loading...

Saturday, March 3, 2012

Lihat Isteri Digilis 3 kali

Inalillahi wainailaihi rojiun

TANAH MERAH: Menyayat hati bagi seorang suami menyaksikan sendiri isterinya digilis kenderaan tiga kali ketika cuba melintas jalan untuk bersarapan bersama ahli rombongan persatuan surau dekat Masjid Kampung Panglima Bayu, di sini, pagi semalam.

Kejadian di Kilometer 71 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli pada jam 7 pagi itu menyebabkan pesara jururawat, Kamariah Osman, 63, terbunuh dalam keadaan ngeri apabila badannya hancur dengan kedua-dua kaki terputus akibat digilis kenderaan yang datang dari kedua-dua arah.


Suaminya, Yahya Ahmad, 66, yang turut rebah selepas kali pertama dirempuh sempat bangun dan menyelamatkan diri ke bahu jalan dalam keadaan cedera parah sebelum dikejarkan ke Hospital Tanah Merah (HTM).

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan dirempuh dua kali oleh kereta dari arah Tanah Merah ke Jeli dan kali ketiga oleh sebuah lagi kenderaan dari arah bertentangan ketika berhenti di garisan kembar di tengah jalan bersama suaminya.


Menurut ahli jawatankuasa persatuan surau itu, Agil Mohamad, 74, rombongan seramai 36 orang itu ingin bersarapan di kedai makan seberang jalan sebelum meneruskan perjalanan untuk beli-belah di Rantau Panjang.


Katanya, sebelum itu mereka sempat menunaikan solat Subuh bersama di masjid berhampiran.

“Saya cuma hairan apabila dia sekali lagi mengambil wuduk walaupun selesai solat Subuh. Ia menyebabkan mereka berdua tertinggal di belakang ketika kami ingin melintas ke kedai makan di seberang jalan,” katanya.


Katanya, rombongan persatuan surau dari Kemaman, Terengganu itu bertolak jam 12.30 tengah malam semalam dan tiba di masjid pada jam 5.30 pagi.

“Sebaik selesai solat Subuh, kami ingin bersarapan di kedai makan seberang jalan. Kamariah dan suaminya menyangka kami akan meneruskan perjalanan, menyebabkan mereka berdua menaiki bas semula.


“Menyedari ahli rombongan tiada dalam bas, mereka kemudian turun untuk melintas jalan. Kami yang berada di kedai makan tidak sedar kejadian itu sehingga terdengar jeritan orang ramai,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abd Aziz Mahmud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.


Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga pemandu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu tidak dapat dikesan apabila melarikan diri sejurus kejadian.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah...

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Lihatisteridigilis/Article/artikelMA


Friday, March 2, 2012

3 warga Thailand nyaris maut



RANTAU PANJANG – Tiga lelaki warganegara Thailand nyaris maut apabila kereta yang dinaiki terbabas dan terbalik dalam kejadian di Kampung Telaga Mas pagi semalam.

Ketika kejadian ketiga-tiga mangsa dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja dan gagal mengawal kenderaan tersebut hingga menyebabkannya terbalik.

Berikutan kejadian, dua daripada mereka mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Daerah Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Salah seorang mangsa mengalami patah bahu sementara seorang lagi cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar dan kesemua mangsa berusia 17 dan 37 tahun.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Unit Rantau Panjang, Lans Koperal Wan Masekah Wan Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian daripada orang awam kira-kira jam 8.03 minit pagi.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, kesemua mangsa telah dikeluarkan orang awam.

“Lima anggota JPAM ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat daripada orang awam.

“Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Daerah Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/nyaris-maut-kereta-terbabas-1.28979

Maut dengan kereta baru


Inalillahi wainailaihi rojiun 

JELI – Hasrat membawa pulang kereta baru ke kampung halaman dekat Marang, Terengganu tidak kesampaian apabila mangsa seorang tukang rumah maut di tempat kejadian ekoran kenderaan yang dipandu bertembung dengan treler dekat kilometer 114.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Gerik, jam 11.30 malam kelmarin.

Mangsa, Mat Zari Jusoh, 48, dalam perjalanan dari arah Gerik menghala ke Jeli dipercayai memandu secara berseorangan maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala, tengkuk dan patah tulang rusuk kiri manakala pemandu treler hanya mengalami cedera ringan.

Mangsa dikatakan baru pulang dari Gurun, Kedah bersama seorang lagi rakannya yang memandu kereta barunya sebelum terbabit dalam kemalangan ngeri itu.

Saksi kejadian yang juga rakan mangsa, Herman Bakar, 35, berkata, mereka berdua ber­tolak dari Gurun kira-kira jam 8 malam dengan meman­du dua kereta secara berasingan.

“Ketika tiba di tempat kejadian saya yang memandu kereta baru yang dibeli mangsa jenis Proton Wira berada di belakang melihat kenderaan yang dipandunya hilang kawa­lan dan terbabas ke tengah jalan sebelum merempuh treler tanpa muatan dalam perjalanan dari Jeli ke Gerik.

“Sebelum kejadian arwah ada mengatakan dia ingin berada di sana selama seminggu namun menukar fikiran untuk pulang segera pada malam itu sebaik sahaja menerima panggilan dari rakannya,” katanya. Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Jeli untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superin­tendan Sheik Azhar Sheik Omar me­ngesahkan ada menerima la­poran tersebut dan kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/maut-bersama-kereta-baru-1.28950
'

Thursday, March 1, 2012

2 Sahabat Maut Rempuh Kelapa Sawit


Inalillahi wainailaihi rojiun  

ROMPIN: Dua rakan karib terbunuh selepas Proton Iswara dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok kelapa sawit di Kilometer 127.7 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Felda Keratong, Muadzam Shah, di sini, petang kelmarin.



Dalam kejadian jam 6 petang itu, Nurul Erieza Sulaiman dan M aizatul Akmam Mahadi, kedua-duanya berusia 22 tahun, tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta anggota badan.


Abang Nurul Erieza, Mohd Shukri, 23, berkata, kali terakhir dia b ertemu adiknya yang dipanggil Angah oleh keluarga ialah dua minggu lalu ketika mengunjungi rumah ibu bapa mereka.

“Ketika itu Angah langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan, cuma saya pelik sejak dua minggu lalu dia akan memaklumkan kepada saya ke mana saja dia mahu pergi,” katanya.


Menurutnya, dia difahamkan ketika kejadian adiknya yang juga anak kedua daripada lima beradik dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Kuala Rompin dari Serdang, Selangor.


Katanya, adiknya yang juga bekas pelajar International College of Health Sciences (ICHS), Serdang, adalah seorang periang dan ramah. Mohd Shukri berkata, adiknya bekerja sebagai pembantu tadbir di Rompin tinggal serumah dengan Maizatul Akmam yang bekerja di bandar sama.

“Mereka berkawan sejak belajar bersama di kolej berkenaan namun saya tidak pula dimaklumkan tujuan mereka ke Serdang pada hari kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, mereka sekeluarga menerima kejadian itu sebagai takdir dan jenazah adiknya selamat dikebumikan jam 11 pagi semalam di kampung halaman mereka di Durian Tunggal, Melaka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, kemalangan berkenaan masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta saksi kejadian supaya tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.


Katanya, kejadian berkenaan dipercayai berlaku selepas kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok kelapa sawit.


“Ketika kejadian keadaan jalan basah selepas hujan dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah bagi membolehkan bedah siasat dilakukan sebelum dituntut ahli keluarga mereka malam kelmarin,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Ajaldipokoksawit/Article

Kancil Terbang


LEDANG – “Mulanya saya nampak sebuah kereta 'terbang' disusuli dengan bunyi dentuman yang kuat. Saya bergegas keluar rumah dan nampak kereta kancil ini sudah masuk dalam parit,” kata saksi kejadian kemalangan maut di kilometer (KM) 1 Jalan Muar-Tanjung Agas, kelmarin.

Saksi, Sa’yon Hamid, 66, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, dia sedang berehat di ruang tamu rumahnya berhadapan jalan terbabit sebelum ternampak sebuah kereta Perodua Kancil dipandu seorang lelaki.

“Tetapi saya hairan apabila kereta ini secara tiba-tiba 'terbang' semasa menghampiri simpang berdekatan kedai makan di sini.

“Saya sangat terkejut lalu keluar rumah dan melihat kereta Kancil ini sudah masuk ke dalam parit berhampiran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sa’yon berkata, jarak rumahnya dengan tempat kejadian hanya pada jarak kira-kira 100 meter.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, dia melihat pemandu itu berada dalam keadaan lemah di tempat duduk pemandu dengan buih keluar dari mulutnya.

“Mungkin lelaki ini sakit ketika memandu menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit.

“Orang ramai mula membanjiri tempat kejadian, lalu salah seorang rakannya menghubungi pihak ambulans Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar tetapi mangsa meninggal dunia beberapa minit kemudian,” katanya.

Isteri mangsa, yang mahu dikenali sebagai Yee, 40-an berkata, dia menganggap insiden yang menimpanya suaminya itu hanyalah mimpi.

“Saya masih tidak percaya dan tidak dapat terima berita ini kerana sebelum kejadian suami tidak menunjukkan sebarang perubahan yang aneh.

“Pagi tadi sebelum keluar bekerja, dia seperti biasa dengan sikap cerianya dan berbual bersama ketika sarapan pagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mayat mangsa, Low Kia Hin, 51, dari Jalan Kim Kee, Muar dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca daripada tekanan darah tinggi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/kereta-tiba-tiba-terbang-1.28684

Sunday, February 26, 2012

Rempuh perabot antik



IPOH - Seorang pemandu yang gagal mengawal kenderaannya melanggar dua buah kereta sebelum terbabas memasuki sebuah kedai menjual perabot antik di Jalan Sultan Iskandar Shah, malam kelmarin.

Menurut saksi yang enggan dikenali berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 10.45 malam itu, dia melihat sebuah kereta Proton Iswara dipercayai datang dari bulatan Sultan Idris Shah dipandu laju sebelum melanggar sebuah kereta Perodua Kelisa yang kebetulan melalui arah yang sama.

“Pemandu Proton Iswara itu dikatakan masih gagal mengawal kenderaannya dan melanggar bahu jalan menyebabkannya sekali lagi berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang di parkir di situ.

“Keadaan menjadi tidak terkawal apabila Iswara berkenaan merempuh kedai berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pemandu Proton Iswara terbabit dikatakan melarikan diri ke kawasan berhampiran selepas kejadian.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, pemandu Proton Iswara tersebut melanggar belakang pacuan empat roda yang diletakkan di hadapan kedai kemudian terbabas masuk ke dalam premis berkenaan.

“Kemalangan itu mengakibatkan cermin dan pagar kedai rosak teruk,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, kedua-dua pemandu kenderaan terbabit masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/kereta-terbabas-masuk-kedai-perabot-antik-1.27189

Mangsa Jerangkap Bonggol



TAIPING – Gara-gara tidak perasan kewujudan bonggol jalan yang baru dibina di Jalan Sultan Abdullah, seorang peniaga, di sini, mengalami kecederaan teruk di kepala dan retak tulang belakang dalam kejadian 22 Februari lalu.

Isterinya, Teh Poh Lin, 52, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.20 pagi ketika suaminya, Chong Peng Kan, 62, menunggang motosikal untuk membuka kedai peralatan memancing miliknya berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Taiping.

Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan suaminya melalui jalan itu setiap kali ke kedai memandangkan mereka tinggal di Taman Tasik Permai.

“Suami saya tidak perasaan ada bonggol di jalan itu kerana tiada garisan kuning dibina. “Apabila sudah sampai di bonggol, baru ada papan tanda diletakkan,” katanya.

Poh Lin berkata, sepatutnya papan tanda perlu diletakkan beberapa meter daripada bonggol supaya pengguna lebih berhati-hati.

Menurutnya, suaminya mengalami pendarahan dalam kepala dan retak tulang belakangnya selain terpaksa memakai alat pendakap leher.

“Buat masa ini, suami saya masih lemah dan percakapannya kurang jelas kerana masih tidak sedar sepenuhnya.

“Kini, saya terpaksa mengambil cuti untuk menjaga suami dan menanggung kerugian kerana tidak berniaga,” katanya.

Katanya, diharap pihak berkenaan dapat mengambil perhatian terhadap kemala­ngan yang berlaku ke atas suaminya dan tindakan segera perlu dilakukan kerana tidak mahu kejadian sama berulang.

“Sekiranya bonggol itu baru disiapkan dan tidak sempat membina garisan kuning, mereka perlu meletakkan papan tanda sementara supaya semua pengguna tahu,” katanya.

Bagaimanapun, ketika berita ini disiarkan garisan kuning telah dibina di jalan berkenaan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/peniaga-tak-sedar-kewujudan-bonggol-1.27077

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my