loading...

Saturday, March 1, 2014

3 Sekeluarga Maut




Inalillahi wainailaihi rojiun

1 Mac 2014
MACHANG - Sepasang suami isteri bersama cucu mereka maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Kampung Banggol Judah, dekat sini, semalam kira-kira jam 4.30 petang.

Mat Rusof Mahmood, 54; isterinya,  Zuraida Mohd Ghazali, 42 dan cucu mereka, Ellyina Balqis Mohd Azlani, 4 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di keseluruhan badan.

Anak mangsa, Yuliza, 26 berkata,  kedua ibu bapa serta anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Sungai Hala, dekat sini dari Tok Bali, Pasir Puteh.

Katanya, anak sulung, Muhamad Eddy Firdaus, 7 yang bersama dalam kereta tersebut turut mengalami kecederaan parah di bahagian badan.

“Sudah menjadi kebiasaan ibu bapa saya keluar dengan membawa anak-anak saya bersama. Mereka keluar pada jam 10 pagi dan tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik.

“Saya hanya mengetahui kejadian ini apabila dimaklumkan jiran. Kejadian ini terlalu mengejutkan apatah lagi kehilangan tiga orang kesayangan serentak,” katanya menahan sebak.

Yuliza berkata, anak-anaknya sangat rapat dengan datuk dan nenek mereka memandangkan tinggal berdekatan dan dia adalah anak tunggal.

Katanya, ayahnya bekerja sebagai tukang kebun di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah, di sini selain turut melakukan pelbagai  pekerjaan sampingan yang lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot berkata, kemalangan  membabitkan dua kenderaan itu berlaku di Kilometer 10.6 Jalan Machang-Pasir Puteh, dekat sini.

Katanya, siasatan awal mendapati lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 48 tahun itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu Mat Rusof.

Katanya, ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian dengan Mat Rusof tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat Machang.

“Seorang lagi cucu mangsa mengalami kecederaan parah dan  mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Machang manakala pemandu dan kelindan lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“ Pemandu lori ditahan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat  di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan  1987. Orang ramai yang melihat kejadian ini diminta tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi  nombor 09-9751222,`katanya.

Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TigasekeluargamautnahasdiKM10_6JalanTanahMerah-PasirPuteh/Article/?bh
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/lori-didakwa-hilang-kawalan-1.255755



Maut rempuh kereta


1 Mac 2014
SEREMBAN – Seorang lelaki maut di tempat kejadian apabila motosikalnya dilanggar sebuah kereta yang baru sahaja keluar dari Plaza Tol Seremban di Kilometer 263.1, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.35 pagi itu, mangsa, yang hanya dikenali sebagai Rajamanikam, 56, mengalami cedera parah di bahagian kepala, serta beberapa anggota badan yang lain.

Menurut jurucakap polis, mangsa yang tinggal di Lukut Port Dickson dalam perjalanan berseorangan menuju ke Nilai untuk bekerja.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa secara tiba-tiba dirempuh sebuah kereta yang baru sahaja keluar dari Plaza Tol Seremban menuju ke arah Kuala Lumpur.

“Akibat daripada rempuhan tersebut, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas warna biru, melambung ke hadapan sebelum kepalanya terhentak di jalan raya, sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Walau bagaimanapun, pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu mengesahkan  kejadian tersebut.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-rempuh-kereta-1.255835


Friday, February 28, 2014

Pegawai Imigresen Maut




Inalillahi wainailaihi rojiun

28 Februari 2014
KANGAR: Seorang pegawai Imigresen yang juga penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBR 1000RR, Mohd Anis Amran,34, maut selepas mangsa merempuh sebuah kereta jenis Perodua Kembara di Jalan Kangar-Arau dekat Repoh, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, mangsa dalam perjalanan ke Kangar dari Arau sebelum merempuh bahagian hadapan kereta tersebut yang membuat pusingan 'U' di simpang masuk ke Taman Repoh di sini.
Mangsa maut di tempat kejadian akibat kederaan parah di kepala akibat terhumban ke atas jalan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk dibedah siasat.

Arwah yang tinggal di Sungai Batu Pahat, Jalan Abi di sini mempunyai seorang cahaya mata perempuan Aisyah Humairah, 7, dan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan menyertai rakan-rakan motosikalnya di Dataran Datuk Syeikh Ahmad di sini.

Menurut rakan mangsa, Ahmad Sirajudin Md Zain, 35, sebelum kejadian dia dan mangsa mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Jejawi, dekat sini untuk meneruskan perjalanan bagi menyertai Perlis Bike Festival 2014 di Kangar.

Katanya, apabila sampai di hadapan Taman Repoh mangsa gagal mengelak lalu merempuh kenderaan yang sedang membuat pusingan U.

“Kejadian berlaku terlalu cepat, saya lihat dia terpelanting selepas merempuh kereta tersebut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.



Seorang lagi rakannya yang enggan dikenali berkata, sehari sebelum kejadian, mangsa mengemas kini status di Facebooknya seolah-olah dia mahu pergi selamanya.

Dalam status tersebut arwah menulis, 'Hari ini aku boleh mandi sendiri, mungkin esok orang lain yang akan memandikan aku. Hari ini aku bahagia bersama orang disekelilingku, mungkin esok aku akan bersendirian di sana. Andai kata hari ini hari terakhir aku hidup di dunia, ampunkanlah salah dan silap aku sepanjang perkenalan kita. Sekiranya aku pergi, sedekahkanlah Al-Fatihah sebagai tanda kau merinduiku'.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, dalam kejadian kira-kira 10 pagi semalam, mangsa dipercayai dari rumahnya di Batu 2 ½ Jalan Batu Pahat dalam perjalanan ke Kangar.

Katanya, pemandu kereta yang berusia 70 tahun yang dalam perjalanan ke rumahnya di Repoh tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Keterangan pemandu tersebut telah diambil dan polis akan menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pegawaimautrempuhkereta/MA/Article/index_html
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-rempuh-kereta-buat-pusingan-u-1.255869



Tragedi sambutan hari jadi


28 Februari 2014
KAMPAR – Kegembiraan empat sahabat meraikan hari jadi seorang rakan mereka di Ipoh, berakhir dengan tragedi apabila mereka maut selepas bertembung dengan sebuah lori muatan bitumen di Kilometer 26, Jalan Ipoh – Kuala Lumpur, kira-kira 500 meter dari simpang Gua Tempurung di sini, awal pagi semalam.







Dalam nahas kira-kira jam 5 pagi itu, pemandu, Thomas Loh H’ng Tet, Koh Suet Mun, Ling Yok See dan Wong Pei Pei maut di tempat kejadian.

Kesemua mangsa berusia 20 tahun, merupakan pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) dan dijangka menerima diploma April ini.
Ketika kejadian, keempat-empat mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah sewa mereka di Kampar bersama lapan rakan yang menaiki dua kereta.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, kereta Perodua Viva dinaiki mangsa dipercayai gagal memotong sebuah kenderaan di depan lalu bertembung dengan lori terbabit sebelum berpusing dan terbalik.

Katannya, lori berkenaan dalam perjalanan menghantar muatan bitumen ke Taiping.

“Akibat rempuhan kuat, kesemua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing. Bonet kereta terperosok di bucu belakang lori ditutupi dengan bitumen panas selepas rempuhan itu.
"Anggota Bomba mengambil masa hampir dua jam  mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kong Soon berkata, kesemua mangsa yang maut akibat cedera parah di kepala dan anggota badan dibawa ke Hospital Kampar sebelum dituntut keluarga masing-masing.

Mangsa, Suet Mun berasal dari Bukit Merah, Lahat; Yok See (Desa Manjung Raya, Lumut) dan Pei Pei (Kinta Valley, Batu Gajah) manakala, Thomas gagal ditemui butir-butir pengenalan diri.


Pemandu lori ditahan

Pada masa sama, Kong Soon berkata, pemandu lori berusia 42 tahun tidak cedera dan akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagaimanapun, katanya, lelaki itu akan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik selepas dia dikehendaki kerana pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan mendapati, lelaki berkenaan mempunyai 28 rekod kesalahan lalu lintas dan mempunyai satu waran belum disempurnakan selepas didapati memandu tanpa cukai jalan beberapa tahun lalu.
“Hasil ujian mendapati, pemandu terbabit tidak mabuk ketika kemalangan itu. Lepas habis siasatan dalam kes ini, dia akan diserahkan ke IPD Gerik bagi kesalahan lain,” katanya.


Bapa hanya mampu lihat

Bapa seorang daripada mangsa yang enggan dikenali hanya mampu melihat anak perempuannya itu tersepit di bahagian tempat duduk belakang sebelum dikeluarkan anggota bomba.

Dia yang berusia 50-an dikejutkan dengan panggilan seorang rakan anaknya yang memberitahu anak ketiganya itu terlibat dalam kemalangan tanpa diberitahu keadaan sebenar anaknya.

“Saya tidak boleh buat apa-apa. Mereka tidak meraung mahupun menangis ketika itu. Saya terkejut melihat anak kaku di tempat duduk belakang dengan keadaannya berlumuran darah dan saya gagal mengeluarkan anak kesayangan saya sebelum bomba tiba.

“Saya bingung kenapa anak saya pergi ke Ipoh tanpa memberitahu sebab-sebabnya dan pulang seawal pagi ini sedangkan dia boleh tidur di rumah kami di Lahat,” katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Kampar.

Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Dapatpetandaperkaraburuktimpaanak/Article
http://www.nst.com.my/latest/14-including-4-university-students-dead-in-4-early-morning-accidents-1.494191
http://www.sinarharian.com.my/semasa/bapa-tergamam-lihat-anak-tersepit-1.255395
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kakudalamkeretaberkecai/MA/Article/index_html




Wednesday, February 26, 2014

Pelajar Maut Rempuh Kereta Guru



26 Februari 2014
SEREMBAN – Seorang pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Pagi, di sini, maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Seremban -Tampin, berhampiran sebuah kuari, ketika dalam perjalanan ke sekolah, semalam.


Dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi itu, N Thinesh, 19, pelajar tingkatan enam sekolah terbabit, maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan ke sekolah dari rumahnya di Ladang Perhentian Tinggi, Sungai Gadut.

“Sejurus sampai ke lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Mangsa tercampak ke atas jalan raya sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Kelisa yang datang dari arah Seremban,” katanya.

Menurutnya, kereta yang dipandu seorang guru wanita itu kemudian terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar pula sebuah motosikal lain.

Jurucakap berkata, pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal berusia 55 tahun mengalami  cedera parah.

“Pemandu kereta berusia 30 tahun yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Rembau bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Baharudin Mustafa mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta  ke balai polis berhampiran atau menghubungi Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6014999 bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-dalam-perjalanan-ke-sekolah-1.254829



Budak maut digilis jiran


26 Februari 2014
SABAK BERNAM - Disangkakan sampah, rupa-rupanya seorang budak. Itulah trauma yang dihadapi seorang pemandu kereta BMW apabila melanggar anak jirannya berusia lapan tahun di halaman rumahnya di Taman Perumahan Jalan Radin, Sekinchan, yang disangka sampah, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa, Pua Yen An, gagal diselamatkan apabila mati dalam perjalanan ke Hospital Tanjung Karang akibat kecederaan serius dan pendarahan di bahagian anggota badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, kejadian itu berlaku sewaktu pemandu lelaki berusia 60 tahun itu cuba menggerakkan kenderaannya yang berhenti di halaman rumah.

“Sebelum kejadian, pemandu terbabit dipercayai mengundurkan keretanya keluar dari rumahnya dan kemudian memberhentikan kenderaannya untuk mencari dokumen dalam kenderaan terbabit,” katanya.

Noor Mushar berkata, lelaki yang menjumpai dokumennya itu terus menekan pedal minyak untuk meneruskan perjalanannya, bagaimanapun dia tiba-tiba terlanggar satu objek hingga menyebabkan kenderaannya bergoyang sebelum bertindak memberhentikan kereta terbabit.

“Apabila turun dari keretanya, pemandu yang pada mulanya ingin memeriksa kenderaannya terkejut apabila mendapati seorang kanak-kanak lelaki terbaring dalam keadaan anggota badannya berlumuran darah,” katanya.

Beliau berkata, beberapa jiran yang menyaksikan kejadian itu terus memaklumkan kejadian itu kepada bapa mangsa yang tinggal berhampiran dan terus membawa anaknya itu ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

“Bagaimanapun, anak mangsa gagal diselamatkan dan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 malam dan disahkan maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Tanjung Karang.

Beliau berkata, siasatan kes kemalangan itu dijalankan Inspektor Afiq Azhar Azrul Hardav di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/budak-disangka-sampah-1.254767



Pelajar Maut Digilis Bas Sekolah


Inalillahi wainailaihi rojiun

26 Februari 2014
Kuantan: “Kami berlari ke arah bas kerana mahu mendapat tempat duduk dan ketika itu saya melihat Adam terjatuh dan digilis,” kata rakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semambu, dekat sini, yang maut digilis bas sekolah petang kelmarin.


Dalam kejadian jam 3 petang itu, Adam Daniel Abdullah, 13, meninggal dunia selepas parah di kepala dan anggota badan akibat digilis kenderaan terbabit.


Rakannya yang mahu dikenali sebagai Rafi, 13, berkata, sebelum kejadian, dia bersama Adam menunggu bas untuk pulang ke rumah masing-masing di Taman Semambu di sini.

“Melihat bas sekolah tiba, kami dan beberapa pelajar lain berlari ke arah bas yang ketika itu masih belum berhenti sepenuhnya kerana mahu mendapat tempat duduk dan tidak perlu berdiri sepanjang perjalanan.


“Ketika berpusu-pusu ke arah bas berkenaan, Adam tiba-tiba terjatuh berhampiran bas lalu digilis di depan mata saya,” katanya di sini, semalam.


Dia berkata, beberapa pelajar lain yang melihat kejadian itu memanggil guru untuk menarik mangsa keluar dari bawah bas sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba beberapa minit kemudian.

“Saya sentiasa terbayang kejadian berkenaan kerana dia rakan yang mati di depan mata hanya kerana kami berebut mahukan tempat duduk,” katanya.


Pegawai Penguat Kuasa Tadbir danTrafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, ketika melihat bas sampai di depan sekolah, kumpulan pelajar itu berpusu-pusu.


Nenek sugul teringat arwah

Sementara itu, nenek Adam Daniel masih sugul dan terkejut dengan kejadian yang menimpa cucunya itu.

Lebih menyedihkan, Ana Musa, 57, yang menghidapi angin ahmar masih tidak boleh bercakap kerana terlalu sedih dengan kejadian itu.

Dia juga tidak memberi sebarang komen, malah hanya duduk dan banyak termenung.

Ibu saudara mangsa, Norhidayu Nordin, 30, berkata, insiden itu benar-benar mengejutkan mereka sekeluarga, malah tidak terlintas anak saudara yang dijaga sejak umur setahun menemui ajal dalam situasi tragis.

Menurutnya, ketika pihak sekolah menghubunginya, mereka sekeluarga dimaklumkan Allahyarham sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), tetapi panggilan kedua kira-kira jam 3 petang benar-benar mengejutkan kerana diberitahu Adam sudah pergi buat selamanya.

“Ketika menerima panggilan, saya sangat terkejut kerana kami semua sedang bergegas untuk ke HTAA,” katanya ketika lawatan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Semambu, Datuk Mohd Nazrul Mohd Arsad di rumahnya di RRM Lorong Semambu 12.

Bagaimanapun, pemergian Adam tidak dimaklumkan kepada neneknya kerana bimbang dia terkejut, tambahan pula kesihatannya tidak  begitu baik.

Norhidayu berkata, beberapa hari sebelum meninggal, Adam lebih banyak tersenyum dan sering bergurau dengan sepupu-sepupunya.

Menurutnya, hubungan Adam dan ibunya sangat rapat kerana mereka mengambil alih tugas menjaga pelajar itu sejak umur setahun selepas kedua ibu bapanya berpisah.

“Kami sangat sedih dengan pemergiannya kerana Allahyarham seorang yang peramah dan periang, malah turut disenangi ahli keluarga lain dan menjadi cucu paling rapat dengan neneknya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham Adam dikebumikan jam 10 malam kelmarin di Tanah Perkuburan Islam Setali.

Mesyuarat cari penyelesaian

Pengetua SMK Semambu, Leow Kim Hin berkata, pihaknya akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat dan menilai semula kaedah terbaik menyelesaikan masalah berkaitan keselamatan pelajar terutama kemudahan bas.

Katanya, beliau mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.45 petang selepas selesai sesi pembelajaran.

“Kita dimaklumkan, ketika kejadian ramai pelajar yang mahu menaiki bas dan Adam dikatakan terjatuh sebelum kemalangan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nazrul melahirkan rasa simpati dan menyifatkan kejadian itu amat menyedihkan apatah lagi berlaku di kawasan sekolah.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan pengurusan sekolah supaya menyediakan  tempat menunggu bas khas di kawasan berkenaan untuk pelajar bagi memastikan aspek keselamatan mereka terjamin.

Katanya, tragedi itu perlu menjadi pengajaran kepada semua termasuk ahli PIBG dan kerjasama ibu bapa perlu bagi mengingatkan anak-anak supaya sentiasa sabar dan berdisiplin bagi elak kejadian berulang.

Mohd Nazrul turut mencadangkan pihak sekolah meletakkan guru untuk memantau pelajar pada waktu kritikal.

“Walaupun sudah ada pengawal tetapi perlu ada guru yang memerhati untuk memantau pelajar ketika waktu pulang sekolah,” katanya.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, berdasarkan maklumat daripada pengetua sekolah terbabit, kejadian dipercayai berlaku ketika pelajar keluar selepas selesai waktu persekolahan.

Menurutnya, mangsa bersama beberapa pelajar lain dipercayai berlari ke arah bas sekolah yang mereka akan naiki untuk pulang ke rumah.

“Semasa berebut untuk menaiki bas, mangsa dipercayai terjatuh ketika bas sedang bergerak sebelum digilis tayar bas terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Jasmani berkata, semasa kejadian bas sekolah tersebut dipercayai masih bergerak ketika pemandu sedang mencari tempat sesuai untuk berhenti, manakala pintunya juga masih belum dibuka.

“Polis menahan pemandu bas berusia 45 tahun untuk diambil keterangan dan menjalani ujian saringan air kencing.

“Mayat pelajar terbabit dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Al-Fatihah

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ajalberebuttempatduduk/Article/index_html
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/pelajar-maut-digilis-bas-sekolah-1.254682



Monday, February 24, 2014

Kereta terjunam ke parit



24 Februari 2014
IPOH - Sepasang suami isteri nyaris maut selepas kereta jenis Proton Wira yang mereka naiki terbabas melanggar motosikal sebelum terjunam ke dalam parit dalam kejadian kemalangan yang berlaku di Jalan Ipoh – Lumut berhadapan Taman Arked, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Anuar Othman berkata, kemalangan yang berlaku jam 6.30 petang itu berlaku apabila pemandu kereta berusia 55 tahun dipercayai diserang sakit belakang dan leher menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan dipandunya.

Menurutnya, mangsa bersama isterinya yang berusia 36 tahun dari Menglembu dalam perjalanan ke Batu Gajah sebelum terbabit dalam insiden tersebut.

“Siasatan awal mendapati, mangsa tidak dapat mengawal kenderaannya lalu melanggar seorang lelaki berusia 51 tahun yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal terbabit mengalami luka di kepala, patah bahu kanan dan kecederaan di kaki kanan.

“Manakala, mangsa mengalami sakit leher serta pinggang dan isterinya cedera dan luka di tangan kanan,” katanya yang memberitahu ketika kejadian cuaca baik dan keadaan jalan kering serta lurus.

Katanya, semua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, pihaknya turut meminta bantuan trak penunda untuk menarik kereta ke atas jalan raya.

“Berikutan itu, kes disiasat di bawah Rule 10 LN166/59 kerana gagal mengawal kenderaan menyebabkan kemalangan,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/nyaris-maut-kereta-terjunam-ke-parit-1.254036



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my