loading...

Saturday, June 29, 2013

Ibu mengandung nyaris maut dalam pertembungan

Pertembungan kereta jenis Perodua Kelisa dengan sebuah kereta lain jenis Honda Civic di Jalan Taiping


30 Jun 2013
PARIT BUNTAR - Pertembungan kereta jenis Perodua Kelisa dengan sebuah kereta lain jenis Honda Civic di Jalan Taiping, di sini, malam kelmarin, nyaris membawa maut kepada seorang wanita yang sedang mengandung empat bulan.

Kemalangan kereta Perodua Kelisa dengan sebuah kereta  Honda Civic di Jalan Taiping


Kejadian berlaku kira-kira jam 8.50 malam dan mangsa berusia 30-an menaiki kereta berkenaan bersama seorang rakan perempuan serta anak lelakinya yang baru berusia tiga tahun.

Menurut jurucakap bomba, berdasarkan maklumat awam, kereta jenis Perodua Kelisa dinaiki mangsa dalam perjalanan dari pekan Parit Buntar menuju ke Changkat, Nibong Tebal telah dirempuh kereta jenis Honda Civic dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.

Difahamkan, kereta dinaiki lelaki terbabit dipercayai dipandu secara laju dan hilang kawalan di persimpangan bertingkat Parit Buntar lalu berpusing beberapa kali serta melanggar pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta dinaiki mangsa.

"Kereta dinaiki mangsa dirempuh di bahagian tempat duduk pemandu dan kedua-dua kereta terbabit terhenti pada jarak kira-kira 10 meter dari kawasan pelanggaran.

"Kejadian turut menyebabkan kereta dipandu lelaki terbabit yang dalam perjalanan dari Pekan Lama Parit Buntar ke Kuala Gula rosak teruk dan terbalik," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, jurucakap polis memaklumkan, setibanya di tempat kejadian polis mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam manakala rakan serta anak lelaki mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan.

Menurutnya, mangsa yang disyaki patah kaki juga dikejarkan ke hospital sama bersama lelaki yang merupakan pamandu kereta jenis Honda Civic terbabit.

"Rakan dan anak lelaki mangsa tidak mengalami kecederaan, manakala lelaki terbabit cedera ringan pada muka.
Berikutan kejadian, lalu lintas di Jalan Taiping dari arah Pusat Bandar Parit Buntar menghala pekan lama mengalami kesesakan selama dua jam kerana persimpangan laluan bertingkat terpaksa ditutup sementara.

"Laluan berkenaan dibuka kembali seperti biasa kira-kira jam 11 malam, selepas kedua-dua kereta terbabit dialihkan menggunakan trak penunda," katanya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/ibu-mengandung-rakan-anak-nyaris-maut-1.177317




Maut detik 12.20 tengah hari

Kejadian berlaku apabila motosikal jenis Honda Wave 125cc ditunggang Haidir dalam perjalanan dari Ipoh ke Bagan Serai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan.

Inalillahi wainailaihi rojiun

30 Jun 2013
KUALA KANGSAR - Detik 12.20 tengah hari seumpama menjadi satu misteri apabila dua kemalangan maut berlaku pada waktu itu, di kawasan sama pada hari berbeza.

Dalam kejadian terkini, seorang lelaki maut manakala seorang parah apabila motosikal yang mereka naiki terbabas di Kilometer (KM) 257.7 Lebuhraya Utara Selatan, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Mohammad memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 12.20 tengah hari dan penunggang motosikal, Haidir Bakar, 20 maut di tempat kejadian.

Menurutnya, dalam kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala setelah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggangnya terbabas ke kiri jalan dan turut menyebabkan pembonceng motosikal terbabit, Mohd Fikri Mad Said, 21 parah.

"Hasil siasatan, polis mendapati mangsa merupakan seorang pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan semasa kejadian dia dalam perjalanan dari Ipoh ke Bagan Serai. Pembonceng yang cedera parah dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan.

"Mangsa yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) dan menetap di Parit Gabis, Bagan Serai, Perak tidak dapat mengawal kenderaan sewaktu tiba di tempat kejadian dan telah terbabas ke kiri jalan," katanya.

Abdul Gaffar berkata, kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam kes sebelum ini, seorang lelaki, Su Wai a/l Nai Perm, 33 maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ke sebelah kiri jalan di KM 258 Lebuhraya Utara-Selatan, Rabu lalu.

Perkara yang menghairankan adalah waktu kejadian dan kawasan adalah sama dengan kejadian kelmarin dan kedua-dua mangsa terbabit disahkan meninggal dunia kerana kecederaan parah di kepala.

Kedua-dua mangsa merupakan penunggang motosikal dan membawa pembonceng pada masa kejadian.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/misteri-12-20-tengah-hari-1.177221
hmetro.com.my/articles/PelajarOKUmaut/MA/Article



Friday, June 28, 2013

Maut Kelisa bertembung lori



29 Jun 2013
MANJUNG - Seorang wanita maut apabila kereta yang dinaikinya bertembung sebuah lori di Batu 15 Lekir, Kayan di sini kira-kira jam 11.10 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, kejadian itu berlaku apabila kereta jenis Kelisa yang dinaiki mangsa dari arah Sitiawan menuju ke Teluk Intan cuba memotong sebuah lori di hadapan mereka.

Menurutnya, pemandu Kelisa tidak berjaya memotong lori berkenaan lalu bertembung dengan sebuah lori lain yang datang dari arah bertentangan.

“Akibatnya, pemandu Kelisa mengalami cedera parah dan tersepit di bahagian pemandu, penumpang yang dikenali sebagai Chua Soh Pioh, 23, maut di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak cedera.

"Mangsa dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kereta-bertembung-lori-1.177004



Parah dirempuh dari belakang


29 Jun 2013
KULIM - Hasrat seorang lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berusia 50 tahun untuk menjalankan tugasnya di sebuah kilang tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan, kira-kira jam 2 pagi kelmarin.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss datang dari arah lampu isyarat Taman Selasih menuju ke Keladi.

Bagaimanapun apabila tiba di kawasan perindustrian ringan Taman Selasih, mangsa membelok masuk ke lorong sebelah kanan mengakibatkan motosikal jenis Honda EX5 yang berada di belakangnya merempuh mangsa.

Akibat rempuhan kuat, mangsa tercampak ke tepi jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kanan.

Difahamkan, apabila mendapati orang ramai mula mengerumuni tempat kejadian, dalam keadaan berlumuran darah mangsa tetap cuba bangun dan menolak motosikalnya ke kawasan kilang tempatnya bekerja yang  terletak berhampiran lokasi insiden tersebut.

Polis dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Balai Polis Kulim kemudiannya menghubungi Hospital Kulim untuk mendapatkan bantuan ambulans, manakala kedua-dua mangsa terlibat dihantar ke hospital untuk menerima rawatan dan keadaan mereka dikatakan stabil.

Seorang lagi mangsa dikatakan hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh menasihatkan penunggang motosikal supaya menggunakan lampu isyarat motosikal mereka  sekiranya mahu membelok.

Menurutnya, kegagalan mereka berbuat demikian boleh mengakibatkan motosikal ditunggang boleh dirempuh oleh kenderaan yang datang dari belakang atau hadapan.

“Kelalaian seperti ini yang menyumbang kepada kemalangan maut, penunggang motosikal harus peka dan jangan cuai ketika menunggang motosikal. Sesaat kecuaian mereka lakukan boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/parah-dirempuh-dari-belakang-1.177087




Thursday, June 27, 2013

Mekanik maut terbabas motosikal



27 Jun 2013
KUALA KANGSAR - Seorang lelaki maut manakala seorang perempuan parah apabila motosikal mereka terbabas di Kilometer 258 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, penunggang motosikal, Su Wai A/L Nai Perm, 33, maut di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala setelah motosikalnya terbabas ke kiri jalan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Mohammad berkata, tayar hadapan motosikal tersebut pancit dan dipercayai menjadi punca kenderaan tersebut gagal dikawal lalu terbabas.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa dalam perjalanan dari Bukit Mertajam ke Kajang dan sebaik tiba di tempat kejadian, tayar hadapan motosikal terbabit pancit lalu terbabas ke kiri jalan.

“Penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan pembonceng wanita parah. Dia dibawa ke Hospital Ipoh untuk menerima rawatan,” katanya.

Mangsa yang maut, Su Wai yang bekerja sebagai mekanik merupakan seorang lelaki berketurunan Siam dan tinggal di Kampung Sardun Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Manakala, mangsa yang cedera, Norsalmiza Md Rabiwdn, 29, tinggal di Kampung Jenderam Hilir, Dengkil, Selangor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/mekanik-maut-kemalangan-1.176482



Pemandu Lori maut, anak cedera



Inalillahi wainailaihi rojiun

27 Jun 2013
JELAPANG – Seorang pemandu lori maut manakala anaknya cedera ringan selepas kenderaan yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori membawa muatan plaster siling di Kilometer 264.5, Lebuhraya Utara – Selatan arah Kuala Lumpur di sini, kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, Md Rajab Ismail, 56, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di badan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, dalam kejadian itu, anak mangsa, Saiful Bahari, 21 yang juga kelindan lori terbabit cedera ringan.

Kemalangan itu berlaku di lorong perlahan (kiri) dan semasa kejadian, kawasan persekitaran gelap tanpa lampu serta cuaca baik dan aliran trafik tidak sibuk.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan anak mangsa juga menerima rawatan di hospital sama,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pemandu lori muatan plaster siling, Ooi Chin Chua, 59, ketika ditemui berkata, lori mangsa merempuh bahagian belakang lorinya ketika menuruni bukit di laluan berkenaan.

Menurutnya, lori yang dipandu mangsa mungkin mengalami masalah brek dan menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaan tersebut lalu merempuh kenderaan di hadapannya.

“Saya terpaksa mengawal kenderaan saya dan perlahan-lahan berhenti di tepi jalan selepas secara tiba-tiba mendengar bunyi dentuman kuat dari bahagian belakang.

“Saya bernasib baik kerana dapat kawal kenderaan, Kalau saya tak dapat kawal, mungkin keadaan saya pun akan jadi teruk juga,” katanya kepada Sinar Harian di tempat kejadian, malam kelmarin.

Chin Chua yang tidak mengalami sebarang kecederaan dalam perjalanan dari Bukit Kayu Hitam ke Johor dan lorinya membawa muatan plaster siling.

Dalam pada itu, lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh mengambil masa hampir 25 minit sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang sudah disahkan meninggal dunia sebelum dikeluarkan.

Menurut Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Faizal Abdul Rahman, Bomba terpaksa menggunakan beberapa peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.

“Mangsa tersepit agak teruk kerana impak perlanggaran yang kuat dengan kenderaan di hadapan. Kita terpaksa menggunakan alat pemotong dan alat lain untuk keluarkan mangsa.

“Walaupun sukar, kita berjaya juga mengeluarkan mangsa namun mangsa sudah meninggal dunia sewaktu kami cuba mengeluarkkan badannya,” ujarnya.

Kemalangan malam kelmarin itu menyebabkan kesesakan jalan sepanjang hampir dua kilometer dari arah Kuala Kangsar menghala ke Ipoh.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/bapa-maut-anak-cedera-1.176463



Pensyarah UiTM maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

27 Jun 2013
TERACHI – Seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Negeri Sembilan maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya bergesel dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, lalu terjatuh dan diseret beberapa meter di Kilometer 28.5 Jalan Seremban - Kuala Pilah, dekat sini, semalam.

Kawasaki Versys 650 terbakar dalam kemalangan

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu turut menyebabkan mangsa, Dr. Abd Aziz Sabran, 35, dari Fakulti Pertanian dan Agroteknologi, Kampus UiTM Kuala Pilah, melecur teruk apabila motosikal jenis Kawasaki 250 cc terbakar akibat tangki petrol pecah.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Nilai dan melalui Seremban untuk ke tempat kerjanya di UiTM Beting, dekat sini.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapannya dengan memasuki laluan bertentangan lalu bergesel dengan sebuah Toyota Hilux dari arah bertentangan.

"Pemandu Hilux berusia 57 tahun itu bagaimanapun tidak sempat mengelak motosikal mangsa sehingga menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh dan terseret atas jalan raya beberapa meter dan terbakar," katanya.

Menurutnya, Dr Abd Aziz mengalami kecederaan di pipi, dada dan peha akibat disambar api sebelum anggota bomba tiba memadamkan kebaka-ran. Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini untuk dibedah siasat dan kes ini disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, pemandu pacuan empat roda berkenaan dalam perjalanan dari arah Perkampungan Orang Asli Langkap menuju ke Klinik Kesihatan Terachi untuk menghantar anak perempuannya ke tempat kerja.

"Pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, penumpang Hilux, Rosliani Singgah, 26, berkata, sebelum kejadian, dia ternampak motosikal ditunggang mangsa meluru laju dan memotong kenderaan di hadapannya.

Bagaimanapun, katanya, motosikal mangsa kemudian bergesel dengan kenderaan dipandu bapanya, Firdaus Singgah Sulim Abdullah, 57.

"Ayah memang tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa. Motosikal mangsa terseret beberapa meter. Saya nampak percikan api pada motosikal mangsa sebelum ia terbakar," katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Jamaliah Samsudin, 52, yang tinggal berdekatan kawasan kejadian berkata, dia terkejut terdengar dentuman kuat sebanyak dua kali di luar rumanya, sebelum melihat seorang penunggang motosikal terbaring.

"Saya terkejut melihat mangsa terbaring atas jalan raya. Motosikalnya terbakar dan api menyambar muka, badan dan peha mangsa. Waktu itu, saya lihat mangsa sudah tidak bergerak lagi, mungkin sudah meninggal dunia, sebelum anggota bomba tiba membantu memadamkan api," katanya.

Dalam pada itu, rakan mangsa, Baharin Kasim, 34, berkata, Allahyarham Dr Abd Aziz dijadualkan akan berpindah ke Melaka, Januari tahun depan.

"Memang arwah sibuk membuat persiapan untuk pindah ke Melaka. Kami kenal arwah sejak tiga tahun lalu dan dia seorang baik. Keluarganya juga saya kenal dan kini isterinya sedang mengandung anak keempat," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pensyarah-uitm-maut-nahas-1.176388
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm




Wednesday, June 26, 2013

4 maut kemalangan


26 Jun 2013
Pendang: Empat terbunuh manakala dua lagi parah dalam dua kemalangan di Lahar Tunjung, Kubur Panjang di sini, semalam dan kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8 malam kelmarin, dua beradik yang dalam perjalanan pulang ke rumah dari FELDA Sungai Tiang, meninggal dunia selepas motosikal mereka naiki bertembung dengan sebuah motosikal lain.

Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asisten Superintendan L Pubadi, berkata Mohd Rafis Mat Safar, 31, dan kakaknya, Zaiton, 48, yang cedera di kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Anak Zaiton, Ahmad Solihin Ridzuan, 8, cedera parah dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Penunggang sebuah lagi motosikal, Suhaimi Tajudin, 26, cedera parah dan dirawat di hospital sama.

Dua beradik itu dalam perjalanan ke rumah Zaiton di Kampung Paya Kerchut, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian selepas pulang dari rumah adik beradik mereka, Siti Zaleha, 35, di FELDA Sungai Tiang.

Parah di kepala, badan 

Difahamkan, mereka merancang untuk makan malam bersama adik beradik yang lain di rumah Zaiton.

“Kami masih menyiasat punca kemalangan itu,” katanya di sini, semalam.


Dalam kemalangan kedua kira-kira jam 10.40 pagi semalam, dua beradik perempuan maut selepas PERODUA Kancil mereka naiki bertembung dengan lori tiga tan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Tiang.

Pemandu kereta, Hong Jian Tan Pett, 41, dan kakaknya, Kim Sin Din Sooi, 57, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

Pubadi berkata, siasatan awal mendapati PERODUA Kancil yang dalam perjalanan dari Sungai Tiang ke Kubur Panjang dipercayai memasuki laluan hingga menyebabkan berlaku pertembungan dengan lori.

"Mangsa yang tersepit di tempat duduk, dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke HSB untuk bedah siasat.

Pemandu lori berusia 26 tahun yang berasal dari Klang, Selangor, sudah membuat laporan dan memberi keterangan kepada polis.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

Orang ramai yang menyaksikan kedua-dua kemalangan itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang di talian 04-7596222 bagi membantu siasatan.


Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/4mautnahasmotosikal_kereta/Article/index_html




Warga emas maut rempuh van penjara

26 Jun 2013
KUANTAN: Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar van milik Jabatan Penjara Malaysia, ketika dia keluar dari simpang di Jalan Felda Mempaga menghala Cinta Manis, dekat Bentong, semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata nahas berlaku jam 2.30 petang.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa Othman Anag, 72, yang keluar secara tiba-tiba dari simpang berkenaan dan terlanggar bahagian hadapan van yang dalam perjalanan dari Penjara Bentong ke Penjara Kajang, Selangor, katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohamed Fauzi, mangsa yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Kesihatan Kecil Felda Mempaga.
- BERNAMA

Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/Wargaemasmautselepasmotosikalrempuhvanpenjara/Article/?bh



Dua remaja maut terperosok bawah lori



26 Jun 2013
PARIT BUNTAR - Keterujaan enam remaja meronda kampung dengan menunggang motosikal bertukar tragedi apabila dua daripadanya maut setelah terperosok di bawah sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 2, Jalan Sungai Kota-Tanjung Piandang di sini, semalam.

Dalam kejadian lebih kurang jam 12 tengah malam itu, mangsa, Mohd Amirul Ismail, 18, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss bersama seorang lagi mangsa, Munhaimin Mazlan, 16, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bagan Utara, Tanjung Piandang setelah selesai mengelilingi kawasan Sungai Bakau bersama empat rakan lain.

Saksi, Mohd Fahmi Ahmad Fauzi, 16, berkata, ketika itu, motosikal ditunggang kedua-dua mangsa berada di belakang motosikal ditunggangnya dan sebuah motosikal lain sebelum Mohd Amirul dilihat memalingkan kepalanya ke belakang.

“Saya sempat melihat Mohd Amirul memalingkan kepalanya ke belakang seolah-olah melihat sesuatu, sedangkan saya mendapati tiada kenderaan di belakangnya.

“Sejurus selepas itu, tiba-tiba saya mendengar bunyi dentuman kuat dan mendapati Mohd Amirul serta Muhaimin kemalangan, tubuh kedua-dua mereka terperosok di bawah sebuah lori pegun,” katanya.

Mohd Fahmi berkata, dia bersama tiga rakan lain segera berpatah balik ke lokasi kejadian dan mendapati kedua-dua mangsa sudah tidak bergerak atau bernafas.

“Kami mendapati kedua-dua mangsa cedera di kepala dan badan selain melihat darah mengalir di tengah jalan.

“Kami yakin Mohd Amirul tidak menyedari kewujudan lori yang diletakkan di bahu jalan kerana dia memalingkan kepala ke belakang dalam jarak yang jauh,” katanya.

Mohd Fahmi berkata, sebelum kejadian, mereka melepak di sebuah pondok di rumah Mohd Amirul lebih kurang jam 11 malam sebelum mangsa mengajak untuk meronda kampung.

Sementara itu, adik Mohd Amirul, Mohd Samsul Ismail, 14, berkata, sebelum kejadian berlaku, dia dan arwah melepak bersama rakan lain di sebuah pondok di rumahnya.

Jelasnya, Mohd Amirul yang bekerja sebagai pemandu lori kemudian bersikap luar biasa apabila bersungguh-sungguh mengajak rakannya meronda kampung.

“Saya tidak sangka keterujaan abang untuk keluar meronda bersama rakannya merupakan saat terakhir bersama kami’,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Mat Fauzi Nayan mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa  menyertai konvoi bermotosikal bersama empat rakan lain sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan.

“Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. Polis mengesyaki mangsa tidak menyedari kewujudan sebuah lori,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/dua-remaja-maut-bawah-lori-1.175901



Tuesday, June 25, 2013

Kejar pencuri



26 Jun 2013
KUALA TERENGGANU - Walaupun dalam keadaan basah kuyup, dua remaja nekad mengejar seorang lelaki selepas cuba melarikan telefon bimbit mereka semasa sedang mandi-manda di Sungai Kampung Banggol Peradong, Manir, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, kedua-dua remaja, Alif Adam, 17, dan sepupunya, Iskandar Dzulqarnain Abdullah, 15, tidak bernasib baik kerana motosikal mereka bertembung dengan sebuah kereta yang muncul mengejut semasa tiba di jalan Kampung Banggol Peradong, Manir, di sini.

Berikutan kejadian itu, Alif yang juga penunggang motosikal cedera parah dan tidak sedarkan diri kerana dipercayai melambung ke arah cermin kereta, manakala Iskandar Dzulqarnain hanya cedera di mata.

Menurut sumber, kejadian berlaku apabila kedua-dua remaja terbabit nekad mengejar suspek berusia 21 tahun sejurus menyedari telefon bimbit milik mereka yang diletakkan di bawah kusyen motosikal dilarikan.

“Sebelum itu, kedua-dua mangsa sedang mandi manda di sungai kampung berkenaan sebelum menyedari kehadiran suspek dikenali yang tinggal berhampiran kampung mereka.

“Suspek telah menyelongkar kusyen motosikal jenis Honda EX5 yang diletakkan berhampiran tempat mereka mandi, sebelum melarikan telefon bimbit berkenaan dengan menunggang motosikal jenis Honda ke arah Kampung Bukit Petiti, Manir,” katanya, semalam.

Namun katanya, dua remaja terbabit kemalangan ketika mengejar suspek apabila tiba di satu simpang, secara tiba-tiba muncul sebuah kereta dan disebabkan terlalu laju, Alif tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta tersebut sebelum melambung ke arah cermin pintu kereta di bahagian pemandu.

“Pemandu kereta terbabit hanya cedera ringan akibat terkena serpihan kaca.

"Semasa kejadian, suspek yang berada tidak jauh dari lokasi sempat memberhentikan motosikalnya dan hanya memerhatikan sahaja kedua-dua mangsa mengerang kesakitan sebelum melarikan diri sejurus mendapati orang awam mula memenuhi lokasi untuk membantu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian dan suspek kini sedang diburu.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/gadai-nyawa-kejar-pencuri-1.175928



Jenazah pelajar nahas di Jordon selamat dikebumi



Inalillahi wainailaihi rojiun

25 Jun 2013
Georgetown: Jenazah pelajar Malaysia, Sumaiyah Romli, 21, yang maut dalam nahas jalan raya di Jordan, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, malam tadi.

Jenazah Sumaiyah yang tiba pada jam 10.35 malam, disambut kira-kira 40 ahli keluarganya yang menunggu sejak jam 9.30 malam.

Terdahulu, jenazah itu yang dibawa dengan pesawat Royal Jordanian dari Amman, Jordan dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.25 malam.

Jenazah itu kemudian diterbangkan ke LTAPP menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) sebelum dibawa ke Alor Setar, Kedah, menaiki van jenazah dengan diiringi anggota polis trafik pada jam 10.55 malam.

Jenazah pelajar Universiti Kolej London itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al Bukhary, Alor Setar, awal pagi ini.

Sumaiyah terkorban akibat cedera parah di kepala dan leher dalam nahas jalan raya di Petra, Jordan ketika dalam perjalanan untuk bercuti dengan rakannya, Jumaat lalu


Al-Fatihah

Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/JenazahSumaiyahselamattiba/Article/index_html
nst.com.my/latest/body-of-malaysian-student-killed-in-jordan-laid-to-rest-1.307220


Suami isteri maut dirempuh Hilux

Inalillahi wainailaihi rojiun

25 Jun 2013
BATU GAJAH – Sepasang suami isteri maut dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 16.5 Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Tronoh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa Rosli Aliman, 52, dan Szaszanomi Hasim@Hashim, 44, meninggal dunia akibat kecederaan parah termasuk putus kaki setelah motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta pick-up jenis Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, insiden dipercayai berpunca dari salah sebuah tayar kereta pick-up berkenaan pecah sebelum hilang kawalan sebelum merempuh motosikal yang dinaiki suami isteri itu.

“Akibat rempuhan itu, motosikal dinaiki kedua-dua mangsa terhumban melepasi besi penghadang yang ada di bahu jalan menyebabkan kedua-duanya tercampak.

“Kedua-duanya yang berasal dari Kampung Serapoh, Parit sempat dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia akibat cedera parah,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/suami-isteri-maut-kemalangan-1.175286


Penunggang maut terbabas



25 Jun 2013
MANTIN – Seorang lelaki maut serta-merta di tempat kejadian setelah motosikal yang ditungganginya terbabas di Kilometer 23.5, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), arah Selatan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, mangsa, Chin Jeau Wen, 42, disahkan mati akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Menurut jurucakap polis, mangsa yang tinggal di Lenggeng itu dikatakan terbabas sendiri sebelum melanggar besi penghadang jalan.

Katanya, menurut siasatan awal pihaknya mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave bersendirian itu, datang dari arah Kajang ke Seremban.

“Semasa tiba di tempat kejadian,  motosikal mangsa dikatakan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang lebuhraya tersebut.

“Akibat daripada rempuhan itu, mangsa terpelanting keluar daripada motosikalnya dan tercampak di bahagian lorong kecemasan.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk tindakan susulan,” katanya.

Tambahnya, pihak polis kini sedang menunggu laporan bedah siasat sebelum mayat diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan tersebut.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-akibat-gagal-kawal-motor-1.175271



Hati-hati memandu ketika Jerebu


25 Jun 2013
PEKAN – Masalah jerebu yang semakin serius sekarang boleh menjadi penyebab kepada pelbagai masalah lain antaranya peningkatan kadar kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, masalah jerebu bukan sahaja boleh mengganggu kesihatan, tetapi juga pelbagai risiko lain antaranya kemalangan dan jenayah.

Bagaimanapun katanya, masalah itu boleh diatasi jika masyarakat lebih berhati-hati sepanjang musim jerebu kini.

“Jerebu menyebabkan pandangan kita terhad sekali gus meningkatkan risiko kemalangan jika pengguna kurang berhati-hati ketika memandu.

“Kita juga perlu peka dengan keadaan sekeliling kerana kecuaian boleh menyumbang kepada masalah lain lebih besar,” katanya.

Yahaya juga berkata, kebakaran hutan berpunca daripada sikap orang ramai yang memandang mudah berhubung penjagaan alam sekitar.

Menurutnya, pemandu misalnya gemar membuang puntung rokok ke luar tingkap kenderaan sedangkan bara puntung itu boleh menyumbang kepada kebakaran jika tidak dipadam sepenuhnya.

“Ada di antara kita sengaja membakar semak-samun yang kemudiannya merebak hingga menyebabkan kebakaran. Keadaan itu boleh bahayakan penduduk berdekatan.

“Walaupun ada papan tanda amaran mengenai hukuman terhadap individu terlibat pembakaran terbuka, namun ada masih berdegil. Oleh itu, polis tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan terhadap individu terbabit,” katanya.

Beliau berkata, individu atau syarikat yang membuat pembakaran terbuka boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya serta kompaun maksimum RM2,000.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/jerebu-tingkat-risiko-kemalangan-1.175345


Maut ketika hantar adik kesekolah



Inalillahi wainailaihi rojiun

25 Jun 2013
KOTA BHARU - Rutin harian seorang pemuda, Mohd Zulfahmi Fauzi, 23, menghantar adiknya yang orang kurang upaya (OKU) ke sekolah bertukar tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Panchor, sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu,  Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kejadian yang berlaku pada jam 9.20 pagi itu terjadi apabila motosikal yang ditunggangi oleh Mohd Zulfahmi dipercayai terlanggar sebuah kereta.

“Akibat perlanggaran tersebut motosikalnya yang datang dari arah Sabak menghala ke Panchor hilang kawalan lalu merempuh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, mangsa maut di tempat kejadian manakala adiknya, Mohd Nur Iman Syahril, 15, mengalami cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Sementara itu, abang mangsa, Mohd Hafiz, 28, ketika ditemui di HUSM berkata, sebelum kejadian tersebut berlaku, mangsa yang merupakan anak ke ketiga daripada empat beradik itu  dikatakan kelihatan gelisah dan tidak lena tidur.

Dia berkata, setiap hari Mohd Zulfahmi yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah kedai aluminium  di Cherang akan menghantar adik bongsunya itu ke Sekolah Menengah Panji sebelum ke tempat kerja.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/penunggang-motosikal-maut-1.175253


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my