Inalillahi wainailaihi rojiun
7 Oktober 2013
Seorang
pemandu bas ekspres maut selepas kenderaan membawa 17 penumpang itu terbabas lalu merempuh sebuah papan tanda di Kilometer 21, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dekat sini awal pagi ini.
Dalam nahas pukul 2 pagi itu, mangsa,
Ibrahim Ahmad, 58, sedang memandu dari Singapura ke Pulau Pinang sebelum hilang kawalan setibanya di lokasi kejadian dan merempuh penghadang jalan.
Bas itu kemudian terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar dua tiang konkrit papan tanda di situ mengakibatkan kenderaan tersebut remuk di bahagian hadapan, manakala mangsa pula tersepit di tempat duduk.
Berikutan itu juga, dua penumpang iaitu
Loh Ah Yuen, 51, mengalami kecederaan di kepala dan seorang warga Amerika Syarikat (AS)
Ronald Morris, patah kaki kiri serta kecederaan di perut manakala yang lain cedera ringan.
Mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya, Hospital Serdang dan Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.
Sementara itu,
Ronald Morris ketika ditemui Utusan Malaysia di Hospital Serdang berkata, dia bernasib baik kerana telah menukar tempat duduk asalnya iaitu dari hadapan ke belakang ketika perjalanan baru dimulakan di Singapura untuk berehat.
"Saya minta kebenaran dengan pemandu bas terlebih dahulu dan ternyata keputusan ini adalah tepat. Jika tidak kecederaan saya mungkin lagi teruk apabila melihatkan keadaan bas itu," katanya yang pertama kali melancong seorang diri ke negara ini.
Ronald Morris memberitahu, kejadian tersebut juga adalah kali pertama menimpanya walaupun telah melancong di banyak negara Asia termasuk Korea dan Jepun.
Dalam pada itu, adik Ibrahim, Yunus, 46, tidak menyangka abangnya terlibat
kemalangan kerana sudah berpengalaman memandu bas lebih 10 tahun.
"Dia kalau memandu sangat berhati-hati sampai saya dan adik-beradik lain bising kerana terlalu perlahan. Dia juga tidak mempunyai penyakit kronik seperti sakit jantung," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Serdang di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Nordin Manan berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.
"Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga akan menyiasat kes ini, manakala Kedutaan Amerika Syarikat telah dimaklumkan tentang salah seorang warga asing yang terlibat dalam
kemalangan ini," katanya.
SERDANG - “Saya terkilan sebab hasrat kami memancing bersama selepas Hari Raya Aidiladha nanti tidak tercapai,” kata adik
pemandu bas ekspres,
Ibrahim Ahmad, 58, yang maut selepas kenderaan dibawanya merempuh papan tanda di Kilometer 21, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), awal pagi semalam.
Yunus Ahmad, 46, yang ditemui semalam berkata, perancangan memancing sudah lama dibuat tetapi semuanya tidak bermakna lagi kerana abang kesayangannya itu sudah tiada.
Menurutnya, dia terkejut ketika dimaklumkan oleh anak saudaranya tengah hari semalam berhubung kejadian yang menimpa abangnya.
"Ketika itu saya belum tahu status abang dan hanya diberitahu dia mungkin dirawat sama ada di Hospital Putrajaya atau Hospital Serdang.
"Saya terus hubungi kedua-dua hospital terbabit sebelum dimaklumkan abang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang," katanya.
Yunus berkata, dia bersama isteri dan anak-anak segera bergegas ke hospital, namun mereka tiba lewat 15 minit apabila abangnya disahkan meninggal dunia pada 1.45 petang semalam.
“Berita itu sangat mengejutkan kerana saya berharap sekurang-kurangnya dapat berjumpa dan bercakap dengannya, tapi apakan daya ALLAH lebih menyayanginya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat Hospital Serdang, semalam.
Katanya, dia dan abangnya itu sememangnya gemar memancing sehingga pernah memancing sehingga ke Perlis.
"Memancing bukan sekadar hobi kami tetapi adalah rutin setiap kali kami sekeluarga berkumpul.
"Biasanya abang akan ambil cuti beberapa hari jika merancang untuk pergi memancing," katanya.
Malah katanya, kehilangan abangnya itu amat dirasai lebih-lebih lagi Allahyarham seorang bertanggungjawab malah seorang yang berhati-hati ketika memandu.
Beliau berkata, apabila mendapat tahu berhubung nahas itu, dia sangat terkejut kerana Allahyarham sudah berpengalaman membawa bas ekspres sejak lebih 10 tahun lalu.
“Setahu saya, dia juga tak pernah ada penyakit kronik seperti sakit jantung. Cuma kali terakhir saya hubungi dia minggu lalu, dia maklumkan sedang demam,” katanya.
Sementara itu, jenazah Ibrahim yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu sudah dituntut untuk dibawa pulang ke Sungai Rokam, Ipoh, Perak untuk dikebumikan malam ini (semalam).
Ibrahim meninggalkan seorang isteri serta tiga anak lelaki berusia lingkungan 20-an.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/terkilan-hajat-abang-tak-sampai-1.209041
utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131007/je_01/Pemandu-maut-17-terselamat
themalaysiantimes.com.my/bus-driver-died-after-hitting-into-traffic-pillar/
thesundaily.my/news/848586