loading...

Saturday, September 24, 2011

Sempat Telefon Abang



Inalillahi wainailaihi rojiun

PONTIAN - “Bang aku nak ke Johor Bahru. Bang aku kemalangan.”

Itulah kata-kata terakhir seorang pemuda yang sempat membuat panggilan telefon kepada abangnya dan memaklumkan dirinya terlibat dalam kemalangan di Batu 29, Jalan Pontian-Johor Bahru malam kelmarin.

Mangsa, Mohd Izwan Nul Hakim A Kadir, 24, yang tersepit di bahagian pemandu disahkan meninggal dunia sebaik sahaja dikeluarkan dari keretanya.

Bapa mangsa, A. Kadir A. Majid, 67 , berkata, Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik, telefon abangnya, Mohd Aidil, sebelum talian terputus.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa dipercayai gagal mengawal kereta yang dipandunya dan terbabas dan terhumban ke dalam parit.

Mangsa dalam perjalanan ke Terminal Pengangkutan Awam Larkin, Johor Bahru, untuk menjemput rakannya.

Kadir yang ditemui Sinar Harian di rumahnya di Jalan Parit Ibrahim, di sini, berkata, dia tidak menduga kelmarin adalah hari terakhir dia dan Allahyarham berniaga ikan di Pasar Awam Pontian.

“Tiada sebarang perubahan yang ditunjukkan arwah, namun semalam (kelmarin), dia balik ke rumah awal pada pukul 11.30 pagi tidak seperti kebiasaannya.

“Hanya terdapat tiga peniaga ikan Melayu di Pasar Awam Pontian, dan Izwan adalah salah seorang daripadanya, selain saya dan seorang lagi peniaga,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham yang masih bujang dapat beraya bersama kesemua adik beradik kecuali seorang yang berada di Sabah.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, Mohd Yazid Othman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 12.05 malam dan serama enam anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, kereta yang dipandu mangsa remuk di sebelah kanan menyebabkan mangsa tersepit, sebelum disahkan meninggal dunia sebaik sahaja dikeluarkan dari kereta.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pontian untuk dibedah siasat sebelum jenazahnya dituntut ahli keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Parit Ibrahim selepas solat Zohor, semalam.

Sumber: SH

Mengapa Dilarang Mengguna Tayar Toreh dan Tayar Musim Sejuk

24 September 2011, Pihak JPJ menasihati agar "Pemilik kenderaan diminta tidak menggunakan tayar toreh dan tayar musim sejuk kerana ia dilihat antara punca berlaku kemalangan jalan raya di negara ini."

Tayar Musim Sejuk/Salji




Tayar musim sejuk atau tayar salji direka untuk memberikan prestasi yang lebih baik di bawah keadaan suhu rendah, berbanding dengan tayar musim panas. Sebatian bunga tayar biasanya lebih lembut daripada yang digunakan dalam tayar untuk keadaan musim panas, sekali gus memberikan cengkaman yang lebih baik di atas ais dan salji. Sesetengah tayar musim sejuk mempunyai "stad" yang berfungsi untuk menambah cengkaman salji. 

Bagi tayar untuk musim panas, campuran getahnya agak keras berbanding tayar musim salji. penggunaan tayar musim panas pada musim salji akan menyebabkan tayar menjadi keras dan hilang cengkaman jalan. 


Di Malaysia sebilangan pengguna suka memilih tayar musim salji (tayar terpakai). Penggunaan tayar musim sejuk pada cuaca panas seperti di Malaysia, akan menyebabkan tayar tersebut cepat haus dan pancit (meletup) akibat suhu yang tinggi kesan dari geseran dan jenis getah yang lembut. Hal ini juga kerana tayar musim salji direka untuk kelajuan yang sederhana, bukan untuk kelajuan yang tinggi.

Bagi penggunaan tayar musim sejuk ketika hujan pula juga tidak sesuai. Ini kerana fungsi alur bunga pada tayar adalah tidak sama antara tayar musim salji dengan tayar musim hujan. 



Corak pada tayar seperti gambar di atas adalah untuk membantu pengaliran air keluar dari tayar untuk membantu cengkaman jalan.




Tayar Toreh



Tayar toreh ialah tayar yang sudah botak dan ditoreh semula. Cengkaman bunga tayar yang ditoreh adalah kurang dan mudah menyebabkan kenderaan hilang kawalan terutama dalam cuaca hujan. Selain itu ketebalan tayar juga adalah nipis dan ini akan menyebabkan tayar kereta anda pancit (meletup) apabila terlanggar objek-objek keras. Penggunaan tayar toreh boleh menyebabkan tindakan saman sehingga RM300 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


 Sumber:
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/9/24/mstar_berita/20110924140609&sec=mstar_berita
http://www2.kpdnkk.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=13939&Itemid=460
http://teganuku.blogspot.com/2010/01/jkjr-operasi-tayar-toreh-bulan-ini.html
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_03.htm
http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0801&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm
http://www.classicandperformancecar.com/features/theknowledge/214260/winter_tyres.html
http://www.discounttire.com/dtcs/winterAllSeason.dos

http://www.saabhistory.com/2009/01/20/the-winter-setup-true-directional-snow-tires/

Kemalangan Maut Dua Pekerja Pasaraya Tesco Rawang

 
IPOH, 23 Sept (Bernama) -- Dua pekerja pasar raya Tesco cawangan Rawang, Selangor terbunuh selepas motosikal yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah lori di Km 360.2 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tanjung Malim Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Supt Osman Nayan berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu ialah penunggang motosikal Enthyran a/l Murthi, 21, dan pemboncengnya Sakinah Yusof, 20.

Enthyran yang berasal dari Rawang, manakala Sakinah dari Bercham di sini mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Tanjung Malim untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kejadian berlaku apabila motosikal mereka dari Rawang ke Ipoh merempuh belakang sebuah lori yang diletakkan di tepi lorong kecemasan.

Ketika kejadian mereka dalam perjalanan ke rumah Sakinah di Bercham, katanya.

Osman berkata lori berkenaan dikatakan diletakkan kerana kedua-dua tayarnya pancit, kata Osman.

Polis sedang menyiasat kes itu.

Dalam kejadian lain, seorang penumpang kereta terbunuh manakala pemandunya cedera selepas terbabas dan merempuh penghadang jalan di KM 384.3 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Slim River malam semalam.

Osman berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 7 malam dikenali sebagai Ng Soon Hee, 41, yang mengalami cedera parah di perut akibat tertusuk besi penghadang berkenaan.

Mayatnya dihantar ke Hospital Tanjung Malim untuk bedah siasat manakala pemandu kereta berkenaan Chew Tsu Teik hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital yang sama.
-- BERNAMA

Sumber: BERNAMA

Friday, September 23, 2011

Pemandu Lamborghini Nyaris Maut



KUALA LUMPUR: Seorang pemandu nyaris maut apabila kereta Lamborghini miliknya berasap sebelum terbakar di Jalan Beringin, Bukit Damansara di sini pagi tadi.

Dia yang berusia dalam lingkungan 30-an sempat memberhentikan keretanya di tepi jalan sebaik menyedari keretanya berasap di bahagian belakang.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas, Shahrul Azizi berkata pihaknya menerima panggilan daripada mangsa kira-kira 11.50 pagi mengenai kejadian itu dan tiba tujuh minit kemudian.

Beliau berkata sebuah jentera beserta tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati kira-kira 50 peratus daripada kereta itu sedang terbakar.


Anggota bomba mengambil masa hanya beberapa minit untuk memadam api, katanya. - Bernama

Sumber: myMetro

Pelajar Pertaruh Nyawa Ke Sekolah


SEREMBAN: Kira-kira 1,000 murid Sekolah Kebangsaan Gadong Jaya, Labu, di sini, bertarung nyawa hampir setiap hari dengan melintas jalan raya di depan sekolah berkenaan yang menjadi laluan pelbagai kenderaan termasuk dipandu laju.

Selain itu, tiada elemen keselamatan disediakan seperti lampu isyarat, bonggol atau kehadiran warden trafik sekolah bagi memastikan murid melintas jalan dengan selamat.


Tinjauan Metroplus mendapati keadaan jalan itu amat sibuk terutama pada waktu tengah hari selain ada pengguna yang memandu laju berikutan jalannya menuruni bukit. Pemandu bas, Kamarudin Jani, 58, berkata jalan raya yang sibuk membahayakan keselamatan murid dan kenderaan dipandu laju seolah-olah tidak menghiraukan mereka yang melintas jalan.

Menurutnya, lokasi sekolah yang berdekatan jalan mewujudkan keadaan bahaya.


“Kami berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera termasuk melihat sendiri suasana di kawasan ini.


“Kadangkala saya dan penduduk lain termasuk pengawal keselamatan membantu mengawal lalu lintas di situ. Namun, ia hanya langkah jangka pendek kerana ibu bapa mahu jaminan keselamatan lebih baik,” katanya.

Bagi bapa, Amirudin Md Zain, 42, walaupun garisan mengurangkan kelajuan dibuat di jalan itu, tetapi ia belum dapat menyedarkan pengguna supaya memperlahankan kenderaan terutama ketika menuruni bukit.


“Masalah ini sudah beberapa kali diajukan kepada pihak bertanggungjawab supaya melakukan sesuatu, namun permohonan itu diibaratkan umpama mencurah air ke daun keladi.

“Kami yang berada di kawasan berhampiran sekolah ini berasa takut untuk melintas jalan apatah lagi kanak-kanak kecil atau murid yang setiap hari terpaksa menggadai nyawa,” katanya.


Menurut beliau, pihak berkaitan perlu memandang serius perkara itu kerana ia membabitkan nyawa murid sekolah terbabit dan pengguna lain.


“Saya mencadangkan supaya bonggol jalan dibina di kedua-dua arah jalan berkenaan termasuk mempercepatkan pembinaan lampu isyarat atau jejantas di depan sekolah terbabit,” katanya.

Sumber: myMetro

Tiga Beranak Maut Dalam nahas


Inalillahi wainailaihi rojiun

ROMPIN: Tiga beranak yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu, maut dalam keadaan mengerikan selepas tersepit apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Frontier dinaiki bertembung dengan Toyota Hilux sebelum merempuh bas Ekspres Transnasional, di Kilometer 117.1, Jalan Kuantan-Segamat, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, mangsa yang maut ialah pemandu, Siti Khatijah Muhammad, 46, penumpang hadapan yang juga ibu Siti Khatijah, Fatimah Abd Rahman, 65, yang berasal dari Kampung Laklok, dekat Besut, Terengganu. Kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala.


Anak Siti Khatijah, Nor Natasha Alias, 14, yang duduk di tempat duduk belakang pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah (HMS) di sini, akibat kecederaan sama.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan dipandu Siti Khatijah dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Segamat dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan Toyota Hilux dari arah bertentangan.


Menurutnya, akibat pertembungan itu, kenderaan mangsa berpusing sebelum merempuh bas Ekspres Transnasional yang berada di belakang Toyota Hilux itu.


Katanya, berikutan rempuhan kuat itu, tiga beranak terbabit tersepit dalam kenderaan sebelum dikeluarkan orang awam serta anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah.

“Bagaimanapun, Nor Natasha yang dikejarkan orang awam ke HMS disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat kecederaan di kepala.


“Pada masa sama, pemandu bas bersama 24 penumpang yang dalam perjalanan ke Segamat dari Kuantan serta pemandu Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan sudah membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, siasatan turut mendapati, ketika kejadian, cuaca agak gelap dan permukaan jalan basah akibat hujan lebat.


Katanya, mayat mangsa dituntut ahli keluarga mereka selepas bedah siasat selesai di HMS, malam kelmarin.


Johari berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: myMetro

Maut Dihadapan Anak



Inalillahi wainailaihi rojiun

ALOR SETAR: “Abah..abah..abah...” Begitu tangisan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun sambil jari dituding ke arah mayat bapanya yang maut selepas motosikal dinaiki terbabas ke dalam parit di Taman Sri Ampang, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa, Zulfadly Hafiz Abu Bakar, 28, meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal yang dinaiki bersama anak sulungnya, Nur Hidayah, hilang kawalan sebelum terbabas.


Kelakuan pelik kanak-kanak itu menarik perhatian orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum mereka menemui mayat Zulfadly yang dihempap motosikal ditungganginya di dalam parit.

Difahamkan, Zulfadly dan anaknya itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Samudra untuk menjemput isterinya, Norhafizah Zakaria, 22, yang bekerja di sebuah pusat beli belah di Jalan Teluk Wanjah, di sini.


Ketua Trafik Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, mangsa mati serta-merta akibat cedera parah pada kepala dan badan, manakala Nur Hidayah cedera ringan.


“Kebetulan tiada saksi melihat kejadian dan kemalangan itu hanya disedari selepas orang awam yang kebetulan lalu di situ terlihat seorang kanan-kanak perempuan menangis di tepi jalan berdekatan parit itu.

“Mereka Orang awam yang menjumpai kanak-kanak perempuan itu merasa pelik kerana mereka tidak menyaksikan kejadian, tambahan pula motosikal dan mayat mangsa yang sudah terperosok ke dalam parit tidak kelihatan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Difahamkan, saksi yang juga rakan mangsa kemudian membawa Nur Hidayah pulang ke rumah datuknya di Taman Seri Abadi yang terletak berhampiran.

Bapa mangsa, Abu Bakar Othman, 51, berkata, dia terkejut apabila tiba-tiba rakan Zulfadly datang ke rumahnya pada jam 8 malam kelmarin membawa cucunya.


“Saya pelik kenapa dia pula yang bawa cucu saya. Namun, saya terkejut apabila dimaklumkan Zulfadly terbabit dalam kemalangan dan disuruh pergi lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), malam kelmarin.


Abu Bakar berkata, sebaik tiba di tempat kejadian dia dimaklumkan anaknya itu sudah dibawa ke HSB.


“Tengah hari tadi (kelmarin) arwah makan tengah hari di rumah saya. Dia bersikap seperti biasa, dan saya tidak menyangka itu adalah pertemuan terakhir kami,” katanya.

Sumber: myMetro

Penunggang maut dirempuh van



KUANTAN 22 Sept. - Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal dinaikinya bertembung dengan sebuah van di Kilometer 2 Jalan Bukit Tinggi- anda Baik dekat Bentong, semalam.

Kejadian pada pukul 5 petang itu menyebabkan warga Indonesia yang dikenali sebagai Piano, 27, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Bentong.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata mangsa dan rakannya yang membonceng motosikal itu dalam perjalanan dari arah Janda Baik menuju ke pekan Bukit Tinggi.

"Sampai di tempat kejadian, di sebuah selekoh mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan terjatuh sebelum dirempuh van terbabit dari arah bertentangan," katanya di sini, hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia

Seorang Maut Tiga Cedera


Inalillahi wainailaihi rojiun

HULU SELANGOR - Seorang maut sementara tiga lagi cedera apabila sebuah lori merempuh belakang sebuah treler yang sedang bergerak di Kilometer 422.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah Ipoh sebelum susur Bukit Tagar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa yang juga kelindan lori tersepit dalam lori yang remuk dan tersangkut maut di tempat kejadian.

Siasatan awal polis mendapati, kedua-dua kenderaan dipandu di lorong paling kiri lebuh raya.

Difahamkan, lori yang mengekori itu secara tiba-tiba merempuh treler di hadapannya menyebabkan treler yang membawa muatan 13 tan tepung gandum dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh itu hilang kawalan.

Rempuhan kuat menyebabkan kedua-dua kenderaan berat itu terbabas hampir 100 meter ke laluan paling kanan sebelum merempuh besi pembahagi lebuh raya.

Pemandu lori berkenaan mengalami cedera parah sementara kelindannya, Mahamad Rajidi Ishak, 39, maut di tempat kejadian.

Pemandu treler, Harjan Singh Joginder Singh, 46, bersama anaknya, Namindar Singh, 18, mengalami cedera ringan.

Sebuah jentera terpaksa digunakan bagi menarik lori untuk mengeluarkan mayat yang tersepit.

Anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bahru mengambil masa hampir setengah jam bagi mengeluarkan mayat Mahamad Rajidi.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my