loading...

Saturday, May 11, 2013

Warga emas dirempuh ketika melintas


Inalillahi wainailaihi rojiun 

12 Mei 2013
ALOR GAJAH - Seorang warga emas yang baru kematian isteri beberapa minggu lalu, maut selepas dilanggar kereta semasa melintas jalan dari sebuah kedai makan di Jalan Guan, Kuala Sungai Baru, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.15 malam itu, Ismail Omar, 76, baru saja keluar dari kedai makan itu sebaik saja hujan reda menyebabkan beberapa pelanggan kedai berkenaan terkejut mendengar dentuman kuat.

Menurut sumber, mangsa dirempuh kereta jenis Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia awal 40-an yang dinaiki bersama keluarga dari arah Port Dickson, Negeri Sembilan ke Kampung Air Hitam Darat, Tanjung Bidara.

“Pemandu kereta terbabit dipercayai hilang kawalan ketika melalui tempat kejadian sebelum bahagian depan sebelah kanan cermin sisi kereta merempuh mangsa yang melintas jalan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak sejauh kira-kira lima meter dari tempat kejadian dan cedera parah di kepala selepas terhentak atas jalan raya,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang baru kematian isteri beberapa minggu lalu maut akibat parah di kepala.

“Mangsa dikatakan berada di kedai makan berkenaan sejak 7 petang sebelum pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari kedai berkenaan dengan berjalan kaki.

“Ketika kejadian terdapat beberapa pelanggan di kedai makan kampung itu sebelum meminta diri untuk pulang ke rumahnya selepas hujan reda,” katanya.

Sementara itu, anak perempuan mangsa, Suziliana Ismail, 46, yang ketika kejadian sedang bekerja di sebuah medan ikan bakar di sini, terkejut selepas dimaklumkan insiden menimpa bapanya itu.

“Saya sangkakan ia hanya gurauan, tapi selepas pergi ke tempat kejadian, saya lihat beberapa petugas perubatan sedang memeriksa keadaan ayah yang cedera parah di kepala.

“Tak banyak perubahan yang dilihat pada ayah kerana sejak emak meninggal dunia. Ayah lebih banyak menghabiskan masa di kedai makan itu bersama rakan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-dirempuh-ketika-melintas-1.159284




Friday, May 10, 2013

Rupanya kereta anak


kereta Perodua Viva hancur kemalangan dengan lori


11 Mei 2013
JEMPOL - Seorang ibu tunggal tidak menyangka sebuah kereta Perodua Viva yang terlibat dalam kemalangan membabitkan lori satu tan muatan kicap di Kilometer 12 Jalan Bahau-Keratong di sini, pagi semalam merupakan kereta dipandu anaknya.

Anak sulungnya, Mohamed Nor Hadi Adi Nor Syam, 18, bersama ibu saudaranya, Siti Fatimah Mohd Yusof, 32, dan seorang lagi rakannya Noor Fazlina Mohammad, 27, dari arah Serting Hilir Kompleks dalam perjalanan ke Kolej Komuniti Jempol (KKJ) untuk menghantar makanan.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu, Siti Zaitun Mohd Yusof, 45, berkata, dia dalam perjalanan ke Pejabat Felda dekat Bandar Seri Jempol (BSJ) terkejut melihat Perodua Viva warna biru miliknya hancur teruk di bahagian depan.

“Luluh hati apabila lihat anak sendiri terlibat dalam kemalangan, malah saya difahamkan dia (Mohamed Hadi) tersepit di tempat duduk pemandu. Namun, ketika saya tiba dia sudah terlantar dekat bahu jalan tapi masih sedar. Manakala ibu saudara dan rakannya itu juga selamat.

“Keadaan kereta berkenaan begitu teruk, macam-macam saya fikir, hati pun tidak sedap. Tetapi Alhamdulillah dia selamat,” katanya ketika ditemui di pekarangan wad kecemasan Hospital Jempol.

Manakala kelindan lori satu tan, Tan Yoke Hoong, 44, berkata, dia bersama rakannya yang merupakan pemandu lori, 40-an datang dari arah Bahau menghala ke Kuantan.

“ Tiba di tempat kejadian, sebuah kereta dari arah bertentangan hilang kawalan lalu masuk ke laluan kami.

“ Kawan saya sudah membunyikan hon banyak kali, dan cuba mengelak dengan masuk ke bahu jalan tetapi gagal lalu berlaku pertembungan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 11, Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol, Mohd Fahmi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.57 pagi.

“ Namun setibanya di tempat kejadian kira-kira jam 11.06 pagi tiga mangsa iaitu seorang lelaki, 18, yang tersepit di tempat duduk pemandu dan dua perempuan berumur 27 dan 32 diselamatkan oleh orang awam.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk rawatan susulan,” katanya yang turut memberitahu seramai lima anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/terkejut-lihat-kereta-anak-hancur-1.159015




Isteri maut suami parah




10 Mei 2013
SHAH ALAM - Seorang wanita maut digilis, manakala suaminya dilaporkan kritikal selepas terbabit kemalangan di Jalan Matang Pagar menghala ke Matang Pagar, Sungai Buloh, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pasangan suami isteri terbabit yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari Bukit Rahman Putra menghala ke Matang Pagar.

Beliau berkata, bagaimanapun ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang pasangan suami isteri itu bergesel dengan sebuah lori yang tiba-tiba menukar laluan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan motosikal pasangan suami isteri terbabit terjatuh, sebelum mangsa wanita, M A Kamala Devi, 49, tercampak ke bawah lori.

"Kamala Devi maut di lokasi kejadian selepas perutnya digilis.

"Suaminya, V Raja berusia 53 tahun yang tercampak atas jalan raya mengalami kecederaan parah di kepala serta pecah buah pinggang," katanya.

Junaidi berkata, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat, manakala suaminya juga turut menerima rawatan di hospital sama.

Menurutnya, pemandu lori yang merempuh kedua-dua mangsa itu bagaimanapun melarikan diri selepas kejadian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/isteri-maut-digilis-suami-kritikal-1.15877



Mekanik maut rempuh lori




10 Mei 2013
KUALA LIPIS - Seorang mekanik maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu jalan di Kilometer Tujuh, Jalan Lipis–Merapoh, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, mangsa, Jeevananthan Subramaniam, 19, berasal dari Ladang Selbone maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan patah leher akibat rempuhan kuat.

Ketua Polis Daerah (IPD) Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis menuju Padang Tengku.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, mangsa yang menunggang seorang diri melanggar bucu kanan lori tersebut.

“Mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 mungkin tidak perasan ada lori rosak yang diletakkan di bahu jalan kerana kawasan itu sememangnya gelap.

“Kami dapati ada tanda amaran segi tiga diletak beberapa meter di belakang lori tetapi tidak jelas kerana segitiga itu terjatuh. Pemandu lori terbabit tiada di lokasi sewaktu kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Razak menasihatkan pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan supaya meletakkan isyarat atau tanda yang jelas sekiranya berlaku kerosakan supaya disedari pengguna jalan lain.

Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Lipis, Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan di talian 0139300428 untuk membantu siasatan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/maut-rempuh-lori-1.158749




Maut di Jalan Pusara



Inalillahi wainailaihi rojiun

10 Mei 2013
KUALA TERENGGANU - “Pada awalnya, saya dimaklumkan suami hanya mengalami kecederaan selepas motosikalnya dilanggar tetapi sebaik tiba di lokasi, saya lihat dia kaku di tepi jalan,” kata Rafiah Mamat, 61.

Rafiah adalah isteri Salleh Abdullah, 59, yang maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja di Jalan Pusara, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.

Menurut Rafiah, dia hanya mendapat maklumat suaminya terlibat dalam satu kemalangan semasa sedang bersiap-siap untuk memasak di rumah di Kampung Titian Lembut, di sini.

“Jiran datang memaklumkan suami terlibat dalam kemalangan berhampiran rumah dan apabila saya tanya dia bagaimana keadaan suami, dia hanya menyuruh saya pergi sendiri ke lokasi kejadian,” katanya, semalam.

Ibu tujuh anak ini berkata, suaminya yang bekerja sebagai tukang kayu keluar rumah kira-kira jam 9 pagi untuk bersiar-siar kerana kebetulan tidak bekerja pada hari kejadian.

“Dia keluar awal tadi (semalam) dan beritahu hendak bersiar-siar. Saya yakin suami tidak akan menunggang motosikal laju kerana selama ini dia tidak pernah berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, dalam kejadian itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda dipercayai dilanggar dari belakang oleh seorang remaja berusia 14 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha.

“Mangsa dipercayai keluar dari simpang kiri dan pada masa sama, datang sebuah motosikal ditunggang seorang remaja dari arah Jalan Sultan Ismail menuju ke Jalan Kamaruddin dan melanggar mangsa.

“Ekoran rempuhan yang kuat itu, mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Zamri berkata, penunggang remaja terbabit cedera dan patah kaki kiri dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/maut-di-jalan-pusara-1.158721



Thursday, May 9, 2013

Treler terbalik




9 Mei 2013
ALOR GAJAH - Seorang pemandu treler cedera parah selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan dan terbalik di kilometer 216.1 arah utara berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa, Raja Ahmad Putera Raja Ahmad, 51, dari Simpang Ampat menuju ke Kuala Lumpur.


pemandu lori kontena yang hampir putus kaki kiri menanggung azab hampir tiga jam akibat tersepit selepas kenderaan berat dipandu hilang kawalan dan terbalik dengan empat tayar ke atas di Kilometer 216.7 Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa baru selesai menghantar bekalan perkakasan kenderaan di sebuah kilang di kawasan perindustrian Pegoh, di sini, dalam perjalanan pulang ke pejabat di Balakong, Kuala Lumpur.

Jurucakap polis berkata, ketika melalui selekoh susur keluar dari Tol Simpang Ampat, treler dipandu mangsa hilang kawalan sebelum merempuh pengadang jalan dan terbalik.

“Akibat kejadian, mangsa yang memandu sendirian tersepit di tempat duduk pemandu dalam keadaan tertiarap, namun sedarkan diri.

"Mangsa yang baru bekerja sebagai pemandu treler kira-kira enam bulan lalu gagal menggerakkan anggotanya berikutan kaki kirinya tersepit sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Penolong Penguasa Kanan Bomba, R Bajiyen berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 13.31 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, seramai 20 anggota membabitkan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dan Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dikejarkan ke tempat kejadian.

“Bahagian enjin treler yang terlalu berat menyukarkan operasi mengeluarkan mangsa dan bomba menggunakan peralatan khas untuk meregangkan setiap bahagian sebelum menggunakan khidmat kren.

"Mangsa berjaya dikeluarkan selepas tiga jam kemudian," katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/treler-terbalik-pemandu-cedera-1.158476
http://www.hmetro.com.my/articles/Seksatersepittigajam//Article



Beras, gula, tepung bertabur



9 Mei 2013
CHUKAI – Akibat hilang kawalan, sebuah lori yang membawa barangan runcit terbalik menyebabkan muatan berterabur di atas jalan di Kilometer 154 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, di persimpangan lampu isyarat depan Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Taman Chukai Utama kira-kira jam 2.40 petang semalam.

Keadaan lori terbalik dengan muatan seperti beras, gula, tepung gandum, air minuman kotak, air tin dan air botol yang berselerakan itu turut menggemparkan pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu.

Bagaimanapun, pemandu lori, Shahril Tahir, 29, bersama kelindannya warga Bangladesh, Nur Islam Nannon, 26, yang sedang dalam perjalanan dari Fikri ke Pasaraya Nirwana terselamat selepas keluar melalui cermin depan lori yang pecah.

Shahril yang menetap di Binjai berkata, kejadian itu berlaku berikutan dia cuba mengelak sebuah lori sejuk beku yang cuba memotong kenderaan yang dipandunya selepas lampu isyarat bertukar hijau.

“Semasa kejadian, lori sejuk beku itu berada di belakang kenderaan saya. Jadi ketika mahu membelok masuk ke laluan kanan saya ambil sedikit ‘side’ sebab barangan yang saya bawa berat, tapi waktu itulah lori sejuk beku di belakang saya memotong.

“Sejurus itu saya gagal mengawal lori dan tak sempat menekan brek sebelum lori ini terbalik dan menggelongsor,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, katanya, pemandu lori sejuk beku yang memotong kenderaannya itu tidak memberhentikan kenderaan selepas kejadian itu berlaku.

Bapa dua anak ini bersyukur kerana dia dan rakannya tidak mengalami kecederaan luaran yang parah walaupun keadaan lori agak teruk dengan cermin depan turut pecah.

“Sebelum memulakan perjalanan dari Fikri saya tidak rasa apa-apa (perasaan tidak sedap hati), jadi saya tak sangka akan berlaku nahas seperti ini,” katanya yang kelihatan masih trauma.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/beras-gula-tepung-bertabur-1.158405



Wednesday, May 8, 2013

Jeritan 1 pagi




Inalillahi wainailaihi rojiun

8 Mei 2013
KUANTAN -  Hasrat seorang pemilik rumah untuk masuk tidur awal pagi semalam terbantut apabila dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat di bahagian hadapan rumahnya yang terletak di tepi Jalan Tanjung Lumpur di sini, semalam.



Lebih memeranjatkan apabila bunyi dentuman kira-kira jam 1 pagi  itu disusuli suara jeritan meminta tolong sehingga mendorong Nor Ashikin Awang, 38 memberanikan diri keluar melihat kejadian yang berlaku.

Menurutnya, sebaik keluar, dia ternampak  tiga lelaki berlumuran darah tersepit dalam sebuah kereta yang melanggar tiang rumahnya.

Dalam kejadian  itu seorang peniaga, Mohd Khaidil Ismail, 25, terbunuh manakala dua adiknya, Mohd Nazri Ismail, 20, dan Mohd Hassan Ismail, 18, cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka  hilang kawalan dan merempuh tiang pagar rumah terbabit.

Nor Ashikin berkata, dia  melihat pemandu kereta yang parah di bahagian muka berada dalam keadaan tidak sedarkan diri walaupun cuba dikejutkan  orang ramai beberapa kali.

“Ketika itu saya rasa dia (Khaidil) masih bernyawa namun disahkan meninggal dunia sejurus tubuhnya berjaya  dibawa keluar oleh anggota bomba dari kenderaannya yang remuk,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi, semalam.

Menurutnya, sejak tinggal di situ lebih 20 tahun lalu, rumahnya sudah enam kali dirempuh kenderaan yang terbabas.

“Walaupun terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000, saya tetap bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan dialami ahli keluarga dalam kejadian itu.

Sementara itu, ibu mangsa, Nurliza Che Noh, 50, berkata, ketiga-tiga anaknya keluar dari rumah mereka di Kampung Lepar Baru, Tanah Putih, Pekan kira-kira jam 9 malam kelmarin untuk ke Hospital Pekan selepas Mohd Khaidil mengadu sakit kepala.

Menurutnya, dia hanya  mampu mengurut dada apabila dimaklumkan salah seorang saudara mengenai kejadian itu.

“Pada mulanya saya tidak percaya  kerana mereka (anak) memberi tahu hendak ke hospital.

“Saya tidak tahu pula mereka pergi ke Kuantan tapi sebagai ibu, saya reda pemergiannya dan bersyukur dua lagi anak saya selamat,” katanya sambil menahan sebak.

Anggota bomba dari Balai Bomba Jalan Bukit Ubi  mengambil masa kira-kira satu jam bagi mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang dari arah bandar Kuantan  menuju ke rumahnya di Pekan.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Proton Iswara yang dipandu Mohd Khaidil hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum merempuh sebuah rumah di tepi jalan berkenaan.

“Akibat rempuhan itu seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi adiknya cedera parah.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga untuk dikebumikan manakala dua lagi adiknya turut menerima rawatan di hospital sama,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/dengar-jeritan-jam-1-pagi-1.158055
http://www.hmetro.com.my/articles/Rempuhankalike-6//Article



Bertembung dengan dua motosikal



Inalillahi wainailaihi rojiun

8 Mei 2013
PONTIAN – “Saya tidak sangka tindakan arwah makan nasi goreng yang saya masak petang itu adalah hidangan terakhir sebelum dia meninggalkan kami buat selama-lamanya.

Demikian luahan Azrat Anjan, 50 menceritakan tindakan anak ketiga dari lima beradik Mohd Hidder, 20, yang maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan dua motosikal lain di Jalan Parit Ibrahim, Benut, di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 9 malam itu menyebabkan mangsa yang dipercayai dalam perjalanan dari Pontian ke Benut, meninggal dunia di tempat kejadian.

Nasib sama turut dialami penunggang motosikal Muhammad Esma Shahnizam Jamal, 20, yang dipercayai dalam perjalanan ke Pontian, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Benut yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Manakala seorang lagi penunggang motosikal, Riyan Bachok dilaporkan cedera parah dan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Azrat yang juga seorang nelayan berkata, dia terkilan kerana tidak sempat melihat anaknya itu buat kali terakhir.

“Sebelum itu, saya sempat memasak nasi goreng kegemaran Hidder. Saya tengok dia makan dengan bersungguh sehingga tidak menghiraukan orang yang lalu di sebelahnya,” katanya yang tinggal di Kampung Baru Benut.

Katanya, meskipun teguran diberikan namun anaknya itu tidak mengendahkannya dan terus menikmati nasi goreng tersebut.

Menurutnya, Mohd Hidder yang bekerja sebagai pekerja kilang di sebuah kilang elektronik di sini tidak banyak bercakap sejak kebelakangan ini.

“Saya terkejut apabila menerima panggilan menyatakan anak saya terlibat dalam kemalangan, ketika itu saya sedang berada di jeti kerana hendak memukat di laut,” katanya.

Sementara itu bagi bapa Muhammad Esma Shahnizam, Jamal Mohd Noh, 44, menyifatkan anak sulung dari enam beradik itu sangat bertanggungjawab dan rajin mencari rezeki bagi membantunya.

“Isma sangat rajin, selain menjadi nelayan dia turut melakukan banyak kerja lain seperti cari daun nipah, mengisi otak-otak dan kerja-kerja kampung lain bagi mencari duit untuk kami sekeluarga.

“Bagaimanapun saya tetap reda dengan pemergiannya,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian cuba mendapatkan pengesahan mengenai kejadian kemalangan itu daripada pihak polis namun gagal.

Jenazah akan dikebumikan selepas solat Zohor di Kampung Baru Benut.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/nasi-goreng-santapan-akhir-1.158110


Gara-gara membetulkan rantai basikal




8 Mei 2013
BAGAN SERAI - Seorang remaja membetulkan rantai basikal di persimpangan sebuah jalan nyaris hilang nyawa apabila hampir dirempuh sebuah lori kecil dalam kejadian sekitar jam 2.30 petang, di Taman Sri Kurau, di sini, semalam.

Mangsa, Muhammad Marzuki, 15, berkata, ketikakejadian dia dalam perjalanan pulang dari sekolah di sini sebelum memberhentikan basikalnya untuk membetulkan rantai kenderaan berkenaan yang jatuh.

Menurutnya, ketika membetulkan rantai basikal, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi rempuhan kenderaan dan kaku apabila melihat sebuah lori kecil bersama sebuah kereta yang terlibat kemalangan menuju ke arahnya.

“Saya hanya memejamkan mata dan hanya berserah kepada ALLAH agar menyelamatkan saya daripada kecelakaan tersebut,” katanya ketika ditemui, semalam.

Marzuki berkata, dia berasa lega apabila lori dan kereta yang bertembung hanya beberapa inci sahaja dari tempat die berada.

“Saya nyaris terkencing di dalam seluar dan basikal yang dipegang terlepas dari genggaman secara tiba-tiba,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan kedua-dua pemandu tersebut hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Bagan Serai.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/nyaris-dirempuh-lori-kecil-1.158090


Monday, May 6, 2013

60 pengguna lebuh raya nyaris maut




6 Mei 2013
ALOR GAJAH - Lebih 60 pengguna lebuh raya nyaris maut selepas terbabit dalam dua kemalangan berasingan membabitkan 11 kereta dan dua bas ekspres di Kilometer 202.3, Lebuhraya Plus arah selatan, semalam.



Dalam kejadian pertama kira-kira jam 2.45 petang di Kilometer 202.3, sebuah bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Melaka bersama 27 penumpang hilang kawalan sebelum merempuh lima kereta.

Difahamkan, bas ekspres berkenaan hilang kawalan berikutan jalan licin dalam cuaca hujan selepas cuba mengelak kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi.

Akibat kejadian, bahagian belakang Perodua Myvi berkenaan dirempuh sebuah Naza Citra disusuli rempuhan berturut-turut dari belakang membabitkan Proton Waja, Pesona dan Toyota Vios.



Menurut sumber, kejadian membabitkan lima kereta itu menyebabkan bas ekspres berkenaan hilang kawalan dan terbabas masuk ke lorong tengah dan terseret sebelum terhenti di lorong kecemasan.

“Bas berkenaan hilang kawalan kerana mengelak dari terus merempuh belakang sebuah kereta di hadapan mengakibatkan bas terbabas dan berpusing di tengah lebuh raya sebelum berhenti di lorong kecemasan.

“Kejadian menyebabkan kesemua penumpang menjerit ketakutan, namun mereka selamat meskipun ada beberapa penumpang mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Penumpang bas, Zulkarnain Abd Rahman, 20, berkata, dia yang duduk hadapan terkejut apabila bas dinaiki di lorong kanan secara tiba-tiba menekan brek mengejut sebelum hilang kawalan masuk ke lorong kiri.

“Dalam keadaan panik, saya terpaksa berpaut pada tempat pemegang kerusi mengelak dari terus melayang dalam bas kerana bimbang bas akan terbalik selepas mengelak dan dengar seretan bunyi brek bas,” katanya.

Sementara itu, pemandu bas ekspres dalam kemalangan kedua, Mohd Anuar Othman, 58, dari arah Terminal Bandar Selatan ke Melaka Sentral mendakwa cuba mengelak beberapa kenderaan di hadapan.

Katanya, selepas bas menyenget ke kanan, dia terpaksa merempuh dua kenderaan manakala sebuah kereta di lorong kiri terus merempuh belakang bas yang terbalik.

“Selepas bas terhenti, saya minta penumpang keluar dari bas dengan menyusur tingkap yang pecah di sebelah kanan dan mendapati semua penumpang dalam keadaan selamat. Saya minta mereka lari ke bahu jalan.

“Mujur pemandu tiga kenderaan yang dihempap dengan bas berjaya keluar dengan sendiri dan mengalami kecederaan ringan manakala seorang pemandu kereta yang parah dibawa ke hospital oleh orang awam,” katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, PBK2 Azhar Hasan berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam pada jam 2.57 petang dan bergegas ke tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/60-nyaris-maut-nahas-lebuh-raya-1.157477
http://mobile.hmetro.com.my/articles/Nahas2bas_13kereta/2013/Article



Bilal maut dirempuh motosikal


Penunggang motosikal jenis Yamaha 125Z yang merempuh mangsa menghilangkan diri dan meninggalkan motosikalnya di tempat kejadian.

Inalillahi wainailaihi rojiun

6 Mei 2013
MARANG – Niat seorang bilal untuk ke surau dengan berjalan kaki selepas menikmati makan malam di sebuah kedai bertukar tragedi apabila dirempuh sebuah motosikal di Kilometer 12.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Rhu Renggeh, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam kelmarin itu, Taib Mohd, 70, maut di tempat kejadian akibat cedera parah, manakala penunggang motosikal terbabit juga dikatakan cedera, dan menghilangkan diri selepas merempuh mangsa.

Difahamkan sebelum nahas berlaku, mangsa yang juga pengusaha sebuah kedai hasil makanan laut di kampung itu sempat berbual dengan rakan sambil menikmati mi goreng.

Menurut pembantu kedai, Zulkefli Yaacob, 26, selepas selesai makan, mangsa bergegas ke Surau Kampung Rhu Renggeh yang terletak di seberang jalan utama.

“Saya tidak menyedari bila kemalangan berlaku dan hanya mengetahuinya apabila melihat orang ramai memenuhi lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, salah seorang daripada 11 anak mangsa, Muhammad Azri, 34, berkata, bapanya menunjukkan perubahan sikap sejak awal pagi, sebelum kejadian itu berlaku apabila ke pantai berdekatan rumah kira-kira jam 6.30 pagi.

“Bapa duduk sambil termenung di pantai berkenaan dan dia juga berubah pendiam berbanding kebiasaannya," katanya.

Muhammad Azri berkata, hampir semua ahli keluarganya berkumpul di rumah pada hari kejadian untuk mengundi semalam, namun tidak menyangka kepulangan itu adalah perjumpaan terakhir dengan arwah.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/bilal-dirempuh-lepas-makan-1.157344



Kanak-kanak 5 tahun maut dirempuh kereta




Inalillahi wainailaihi rojiun

6 Mei 2013
BALING - Seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Ketil-Baling berdekatan Kedai Nasi Lemak Kukus di sini, kira-kira jam 8.30 malam, kelmarin.

Mangsa, Mohd Rifqi Qusyairi Mohd Taufik dari Kampung Setol dirempuh oleh sebuah kereta ketika cuba melintas jalan.

Keadaan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibu mangsa, Norazlita Abdul Rahim, 32, berkata, dia bersama mangsa berada tepi jalan untuk membeli nasi bungkus untuk keluarganya.

Menurutnya, dia tidak sedar anaknya itu cuba melintas jalan sehinggalah terdengar rempuhan kuat di tengah jalan.

“Saya tidak menyangka rempuhan kuat itu melibatkan anak saya.

"Luluh hati melihat dia (anak) dah terkulai atas jalan raya dengan berlumuran darah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa merupakan anak sulung dari dua beradik dan mayatnya dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan yang dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen  41(1) Akta Pengangkutan

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-ketika-lintas-jalan-1.157448



Tak Sempat Mengundi




Inalillahi wainailaihi rojiun

6 Mei 2013
KOTA BHARU - Dua sahabat karib tidak sempat menyempurnakan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kali ini apabila maut dalam nahas berhampiran simpang tiga Tanjung Mas di sini, awal pagi semalam.

Mereka yang terkorban ialah Mohd Arman Md Nor, 25, dari Kampung Chempaka, dan Muhammad Khairuddin Shariff Abd Rahman, 21, dari Pengkalan Chepa.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kejadian berlaku pada jam 4.30 pagi, apabila kereta dipandu Mohd Arman terbabas kerana mengelak sebuah motosikal.

“Sejurus mengelak, kereta dipandu merempuh belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipakir di tepi jalan dan melanggar pula sebatang pokok.

“Mohd Arman yang tersepit pada pintu kenderaan dikeluarkan dengan bantuan bomba. Dia bagaimanapun meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala dan dada sementara Muhammad Khairuddin Shariff meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Azham berkata, tiga lagi rakan mangsa, Mohd Faizol Mazeha Mohd Zin, 23, Muhammad Zulhilmie Ibrahim, 23, dan Mohamad Fairman Shamsudin, 21, hanya cedera ringan.

“Mereka berlima dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menyertai perarakan sempena PRU13,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik kenderaan pacuan empat roda, Muhammad Hafidz Rosli, 19, berkata, dia ketika itu sedang minum di kedai makan sebelum dikejutkan dengan rempuhan di belakang badannya oleh sebuah kereta jenis Proton Wira.

“Alhamdulillah, saya bernasib baik kerana hanya mengalami bengkak belakang badan. Masa itu saya nampak mangsa parah dan sudah tidak sedarkan diri sebelum dibantu orang ramai yang menghubungi polis dan bomba,” katanya.

Manakala Abang Arman, Mohd Azhar Mohd Nor,32, yang ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa adiknya itu 20 minit selepas kemalangan berlaku.


“Saya berkejar ke tempat kejadian dan sempat mengajar arwah mengucap. Tiada petanda pelik ditunjukkan. Arwah sangat disenangi serta penyayang dalam keluarga. Kami reda dengan pemergiannya,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/tidak-sempat-mengundi-1.157383





Tragedi di hari mengundi


kemalangan hari pilihanraya


Inalillahi wainailaihi rojiun

6 Mei 2013
Chukai: Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 meninggalkan kenangan pahit kepada satu keluarga di Kampung Banggul Kiri di sini, apabila kehilangan anak tersayang yang maut dalam kemalangan berhampiran simpang tiga Jalan Bukit Mentok menghala ke Bukit Tempurung, di sini, pada jam 9.15 malam kelmarin.




Mangsa, Syed Mohamad Arif Syed Yatim Mustafa, 16, yang cedera parah di kepala menanggung kesakitan hampir dua jam sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kemaman (HK) pada kira-kira jam 10.50 malam.

Kejadian dikatakan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa gagal mengelak sebelum merempuh kenderaan pelbagai guna dinaiki tiga lelaki yang dalam perjalanan dari Kampung Bukit Mentok menghala ke bandar Chukai sebaik tiba di simpang tiga berkenaan.

“Mangsa yang ketika itu dipercayai menunggang secara beramai-ramai gagal mengelak daripada merempuh kenderaan pelbagai guna terbabit yang ketika itu membelok ke kanan untuk masuk ke simpang tiga berkenaan.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke HK untuk rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia selepas hampir dua jam dirawat,” katanya.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, semasa kejadian, Syed Mohamad Arif yang berasal dari Banggol Kiri, Chukai menghala dari arah persimpangan lampu isyarat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai ke Bukit Mentok dengan menaiki motosikal jenis Yahama RXZ secara berkumpulan.

“Kemalangan berlaku apabila MPV yang dinaiki tiga lelaki Cina dari arah Bukit Mentok menghala ke SMK Chukai membelok ke kanan untuk masuk ke simpang dan ketika itu motosikal melanggar kereta berkenaan.

“Akibatnya Syed Mohamad Arif tercampak ke atas jalan dan topi keledar yang dipakainya tercabut menyebabkannya cedera teruk di kepala,” katanya.

Pemandu MPV berumur 22 tahun yang berasal dari Taman Samudera, Binjai, Air Putih dan dua temannya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jenazah Syed Mohamad Arif dituntut ahli keluarga kira-kira jam 11.30 malam untuk dikebumikan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/konvoi-bawa-padah-1.157329
http://mobile.hmetro.com.my/articles/Kenanganpiluharimengundi/2013/Article



Sunday, May 5, 2013

Peguam suami Rita Rudaini maut


Kawasaki Versys 650 kemalangan


Inalillahi wainailaihi rojiun

5 Mei 2013
SENAWANG – “Hajat arwah untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi bersama saya tidak kesampaian kerana dia memang teringin untuk berbuat demikian.

Kawasaki Versys 650 rentung


Sebelum ini, arwah selalu bercerita tentang motosikal dengan saya dan kami saling bertukar minat dan pandangan,” demikian kata pemain bola sepak kebangsaan,

Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 26, yang masih lagi terkejut dengan kemalangan yang menimpa peguam syarienya, malam kelmarin.



Mangsa, Noor Ariff Delia Ramli, 36, yang menunggang sendirian motosikal jenis Kawasaki Versys 650 mengalami kecederaan parah di kepala dan maut di tempat kejadian selepas merempuh sebuah lori tangki membawa muatan minyak kelapa sawit di persimpangan Jalan Persiaran Senawang 1.

Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Senawang menuju ke Plaza Tol Senawang untuk ke Seremban 2. Bagaimanapun, ketika sampai di lokasi kejadian, dia gagal mengawal motosikalnya apabila lori tangki tersebut secara tiba-tiba membelok ke simpang kanan.

Mohd Aidil Zafuan berkata, sebelum dimaklumkan oleh abangnya kira-kira jam 11 malam, dia dalam perjalanan balik dari Johor Bahru ke Seremban untuk mengundi di Sikamat hari ini.

“Sebelum sampai Seremban, saya berniat untuk keluar di Plaza Tol Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) Senawang, tetapi saya keluar di Plaza Tol Port Dickson.

“Kalau tidak, saya tentu sempat ke tempat kejadian, saya memang terasa ralat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di luar pekarangan bilik mayat Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (HTJS) awal pagi, semalam.

Mohd Aidil Zafuan berkata, dia baru sahaja berhubung dengan arwah  berkaitan perkembangan kes perceraiannya dengan pelakon, Rita Rudaini.

“Itu kali terakhir saya berhubung dengan arwah dan selama ini arwah banyak membantu saya sekiranya saya menghadapi masalah. Arwah memang seorang yang periang dan ‘relax’ dan saya senang dengan keperibadiannya itu,” katanya yang telah mengenali Noor Ariff lebih empat tahun.

Ketika ditanya siapa yang akan mengambil alih tugas arwah dalam kes perceraiannya itu, katanya, setakat ini belum ada sebarang keputusan diambil. “Tengok macam mana dulu dan saya juga akan minta pandangan daripada pihak-pihak berkaitan yang boleh membantu saya selepas ini,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa, Hamidi Izwan Ahmad Soffian, 37, berkata, petang sebelum kejadian, dia baru sahaja berjumpa arwah dan minum bersamanya di Ampangan.

“Arwah macam biasa seperti yang saya kenal dia sebelum ini. Tidak ada sebarang perubahan ketara pada dirinya. Cuma kebelakangan ini saya perasan status laman sosialnya banyak menceritakan tentang kematian dan nasihat berkaitan agama," katanya.

Allahyarham Noor Ariff meninggalkan isteri, Roslinda Ismail, 37, dan dua anak termasuk yang berusia setahun.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, daripada hasil siasatan, mangsa tidak sempat membrek motosikalnya di lokasi kejadian apabila lori tangki yang datang dari arah bertentangan secara tiba-tiba membelok ke simpang kanan untuk masuk ke satu kawasan kilang di situ.

“Selepas merempuh, mangsa kemudiannya melanggar sisi kiri kenderaan berat tersebut sebelum tercampak sejauh beberapa meter. “Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya, semalam.

Menurutnya, pemandu lori tangki berusia 30 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/peguam-syarie-aidil-zafuan-maut-1.156893
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my