loading...

Saturday, August 25, 2012

Avanza terbalik Bayi 10 bulan selamat



25 Ogos 2012
UKAY PERDANA - Seorang bayi berusia 10 bulan terselamat daripada maut dalam nahas jalan raya apabila kereta dinaiki bersama ibu bapanya terbalik dua kali ketika menuruni bukit dari Ukay Perdana berhampiran Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.50 petang semalam itu menyebabkan kecederaan ringan kepada bayi tersebut dan kedua-dua ibu bapanya.

Bapa mangsa dan juga pemandu, Azrami Aris berkata, keretanya menghadapi masalah ketika membelok di selekoh dan melanggar pembahagi jalan.

Menurutnya, semasa melepasi selekoh terbabit, stereng keretanya didapati menghadapi masalah, menyebabkan dia tidak dapat mengawal kenderaannya lalu berpusing beberapa kali.

“Alhamdulillah, saya bersyukur isteri dan bayi saya selamat dalam insiden ini serta dua anak lain bernasib baik kerana menaiki kereta lain bersama saudara yang ketika itu berada di belakang kereta saya,” katanya.

Akibat insiden tersebut, Azrami mengalami kecederaan di kakinya.

Bayi dan isterinya dihantar ke Hospital Ampang Puteri untuk mendapatkan rawatan.

Azrami berkata, dia amat bersyukur apabila dua lagi anaknya tidak menaiki kereta terbabit bersamanya ketika itu kerana mungkin kejadian lebih teruk boleh berlaku.

Menurutnya, kereta jenis Avanza yang dipandunya itu adalah milik keluarganya di Kedah.

Sinar Harian difahamkan mangsa dan keluarganya ingin pergi bersiar-siar sebelum kejadian malang tersebut berlaku selepas hujan berhenti.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/bayi-10-bulan-nyaris-maut-1.78839


Maut rempuh pacuan 4 roda

Inalillahi wainailaihi rojiun

25 Ogos 2012
KUANTAN – Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh bahagian belakang pacuan empat roda di Jalan Kuantan-Kemaman, di sini petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Ahmad  Raziman Ab. Razak, 16, dari Kampung Seberang Balok, maut ketika menerima  rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) akibat cedera parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, ketika kejadian pemandu pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari Pelabuhan Kuantan menuju ke Kampung Balok.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi nahas, pemandu pacuan empat roda itu memberi lampu isyarat ke kanan dan berhenti untuk masuk ke simpang jalan.

“Mangsa yang menunggang motosikal gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh bahagian belakang pacuan empat roda di laluan yang sama.

“Kejadian berlaku di satu laluan lurus dua hala serta keadaan cuaca baik,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan, semalam.

Bagaimanapun katanya, pemandu pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang wanita maut selepas motosikal yang dinaikinya merempuh seekor lembu di Kilometer 45, Jalan Simpang Kerayong-Mayam, Bera.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang kelmarin, mangsa Khadijah Tan, 60, mengalami kecederaan di bahagian dada dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bandar 23, Bera.

Katanya, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Jalan Kumai menuju ke Simpang Kerayong.

“Ketika tiba di tempat kejadian seekor lembu tiba-tiba melintas menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat untuk membrek atau mengelak lalu melanggar lembu itu.

“Bagaimanapun, penunggang motosikal hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Tambahnya, kemalangan berlaku di kawasan ladang kelapa sawit di satu jalan lurus.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/dua-maut-nahas-motosikal-1.78828



Friday, August 24, 2012

Maut Digilis Kereta

Inalillahi wainailaihi rojiun 
24 Ogos 2012
 BAGAN SERAI - Hasrat seorang remaja untuk pulang ke rumah selepas beraya di kampung bertukar tragedi apabila mangsa maut digilis sebuah kereta dalam satu kejadian di Jalan Bagan Serai-Kuala Kurau, di sini, Selasa lalu

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, ketika kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa Abdul Hamid Yusof, 22, dari Kuala Kurau sedang menunggang motosikal di Jalan Bagan Serai-Kuala Kurau sebelum bergesel dengan sebuah motosikal lain dari arah sama.

Menurutnya, mangsa terjatuh ke atas jalan arah bertentangan sebelum digilis sebuah kereta yang tidak sempat mengelak.

“Mangsa kemudiannya terperosok di bawah kereta terbabit dan kami terpaksa mendapatkan khidmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Bagan Serai untuk mengeluarkan mangsa daripada tersepit di bawah kenderaan terbabit.

“Mayat mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian.

Mat Fauzi berkata, mangsa difahamkan baru sahaja pulang dari beraya bersama rakan-rakan di sekitar kawasan Bagan Serai.

Menurutnya, seorang lagi penunggang motosikal yang bergesel dengan mangsa turut mengalami kecederaan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Parit Buntar.

“Penunggang terbabit yang dikenali sebagai S Amachy, 65, dari Taman Seri Kurau mengalami kecederaan di muka dan tangan setelah turut terjatuh dari motosikal akibat pergeselan dengan motosikal mangsa.

“Manakala seorang lagi pembonceng yang masih belum dikenal pasti identitinya cedera parah dan dimasukkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/remaja-maut-digilis-kereta-1.78600


Viva Dirempuh Pacuan Empat Roda



24 Ogos 2012
 ALOR GAJAH - Dua sahabat berdepan detik mencemaskan apabila kereta yang mereka naiki dirempuh pacuan empat roda di Jalan Pengkalan Balak, Masjid Tanah, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Perodua Viva berkenaan dipandu Zaini Samian, 27, bersama rakan sekerjanya, Asyraf Jasni, 24, dari arah Pengkalan Balak menuju ke pekan Masjid Tanah.

Difahamkan, pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun dari arah Pekan Masjid Tanah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh tepi Perodua Viva yang cuba mengelak.

Menurut Zaini, ketika kejadian dia dan rakannya baru keluar dari selekoh berkenaan untuk bersarapan di pekan.

“Apabila masuk sahaja ke jalan besar pacuan empat roda itu semakin memasuki laluan saya, namun tidak sempat mengelak.

“Disebabkan jarak semakin dekat, bahagian kiri sebelah penumpang tetap terkena rempuhan itu,” katanya.

Katanya, dia yang terkejut dengan rempuhan itu bergegas keluar dari kereta bersama rakannya yang cedera ringan di kaki kiri akibat terkena pintu kereta yang remuk teruk.

“Saya lihat pacuan empat roda berkenaan sudah berhenti di satu lorong kecil dan mendapati pemandu dan penumpangnya tidak apa-apa. Mujur juga ketika kejadian tiada kenderaan lain,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Samsul Malah, 30 tahun, yang memandu di belakang kereta berkenaan berkata, dia bernasib baik kerana sempat mengelak dari turut dirempuh pacuan empat roda terbabit.

“Saya dalam perjalanan ke pekan Masjid Tanah untuk membeli barang dari Hospital Kem Terendak menyedari kehadiran pacuan empat roda dari arah bertentangan yang tiba-tiba memasuki laluan mangsa.

“Melihat Perodua Viva itu hampir hilang kawalan, saya segera memperlahankan kenderaan dan berhenti di tebing jalan untuk membantu mangsa,” katanya, semalam.

Sementara itu, ketua operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Alor Gajah, Mohd Shahril Anuar Abd Rauf berkata, mangsa diberi rawatan kecemasan di lokasi kejadian.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tidak-sempat-elak-rempuhan-1.78661


2 kereta terjunam ke parit


24 Ogos 2012
 SUNGAI NIBONG – Hasrat sebuah keluarga untuk pulang ke rumah selepas menziarahi sanak saudara tidak kesampaian apabila mereka terlibat dalam kemalangan di KM59 Jalan Teluk Intan – Klang.

Dalam kejadian 4.30 petang, kelmarin itu, kereta Kia Optima yang dinaiki seorang lelaki bersama dua anak perempuannya dipercayai dihimpit sebuah kenderaan sebelum kedua-duanya terbabas dan menjunam masuk ke dalam parit berhampiran.

KetuaPolis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohamad berkata, tiga sekeluarga itu dalam perjalanan pulang dari Klang menuju ke Sungai Besar sebelum dihimpit kereta Nissan yang cuba memotongnya.

"Pemandu kereta Kia Optima menekan brek kecemasan dan mengelak ke kiri jalan apabila kereta Nissan yang dipandu sendirian itu menghimpitnya.

"Bagaimanapun, kedua-dua kenderaan itu bergesel sebelum hilang kawalan dan masuk ke dalam parit di tepi jalan berkenaan," katanya.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan anak bongsu mangsa, berusia 13 tahun kini sedang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam kerana mengalami kecederaan di bahagian badan.

"Manakala, kedua-dua pemandu berkenaan dan seorang seorang lagi penumpang cuma mengalami kecederaan ringan dan dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatann di hospital sama.

"Keterangan daripada kedua-dua pemandu berkenaan diambil bagi membantu siasatan dan tindakan tegas akan dikenakan sebaik siasatan selesai," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, semua pengguna jalan raya dinasihatkan mengamalkan pemanduan berhemah termasuk mematuhi had laju ditetapkan.

Menurutnya, jalan utama Kuala Selangor - Sabak Bernam telah dikenalpasti sebagai jalan panas yang banyak meragut nyawa.

Setiap pengguna bertanggungjawab berhati-hati dan tidak mementingkan diri sendiri memandangkan kes kemalangan dilihat meningkat sejak bermulanya cuti musim perayaan.

“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengambil mudah aspek keselamatan di jalan raya dan melanggar had laju ditetapkan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa depan," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/tiga-sekeluarga-nyaris-maut-1.78609


Separuh Rumah Runtuh Dirempuh Kereta


24 Ogos 2012
 GUA MUSANG - Seorang wanita warga emas trauma kerana nyaris maut apabila sebuah kereta yang terbabas merempuh rumahnya hingga separuh runtuh di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru, dekat sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu, semasa Che Yam Che Wil, 70, berada di ruang tamu rumahnya seorang diri dan terkejut melihat sebuah kereta dinaiki empat lelaki berpusing beberapa kali sebelum merempuh rumahnya.

Menurut Che Yam, kereta dalam perjalanan dari Gua Musang menuju ke Kuala Krai itu pada mulanya merempuh pengadang jalan sebelum berpusing merempuh bilik tidur rumahnya hingga runtuh.

Katanya, selepas itu kereta tersebut pula merempuh bukit dan berpusing balik sebelum tersandar di dinding rumah anaknya yang terletak berhampiran di situ, tetapi tidak ada yang cedera.

“Mak cik terkejut dan sambil menjerit apabila melihat kenderaan tersebut berpusing menuju ke arah rumah mak cik dan terus merempuh bilik tidur hingga runtuh menyebabkan mak cik bergegas keluar.

“Apabila mak cik keluar ternampak kereta itu merempuh pula bukit dengan kuat sebelum tersandar di rumah anak mak cik dekat situ dalam keadaan kenderaan yang remuk sama sekali,” katanya.

Beliau berkata, daripada empat lelaki itu, beliau nampak hanya seorang sahaja dipercayai pemandu yang luka di dahi manakala tiga lagi rakan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Che Yam berkata, walaupun rumah beliau terletak berhampiran dengan Jalan Gua Musang - Kuala Krai, tetapi inilah kali pertama kereta terbabas merempuh rumahnya.

“Mak cik belum lagi membaik pulih bilik tidur rumah mak cik yang runtuh itu kerana tidak mampu berbuat demikian dalam masa yang segera ini dan mungkin mengambil masa sedikit kecuali pemilik kereta itu membayar ganti rugi,” katanya.

Beliau juga bersyukur kerana tiga ciciknya yang kerap bermain di halaman rumahnya setiap petang secara kebetulan pada kejadian itu mereka tidak keluar dari rumah dan berkurung di dalam selamat daripada kemalangan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/kereta-terbabas-rempuh-rumah-1.78692



Sunday, August 19, 2012

Ibu bersama 2 anak maut bertembung lori


Inalillahi wainailaihi rojiun

Ahad Ogos 19, 2012
KOTA BHARU: “Saya nak isteri saya balik,” kata Uda Sarimin, 31, suami Maisarah Mohd Ali, 34, yang maut bersama dua anaknya berusia empat dan tujuh tahun dalam nahas ngeri di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Pak Badol, Melor, di sini, semalam.

Kesedihan Uda tidak boleh dibendung lagi kerana beberapa jam sebelum kejadian, ketiga-tiga insan tersayang menghantarnya ke lapangan terbang, malah nahas berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang.


Dalam kejadian jam 9.30 pagi, Maisarah yang memandu Perodua Viva dikatakan gagal memotong kenderaan di depannya sebelum bertembung dengan sebuah lori ais yang datang dari arah bertentangan.

Kemalangan itu mengakibatkan mangsa bersama anaknya, Zakiah Hanim Uda, 4, mati di tempat kejadian manakala anak bongsunya, Rasyidah, 2, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian akibat cedera parah di kepala.


Anak saudaranya, Aisyah Shakilah Mohd Zukri, 7, cedera parah di kepala serta patah kedua-dua kaki dan menerima rawatan Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM. Pemandu lori, Adnan Jusoh, 38, tidak cedera.


Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab Rahim Che Ghani berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Selinsing, Pasir Puteh selepas menghantar suaminya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

“Setiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan cuba memotong kenderaan di depannya tanpa menyedari sebuah lori datang dari arah bertentangan.


“Mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh lori,” katanya.

Katanya, mangsa dan anaknya berusia tujuh tahun maut di tempat kejadian selepas tersepit di kerusi depan, manakala anaknya berusia dua tahun meninggal dunia di hospital dan anak saudaranya cedera parah.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Sementara itu, seorang saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, suami mangsa pulang dari Putrajaya ke Kelantan bersama isteri dan dua anaknya untuk menghantar keluarganya berhari raya dengan kereta sebelum terpaksa pergi ke Johor atas urusan kerja pada hari sama dengan kapal terbang.


“Mereka tiba di kampung jam 2.30 pagi dan tidak tidur sementara menunggu sahur.


“Mangsa bersama dua anak dan seorang anak saudaranya menghantar suami ke lapangan terbang sebelum kemalangan berlaku dalam perjalanan pulang,” katanya.


Dalam pada itu, suasana sedih menyelubungi perkarangan bilik mayat HUSM apabila ahli keluarga terdekat, termasuk Uda, datang menuntut mayat isteri dan dua anaknya pada jam 1 tengah hari.


Uda yang kelihatan lemah dan menangis teresak-esak terpaksa diusung dengan kerusi roda sebelum dipapah dan ditenangkan oleh ahli keluarga.


Usaha media mendapatkan komen Uda gagal selepas dia kelihatan masih terkejut dengan kejadian yang menimpa keluarganya.


Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Azmi Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.02 pagi dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian dengan sebuah jentera dan lima anggota dengan bantuan Bomba Ketereh dan Pasir Puteh.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/articles/2012081900444920120819004449/Article/artikelMA




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my