loading...

Saturday, April 14, 2012

Jangan tergesa-gesa memandu



KANGKONG – Seorang lelaki menemui maut, apabila kereta yang dipandu, terbabas dan melanggar stor di Kampung Bulug Melintang, jam 5.30 petang, kelmarin.

Mangsa, Tan Meng Lee, 51, meninggal dunia di tempat kejadian, apabila kereta Vios yang dipandu mangsa, dihempap tiang elektrik sejurus selepas kemalangan.

Sementara itu, mangsa lain, Ong, 54, berkata, dia yang memandu seorang diri dari arah Pasir Mas ke Chekok, terkejut apabila Meng Lee, cuba memotongnya dari arah belakang.

“Mangsa tidak sempat memotong, seterusnya melanggar kereta saya dan terbabas ke stor di sebelah kiri,” katanya.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, Meng Lee tidak dapat dikeluarkan kerana dikelilingi oleh wayar elektrik yang masih aktif.

“Kita dapati terdapat botol tuak berada berdekatan mangsa dan kita masih menyiasat sama ada mangsa mabuk ketika memandu. Meng Lee mengalami kecederaan yang teruk di bahagian kepala dan dipercayai tidak memakai tali keledar,” katanya.

Menurutnya, ini merupakan kejadian pertama kemalangan membawa maut di jalan Pasir Mas-Tanah Merah, tahun ini.

Beliau menasihati semua pengguna jalan raya, agar tidak memandu dengan tergesa-gesa dan mematuhi undang-undang jalan raya.

Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.50 petang.

Seramai tujuh anggota dengan satu jentera, bergegas ke tempat kejadian dan terpaksa menunggu laporan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum menyelamatkan mangsa yang tersepit.

“Setelah kawasan kemalangan disahkan selamat daripada arus elektrik, kita berjaya mengeluarkan mangsa pada jam 6.33 petang,” katanya.

Sementara itu, saksi, Zohar Mat Zain, 57, berkata, ketika kejadian, dia sedang membaiki lori bersama tiga lagi pekerjanya.

“Tiba-tiba saya terdengar dentuman kuat dan melihat kereta Vios yang dipandu mangsa, melanggar stor manakala kereta Nissan terbabas lebih 200 meter ke hadapan. Mujurlah kemalangan tidak berlaku di kedai saya, kerana ia terletak hanya beberapa meter daripada stor,” katanya.

Kejadian menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh satu kilometer dari kedua-dua arah, sehingga jam 6.45 petang.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/maut-langgar-stor-dihempap-tiang-elektrik-1.40041

Friday, April 13, 2012

Bayi dan Suami Maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

ALOR GAJAH - Seorang isteri sanggup mempertaruhkan nyawanya menarik mayat suaminya di tengah jalan selepas tercampak daripada kenderaan dinaiki dalam kemalangan di Kilometer 201.9, Lebuhraya Utara Selatan, menghala ke selatan, di sini, malam kelmarin.

Lebih menyayat hati, suaminya turut dirempuh sebuah kenderaan lain sebelum itu, sementara bayi perem­puan mereka berusia setahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, van jenis Toyota dipandu mangsa, Sajarhan Abdul Rahman, 30-an, bersama isterinya, Zaleha Rasul, 27, dan bayi mereka, Syaza NurQaireen, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Melaka.

Bagaimanapun, van yang membawa muatan pakaian terpakai itu hilang kawalan, sebelum terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya, menyebabkan semua mangsa tercampak keluar dari cermin hadapan van ke laluan bertentangan.

Saudara mangsa, Mohamad Saral, 47, berkata, mangsa sekeluarga ke bandar Melaka untuk menghantar bekalan pakaian terpakai yang ditempah beberapa kedai.

Bagaimanapun menurutnya, tayar van terbabit meletup menyebabkan kenderaan itu terbabas.

“Isteri mangsa yang masih sedarkan diri selepas tercampak terus bangun dan menjerit meminta bantuan sambil menarik mayat suaminya ke tepi jalan.

“Sementara bayi mereka pula sudah dibawa ke hospital oleh orang awam,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad turut melahirkan rasa kesalnya dengan sikap segelintir pengguna jalan raya mengambil bungkusan pakaian terpakai yang bertaburan di atas jalan.

“Saya terkejut melihat mereka berhenti semata-mata mahu mengambil pakaian tersebut walaupun telah dihalang berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, kemalangan berpunca daripada kenderaan yang hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan akibat tayar sebelah kiri bahagian belakang van meletup.

“Ketiga-tiga mangsa tercampak keluar ke laluan bertentangan sebelum mangsa dirempuh kenderaan lain.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/isteri-sanggup-pertaruh-nyawa-1.39816


Elak motosikal rempuh kedai


GEORGETOWN - Akibat mengelak daripada melanggar seorang penunggang motosikal, sebuah bas kilang terbabas lalu merempuh sebuah kedai kitar semula di Jalan Paya Terubong, Ayer Itam di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, pemandu bas kilang itu dikatakan baru selesai menghantar pulang pekerja di kawasan perumahan mereka di Paya Terubong dan ia pula dalam perjalanan pulang ke stor simpanan bas.

Namun ketika menuruni bukit di jalan Tingkat Paya Terubong, pemandu bas berkenaan difahamkan cuba mengelak dari melanggar penunggang motosikal yang secara tiba-tiba masuk ke laluannya lalu merempuh dua kenderaan lain sebelum melanggar bahagian depan kedai berkenaan.

Akibat kejadian itu, pemandu bas berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat terkena serpihan kaca cermin bas.

Rempuhan kuat itu turut merosakkan bumbung sebuah rumah kedai yang terletak bersebelahan dengan premis kitar semula.

Penunggang motosikal dan dua pemandu kereta terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap polis berkata, hanya pemandu berusia 40-an itu mengalami kecederaan di kepala dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurutnya, ketika kejadian, premis terbabit tidak mempunyai pekerja dan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan akibat rempuhan bas berkenaan.

Sementara itu, pengusaha kedai kitar semula, R Anita, 32, terkejut sebaik dimaklumkan mengenai kejadian yang hampir meranapkan premis yang beroperasi sejak tujuh tahun lalu.

“Ketika kejadian saya dalam perjalanan membuka kedai itu dan tiada seorang pun pekerja dalam premis berkenaan.

“Walaupun kedai rosak teruk namun saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dalam kejadian ini,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/angkara-mat-motor-bas-terbabas-1.39600


Polis Maut Kejar Suspek

Inalillahi wainailaihi rojiun

BUKIT MERTAJAM 13 April – Seorang anggota polis yang sedang mengejar sebuah kereta maut apabila motosikalnya terbabas sebelum digilis sebuah lori di Jalan Permatang Tinggi di sini malam tadi.

Konstabel Nan Ruazlan Zulkefle, 23, dari Balai Polis Machang Bubuk di sini, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, kejadian berlaku pukul 8.45 malam ketika mangsa cuba menahan sebuah kereta jenis Proton Saga yang berada dalam keadaan mencurigakan. _ UTUSAN

Al-Fatihah

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_08.htm


Wednesday, April 11, 2012

Titah Baginda


ARAU 11 April - Sikap ibu bapa yang membiarkan anak-anak menunggang motosikal tanpa lesen dan topi keledar antara penyumbang utama kemalangan maut.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, lebih menyedihkan ialah apabila remaja bermotosikal tanpa lesen dan tidak memakai topi keledar itu pula masih pelajar sekolah menengah dan rendah.

Ekoran sikap sambil lewa segelintir ibu bapa itu pula, titah baginda, ramai pelajar terlibat dalam kemalangan jalan raya yang berakhir dengan nahas maut dan cedera parah.

"Remaja mesti bebas daripada budaya menunggang motosikal tanpa lesen. Gejala ini sebenarnya sudah menjadi amalan biasa, terutama melibatkan pelajar sendiri.

"Perbuatan ini dilakukan kerana menganggap tidak salah dan tidak mendatangkan kesan negatif kepada sesiapa, termasuk diri mereka sendiri," titah baginda.


Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm



Warga Emas Maut Digesel BMW


Inalillahi wainailaihi rojiun

MUAR – Hajat seorang anak untuk membawa ibunya pergi kedai tidak kesampaian apabila ibunya maut setelah terbabit dalam kemalangan di Jalan Abdul Rahman berhampiran Parit Sakai dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, Jaminah Dariman, 74, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Manakala anaknya, Suhailah Amal, 51, mengalami kecederaan parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggangi Suhailah hilang kawalan selepas digesel sebuah kereta jenis BMW.

Kereta terbabit dipandu seorang lelaki yang cuba memotong kenderaan lain tetapi gagal lalu memasuki lorong motosikal sebelum bergesel dengan motosikal yang ditunggangi mangsa.

Akibat geselan itu, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum kedua-duanya tercampak ke atas jalan raya.

Bagaimanapun, pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat mangsa di bawa ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/hajat-tak-sampai-pergi-kedai-1.39373


Rempuh Belakang Bas


MUAR – Gara-gara tidak sempat mengelak, seorang lelaki nyaris maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah bas di Jalan Bukit Pasir- Pagoh, dekat sini, semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Wong, 40-an dipercayai dalam perjalanan pulang berehat ke rumahnya di Pagoh dari tempat kerja.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 1.20 petang itu, Wong dikatakan gagal mengelak sebuah bas yang berhenti untuk menurunkan penumpang.

Akibat rempuhan itu, dia tercampak ke atas jalan dan motorsikalnya terperosok di bawah bas.

Pemandu bas berkenaan, Jaafar Osman, 50, berkata, ketika dia memberhentikan bas untuk menurunkan penumpang, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang kuat dari arah belakang basnya.

“Saya segera turun bas untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut mendapati seorang lelaki terbaring di belakang bas dengan keadaan berlumuran darah di bahagian muka.

“Saya pandu bas dalam perjalanan dari Muar menuju pekan Pagoh dan kemudiannya segera hubungi ambulan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa yang cedera di bahagian muka dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk menerima rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/nyaris-maut-rempuh-belakang-bas-1.39375


Mangsa Langgar Lari


Inalillahi wainailaihi rojiun

PARIT BUNTAR – Polis kini mencari suspek satu kejadian langgar lari yang berlaku di kilometer 199 jalan Ipoh-Butterworth, berdekatan Kampung Melaka, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian itu berlaku pada kam 6.30 pagi dan menyebabkan kehilangan nyawa seorang pengawal keselamatan di Mahkamah Majistret Parit Buntar, Omar Basrim, 63.

Menurut beliau, kejadian turut menyebabkan dua penunggang motosikal yang dikenali sebagai Wan Man, 29 dan Mohd Shahidan dari Kuala Kurau mengalami kecederaan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dalam perjalanan dengan menaiki basikal dari rumahnya di Parit Haji Amin, Batu 5 Jalan Baru Parit Buntar ke tempat kerjanya.

“Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah dilanggar oleh sebuah kenderaan lain yang belum dapat dipastikan jenis serta pemandunya,” katanya ketika ditemui, di sini.

Mat Fauzi memaklumkan, keadaan masih gelap semasa kejadian dan kenderaan terbabit telah lari meninggalkan tempat kejadian sebaik sahaja melanggar mangsa.

Katanya, mangsa dipercayai mengalami pendarahan serius pada bahagian kepala dan maut di tempat kejadian.

“Pada masa sama, Wan Man yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Bukit Mertajam, Pulau Pinang cedera apabila terjatuh kerana tidak sempat mengelak basikal mangsa.

“Manakala, Mohd Shahidan yang juga dalam perjalanan ke tempat kerja di Kulim, Kedah parah apabila terjatuh semasa mengelak mayat mangsa dan telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk menerima rawatan,” katanya.

Mat Fauzi memaklumkan, mangsa didapati telah meninggal dunia sewaktu polis tiba di tempat kejadian dan mayatnya telah dihantar ke HPB untuk bedah siasat.

Tambahnya, mayat mangsa telah dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Batu Lima, di sini.

“Polis mengklasifikasikan kejadian ini sebagai langgar lari dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti kenderaan serta suspek kejadian.

“Kita harap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubungi kejadian dapat menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/suspek-langgar-lari-dicari-1.39410

4 Sekeluarga Dirempuh Ketika Melintas


KLANG - Tindakan remaja lelaki dipercayai memandu laju mengundang padah apabila merempuh empat sekeluarga sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam itu turut menyebabkan tiga lagi parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), kelmarin.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abd Rahman berkata, mangsa yang maut dikenali Dal Khup manakala isteri dan dua anak mangsa dilaporkan cedera parah.

“Kesemua mereka adalah warga Myammar yang merupakan pelarian United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR).

“Siasatan awal mendapati. sebelum insiden berlaku, kesemua mangsa dikatakan sedang melintas jalan di Persiaran Seraya dari arah Persiaran Tengku Ampuan Rahimah menghala Persiaran Pegaga,” katanya.

Kemudian katanya, sebuah kereta Proton Wira yang dipandu remaja berusia 20 tahun dipercayai gagal mengelak lalu merempuh empat sekeluarga yang sedang melintas jalan.

“Berikutan rempuhan kuat itu, kesemua mangsa tercampak ke jalan raya menyebabkan mereka parah.

“Kesemua mangsa dikejarkan ke HTAR bagaimanapun ketua keluarga tersebut meninggal dunia ketika mendapat rawatan manakala isteri mangsa dilaporkan kritikal.

“Dua anak mangsa pula separa kritikal dan masih dirawat di hospital yang sama,” katanya.

Katanya, keterangan pemandu kenderaan itu diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/empat-sekeluarga-dirempuh-1.39418


Tuesday, April 10, 2012

Abang dah tak ada!

Inalillahi wainailaihi rojiun

IPOH - “Abang dah tak ada! Abang dah tak ada!” itu sahaja ungkapan yang dapat diluahkan Shaharenah Said, 53, isteri kepada seorang penyelia pengawal keselamatan yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Ipoh-Lumut (berhampiran Taman Rasi) petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Rosli Abni, 53, dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum merempuh lori yang datang dari arah bertentangan.

Shaharenah bersama anak tunggal perempuannya, Nadhratun Najihah, 11, hanya mengalirkan air mata sebaik tiba di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bersama beberapa ahli keluarga yang lain.

Menurutnya, berita kematian suaminya diterima kira-kira jam 5 petang sebelum segera bergegas ke dari Batu Gajah ke Ipoh.

“Tidak ada sebarang perubahan pelik yang dapat dilihat pada suami saya.

Bagaimanapun, saya redha dengan pemergiannya kerana ALLAH lebih menyayanginya,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Meru Raya malam tadi.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke Batu Gajah.

Menurutnya, mangsa dipercayai cuba memotong lori di laluan berkembar lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Bagaimanapun, ketika keretanya cuba memotong kenderaan lain di hadapannya, mangsa gagal mengawal kereta Proton Saga FL yang dipandunya terbabas lalu merempuh lori yang datang dari arah bertentangan.

“Pemandu kereta tersebut yang tersepit di tempat duduknya maut serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori yang dipercayai dalam perjalanan ke Ipoh tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dihantar ke HRPB untuk bedah siasat dan siasatan lanjut berhubung kemalangan masih diteruskan,” katanya.

Al-Fatihah  


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/isteri-merintih-lihat-mayat-suami-1.38887


2 Penunggang Maut Saling Bertembung


Inalillahi wainailaihi rojiun  

BUKIT MERTAJAM – Dua penunggang motosikal maut apabila kenderaan yang ditunggang bertembung antara satu sama lain dalam satu kejadian dekat Jalan Kepala Batas, berhadapan Pasar Awam Penanti, dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10.21 malam itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Mohd Tarmizi Wahab, 26, yang menunggang motosikal jenis Suzuki RGV120 dalam perjalanan dari Kubang Semang menuju ke Guar Perahu.

Mangsa yang dipercayai menunggang laju itu dikatakan telah memasuki lorong bertentangan ketika tiba di lokasi, lalu bertembung dengan motosikal Honda EX5 ditunggang seorang lagi mangsa, Muhammad Ishaizal Ishak, 24, yang kebetulan melalui jalan itu.

Akibatnya, kedua-dua mangsa terpelanting ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Mayat kedua-dua mangsa yang bekerja sendiri itu kemudiannya dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.

Sementara itu, Ketua Trafik/Ketenteraman Awam Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Superintendan S Manogaran ketika ditemui mengesahkan menerima laporan mengenai kejdian.

Menurutnya, selain memasuki lorong bertentangan, lampu hadapan motosikal jenis Suzuki RGV120 yang tidak berfungsi dipercayai menjadi punca kemalangan.

Ia menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal jenis EX5 tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran.

“Hasil siasatan juga mendapati kedua-dua mangsa yang berasal dari Mukim 19 Mengkuang Titi dan Mukim 20 Penanti itu tidak mempunyai lesen memandu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.


Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/gara-gara-motosikal-tiada-lampu-1.38941


Kereta Terbang Melekat Di pokok



DUNGUN – Dua sahabat berdepan detik mencemaskan apabila kereta dinaiki terbang ke udara selepas hilang kawalan di selekoh tajam sebelum terbabas, lalu terbalik.

Kemalangan kira-kira jam 11 malam semalam itu dipercayai berlaku apabila Proton Satria dipandu Nurul Balqis Mohd, 20, hilang kawalan sebaik tiba di selekoh tajam berdekatan pintu belakang Tanjung Jara Resort.

Menurut Balqis, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Paka untuk pulang ke rumah ibu bapanya di Kuala Terengganu.

Sebelum kejadian, Balqis bersama seorang rakannya, Norshamsiah Mat, 23, yang duduk di tempat penumpang hadapan, dikatakan sempat singgah makan pizza di bandar Dungun.

Setibanya di kawasan itu, Balqis yang menyangka laluan selekoh berkenaan seperti jalan lurus, tiba-tiba terpandang pagar resort terbabit lalu cuba mengelak.

Bagaimanapun, kereta yang dipinjamnya itu dikatakan gagal dikawal, lalu terbabas sebelum terbang dan melanggar sebatang tiang, sebelum melekat di celah pokok.

Balqis yang masih trauma dengan kejadian itu nekad tidak akan memandu kenderaan lagi dalam masa terdekat.

“Saya lihat asap keluar dari bahagian enjin, ingat ia akan meletup.

“Kemudian saya bergegas keluar melalui tingkap untuk menyelamatkan diri sebelum beberapa pekerja resort berkenaan tiba untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Balqis yang merupakan pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah dan berasal dari Kuala Terengganu cedera ringan pada bahagian kaki dan dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Rakannya, Nor Shamsiah, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/kereta-melekat-celah-pokok-1.38919


Tercampak keluar dari van


Inalillahi wainailaihi rojiun    

MARANG –  Adik kepada Mufti Terengganu terbunuh selepas van yang dinaiki terbabas, lalu melanggar batu penanda jalan dan sebatang pokok di Kilometer 27, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini, pagi semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa Nor Asma Abdullah, 43, meninggal dunia akibat cedera parah selepas tercampak keluar dari van.
Bagaimanapun pemandu, Mohd Rozi Abu Bakar, 40, dan empat lagi penumpang berada  dalam van Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (Jheat) itu terselamat.

Salah seorang penumpang juga cedera parah akibat tersepit dalam kenderaan itu.

Mohd Nazmy Mohd Zawawi, 26, penumpang van yang ditemui berkata, mereka berenam dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Kemaman untuk mengikuti kursus bahasa isyarat di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, secara tiba-tiba van dinaiki mereka hilang kawalan lalu melanggar batu penanda jalan sebelum merempuh sebatang pokok di tepi kiri jalan.

“Saya percaya faktor hujan dan jalan licin menyebabkan kenderaan itu gagal dikawal sehingga ia terbabas,” katanya.

Menurutnya, rempuhan kuat itu juga menyebabkan mangsa yang berasal Kampung Alor Keladi, Jertih, Besut tercampak keluar dan terhumban beberapa meter ke atas jalan, serta nyaris dilanggar sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.

Mohd Nazmy yang luka pada tangan dan dahi berkata, mereka kemudiannya memaklumkan kejadian kepada keluarga mangsa, manakala kesemua mangsa yang terselamat pula dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam pada itu, sepasukan anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang turut bergegas ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit sejurus menerima panggilan kira-kira jam 8.07 pagi.

Mufti Terengganu, Datuk Dr Alias Abdullah ketika dihubungi Sinar Harian juga mengesahkan mengenai tragedi yang menimpa adiknya itu dan memaklumkan jenazah mangsa akan dikebumikan di Besut.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/adik-mufti-terengganu-maut-kemalangan-1.38820
hmetro.com.my/articles/Matitersepitbelakangvan/Article



Monday, April 9, 2012

Nissan Grand Livina rentung



SEMANGGOL – Gagal memotong lori di hadapan, seorang lelaki rentung selepas kereta yang dipandu bertembung dengan sebuah lori lain dari arah bertentangan di Batu 9, Jalan Semanggol, di sini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa, Theng Kooi Cheng, 57, gagal keluar dari keretanya selepas tersepit di bahagian kerusi hadapan sebelum terbakar dalam kejadian jam 5.12 petang, kelmarin.

Menurutnya, sebelum itu, mangsa dikatakan cuba memotong dua lori di hadapannya tetapi gagal lalu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

“Akibatnya, mangsa yang memandu sendirian kereta jenis Nissan Grand Livina terperangkap sebelum rentung.

“Mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Semanggol ke Kamunting dan keretanya terbakar 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa yang berasal dari Bukit Jana, Taiping dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Katanya, bahagian hadapan lori itu turut terbakar dan pemandunya yang cedera dirawat di Hospital Taiping.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Mohd Alias Bahari berkata, dia bersama sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian kira-kira jam 5.15 petang selepas menerima panggilan daripada orang awam.

Menurutnya, api yang dipercayai berpunca daripada lelehan minyak petrol itu dapat dikawal dalam masa satu minit.

Katanya, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting yang disertai enam anggota turut ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun pihak bomba masih menjalankan siasatan mengenai punya sebenar kebakaran tersebut,” katanya.

Manakala, Adun Semanggol Ramli Tusin berkata, dia turut berkejar ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan penduduk.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, api sedang marak menyambar sebahagian kereta dan pihak bomba berusaha memadamkan kebakaran.

Beliau menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati agar kejadian sama tidak berulang.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/rentung-lepas-bertembung-lori-1.38601


Simpang maut di Taman Markisah



BUKIT MERTAJAM – Masalah simpang maut di Taman Markisah, di sini, masih belum mendapat perhatian meskipun aduan mengenainya pernah disiarkan dua tahun lalu.

Simpang yang pernah meragut lebih 10 nyawa sejak Jun tahun lalu itu dilihat tidak diambil peduli, malah, Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang dimaklumkan mengenai perkara pernah memberitahu pembinaan lampu isyarat di situ akan dipertimbangkan.

Namun, selepas hampir dua tahun, masalah itu tidak juga berakhir. Simpang bahaya itu nampaknya akan terus memburu mangsa jika tindakan segera tidak diambil untuk mengatasinya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, lalu lintas sentiasa sibuk di jalan yang menjadi laluan utama pelbagai kenderaan, terutama kenderaan berat untuk berulang alik ke kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bukit Minyak, Permatang Tinggi, Bukit Mertajam, Perai, Ipoh dan beberapa kawasan lain.

Keadaan bertambah buruk pada waktu puncak, iaitu pagi dan petang menyebabkan kenderaan sukar untuk keluar masuk ke simpang Taman Markisah.

Hal itulah yang selalu menjadi penyumbang utama kemalangan maut di situ.

Penduduk yang ingin melintas pula sering merasakan nyawa mereka bagai di hujung tanduk setiap kali hendak keluar dari simpang berkenaan.

Yang berisiko tinggi adalah penunggang motosikal kerana mereka tidak mempunyai perlindungan jika dirempuh kenderaan.

Difahamkan, kemalangan memang sudah menjadi rutin di persimpangan itu hinggakan ada yang terpaksa berdoa supaya tiada insiden buruk berlaku ketika hendak melintas.

Penduduk yang enggan dikenali ketika ditemui berkata, mereka mahukan lampu isyarat seperti mana persimpangan di Taman Perwira.

Dengan adanya lampu isyarat itu, sedikit sebanyak dapat memberikan perlindungan keselamatan kepada mereka setiap kali melintas.

Penduduk berharap pihak berkenaan dapat mengkaji semula keadaan jalan di situ dan memberi pertimbangan dengan segera memasang lampu isyarat bukan sahaja demi kelancaran trafik, tetapi mengurangkan risiko berlakunya kemalangan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/simpang-ragut-lebih-10-nyawa-1.38623


Rempuh tembok jambatan


KLEBANG - Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas, lalu melanggar tembok jambatan sebuah parit di Jalan Klebang Besar dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, kereta jenis Perodua Viva yang dipandu lelaki berusia 30-an dari arah pusat bandaraya menuju Tanjung Kling terbabas, selepas melalui persimpangan lampu isyarat Klebang Besar dan Batang Tiga, di sini.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Izzat dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar tembok, menyebabkan bahagian hadapan kereta remuk dan mangsa tersepit.

Pemangku Komander Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Jamian Saleh berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.56 pagi dan tiba di tempat kejadian lapan minit kemudian.

“Mangsa tersepit di bahagian pemandu bagaimanapun berjaya dikeluarkan orang awam semasa kami tiba di tempat kejadian.

“Dengan bantuan tujuh anggota termasuk seorang pegawai, mangsa yang cedera di kepala dan patah kaki kanan diberi prarawatan sebelum ambulans datang 20 minit selepas itu,” katanya di sini, semalam.

Jamian berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke rumahnya di Tanjung Kling menaiki kenderaan bersama seorang rakan lelaki berusia 30- an, bagaimanapun rakannya selamat dan hanya mengalami kecederaan kecil.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/mangsa-tersepit-kereta-nyaris-maut-1.38617


Berpunca Lori Rosak



BUKIT TANGGA - Kerosakan sebuah lori yang sarat dengan muatan getah sekerap menjadi punca berlakunya kemalangan di Bukit Tangga, kira-kira jam 1 tengah hari, semalam.

Seorang saksi kejadian, R Pupathy, 26, berkata, lori berkenaan dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Kuala Klawang bagi menghantar getah sekerap.

“Semasa menaiki bukit, lori ini mengalami kerosakan enjin dan pemandunya tidak dapat meneruskan perjalanan.

“Ketika itu, pemandu lori berkenaan mengundur ke belakang sebelum terlanggar sebuah lagi lori yang juga membuat muatan getah sekerap. Kedua-dua pemandu lori gagal mengawal kenderaan dan terbalik di atas jalan raya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Ramon Frederick, 18, berkata selain dua lori, kemalangan itu turut membabitkan sebuah kereta jenis Proton.

“Kereta ini berada di belakang lori kedua-dua berkenaan dan juga dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Klawang.

“Semasa perlanggaran antara lori pertama dan kedua, kereta di belakang lori berkenaan cuba mengelak daripada dilanggar dan terbabas di bahu jalan,” katanya.

Katanya, kesemua pemandu lori dan kereta tidak mengalami kecederaan dan kejadian itu menyebabkan lalu lintas di Bukit Tangga sesak selama tiga jam.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan berkenaan adalah selekoh tajam dan kemalangan itu yang keempat berlaku di sini.

Sebelum ini, tiga lori yang membawa muatan pasir dan kayu balak pernah terbabas di lokasi sama. Namun tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/enjin-rosak-punca-kemalangan-1.38653


Akibat tidak patuhi lampu isyarat


BANDAR BUKIT TINGGI 2 - Tindakan seorang penunggang motosikal dipercayai tidak mematuhi lampu isyarat membawa padah apabila dia gagal mengelak lalu merempuh sebuah kereta yang sedang menghala ke Klang Jaya di persimpangan lampu isyarat Persiaran Batu Nilam, di sini awal pagi semalam.


Berikutan kejadian kira-kira jam 3.15 pagi, mangsa dikenali R S Rajendran, 52, yang mengalami kecederaan parah di kepala, dada dan betis kiri meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abd Rahman berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang datang dari arah Jalan Banting menghala Klang dipercayai
meneruskan perjalanan tanpa memberhentikan motosikalnya sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat.

“Dalam masa yang sama, sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki Cina dari arah Persiaran Batu Nilam menuju Jalan Serunai meneruskan perjalanan sebaik lampu isyaratnya bertukar hijau.

“Bagaimanapun pemandu itu mendakwa, motosikal mangsa merempuh bahagian kanan kenderaannya sebelum mangsa tercampak ke jalan raya dan meninggal dunia,” katanya.

Berikutan rempuhan itu, beliau berkata, bahagian kanan kenderaan lelaki itu remuk bagaimanapun dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Katanya, pemandu kereta Perodua Myvi sudah membuat laporan Polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/padah-tidak-patuhi-lampu-isyarat-1.38655


Tak sempat menjadi graduan Kolej Komuniti

Inalillahi wainailaihi rojiun   

KUALA TERENGGANU - Bakal graduan Kolej Komuniti Kampus Kuala Terengganu maut setelah motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta dalam satu kemalangan di Jalan Pasir Panjang, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, mangsa, Mohamad Izzat Mohamad Ghani, 21, dari Kampung Padang Gelong Bilal, di sini, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave mati di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala dan badan.

Menurut saksi kejadian, Roslan Ngah, 48, pada mulanya mangsa cuba mengelak daripada dirempuh oleh kereta jenis Nissan Grand Lavina apabila pemandu terbabit, seorang kakitangan awam, 54, gagal mengawal kenderaan selepas merempuh sebuah motosikal jenis Honda Ex-5 yang ditunggangi seorang remaja.

“Pemandu kereta yang datang dari arah Kampung Gelong Bilal menuju ke pusat bandar telah merempuh sebuah motosikal jenis Honda Ex-5 sebelum itu dan disebabkan kejadian itulah, dia gagal mengawal keretanya lalu merempuh motosikal ditunggangi mangsa dari arah bertentangan sehingga mangsa tercampak ke tengah jalan.

“Bagaimanapun, mangsa yang gagal bangun sekali lagi dirempuh oleh sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang datang secara bertentangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Penunggang motosikal jenis Honda Ex-5, Mohd Zaki Said, 21, dari Kampung Masjid Haji Kadir mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman badan dan menerima rawatan di Bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Manakala kedua-dua pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/bakal-graduan-kolej-komuniti-maut-kemalangan-1.38630


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my