loading...

Saturday, April 20, 2013

Murid maut dirempuh kereta polis




Inalillahi wainailaihi rojiun

20 April 2013
KANGAR - Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dirempuh sebuah kereta unit pengiring polis di Kilometer 4 Jalan Kaki Bukit di Kampung Salang, dekat sini petang semalam.

Mangsa, Mohd Akmal Daniel, 11, dikatakan dalam perjalanan balik ke rumah selepas bermain hoki di sekolahnya sebagai persediaan untuk bertanding di peringkat negeri.



Seorang pemain hoki Sekolah Kebangsaan Kampung Salang dalam perjalanan menjalani latihan menemui ajal apabila dirempuh kereta pengiring polis dalam kemalangan di Jalan Kaki Bukit, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang ketika murid Tahun Lima Mohamad Akmal Daniel Che Azni, 11, dikatakan mengayuh basikal untuk menyeberangi jalan menuju ke padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, terletak kira-kira dua kilometer dari sekolahnya.


Bapanya, Che Azmi Che Ani, 37, berkata, anaknya memang aktif bersukan dan kebiasaannya dia minta untuk pergi sendiri ke sekolah pada waktu petang.

“Melainkan sesi persekolahan pada waktu pagi, saya yang hantar dan ambilnya dari sekolah.

“Akmal selalu sebut dia nak ke Melaka sebab ada pertandingan hoki di sana bersama 10 rakannya yang terlibat.

“Jadi, setiap petang dia perlu ke sekolah untuk menjalani latihan berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sepupunya, Nor Mardiana Mohd Noor, 27, berkata, dia tidak menyangka kerana baru sahaja berjumpa dengan mangsa sebelum kejadian.

“Saya terkejut apabila dikhabarkan dengan berita kemalangan ini kerana baru sahaja bertemu dengannya waktu makan tengah hari sambil bergurau dengannya.

“Biasanya, saya akan memeluknya sebelum ke sekolah memandang dia seorang kanak-kanak yang manja tetapi, pada hari kejadian saya terasa berat untuk berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang apabila pemandu unit kenderaan unit pengiring polis dari arah Beseri ke Kangar tidak sempat mengelak mangsa yang sedang melintas jalan menaiki basikal.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Al_Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/kanak-kanak-maut-dirempuh-kereta-unit-pengiring-polis-1.151975
http://www.hmetro.com.my/articles/Ajaldirempuhpengiringpolis//Article


Bekas Ketua Pemuda Pas Telok Kemang Maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

20 April 2013
PORT DICKSON – Bekas Ketua Pemuda Pas Kawasan Telok Kemang, Mohd Hafiz Sarjono, 40, maut dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 26 Jalan Lukut-Sepang, malam kelmarin.

Kejadian berlaku sekitar 7.30 malam membabitkan  motosikal jenis Honda CVR150 yang ditunggang mangsa dengan sebuah lori 10 tan.

Yang Dipertua Pas Kawasan Telok Kemang, Ramli Ismail berkata, arwah merupakan bekas Pemuda Pas Kawasan Telok Kemang sejak 2007 hingga 2009.

“Arwah adalah seorang rakan yang sangat baik. Pemergiannya adalah satu kehilangan besar bagi kami,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, mangsa seorang pegawai Teknologi Maklumat di MHS Aviation Sdn Bhd maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.

“Mangsa menunggang motosikal dari arah Sepang ke Lukut dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori. Pemandu lori, Mohd Salleh Ahmad, 52, hanya mengalami luka ringan,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawa Chuah selepas solat Jumaat, semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/bekas-ketua-pemuda-pas-maut-1.152031


Maut dilanggar bapa




Inalillahi wainailaihi rojiun

20 April 2013
MARANG – Malang. Itulah nasib sebuah keluarga apabila anak bongsu mereka meninggal dunia akibat dilanggar kereta dipandu bapa sendiri di Kampung Pulau Kerengga di sini, kelmarin.

Kejadian menyayat hati kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku ketika bapa mangsa, Alias Ismail, 49, memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Frontier miliknya untuk memasuki bahagian tempat meletak kereta dekat rumahnya.

Sebelum kejadian, Alias memberhentikan kenderaan sambil menunggu isterinya, Mariam Mohd Sidek, 44, menghantar kunci sebuah lagi kenderaan namun tidak menyedari anaknya, Norain, 4, mengikut rapat di belakang isterinya.

“Saya langsung tidak nampak atau menyedari Norain berada di situ. Saya hanya sedar apabila terasa seperti kenderaan terlanggar sesuatu.

“Saya macam bermimpi apabila mendapati Norain berada di bawah kenderaan,” katanya, semalam.

Berikutan kejadian itu, Alias segera membawa anak bongsunya yang mengalami kecederaan di kepala ke Klinik Kesihatan Marang, sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, menurut ibu mangsa, Mariam Mohd Sidek, 44, anaknya disahkan meninggal dunia di HSNZ kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Mariam berkata, beberapa hari sebelum tragedi berlaku, anak bongsunya itu sangat manja dengan bapanya.

“Kelakuannya agak pelik kerana dia sebenarnya rapat dengan saya,” katanya.

Jenazah Norain selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pulau Kerangga petang kelmarin.

Alias juga telah memberikan keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/maut-dilanggar-kereta-bapa-1.152027


Friday, April 19, 2013

Dua maut kemalangan ngeri




Inalillahi wainailaihi rojiun

20 April 2013
SENAWANG - Dua lelaki maut selepas kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 245.2, Lebuhraya Utara Selatan (NSE) arah Utara, di sini, awal pagi semalam.

Leftenan Kolonel (B) Datuk Che Yang Samsudin, 54, dan rakannya, Ahmad Zamakhsyari Sapawi, 39, meninggal dunia di tempat kejadian akibat dilanggar kenderaan lain


Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, mangsa, Ahmad Zamakhsyari Sapawi, 39, sedang memandu kereta jenis Perodua Viva dari arah Selatan sambil ditemani Lt Kol (B) Datuk Che Yang Samsudin, 54.

“Siasatan awal mendapati, semasa insiden berlaku, dipercayai kenderaan dinaiki mangsa yang sedang dipandu di lorong tengah hilang kawalan secara tiba-tiba menyebabkan mereka terbabas ke lorong kanan.

“Akibatnya, sebuah kenderaan berat yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lantas merempuh kereta mangsa dengan kuat,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Menurutnya, impak perlanggaran tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak keluar, manakala kereta dipandu pula terbakar serta-merta dan bahagian enjinnya tercabut.

“Selepas terhumban ke atas jalan, mereka (mangsa) dirempuh beberapa lagi kenderaan yang gagal mengelak berikutan kejadian berlaku terlalu pantas, selain persekitaran yang gelap menghadkan jarak penglihatan.

“Kedua-duanya mengalami kecederaan serius di kepala dan seluruh badan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar  untuk bedah siasat,” katanya.

Jurucakap polis berkata, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti identiti pemandu serta jenis kenderaan berat yang melanggar mangsa setelah pemandu tersebut menghilangkan diri selepas kemalangan berlaku.

“Justeru, mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan berkenaan diminta menghubungi Inspektor Mohd Hafidzal Zainal Abidin di talian 06-6033394,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tercampak_digilisatasjalan/Article
http://www.sinarharian.com.my/semasa/dua-maut-kemalangan-ngeri-1.151992




Thursday, April 18, 2013

2 kakitangan JKM Mersing maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

19 April 2013
KLUANG - Dua kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Mersing maut, manakala dua lagi cedera parah dalam kejadian di Kilometer 99 Jalan Batu Pahat-Mersing, di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 malam itu melibatkan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Extral dan Toyota Hilux yang dipandu dari arah bertentangan.

Ketua Cawangan Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, Asisten Superintendan Azmi Suratman berkata, Nissan Extral yang dinaiki tiga kakitangan JKM Mersing itu dalam perjalanan balik dari Negeri Sembilan menuju ke Mersing telah bertembung dengan Toyota Hilux dari arah bertentangan menuju ke Kluang.

Akibat pertembungan itu menurutnya, Pegawai JKM Mersing, Mohd Fakhrul Bahari, 28 dan pemandu JKM, Mohd Ridhuan Yusof, 39, meninggal dunia di tempat kejadian manakala, rakannya, Mohd Azahari Ya, 29, serta pemandu Toyota Hilux, Leew Yoon, 32, cedera parah.

“Kereta dinaiki Leew Yoon dari Mersing telah bergesel dengan kenderaan lain sebelum bertembung dengan Nissan Extral tersebut.

“Bagaimanapun, punca kejadian masih lagi dalam siasatan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian ini diminta dapat memberikan maklumat yang tepat agar siasatan lebih terperinci dapat dilakukan,” katanya.

Kata Azmi, dua mangsa yang cedera parah masih dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom berikutan mengalami kecederaan teruk di bahagian kaki dan badan.

Manakala, jenazah Mohd Fakhrul akan dihantar dan dikebumikan di kampung halamannya di Langkawi manakala Mohd Ridhuan dikebumikan di Mersing, semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/dua-kakitangan-jkm-maut-1.151660


Van Sekolah Terbabas




PETALING JAYA – Tiga murid dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing cedera setelah van dinaiki terbabas dan hampir melanggar sebuah bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Damansara Damai,di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu dipercayai berlaku apabila van terbabit hilang kawalan ketika menuruni selekoh di simpang empat dari arah Sekolah Kebangsaan Damansara Damai.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi berkata, pemandu van seorang wanita dan mendakwa  brek kenderaan itu gagal berfungsi ketika menuruni bukit.

"Van berkenaan dipercayai terbabas ke kiri jalan kerana mengelak daripada melanggar kenderaan lain.

"Semua murid berusia 9 dan 10 tahun yang cedera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala pemandu terbabit mendapat rawatan pesakit luar," katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/tiga-murid-cedera-van-dinaiki-terbabas-1.151582


Maut rempuh lembu





18 April 2013
IPOH - Gara-gara seekor lembu, seorang lelaki maut selepas motosikal yang dinaikinya melanggar haiwan tersebut dipercayai berada di tengah jalan di Jalan Lahat-Falim, awal pagi semalam.

Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 1.25 pagi ketika mangsa, D Raj Kumar dari Taman Pertama dikatakan menunggang bersendirian dan dalam perjalanan dari arah bandar raya Ipoh menghala ke Falim.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superitendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, mangsa yang bekerja sendiri dipercayai tidak dapat mengelak motosikalnya lalu melanggar seekor lembu yang berada di tengah jalan berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan maut serta merta kerana mengalami cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

“Lembu tersebut turut mati akibat pelanggaran itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, keadaan jalan dua hala itu lurus namun persekitarannya  gelap disebabkan ketiadaan lampu jalan.

“Berikutan itu, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta tampil bantu siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Sharuddin turut memberi peringatan kepada penternak lembu supaya tidak melepaskan haiwan peliharaan mereka tanpa pengawasan bagi mengelakkan kemalangan berlaku.

Katanya, selain haiwan ternakan, haiwan liar seperti babi hutan biasanya keluar melintasi jalan raya terutamanya pada waktu malam.

“Sehubungan itu, pengguna perlu berwaspada ketika melalui jalan gelap dan berhampiran hutan agar kemalangan tidak berlaku melibatkan haiwan,” ujarnya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/lelaki-maut-langgar-lembu-1.151370


Maut bertembung Van




18 April 2013
KUANTAN - Seorang pemandu maut selepas kereta dipandunya terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah van dalam kejadian di Kilometer 8, Jalan Pintasan Kuantan dekat sini, malam kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Yaacob Mohd Shariff, 59 dari Taman Sri Beserah di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Waja itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Pelabuhan.

Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah van.

“Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika cuba melintas jalan di Kilometer 120, Jalan Kuala Lumpur- Kuantan dekat Temerloh, pagi kelmarin.

Mohamed Fauzi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Mat Sah Jami, 63 dari Kampung Paya Pulai, Batu 3, Jalan Maran mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu jeep tersebut dipercayai dalam perjalanan dari arah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh menghala ke Maran.

“Ketika tiba di lokasi, mangsa yang berada di tepi jalan sebelah kiri tiba-tiba memasuki laluan menyebabkan kenderaan pacuan empat roda terbabit gagal mengelak lalu terlanggar warga emas itu,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/dua-maut-nahas-berasingan-1.151248



Wednesday, April 17, 2013

Gadis maut digilis lori




Inalillahi wainailaihi rojiun

17 April 2013
SABAK BERNAM - Seorang gadis maut digilis lori setelah motosikal yang ditunggangi bersama sahabatnya bergesel dengan sebuah lori muatan aluminium di KM42 Jalan Teluk Intan - Klang, kelmarin.

Menurut saksi kejadian, Cheah See Koon, 39, pemandu lori tersebut yang sedang menunggu lampu isyarat di lokasi kejadian tidak menyedari kehadiran dua gadis terbabit sebelum menggilis seorang daripada mereka.

Katanya, dia segera berlari ke arah lori itu untuk memberitahu pemandu terbabit bahawa seorang gadis terjatuh daripada motosikal berdekatan dengan lampu isyarat tersebut.

“Ketika mangsa jatuh, dalam masa sama lampu isyarat bertukar hijau dan pemandu berkenaan tidak menyedari mangsa berada di bawah lori dan terus menggilisnya.

“Pemandu itu betul-betul terkejut kerana dia tidak sedar kehadiran dua gadis berkenaan,” katanya.

Kata See Koon, pemandu terbabit terus membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, mangsa, Nor Fazuhatul Husna Sampol, 18, maut digilis tayar belakang lori terbabit.

Beliau berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Modenas bersama sahabatnya, Nur Syafiqah Massuti, 18, yang patah tangan kiri akibat kejadian itu.

“Mangsa maut serta merta di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/nasional/gadis-maut-digilis-lori-1.150816


Ibu maut dirempuh anak




17 April 2013
BUTTERWORTH - Gara-gara gagal mengawal kemarahan terhadap ibu selepas bertengkar, seorang anak nekad merempuh ibunya hingga mati dalam kejadian di Taman Bunga Raya, Jalan Raja Uda di sini, petang kelmarin.



Dalam kejadian jam 7.10 petang itu, mangsa, Tan Ng Choun, 57, maut selepas cedera parah akibat tersepit di pagar konkrit kerana dirempuh kereta dipandu anak lelakinya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, kejadian berlaku di hadapan rumah mangsa yang berjarak lebih kurang 50 meter dari rumah anaknya.

“Mangsa sebelum itu mengunjungi rumah anak lelakinya yang berusia 27 tahun yang terletak berdekatan untuk menyelesaikan masalah keluarga mereka membabitkan teman lelaki ibunya.

“Namun selepas gagal mencapai jalan penyelesaian, mangsa pulang ke rumahnya menunggang motosikal sambil diekori anak lelakinya yang memandu kereta,” katanya.

Abdul Rahman berkata, sebaik menghampiri pintu pagar rumah, anak lelakinya bertindak merempuh ibunya yang berada di atas motosikal menyebabkan mangsa tersepit.

“Rempuhan kuat itu bukan sahaja menyebabkan dia mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian tetapi turut menyebabkan pagar konkrit di rumahnya runtuh.

“Beberapa jiran yang terkejut melihat kejadian itu kemudiannya cuba membantu mangsa sebelum mereka bertindak menghubungi polis kemudiannya,” katanya.

Abdul Rahman berkata, punca pergaduhan dua beranak itu besar kemungkinan disebabkan oleh tidak puas hati anak mangsa terhadap teman lelaki ibunya.

“Sejak kematian suaminya, mangsa menjalin hubungan dengan seorang lelaki tetapi tidak disenangi oleh anak lelakinya itu.

“Mereka dikatakan sering bergaduh berkaitan masalah berkenaan, bagaimanapun polis perlu melakukan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu,” katanya.

Abdul Rahman berkata, suspek ditahan di lokasi kejadian dan kini direman selama seminggu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat di Hospital Seberang Jaya sejurus selepas itu.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/ibu-maut-dirempuh-anak-sendiri-1.150868



Kelindan maut tersepit


Inalillahi wainailaihi rojiun

17 April 2013
KAMPAR – Seorang kelindan maut tersepit apabila lori yang dipandu rakannya merempuh sebuah lori rosak yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 293.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan berhampiran Gopeng di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi itu, mangsa, Mohd Izwan Aswad Iderus, 34, yang berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor meninggal dunia akibat mengalami cedera di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Ng Kong Soon berkata, kemalangan membabitkan dua lori itu menyebabkan kelindan terbabit maut di tempat kejadian manakala pemandunya cedera ringan.

“Lori tiga tan yang dinaiki kedua-dua mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.

“Mayat berjaya dibawa keluar  anggota Bomba dan Penyelamat Gopeng selepas bertungkus lumus lebih 20 minit manakala pemandu terbabit berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Kata beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

“Polis masih menyiasat punca kemalangan berikutan keadaan jalan yang lurus dan cuaca baik ketika kejadian,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/kelindan-maut-tersepit-1.150822


Monday, April 15, 2013

Maut pulang dari kerja



Inalillahi wainailaihi rojiun

15 April 2013
BENTONG - Seorang pekerja kilang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja maut setelah motosikal ditungganginya terlibat kemalangan di Kilometer 4 Jalan Bentong-Karak, kira-kira jam 5.20 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa, Saifullah Jazuli, 21, beralamat di Kampung Benus menaiki motosikal jenis Kawasaki Ninja dalam perjalanan dari arah Karak ke Bentong.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, motosikal ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Motosikal mangsa kemudian bertembung secara hadapan dengan sebuah kereta Honda City dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, akibat kejadian itu mangsa tercampak ke bahagian belakang kenderaan.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat dan dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pekerja-kilang-maut-nahas-1.150052



Sunday, April 14, 2013

Nyaris ditimpa lori




14 April 2013
BAGAN SERAI - Seorang penunggang motosikal nyaris maut apabila hampir ditimpa sebuah lori muatan pakaian yang terbabas ke laluan kecemasan lebuh raya sebelum terbalik dalam kejadian kemalangan di Kilometer 186.5 Lebuhraya Utara-Selatan menghala Utara, di sini, Khamis lalu.

Mangsa dikenali Hazieq, 24, berkata, pada jam 7.30 pagi itu, dia dalam perjalanan menuju ke tempat kerja di kawasan perindustrian Parit Buntar dengan menggunakan laluan kecemasan sebelum menyedari sebuah lori cuba menghimpitnya secara tiba-tiba.

Menurutnya, dia terkejut apabila lori itu semakin mendekati motosikalnya dan segera bertindak menekan brek bagi memberhentikan motosikal ditunggangnya.

“Saya sungguh bernasib baik kerana keadaan lori yang menghimpit motosikal saya mula senget dan akhirnya terbalik di laluan kecemasan sejurus selepas itu.

“Walaupun saya hanya mengalami luka kecil akibat terbabas ketika mengelak ditindih lori tersebut, namun saya bersyukur kerana nyawa saya masih panjang,” katanya sewaktu ditemui di lokasi kejadian, di sini semalam.

Hazieq berkata, meskipun motosikalnya terbabas, dia segera bangkit dan bergegas meninjau keadaan lori yang terbalik untuk mengetahui keadaan pemandu dan penumpangnya.

“Mujurlah pemandu dan kelindannya selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mereka juga tidak mengetahui punca sebenar kemalangan ini berlaku memandangkan mereka memberitahu lori berkenaan terbalik secara tiba-tiba sewaktu dipandu,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/nyaris-ditimpa-lori-terbalik-1.149875



Dua penunggang maut bertembung


pertembungan maut 2 motosikal


14 April 2013
LUNAS - Dua lelaki berusia 20-an maut apabila motosikal ditunggang mereka bertembung di Kilometer 20.2 Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE), kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Ketua Trafik Kulim, Assisten Superintendan Ismail Ayob berkata, kedua-dua mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 terbunuh di tempat kejadian.

Menurutnya, ketika kejadian, seorang mangsa datang dari Butterworth ke Baling, manakala seorang lagi datang dari arah bertentangan dengan mengikut laluan sama.

“Dari siasatan dijalankan mendapati, mangsa yang datang dari arah Butterworth ke Baling dalam perjalanan balik ke rumah selepas selesai waktu bekerja, manakala seorang mangsa lagi menunggang motosikal yang baru dibelinya beberapa bulan lalu melawan arus dari arah Baling menuju ke Tol BKE.

“Dari maklumat diterima, sebuah motosikal yang ditunggang itu tidak memasang lampu. Apabila tiba di tempat kejadian kedua-dua motosikal terlibat bertembung dan mengakibatkan kedua-dua mangsa maut serta merta,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan pemeriksaan mendapati mayat mangsa cedera parah di kepala dan badan.

Siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa yang terbunuh bersalah kerana tidak menggunakan laluan motosikal, sebaliknya menggunakan laluan kereta.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/dua-maut-motosikal-bertembung-1.149859


Remaja maut dilanggar lari



remaja maut dilanggar lari

Inalillahi wainailaihi rojiun

14 April 2013
JEMPOL - Seorang remaja maut setelah motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan setelah gagal memotong dua kenderaan lain di hadapannya di kilometer 6 jalan Bahau-Tampin, tengah hari kelmarin.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, mangsa, Mohamad Norraizi Mohamad, 18, menunggang motosikal jenis Yamaha Legenda secara bersendirian dari arah Jelai menghala ke Bahau.

“ Ketika mangsa tiba di tempat kejadian sekitar jam 12.55 tengah hari, mangsa cuba memotong dua kenderaan lain di hadapannya yang tidak diketahui jenisnya, namun gagal.

“ Kemudian motosikal mangsa bergesel dengan kereta yang berada di hadapan sekali lalu menyebabkannya hilang kawalan.

“ Susulan itu, motosikal mangsa masuk ke laluan bertentangan, dan pada masa sama terdapat sebuah lori kren melalui jalan itu tetapi bergerak perlahan,” katanya.

Hamzah berkata, pemandu lori kren berumur 46 tahun cuba mengelak tetapi tidak sempat lalu melanggar mangsa.

“Akibatnya mangsa tercampak semula ke laluan asal (jalan Bahau-Tampin) manakala motosikalnya diseret lori iaitu lebih kurang 10 meter.

“Hasil siasatan awal pihak polis juga mendapati mangsa disyaki dilanggar pula oleh sebuah kereta yang juga tidak diketahui jenisnya dekat laluan asalnya. Berikutan itu mangsa mengalami cedera parah di kepala dan anggota badan.

“Mangsa disahkan maut di tempat kejadian, manakala kereta yang melanggar mangsa tidak memberhentikan kenderaannya dan meninggalkan mangsa di tempat kejadian,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hubungi balai polis terdekat atau Ibu Pejabat Polis daerah (IPD), di talian 06-4582222.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/remaja-maut-nahas-motosikal-1.149853




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my