loading...

Thursday, March 15, 2012

Proton Iswara dan Proton Saga bertembung

REMBAU: “Sewaktu memandu, tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat dan terkejut melihat kereta di depan dirempuh sebuah kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan,” kata Mohd Sabri Adun, 41, saksi kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 3, Jalan Taman Seri Puteri-Ulu Kanchong di sini, malam kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam, pemandu kedua-dua kereta itu, Mohd Nasir Ismail, 27, dan Ahmad Nasir Samad, 51, cedera parah apabila kereta Proton Iswara dan Proton Saga yang dipandu mereka bertembung.

Menurut Sabri, ketika kejadian, dia bersama isteri dan anaknya dalam perjalanan ke sebuah pasar raya di Chembong dan segera memberhentikan kereta untuk membantu mangsa.

“Saya melihat pemandu kereta Proton Iswara berjaya keluar, namun pemandu kereta Proton Saga tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian, kelmarin. “Saya kemudian cuba membuka pintu kereta Proton Saga itu untuk menyelamatkan mangsa. namun gagal,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian, kelmarin.


Katanya, dia segera menghubungi bomba memaklumkan keadaan Ahmad Nasir yang tersepit, manakala isteri dan anak mangsa berjaya keluar.


Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu Mohd Nasir yang menuju ke Pedas dipercayai cuba memotong sebuah kereta lain, namun gagal lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dipandu Ahmad Nasir.

“Ia menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan lanjut.


“Kereta dipandu Ahmad Nasir turut dinaiki isteri dan anaknya berusia 12 tahun. Bagaimanapun, mereka selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Nyarismautkeretabertembung/Article/index_html

Lambaian anaknya yang terakhir



Inalillahi wainailaihi rojiun

PONTIAN – Seorang bapa tidak menduga lambaian anaknya sebelum bertolak ke tempat kerja adalah yang terakhir sebelum anaknya menemui ajal selepas terlibat dalam kemalangan kira-kira 100 meter dari rumahnya di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, mangsa, Muhammad Fitri A Gani, 19, yang bekerja di sebuah kilang elektronik di Senai menunggang basikal sebelum menaiki van kilang yang menunggu di hadapan kampungnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Bagaimanapun, basikal yang dinaiki itu terbabit dalam satu kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan sebuah van pekerja di Kilometer 1.2, Jalan Ayer Baloi-Bukit Batu, di Kampung Parit Panjang di sini.

Bapa mangsa, A Gani Ibrahim, 65, Gani, ketika ditemui di rumah mayat Hospital Pontian pagi semalam memberitahu, dia didatangi jirannya selepas selesai bersolat subuh di masjid dan diberitahu mengenai kemalangan yang melibatkan seorang penunggang basikal berhampiran rumahnya.

“Saya terus berdebar-debar kerana ketika itu saya secara langsung fikirkan anak saya kerana dia me­nunggang basikal setiap pagi sebelum menaiki van kilang, Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati ada seorang mangsa kemalangan sedang tertiarap di tepi jalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia terkejut apabila mendapati mangsa tersebut adalah anaknya sendiri dan terus memapah serta memeluknya.

“Saya dapati bahagian keadaan kepalanya dipenuhi darah," katanya.

Katanya, anak bongsu dari enam beradik itu baru dua bulan bekerja di Senai.Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan, Wan Razani Wan Ibrahim berkata, kemalangan yang berlaku pada awal pagi itu membabitkan tiga kenderaan iaitu basikal, pacuan empat roda dan van pekerja.

Katanya, pacuan empat roda itu dari arah Bukit Batu ke Ayer Baloi manakala van pula dikatakan dalam perjalanan dari arah Ayer Baloi ke Kulaijaya.

Dalam kejadian itu katanya, empat mangsa mengalami kecederaan ringan manakala seorang cedera parah di bahagian kaki, manakala Muhammad Fitri meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Operasi di Jabatan Bomba dan Penyelamat Pontian, Mohd Zamry Sukarseh bersama enam anggota mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan alat pemotong.


Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/lambaian-terakhir-1.32286

Lori lima tan terbalik



ALOR GAJAH - Seorang ­pemandu lori nyaris maut selepas lori lima tan dipandunya terbalik di Lebuhraya Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran jejantas Sekolah Kebangsaan (SK) Rumbia, ­dekat sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.25 pagi itu, pemandu lori, J Jayakumar, 41, dari arah Bukit Rambai menuju ke Rawang, Selangor membawa muatan plastik dipercayai ­hilang kawalan selepas tayar bahagian hadapan lorinya meletup.

Menurutnya, tayar lorinya meletup ketika menuruni ­bukit berhampiran SK Rumbia sebelum lori dipandunya ­hilang kawalan.

“Dalam keadaan kelam ­kabut itu, saya terkejut apabila sebuah treler memotong lori yang saya pandu dari sebelah kanan sebelum lori saya terbalik. Saya terperangkap di ­dalam lori dan berusaha keluar dari pintu pemandu tetapi ­tidak boleh dibuka dan merangkak keluar melalui pintu sebelah penumpang,” katanya.

Jayakumar, selepas berjaya keluar dia terjatuh di jalan dan dibantu dua lelaki sebelum menghubungi kecemasan.

“Saya bernasib baik kerana ketika kejadian tiada kenderaan lain berada di belakang, jika tidak pasti berlaku perkara lebih buruk,” katanya yang hanya mengalami luka ringan di kaki dan tangan.

Sementara itu Ketua Polis daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian yang berpunca dari salah satu tayar lori berkenaan meletup semasa lori menuruni bukit berselekoh sebelum terbalik.

“Pemandu lori terbabit hanya cedera ringan biarpun tersepit di dalam lori yang ­terbalik dan berjaya keluar melalui pintu penumpang dengan merangkak keluar ­sebelum dibantu orang ramai yang melihat kejadian,” ­katanya, semalam.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lori-terbalik-di-lebuh-raya-1.32291

Viva terjunam ke parit



SABAK BERNAM – Berpantang maut sebelum ajal apabila seorang pemandu kereta jenis Perodua Viva terselamat dalam satu kemalangan apabila brek keretanya mengalami kerosakan di Kilometer 38 Jalan Teluk Intan–Klang di sini.

Difahamkan, mangsa cuba memperlahankan kereta yang dipandunya ketika melalui selekoh berhampiran sebuah sekolah di lokasi kejadian, namun brek kenderaan itu langsung tidak berfungsi.

Dalam keadaan itu, kenderaan mangsa kemudiannya melanggar pembahagi jalan, seterusnya terbabas masuk ke laluan bertentangan dan terjunam ke parit.

Mangsa dikenali John, 22, berkata, dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu 10, Hutan Melintang, Perak selepas selesai berurusan di sebuah jabatan, di Sungai Besar.

“Setibanya di tempat kejadian, saya menekan brek untuk memperlahankan kenderaan tetapi entah kenapa brek tidak berfungsi sehingga menyebabkan insiden ini berlaku.

“Saya bernasib baik, kemalangan ini tidak melibatkan pengguna jalan raya lain kerana kebetulan tiada kenderaan yang melalui jalan ini ketika detik cemas itu berlaku,” katanya.

John berkata, beliau tidak menyangka brek kenderaannya bermasalah kerana sebelum itu brek berkenaan berfungsi dengan baik dan beliau bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu.

“Saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan parah dan hanya luka di beberapa bahagian badan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pemandu-selamat-kereta-terjunam-ke-parit-1.32524

Maut ditindih tayar traktor



Inalillahi wainailaihi rojiun

KEMAMAN – Seorang mandor ladang sawit tidak sempat menjamah pulut yang dimasak isterinya apabila maut ditindih tayar traktor selepas kenderaan berat dipandunya itu hancur dirempuh dari belakang dalam nahas di Kilometer 153 Jalan Jerangau-Jabor, dekat simpang ‘Cheneh Recreation and Resort’ (CRR), Cheneh.

Mahdi Sain, 41, yang be-rasal dari Lombok Timur, Indonesia maut serta merta di tempat kejadian ketika dalam perjalanan pulang dari bengkel di Jalan Felda Cerul untuk balik ke Ladang Bukit Bandi selepas membaiki lampu traktor yang rosak.

Dalam kejadian itu, traktor dipandu mangsa cuba mengelak lubang di bahu jalan namun dirempuh sebuah Toyota Fortuner dari arah belakang mengakibatkan traktor tersebut terbalik manakala salah sebuah tayar belakangnya tercabut serta menindih mangsa yang tercampak ke atas jalan.

Janji akan makan pulut

Isteri mangsa seorang warga tempatan, Maisah Mamat, 45, tidak dapat menahan tangis sebaik tiba di tempat kejadian apabila melihat suaminya parah di kepala dan kaku dibasahi darah apatah lagi suaminya berjanji untuk memakan pulut yang dimasaknya sejurus pulang membaiki traktor.

“Berkali-kali saya ajak dia makan pulut untuk sarapan ketika kami berdua tiba di ladang namun dia menolak, katanya mahu makan waktu rehat jam 11 pagi.

“Saya tunggu suami pulang dari bengkel, tetapi ketika mahu memulakan kerja semula secara tiba-tiba rakan suami yang mengikutnya menghantar traktor ke bengkel memberitahu suaminya terlibat dalam kemalangan,” katanya tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman.

isah dan suaminya bekerja di Ladang Bukit Bandi, Cheneh di bawah syarikat Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd.

Kata Maisah, suaminya itu bekerja sebagai mandor di tapak semaian sawit (nurseri) di ladang itu sementara dia pula melakukan kerja di ladang.

Pernah pesan hantar jenazahnya ke Indonesia

Kata Maisah, beberapa bulan lalu arwah suaminya itu kerap berpesan agar menghantar jenazahnya untuk dikebumikan di Lombok Timur, Indonesia sekiranya dia meninggal dunia.

“Waktu dia pesan begitu saya terkejut dan minta dia menghentikan permintaanya,” katanya yang tidak menyangka akan kehilangan suaminya dikahwini sembilan tahun lalu sekelip mata.

Katanya, ketika berkahwin dengan arwah dia sudah mempunyai enam anak hasil perkahwinannya dengan suami terdahulu manakala suaminya itu mempunyai dua anak yang tinggal di Indonesia.

Meskipun perkahwinan mereka tidak dikurniakan cahaya mata namun suaminya itu menyayangi anaknya sepenuh hati.

Akan penuhi hasrat arwah suami

“Walaupun sudah berkahwin selama sembilan tahun tetapi saya belum pernah mengikut suami pulang ke Lombok Timur dan kami sebenarnya merancang pulang Ogos depan,” katanya sugul.

Menurutnya, dia berhasrat menghantar jenazah suaminya pulang ke negara asal bagi memenuhi hasrat arwah suaminya itu yang sudah berkerja di negara ini selama hampir 17 tahun.

Sementara itu, Pegawai Ladang Bukit Bandi, Mohd Faizul Mat Shah berkata, kehilangan Mahdi ibarat khabar duka kerana mangsa seorang pekerja cemerlang.

Sementara itu, Toyota Fortuner berkenaan remuk pada bahagian depan namun pemandunya tidak mengalami kecederaan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/mandur-ladang-sawit-maut-ditindih-tayar-traktor-1.32303

Wednesday, March 14, 2012

Melayang Keudara


Inalillahi wainailaihi rojiun

ALOR GAJAH - “Saya dan rakan sedang berbual, tiba-tiba terdengar dentuman kuat dan saya nampak objek melayang serta motosikal terbakar serta-merta.” Itu pengakuan saksi kejadian kemalangan maut, yang juga rakan mangsa, Laila Khamis, 58.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, seorang pembantu farmasi Klinik Kesihatan Masjid Tanah maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta Perodua Viva yang membelok masuk di persimpangan berhampiran sebuah stesen minyak di pekan Masjid Tanah, di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Mohd Firdaus Yahya, 32, dari arah Paya Rumput menuju ke arah pekan Masjid Tanah merempuh kereta dinaiki dua beranak dari pekan Masjid Tanah yang tiba-tiba membelok ke kanan, ke arah Kampung Lekok.

Laila berkata, ketika kejadian, dia berada di pekara­ngan Klinik Kesihatan Masjid Tanah.

“Saya sedang berbual dengan rakan, tetapi tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi den­tuman yang amat kuat. Saya cuma nampak mangsa melambung sebelum terjatuh di atas jalan raya dan segera berlari untuk membantu mangsa tetapi saya seperti hilang arah apabila mengetahui mangsa adalah rakan sekerja saya,” katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa ke klinik untuk rawatan kecemasan.

“Seorang anggota bomba yang kebetulan melalui jalan terbabit membantu memadamkan api yang semakin marak membakar motosikal mangsa selepas tercampak kira-kira 10 meter akibat rempuhan berkenaan. Mangsa yang parah gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia beberapa minit kemudian,” katanya.

Laila berkata, arwah rajin bekerja dan amat mengejutkan apabila semua gambar arwah yang terdapat di papan carta organisasi sudah dicabut sendiri, malah cuti tahunannya yang berbaki 30 hari lagi juga sudah dipadamkan tanpa disedari mereka.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit berusia 25 tahun berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Lekok selepas mengambil ibunya berusia 56 tahun, dari tempat kerja di Pengkalan Balak.

Menurutnya, dia tidak menyedari kemunculan motosikal yang ditunggang mangsa.

“Sebaik melepasi lampu isyarat dan hendak membelok ke kanan, menuju ke Kampung Lekok, saya hanya menyedari terdapat sebuah kereta yang membelok masuk ke arah Kampung Lekok dari arah Paya Rumput namun tidak pula menyedari sebuah motosikal menuju terus ke arah pekan.

“Apabila saya membelok ke kanan, berlaku dentuman kuat apabila motosikal yang ditunggang mangsa merempuh pintu sebelah penumpang,” katanya.

Ibu mangsa, Normala Sham Ramli, 56, berkata, arwah tidak menampakkan perubahan sikap ketika kali terakhir berjumpanya.

“Ketika itu dia sibuk menyediakan barangan untuk berniaga burger, di rumah neneknya di Kampung Lubok Redan, Masjid Tanah, petang sebelum kejadian,” katanya.

Allahyarham Mohd Fir­daus adalah anak pertama daripada empat beradik dan meninggalkan seorang isteri, Norain Hashim, 29, yang kini menjalani kursus di Maktab Perguruan Tun Hussin Onn, Batu Pahat.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lubok Redan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/mobile/edisi/melaka-ns/melambung-depan-klinik-1.32068

Polis maut dirempuh lori

GEORGE TOWN - Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Sungai Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata mangsa Kpl R. Govindaraju, 57, yang bertugas sebagai anggota Pengawal Pengiring Ibu Pejabat  Polis Daerah Timur Laut maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala.

"Kemalangan itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa telah bergesel dengan sebuah motosikal lain dari arah sama sebelum dia terbabas ke arah bertentangan dan dirempuh sebuah lori.

"Akibat rempuhan kuat itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- Bernama

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/anggota-polis-maut-dalam-kemalangan-motosikal-1.32188

Kereta Terjun Parit Gara-gara Lembu



KAMPUNG BARU – Masalah lembu berkeliaran di sini membimbangkan penduduk kampung kerana kehadiran haiwan itu bukan sahaja merosakkan tanaman malah mengganggu lalu lintas sehingga boleh mengundang risiko kemalangan.

Dalam tempoh lima tahun ini, pelbagai masalah dilaporkan termasuk kemalangan maut dan kecederaan kepada penunggang motosikal akibat terlanggar atau mahu mengelak sekumpulan haiwan ini yang berkeliaran.

Seorang penduduk, Yunus Abd Wahid, 48, berkata, dia pernah terlibat kemalangan baru-baru ini apabila kereta yang dinaiki bersama anak perempuannya berusia 15 tahun terbabas ke dalam parit berdekatan Jalan Haji Saie, di sini kerana cuba mengelak seekor lembu melintas.

“Ketika kejadian, hujan renyai dan saya dalam perjalanan pulang ke rumah setelah mengambil anak pulang dari sebuah sekolah di batu 38. Entah dari mana secara tiba-tiba muncul seekor lembu melintas jalan.

“Saya cuba mengelak sehingga menyebabkan kereta terbabas masuk ke dalam parit. Syukur saya dan anak selamat dan saya hanya mengalami cedera ringan sahaja, “ katanya.

Yunus berkata, masalah lembu berkeliaran sering menimbulkan kemarahan penduduk kampung terutamanya pengguna jalan raya masih berterusan biarpun ia telah disuarakan kepada pemimpin masyarakat.

“Kita mahu masalah ini diatasi segera agar tidak timbul masalah di kemudian hari. Kita tahu lembu di sini ada tuannya tetapi yang dikesalkan apabila ditanya, tiada siapa yang mahu mengaku. Sepatutnya pemilik haiwan ini bertanggungjawab ke atas peliharaannya supaya tidak menyusahkan penduduk lain,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber, Abdullah, 40, terdapat beberapa jalan yang terlibat antaranya Jalan Haji Saie, Jalan Haji Mahmud, Jalan Sekolah, jalan menuju ke Tebuk Berihun dan Tanjung Jawa.

Katanya lembu yang itu bergerak dalam bilangan besar sekitar 80 ekor ataupun kumpulan kecil antara dua atau tiga ekor.

“Kita difahamkan, masalah ini sudah diberikan perhatian oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Persekutuan dan Negeri, selain mendapat perhatian Jabatan Veterinar namun masing-masing tidak mampu menyelesaikannya.

“Apa yang penduduk dan pengguna harapkan akan ada pihak yang mampu menyelesaikannya demi keselesaan dan keselamatan kami di sini,” katanya.

Difahamkan, terdapat lembu yang telah ditambat masih mengganggu lalu lintas kerana tali penambat panjang sehingga membolehkannya berkeliaran atas jalan raya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/masuk-parit-elak-lembu-1.32054

Tuesday, March 13, 2012

Kaki Ibu Terputus Dirempuh Motosikal


PENAMPANG: Seorang ibu yang baru membeli makanan di restoran untuk anaknya di rumah, parah termasuk putus kaki kiri apabila dirempuh sebuah motosikal dalam kemalangan berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Putatan, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 malam, mangsa, Faridah Mohd Taib, 56, parah dirempuh motosikal ditunggangi seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Mohd Saiful, 24, yang turut patah kaki kiri dan kedua-dua mereka mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII), Kota Kinabalu.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa melintas jalan untuk perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Ulu Putatan sebelum motosikal ditunggang Mohd Saiful gagal mengelak lalu merempuh mangsa.

Akibat rempuhan itu, kedua-dua mereka terpelanting dan mengalami cedera parah.


Menurut seorang rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Aida, 34, sebelum kejadian dia bertemu Faridah ketika menjamu selera di restoran berhampiran.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Terpelanting_putuskaki/Article/index_html

Tidak sempat menikmati ais krim

Inalillahi wainailaihi rojiun

KUALA LANGAT: Seorang kanak-kanak berumur empat tahun tidak sempat menikmati ais krim yang dibeli abangnya apabila maut selepas dilanggar sebuah kereta di hadapan rumahnya di Taman Seri Jenjarom, di sini, malam kelmarin.

Wafiyuddin Rosdi disahkan meninggal dunia jam 10.15 malam akibat kecederaan parah di kepala selepas dikejarkan ke Hospital Banting, untuk rawatan kecemasan.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, mangsa mengejar abangnya yang sedang membeli ais krim daripada seorang penjual ais krim bermotosikal di seberang jalan berhampiran rumah mangsa.

Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa dan abangnya dikatakan terdengar bunyi loceng penjual ais krim sebelum abang mangsa membuka pintu pagar rumah untuk memanggil penjual ais krim berkenaan.

Bagaimanapun, abangnya tidak menyangka mangsa turut mengekorinya dari belakang dan terus melintas jalan memandangkan penjual aiskrim memberhentikan motosikalnya di seberang jalan.

"Mangsa dan abangnya tidak menyedari kehadiran kereta jenis Perodua MyVi dipandu melalui kawasan itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada bapa mangsa, Rosdi Sardi, 40-an, berasal dari Sabah, semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
bharian.com.my/articles/Budakmaut__8216_keranaaiskrim__8217_/Article/

Datuk Seri Ajar Mangsa Mengucap


Inalillahi wainailaihi rojiun

PARIT BUNTAR: Seorang lelaki sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sebelum dia meninggal dunia di sisi isterinya yang turut maut akibat kemalangan jalan raya di kilometer 5, Jalan Kuala Gula - Gunung Semanggol, di sini, kelmarin.


Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Saidon Riduan, 65, dan isterinya Fatimah Abdul Kadir, 64, cedera parah apabila Toyota Harrier dinaiki terbalik selepas berlanggar sebuah Land Rover.


Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang selepas memancing ikan di Kuala Gula di sini, berikutan penemuan batang pancing dan ikan sepat bertaburan di belakang kenderaan.

Saksi kejadian, Azlan Che Lob, 30-an, berkata, dia terdengar dentuman kuat sebelum melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda terbalik di bahu jalan.


Menurutnya, apabila sampai ke tempat kejadian, dia mendapati sepasang suami isteri berlumuran darah tersepit dalam kenderaan itu.


“Pada masa sama, Dr Zambry yang kebetulan melalui tempat kejadian berhenti dan meninjau keadaan kedua-dua mangsa.

“Saya lihat Dr Zambry mententeramkan mangsa yang ketika itu nazak. Tanpa rasa takut beliau meminta lelaki berkenaan mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.


Menurutnya, keadaan menjadi sebak apabila isteri lelaki berkenaan ketika itu sudah meninggal dunia.

“Lelaki itu mengucap dua kalimah syahadah dan saya nampak dia sempat melihat wajah isterinya buat kali terakhir sebelum dia turut menghembuskan nafas terakhir,” katanya.



Zambry dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Nayan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas mengadakan perjumpaan bersama masyarakat Cina di Kuala Kurau.


Anggota Bomba dan Penyelamat yang tiba di tempat kejadian mengeluarkan mayat pasangan suami isteri itu serta pemandu Land Rover yang tersepit.


Difahamkan, Land Rover itu dipandu lelaki berusia 50-an bersama tiga wanita dan dua kanak-kanak perempuan. Semua mereka cedera dan dibawa dengan ambulans ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan.


Sementara itu, Zambry yang mengulas kejadian itu semalam berkata, dia amat terkejut dengan kemalangan meragut dua nyawa serentak di depan matanya.


“Saya cemas melihat mereka berlumuran darah dalam kereta yang terbalik itu. Saya tidak dapat membantu mengeluarkan mereka yang tersepit kerana bimbang lebih memudaratkan.


“Namun, saya hanya sempat meminta lelaki berkenaan bertenang dan mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembus nafas terakhir tidak lama kemudian,” katanya.

Al-Fatihah...

Sumber:
peraktoday.com/wp/?p=51334
hmetro.com.my/myMetro/articles/MBajarmengucap/Article/index_html

Suami Isteri Maut 5 Cucu Cedera

KOTA KINABALU — Sepasang suami isteri maut manakala lima orang cucu mereka cedera dalam kemalangan jalan raya di Kampung Tompias, Jalan Ranau-Telupid di sini hari ini.

Pasangan tersebut ialah Andau Kuat, 57, dan Sarani Ayoh, 55, yang terbunuh di tempat kemalangan yang berlaku kira-kira 4.30 petang.

Menurut Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Abdul Rahman Kassim, cucu-cucu mereka yang berusia antara enam hingga 14 tahun kini dirawat di Hospital Ranau.

Kemalangan dilaporkan berlaku antara kereta mereka dengan sebuah van yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai gagal memotong sebuah lori lalu bertembung dengan kereta mangsa.

Abdul Rahman berkata, pemandu van tersebut hanya cedera ringan dan telah ditahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Balai Bomba Daerah Ranau, Rudy Mekki berkata, para anggotanya yang dikejarkan ke tempat kejadian mendapati pasangan suami isteri tersebut tersepit di tempat duduk mereka.— BERNAMA

Sumber:
http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_25.htm

Pecah Kepala Dihimpit 2 lori

BAU: Seorang pemandu lori menemui ajal dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya pecah selepas terhimpit antara lorinya dengan lori dipandu rakannya yang menggelongsor ketika dia sedang mengikat kanvas bagi menutup batu dimuatkan dalam kenderaan berat itu.

Ketika kejadian di sebuah kuari di Jalan Tanjung Durian, di sini, mangsa Nerot anak Rantin, 27, berada di belakang lorinya menyebabkan dia melekat di tengah-tengah dua kenderaan itu, jam 8.15 pagi semalam.


Difahamkan, lori rakannya mengalami masalah brek menyebabkan ia menggelongsor. Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa dari Kampung Peninja Baru, di sini, dikatakan sedang bersiap menghantar batu diangkut dari kuari itu ke lokasi berdekatan.

“Mangsa sedang menutup batu dimuatkan dalam lorinya menggunakan kanvas dan di belakang lori dipandunya untuk mengikat tali kanvas.


“Secara tiba-tiba, lori dipandu rakan yang berada di belakang menggelongsor lalu merempuhnya. Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tersepit di tengah-tengah dengan kepalanya pecah.


“Pemandu lori yang juga rakan mangsa berusia 44 tahun panik dan cuba membantu, tetapi gagal sebelum menghubungi ambulans meminta bantuan,” katanya.

Menurutnya, polis serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat turut dipanggil bagi menghulurkan bantuan, tetapi pasukan perubatan Hospital Bau (HB) mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.


“Susulan itu, mayat mangsa dihantar ke HB untuk siasat manakala pemandu lori dari Taman Samarindah, Kota Samarahan itu dipanggil polis untuk memberi keterangan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.


“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan termasuk mendapatkan keterangan pemandu lori terbabit,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Dihimpit2lori/Article/index_html

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

IPOH - Hajat seorang pemuda menikmati suasana indah di Cameron Highlands tidak kesampaian apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya merempuh lori sayur di Kilometer 3 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands lewat petang kelmarin.

Mohd Ridzuan Mahathir, 23, dari Butterworth, Pulau Pinang maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata, dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Cameron Highlands.

Menurutnya, mangsa dipercayai tidak menunggang secara berseorangan tetapi ditemani beberapa rakan lain.

Bagaimanapun, ketika motosikalnya melalui satu simpang mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan merempuh lori tersebut.

“Kepala mangsa turut terkena bahagian tepi sebelah kanan lori sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah dan terbunuh di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.

Bagaimanapun, pemandu lori sayur yang dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Kuala Lumpur tidak mengalami sebarang kecederaan.

Al-Fatihah..

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/tak-sempat-sampai-cameron-highlands-1.31657

Pantang Maut Sebelum Ajal



SEREMBAN – Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku kepada seorang pelajar kolej apabila kereta dipandunya terhumban ke dalam gaung di Batu 7, Jalan Bukit Mantin, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, R Ganeshkumar, 24, cedera ringan selepas kereta Toyota Corolla yang dipandunya terbabas lalu terhumban ke dalam gaung.

Menceritakan detik cemas itu, Ganeshkumar yang juga pelajar jurusan Kejuru­teraan Mekanik dari Kolej Lagenda Mantin berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari rumah di Port Dickson ke asrama kolej.

Menurutnya, insiden berpunca apabila dia cuba mengelak seekor anjing yang melintas jalan tiba-tiba.

“Saya cuba mengelak dan menekan pedal brek namun kereta berpusing beberapa kali kerana jalan licin akibat hujan, ditambah pula kawasan itu menuruni bukit. Akibat gagal mengawal kenderaan, kereta saya terhumban ke dalam gaung sedalam 50 meter,” katanya, semalam.

Menurutnya, sejurus terhumban, dia cuba keluar dari kereta namun gagal kerana pintu tidak boleh dibuka.

“Saya keluar menggunakan pintu penumpang untuk menyelamatkan diri kerana bimbang berikutan kereta terhumban ke sebuah anak sungai. Sebaik keluar, saya lihat enjin kereta terbakar dan saya terus ke tebing sungai,” katanya.

Ganeshkumar berkata, dia cuba mendapatkan ban­tuan dengan menjerit minta tolong tetapi tidak berjaya kerana kawasan berkenaan adalah hutan, selain kejadian pada waktu malam.

“Saya beranikan diri merangkak menaiki tebing gaung dengan bercahayakan lampu telefon bimbit. Pendakian selama 30 minit dengan memaut akar pokok membolehkan saya naik ke atas tebing sebelum menghubungi rakan bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, beberapa minit kemudian, rakannya tiba memberikan bantuan dan membawanya ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk menerima rawatan lanjut.

“Saya bersyukur kerana masih selamat walaupun mengalami kecederaan di dada, pinggang, tangan dan kaki," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Mantin, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mazlan Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.51 malam dan sebuah jentera bersama enam anggota segera ke tempat kejadian.

“Sejurus tiba, anggota kami tidak dapat mengesan lokasi kereta terhumban tersebut berikutan terdapat maklumat mengelirukan. Operasi mencari bermula dari Kampung Belihoi hingga ke kawasan gaung terpaksa dihentikan kira-kira jam 1.07 pagi,” katanya.

Menurutnya, usaha mencari diteruskan keesokan harinya (semalam) kira-kira jam 8.26 pagi yang disertai enam anggota dan sebuah jentera bersama pihak polis.

“Selama enam minit usaha mencari, pihak kami menemui sebuah kereta dalam keadaan remuk di kawasan anak sungai. Bagaimanapun, mangsa tiada di tempat kejadian dan pihak kami dimaklumkan, mangsa sudah dibawa ke hospital untuk menerima rawa­tan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/merangkak-selamat-diri-1.31796

Ustazah SK Rembia Maut Bertembung Lori



Inalillahi wainailaihi rojiun

ALOR GAJAH - Seorang ustazah yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Rembia, di sini, terbunuh bersama kandungannya yang baru berusia tiga bulan, selepas kereta Perodua Kelisa yang dipandu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan sebaik melepasi selekoh di Kampung Air Hitam Lendu, di sini, kira-kira jam 3 petang semalam.

Ketika kejadian, mangsa, Manisah Md Diah, 32, memandu berseorangan dari Alor Gajah menuju ke arah Masjid Tanah bertembung dengan lori satu tan sarat dengan muatan baja dipercayai hilang kawalan selepas tayar hadapan sebelah kanan lori terbabit meletup.

Saksi yang juga penduduk kampung, Jefridin Ali Mohamad, 32, berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian dan terdengar bunyi letupan kuat dari arah Masjid Tanah.

“Ketika itu saya berada di luar rumah, tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat tayar kenderaan pecah disusuli dentuman kuat. Saya berlari ke arah jalan raya dan melihat sebuah lori dari arah Masjid Tanah itu sedang menyeret sebuah kereta, kira-kira 15 meter di laluan bertentangan. Saya menjerit meminta bantuan orang awam dan berlari ke arah mangsa yang semakin lemah. Mulutnya berbuih selain mangsa me-ngalami cedera parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.

Jefridin berkata, dia bersama beberapa orang awam membantu mengeluarkan mangsa menerusi pintu belakang sebelah kanan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah menggunakan ambulans.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, berkata, mangsa seorang guru yang mengajar Pendidikan Islam dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menuju ke Masjid Tanah.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada letupan tayar satu tan yang dipandu seorang lelaki berusia lingku­ngan 40-an, hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta yang dipandu mangsa. Mangsa mengalami kecederaan parah di kedua belah kaki, badan dan muka dan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil atau menghubungi Balai Polis Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5563222,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/ustazah-maut-kereta-diseret-1.31699

Terhumban 5 Meter Dirempuh Bas



Inalillahi wainailaihi rojiun

TAMPIN – Salah seorang anak mangsa kemalangan di kilometer 27, Jalan Tampin-Gemas, berdekatan Geduk, Gemencheh, pagi semalam tidak menyangka perbezaan sikap abahnya pada sebelah petang sebelum kejadian petanda abahnya akan pergi buat selama-lamanya.

Nurul Shafini Azlan, 24, berkata, dia tidak menyangka sikap arwah abahnya yang sempat bergurau bersama ibu, Supiah Mahmod, 48, adik bongsu, Naziratul Azira Azlan, 15, dan anak buahnya adalah petanda terakhir.

Menurutnya, jika sebelum ini, abahnya agak tegas dan serius ketika bersama keluarga. Namun, abahnya tidak seperti biasa dan sempat duduk dibuai bersama ibu selama lebih sejam serta bergurau bersama mereka.

“Abah kata, abah ingin menunaikan umrah tetapi hanya seorang diri sahaja dan sudah meminta maaf daripada semua kenalannya. Malah, abah sempat bergurau dengan adik dan adik meminta sebuah bilik daripada abah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat, Hospital Tampin (HT), semalam.

Mangsa yang juga pemandu van kilang dari Felda Jelai 3, Gemas, dekat sini, maut apabila kereta dipandunya dari arah Gemas bertembung de­ngan sebuah bas henti-henti dari arah bertentangan di kilometer 27, Jalan Tampin-Gemas, berdekatan Geduk, Gemencheh, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, mangsa yang memandu kereta Proton Wira dipercayai dirempuh bas henti-henti tanpa penumpang susulan bas berkenaan terbabas ke arah bertentangan selepas merempuh seekor lembu.

Sementara itu, Supiah berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan suaminya adalah jam 5.30 pagi sebelum suaminya berangkat ke tempat kerja di Alor Gajah dan pada pagi berkenaan, suaminya tidak menikmati sarapan yang disediakan seperti kebiasaannya.

“Ketika arwah ingin ke tempat kerja, akak sempat bertanyakan padanya kenapa pergi kerja dengan kereta dan bukannya van kilang, namun dia menyatakan akan bertukar dengan kenalan di Gangsa, Alor Gajah. Selepas itu, akak sangat terperanjat apabila dimaklumkan orang kampung yang datang ke rumah sekitar jam 7.30 pagi mengatakan suami akak kemalangan,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang yang mengesahkan keja­dian­ itu berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah bas henti-henti dari arah bertentangan.

Katanya, susulan pertembungan itu, kereta yang dipandu mangsa terhumban ke dalam kebun kelapa sawit sejauh lima meter. Mayat mangsa dihantar ke HT untuk bedah siasat dan pemandu bas tidak cedera.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/arwah-abah-sempat-bergurau-1.31644

Ambulans Terbalik Rempuh Lembu



LABOK – Gara-gara seekor lembu, sebuah ambulans terbalik menyebabkan lima penumpang dan pemandunya cedera ringan selepas terlanggar seekor lembu di Labok, pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 8 pagi, di depan Pejabat Pelajaran Daerah Machang itu menggemparkan penduduk tempatan, dan pengguna jalan raya apabila ia melibatkan ambulans yang membawa pesakit.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan, Che Malek Bedot berkata, kesemua mangsa termasuk pesakit selamat dan tidak mengalami kecederaan parah.

Katanya, ambulans dari Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian itu dalam perjalanan menghantar pesakit yang juga warga emas ke Hospital Kuala Krai sebelum terlibat dalam kemalangan itu.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, lembu itu dipercayai tiba-tiba melintas jalan. Akibat kejadian itu, lembu tersebut mati di tempat kejadian” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Tinjauan wartawan juga mendapati dua lampu jalan di kawasan itu turut rosak akibat kemalangan itu.

Pada masa sama, pengguna jalan raya, Hussin Alias, 45 meminta pihak berkenaan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengatasi kejadian itu untuk mengelak kejadian sama berulang.

Katanya, kemalangan melibatkan haiwan ternakan kerap kali berlaku di kawasan itu, dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya demi keselamatan pengguna.

“Bukan hanya menyebabkan kecederaan atau kerugian kepada pengguna jalan raya, juga mengancam nyawa sedangkan penternaknya mengaut keuntungan dengan mudah.

“Perkara ini bukan perkara baru namun, sering berbangkit dan seolah-olah tiada penyelesaian malah berulang kali berlaku. Bukan masanya lagi untuk berlembut dengan penternak yang degil itu, sedangkan ia menyebabkan kematian, kesakitan dan kerugian­ kepada orang lain,” katanya

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/ambulans-langgar-lembu-1.31689

Monday, March 12, 2012

Toyota Alphard Rempuh Toyota Estima



PARIT BUNTAR: Tindakan seorang pemandu memberhentikan kenderaan pelbagai gunanya (MPV) di lorong kecemasan untuk membuat panggilan telefon, berakhir dengan tragedi apabila kereta itu dirempuh dari belakang oleh sebuah MPV lain mengakibatkan dua maut dan 10 yang lain cedera di Kilometer 181.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat sini, pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, lelaki dikenali sebagai Tang Ah Tee, 65, dan cucunya Tan Tei Yee, 13, yang duduk di bahagian belakang Toyota Estima yang berhenti di lorong kecemasan itu, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Fauzi Mat Nayan, berkata pemandu Estima, Tan Bee Ling, 39, memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan untuk membuat panggilan telefon apabila sebuah MPV jenis Toyota Alphard yang juga dari arah selatan merempuhnya dari belakang.

Katanya, Toyota Alphard remuk di bahagian depan, manakala Toyota Estima remuk di bahagian belakang dengan kedua-dua kenderaan melintang di tengah jalan akibat rempuhan itu mengakibatkan berlaku kesesakan jalan raya yang teruk di laluan menghala ke utara.

Beliau berkata, ketika kejadian Toyota Estima dinaiki enam sekeluarga dalam perjalanan dari Pontian, Johor, dipercayai mahu bercuti ke Pulau Pinang, manakala Toyota Alphard juga dinaiki enam sekeluarga dari arah Kuala Lumpur juga dalam perjalanan arah utara.

Penumpang lain dalam Estima yang cedera ialah Bee Liang, Tan Poke Peck, 32; Tan Yoke Leng, 31 dan Tan Poh Siong, 36.

Di IPOH, seorang juruteknik, Cheah Chee Sheong, 19, maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas persiaran di Jalan Klebang Farlim, jam 11.20 malam kelmarin.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Abdul Rahman Mohd Som, berkata pihaknya mengambil lebih 30 minit mengeluarkan mayat tersepit.

Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/Duaterbunuh_10cederanahasMPV/Article
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Juruteknik pendingin hawa maut



IPOH - Seorang juruteknik di sebuah kilang pendingin hawa maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas persiaran di kawasan perindustrian Menglembu, lewat malam kelmarin.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 malam semasa Cheah Chee Sheong, 19, memandu kereta jenis Proton Iswara berseorangan ke arah jalan Ipoh-Lumut.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Pusing, didapati gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Akibatnya, kenderaan yang dipandu mangsa bertembung secara berhadapan dengan sebuah bas persiaran yang sedang menghala ke arah bandar raya Ipoh. Bas tersebut membawa tiga penumpang termasuk seorang pemandu yang dipercayai mempunyai ikatan keluarga dan dalam perjalanan untuk menikmati makan malam,” katanya.

Mangsa dilaporkan maut serta-merta di tempat kejadian akibat cedera parah pada muka dan beberapa bahagian badan yang lain.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat dan sudah dituntut keluarga untuk upacara pengebumian hari ini (semalam),” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian semalam mendapati berlaku kesesakan jalan raya sepanjang 200 meter di kawasan tersebut.

Orang ramai yang melalui jalan tersebut turut mengambil kesempatan melihat anggota keselamatan mengeluarkan mangsa selain merakam foto melalui telefon bimbit masing-masing.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Abdul Rahman Mohd Som berkata, beliau tiba bersama enam anggota dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Putih kira-kira jam 11.45 malam.

Katanya, anggotanya mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana kaki mangsa tersepit di bawah stereng kereta tersebut.

“Kami mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaan yang remuk dan rosak teruk akibat kemalangan itu. Selain itu, bas terbabit turut terbabas masuk ke dalam longkang berhampiran kira-kira 50 meter daripada kereta tersebut namun penumpang serta pemandunya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, operasi yang turut dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tamat pada jam 12.40 tengah malam.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/terbabas-50-meter-1.31423

Treler petrol terbabas



PERAI – Sebuah treler yang membawa muatan 32,000 liter petrol terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan papan tanda dalam satu kejadian berhampiran Jalan Perusahaan Perai, di sini, kelmarin.

Difahamkan, kemalangan sekitar jam 5.45 petang itu berlaku ketika pemandu baru hendak memulakan perjalanan menuju ke Ipoh, Perak dari syarikatnya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

Kejadian bukan sahaja mencemaskan pengguna yang bimbang berlaku kebocoran, malah turut menyebabkan kesesakan sejauh lebih satu kilometer hingga ke bulatan Perai.

Bagaimanapun, pemandu treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun bahagian hadapan kenderaannya hampir remuk.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Balai Bomba Perai, Mohd Azri Mad Saad berkata, sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan dari orang awam pada jam 5.50 petang

Menurutnya, pasukan yang tiba dua minit selepas itu bertindak membuat pemeriksaan ke atas treler berkenaan, bagi mengesan jika berlaku sebarang kebocoran pada tangki yang bermuatan petrol itu.

Bagaimanapun, hasil siasatan awal pihaknya mendapati kejadian berpunca daripada kerosakan pada bahagian stereng.

“Meskipun hanya kemalangan kecil, namun kami tidak boleh memandang remeh kerana apa saja boleh berlaku jika tangki itu bocor. Begitu pun, hasil pemeriksaan mendapati, tiada kebocoran mahu pun keretakan pada tangki petrol yang dibawa. Akan tetapi, kami perlu bersedia sepanjang proses menunda lori berkenaan keluar dari kawasan rumput ini bagi memastikan ia berjalan lancar,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/treler-muatan-petrol-terbabas-1.31429

Lori 5 Tan Terbalik



ALOR GAJAH - Seorang lelaki nyaris maut apabila lori lima tan yang dipandu terbalik selepas bergesel dengan sebuah lori lain di Kilometer 208.3 arah utara ke selatan, berhampiran Restoran Jejantas, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa dari Kuala Lumpur menuju ke Johor hilang kawalan dan terbalik di laluan kecemasan sebelum disusuli satu lagi rempuhan oleh sebuah pacuan empat roda.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, ketika kejadian pemandu berkenaan mahu memasuki semula laluan paling kiri selepas gagal memotong sebuah lori lain di hadapan.

“Lalu menyebabkan lori mangsa bergesel dengan lori berkenaan sebelum hilang kawalan dan terbalik. Malangnya, lori mangsa kemu­diannya dihentam sebuah pacuan empat roda yang tidak sempat mengelak. Bagaimanapun, mangsa berjaya keluar melalui cermin hadapan yang pecah dan bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, lori yang gagal dipotong mangsa tidak memberhentikan kenderaan, sebaliknya memecut lebih laju dan polis masih belum mengenal pasti nombor pendaftaran lori terbabit.

Sementara pemandu pacuan empat roda terbabit, Lim Boon Chai, 41, berkata, dia dari Kuala Lumpur menuju ke Batu Pahat, Johor, berada di laluan paling kiri dan tidak sempat mengawal kenderaan lalu merempuh lori mangsa yang sudah terbalik.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/terbalik-selepas-gagal-memotong-lori-lain-1.31418

Sunday, March 11, 2012

Bakal jururawat dan Pelajar Sungai Koyan Maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

KUANTAN: Dua lelaki termasuk seorang pelajar sekolah menengah maut dalam kemalangan jalan raya berasingan di Pahang, Jumaat.

Dalam kejadian pertama, pelajar lelaki tingkatan lima maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Km39 Jalan Lipis-Tanjung Gahai, dekat Kuala Lipis pada 2.30 petang.

Pegawai Penguat Kuasa Tadbir/Trafik Negeri Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata Mohamad Hafiz Mustafa, 17, pelajar Sekolah Menengah Sungai Koyan mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Dalam kejadian lain, seorang pelatih jururawat pergigian maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah jip di Km4 Jalan Jerantut-Temerloh, Temerloh, 9.15 malam tadi (Jumaat), katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Mangsa, Mohd Imran Abdul Rahim, 22, yang cedera parah di kepala meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.

Katanya pemandu jip berkenaan, Kam Nyat Yong, 51, dalam perjalanan dari arah Mentakab menuju ke Jerantut.

"Kedua-dua kes itu lini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Al-Fatihah...

Sumber:
http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2012/3/11/mstar_jenayah/20120310151957&sec=mstar_jenayah

Ibu sempat mengajar mengucap



Inalillahi wainailaihi rojiun

KOTA BHARU: Pilu hati seorang ibu apabila melihat anak lelaki sulungnya tersepit di dalam kereta dan sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum meninggal dunia dalam kemalangan di simpang tiga Kampung Chekok, Jalan Panji, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi, Wan Ruzaiaziree Wan Sazuki, 23, yang juga mekanik meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta Wira dipandu rakannya dikenali sebagai Manan, 23, hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan jenis Toyota Harrier.


Rakan mangsa hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan.

Pemandu Toyota Harrier hanya cedera ringan.


Ibu mangsa, Wan Jah Wan Hassan, 48, berkata, dia yang tidur di rumahnya di Taman Sri Setia, Padang Tembak, dekat sini, dikejutkan oleh ketukan pintu rakan anaknya yang datang memaklumkan anaknya terbabit dalam kemalangan, satu kilometer dari rumahnya.


Katanya, dia bersama suami, Wan Sazuki Wan Yusof, 45, bergegas ke tempat kejadian dan mendapati anaknya dalam keadaan separuh sedar dan tersepit di bahagian depan kereta yang remuk.

“Saya menunggu anggota bomba mengeluarkan anak saya yang tersepit dan selepas dikeluarkan, saya menghampirinya yang kelihatan semakin lemah malah sempat mengajarnya mengucap sebelum dia meninggal dunia.


“Sebelum kejadian, anak saya keluar rumah membaiki kereta jam 1 pagi dan selepas selesai melakukan kerja, dia bersama rakan pergi ke rumah datuknya di Kampung Pantai Cahaya Bulan untuk mengambil alat ganti kenderaan, tetapi ketika dalam perjalanan pulang, dia terbabit kemalangan,” katanya.

Menurut Wan Jah, sebelum kejadian, anaknya tidak menunjukkan perubahan dan sentiasa ceria.


Katanya, dia reda dengan apa yang berlaku kerana ia ketentuan Allah.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.

Al-Fatihah...

Sumber:
hmetro.com.my/articles/2012031105011120120311050111/Article/artikelMA

Proton Saga Bertembung Toyota Unser



ROMPIN- Seorang lelaki maut, manakala rakannya pula mengalami cedera parah apabila kereta Proton Saga yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 14 Jalan Bahau-Rompin, di sini, lewat petang kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 7 petang itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dinaiki mangsa, M Preboo, 28 bersama rakannya, M Sivabalan, 21, hilang kawalan sebelum kenderaan masuk ke laluan berten­tangan.

Ketua Polis daerah, Superintendan Mohd Sabri Muhamad berkata, ketika itu kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan menuju ke Pekan Bahau.

“Kereta mangsa bertembung dengan kereta jenis Toyota Unser yang dinaiki pasangan suami isteri berumur lingkungan 50-an di laluan bertentangan.

“Pasangan berkenaan cuba mengelak daripada dirempuh kereta mangsa bagaimanapun gagal lalu terbabas di bahu kiri jalan,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Mohd Sabri berkata, mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Rakannya pula, kini dirawat di Hospital Jempol. Manakala pasangan suami isteri terbabit hanya terkejut tetapi tidak mengalami cedera parah.

“Mayat mangsa kemu­dian­nya dibawa ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya tengah hari semalam,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, mangsa yang berasal dari Taman Melor, Rompin, meninggalkan seorang balu dan anak perempuan berusia 4 tahun.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pemandu-maut-rakan-cedera-1.31269

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my