju terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar tiang elektrik lalu terjatuh ke dalam parit sehingga melanggar pembetung.

“Mangsa yang maut di tempat kejadian cedera parah di bahagian kepala selepas terpelanting keluar melalui pintu bonet belakang,” katanya.

Menurutnya. semua mangsa yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Gemok sebelum dirujuk ke Hospital Mersing.

Jenazah Seti Halizah di bawa ke Hospital Muadzam Shah untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/maut-tercampak-dari-bonet-1.193918



Gurau senda terakhir



Inalillahi wainailaihi rojiun

21 Ogos 2013
Alor Gajah: “Biarpun keletihan namun suami sempat bergurau senda dengan dua anak Mohd Iman Waarith, 4, dan Mohd Iwan Waarith, 2, sebelum terlelap. Malah suami mengadu kepenatan ketika saya mempelawanya makan malam tadi (kelmarin).

Begitu kata Lailatul Nursharidah Saari, 29, isteri kepada Roszaidi Roslan, 29, yang terbunuh selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Kampung Paya Rumput-Masjid Tanah, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi, Roszaidi menunggang motosikal Yamaha RXZ dari rumahnya di Kampung Ayer Limau ke tempat kerja di Pekan Lubok China sebelum terbabit kemalangan.

Lailatul Nursharidah berkata, dia sempat bersalam dengan suaminya sebelum keluar ke tempat kerjanya di sebuah stesen minyak di pekan Masjid Tanah pada pagi kejadian.

“Melihatkan suami masih tidur nyenyak akibat kepenatan bekerja, saya biarkan saja dia tidur namun sempat kejutkannya dan beritahu saya hendak keluar bekerja bersama kakak ipar

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Gurauanakhirbersamaanak//Article


Pemandu maut rakan parah



Inalillahi wainailaihi rojiun

21 Ogos 2013
BATU PAHAT - Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah apabila kereta yang dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 112 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) Pagoh-Yong Peng, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, kenderaan jenis Proton Wira dinaiki mangsa yang maut, Alifaizal Zainal, 30, bersama rakannya,  Mohd Fairuz, 29, dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru menuju ke Pagoh.

Namun, sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaan tersebut dikatakan gagal mengelak lalu merempuh belakang sebuah lori yang bergerak di lorong kiri lebuh raya terbabit.

“Akibat rempuhan itu kereta dan lori terbabit terhenti di tengah jalan sebelum datang sebuah lagi lori dari arah belakang yang gagal mengelak dan terus merempuh kereta terbabit.

“Pemandu kereta itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan, manakala penumpang pula cedera parah serta dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk rawatan lanjut,” katanya.

Manakala Din berkata, pemandu kedua-dua lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke HPSF untuk proses selanjutnya dan siasatan masih diteruskan. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai dinasihati untuk lebih berhati-hati ketika memandu di jalan raya bagi mengelak daripada terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/lelaki-maut-rakan-parah-1.194088



Lori ais terbalik



21 Ogos 2013
KOTA – “Kami berdua cemas seketika dan berusaha menyelamatkan diri keluar dari lori apabila lori terbalik di tengah jalan susulan tayar belakang sebelah kanan pancit,” kata pemandu lori muatan ais, Kamal Arifin Ahmad, 48, ketika ditemui di lokasi kemalangan di Kilometer 36, Jalan Seremban-Tampin, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, Kamal dan kelindan lori, Mansor Sahbudin, 57, nekad memanjat keluar melalui pintu sebelah kiri bagi menyelamatkan diri kerana lori mereka terbalik di tengah jalan.

Kamal berkata,  mereka bernasib baik kerana ketika kejadian tiada kenderaan lain yang melalui lokasi berkenaan dan terdapat sebuah jentera berat (JCB) yang membantu menolak lori ais yang terbalik ke tepi bagi memastikan lalu lintas tidak terhalang.

“Ketika kejadian kami sebenarnya dalam perjalanan menghantar kira-kira 160 beg berisi ais dari Seremban ke Tampin, namun pesanan ini terlewat beberapa jam kerana kami harus menunggu bantuan lori lain untuk mengangkut pesanan ini.

“Jika diikutkan ini merupakan pengalaman kali pertama saya terbabit dalam kemalangan sejak bekerja sebagai pemandu lori empat tahun lalu.  Bagaimanapun, kami bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius susulan insiden ini,” katanya.

Mansor pula berkata, kejadian itu menyebabkan kakinya terkena sebatang kayu yang berada dalam lori berkenaan semasa lori terbalik.

“Walaupun sakit sedikit saya tetap juga berasa sangat bersyukur kerana kemalangan ini hanya membabitkan kami sahaja dan tidak membabitkan kenderaan lain atau kemalangan menjadi lebih buruk lagi, " katanya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/terbalik-akibat-tayar-pancit-1.194122



Tuesday, August 20, 2013

Kemalangan lagi dalam rawatan

20 Ogos 2013
Alor Gajah: Hasrat seorang wanita yang patah kaki kanan mendapatkan rawatan susulan di sebuah hospital swasta di sekitar ibu kota akibat kemalangan empat bulan lalu terbantut apabila terbabit kemalangan di persimpangan Jalan Durian Tunggal-Ayer Keroh dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Norita Abd Aziz, 54, menaiki kereta Toyota Corolla dipandu suaminya, Kasim Yatim, 54, dari bandar raya Melaka menuju ke Plaza Tol Ayer Keroh.

Difahamkan, kereta dipandu Kasim hilang kawalan apabila kereta saudaranya yang berada di depan brek mengejut selepas melihat sebuah kereta lain keluar melulu dari arah Durian Tunggal.

Sumber berkata, mangsa yang duduk di sebelah tempat duduk penumpang depan terperosok manakala kaki kanan dan kepalanya terhentak.

“Mangsa sepatutnya hadir ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur untuk rawatan susulan akibat kecederaan dialami dalam kemalangan di sekitar ibu kota.

“Difahamkan, mangsa menahan kesakitan hampir 15 minit selepas kaki kanannya yang dimasukkan besi itu beralih dan tersekat di bahagian tempat duduk depan kereta dinaiki.

“Akibat kecederaannya itu, mangsa tersepit di tempat duduk depan namun diselamatkan orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba“ katanya.

Menurut sumber itu, mangsa dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk rawatan lanjut.

Saudara mangsa, Aina Hashim, 42, berkata, dia sekeluarga menaiki kereta Perodua Myvi dipandu suaminya, Rahman Ismail, 52, berada di depan kereta mangsa.

“Setibanya di tempat kejadian, sebuah Proton Wira tanpa lampu depan tiba-tiba muncul dari arah Durian Tunggal dan membelok ke kanan menghala ke bandar raya Melaka.

“Kereta itu langsung tidak berhenti di simpang berkenaan malah memotong beberapa kereta yang berhenti di situ,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dia berkata, suaminya terpaksa brek mengejut bagi mengelak merempuh kereta itu hingga menyebabkan kereta mangsa merempuh belakang sebelah kiri kereta mereka.

“Sejurus kemalangan, mangsa mengadu tidak dapat menahan sakit pada kaki kanannya yang dimasukkan besi sebelum orang awam membantu dan menghubungi talian kecemasan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap HM berkata, mangsa diberikan rawatan di lokasi kejadian dan dirujuk ke hospital berkenaan selepas mengadu besi di dalam kaki kanannya tertusuk ke tulangnya.

Ketua Polis Daerah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Duakalimalang/Article/index_html




Tak sempat mula kerja baru


Inalillahi wainailaihi rojiun

20 Ogos 2013
SEREMBAN - “Nyawa emak diambil sebelum dia sempat memulakan kerja pertamanya hari ini (semalam),” kata Nurul Atikah Taib, 29, anak sulung kepada mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Mambau- Port Dickson, berhampiran susur keluar Taman Kelab Tuanku, Mambau, dekat sini semalam.


Dalam kejadian kira-kira 5.15 petang itu, mangsa, Badariah Baba, 55, bersama anak keduanya, Khairul ‘Aizat Taib, 27, maut selepas kereta jenis Proton Satria dinaiki mereka hilang kawalan, lalu merempuh sebatang pokok di tepi jalan.

Menurut Nurul Atikah Taib, adiknya dalam perjalanan menghantar emaknya melapor diri ke tempat kerja baru di Seremban 2.

“Emak sudah lama berhenti kerja dan sebelum raya hari itu dia begitu bersungguh-sungguh untuk bekerja. Pada hari Sabtu lalu emak sempat beritahu saya ketika kami jumpa di jamuan hari raya rumah emak saudara, yang dia akan mula bekerja hari ini sebagai tukang masak di Seremban 2.

“Saya gembira melihat dia begitu teruja untuk mula bekerja semula. Sepatutnya dia masuk bekerja waktu pagi, tetapi dia berkeras untuk masuk waktu petang kerana memberi alasan perlu menyiapkan urusan lain,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), dekat sini, semalam.

Menurut Nurul Atikah, ketika kejadian, dia bersama suaminya dalam perjalanan ke Rantau, namun dikejutkan dengan panggilan telefon sepupunya yang memberitahu ibu dan adiknya terlibat dalam kemalangan.

“Sepupu saya kata, dia nampak kereta adik melanggar pokok. Saya segara berpatah balik ke Mambau untuk lihat tempat kemalangan. Luluh hati saya lihat keadaan kereta adik yang remuk teruk.

“Saya tidak sempat lihat keadaan arwah dan bergegas ke hospital dan diberitahu emak dan adik saya telah pun pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap polis berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Bemban.

Bagaimanapun, katanya, sejurus sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu Khairul tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok.

"Kedua-dua mangsa tersepit di dalam kereta yang remuk teruk dan meninggal dunia di tempat kejadian. Ketika kejadian, keadaan jalan agak licin berikutan hujan lebat,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba mengambil masa beberapa minit mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mayat dihantar ke HTJ untuk bedah siasat.




Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Ajal2beranakrempuhpokok//Article
sinarharian.com.my/edisi/johor/tak-sempat-mula-kerja-baru-1.193635
tv9.com.my



Kaki dan kepala akibat tersepit


20 Ogos 2013
BATU PAHAT – “Sakit! tolong keluarkan saya cepat, kaki saya tersepit dan saya tak boleh bergerak,” itulah rintihan pemandu Perodua Kancil yang terlibat dalam kemalangan di Persimpangan Jalan Bindu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, kereta yang dinaiki mangsa berusia 20an bergesel dengan sebuah lori ais sebelum bertembung dengan Perodua Viva dari arah bertentangan.

Menurut saksi kejadian, Razlan Salleh, 38, berkata, ketika kejadian dia yang sedang bekerja di bengkel tepi jalan tersebut terkejut mendengar bunyi brek yang kuat.

“Saya nampak sebuah kenderaan dari arah Tongkang Pechah menghala ke bandar (Batu Pahat) bertembung dengan sebuah lagi kenderaan.

“Saya bergegas ke sana dan mendapati seorang mangsa sedang tersepit di bahagian kakinya dan tak dapat dikeluarkan. Kami terpaksa menunggu pasukan keselamatan walaupun mangsa masih hidup dan mengerang kesakitan.

“Orang ramai yang berada di tempat kejadian cuba membantu mengeluarkan mangsa, namun gagal dan kemudiannya terus menghubungi pasukan bomba,” katanya.

Razlan berkata, kawasan ini memang kerap kemalangan kerana persimpangannya yang mengelirukan.

“Selain itu jalan itu juga banyak rosak dan berlubang yang membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad ketika mengesahkan kejadian berkata, pemandu Perodua kancil tersebut dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk menerima rawatan.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di kaki dan kepala akibat tersepit selepas pertembungan berlaku. Manakala pemandu lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kemalangan itu juga menyebabkan kesesakan kira-kira dua kilometer akibat keadaan kenderaan yang bertembung remuk teruk.

“Kita menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan tidak memandu laju,” katanya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/mangsa-menjerit-minta-tolong-1.193600



Treler rempuh rumah di Kampung Durian Tawar



20 Ogos 2013
BERA - Dua keluarga mengalami kerugian hampir RM100,000 apabila sebuah treler merempuh rumah mereka di Kilometer 18, Kampung Durian Tawar berdekatan pondok polis, kira-kira jam 2.15 petang semalam.

Mangsa, Sapura Ismail, 36, berkata, semasa kejadian, dia sedang duduk di sofa berdekatan pintu masuk sambil membaca SMS dihantar kakaknya.

Menurutnya, semasa menoleh ke arah luar, dia melihat treler itu meluru laju ke arah rumahnya menyebabkan dia tidak sempat melarikan diri.

“Saya nampak treler itu meluru laju merempuh bahagian rumah jiran. Sedar-sedar saya sudah tersepit antara dinding dan rak TV. Saya tak boleh keluar kerana hampir separuh kayu menimpa daripada aras pinggang hingga kaki saya,” katanya.

Sapura berkata, mujur pada ketika itu dia sedang memegang telefon bimbit dan cuba menelefon suaminya walaupun dalam keadaan masih trauma, sementara dua anaknya tiada kerana berada di sekolah.

Sementara itu, pemilik kedai runcit dikenali sebagai Yap berkata, ketika kejadian, dia dan bapanya berada di dalam kedai kerana menerima bekalan roti baru.

Katanya, kejadian itu turut membabitkan kereta dan tiga motosikal di situ.

“Lori roti yang diletak di hadapan kedai juga dirempuh, tetapi nasib baik pemandu lori itu berada dalam kedai. Kalau tidak, mungkin dia boleh cedera sebab lori itu tercampak dan terbalik,” katanya


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/treler-rempuh-rumah-1.193648



2 maut nahas berasingan


Inalillahi wainailaihi rojiun

20 Ogos 2013
KUANTAN – Rengekan Mohd Fazrul Izwan, 2, yang minta dipeluk dan tidak mahu melepaskan ayahnya, Mat Tazam Mamat, 39, keluar rumah seolah-olah petanda bapanya itu akan pergi meninggalkan mereka sekeluarga buat selamanya.

Mat Tazam maut, manakala anak sulungnya, Nur Fazkriah, 13, cedera parah apabila motosikal dinaiki mereka yang dalam perjalanan ke SMK Baging, dirempuh sebuah Perodua Myvi, kira-kira jam 7 pagi.

Isteri mangsa, Maimunah Mahmud, 30, berkata, anak bongsunya berperangai pelik dan memeluk bapanya dengan erat pada pagi sebelum kejadian.

Menurutnya, tidak lama selepas suami dan anaknya keluar dari rumah di Sungai Ular, dia dikejutkan dengan berita kemalangan mereka berdua.

“Seperti biasa, suami keluar kira-kira jam 6.30 pagi untuk menghantar Fazkriah ke sekolah. Namun, anak bongsu saya berperangai pelik apabila merengek sambil memeluk erat bapanya. Tidak lama selepas suami dan anak keluar rumah, anak saudara memaklumkan kejadian itu.

"Sampai ke lokasi kejadian, saya dapati suami sudah meninggal dunia, manakala anak pula mengalami kecederaan parah termasuk patah paha kanan. Tiada langsung perubahan ditunjukkan arwah suami sehingga pagi tadi,” katanya di pekarangan bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini, semalam.

Maimunah berkata, dia kini kehilangan tempat bergantung apabila suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, meninggal dunia.

“Kami ada empat anak hasil perkahwinan lebih 10 tahun. Dia juga baru sahaja bertukar tempat kerja tiga hari lepas. Saya pula tidak bekerja dan akan tinggal bersama ibu di Sungai Ular,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.



Dalam kejadian berasingan, seorang pelajar tingkatan enam maut dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Jengka Impian menuju ke SMK Jengka Pusat di Jalan Hospital, Bandar Tun Abdul Razak Jengka, pagi semalam.

Pelajar terbabit, Mastura Nabilah Abdul Malik, 18, meninggal di tempat kejadian setelah motosikal ditungganginya dirempuh sebuah Nissan Grand Livina dari arah belakang.

Bapanya, Abdul Malik Shafee, 62, berkata, kebiasaannya dia yang menghantar anak bongsu daripada tujuh beradik itu ke sekolah dengan menaiki kereta, namun pada hari kejadian, anaknya terpaksa pergi sendiri ke sekolah.

"Dia akan pulang lewat kerana membuat urusan sekolah dan saya tidak dapat mengambilnya kerana kerja.

“Namun, saya terkejut apabila kawannya bagi tahu anak saya terlibat dalam kemalangan. Baru pagi tadi (semalam) saya jumpa dia sebelum hendak ke sekolah,” katanya.

Jiran, Mahani Ming, 43, berkata, ibu mangsa, Rohana Aziz, 53, sempat menceritakan detik-detik terakhir arwah sebelum meninggal dunia.

Katanya, pada malam kelmarin, arwah bukan sahaja lebih senyap berbanding biasa, malah turut meminta untuk mengemas rumah dengan mengatakan tiada siapa menolong ibunya selepas ini.

“Arwah turut mengajak ibunya bersiar-siar petang semalam (kelmarin). Arwah kata nanti tiada lagi orang hendak bawa ibunya berjalan-jalan. Malah, arwah beberapa kali beritahu akan ‘pergi’ dahulu sebelum ibunya,” katanya.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Pemangku Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, kejadian berlaku sekitar jam 7.20 pagi menyebabkan mangsa meninggal di tempat kejadian dengan kecederaan teruk di seluruh anggota badan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/2-maut-nahas-berasingan-1.193481




Monday, August 19, 2013

Tercampak 50 meter



19 Ogos 2013
IPOH - Seorang lelaki dipercayai warga India maut selepas basikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta sehingga menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 50 meter dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Jelapang tengah malam tadi.



Mangsa yang masih tidak dapat dikenal pasti identitinya dipercayai dalam perjalanan ke Silibin sebelum dirempuh kereta jenis Proton Satria yang datang dari arah belakang.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata, dalam kejadian jam 12.20 tengah malam itu, kereta yang dipandu seorang kakitangan awam berusia 25 tahun dalam perjalanan dari Meru menuju ke Silibin.

Menurutnya, ketika tiba berhampiran deretan rumah kedai, kereta tersebut merempuh penunggang basikal yang berada di hadapannya.



“Akibat rempuhan, mangsa telah tercampak sejauh 50 meter dan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

“Manakala penumpang di tempat duduk hadapan yang bekerja sebagai jurukimpal mengalami kecederaan di kepala.

“Bagaimanapun, pemandu terbit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam perkembangan sama, Wan Shahruddin berkata, kejadian berlaku sewaktu cuaca baik dan aliran trafik tidak sibuk malah keadaan jalan lurus dan kering.

“Keadaan jalan adalah dua hala empat lorong dan kawasan kemalangan diterangi lampu jalan,” jelasnya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

“Mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Berikutan itu, beliau menyeru orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau rakan tampil ke balai polis berhampiran bagi mengenal pasti identiti mangsa serta membantu siasatan kes kemalangan berkenaan.


Sumber:
sinarharian.com.my/lelaki-tercampak-50-meter-1.193251


Nahas di Jalan Semporna-Kunak



Inalillahi wainailaihi rojiun

19 Ogos 2013
TAWAU - Tiga lelaki maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung sebuah lori sepuluh tan di Kilometer 40, Jalan Semporna-Kunak hari tadi.
 
Mereka yang terbunuh ialah pemandu kereta yang dikenali sebagai Amran Juma, 47, serta dua penumpang Julham Amil, 26, dan Ajun Ibrahim, 35. Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
 
Bagaimanapun, pemandu lori jenis Isuzu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna Penolong Penguasa Bomba Mohd Razali Awang Ahmad, ketika dihubungi Bernama, berkata mereka menerima panggilan kecemasan berkaitan nahas itu pada kira-kira 5.28 petang.
 
Dua jentera bomba, masing-masing satu dari Balai Semporna dan Kunak dengan 10 anggota dikejar ke tempat kejadian dan tiba pada kira-kira 6 petang.
 
Beliau berkata operasi mengeluarkan mangsa berakhir pada 6.58 petang.
 
Sementara itu, Bernama gagal menghubungi Ketua Polis Daerah Semporna untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung nahas berkenaan. - Bernama

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/3-maut-dalam-nahas-di-jalan-semporna-kunak-1.193145



Tiga bersaudara maut tembung bas dua tingkat



19 Ogos 2013
KUANTAN - Tiga maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres dan sebuah kereta di KM330 Jalan Raub-Kuala Lipis petang tadi.
 
Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Shamsuddin Wan Osman berkata dalam kejadian 4.50 petang itu, semua mangsa yang terbunuh itu, menaiki kereta Mercedes Benz dari arah Raub menghala ke Kuala Lipis bertembung dengan bas ekspres Transnasional dua tingkat.
 
"Berdasarkan siasatan awal, dipercayai kereta terbabit cuba memotong kenderaan lain di satu selekoh sebelum bertembung dengan sebuah bas dari arah Kuala Lipis yang membawa 64 penumpang itu," katanya kepada Bernama di sini.
 
Mangsa yang terbunuh pemandu kereta Liew Fatt Meng, 49; penumpang hadapan, Pang Chou Ling, 52, seorang wanita; dan Yeow Chong Han, 10, seorang budak lelaki.
 
Pemandu kereta terbabit mati di tempat kejadian manakala dua lagi mati di Hospital Raub.

Dua lagi penumpang kereta terbabit yang dikenali sebagai Phen Wong Som dan Yeow Yan Cheow, 20an, cedera parah.
 
"Semua mangsa berasal dari Benta, Pahang. Polis sedang menyiasat hubungan semua mangsa terbabit," katanya.
 
Beliau berkata pemandu bas terbabit Mohd Ariffin Yusoff, 53, berasal dari Kelantan, hanya cedera ringan. - Bernama


Sumber:
hmetro.com.my/articles/Tigabersaudaramauttembungbasduatingkat/2013/Article
sinarharian.com.my/semasa/kemalangan-3-maut-2-parah-1.193138

Maut ketika berkonvoi


Inalillahi wainailaihi rojiun

19 Ogos 2013
KUALA PILAH – Seorang lelaki maut apabila terjatuh daripada motosikal ditungganginya, sebelum dia digilis sebuah pacuan empat roda dari arah bertentangan.

Kejadian berlaku kira-kira 1.45 petang kelmarin di Kilometer 17.5 Jalan Kuala Pilah-Tampin, Johol, dekat sini, apabila mangsa, Mohd Kamal Rulzaman A.Rahim, 35, yang menunggang motosikal jenis Nimota 150 cc sedang berkonvoi dengan beberapa penunggang motosikal lain ke arah Tampin.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, kemalangan berlaku semasa mangsa dan beberapa penunggang lain melalui selekoh berhampiran sebuah tokong Cina.

“Ketika itu, mangsa sedang menunggang secara berkumpulan ke arah Tampin. Tiba di selekoh kiri jalan berkenaan, mangsa terbabas sendiri akibat hilang kawalan sebelum terjatuh atas laluan bertentangan.

"Mangsa tidak sempat bangun dan dalam masa sama, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubisi Triton datang dari arah Tampin ke Kuala Pilah dan melanggar mangsa yang terbaring atas jalan," katanya.

Menurutnya, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan patah kaki kiri.

"Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda hanya cedera ringan,” katanya.

Azmi berkata, berdasarkan pada alamat tertera di kad pengenalan, mangsa beralamat No.15 Jalan Akasia 3 Taman Acasia, 75350 Melaka dan dikatakan bekerja di Kilang Infineon, Melaka.

“Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah,  Kuala Pilah untuk bedah siasat," katanya.

Difahamkan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Pilah dan Balai Bomba Kuala Pilah turut menghulurkan bantuan semasa kejadian terbabit.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lelaki-maut-ketika-berkonvoi-1.193181



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my