loading...

Saturday, June 16, 2012

Hati-Hati Simpang Anggerik Vanilla



SHAH ALAM 12 Jun - Para pengguna jalan raya yang saban hari melalui kawasan simpang tiga Jalan Anggerik Vanilla, 31/R, Kota Kemuning di sini diancam bahaya ekoran ketiadaan bonggol jalan dan papan tanda sejak sekian lama.

Keadaan itu menyebabkan banyak kemalangan berlaku malah sebilangan daripadanya melibatkan kenderaan berat seperti lori dengan motosikal.

Berikutan itu, orang ramai yang berulang-alik menggunakan jalan tersebut meminta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertindak segera mengatasi masalah berkenaan bagi mengelak lebih banyak insiden buruk berlaku.

Seorang peniaga, Lee Seow Ping, 36, berkata, hampir setiap bulan berlaku kes kemalangan jalan raya membabitkan pengguna di laluan tersebut.

"Saya kerap menyaksikan motosikal berlanggar sesama sendiri dan kenderaan bertembung antara satu sama lain. Mujurlah tiada kehilangan nyawa atau kecederaan parah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang jurutera, Siti Nor Mawarni Subramullisi, 29, berkata, ketiadaan papan tanda dan bonggol di kawasan tersebut menyusahkan para pemandu.

"Kebanyakan pemandu dan penunggang motosikal yang melalui kawasan ini memandu dengan laju. Mereka juga keluar dari simpang secara melulu.

"Selain itu, ketiadaan papan tanda sangat mengelirukan bagi mereka yang mahu membelok ke kiri dan kanan atau membuat pusingan U.

"Kawasan ini cepat membangun dan semakin banyak kenderaan menggunakan laluan ini terutama pada waktu puncak dan musim perayaan. Jadi kemudahan jalan raya yang lebih sistematik amat diperlukan," katanya lagi.

Seorang pengawal peribadi, Rahman Musa, 43, pula berkata, apa yang lebih membimbangkan ialah apabila lampu jalan di kawasan tersebut rosak.

"Ia membimbangkan kami semua kerana kemungkinan kemalangan berlaku sangat tinggi jika tiada cahaya menerangi simpang tiga itu. Pokok-pokok yang ditanam di sekitar jalan juga tidak sesuai serta mengganggu pemanduan berikutan keadaan jalan raya yang agak sempit," katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi tersebut mendapati, ramai penunggang motosikal hampir bertembung sesama mereka manakala kereta dan lori yang penuh muatan pula kerap terbabas kerana tidak pasti arah yang hendak dituju.

Penduduk berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya sebelum berlaku kemalangan yang meragut nyawa.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kota&pg=wk_02.htm

Satu Komuniti Satu JPJ



BACHOK 14 Jun - Banyak halangan yang terpaksa dihadapi oleh penduduk di kawasan pedalaman untuk mendapatkan lesen memandu secara sah.

Antara lain, masalah kemiskinan, tidak boleh membaca serta menulis, jarak dan lokasi sekolah memandu terlalu jauh serta kos yang mahal.

Keadaan itu menyebabkan ramai dalam kalangan mereka khususnya warga emas, melupakan impian untuk memiliki lesen dan sanggup memandu 'secara haram'.

Akibat tidak memiliki lesen sah dan pengetahuan cara pemanduan berhemah, mereka khususnya kalangan warga emas, terdedah kepada pelbagai risiko seperti dikenakan tindakan undang-undang dan terlibat kemalangan.

Menyedari masalah yang dihadapi oleh penduduk terlibat mendorong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai agensi kerajaan bertanggungjawab, telah mengambil inisiatif tampil membantu.

Usaha tersebut dilakukan apabila JPJ memperkenalkan program dikenali sebagai Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ), iaitu lanjutan daripada program JPJ Bersama Rakyat yang dilaksanakan sebelum ini.

Melalui usaha murni itu kira-kira 15,000 masyarakat luar bandar di seluruh negara yang rata-rata berpendapatan rendah, berumur 45 tahun ke atas berjaya mendapatkan lesen memandu sepanjang tahun lalu.

Mengulas pelaksanaan program itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, ia turut memberi peluang kepada masyarakat Orang Asli berumur 21 tahun ke atas mendapatkan lesen.

"Sejak tahun 2009 hingga sekarang, lebih 3,000 masyarakat Orang Asli seluruh negara berjaya mendapatkan lesen melalui program ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penutup SKSJ di Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor, dekat sini, baru-baru ini.

Program berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Pelbagai acara turut diadakan sepanjang program itu termasuk sukaneka dan pameran oleh pelbagai agensi kerajaan.

Solah berkata, di Kelantan masyarakat Orang Asli dikumpulkan di perkampungan Pos Brooke dan di Lojing, Gua Musang bagi membolehkan mereka menyertai ujian mengambil lesen memandu motosikal dengan mudah.

Sementara di Bachok pula, katanya, 480 nelayan dan petani berjaya mendapat lesen melalui program sama yang diadakan di SK Beris Panchor.

Menurut Solah lagi, bagi membantu kumpulan sasar, JPJ hanya mengenakan bayaran paling minimum berbanding yang dikenakan oleh sekolah memandu.

"Kita hanya mengambil bayaran asas tanpa mengenakan caj sampingan. Bayaran yang JPJ kenakan sangat rendah iaitu RM150, berbanding RM300 di sekolah memandu," katanya.

Jelas Solah, di bawah program tersebut, JPJ hanya memfokuskan kepada pemberian lesen motosikal kelas B2, kerana kebanyakan masyarakat boleh menunggang motosikal dan memiliki kenderaan itu berbanding kereta.

Melalui program itu juga katanya, anggota JPJ turut berpeluang berkongsi maklumat dan menyebarkan info terkini kepada masyarakat yang terpilih secara tidak langsung.

Sementara itu, seorang nelayan, Abdul Kadir Mamat, 77, dari Kampung Perupok, Bachok berkata, program tersebut membuka peluang yang luas kepada warga emas, termasuk dirinya yang tidak tahu menulis dan membaca untuk menduduki ujian bertulis.

Abdul Kadir yang teruja apabila berjaya memperoleh lesen memandu berkata, pemilikan lesen memandu itu dianggap sebagai satu anugerah dalam sejarah hidupnya.

Ini kerana dia tidak pernah mengimpikannya sebelum ini, walaupun sudah menggunakan motosikal sejak sekian lama.

Seorang lagi penduduk, Ariffin Yunus, 65, dari Kampung Wakaf Aik pula berkata, pendekatan yang dilaksanakan oleh JPJ amat berkesan dan menggalakkan penduduk, khususnya kalangan warga tua supaya memiliki lesen memandu secara sah.

"Banyak manfaat yang diperolehi daripada program ini dan ia perlu diteruskan bagi membolehkan penduduk luar bandar mendapatkan lesen kerana ditakuti sebahagian besar pemilik motosikal tidak mempunyai lesen.

"Pada masa yang sama, melalui program sebegini ia dapat mendekatkan masyarakat dengan JPJ secara berterusan," katanya.

Bagi Ismail Abdullah, 45, dari Kampung Kubang Kawah pula, apa yang menarik adalah program tersebut turut menyediakan beberapa perkhidmatan seperti pembayaran saman, pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu.

Ini ditambah dengan perkhidmatan membaiki motosikal percuma yang diberikan oleh pelatih Pusat GiatMara Bachok.

"Ini kemudahan-kemudahan yang sememangnya diperlukan oleh penduduk luar bandar," katanya.

Pandangan sama disuarakan oleh Che Darus Abdul Rahman, 59, dari Kampung Kubang Golok yang turut menyifatkan program itu telah mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk dengan pegawai JPJ.

Che Darus berkata, dia mendapat banyak maklumat bermanfaat sepanjang mengikuti program tersebut yang turut disertai oleh pelbagai agensi kerajaan lain seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Polis Diraja Malaysia.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm

Pegawai Polis Maut Kemalangan

Inalillahi wainailaihi rojiun

MACHANG: “Kemalangan itu amat dahsyat, tapi saya terkilan kerana tak mampu berbuat apa-apa, sebaliknya hanya mampu lihat saja mayat seorang daripada mangsa terbujur di atas jalan dalam keadaan perut terburai manakala yang lain tersepit dalam kenderaan masing-masing yang remuk.”

Demikian kata Mohd Aliff Farhan Mohd Hatta, 16, antara individu terawal tiba di lokasi kemalangan di Kilometer 35, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Labok, di sini, yang mengorbankan tiga nyawa termasuk Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Abdul Wahab Yaacob, 56, awal pagi semalam.


Dua lagi yang terbunuh ialah Sarjan Abd Kadir Kumin, 48, dari Ulu Cheka, Jerantut, Pahang, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai dan suri rumah, Membunga Mamat, 61, dari Rancangan Kemajuan Tanah Paloh 1, Gua Musang.

Kemalangan berlaku ketika Abdul Wahab dan Abd Kadir dalam perjalanan dari Kota Baharu ke Kuala Krai dengan menaiki kereta BMW bertembung sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dari arah bertentangan dinaiki Membunga bersama anaknya, Mohd Saari Asmawi, 36.


Ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala serta badan dan mayat mereka dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.


Mohd Saari yang memandu Pajero itu pula dilaporkan dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu.

Menceritakan pengalamannya, Mohd Aliff Farhan yang rumahnya hanya 20 meter dari tempat kejadian berkata, dia terdengar bunyi dentuman kuat ketika menonton televisyen pada jam 1 pagi.


“Selepas mendengar bunyi dentuman kuat itu, saya keluar rumah dan melihat kepulan asap serta api kecil menyala. Sebaik mendekati dua kenderaan yang terbabit nahas itu saya tergamam melihat darah membasahi jalan dan seorang mangsa terbaring di atas jalan dalam keadaan mengerikan,” katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian, bapa saudaranya, Hussin Ismail, 45, tiba di tempat kejadian dan memadamkan api menggunakan air yang diisi ke dalam baldi kerana bimbang berlaku letupan.


“Dentuman kuat itu kedengaran sehingga kampung sebelah, Kampung Bunut Mak Teh sehingga ramai yang keluar untuk melihat apa berlaku. Penduduk kemudian menghubungi polis dan bomba untuk kerja menyelamat,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah Machang 1 itu.


Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kedua-dua kenderaan itu disyaki dipandu laju sebelum bertembung.


Menurutnya, jenazah Abdul Wahab dan Abd Kadir sudah dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan di Taman Segambut, Kuala Lumpur dan Ulu Cheka, Jerantut.


Beliau meminta orang ramai yang melihat kemalangan berkenaan menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Darahbasahijalanraya/Article

Rempuh lembu sedang tidur



Inalillahi wainailaihi rojiun 

GEMENCHEH – Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya dipercayai melanggar lembu yang sedang tidur di atas jalan di Kilometer 3.5 simpang jalan Air Kuning
Selatan-Bukit Jalor, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Osman Daud, 46, dipercayai dalam perjalanan pulang dari kediaman arwah bapanya di Felda Bukit Jalor ke rumah sewanya di Air Kuning Selatan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, kejadian itu berlaku berdekatan sebuah jambatan kecil dan sebaik sahaja mangsa tiba di situ, motosikal ditungganginya melanggar seekor lembu yang sedang tidur di atas jalan.

“Susulan perlanggaran itu, mangsa terjatuh di sebelah kiri jalan dan disahkan mati di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian muka serta anggota dalaman.

"Mayat mangsa yang tertiarap di bahu jalan ditemui seorang pekerja pembinaan landasan berkembar Kereta Api Tanah Melayu yang kebetulan melalui tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

Sementara itu, abang mangsa, Abu Bakar Daud, 58, berkata, dia amat terperanjat apabila dimaklumkan jiran yang memintanya datang ke lokasi berkenaan untuk mengesahkan sama ada mayat mangsa kemalangan adalah adiknya.

Menurutnya, dalam keadaan jalan agak gelap dan muka adiknya yang berlumuran darah, dia kurang pasti, namun setelah memeriksa dokumen yang ada di motosikal, barulah
dia menyedari mangsa itu adiknya.

“Jenazah adik akan saya dibawa balik ke kediaman saya di Felda Jelai 4 dan dikebumikan di sana," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/langgar-lembu-sedang-tidur-1.57148

Maut Terjunam ke Longkang



SEREMBAN – Perjalanan seorang pemilik kedai barangan logam menghantar barang untuk pelanggannya bertukar tragedi selepas lori dipandunya terjunam ke dalam longkang besar sedalam tiga meter, di Jalan Tampin Lama, dekat sini, kelmarin.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa A.Muthukuaran, 40, maut serta merta, dipercayai akibat hentakan kuat.

Menurutnya, mangsa dan kelindannya dalam perjalanan dari arah Rahang ke Taman Sentosa untuk menghantar simen dan pasir.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa cuba mengelak sebuah kereta di hadapannya yang menekan brek secara mengejut.

“Mangsa cuba mengelak ke kiri bahu jalan tetapi lorinya hilang kawalan lalu melanggar penghalang longkang di situ sebelum terjunam ke dalamnya," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat dan telah dituntut ahli keluarganya.

"Kelindan lori berusia lingkungan 60-an bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sementara itu, seorang saksi, S Shadaren, 47, berkata, dia tergamam melihat sebuah lori secara tiba-tiba membelok ke bahu jalan dan terus terjunam ke dalam longkang terbabit.

“Ada kereta di bahagian hadapan yang mahu membelok ke kanan telah membrek secara tiba-tiba menyebabkan lori terbabit cuba mengelak.

“Saya memberhentikan kenderaan dengan niat mahu membantu tetapi terkejut kerana mangsa adalah kenalan saya,” katanya.

Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lori-terjun-masuk-longkang-1.57070

Thursday, June 14, 2012

Penoreh Getah Maut Dirempuh Lori

Inalillahi wainailaihi rojiun

PENDANG: “Saya tidak sangka perbuatan ayah keluar awal daripada kebiasaan petanda dia akan pergi untuk selamanya. Saya ada bertanya kepadanya kenapa keluar awal dan dia beri alasan mahu kerja mengutip getah dapat selesai cepat kerana mahu beli barangan dapur.

“Kebiasaannya ayah akan keluar jam 8 pagi dan seingat saya, dia tidak pernah keluar sebegini awal. Saya tidak sangka perbualan kami pagi tadi (semalam) adalah yang terakhir,” kata Abdul Rahman Nyan, 50, anak tunggal kepada Nyan Derani, 73, yang maut dalam kemalangan di Jalan Simpang Tiga, Pokok Tai, Mukim Air Putih, dekat sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu berlaku selepas motosikal yang ditunggang mangsa dirempuh sebuah lori pasir yang datang dari arah bertentangan mengakibatkan Nyan cedera parah di beberapa anggota badan termasuk kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Abdul Rahman berkata, arwah pergi menoreh di kebunnya yang terletak di Bukit Mak Inson sejak awal pagi lagi sebelum dikejutkan dengan berita kemalangan yang menimhmetro.com.my/myMetro/articles/2012061404114720120614041147/Article/index_htmlpa bapanya oleh jirannya tidak lama selepas arwah meninggalkan rumah mereka.


“Saya pernah menyatakan hasrat untuk menukar motosikal arwah dengan yang baru berikutan keadaan motosikalnya sedia ada sudah uzur dan agak merbahaya jika menunggang.


“Namun, cadangan itu ditolak ayah dengan memberi alasan bahawa dia mahu menunggang motosikal buruknya hingga ke akhir hayat dan tidak mahu lagi menanggung hutang lain apatah lagi dengan usianya yang begitu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Abdul Rahman berkata, dia reda dengan pemergian bapanya itu dan jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Masjid Pokok Tai, Mukim Air Putih.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/2012061404114720120614041147/Article/index_html

Maut Pejalanan Pulang



SEREMBAN – Seorang lelaki tidak sempat pulang ke rumah selepas selesai bekerja apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 10, Jalan Seremban – Tampin berdekatan Stesen Komuter Sungai Gadut, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa, N Prabakaran, 25, yang menunggang motosikal bertembung dengan sebuah lori dan maut serta-merta akibat digilis selepas terperosok di bawah kenderaan itu.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang menunggang bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Chengkau, Rembau.

“Siasatan awal polis mendapati, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Keadaan jalan yang berselekoh dan gelap menyebabkan mangsa kemudiannya melanggar sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun,” katanya, semalam.

Menurutnya, mangsa terperosok di bawah lori sebelum digilis menyebabkan mangsa cedera parah seluruh anggota badan.

"Bagaimanapun, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu," katanya.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan laporan berkenaan.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat dan telah dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian.

"Kami masih menjalankan siasatan terhadap punca kemalangan," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-digilis-lori-1.56459

Ajal wanita Indonesia di Malaysia



Inalillahi wainailaihi rojiun

KLANG - Belum genap sebulan seorang wanita Indonesia tiba di negara ini untuk menikmati kehidupan di sini terbunuh selepas dia dirempuh sebuah jentolak yang berundur ketika sedang mengemas kotak dalam sebuah kilang, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa dikenali Hazezah, 33, yang parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa tiba di negara ini pada Mei lalu dengan menggunakan pas lawatan sosial.

“Hasrat dia ke sini untuk melawat rakan-rakan. Dalam masa yang sama dia turut membantu seorang kakak mengemas kotak dan kertas dalam kilang itu.

“Walaupun begitu, dia bukan kakitangan kilang itu tetapi dia cuma mengikut rakan- rakan untuk membantu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintenden Zawary Mahadi berkata, sebelum kejadian berlaku mangsa dipercayai sedang menyusun kotak di sebuah sudut dalam kilang terbabit.

“Dalam masa yang sama, sebuah jentolak yang dipandu lelaki warga Myammar yang dipercayai tidak sedar kewujudan mangsa di situ lalu mengundurkan kenderaan itu dan merempuh mangsa.

“Berikutan rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, rebah dan  meninggal dunia di situ.

“Sejurus kejadian itu, kami dimaklumkan pemandu jentolak itu melarikan diri dipercayai ketakutan selain khuatir keselamatan dirinya berikutan kesilapannya itu,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, katanya, polis masih mengesan pemandu jentolak terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan lelaki terbabit diminta tampil ke Balai Trafik Klang Utara atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Zaini Abdullah di talian 03-32902222 bagi membantu siasatan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/wanita-maut-dirempuh-jentolak-1.56487

Penolong pengurus maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

KUANTAN - Seorang penolong pengurus meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati apabila kaki kanannya putus manakala tubuhnya tercampak ke atas kenderaan pacuan empat roda yang dirempuhnya dalam kemalangan di Kilometer 75 Jalan Kuantan- Segamat berhampiran simpang masuk ke Ladang Bukit Relau, Pekan, kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Zaidi Zulkifli. 48 dari Ladang Paloh Hinai, Pekan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa yang menunggang bersendirian dipercayai dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan pacuan empat roda di hadapannya.

“Cubaannya gagal apabila motosikal yang ditunggangi bergesel dengan sebuah lori treler yang datang dari arah bertentangan sebelum merempuh bahagian tayar pacuan empat roda di laluannya. “Akibat rempuhan kuat, tayar motosikal mangsa pecah menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan manakala tubuh mangsa tercampak ke atas pacuan empat roda yang terlibat,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, dalam kejadian itu, mangsa mengalami beberapa kecederaan pada bahagian badan termasuk putus kaki kanan.

“Sementara itu pemandu pacuan empat roda dan lori treler terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, punca sebenar kemalangan yang meragut nyawa penolong pengurus ladang itu masih dalam siasatan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/maut-nahas-tiga-kenderaan-1.56464

Warga Emas Maut Kemalangan

Inalillahi wainailaihi rojiun

KUANTAN - Dua warga emas maut selepas kenderaan dinaiki terlibat dalam nahas berasingan yang dilaporkan di daerah Pekan dan Temerloh, kelmarin.

Nahas membabitkan pemandu dan penunggang itu menyebabkan salah seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi ketika menerima rawatan di sebuah klinik.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pertama kira-kira jam 8.20 pagi di Kilometer 152, Jalan Kuala Lumpur- Kuantan, seorang pemandu warga emas , Ibrahim Hussin, 73 dari Kampung Sungai Kepong, Lanchang maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori treler.

Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa bersama seorang kanak-kanak, Mohammad Azfar Mohammad Sohail Arif, 2, dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Mentakab.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu mangsa dipercayai terbabas masuk kelaluan bertentangan dan bertembung dengan lori treler.

“Akibat pertembungan itu, kereta mangsa tersasar ke kanan jalan manakala lori treler terbabas masuk kelaluan bertentangan,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, mangsa yang parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kanak-kanak terbabit dipercayai hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mayat pemandu itu kemudiannya di hantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga untuk dikebumikan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang warga emas, Abdul Rahman Abdullah, 70 dari Kampung Salong, Pekan maut selepas motosikal ditungganginya merempuh bahagian belakang sebuah lori yang cuba memotongnya ketika melalui Jalan Salong- Chini, Pekan,

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang dari arah Chini ke Kampung Salong cuba mengelak lubang di laluannya tanpa menyedari sebuah lori dari arah belakang cuba memotongnya ketika itu.

“Akibat kejadian, motosikal mangsa terlanggar bahagian tepi belakang lori terbabit menyebabkan dia tercampak terjatuh ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta dada.

“Mangsa yang parah dihantar ke Klinik Kesihatan Chini untuk rawatan bagaimanapun dia disahkan meninggaldunia tidak lama kemudian,” katanya

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/dua-warga-emas-maut-dalam-dua-kemalangan-1.56474

Padah Memotong Garisan Berkembar



PASIR MAS – Gara-gara cuba memotong kenderaan di garisan berkembar, seorang lelaki mengalami kecederaan parah, apabila terlibat dalam kemalangan di Jambatan Pasir Mas-Kota Bharu, jam 12.30 tengahari, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, mangsa yang memandu Perodua Kancil, memandu dari arah Kota Bharu ke bulatan Lemal, Pasir Mas.

Menurutnya, mangsa dipercayai cuba memotong, namun tidak sempat mengelak seterusnya melanggar lori Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari arah bertentangan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki, setelah tersepit selama beberapa minit, namun berjaya diselamatkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas. Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya, kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, kemalangan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas, di sepanjang dua kilometer dari keempat-empat penjuru laluan Pasir Mas, Kota Bharu, Rantau Panjang dan Tanah Merah.

Beliau turut menasihati semua pemandu, agar bersikap tenang ketika dan mengutamakan keselamatan diri serta pemandu lain.

“Sikap tergesa-gesa ketika memandu dan melanggar undang-undang jalan raya, dipercayai punca utama berlakunya kemalangan, sebelum ini. Saya menasihati semua pihak agar tidak gopoh kerana sikap pemandu itu sendirilah, yang boleh mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya,” katanya, semalam.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Che Kadir Che Ya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengahhari, dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan enam anggota.

“Kita berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit, di bahagian kaki, lima minit kemudian. Kenderaan yang rosak teruk itu, turut menyebabkan kebocoran minyak dan kita mengambil tindakan segera bagi mengelakkan berlakunya kebakaran kenderaan,” katanya

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/cubaan-memotong-di-garisan-berkembar-1.56429

Pemandu Van Maut




Inalillahi wainailaihi rojiun

PASIR MAS – Seorang pemandu van Pos Laju maut apabila terlibat dalam kemalangan di Kilometer 10, Lebuh raya Pasir Mas-Rantau Panjang, jam 4 petang, semalam.

Mangsa, Zulfakar Daud, 38, dipercayai bergesel dengan lori muatan tanah, Perodua Kancil dan Proton Saga. Pemandu lori tanah, Ibrahim Ahmad, 54 dilaporkan kritikal, selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Manakala pemandu Proton Saga, Vinson Koh Jin Gee, 41, dan pemandu Kancil, Abdul Karim Omar, 46, mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di Hospital Pasir Mas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, pemandu van dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapan, namun tidak sempat mengelak, lalu bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

Menurutnya, Zulfakar memandu van dari arah Pasir Mas menuju ke Rantau Panjang, bergesel dengan lori seterusnya melanggar Perodua Kancil di belakangnya.

“Perlanggaran itu menyebabkan lori terbabas, sebelum menghempap Proton Saga yang dipandu Vinson,” katanya semalam.

Beliau berkata, kemalangan ini menyebabkan Zulkafar, Vinsondan Ibrahim tersepit 10 minit, sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan Penyelamat Pasir Mas.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas, bagi rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi diminta tampil untuk memberikan maklumat berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, dia tidak menyangka akan terselamat dalam kemalangan ngeri ini.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya masih ingat kejadian yang berlaku di depan mata saya,” katanya.

Abdul Karim yang mengalami kecederaan ringan, dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan di hospital.

Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Che Kadir Che Ya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.10 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan enam anggota.

“Kita berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit 10 minit kemudian dan tiada kebocoran minyak dilaporkan,” katanya, semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/pemandu-van-maut-1.56403

Tuesday, June 12, 2012

Remuk Rempuh Babi Hutan



ROMPIN – Dua kenderaan remuk selepas masing-masing merempuh seekor babi hutan yang melintas jalan di Kilometer 132 Jalan Kuantan Seremban, di sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, sebuah kereta Perodua Kancil remuk pada bahagian bamper depan, manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora pula remuk pada bahagian bonet dan cermin depan penumpang.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata,kehadiran secara tiba-tiba babi hutan itu menyebabkan pemandu kereta kancil, Wan Mohd Saiful Wan Ishak, 24, gagal mengawal kenderaan lalu merempuh haiwan terbabit.

“Pemandu kancil terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Keratong 9, namun mangsa tidak sempat mengelak apabila seekor babi hutan tiba-tiba melintas dari arah kanan ke kiri jalan,” katanya.

Johari berkata, secara kebetulan, Proton Exora yang melalui jalan bertentangan tidak sempat mengelak apabila haiwan
itu tercampak ke kiri jalan lalu terkena bonet depan kenderaan terbabit.

“Proton Exora yang tidak sempat mengelak haiwan itu berhenti secara tiba-tiba hingga mengakibatkan cermin depan tempat duduk penumpang pecah,” katanya.

Sementara itu, pemandu Proton Exora, Mohd Zainudin Sulong, 38, berkata, kemalangan itu menyebabkan urusannya untuk pulang segera ke rumahnya di Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan, tergendala.

“Kereta saya rosak teruk dan mujur adik saya dari Kuantan datang ke tempat kejadian sebelum menghantar kami pulang ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Zainudin yang juga seorang anggota tentera di Gemas berkata, seorang anaknya, Khairul Afiq, 13, mengalami luka di bahagian tangan selepas terkena serpihan kaca cermin depan kereta tersebut.

Bagaimanapun, katanya, lima penumpang lain termasuk isterinya, Sulaiha Mustafa, 34, dan empat lagi anaknya iaitu, Khairul Nizam, 10, Khairul Hakimi, 9, Khairul Zakirin, empat tahun dan khairul Ikhwan yang berusia dua bulan, tidak mengalami kecederaan.

“Apa pun saya reda dengan kejadian ini dan bersyukur kerana kami selamat,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/dua-kenderaan-rempuh-babi-1.55816

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my