loading...

Thursday, May 2, 2013

Penunggang motosikal maut digilis treler




2 Mei 2013
ALOR PONGSU - Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis dan diseret sebuah treler bersama motosikal yang dinaikinya sejauh hampir 100 meter dari lokasi kejadian di Simpang Lima di sini, petang kelmarin.

Mangsa, M Sharendran, 22, dari Ladang Jin Seng, Bagan Serai, ditemui mati di tempat kejadian dengan keadaan tangannya terputus dan sebahagian tubuhnya hancur setelah digilis tayar belakang sebuah treler yang sedang dalam perjalanan ke Kuala Kurau.

Saksi kejadian dikenali Saiful Mu’azam, 21, berkata, dalam kejadian 5.40 petang itu, dia sedang mengekori motosikal jenis Yamaha 135 LC dinaiki mangsa sebelum terkejut apabila motosikal mangsa bergesel dengan bahagian belakang treler dan seterusnya terjatuh.

“Saya tergamam melihat mangsa jatuh betul-betul di bawah tayar belakang lori itu dan seterusnya digilis dan diseret sejauh 100 meter dari lokasi kejadian bertentangan Balai Polis Simpang Lima, di sini.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya menyaksikan kemalangan menyayat hati sebegini dan kesan geseran tayar dan darah dapat dilihat sepanjang seratus meter dari lokasi kejadian,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian semalam.

Saiful Mu’azam turut menegaskan kejadian kemalangan itu menyebabkan laluan jalan raya dari arah Simpang Lima menghala ke Kuala Kurau mengalami kesesakan selama hampir satu jam.

Tambahnya, lalu lintas pada waktu itu agak sibuk kerana kebanyakan penduduk pulang dari tempat kerja ditambah dengan cuaca hujan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/badan-hancur-digilis-treler-1.156001




Melutut di sisi mayat kekasih




Inalillahi wainailaihi rojiun

2 Mei 2013
GEORGETOWN - Seorang kerani sebuah kilang di Bayan Lepas maut selepas tercampak dari tempat duduk penumpang apabila kereta yang dipandu teman lelakinya terbabas di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Syafrina Aqmar Mohd Rafie, 24, maut serta merta di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan seluruh anggota badan manakala teman lelakinya yang dikenali sebagai Zikri cedera ringan di bahagian kepala.

Difahamkan, Syafrina baru sahaja menerima gaji dan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar membeli belah di sebuah pasar raya di sini.

Dalam kemalangan itu, kereta yang dinaiki pasangan terbabit remuk hingga terkeluar enjin selepas melanggar pembahagi jalan sebelum berpusing dan merempuh sebuah kereta lain.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi tempat kejadian apabila teman lelaki mangsa enggan berganjak dan menangis di samping mayat teman wanitanya.

Teman lelaki mangsa yang ketika itu baru diberikan bantuan awal dilihat berlutut di sisi mayat teman wanitanya.

Lebih memilukan lagi apabila ibu serta ahli keluarga mangsa turut berada di lokasi kejadian dan mereka hanya mampu menangis dan saling berpelukan.

Dalam keadaan menahan kesakitan, teman lelaki mangsa enggan berganjak walaupun diminta ahli keluarga mengikut ambulans untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Bagaimanapun, selepas dipujuk, pemuda terbabit akhirnya dapat menerima hakikat dan kemudian dibawa menjalani rawatan di hospital.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/melutut-di-sisi-mayat-kekasih-1.155990



2 pelajar Unitar parah




2 Mei 2013
ALOR GAJAH - Empat termasuk dua pelajar Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan bertembung di Kilometer 213.5 Lebuhraya Utara - Selatan, arah utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.35 petang itu, van dipandu Khadijah Mohamad, 44, bersama suami, Amjad Javed Ghulam Hussain, 38, hilang kawalan sebelum bertembung dengan kereta jenis Proton Iswara Aeroback dipandu Beatrice Lim Hui Lih, 23, dan rakannya, Yip Lilian, 24.

Van dinaiki pasangan suami isteri itu hilang kawalan dan memasuki kawasan tebing berumput di kiri jalan, namun secara tiba-tiba bergerak menghala ke kanan sebelum masuk ke lorong tengah.

Menurut sumber, kenderaan dinaiki pasangan suami isteri itu dikatakan terhoyong hayang sebelum terbabit kemalangan.

“Van terbabit sudah hilang kawalan beberapa meter dari tempat kejadian. Ketika van berkenaan meluncur masuk ke tengah lebuh raya, muncul kereta dinaiki dua pelajar kolej lalu bertembung," katanya.

Menurutnya, kereta berkenaan kemudian melantun dan terseret ke lorong kecemasan dalam keadaan remuk dan melintang.

“Van itu kemudian berpusing beberapa kali dan terbalik sebelum tersadai di lorong tengah," katanya.

Menurutnya, akibat pertembungan kuat itu, pemandu van berkenaan tersepit di tempat duduk pemandu, manakala suami mangsa berjaya dikeluarkan orang awam.

“Dalam keadaan lalulintas mula perlahan, pemandu kereta dilihat keluar terhenjut-henjut dari kenderaan, bagaimanapun rakannya tersepit di tempat duduk penumpang hadapan sebelum dibantu keluar oleh orang ramai," katanya di sini semalam.

Menurut sumber, dua pelajar terbabit yang berada dalam keadaan sedar cuba menahan sakit, sementara  pemandu van terbabit yang masih tersepit dalam keadaan tergamam dibantu keluar oleh anggota bomba dan penyelamat.

Katanya, mangsa yang parah meraung kesakitan namun terpaksa menunggu ambulans yang tiba di tempat kejadian kira-kira 45 minit selepas itu.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Mohd Asraf Abdullah berkata, seramai 14 anggota membabitkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dan Alor Gajah serta dua Unit Gerak Pantas Bermotosikal bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dan terpaksa menanggalkan pintu van dengan menggunakan peralatan khas.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat sebelum diberikan rawatan awal di tempat kejadian," katanya.

Dalam pada itu, mangsa, Beatrice Lim ketika ditemui berkata, mereka dalam perjalanan pulang ke kolej di Kampar, Perak, selepas menghabiskan cuti hari pekerja di rumah keluarganya di Batu Pahat.

“Saya terkejut apabila van berkenaan dari tebing berumput dengan tiba-tiba pusing dan menghala ke arah kereta saya tanpa saya sempat tekan brek menyebabkan kenderaan kami bertembung secara berdepan,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kereta-bertembung-4-parah-1.155992



Destinasi terakhir



2 Mei 2013
KULAIJAYA - Salah seorang mangsa kemalangan maut R Gita, 42, pernah menghubungi adik ipar dan memberitahu Masai adalah destinasi terakhirnya, sebelum dia bersama empat lagi ahli keluarga kemalangan, semalam.

Dalam kejadian itu, lima sekeluarga maut, manakala seorang lagi cedera parah apabila kenderaan dinaiki enam beranak terbabas di Kilometer 17.9 Lebuhraya Utara-Selatan (menghala utara), kira-kira 750 meter dari susur keluar ke Kulaijaya, am 4 petang.



Mangsa yang maut dikenali P Pavai, 65; dua menantunya, R Selvamani, 46; dan dua cucu, G Vikneswaran, 19 dan A Akash, 7, manakala seorang lagi cucunya, G Vinithaa,16, cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Honda Accord yang dipandu Vikneswaran hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang papan tanda arah.



“Kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Putri, di sini selepas mengunjungi rumah ibadat di Masai. Bagaimanapun, kenderaan mereka terbabas dan melanggar tiang papan tanda arah berhampiran susur masuk ke Kulaijaya.

“Akibat kemalangan itu, empat mangsa mati di tempat kejadian sementara seorang lagi iaitu Pavai meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Hospital Kulaijaya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zulkefly berkata, kesemua yang terbunuh dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulaijaya untuk dibedah siasat, manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

“Polis kini sedang melakukan siasatan bagi menyiasat punca sebenar kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta melaporkannya di mana-mana balai polis berhampiran atau  hubungi cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya di talian 07-6632222,” katanya.

Sementara itu, G Vinesa, 18, yang kehilangannya ibunya (Gita) dan neneknya (Pavai) berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan ibunya kira-kira jam 10 pagi hari ini (semalam) di kediaman mereka di Jalan Kemuliaan, Taman Universiti, Skudai.

“Saya sepatutnya mengikut ibu dan abang (Vikneswaran) ke kuil di Masai kerana pada setiap 1 Mei, ibu akan bersembahyang di situ. Bagaimanapun, saya diajak oleh rakan untuk keluar bersiar sempena cuti umum.

“Ibu tak menunjukkan sebarang perubahan, tetapi minta saya pulang ke rumah lebih awal sebelum mereka semua sampai ke rumah,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat, Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, semalam.

Beliau berkata, adik perempuan kepada ayahnya, M Gunasegaran, 48, yang dikenali M Shanti berusia 40-an ada dihubungi ibunya, Gita yang mengatakan bahawa dia tidak akan pulang ke rumah dan mengatakan Masai merupakan destinasi terakhirnya.

“Tidak sangka, ia menjadi petanda dia bersama ahli yang keluarga pergi buat selama-lamanya dan saya begitu kerana kehilangan lima ahli keluarga serentak,” katanya.

Sumber:

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/5maut_keretabelahtiang/Article/index_html
http://www.sinarharian.com.my/semasa/ungkapan-petanda-maut-1.155995




Tuesday, April 30, 2013

Tiga sekeluarga maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

30 April 2013
KUALA TERENGGANU - Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan di kilometer 27 Jalan Kuala Terengganu - Kuala Berang di Wakaf Tapai kira-kira pukul 3.45 pagi tadi.

Kejadian berlaku apabila kenderaan pelbagai guna dipandu Superintendan Ghazali Daud, 49 yang bertugas di unit Agama dan Kaunseling Bukit Aman terbabas.

Akibat insiden itu, isteri Ghazali yang dikenali sebagai Haniza, 40 tahun serta dua anak pasangan itu Ahmad Firdaus Izzudin, 11 dan Nur Aliah Adibah, 10 maut.

Manakala Ghazali serta lima anak iaitu Ahmad Fahmi Izzudin, 12; Nur Aliah Afifah, 7; Nur Aliah Atikah, 6; Aina Yusro,3 dan Akilah Husna, tujuh bulan cedera.

Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa memberitahu, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Berang, Hulu Terengganu sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk rawatan lanjut. -KOSMO!

Sumber:
http://www.kosmo.com.my/

Ketua Puteri Umno Tenggara cedera




29 April 2013
KOTA TINGGI - Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tenggara, Anita Murad, yang juga kakak kepada pelawak dan pelakon terkenal tanah air, Mamat Sepah, cedera dalam kemalangan di Kilometer 33.6 Jalan Kulaijaya - Kota Tinggi, petang semalam.

Anita, 36, kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurut Mamat, kakaknya yang memandu kenderaan pacuan empat roda bersama dua rakannya, cedera di bahagian kepala dan bahu, namun keadaannya tidak membimbangkan.

Bagaimanapun seorang daripada rakannya yang juga setiausaha Pergerakan Puteri UMNO bahagian Tenggara, Nor Alohan Abd Ghani, 36, cedera parah di bahagian kepala manakala seorang lagi rakannya, Zaliza Mohd Dahan, 35, mengalami kecederaan di bahagian kaki.

“Syukur Alhamdulillah, kakak dan rakannya semuanya selamat, terima kasih kepada petugas Hospital Kota Tinggi (HKT) termasuk jentera BN Tenggara khususnya calon BN bagi Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang banyak membantu dan mengambil berat sepanjang kami berada di bilik kecemasan,” katanya ketika ditemui di HKT di sini, semalam.

Halimah yang tiba di HKT pada kira-kira pukul 6.30 petang meluangkan masa kira-kira sejam untuk melawat dan menghulurkan bantuan kepada mangsa.

“Harapan saya semua pihak akan mendoakan kesejahteraan mangsa," katanya yang ditemui di HKT di sini.

Dalam nahas kira-kira pukul 6 petang itu, difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke Kulaijaya sebaik selesai membantu kempen pilihan raya umum di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Mohd Nor Rasid yang dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Gen2 yang datang dari arah Kulaijaya cuba memotong sebuah kenderaan namun gagal sebelum bergesel dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat pergeseran, kereta Gen2 itu berpusing dan terhenti di tengah jalan sebelum dirempuh oleh mangsa yang gagal mengelak dam melanggar penghadang jalan.

"Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke HKT untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Pakar Jalan Abdul Samad, Johor Bahru,” katanya. - Bernama




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my