loading...

Saturday, September 20, 2014

Ketua Penerangan Pemuda PAS N Sembilan Maut

Kemalangan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan
Inalillahi wainailaihi rojiun
20 September 2014
PENGKALAN KUBOR: Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan Safrizal Tarmizan, 31, dan ibunya meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 106.2 Jalan Kuala Krai- Gua Musang dekat sini, ketika pulang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, awal pagi Sabtu.

Safrizal Tarmizan, 31, dan ibunya meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 106.2 Jalan Kuala Krai- Gua Musang

Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan Norazman Mohamad yang mengesahkan kejadian itu berkata, dalam kemalangan pada pukul 1 pagi itu, Safrizal dan ibunya, Asmita Lukman , 56, maut di tempat kejadian manakala isterinya Nor Izatil Aqmar Mat Lazim, 28, serta anak mereka Umar Al Fateh, 3 bulan, cedera parah.

"Safrizal dan ibunya meninggal dunia. Isterinya mengalami kecederaan dan anaknya difahamkan mengalami pendarahan otak.

"Kedua-dua mereka kini dirawat di Hospital Kuala Krai, manakala jenazah Safrizal dan ibunya dibedah siasat di hospital sama sebelum dituntut keluarga," katanya ketika dihubungi mStar Online, Sabtu.

Norazman memberitahu, jenazah Safrizal dan ibunya akan dibawa pulang dan dikebumikan di Makam Sheikh Mohd Said, Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, jelasnya, Safrizal berada di Kelantan dengan dua tujuan iaitu untuk berkempen di Pengkalan Kubor dan untuk mengambil isteri, anak dan ibunya yang  berada di Kota Bharu sebelum pulang ke rumah mereka di Seremban.

"Pada Khamis beliau pergi ke Pengkalan Kubor untuk membantu jentera di sana berkempen sebelum mengambil isteri, ibu dan anak untuk pulang ke Seremban pada Jumaat malam," ujarnya.

Katanya, Safrizal yang merupakan bekas pelajar Universiti Al-Azhar sempat menyatakan harapannya untuk melihat PAS menang di Pengkalan Kubor bagi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap parti itu.

Allahyarham juga disifatkan sebagai seorang yang ceria dan boleh dibawa berbincang.

Sumber:
http://www.mstar.com.my/berita/berita-jenayah/2014/09/20/pemuda-kemalangan/
http://m.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/30977-takziah-buat-keluarga-ustaz-safrizal-tarmizan



Thursday, September 18, 2014

Pemandu maut lori terbalik


18 September 2014
BENTONG - Seorang pemandu lori muatan besi buangan maut dalam kemalangan di Kilometer 14.5 Jalan Genting Hinghland kira-kira jam 6.10 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohd Mansor Mohamad Nor berkata, ketika kejadian, mangsa K Veloo bersama seorang kelindan, Dhanis, 25, dalam perjalanan dari Genting Highland menuju ke Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal mendapati, mangsa gagal mengawal kenderaannya di lokasi kejadian mengakibatkan lori itu terbabas ke kanan dan melanggar pembahagi jalan lalu terbalik.

“Kelindan lori terbabit bagaimanapun berjaya melompat keluar dari kenderaan semasa lori terbabit melanggar pembahagi jalan,” katanya.

Katanya, lori terbabit kemudiannya terbalik ke lorong sebelah kanan mengakibatkan pemandu lori tersepit.

“Pemandu lori meninggal dunia di tempat kejadian manakala kelindan yang sempat menyelamatkan diri itu hanya mengalami kecederaan ringan di kaki,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya lagi, berdasarkan siasatan awal juga mendapati ketika kejadian lokasi kejadian merupakan jalan berselekoh menurun bukit dari Genting Highland manakala permukaan jalan kering dan juga cuaca cerah.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/pemandu-maut-tersepit-lori-terbalik-1.317797




Pembantu makmal maut digilis treler



18 September 2014
BANDAR KLANG - Seorang pembantu makmal di sebuah syarikat swasta di Shah Alam maut selepas digilis sebuah treler di Jalan Persiaran Sultan Ibrahim, semalam.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam merangkap Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7.45 pagi ketika mangsa, Muhammad Hafiz Mohammed Nasir, 18, menunggang motosikal bersendirian dari arah Klang menghala Shah Alam.

“Motosikal mangsa dipercayai dilanggar treler yang juga dari arah sama.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa terjatuh lalu digilis kenderaan berat itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang parah di bahagian kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

“Tiada saksi bebas tampil memberi keterangan dan siasatan diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu treler berusia 34 tahun itu turut ditahan bagi menjalani ujian saringan awal air kencing.

Zawary berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pembantu-makmal-maut-digilis-treler-1.317724

Wednesday, September 17, 2014

2 Maut 6 Cedera


18 September 2014
Sibu: Dua lelaki maut manakala enam cedera apabila sebuah kereta bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di Jalan Sibu Tanjung Manis, tengah hari tadi.

Kemalangan berlaku pada jam 12.30 tengah hari mengorbankan Lu Ding Sing, 59, dari Bintangor, manakala seorang lagi dipercayai warga Indonesia tidak mempunyai pengenalan diri.

Jurucakap Bomba Sungai Merah Sibu ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Siasatan awal mendapati, kenderaan dinaiki mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Sibu manakala, Toyota Hilux menghala arah bertentangan.

Kedua–dua mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.

Sementara itu, enam lelaki termasuk pemandu yang berada di dalam pacuan empat roda hanya mengalami kecederaan ringan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sibu untuk bedah siasat dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Duamaut_enamcederakeretabertembungdiSibu/Article?mutakhir

Poster kemalangan jalan raya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my