loading...

Saturday, April 21, 2012

Kemalangan perjalanan ke hospital

Inalillahi wainailaihi rojiun

REMBAU: Hasrat seorang kakitangan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk melawat bapa tunangnya yang sakit di hospital di Kedah, berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 243, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat sini, awal pagi semalam.

Lebih memilukan apabila mangsa yang dikatakan baru bertunang tiga bulan lalu tidak sempat melangsungkan perkahwinan dijadualkan pada November depan.


Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu turut mengakibatkan treler membawa muatan sabun berkenaan terbakar, namun pemandu lingkungan 30-an tidak cedera. Mangsa, Mohd Razif Abdullah Sani, 24, yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan dari Johor Bharu ke kampungnya di Kampung Parit Mahang, Jeram, Selangor.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu treler dipercayai melihat mangsa terbaring bersama motosikalnya di laluan kiri jalan terbabit.


“Pemandu itu dipercayai cuba mengelak tetapi tidak berjaya lalu melanggar mangsa, manakala motosikal berkenaan tersangkut dan terseret di bahagian kiri depan lori sejauh 60 meter.


“Perlanggaran berkenaan menyebabkan mangsa cedera teruk dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.

Kejadian itu menyebabkan treler berkenaan turut terbakar dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau serta Seremban 2 diketuai Ketua Operasi, Mohd Yusoff Samad, dikerah memadam kebakaran.


Mayat mangsa yang bertugas sebagai Penolong Pemeriksa Kilang dan Jentera itu dihantar ke Hospital Tampin (HT) untuk bedah siasat.

Sementara itu, ibu mangsa, Sumiyah Kasan, 62, berkata, dia tidak mengetahui anak bongsu daripada enam beradik yang lebih mesra dipanggil Ajib akan pulang walaupun arwah ada menelefon, tetapi sekadar bertanya khabar, pada malam sebelum kejadian.


“Bagaimanapun, tunangnya ada memberitahu bahawa Ajib sudah merancang ke Jitra, Kedah, hujung minggu ini, untuk melawat ayahnya yang sakit,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat HT, semalam.


Menurutnya, dia sedih kerana arwah begitu bersemangat mengumpul duit syiling RM500 sebagai wang mas kahwin dan hampir semua persiapan perkahwinan sudah siap.


Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.


Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Nahasketikamahulawatbakalmentuadihospital/Article/index_html

Maut dirempuh treler


Inalillahi wainailaihi rojiun

KAMPAR : Sebuah bas kilang yang dalam perjalanan menghantar 10 pekerja kilang pulang ke rumah mereka dirempuh treler menyebabkan dua daripada penumpang kenderaan itu maut dalam kemalangan ngeri berhampiran persimpangan Kilometer 38.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini, malam kelmarin.

Sebelum kejadian, bas berkenaan dipercayai dalam perjalanan menghantar pekerjanya pulang dari sebuah kilang di Simpang Pulai, sebelum dirempuh sebuah lori, kira-kira jam 8 malam.


Mangsa yang maut di dikenali Rohani Ramli, 38, manakala rakan mangsa Russiah Md Yusof, 45, yang cedera parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, pada jam 10 pagi semalam.

Rohani berasal dari Taman Mesra Rakyat, Kampar, manakala Russiah dari Simpang Tiga, Sungai Lesong, Tapah.


Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh, berkata kemalangan membabitkan treler dan bas kilang itu menyebabkan dua daripada 10 penumpang bas maut, manakala lapan lagi cedera ringan. Menurutnya, pemandu kedua-dua kenderaan tidak mengalami kecederaan.


“Kejadian berlaku ketika bas kilang dari arah Ipoh membelok ke arah kanan menghala ke Teluk Intan sebelum tiba-tiba dirempuh lori berkenaan.

Kemalangan itu menyebabkan bas berkenaan terseret hampir tiga meter daripada persimpangan berkenaan, malah perlanggaran itu turut menyebabkan bas berkenaan remuk teruk di bahagian tengah,” katanya.


Ceria sebelum temui ajal


“Anak perempuan saya itu sering menghantar SMS dan berkelakuan agak ceria kebelakangan ini...tetapi rupa-rupanya ia ‘alamat’ dia akan meninggalkan saya,” kata Rokiah Din, 58, ibu kepada Rohani Ramli, 38, yang maut tersepit apabila bas pekerja dinaiki dirempuh treler, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, mangsa yang bekerja sebagai operator pengeluaran meninggal dunia selepas bas pekerja dinaiki dirempuh treler di persimpangan Kilometer 38.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini.

Arwah Rohani seorang ibu tunggal yang bekerja di Simpang Pulai dan berasal dari Taman Mesra Rakyat, di sini, dan mempunyai tiga anak, Siti Shalida Ahmad Maskor, 4, Mohd Shafiq Ahmad Maskor, 20, termasuk anak angkat, Siti Sharmila Abdullah, 10.

Menurutnya, arwah kerap menghantar SMS bertanya khabar dan beberapa perkara lain dan memang sentiasa ceria.


“Saya sangkakan sikap peliknya itu cuma kelakuan biasa kerana dia bertanya hal membabitkan kesihatan dan meminta pandangan mengenai beberapa perkara dan keluarganya,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Kampar,.


Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/2maut_8cederaringan/Article/index_html
hmetro.com.my/myMetro/articles/Ceriasebelumtemuiajal/Article/index_html
nst.com.my/nation/general/2-killed-in-bus-lorry-crash-1.76001

Tersepit Dalam Lori


KEPALA BATAS: Seorang pemandu lori ais menahan sakit 30 minit akibat tersepit selepas kenderaan dipandunya terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan lain di Jalan Permatang Buloh, dekat sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 3.15 petang, pemandu lori ais terbabit, Mohd Hanif Mokhtar, 30-an, penumpang kereta Perodua Kelisa, Siti Aishah Hamid, 40-an, parah, manakala penunggang motosikal cedera ringan. Sebelum kejadian, Mohd Hanif dalam perjalanan menghala Sungai Dua sebelum merempuh lori Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang membelok ke kanan dari arah belakang.


Akibat rempuhan itu, pemandu lori terbabit gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh Perodua Kelisa yang dalam perjalanan ke pekan ini.

Pada masa sama, sebuah motosikal Honda EX5 yang juga dalam perjalanan ke pekan ini tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta berkenaan, namun penunggangnya cedera ringan.


Pemandu Perodua Kelisa, Abdul Halim Nazri, 24, berkata dia bersama ibunya menuju rumah di Taman Haji Abdullah Fahim, dekat sini.


“Ketika tiba di tempat kejadian, saya nampak lori LPP memberi isyarat mahu membelok ke kanan, namun tiba-tiba sebuah lori ais merempuh lori berkenaan dari arah belakang menyebabkan kenderaan itu bergerak lalu merempuh kereta kami.

“Berikutan itu, ibu saya yang duduk di tempat duduk depan cedera di bahu kanan akibat terhentak papan pemuka.


“Pada masa sama, sebuah motosikal dari arah sama tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta kami,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Sementara itu, Penyelia Operasi Bomba dan Penyelamat Kepala Batas, Adnan Hashim berkata, pihaknya mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan pemandu lori ais yang tersepit, manakala penumpang Perodua Kelisa yang cedera dikeluarkan kakitangan Hospital Kepala Batas (HKB).

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Tahansakit30minittersepitdalamlori/Article/index_html

3 kenderaan berlanggar


KOTA BHARU - Lima orang cedera, seorang daripada mereka tersepit di tempat duduk kereta dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan di Pasir Hor, 20 kilometer dari sini, jam 11 malam kelmarin.
Dalam kejadian itu, tiga kenderaan, iaitu Perodua Kenari, Perodua Kembara dan Proton Wira, berlanggar sesama sendiri ketika dalam perjalanan ke arah Pasir Hor dari bandar ini.

Lelaki yang tersepit di kerusi penumpang Kenari itu terpaksa menanggung kesakitan hampir setengah jam sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Mat Rifin Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.22 malam dan sampai di tempat kejadian 15 minit kemudian.

“Kami menggunakan alat pemotong untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit itu.

“Mangsa cedera di kaki. Yang lain cedera ringan dan mendapat rawatan luar,” katanya kepada Sinar Harian semalam

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/lima-cedera-seorang-tersepit-dalam-kemalangan-1.41748

Malang tidak berbau


Inalillahi wainailaihi rojiun

KANGAR – Malang tidak berbau. Itulah nasib seorang lelaki yang maut apabila kenderaan dipandunya terbabas sehingga terjunam ke dasar terusan Arau sedalam tiga meter, malam kelmarin.
Mangsa, Aimi Mukhlis Taib, 26, yang ketika itu melalui Jalan Simpang Empat-Kampung Sungai Baru kira-kira jam 10.20 malam, dikatakan memandu kereta Perodua Kancil dan dipercayai hilang kawalan.

Saksi, Zamri Omar, 42, berkata, dia bersama rakannya terkejut apabila melihat kenderaan mangsa di atas air dengan lampu menyala sebelum tenggelam ke dasar terusan itu.

“Kereta yang dinaikinya hanyut sejauh 50 meter. Saya dan kawan sempat menjerit ke arah mangsa, namun tiada sebarang tindak balas yang diberikan sebelum kenderaan itu tenggelam.

“Waktu itu saya dan rakan ingin berenang ke arah kereta mangsa, tetapi terpaksa membatalkan niat kerana paras air yang tinggi dan dan arus deras,” katanya.

Katanya, ketika kejadian dia bersama rakannya menunggang motosikal dari Sungai Baru menuju Simpang Empat.

Zambri berkata, dipercayai kereta mangsa terbabas sendiri ke dalam terusan itu.

Anggota Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis dapat mengeluarkan kenderaan dan mangsa kira-kira dua jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikan sebagai kemalangan.

“Tiada unsur jenayah ditemui pada mangsa yang berada di tempat duduk pemandu ketika ditarik keluar dan dia dipercayai terbabas seorang diri ketika melalui jalan itu yang gelap.

“Berdasarkan maklumat ahli keluarganya yang berasal dari Kampung Cantek Bangun, Simpang Empat di sini, mangsa bekerja kampung bersama bapanya keluar rumah selepas solat Isyak pada malam itu tanpa memberitahu ke mana dia mahu pergi,” katanya.


Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/lelaki-maut-kereta-terjunam-1.41785

Friday, April 20, 2012

2 Maut Bas Kilang Dirempuh Treler

Inalillahi wainailaihi rojiun


KAMPAR 20 April — Dua pekerja kilang terbunuh manakala sembilan cedera termasuk pemandu bas apabila kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di km 38.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Kampar malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Abdul Aziz Salleh berkata mangsa yang terbunuh Rohani Ramli, 38, berasal dari Taman Mesra Raya, Kampar dan Russiah Md Yusof, 44, berasal dari Kampung Simpang Tiga Sungai Lesung, Ayer Kuning, Kampar.

Kedua-dua mangsa pekerja kilang elektronik Unisem di Simpang Pulai.

Rohani yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat, manakala manakala Russiah yang juga cedera parah di kepala meninggal dunia di Hospital Raja Permasuri Bainun pagi ini ketika sedang dirawat, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Aziz berkata sembilan lagi penumpang termasuk pemandu bas kilang yang mengalami kecederaan turut dirawat di hospital Kampar.

Beliau berkata kejadian berlaku pada pukul 8 malam tadi ketika bas kilang itu yang membawa sepuluh penumpang dari sebuah kilang di Simpang Pulai menuju ke Teluk Intan apabila dirempuh di bahagian tengah oleh sebuah treler membawa muatan sarung tangan getah dari arah bertentangan.

Ketika kejadian treler berkenaan dari Kuala Lumpur ke Teluk Intan dipercayai melanggar isyarat lampu merah, katanya. - BERNAMA.

Al-Fatihah

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_23.htm

Petanda Suami Kemalangan


Inalillahi wainailaihi rojiun

ALOR GAJAH: “Hati saya berdebar apabila botol ubat diletak di atas rak terusik dan jatuh berderai. Kira-kira 10 minit kemudian, saya terima panggilan memberitahu suami kemalangan,” kata isteri kepada Muhamad Azizul Safian Suri, 28, mekanik maut akibat dirempuh pacuan empat roda di Kilometer 199, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berhampiran susur keluar Ayer Keroh, dekat sini, kelmarin.

Siti Bazilah Md Zin, 28, berkata, dia tidak menyangka botol pecah itu petanda suami akan meninggalkan dia dua beranak.


“Sehari sebelum kejadian, saya ada menegur suami kerana lewat mengambil anak, Putra Muhammad Aqil Danish Muhamad Azizul, 18 bulan, dari pusat asuhan.

“Dia meminta maaf dan berjanji akan pastikan kejadian itu tidak berulang,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka di sini, malam kelmarin.


Dalam kejadian jam 3 petang, Muhammad Azizul maut di tempat kejadian dirempuh pacuan empat roda itu ketika bersama rakannya, Ishak Mohamad, 56, ketika memungut kon selepas selesai membaiki lori Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).


Turut terbunuh dua penumpang pacuan empat roda, Ng Beng Tian, 32, dan Tan Bian, 61. Pemandu pacuan empat roda itu, Lim Ching Yeo, 32, bagaimanapun cedera ringan manakala Ishak cedera kaki kiri.

Seorang lagi rakan sekerja mereka, Muhammad Efendi Osman, 30-an, terselamat tanpa kecederaan.


Menurut Siti Bazilah, beberapa hari sebelum itu, suaminya gembira kerana mendapat kenaikan gaji bermula bulan depan.

“Beberapa hari sebelum kejadian, suami menyatakan hasrat membawa kami bercuti ke Cameron Highland hujung minggu ini,” kata kakitangan Pusat Perubatan Islam Az-Zahra, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Sementara itu, Ishak berkata, dia yang cedera kaki kiri, berusaha berlari ke arah Muhamad Azizul yang tercampak 15 meter ke tepi longkang selepas dirempuh dan sempat memangku kepala Mohd Azizul sambil mengajarnya mengucap.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Botolubatpecahketikasuamikemalangan/Article/index_html
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0419&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Petanda Kemalangan



Inalillahi wainailaihi rojiun

PONTIAN - “Sejak dua hari lalu, saya asyik terbayang Gunawan akan ditimpa kemalangan,” luah Rakiah A. Rahman, 55, ibu kepada Gunawan Maamor, 26, yang maut dalam kemalangan di sini, awal pagi semalam.
Gunawan meninggal dunia selepas kereta Proton Persona yang dipandu rakannya bertembung dengan kenderaan lain jenis Proton Wira di Kilometer 3.2 Jalan Pontian – Kukup, kira-kira jam 6.45 pagi.

Menurut Rakiah, dia tidak menyangka perasaan berdebar - debar yang dialaminya itu dan bayangan Gunawan ditimpa kemalangan merupakan petanda anak keempat dari tujuh beradik itu akan pergi buat selamanya.

Katanya, semakin cuba untuk memikirkan bayangan tersebut, semakin gelisah perasaan dibuatnya seperti ada sesuatu akan berlaku.

“Sejak pagi semalam apabila hendak menghantar dua anak kembar pergi ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi, dada saya berdebar-debar, macam ada sesuatu yang akan berlaku.

“Sebaik saja saya sampai di rumah, tiba-tiba menantu saya datang memberitahu, Gunawan terlibat dalam kemalangan jalan raya dan berada di Hospital Pontian (HP),” katanya dengan nada sebak ketika ditemui di Rumah Mayat HP di sini, pagi semalam.

Katanya, tiada sebarang perubahan sikap pada anak kesayangan itu, kecuali mengadu sakit perut dan meminta di urut sebelum keluar untuk menemui rakannya pada petang kelmarin.

“Itulah kali terakhir saya berjumpa dengan Gunawan selepas memberitahu mengalami sakit perut dan meminta saya mengurutnya dengan minyak urut.

“Selepas itu dia terus meminta diri untuk keluar ke bandar Pontian untuk menemui rakan dan saya pun tidak tahu pukul berapa dia pulang ke rumah,” katanya.

Gunawan adalah anak keempat daripada tujuh beradik dan masih bujang dan bekerja sendiri sebagai kontraktor, tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Jawa, Pulai Sebatang.

Dalam pada itu, pemandu kereta Wira, Khairil Anwar Hamid, 34, hanya mengalami cedera ringan manakala adiknya Siti Aishah Hamid 14,mengalami kecederaan parah di kaki kirinya kerana tersepit.

Khairil, seorang guru di Sekolah Rendah (SR) Permas Kelapa dalam perjalanan menghantar adiknya pergi ke SMK Telok Kerang.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Zahliman Jamin, ketika ditemui berkata, mangsa yang dikenali sebagai Gunawan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Pontian (HP), manakala Siti Aishah yang tersepit dan abangnya Khairil Anwar dihantar ke HP untuk mendapat rawatan.

“Pemandu kereta Persona tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian (IPPD) bagi membantu siasatan ,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/dihantui-bayangan-maut-1.41619

Maut ketika membuat pusingan U


Inalillahi wainailaihi rojiun

DUNGUN - Hasrat seorang pelajar menghantar rakannya ke sekolah berakhir dengan tragedi apabila dia menemui ajal selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam satu kemalangan dekat sini, pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 7.20 pagi di kilometer 73.9 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Ahmad Zikri Zaharuddin, 16, dalam perjalanan pulang ke rumah di Balai Besar selepas menghantar seorang rakannya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teknik Dungun.

Sampai di lokasi kejadian, mangsa, pelajar tingkatan empat di SMK Teknik Dungun itu dikatakan cuba membuat pusingan U sebelum dirempuh sebuah kereta Perodua Kancil dari arah belakang.

Akibat rempuhan itu, mangsa cedera parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakan mangsa, Muhamamd Faizal Yusli Mohd Shazali, 16, berkata, sebelum kejadian, arwah telah menghantarnya ke sekolah, biarpun dia tidak mengizinkan kerana arwah dikatakan kurang sihat.

Faizal berkata, sebaik sampai di hadapan sekolah, dia mengarahkan arwah meninggalkannya di hadapan pintu pagar sementara menunggu rakan-rakan lain tiba untuk masuk ke kawasan sekolah.

“Ketika sedang menunggu rakan lain, tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat.

“Apabila menoleh ke belakang, saya terkejut apabila melihat arwah sudah tergolek atas jalan, manakala motosikalnya berada di sisinya,” katanya.

Faizal berkata, apabila dia menghampiri rakannya itu, dia rasa takut setelah melihat banyak darah keluar dari mulut dan hidung mangsa, sebelum orang ramai tiba untuk menghulurkan bantuan.


Murung, banyak termenung

Bagi ibu mangsa pula, Maimun Tahir, 54, tragedi yang meragut nyawa anaknya itu amat perit untuk diterima, apatah lagi arwah sebelum ini dikatakan kelihatan agak murung berbanding biasa.

Menurut Maimun, beberapa hari sebelum kejadian, arwah anaknya dikatakan sering mengadu sakit kepala, banyak termenung selain kurang selera makan berbanding biasa.

“Saya tak sangka tingkah lakunya yang pelik itu merupakan satu petanda dia akan pergi buat selamanya,” kata Maimun yang juga seorang kerani di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika mengesahkan kejadian, memaklumkan jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir.

“Warga Ibu Pejabat Polis Daerah mengucapkan takziah atas pemergian anak kepada kakitangan pejabat di IPD Dungun,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/pelajar-maut-dirempuh-kereta-1.41450


Terjunam ke dalam sungai


TEMANGAN, KELANTAN - Empat penumpang termasuk pemandu sebuah kereta cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka sekeluarga terbabas lalu terjunam ke dalam sungai di Kampung Pertok, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, kesemua mangsa dikatakan dari Kampung Pauh, dekat sini dalam perjalanan ke Bandar Machang.

Bapa mangsa, Abdul Razak Isa, 61, berkata, anak-anaknya keluar dari rumah kira-kira 11.30 pagi sebelum dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Katanya, kesemua mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Machang namun, tidak mengalami kecederaan yang parah.

“Syukurlah mereka semua selamat, terima kasih kepada penduduk yang membantu mengeluarkan mangsa dan menghantar ke hospital,” katanya.

Penduduk, Raja Fatimah Raja Mamat, 63, berkata, ketika kejadian dia berada di kedai miliknya yang terletak berdekatan.

Katanya, kejadian berlaku terlalu cepat dan dia hanya menyedarinya apabila dimaklumkan oleh seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui tempat kejadian.

“Kereta mangsa terbabas dan jatuh ke dalam sungai Kuala Peradong ini. Makcik terpaksa meminta pertolongan daripada pengguna jalan raya yang melalui jalan itu memandangkan tiada orang di kawasan berdekatan.

“Mereka kemudiannya menolong mengeluarkan mangsa sebelum dihantar ke Hospital Machang oleh kakitangan Klinik Temangan. Mujur mereka selamat, makcik benar-benar takut memandangkan tebing sungai itu tinggi,” katanya.

Raja Fatimah berkata, kejadian seumpama itu pernah berlaku di sungai tersebut lebih 20 tahun lalu, namun tidak melibatkan kemalangan maut.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/kereta-terjunam-ke-dalam-sungai-1.41479

Thursday, April 19, 2012

Suami lihat isteri maut digilis lori


Inalillahi wainailaihi rojiun

KUALA LUMPUR – Tidak ada perkataan dapat menggambarkan perasaan seorang suami yang hanya mampu melihat kepala isterinya digilis lori dalam satu kemalangan dekat jejambat susur keluar Taman Desa Petaling di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7.54 pagi semalam, Mohd. Ridzwan Misran, 30, dan isterinya, Norhana Nuruddin, 30, dalam perjalanan dari Bandar Baru Bangi untuk ke tempat kerja di ibu negara.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, kejadian berlaku apabila motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang Mohd. Ridzwan merempuh belakang sebuah skuter sebelum dia dan isteri terjatuh.

“Ketika itu, sebuah kenderaan dipercayai lori tidak sempat mengelak dan telah menggilis kepala mangsa, mengakibat Norhana maut di tempat kejadian,” katanya.

Menurut beliau, pasangan tersebut tinggal di Pangsa Kajang Impian, Kajang.

Katanya, polis juga sedang mengesan lori yang dipercayai menggilis Norhana untuk siasatan lanjut.

Al-Fatihah

Sumber:
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0419&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Muntah darah sebelum maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

ARAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di selekoh lalu merempuh tembok di bahu jalan itu sebelum terjatuh ke dalam longkang berdekatan lampu isyarat Batas Liku, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 petang, mangsa, Danial Fakiq Zainol, 25, yang berasal dari Kampung Pida 3 Lama, Tambun Tulang, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala.

Saksi, Ahmad Ishamudi Ahmad Elias, 27, berkata ketika kejadian itu, dia berada di kedai motosikal di depan jalan berkenaan.

“Kami beramai-ramai mengangkatnya ke atas jalan dan mangsa yang parah tidak dapat berkata-kata. Kami mengalihkan badannya sebelum dia memuntahkan darah serta sesak nafas sebelum meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.


Sementara itu, Pegawai Turus Traffik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Asisten Superintendan Rosli Yahaya berkata, mangsa yang dalam perjalanan dari Padang Nyu menuju Arau, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Muntahdarahsebelummaut/Article/index_html

Mangsa Kemalangan Maut



MELAKA - Seorang lagi mangsa kemalangan yang meragut tiga nyawa di KM198 lebuh raya arah selatan berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh di sini petang semalam,  meninggal dunia di Hospital Melaka pagi ini.

Yong Ah Eng, 57,  meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut kira-kira 9.17 pagi, kata Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin ketika dihubungi hari ini.

Yong, dari Simpang Renggam, Johor merupakan makcik kepada mangsa yang maut di tempat kejadian semalam iaitu Ng Beng Tian, 32. Turut terbunuh ialah ibu Ng, Tan Bian, 61, dan seorang mekanik, Muhammad Azizul Safian Rani, 28.

Kejadian kira-kira jam 3.05 petang semalam berlaku apabila sebuah Toyota Harrier merempuh sebuah lori sky lift yang rosak di lokasi itu.

Dalam pada itu, pemandu lori tersebut Ishak Mohamad, 56, patah kaki kiri manakala pemandu Toyota Harrier, Lim Ching Yeo, 32, isteri kepada Ng hanya cedera ringan. – Bernama

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/seorang-lagi-mangsa-kemalangan-lebuh-raya-meninggal-dunia-1.41307

Pelajar Sekolah Menengah Teknik Dungun Maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

DUNGUN – Seorang pelajar Sekolah Menengah Teknik Dungun maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 73.9, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran sekolahnya, hari ini.

Mangsa Ahmad Zikri Zaharudin, 16, menghembuskan nafas terakhir di pangkuan seorang pengguna jalan raya yang sempat menyaksikan kejadian itu, Mohd Yuslizam Mat Yusof, 35 dan sempat mengajar mangsa mengucap dua kalimah syahadah.

Dalam kejadian pukul 7.20 pagi itu, mangsa baru sahaja menghantar rakannya, Muhammad Faizal Yusri Mohd Shazali, 16, di depan pintu pagar sekolah itu.

Bagaimanapun mangsa yang memberitahu rakannya beliau sakit kepala, dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah belakang ketika mangsa membuat pusingan ”U” untuk pulang ke rumah, menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 10 meter di atas jalan raya.

Ketua Polis Daerah, Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, jenazah mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian. – BERNAMA

Al-Fatihah

Sumber:
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0419&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_14.htm

Tuesday, April 17, 2012

Warga Emas Maut Dirempuh Motosikal

PERAI – Seorang wanita maut selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika hendak melintas dalam satu kejadian langgar lari di Kilometer 0.5 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), arah Bukit Tengah, awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6.45 pagi ketika mangsa, Y Letchumey, 56, dari Pangsapuri Teluk Indah 2, Perai Jaya, di sini, dalam perjalanan menuju ke tempat kerja yang terletak tidak jauh dari lokasi.

Dia yang hendak menyeberangi jalan dikatakan dilanggar sebuah kenderaan, dipercayai motosikal yang datang dari arah Perai menyebabkan mangsa terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Penunggang motosikal dipercayai turut terjatuh ketika kejadian, namun, bangun sejurus kemudian dan melarikan diri berdasarkan kesan yang terdapat di lokasi.

Ketua Trafik/Ketenteraman Awam Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Superintendan S Manogaran berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 8 pagi oleh orang ramai.

Menurutnya, mangsa dipercayai dilanggar sebuah kenderaan sahaja, dan sehingga kini usaha mengesan penunggang motosikal itu sedang giat dijalankan.

“Ketika kejadian, mangsa melintas dari arah sebuah hotel dan dipercayai hendak menuju ke tempat kerjanya yang terletak di seberang jalan.

“Namun, malang tidak berbau apabila dia yang berada di lorong kiri jalan dilanggar sebuah kenderaan, dipercayai motosikal dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.

Manogaran berkata, keadaan jalan yang gelap berkemungkinan menjadi faktor kemalangan, namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti puncanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saksi kejadian atau orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian hubungi Pegawai Penyiasat Balai Trafik SPT di talian 04-5301977 bagi membantu siasatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/warga-emas-maut-dilanggar-motosikal-ketika-melintas-1.40602

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my