loading...

Friday, September 27, 2013

Pelajar Kolej Antarabangsa Teknologi & Profesional (KATPM) maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

28 September 2013
KANGAR - Seorang pelajar Kolej Antarabangsa Teknologi & Profesional (KATPM) maut manakala rakannya cedera parah setelah motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Al-Marhum Kayang dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.48 tengah malam semalam, mangsa Muhammad Iskandar Kamat, 18, pelajar semester kedua, kursus Diploma Farmasi di kolej itu dalam perjalanan pulang ke asrama bersama rakan-rakannya di Kampung Wang Ulu, dekat sini.

Menurut rakannya, Muhammad Farhan Sobri, 18, mereka berkonvoi setelah pulang makan dari Kuala Perlis, namun nasib tidak menyebelahi mangsa apabila tiba di selekoh jalan itu, motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.

“Kami nampak mereka berdua tercampak ke tepi jalan sebelum kami semua berhenti untuk membantu.

“Arwah masih bernyawa ketika dibantu, namun dia kelihatan sangat lemah sebelum kami mengajarnya mengucap kalimah syahadah. Setelah pasukan paramedik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) tiba di tempat kejadian, mereka
sahkan arwah sudah meninggal dunia,” katanya.

Manakala Mohd Shafiq Shari, 18, dilaporkan cedera parah di beberapa bahagian badannya dan kini sedang dirawat di HTF.

Kata Muhammad Farhan lagi, perubahan sikap rakannya yang tidak bercakap semasa di kedai makan menjadi petanda dia akan pergi selamanya.

“Arwah juga tidak memesan air berkarbonat kegemarannya seperti biasa dan semasa pulang dia turut mendahului kami semua,” ujarnya.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin mengesahkan menerima laporan kejadian.

Kes disiasat Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 sementara mangsa dibawa ke bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) selepas kejadian untuk bedah siasat.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/pelajar-kolej-maut-1.206412



Panggilan Tangisan


28 September 2013
SEREMBAN – Seorang lelaki terkejut menerima panggilan daripada saudaranya yang sedang menjerit dan menangis akibat terbabit dalam kemalangan di Jalan Seremban - Kuala Pilah, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.20 pagi itu, P.Arumugam, 37, menerima panggilan daripada mangsa, U.Turgga Devi, 24, sebaik saja terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan.

“Sepatutnya saya kena ambil Turgga di Seremban untuk sama-sama pergi ke Shah Alam untuk menghadiri satu program di sana. Tapi saya terkejut apabila menerima panggilan daripadanya yang ketika itu secara tiba-tiba menjerit dan menangis.

“Ketika itu, saya dan isteri tidak dapat bayangkan keadaan Turgga dan terus bergegas ke lokasi kejadian," kata Arumugam.

Menurutnya, setibanya di lokasi, Turgga merupakan anak saudara kepada isterinya, S.Saraswathy, 34, sudah dibawa ke hospital dengan ambulans.

Dalam kejadian itu, mangsa yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Pilah ke Seremban dengan memandu kereta jenis Proton Gen 2 berwarna hitam secara sendirian, mengalami kecederaan dalaman pada sebelah kakinya apabila kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Faiz Sulaiman berkata, sebuah jentera membabitkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, seorang mangsa lelaki yang memandu Proton Wira hijau sudah diselamatkan oleh orang awam. Bagaimanapun, dua lagi mangsa wanita masih berada dalam kereta masing-masing selepas pelanggaran itu," katanya.

Beliau berkata, bomba mengambil masa kira-kira 15 mint untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa wanita terbabit  dengan menggunakan peralatan menyelamat.

"Siasatan awal mendapati, faktor jalan licin antara punca kemalangan itu. Kesemua mangsa hanya cedera telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/terkejut-dengar-mangsa-menangis-dalam-talian-1.206388



Lori balak hempap garaj


28 September 2013
KUALA KRAI- Empat sekeluarga bersyukur kerana terselamat dalam kejadian sebuah lori sarat muatan balak terbalik dan menghempap kereta serta garaj rumah mereka yang merupakan sebuah rumah kedai di Kampung Enggor, dekat sini, Selasa lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, pemandu kenderaan terbabit yang merupakan warga tempatan berusia 60 tahun cedera ringan di beberapa bahagian badannya.

Mangsa, Khaidzir Ibrahim, 32, yang juga seorang peniaga kedai makan berkata, ketika kejadian dia sedang membaca surat khabar di hadapan rumahnya.

Menurutnya, secara tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah jalan sebelum ternampak sebuah lori menghempap kereta dan garaj rumahnya.

“Saya berlari ke arah lori terbabit dan ketika itu, saya hanya terfikir nak selamatkan pemandunya sebelum melihat kesan kerosakan yang saya alami.

“Selepas pemandu lori berjaya diselamatkan, saya melihat garaj runtuh, kereta pula rosak teruk,” katanya.

Khaidzir berkata, kejadian tidak diduga itu menyebabkan dia seolah-olah patah kaki kerana kereta digunakan setiap untuk keluar ke pasar membeli barangan jualan dan menghantar anak ke sekolah rosak teruk.

Kejadian itu menyebabkan dia kerugian kira-kira RM16,000 dan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Krai.

Isterinya, Hayati Hamat, 27, yang sarat mengandung masih trauma dengan kejadian menimpa keluarganya sehinggakan dia sukar untuk melupakan kejadian itu.

Katanya, dia sering ketakutan apabila mendengar bunyi kuat dari jalan yang hanya terletak beberapa meter dari rumahnya.

“Setiap kali dengar bunyi kuat enjin kenderaan, saya mula takut, bimbang kejadian sama berulang. Apa pun saya bersyukur kami semua selamat,” katanya.

Ketika kejadian, anak keduanya, Norshuhada, 6, hanya berada di dinding bersebelahan dengan garaj tempat suaminya meletakkan kereta, sementara anak sulungnya, Mohd  Faizul,9, ke sekolah.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/lori-balak-hempap-kereta-garaj-1.206295



Pelajar Akademi Laut Malaysia (Alam) maut



27 September 2013
PORT DICKSON – Seorang penuntut Akademi Laut Malaysia (Alam) maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan di Kilometer 19.4 Jalan Pantai, kira-kira 3.30 pagi, kelmarin.

Dalam kejadian itu, mereka dalam perjalanan dari arah Port Dickson menghala ke Pasir Panjang.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, mangsa yang maut, S Vijey, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

“Siasatan awal polis mendapati kemalangan membabitkan kereta Proton Wira dan mangsa merupakan penumpang hadapan.

“Dipercayai kereta yang dipandu V Sivanantakumar, 22, hilang kawalan selepas melepasi selekoh sebelum terbabas dan terbalik ke bahu jalan bertentangan,” katanya.

Abd Wahab berkata, Sivanantakumar retak leher dan luka di bahagian muka serta tangan sementara dua lagi rakannya, P Navinan, 21, cedera di bahu kiri manakala P Thuban, 23, patah tangan kanan.

“Mangsa yang maut dibawa ke Rumah Mayat Hospital Port Dickson (HPD) untuk dibedah siasat dan telah dituntut ahli keluarga sementara mangsa yang cedera turut mendapat rawatan di HPD,” katanya.

Dalam pada itu, ayah mangsa maut, M Shanmugam, 51, memberitahu, dia tidak menyangka perbualannya dengan Vijey 12 malam kelmarin adalah yang terakhir.

“Dalam perbualan kami, Vijey memberitahu dia akan pulang pada Ahad ini untuk melihat ibunya yang sakit angin ahmar.

"Namun, selepas beberapa jam kemudian saya menerima panggilan daripada salah seorang keluarga rakannya mengatakan Vijey maut di tempat kejadian," katanya.

Tambah Shanmugam, Vijey sedang menjalani latihan di Akademik Laut Malaysia (ALAM) sebagai persiapan untuk dia bekerja di China.

“Vijey seorang anak yang baik dan banyak membantu keluarga memandangkan sekarang saya sudah bersara. Kehilangannya adalah sesuatu yang sangat dirasai,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat HPD.

Rakannya yang terlibat dalam kejadian itu, Navinan memberitahu, mereka dalam perjalanan pulang setelah makan di bandar Lukut.

“Sebelum itu, hujan sangat lebat dan kami tunggu sehingga hujan berhenti untuk pulang ke ALAM kerana pagi ini (kelmarin) kami akan  mengikuti kursus yang akan bermula hari ini (kelmarin) di sini.

“Tiba-tiba sampai di satu selekoh, kereta Wira yang dipandu Sivanantakumar tidak dapat dikawal dan dengan sekelip mata kereta terbalik," katanya menceritakan detik cemas itu.

Tambah Navinan, dia cuba menarik Vijey keluar tetapi langsung tidak dengar suaranya. Dengan bantuan orang ramai, kami dikeluarkan dari kereta dan dia hampir pengsan apabila diberitahu Vijey meninggal dunia.

"Saya bersama tiga rakan lain baru menamatkan Diploma Nautika di Alam Jun lalu manakala Vijey pula pada Disember ini," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pelajar-alam-maut-kemalangan-1.206059



Biarlah saya cedera



27 September 2013
Melaka: “Biarlah saya cedera pun tidak mengapa, tetapi jangan pengguna lain,” kata Md Yusof Wali Mahmud, 47, yang nekad membelok lori dipandunya hingga terbalik semata-mata mahu mengelak daripada melanggar kenderaan lain selepas brek lori itu mengalami kerosakan ketika menuruni bukit di Persimpangan Ayer Keroh Lama, Bukit Beruang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, lori 10 tan membawa muatan tanah dipandu bapa kepada tujuh anak itu nyaris melanggar beberapa kenderaan lain yang sedang menunggu lampu isyarat di kawasan berdekatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Difahamkan, kemalangan yang mengakibatkan kesesakan teruk itu turut membabitkan sebuah Proton Iswara dipandu seorang pemuda berusia 20-an, namun kenderaannya hanya terkena tanah dibawa lori terbabit yang bertaburan di atas jalan.

“Ketika menuruni bukit dari arah IPK, saya terkejut apabila brek lori tiba-tiba tidak berfungsi dan melihat beberapa kenderaan lain di depan sedang menunggu lampu isyarat yang ketika itu merah.

“Bagi mengelak berlaku perlanggaran, saya membelok ke kiri persimpangan jalan itu hingga menyebabkan lori dipandu terbalik di tengah jalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam

Sumber:
hmetro.com.my/articles/2013092704162520130927041625//Article?HarianMetro



Ibu digilis depan anak



Inalillahi wainailaihi rojiun

27 September 2013
KUALA LUMPUR - Hasrat seorang wanita mengambil anaknya pulang dari sekolah tidak kesampaian apabila dia maut digilis sebuah lori simen di hadapan Sekolah Kebangsaan Convent Sentul 1 & 2, semalam.




Dalam kejadian jam 2.15 petang, mangsa, Siti Rohani Mohamed Saadi, 30, isteri kepada anggota polis Balai Sentul, dikatakan gagal mengawal motosikalnya setelah bergesel dengan lori itu.

Lebih memilukan kejadian disaksikan anak perempuan mangsa berusia sembilan tahun, lalu menghubungi ayahnya (suami mangsa).

Kejadian makin kecoh apabila orang ramai membaling batu ke arah lori simen dan memukul pemandu lori warga Indonesia dengan kayu.




Bagaimanapun, kehadiran anggota polis trafik menyuraikan keadaan dan menahan pemandu untuk siasatan.

Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, motosikal gagal dikawal menyebabkan mangsa tercampak bawah lori.

Katanya, mangsa kemudiannya digilis dan maut serta-merta di tempat kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.






Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/anak-lihat-ibu-digilis-1.206009
hmetro.com.my/articles/Hilangibudigilislori/MA/Article
carigold.com



Wednesday, September 25, 2013

Pemandu maut rempuh treler rakan sekerja



26 September 2013
BATU PAHAT - Seorang pemandu treler maut selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan dan merempuh sebuah lagi treler dipandu  rakan di hadapannya.

Kejadian kira-kira jam 5.45 pagi semalam itu, berlaku ketika hujan lebat di Kilometer 95, Lebuhraya Utara Selatan (Plus), berhampiran Yong Peng di lorong kenderaan berat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian itu melibatkan tiga treler yang sedang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila treler dipandu mangsa yang berada di belakang sekali merempuh treler di hadapannya.

Beliau berkata, perlanggaran itu mengakibatkan treler yang berada di tengah terus merempuh treler lain yang berada di hadapan.

“Hujan lebat semasa kejadian berkemungkinan punca utama kemalangan berlaku apabila mangsa gagal melihat dengan jelas treler yang berada di hadapannya.

“Selain itu, faktor jalan yang agak licin juga membuatkan treler gagal dikawal sehingga  merempuh treler yang berada di hadapannya,” katanya kepada Sinar Harian bagi mengesahkan  kejadian, di sini semalam.

Din berkata, akibat rempuhan itu, mangsa tersepit dan maut di tempat  kejadian akibat kecederaan parah di hampir  seluruh anggota badannya.

Jelasnya, dua lagi pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan, manakala mayat mangsa  dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

“Kes ini masih dalam siasatan polis dan kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kemalangan berkenaan boleh menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/pemandu-maut-rempuh-treler-rakan-sekerja-1.205864



Koperal maut menunggang Yamaha Z800


Inalillahi wainailaihi rojiun

26 September 2013
Tanjung Malim: Seorang anggota polis hanya sempat menunggang motosikal berkuasa tinggi yang baru dibelinya kira-kira sebulan, apabila dia menemui ajal dalam keadaan mengerikan akibat kemalangan, malam kelmarin.

Koperal Ramlan Ludin, 37, maut di lokasi kejadian selepas digilis di perut oleh sebuah kereta di Jalan Slim Lama, di sini, kira-kira jam 8.15 malam. Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Superintendan Othman Nanyan berkata, ketika kejadian mangsa yang berasal dari Lawas, Sarawak dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kota Malim Prima, di sini.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi Yamaha Z800 berlanggar dengan sebuah Proton Waja yang keluar dari arah simpang Taman Malim, di sini.

“Mangsa yang datang dari arah Tanjung Malim tidak sempat mengelak kereta itu yang cuba membuat pusingan U. Rempuhan kuat pada pintu kereta menyebabkan mangsa tercampak ke seberang jalan

“Mangsa yang tidak sempat bangkit kemudian dirempuh pula sebuah Proton Saga BML. Pelanggaran itu menyebabkan mangsa mati di lokasi kejadian,” katanya.


“Mangsa yang berasal dari Sarawak maut di tempat kejadian akibat parah di kepala, tangan, perut dan kaki,” katanya.

Mayatnya dibawa ke Hospital Slim River dan jenazahnya dituntut ahli keluarga kira-kira jam 2 pagi semalam untuk dikebumikan.

Othman berkata, kedua-dua pemandu kereta dibawa ke klinik berhampiran untuk rawatan sebelum keterangan diambil.

”Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Allahyarham yang mempunyai empat orang anak, menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1997 dan meminati aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Al-Fatihah

Sumber:
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm
hmetro.com.my/articles/Hanyasempatlaramsebulan//Article?HarianMetro
sinarharian.com.my/mobile/semasa/anggota-polis-maut-nahas-1.205681



2 Pelajar SMK Pendeta Zaaba Maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

25 September 2013
Seremban: Hasrat dua pelajar tingkatan empat melakukan kejutan meraikan hari jadi rakan sekelas bertukar tragedi apabila mereka maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum merempuh pokok dan terbabas ke longkang di Jalan Taman Tasek, di sini, semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Nurfarah Adila Md Azmi dan Nurul Isnaini Muhayuddin, masing-masing berusia 16 tahun yang menaiki motosikal Yamaha Nouvo S dan menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendeta Zaaba, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan badan.


Rakan mangsa, Puteri Lily Ayumi Aminuddin, 16, berkata, sebelum kejadian itu, dia bersama seorang lagi rakan, Nor Emilia Zulkifli, 16, menunggang motosikal Modenas Kriss mengekori kedua-dua mangsa ke Taman Tasik Jaya, di sini.

“Kami mahu melakukan kejutan menyambut hari jadi rakan sekelas di tingkatan 4 Fikri, Elly (Norelizah Zulkifli, 16) di Flat Seroja, di sini.


“Dalam perjalanan, Nurul Isnaini menunggang motosikal yang dipinjam dari rakan sekolah dengan laju dan menggunakan hanya sebelah tangan menyebabkan saya menegurnya kerana berbahaya.


“Namun, dia terus menunggang laju sehingga sampai di satu persimpangan sebelum gagal mengawal motosikal sehingga melanggar pembahagi jalan dan pokok sebelum terbabas ke longkang,” katanya yang memberitahu kedua-dua rakannya itu tidak memakai topi keledar.

Sementara itu, Norelizah yang ditemui di tempat kejadian tidak menyangka kejutan hari jadi yang mahu dilakukan empat rakannya itu bertukar tragedi apabila dua daripada mereka meninggal dunia.


“Saya tidak tahu apa-apa mengenai sambutan ini kerana tidak dimaklumkan.

“Ketika waktu rehat, saya terkejut apabila Nurul Isnaini tiba-tiba memberikan wang RM1.50 sebagai belanja hari jadi saya.


“Saya tidak sangka itu pemberian terakhir daripada rakan karib saya,” katanya yang sedih dengan pemergian dua rakannya itu.


Ibu Nurul Isnaini, Siti Aishah Husin, 47, berkata, dia dan suami, Muhayuddin Sulaiman, 48, tidak tahu anak mereka menunggang motosikal kerana di rumah, dia dihalang berbuat demikian.


Katanya, suaminya sering melarang anaknya itu menunggang motosikal kerana tiada lesen memandu.


Siti Aishah yang juga kakitangan Bahagian Aset Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan berkata, dia tidak tahu Nurul Isnaini pulang awal dari sekolah, semalam, kerana kebiasaannya pada Selasa hingga Jumaat, anaknya itu dibenarkan pulang pada jam 4.30 petang.


“Hanya setiap Isnin, pelajar pulang pada jam 2.40 petang. Namun, hari ini (semalam), dia dibenarkan pulang awal,” katanya yang menghantar Nurul Isnaini setiap hari ke sekolah dari rumahnya di Taman Harmonium Utama, di sini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Zainal Abu yang dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Betul-betulbuatkejutan/Article/index_html
utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130925/je_04/Dua-sahabat-maut-sebelum-sempat-hadiri-majlis-sambutan-hari-jadi




Tragedi pulang kerja



Inalillahi wainailaihi rojiun

25 September 2013
BENTONG – Perjalanan pulang seorang remaja dari tempat kerja bertukar tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 1 Berjaya Hills menghala ke Kuala Lumpur kira-kira jam 7 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa dikenali sebagai Mohamad Nasiruddin Jamil, 18, beralamat di Felda Tersang 3, Raub merupakan pekerja Colmar Tropicale Bukit Tinggi.

Menurutnya, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda seorang diri dalam perjalanan turun dari tempat kerjanya ke asrama pekerja.

“Setibanya di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai bertembung dengan Proton Exora dari arah bertentangan.

“Akibat kejadian itu, mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Mansor berkata, mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/maut-ketika-pulang-kerja-1.205353



Monday, September 23, 2013

3 maut 12 cedera



24 September 2013
KULAIJAYA: Pemandu sebuah bas ekspress dan dua penumpang maut manakala 12 penumpang lain cedera dalam kemalangan membabitkan bas ekspress dan sebuah lori di Kilometer 45.8 Lebuhraya Utara-Selatan di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 6.43 pagi itu, kedua-dua kenderaan menuju ke selatan sebelum bas ekspress berkenaan merempuh belakang lori terbabit.

Akibat rempuhan kuat itu, pemandu bas berkenaan, R Sasikumar, 23 dan seorang penumpang warga Indonesia meninggal dunia di tempat kejadian manakala 13 penumpang lain yang cedera dikejarkan ke Hospital Kulaijaya.

Bagaimanapun, seorang daripada penumpang yang cedera disahkan mati di hospital ketika dirawat.

Difahamkan, bas ekspress dan lori itu dalam perjalanan dari Simpang Renggam menuju Sedenak, di sini.







KULAIJAYA – Tiga maut, manakala empat cedera parah dalam kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dua tingkat dengan sebuah treler muatan kayu di Kilometer 45.9 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) berhampiran susur keluar Sedenak, semalam.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, seramai 10 penumpang lain turut mengalami cedera ringan sementara selebihnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang maut adalah pemandu bas, R Shashi Kumar, 24, berasal dari Bemban, Melaka dan penumpang warga Indonesia, Edi Setiono, 51, kerana cedera parah setelah badan mereka ditembusi kayu seterusnya meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala pemandu treler, A Majid Sadar Mohd, 59 yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan pula dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kulai akibat serangan jantung.

Selain itu, sebuah kereta jenis Mazda remuk berikutan pemandunya gagal mengawal kenderaan setelah melanggar longgokan kayu dari treler yang terjatuh ke atas jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superitendan Zulkefly Yahya berkata, bas yang membawa 22 penumpang termasuk dua pemandu itu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Johor Bahru.

“Kejadian berlaku apabila bas berkenaan merempuh bahagian belakang treler menyebabkan pemandu dan penumpang yang duduk di tingkat atas tersepit seterusnya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala 14 penumpang dibawa ke hospital dan empat daripadanya dilaporkan cedera parah termasuk pemandu kedua bas. Enam lagi terselamat,” katanya mengesahkan kejadian ketika ditemui di hospital, di sini.

Katanya, semua mangsa dibawa ke hospital Kulai untuk bedah siasat dan mendapatkan rawatan.

“Punca kejadian masih sedang disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kejadian turut menyebabkan kesesakan jalan raya dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bahru sejauh kira-kira empat kilometer,”katanya.


VIDEO KEMALANGAN
Bas rempuh treler muatan papan 3 maut




Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/tiga-maut-bas-rempuh-treler-1.205318
hmetro.com.my/articles/Kalike-3memangnahas//Article?HarianMetro
hmetro.com.my/articles/Tigamaut_12cedera//Article?BeritaUtama


Dua remaja maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

24 September 2013
BENTONG – Dua remaja maut kemalangan membabitkan dua motosikal di Kilometer 2.4 Jalan Bentong-Karak iaitu di hadapan Restoran Dapur Kita, di sini kira-kira jam 11.45 malam kelmarin.

Pelajar tingkatan empat, Muhammad Izzarul Mat Isa, 16 disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.30 pagi ketika menerima rawatan manakala Pubalan, 20, maut jam 4.45 pagi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, Muhammad Izzarul menunggang motosikal Yamaha 125Z bersama seorang pembonceng berusia 17 tahun dalam perjalanan dari arah Ketari ke Benus.

Menurutnya, Pubalan pula menunggang motosikal Honda EX5 bersama seorang pembonceng berusia 20 tahun dalam perjalanan dari arah bertentangan.

“Setibanya di tempat kejadian, kedua-dua motosikal dipercayai bertembung dan kesemua mangsa tercampak di bahu jalan.

“Rakan Muhammad Izzarul patah kaki kanan manakala rakan Pubalan patah kaki kiri,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa dirawat di Hospital Bentong.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa sudah dituntut ahli keluarga masing-masing.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/dua-remaja-maut-nahas-motosikal-1.204912



Tak sempat belanja keluarga makan ikan bakar


Inalillahi wainailaihi rojiun

23 September 2013
BUKIT KATIL - Hajat pembantu tukang masak belanja ahli keluarganya makan ikan bakar setelah mendapat gaji pertama hujung bulan ini tidak kesampaian apabila maut di Jalan Kampung Duyong/Bukit Katil, di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Muhammad Saiful Mohd Rawi, 22, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Bemban selepas tamat waktu bekerja di sebuah hotel di Jalan Bunga Raya dekat sini, sebelum terbabit kemalangan kira-kira jam 12 tengah malam.

Muhammad Saiful maut apabila motosikal Yamaha 125Z ditunggangnya terbabas dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung kereta Perodua MyVi dipandu pelajar Politeknik Merlimau, Adli Hafetz Abd Halim, 21.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, mangsa menunggang dari arah persimpangan lampu isyarat Bukit Baru/Duyong menghala simpang empat berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Siasatan awal mangsa terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta menyebabkan dia dipercayai terhentak di cermin kereta terbabit sebelum terjatuh di atas jalan raya dalam keadaan terlangkup.

“Mangsa yang dipercayai cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu kereta hanya cedera ringan dan di bawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Adli berkata, dia yang baru selesai makan bersama rakan di kawasan berhampiran, dalam perjalanan balik ke Merlimau sebelum motosikal ditunggang Muhammad Saiful tiba-tiba memasuki laluannya.

“Sebelum kejadian saya ada melihat kereta hadapan dapat mengelak motosikal tersebut yang kemudian memasuki semula laluan menghala Bukit Katil.

“Namun motosikal itu tiba-tiba masuk semula ke laluan saya menyebabkan saya gagal mengelak lalu kami bertembung,” katanya.

Bapa, Muhammad Saiful, Mohd Rawi Salim, 54, berkata, anak sulung daripada dua beradik itu mula bekerja di hotel berkenaan pada 9 September lalu dan jika bekerja shif pagi, arwah akan keluar jam 6 pagi dan tamat kerja jam 3 petang.

Namun arwah dilihat suka melakukan kerja lebih masa sehingga jam 11 malam.

“Biasanya saya akan risau apabila dia balik lambat dan malam tersebut saya sempat menghubunginya kira-kira jam 10 malam yang kemudian meminta saya tidak risau kerana dia bekerja lebih masa dan akan berjumpa di rumah.

“Namun selepas itu saya menerima panggilan daripada rakan arwah mengenai kejadian ini. Saya tidak mempercayainya sehingga saya melihat sendiri mayatnya di hospital,” katanya ketika ditemui di ruang menunggu bilik mayat Hospital Melaka, semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tak-sempat-belanja-keluarga-1.204542



Dua beranak nyaris rentung



23 September 2013
GUNUNG SEMANGGOL - Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku ke atas dua beranak yang terselamat apabila kereta yang mereka naiki terbakar secara tiba-tiba di Kilometer 181 Lebuhraya Utara-Selatan, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa berusia lingkungan 40-an bersama anaknya berusia 14 tahun dalam perjalanan dari rumah mereka di Sungai Petani, Kedah ke sebuah sekolah asrama penuh di Muar Johor.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan menghantar anak ke asrama penuh, mangsa menyedari tayar hadapan keretanya mengalami masalah, namun masih meneruskan pemanduan sehinggalah tayar itu meletup.

Berikutan itu, katanya, kereta Toyota Innova dinaiki dua beranak itu hilang kawalan sebelum melanggar tembok sementara disediakan kontraktor yang menyenggara jalan di lokasi kejadian.

“Kesan pelanggaran itu menyebabkan belakang kereta itu terbakar sebelum merebak ke bahagian depan dalam tempoh tidak sampai sepuluh minit.

“Bagaimanapun, mangsa dan anaknya yang cedera ringan sempat keluar dari kenderaan terbabit untuk menyelamatkan diri," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dalam kejadian itu, peralatan persekolahan anak mangsa, termasuk sebuah komputer riba musnah.

Mat Fauzi berkata, anggota bomba dan penyelamat datang membantu mengawal kebakaran dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan api.

"Dalam pada itu, kita menggesa pengguna jalan raya berhati-hati mengendalikan kenderaan dan sentiasa memeriksa kondisi kenderaan masing-masing sebelum memulakan perjalanan," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/berpantang-maut-sebelum-ajal-1.204562



Tiga sekeluarga maut nahas



KUANTAN 23 Sept. - Tiga sekeluarga, termasuk kanak-kanak berusia setahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuantan-Sungai Lembing berdekatan Kampung Bukit Kuin, di sini malam tadi.



Dalam kejadian 7.45 malam itu, Wan Hassan Basri, 53, dan isteri Zainab Yatim, 57, maut di tempat kejadian manakala cucu mereka, Nur Ameera Amran meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, kira-kira tiga jam kemudian.

Pegawai Penguat Kuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu oleh Wan Hassan cuba memotong sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak sawit.

"Mangsa yang dalam perjalanan dari Sungai Lembing ke Kuantan bagaimanapun gagal memotong lori itu dan bertembung dengan sebuah kereta Proton Waja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pemandu lori dan kereta Proton Waja itu hanya mengalami cedera ringan, katanya.

Dalam satu lagi kemalangan, seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya parah selepas mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan, dipercayai akibat menunggang dalam keadaan mabuk.

Kejadian berlaku 4.50 petang di Jalan Ladang Dara Lam Soon di Pekan, dan mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Izat a/l Rshid, 26, manakala rakannya yang berusia dalam lingkungan 20-an dirawat di Hospital pekan.

Dalam kemalangan di Km 68 Jalan Kuatan-Segamat, seorang lelaki terkorban dalam nahas membabitkan empat buah kenderaan pada pukul 3.40 petang semalam.

Mohd. Zulkafli Musa, 46, maut di tempat kejadian selepas kereta yang dipandunya memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah kereta Perodua Kancil dan Proton Saga sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda.

Zainalabidin berkata, pemandu tiga kenderaan lagi hanya mengalami cedera ringan. - BERNAMA

Sumber:
utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130923/je_08/Tiga-sekeluarga-maut-nahas-di-Kuantan
nst.com.my/latest/6-including-1-year-old-girl-killed-in-4-separate-accidents-in-pahang-1.361670



Sunday, September 22, 2013

Pacuan empat roda bertembung lori tangki



22 September 2013
JEMPOL - Dua rakan sekerja sebuah ladang sawit di Bera, Pahang maut apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka bertembung dengan lori tangki tanpa muatan di Kilometer 34 Jalan Bahau-Keratong, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis daerah Jempol, Deputi Superintendan Tukiman Seriman berkata, Teo Lian Tian, 71, bersama rakannya, Amirun Ein Rafiq, 34, maut di tempat kejadian akibat tersepit dan cedera parah di bahagian kepala dan badannya.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira 4.40 petang itu, sebuah lori tangki dipandu seorang lelaki dalam perjalanan dari Keratong-Bahau hilang kawalan lalu masuk ke bahu jalan sebelah kiri.

“Kemudian, lori itu cuba naik semula ke laluan asal tetapi tersasar ke laluan bertentangan. Dalam masa sama datang sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Frontier dan berlaku pertembungan.

“Selepas pertembungan itu, lori berkenaan terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter di bahu kiri jalan. Bagaimanapun, pemandunya selamat dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Jempol," katanya.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat.

"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya ketika mengesahkan kejadian, semalam.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pacuan-empat-roda-bertembung-lori-tangki-1.204314



Pelajar ILP Bukit Katil maut



Inalillahi wainailaihi rojiun


22 September 2013
KRUBONG - Tidak dapat digambarkan perasaan seorang remaja apabila sempat memangku abangnya yang sedang nazak dalam kemalangan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), awal pagi semalam.

Muhammad Afiq Berhanudin, 18, bagaimanapun reda apabila abangnya, Muhammad Arif, 20, menghembus nafas akhir sebelum sempat dibawa ke hospital.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggang Muhammad Arif yang juga pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil merempuh bahagian kiri belakang sebuah Perodua Kancil  sebelum terbabas dan melanggar sebuah lagi motosikal ditunggang Mohd Izzat Borhan, 18.

Akibat pelanggaran itu, Perodua Kancil yang dipandu Razalee Tompang, 44, dari arah sama iaitu Sungai Udang menghala persimpangan lampu isyarat Stadium Hang Jebat berpusing sebelum terbalik  dalam keadaan mengiring di laluan kanan.

Arif atau lebih mesra dipanggil Angah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mohd Izzat yang cedera parah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawa-tan lanjut. Sementara Razalee tidak mengalami sebarang kecederaan.

Muhammad Afiq berkata, dia menaiki motosikal lain sudah berada jauh di hadapan dan hanya mengetahui kejadian selepas diberitahu rakan mereka, menyebabkan dia berpatah balik.

“Sampai di situ, Angah sudah nazak dan dadanya berombak. Saya sempat bacakan kalimah syahadah sebelum dia pergi," katanya.

Menurutnya, abangnya itu sebenarnya ketika di rumah berasa berat untuk keluar, namun menukar fikiran selepas diajak rakan-rakan.

Sementara itu, bapa mangsa, Berhanudin Abd Rahman, 51, yang menetap di Padang Sebang, Alor berkata, anaknya memberitahu mahu ke Tampin, sebelum keluar antara 8 dan 9 malam kelmarin.

“Dia yang tinggal bersama keluarga berulang-alik setiap hari dari rumah untuk ke kelas di ILP Bukit Katil.

Kebiasaannya dia akan keluar malam jika keesokan hari cuti atau pada hujung minggu dan balik ke rumah kira-kira satu dan dua pagi,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kejadian.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/meninggal-di-pangkuan-adik-1.204313



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my