loading...

Saturday, September 10, 2011

Suami Isteri Maut Bertembung Bas Politeknik



 Inalillahi Wainailaihi Rojiun

KOTA TINGGI – Sepasang suami isteri maut selepas kereta Proton Iswara yang dipandu si suami, Abu Saribi, 62, dipercayai terbabas sehingga memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas yang membawa 30 pelajar Politeknik Johor Bahru, di sini, semalam.


Kejadian yang berlaku di Kilometer 47 Jalan Johor Bahru- Mersing itu berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa, bersama isterinya, Zaharah Giser, 57, dari Felda Lok Heng Barat di dalam perjalanan menuju ke rumah anaknya di Larkin Perdana, Johor Bahru.

Saksi kejadian, Nurakashah Kassim,26, berkata, dia yang duduk di barisan dua dari hadapan bas tersebut melihat sendiri kereta berkenaan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas yang dinaikinya.

“Saya terkejut apabila melihat kereta dari arah hadapan tiba-tiba memasuki laluan kami. Bas yang kami naiki sempat mengelak sedikit namun kereta tersebut terus meluru ke arah bas.

"Kami yang begitu terkejut segera turun ke bawah sebelum pelajar di bawa menaiki bas yang lainnya untuk ke destinasi,” katanya yang juga pensyarah di politeknik tersebut.

Katanya, mereka ketika itu dalam perjalanan untuk ke Tanjung Leman bersama dua lagi bas yang lainnya membawa pelajar jurusan pelancongan mengikuti kursus selama tiga hari dua malam.

Sementara itu, pemandu bas, Mohd Ismail Daud, 29, berkata, kereta yang dipandu mangsa meluru dari arah belakang sebuah lori sempat dielak namun tetap bertembung dengan bas yang dipandunya.

“Keadaan terlalu pantas apabila kereta tersebut tiba-tiba muncul dari belakang sebuah lori lalu terus menuju ke arah bas. Saya juga sempat mengelak namun kenderaan kami tetap bertembung,” katanya yang sudah mempunyai pengalaman selama 8 tahun membawa bas.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Suhaimy Hashim, ketika dihubungi mengesahkan kemalangan maut yang melibatkan pasangan suami isteri itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang bas yang lain terselamat dan tiada kecederaan dilaporkan. Penumpang bas juga dibawa ke destinasi yang ingin dituju dengan menaiki dua bas politeknik yang lainnya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian
              Utusan Malaysia

Friday, September 9, 2011

Ops Sikap Ke-24 Gagal

 
KUALA LUMPUR 8 Sept. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar melahirkan rasa kecewa kerana semua usaha dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendidik rakyat negara ini agar bersikap tertib dan sopan di jalan raya masih tidak berkesan sehingga mengakibatkan Ops Sikap Ke-24 yang berakhir kelmarin, gagal.

Beliau berkata, bermacam-macam pendekatan sudah diambil oleh PDRM dan pihak berkuasa lain untuk mendidik orang ramai agar bersikap tertib dan sopan di jalan raya, namun ia masih gagal.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengemukakan cadangan kepada Menteri Dalam Negeri agar merangka kokurikulum program keselamatan jalan raya di peringkat sekolah rendah dan prasekolah untuk memberi kesedaran serta menanam budaya pematuhan kepada peraturan dan undang-undang lalu-lintas.

“Saya berasa dukacita dan kesal kerana semua usaha yang kita buat selama ini untuk mendidik orang ramai bersopan dan tertib di jalan raya seolah-olah tidak berkesan apabila jumlah kemalangan masih lagi tinggi direkodkan.

“Macam-macam kaedah kita pakai. Antaranya adalah memberi nasihat, mengedarkan risalah dan buku panduan keselamatan, malah turut memberi hadiah atau buah tangan kepada pengguna jalan raya di plaza-plaza tol,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Menurut Ismail, beliau juga yakin latihan yang diberikan kepada orang ramai untuk mendapatkan lesen memandu juga cukup kemas, malah jalan raya di negara ini diiktiraf sebagai terbaik di dunia.

Beliau berkata, semua usaha dilakukan itu bagaimanapun dilihat hanya sia-sia apabila kadar kemalangan jalan raya dalam Ops Sikap Ke-24 masih tinggi setelah mencatatkan 259 kemalangan maut dengan 289 kematian.

Katanya, jumlah dicatatkan itu meningkat berbanding Ops Sikap Ke-23 di mana terdapat pertambahan 41 kes (18.8 peratus) kemalangan maut, manakala kematian turut meningkat 41 kes (16.5 peratus).

Keseluruhannya, kata beliau, sebanyak 19,462 kemalangan dicatatkan dalam Ops Sikap Ke-24 iaitu meningkat 2,645 kes (15.7 peratus) berbanding sebelum ini.

“Penunggang dan pembonceng motosikal merupakan penyumbang tertinggi dengan kadar kemalangan maut dan kematian berjumlah 178 kes (61.6 peratus) daripada 289 kematian yang direkodkan iaitu meningkat 35 kes (24.5 peratus).

“Mangsa paling banyak terkorban ialah mereka yang berusia 16 hingga 20 tahun,” katanya sambil memberitahu kemalangan paling tinggi berlaku antara pukul 4 dan 6 petang dan antara 1 hingga 2 pagi.

Beliau menambah, kajian mendapati lebih 85 peratus kemalangan berlaku disebabkan sikap pemandu dan pengguna jalan raya sendiri apabila memandu dalam keadaan cuai, letih, tertidur, mengekori kenderaan lain terlalu rapat dan leka.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pihaknya akan membuat penjenamaan semula atau memberi nama baru yang lebih sesuai dan sinonim dengan keadaan semasa kepada Ops Sikap di musim perayaan pada masa hadapan.

Sumber: Utusan Malaysia

Kereta Terbang Lagi


SERI KEMBANGAN – “Keadaan sangat mencemaskan apabila saya nampak sebuah kereta terbang dari arah bertentangan merempuh pembahagi jalan sebelum bertembung kenderaan di depan saya,” kata Hasmazira Husain, 32, saksi kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Putra Permai di sini tengah hari kelmarin.

Hasmazira yang juga seorang jururawat berkata, dia melihat sendiri kereta Proton Wira yang terbabas menghala ke arah Taman Equine itu menghempap sebahagian kereta mangsa jenis Proton Saga BLM yang maut sebelum berpusing beberapa kali dan terbabas di tengah laluan.

“Beberapa kilometer sebelum sampai ke tempat dituju, saya panik apabila bertembung dengan sebuah kereta yang memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta dipandu seorang lelaki di depan saya,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan kelam kabut itu, kereta jenis Perodua Viva miliknya yang turut dilanggar pemandu hilang kawalan terbabit diberhentikan di tepi jalan untuk melihat keadaan pemandu di kereta depan.

“Saya dapati pemandu tersepit dan orang ramai yang berada di tempat kejadian juga gagal mengeluarkan mangsa.

“Selepas beberapa minit. bomba tiba di tempat kejadian mengeluarkan mangsa dan saya sendiri turut memberi rawatan kepada mangsa,” katanya mangsa yang patah kaki, tangan serta mengalami kecederaan teruk di bahagian dada dikejarkan ke hospital oleh ambulans yang tiba beberapa minit kemudian.

Sementara itu, jurucakap polis Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang berkata, mangsa, Chow Yik Loong, 61, bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas enam jam menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Serdang.

Katanya, pemandu kereta Proton Wira hanya mengalami kecederaan ringan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saksi diminta hubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Serdang, Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz di talian 03-89422222 atau 0169055595 untuk membantu siasatan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Thursday, September 8, 2011

Ops Sikap Ke-24 yang berakhir



KUALA LUMPUR 7 Sept. - Ops Sikap Ke-24 yang berakhir semalam, mencatatkan sembilan kematian iaitu terendah pernah direkodkan sepanjang 15 hari operasi itu dijalankan.

Sejak Ops Sikap Ke-24 dilancarkan pada 23 Ogos lalu, angka korban pengguna jalan raya dilaporkan pada setiap hari, tidak kurang daripada 10 orang kecuali semalam yang mencatatkan sembilan kematian.

Statistik dalam laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bilangan kematian dicatatkan setiap hari adalah antara 14 dan 28 orang.

Jumlah kematian terendah dicatatkan semalam, bagaimanapun tidak boleh dibanggakan kerana secara keseluruhannya Ops Sikap Ke-24 dilihat gagal mengurangkan angka korban di jalan raya apabila mencatatkan 289 kematian.

Menurut laman web PDRM hari ini, pembonceng dan penunggang motosikal masih menduduki tangga teratas kematian dalam operasi yang berakhir semalam apabila merekodkan empat orang terkorban.

Dalam pada itu, sebanyak 1,186 kemalangan dilaporkan berlaku semalam termasuk sembilan membabitkan kemalangan maut iaitu berkurangan berbanding 1,400 kes kelmarin.

Selain empat kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, turut terkorban ialah dua pengguna kereta serta masing-masing seorang pengguna lori, lain-lain kenderaan dan basikal.

Kemalangan tertinggi dilaporkan berlaku di jalan bandaran iaitu 503 kes, diikuti jalan Persekutuan (275), jalan negeri (212), lebuh raya (115) dan lain-lain jalan (81).

Daripada 1,186 kemalangan dilaporkan itu, tiga merupakan kes kemalangan maut yang mengorbankan tiga mangsa berlaku di jalan negeri dan masing-masing dua kemalangan maut dengan dua kematian di lebuh raya serta jalan Persekutuan.

Jalan bandaran dan lain-lain jalan, masing-masing mencatatkan satu kes kemalangan maut dengan satu kematian.

Sebanyak 9,253 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas iaitu berkurangan berbanding 12,690 saman dicatatkan sebelum ini.

Sumber: Utusan Malaysia

Pemandu Sani Express Dijel 4 Tahun

IPOH 7 Sept. – Pemandu bas dua tingkat Sani Express dihukum penjara empat tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Trafik di sini hari ini selepas didapati bersalah memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian 10 penumpang dalam satu nahas ngeri, dua tahun lalu.

Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah memerintahkan Mohd. Kamil Mohd. Rashid, 38, dari Yan, Kedah menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini.

Selain memerintahkan tempoh pemenjaraan lelaki itu ditambah enam bulan lagi jika gagal membayar denda, mahkamah turut menggantung lesen memandu kelas E tertuduh selama tiga tahun bermula hari ini.

Mohamed Ruhizat membuat keputusan tersebut setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang bermula sejak 29 Disember 2009.

Sepanjang perbicaraan, seramai 28 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan.

Dalam keputusannya, Mohamed Ruhizat berkata, mahkamah mendapati tertuduh dalam keadaan tidak sedar semasa kejadian kerana menurut keterangan saksi, tertuduh tidak mendengar sebarang jeritan dari atas, bawah dan luar bas semasa kejadian.

Katanya, mahkamah turut mengambil kira keterangan saksi pendakwaan yang terdengar seseorang menyatakan “Maaf, saya terlelap” kepada penumpang serta keterangan tertuduh kepada pegawai penyiasat polis bahawa dia terlelap.

“Hukuman yang dijatuhkan kepada tertuduh bukan semata-mata hukuman tetapi pengajaran kepada tertuduh sendiri, pesalah-pesalah lain dan bakal-bakal pesalah supaya kejadian ini tidak berulang. Tanggungjawab pemandu bas dua tingkat cukup besar untuk elak kemalangan,’’ katanya.

Mohamed Ruhizat juga menyatakan, mahkamah tidak dapat menerima keterangan pembelaan tertuduh bahawa matanya silau terkena cahaya lampu tinggi sebuah kenderaan dari arah bertentangan semasa kejadian kerana ia tiada dalam laporannya kepada pihak polis dan jika benar sekalipun, tempohnya cuma 1.6 saat atau kurang.

“Menurut pegawai penyiasat, kelajuan bas sebelum kejadian ialah 91 kilometer sejam. Walaupun bas dipandu lebih satu kilometer sejam dari had laju dibenarkan 90 kilometer sejam di tempat itu, ia boleh jadi berbahaya terutamanya bagi bas berat dan dua tingkat.

“Mahkamah menerima keterangan saksi-saksi pihak pendakwaan yang konsisten bahawa bas tersebut dipandu secara terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan walaupun terdapat percanggahan tempoh masa kerana daya ingatan dan perspektif setiap individu adalah berbeza,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Kamil yang diwakili peguam bela, S. Arumugam dan Khairun Niza Husnin didakwa memandu bas bernombor pendaftaran WSX 5010 secara melulu kira-kira pukul 1 pagi, 26 Disember 2009 di Kilometer 272.7 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di sini.


Gambar yang diambil dari The Star /26.12.2009

Dengan perbuatannya itu, dia didakwa menyebabkan kematian pasangan suami isteri, Shaharin Mohd. Nor, 61, dan Supiah Adam, 46, Mohd. Shukri Mohd. Ali, 22, Mohd. Bilal Osman, 22, dan Sharifah Raheel Al-Junid Syed Harun, 21, bersama adiknya, Sharifah Hasanah, 15, Musa @ Ismail Abdullah, 64, Noor Jismi Noordin, 25, Ng Kah Kit, 14, dan kakaknya, Ng Poh Ngoh, 23.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, Arumugam memberitahu mahkamah, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak berusia antara dua dan 10 tahun, belum membuat keputusan untuk merayu kes tersebut kerana tidak mampu menanggung kos guaman yang setakat ini ditanggung oleh syarikat Sani Express.

Sementara itu, Mohd. Kamil yang memakai baju kemeja berwarna cerah serta seluar panjang berwarna gelap dan berkasut sukan, dilihat dalam keadaan begitu sugul di dalam kandang pesalah sambil tangannya diletakkan di atas kepala seperti tidak menjangkakan hukuman tersebut.

Sementara itu, Pengurus Operasi Sani Express, Jamali Mahat yang turut hadir memberitahu, beliau belum menerima sebarang mandat pengurusan tertinggi syarikat untuk membantu Mohd. Kamil membuat rayuan dalam kes tersebut.

Menurut beliau, Mohd. Kamil yang mula berkhidmat dengan syarikat itu sejak Ogos 2009, diberikan cuti tanpa gaji sejak didakwa di mahkamah.


Sumber: Utusan Malaysia

Kereta Terbang, Pemandunya Hilang


RANTAU PANJANG – Pengguna Lebuhraya Rantau Panjang-Pasir Mas dikejutkan kejadian ‘kereta terbang’ sejauh lebih 100 meter kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Kereta datang dari arah Rantau Panjang menghala ke Pasir Mas dipercayai tidak dapat mengawal kenderaannya sehingga terbabas ke dalam gaung di laluan setentang.

Pemandu kereta jenis Wira itu difahamkan memandu sendirian tiada di tempat kejadian selepas kemalangan.

Sementara, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Senior Komisioner Haliludin Rahim berkata, kejadian berlaku di Kilometer 10 Jalan Kota Bharu, Rantau Panjang, Pasir Mas.

Menurutnya, mengikut maklumat awal yang diterima orang awam, kenderaan itu dipandu laju dan terbabas ketika cuba mengelak melanggar sebuah lori.

“Lori dipercayai datang dari arah sama sementara mangsa dan pemandu kereta bagaimanapun menghilangkan diri selepas kejadian.

“Kereta mangsa rosak teruk berikutan kemalangan itu,” katanya

Sumber: Sinar Harian

Perompak Maut Kemalangan Setelah bunuh Kontraktor

ANGGOTA polis mengangkat mayat suspek setelah kereta curi yang dipandunya 
merempuh sebatang pokok di Johor Bahru, semalam. – UTUSAN/BAZLAN IBRAHIM


JOHOR BAHRU 7 Sept. – Dua perompak menerima padah apabila seorang daripadanya maut manakala rakannya parah selepas kereta yang mereka naiki merempuh sebatang pokok sejurus selepas menetak mati seorang kontraktor syarikat perkapalan ketika merompak mangsa, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa, S. Vijayaratnam, 47, yang ditetak di belakang kepala oleh suspek meninggal dunia pada pukul 12.04 tengah malam tadi selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Regency di sini.

Isterinya, G. Vijayalakshmi, 45, pula kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Menurut pembantu rumah mangsa, P. Rasathi, 31, kejadian berlaku pada pukul 7.30 petang semasa kedua-dua majikannya itu bersembahyang di luar rumah.

Katanya, anak kedua pasangan itu, V. Deeliip, 12, pula berada di bilik di tingkat atas rumah.

“Tiba-tiba saya nampak dua lelaki berada di luar rumah. Saya yang tidak sedap hati terus masuk ke dalam rumah bersama puan (Vijayalakshmi) dan kami menyembunyikan diri di dalam bilik air.

“Tidak lama kemudian suspek menendang pintu bilik air sehingga pecah dan sebaik sahaja keluar saya lihat tuan (Vijayaratnam) sedang diacu dengan parang,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Rasathi berkata, suspek kemudian membawa mereka ke tingkat atas sebelum menggeledah bilik majikannya itu untuk mencari barang berharga.

Katanya, ketika di tingkat atas, majikannya ditetak setelah anak mereka enggan keluar dari bilik yang dikunci dari dalam sejurus menyedari berlaku rompakan.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana begitu takut melihat kedua-dua majikan ditetak dengan parang dan turut menyerahkan barang kemas saya.

“Sebaik sahaja mendapat barang kemas, mereka terus melarikan diri dengan kereta milik majikan saya,” katanya.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana ketika kejadian anak ketiga majikannya itu, V. Sevendran, 6, tiada di rumah kerana ke kelas tambahan, manakala anak sulung mereka, V. Nishindren, 18, menuntut di sebuah kolej swasta di Mantin, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, siasatan awal percaya rompakan itu didalangi oleh empat lelaki dan sebaik sahaja sampai di lokasi kemalangan pihaknya menemui dua daripada suspek dalam keadaan parah, kira-kira satu kilometer dari rumah mangsa.

“Suspek yang memandu kereta curi itu berusia 39 tahun maut di tempat kejadian manakala rakannya berusia 31 tahun parah. Polis menemui semula barang kemas dan telefon bimbit milik mangsa di dalam kereta tersebut,” katanya.

Katanya, pihaknya masih memburu dua lagi rakan suspek yang masih bebas.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

REMUK...kereta yang dilarikan penjenayah terlanggar pokok menyebabkan seorang mati. 
Gambar kecil, Vijayaratnam dan isterinya, Vijayalakshmi.- myMetro/Salman Hamat


Mangsa Sempat Lihat Mayat Penjenayah.

 SERI ALAM: Seorang mangsa rompakan yang ditetak di kepala sempat melihat mayat penyerangnya yang maut akibat kemalangan selepas melakukan rompakan sebelum dia sendiri meninggal dunia beberapa jam kemudian.

“Berhenti...saya mahu tengok muka penjahat itu,” kata S Vijayaratnam, 47, yang kebetulan melalui lokasi kemalangan membabitkan dua penjenayah yang menetak dia dan isterinya, G Vijayalakshmi, 45, di rumah mereka di Jalan Tasek 24, Masai di sini, jam 7.30 malam kelmarin.

Rakan mangsa, G Jayaseelan, 38, berkata ketika itu, Vijayaratnam dalam perjalanan ke Hospital Pakar Regency, dekat sini, apabila terserempak kemalangan jalan raya kira-kira 700 meter dari rumahnya membabitkan dua penjenayah yang sebelum itu melarikan diri selepas menyamun dan menetak dia dan isterinya.

“Kami tidak memberhentikan kereta kerana ketika itu kedua-dua mereka cedera parah akibat ditetak dengan parang, namun melalui tingkap kereta, Vijayaratnam sempat menjenguk mayat seorang daripada penjenayah yang terbunuh.

Sumber: Utusan Malaysia
             myMetro

Konvoi Bawa Kertas UPSR Kemalangan


Inalilahi Wainalilahi Rojiun 

KUCHING: “Dia beria-ia meminta saya bergambar dengannya pada hari ketiga Aidilfitri. Saya hairan dengan permintaan itu dan kini hiba kerana gambar itu menjadi kenangan terakhir saya dan suami,” kata Mariah Ali, 38, isteri kepada Khusaini Sulong, 39, yang maut dalam kemalangan di Jalan Sibu-Bintulu, semalam.

Khusaini yang bertugas sebagai pemandu di Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri di Kuching dipercayai bersama konvoi menghantar kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari Sibu ke Bintulu, maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya bertembung sebuah Toyota Hilux.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.45 pagi, setengah jam selepas mangsa bertolak dari hotel penginapan di Sibu yang turut diiringi polis serta sembilan lagi kenderaan termasuk yang dinaiki pegawai daripada Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Sarawak.

Menurut Mariah, dia tidak menyangka permintaan terakhir suami untuk bergambar berdua ketika Aidilfitri baru-baru ini menjadi kenangan terakhir dengan arwah. “Saya menerima berita sedih yang menimpa arwah selepas dihubungi seorang ahli keluarga jam 9.30 pagi tadi (semalam) dan ketika itu, barulah saya sedar mengapa arwah beriya-iya mahu bergambar dengan saya. “Malah, paling sedih apabila mengenangkan kata-kata kemungkinan ini (bergambar) yang terakhir baginya,” katanya yang mempunyai lima anak berusia antara lapan hingga 17 tahun serta seorang cucu itu


Untuk lihat gambar mangsa lebih dekat layari The Broneo Post

Sumber: myMetro
             theborneopost.com


Maut Perjalanan Ke Universiti Utara Malaysia (UUM)


Inalilahi Wainalilahi Rojiun

BUKIT MERAH – Hasrat sebuah keluarga meraikan kejayaan salah ahli keluarganya yang berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Utara Malaysia (UUM) bertukar tragedi selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan.



Kemalangan itu menyebabkan tiga maut manakala lapan lagi penumpang cedera apabila van persiaran yang dinaiki keluarga berkenaan terbabas di kilometer 186.6 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit Merah sekitar jam 5.40 pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, pihaknya mengesahkan kejadian yang melibatkan sebuah van persiaran dari Muar, Johor menuju ke Kedah untuk menghantar anggota keluarga mereka iaitu Nur Syuhaila Mohd Jamil, 19, yang akan mendaftar di hari pertama kemasukan UUM sebelum melanggar tembok berhampiran dan terjunam ke dalam parit.

Menurutnya, tiga mangsa yang maut di tempat kejadian ialah pemandu van, Chua Wee Chaur, 33, ibu Nur Syuhaila, Tukijah Esa, 59, dan kakaknya Norruhanizah Mohd Jamil, 34.

Sementara itu, tiga lagi mangsa mengalami kecederaan kritikal dan dihantar ke hospital Taiping ialah bapa kepada Nur Syuhaila iaitu Mohd Jamil @ Mohd Yammi Anuar, 68; abang Syuhaila, Mohd Nazir Mohd Jamil, 29, serta seorang bayi Alia Madiwa berusia 7 bulan setengah yang juga anak kepada Norruhanizah.

“Selain itu lima lagi mangsa yang cedera ringan dirawat di Hospital Parit Buntar termasuk Nur Syuhaila iaitu anak bongsu kepada Mohd Jamil.

“Mangsa yang lain ialah abangnya, Muhammad Faiduz, 27, patah kaki kanan termasuk dua abang iparnya Khairul Khafiza Isnin, 29, dan Mustafa Kamal Md Khairul, 38, serta kakak ipar, Liana Mat, 31,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Mat Fauzi berkata, ketika kejadian, van persiaran itu membawa 10 ahli keluarga untuk menghantar Nur Syuhaila yang bakal mendaftar masuk di UUM pada hari pertama.

“Namun hajat itu tidak kesampaian apabila pemandu van gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan terjunam dalam parit di kawasan Bukit Merah awal pagi tadi (semalam),” katanya.


 Three killed in van crash

PARIT BUNTAR: It was supposed to be a joyous day for Nurshahila Mohd Jamil who was on her way to register at Universiti Utara Malaysia in Sintok, Kedah.

It turned tragic for the 19-year-old from Muar, Johor, when the chartered van carrying her and nine other family members skidded and crashed into a ditch along the North-South Expressway after the Bukit Merah Toll Plaza yesterday.

Three people were killed including Nurshahila's mother Tukijah Esa, 59, her elder sister Norruhanizah, 34, and van driver Chua Wee Chaur, 33.

Krian OCPD Supt Mat Fauzi Nayan said the van driver was believed to have lost control of the vehicle in the 5.40am accident.

“Tukijah, Norruhanizah and Chua were killed on the spot due to severe head and body injuries.

“Their bodies were sent to Parit Buntar Hospital for post-mortem,” he said here yesterday.

Supt Mat Fauzi said Nurshahila's father Mohd Jamil Anuar, 68, her elder brother Mohd Nazir, 29, and her niece Aliya Madiha Abdullah, seven months, who is also the daughter of Norruhanizah, were injured and sent to Taiping Hospital for treatment.

He said Nurshahila was slightly injured, as was another elder brother Mohd Fairuz, 27, brother-in-law Mustafa Kamal Mohd Khamis, 38, sister-in-law Khairul Khafiza Isnin, 29, and Liana Mat, 31.

”All of them were treated at the Parit Buntar Hospital,” he said.

Supt Mat Fauzi added that the van left Muar at 10pm on Tuesday with no co-driver.


Sumber: Sinar Harian
             The Star
             Tv3.com.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my