loading...

Tuesday, December 27, 2016

Masih ada pemandu degil


BUKAN semua pemandu tetapi banyak sudah bukti rakaman video oleh petugas kecemasan yang menunjukkan sesetengah pemandu kenderaan di Malaysia yang menggunakan laluan kecemasan semasa berlaku kemalangan.

Terbaru, sebuah trak bomba menghadapi perjalanan sukar menuju ke lokasi kemalangan di Johor dek sikap 'sampah' sesetengah pemandu ini.

Menurut laporan Free Malaysia Today, perjalanan trak bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kulai dilambatkan oleh kenderaan yang memenuhi laluan kecemasan.

Perakam video tersebut juga menunjukkan trak bomba diekori oleh pemandu lain yang menggunakan laluan kecemasan.

Bagaimanapun, kesemua nombor plat kenderaan berkenaan jelas kelihatan dan warga laman sosial menyeru supaya pihak bertanggungjawab menyaman mereka.

Ramai juga pelayar yang memuji 'abang-abang' bomba dan petugas kecemasan kerana terpaksa berhadapan dengan senario menjengkelkan ini pada setiap operasi.

"Mohon kenderaan bomba dilengkapi kamera rakaman hadapan," kata Nurul di laman Facebook.

"Cadangan supaya setiap kenderaan polis, bomba, ambulans dan pihak-pihak yang menjalankan kerja kecemasaan di pasang alat camera pada kenderaan tersebut seperti polis luar negara, banyak faedahnya.. (1) Boleh saman kereta-kereta yang menghalang (2) mencegah rasuah jika berlaku kerana camera perlu dipasangkan sewaktu membuat kerja-kerja kecemasan," kata Keropok di laman sosial sama.

Rakaman Video


Saturday, October 1, 2016

Tak sempat hadir konvokesyen


Graduan Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) Sabak Bernam maut selepas kereta dipandunya terbabas di Sungai Tengar, dekat sini ketika dalam perjalanan menghadiri konvokesyennya di PSIS kira-kira, 8 pagi tadi.

Difahamkan mangsa, Nurul Azmina Alias, 21, yang berasal dari Cheras memandu kereta bapanya bersendirian untuk ke PSIS sebelum terbabas dan terjunam ke dalam parit sedalam kira-kira dua meter.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan 8.14 pagi dan lima anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam bergegas ke lokasi.

"Kemalangan membabitkan kereta yang terbabas sendiri dan ketika anggota tiba di lokasi mangsa sudah dikeluarkan orang awam.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Mangsa sepatutnya menerima Diploma Alam Sekitar, pagi tadi dalam sesi kedua.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Azmi Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan

Maut Tersepit


Seorang pekerja kilang maut manakala dua cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 10 Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, pemandu kereta Proton Saga, Chong Peng Tiam, 40, dari Jalan Pasir Bedamar, maut di lokasi manakala pemandu kereta Nissan Sylphy mengalami pendarahan dalam perut.

Seorang lagi wanita berusia 20 tahun yang juga penumpang Nissan Sylphy turut mengalami kecederaan retak tulang tangan kanan akibat kemalangan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan berkata, siasatan mendapati kereta Nissan Sylphy dipandu lelaki berusia 22 tahun itu dipercayai cuba memotong kenderaan lain di laluannya sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung secara berhadapan dengan kereta Proton Saga berkenaan.

“Kemalangan itu mengakibatkan pemandu kereta Proton Saga tersepit di tempat duduknya dan maut di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dikeluarkan anggota bomba dan dihantar ke Hospital Teluk Intan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian turut mendapati keadaan jalan bertar lurus dan kering serta cuaca baik.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

- http://www.sinarharian.com.my

Lori tangki terjunam ke dalam sungai


Seorang pemandu lori berdepan detik cemas apabila lori tangki dipandunya terjunam ke dalam sungai dalam kejadian di Kilometer 78.1 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat jambatan Kampung Guntong Luar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Mohd Hafiz Amdan Mohd Noor, 26, dari Kampung Pak Katak, Kuala Terengganu, bagaimanapun hanya cedera di kaki.

Difahamkan, mangsa yang memandu lori tanpa muatan, sebelum itu dalam perjalanan dari Besut menghala ke Kuala Terengganu.

Tetapi sebaik tiba di tempat kejadian, lori tangki itu dikatakan hilang kawalan, lalu merempuh pengadang jambatan di sebelah kiri sebelum terjunam ke dalam sungai.

“Mangsa bernasib baik kerana hanya cedera ringan. Dia bertindak keluar dari lori sebelum dibawa ke Hospital Setiu.

“Akibat kejadian itu, mangsa menerima empat jahitan di kaki sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

- http://www.sinarharian.com.my


Thursday, August 25, 2016

Angkara Pokemon Go Wanita Maut Dilanggar


Seorang wanita maut manakala seorang wanita cedera selepas dilanggar seorang pemandu lori yang bermain Pokemon Go ketika memandu, semalam.

Laporan Reuters mengatakan pemandu lori tersebut mengaku bermain permainan berkenaan selepas ditangkap.

"Dia masih lagi dalam tahanan polis. Tiada sebarang keputusan dibuat sama ada mahu mendakwanya atau tidak," kata jurucakap polis Tokushima.

Sementara itu, penerbit permainan Pokemon Go, Niantic mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.

"Syarikat Pokemon dan Niantic cuba untuk mewujudkan persekitaran yang selamat untuk orang ramai bermain permainan tersebut," kata jurucakap Niantic.

Setakat ini, Niantic menyertakan 'pop-up' amaran di dalam permainan berkenaan yang melarang pemainnya bermain ketika memandu. TOKUSHIMA - JEPUN.


Dua Beradik Maut Digilis Treler


RAUB - Dua beradik maut dalam keadaan mengerikan selepas digilis sebuah lori treler yang dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kilometer 339 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhadapan Sekolah Kebangsaan Al-Jabar, Dong di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, semasa kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Mohamed Zulfikri Mohamad Zul, 16, menunggang motosikal bersama adiknya Nurul Syakirah, 14, untuk pulang ke rumah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong di sini ke arah Raub.

Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi kemalangan berlaku apabila motosikal dari arah Dong memotong sebelah kiri treler yang dalam perjalanan ke arah yang sama.

"Namun ketika memotong, motosikal tersebut dipercayai hilang kawalan dan terjatuh ke kanan jalan sebelum terkena pada tayar belakang treler membawa muatan kayu berkenaan.

"Mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan kemudiannya dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.

Katanya, pada masa ini pihak polis telah mengambil sampel darah pemandu dan penunggang motosikal berkenaan untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, siasatan awal mendapati keadaan jalan adalah lurus dan semasa kejadian kedua-dua kenderaan berkenaan dalam keadaan perlahan kerana ramai pelajar sedang berjalan di bahu jalan.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian penunggang motosikal yang memotong di sebelah kiri dan gagal mengawal kenderaannya lalu terjatuh dan terkena tayar belakang sebelah kiri lori treler,"ujarnya.

Sunday, August 21, 2016

Rentung Dalam Mercedes-Benz


Shah Alam: Satu mayat rentung ditemui dalam sebuah kereta Mercedes-Benz yang mempunyai logo kelab rekreasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terbakar di Bulatan Anggerik Mokara, Seksyen 31 di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata mayat yang tidak diketahui identiti itu ditemui bomba di tempat duduk pemandu kereta berwarna hitam bernombor pendaftaran AJP 9 kira-kira 5 pagi.

"Kereta itu berada dalam kawasan bulatan dan terbakar sepenuhnya.

"Pemandunya dipercayai datang dari arah Kota Kemuning dan gagal mengawal kenderaannya hingga terbabas masuk ke kawasan bulatan seterusnya melanggar sebatang pokok dalam kawasan bulatan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pokok itu tumbang dan menghempap kereta berkenaan sehingga menyukarkan pemandu menyelamatkan diri.

Shafien berkata kebakaran dipercayai bermula di bahagian enjin dan serpihan kaca serta beberapa bahagian kereta tercampak di sekitar kawasan bulatan.

Beliau berkata mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber- http://www.hmetro.com.my/node/160756

Sunday, July 10, 2016

Bas Ekspres Rempuh 10 Kereta


Ipoh: Dua cedera selepas kereta mereka naiki dirempuh bas ekspres yang turut merempuh sembilan lagi kenderaan di Kilometer 265.8 Lebuhraya PLUS arah selatan selepas Terowong Menora di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, bas ekspres yang dipercayai hilang kawalan, merempuh 10 kereta di depannya.









Komander Lebuh Raya Zon Utara Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Asisten Superintendan Hazil Reza Mohd Ghazali berkata, kemalangan itu mengakibatkan dua mangsa dalam kereta, dipercayai kereta pertama dirempuh bas berkenaan, cedera.

"Bas ekspres itu yang dalam perjalanan ke selatan dan membawa 28 penumpang, dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh 10 kereta di depannya.

"Setakat ini hanya dua mangsa itu dilaporkan cedera manakala pemandu dan penumpang bas serta kereta lain tidak cedera," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti sama punca kemalangan, termasuk kemungkinan kecuaian pemandu bas atau pemandu terbabit mengantuk atau masalah teknikal.

Insiden kemalangan itu turut menjadi viral di laman sosial Facebook di mana rakaman kamera litar tertutup Lebuhraya PLUS berhubung kejadian itu turut dikongsi pengguna. Dalam klip video berdurasi selama 13 saat itu, bas ekspres berkenaan kelihatan dipandu laju dan gagal dikawal sebelum ia merempuh beberapa buah kenderaan di hadapan dan sisi kanannya.

VIDEO
Satu kemalangan yang membabitkan sebuah bas dan 10 buah kenderaan dilaporkan berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan kilometer 265.8 selatan dari Terowong Menora menghala ke Ipoh



Wednesday, July 6, 2016

Solat Aidilfitri Terakhir



Kluang: Tiga sahabat karib maut, manakala seorang lagi cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari solat sunat Aidilfitri di Kilometer 32 Jalan Yong Peng – Kluang berhampiran Pekan Paloh di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, kereta Proton Iswara Aeroback yang dinaiki empat orang sahabat itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebatang pokok sehungga menyebabkan kenderaan itu terputus dua.

Katanya, akibat daripada kejadian itu, pemandu kereta, Muhammad Nabil Fahmi Bakhtiar, 17, bersama penumpang hadapan Basrie Bunawan, 19, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Seorang lagi penumpang yang duduk di bahagian tempat duduk belakang iaitu Mohamad Nor Fitri Mohamad Sabtu, 19, sempat dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pekan Paloh di sini, namun tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan kecemasan.

"Manakala, seorang lagi penumpang di belakang iaitu Nur Muhamad Amin Saiman, 17, mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospita Enche Besar Hajjah Kalthom Kluang di sini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad berkata, jenazah ketiga-tiga mangsa dirujuk ke hospital berkenaan untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga masing-masing untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Batu 10 di Paloh.

"Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk mengenal pasti punca kejadian dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk menyalurkan maklumat.

"Siasatan awal polis mendapati jalan di tempat kejadian adalah dalam keadaan lurus sehala dan kering," katanya

Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/150343

Sunday, July 3, 2016

Bayi maut kemalangan


Semporna: Seorang budak perempuan berusia 1 tahun 5 bulan maut manakala ibu bapanya cedera parah apabila kereta Proton Waja mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Semporna-Tawau, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, Nordania Dalisha meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya Mohd Razalie Hajal Lajim, 30, dan isterinya Mariana Abdul Hana, 27, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Semporna.


Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.10 petang dan lapan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Bomba menerima laporan berlaku kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Proton Waja dinaiki mangsa, Proton Saga FLX dan sebuah bas mini persiaran.

“Setiba di lokasi, ada seorang bayi perempuan meninggal dunia dan dua mangsa cedera parah bersama lima lagi mangsa lain yang cedera ringan. Semua mereka dikeluarkan orang awam dari kenderaan masing-masing," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Mohd Affendy, semua mangsa dibawa ke hospital berhampiran oleh orang awam untuk rawatan dan bomba hanya melakukan operasi pemantauan di kawasan berkenaan.

Tuesday, June 28, 2016

Sistem AES Digesa Laksana Secepat Mungkin



Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini menggesa kerajaan persekutuan melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dengan secepat mungkin.

Presidennya S.M Mohamed Idris berkata langkah itu perlu bagi mengelak ramai yang kehilangan nyawa akibat nahas jalan raya pada musim sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.

"Jumlah kemalangan maut semasa Hari Raya ialah lebih kurang 22 sehari, kemalangan pula 1,450 sehari, manakala jumlah kematian paling tinggi ialah di jalan perbandaran dan persekutuan.

"Pengguna motosikal pula menyumbang 60 peratus daripada jumlah kematian," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Idris berkata, dengan meningkatkan persepsi orang ramai bahawa mereka akan ditangkap sekiranya melakukan kesalahan di jalan raya, kesalahan trafik akan berkurangan, manakala jalan raya pula menjadi lebih selamat.

Menurut beliau, jumlah kereta di jalan raya meningkat daripada 22.6 juta kepada 31.2 juta dalam masa 10 tahun lepas dan ini menjadikan jalan raya sesak, terutama pada musim cuti.

Di samping melaksanakan AES, Idris juga mencadangkan agar semua kenderaan pengangkutan awam diwajibkan menjalani pemeriksaan mekanikal sebelum memulakan perjalanan.

"Bukan setakat kenderaan sahaja yang perlu menjalani pemeriksaan, pemandu juga perlu menjalaninya untuk memastikan mereka tidak terlibat dengan dadah," katanya.

Idris juga menasihati semua pemandu supaya mendapatkan rehat secukupnya sebelum memandu ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Hari Raya. - Bernama

Monday, June 13, 2016

Pegawai operasi Securiforce maut rempuh penghadang jalan


Putrajaya: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dipandunya dilanggar Proton Saga dari arah belakang lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di Jalan Persiaran Timur Kilometer 1.7 di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata, kejadian berlaku pada 3.30 petang dan mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ahmad Lam Kairan, 50, bekerja sebagai pegawai operasi di syarikat keselamatan.

"Mangsa hilang kawalan selepas MPV dipandunya dilanggar dari belakang dan kemudian,MPV mangsa melanggar besi penghadang jalan.

"Akibatnya, mangsa maut di tempat kejadian, manakala lelaki berusia 24 tahun yang juga pemandu Proton Saga hanya mengalami luka kecil," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Rosly , mayat mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



Friday, June 10, 2016

Rentung Kereta Meletup


Labuan: Seorang lelaki dan anak tirinya berusia lima tahun rentung selepas kereta dinaiki mereka tiba-tiba terbakar dan meletup berhampiran sebuah tadika di Jalan Tanjung Bendera di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian itu jam 12 tengah hari, pemandu Proton GEN2, Yunus Japar, 39, dari Kampung Patau-Patau 2 di sini, dan anak tirinya, Mohammad Darwisy Haiman, ditemui rentung dengan kesan terbakar 90 peratus pada keseluruhan badan.

Difahamkan, kenderaan dinaiki mereka tiba-tiba meletup pada bahagian belakang sebaik melalui lokasi berkenaan menyebabkan cermin kereta bertaburan di atas jalan.

Pemandu itu dipercayai cuba keluar sejurus kemalangan itu namun tidak berjaya sebelum satu lagi letupan berlaku menyebabkan kenderaan itu terbakar dengan kedua-dua mangsa terperangkap.

Usaha orang ramai mengeluarkan mereka juga tidak berjaya sebelum api dipadamkan anggota bomba yang tiba 10 minit kemudian namun tidak sempat menyelamatkan kedua-dua mangsa.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Adzhar Othman, berkata siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki kedua-dua mangsa meletup sendiri, namun punca sebenar masih disiasat.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Labuan untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga mereka untuk pengebumian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




Tuesday, June 7, 2016

Treler Bawa Kereta Terbalik



Bukit Tagar: Lori pengangkut kenderaan terbalik menyebabkan kereta dibawa terjatuh di Kilometer 421.7 Lebuhraya Utara Selatan di Bukit Tagar-Bukit Beruntung, tengah hari tadi.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, lori berkenaan membawa empat kereta.

Bagaimanapun ketika tiba di lokasi kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Jurucakap Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Berhad berkata, kejadian itu menyebabkan kesesakan kira-kira lima kilometer terutama dari arah utara ke selatan.

Menurutnya, hanya dua lorong boleh digunakan termasuk lorong kontra sementara kerja pengalihan dan pembersihan dilakukan.

Katanya, kenderaan yang terbabit kemalangan itu melintang di laluan bertentangan dan kereta yang dibawa terjatuh.

Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala pemandu lori terbabit tidak mengalami kecederaan.

"Tiada kenderaan lain terbabit dalam kemalangan itu," katanya.

Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, pihaknya tidak menerima sebarang panggilan berhubung kejadian itu.



Sumber :
http://www.hmetro.com.my/node/143352


Saturday, February 13, 2016

Tiga Beranak Maut


Rompin: Empat maut termasuk tiga beranak dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 138.8 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Cenderawasih, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.45 tengah malam itu, mangsa, Foo Kam Long, 45, bersama isterinya, Salamiah Ating, 33, yang menaiki Perodua Kancil maut di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala anak mereka, Foo Wei Quan,10, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah.

Turut maut dalam kemalangan itu ialah penumpang hadapan Proton Saga BLM, Muhamad Sharil Sabri, 23, berasal dari Kubang Batang Cabang 4, Tumpat, Kelantan.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, tiga mangsa parah adalah anak Kam Long, Foo Weng Ee, 8, dan pemandu Proton Saga BLM, Mohamad Zareqh Emeer Mohd Zainudin, 23.

Katanya, kejadian berlaku ketika tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu 3, Perkampungan Orang Asli, Jalan Sabak dari arah Kuantan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Mohamad Zareqh Emeer yang datang dari arah Segamat menghala Kuantan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Kam Long.

"Akibat pertembungan itu Kam Long, Salamiah serta Muhamad Sharil maut di tempat kejadian, manakala Wei Quan yang berada di tempat duduk belakang sempat dibawa ke Hospital Muadzam Shah, namun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital itu," katanya ketika dihubungi di sini.

Sumber:
http://www.bharian.com.my/node/124072
http://www.hmetro.com.my/node/114730

Friday, February 12, 2016

BMW Rentung


TANAH MERAH - Sebuah kereta mewah jenis BMW dipandu seorang lelaki musnah apabila tiba-tiba terbakar di Felda Kemahang 3 di Gugusan Felda Kemahang, dekat sini, tengah hari semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Hanaffi Mohd berkata, sebuah jentera bersama lima anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.51 tengah hari.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian pada jam 1.22 petang, kereta terbabit sudah 100 peratus musnah.

“Anggota membuat operasi pemadaman menggunakan satu aliran ‘hose’ dan berjaya mengawal api dalam masa empat minit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 1.34 petang, manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu difahamkan, kejadian dikatakan berlaku ketika pemandu dan isterinya dari Pasir Puteh dalam perjalanan ke tempat kenduri kahwin di rumah sepupu mereka di Kemahang 3.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/bmw-hangus-pemandu-dan-penumpang-selamat-1.484300

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my