loading...

Friday, December 13, 2013

Bas tembusi bagunan kedai



13 Disember 2013
KUALA LUMPUR - “Bas yang dipandu sangat laju sejak mula-mula saya naik. Terasa melayang-layang macam mahu terbang.”

Adu seorang penumpang sebuah bas Rapid yang terbabas sebelum menghentam dan menembusi bangunan kedai menjual pam air dan alat-alat jentera di Jalan Pudu, lewat petang hari ini.

Separuh dari bas berkenaan berada di bahagian dalam bangunan kedai itu mengakibatkan bahagian hadapan bas remuk.

Misari Nisar, 24, berkata, ketika kejadian, dia berada di tempat duduk bahagian belakang bas.

Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas, namun apa yang dia ingat, bas bergerak terlalu laju.

“Ada penumpang yang menjerit supaya bas diperlahankan tapi masa itu bas sudah ‘terbang’ ke seberang jalan. Saya terhantuk ke hadapan dan terjelepok di bawah tempat duduk hadapan, kemudian pengsan.

“Barangan peribadi saya termasuk beg, dompet dan telefon bimbit hilang sebaik saya sedar,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, seramai kira-kira 20 penumpang berada dalam bas berkenaan.

Bas berkenaan datang dari Jalan Imbi ke Jalan Pudu menuju ke arah Jalan Cheras terbabas di laluan bertentangan dan menghentam bangunan kedai terbabit.

Sumber bomba berkata, terdapat tiga mangsa termasuk seorang lelaki warga emas dan dua wanita berusia 40-an cedera ringan dalam kejadian itu dan diberi rawatan segera oleh ambulans yang tiba.

Sementara itu, pemilik kedai berkenaan, Lim Ho Peng, 66, berkata, ketika kejadian kedainya telah tutup daripada beroperasi.

Dia yang berada di bangunan bersebelahan terdengar bunyi dentuman yang amat kuat dari arah kedainya.

“Kedai sudah tutup dari jam 5.30 petang, tapi saya belum balik dan terdengar bunyi dentuman kuat.

“Bila saya tengok rupa-rupanya sebuah bas menghentam kedai. Banyak alat jentera untuk jualan dan pameran rosak, dirempuh bas termasuk dihempap batu dinding kedai,” katanya.

Difahamkan peralatan pam air dan alat-alat jentera yang musnah bernilai RM500 hingga RM50,000 setiap satu namun jumlah kerugian belum dikenal pasti.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/bas-terbang-tembus-kedai-1.230347




Bahaya topi keledar mainan



13 Disember 2013
BANDA HILIR - Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) kecewa dengan sikap sesetengah ibu bapa yang mengabaikan keselamatan anak-anak apabila menggunakan topi keledar mainan ketika membonceng motosikal.

Pengarah JKJR negeri, B. Shanthini berkata, pihaknya mengesan masih ramai ibu bapa menggunakan topi keledar berkenaan ketika pihaknya menyertai operasi bersepadu,  bukannya topi keledar yang menepati piawaian.

Menurutnya, topi berkenaan tidak direka khas untuk kegunaan motosikal, sebaliknya hanya untuk berbasikal atau papan luncur beroda.

“Alasan sering diberi ibu bapa adalah mereka tidak mengetahui terdapat topi keledar untuk kanak-kanak dijual di pasaran, selain tidak mahu menggunakan topi keledar dewasa kerana ia longgar ketika dipakai kanak-kanak.

“Mereka juga lebih suka beli topi mainan ini kerana murah. Tapi, harga sebenarnya sama dengan topi keledar dewasa iaitu antara RM30 hingga RM40 satu,”  katanya pada majlis perjumpaan Pengarah JKJR bersama media di pejabat JKJR negeri, dekat sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JKJR negeri, Abdullah Kechut.

Shathini berkata, pihaknya menyediakan tidak kurang 10 topi keledar kanak-kanak setiap kali menyertai operasi bersepadu untuk ditukarkan kepada mereka yang menggunakan topi mainan.

Sementara itu, Shanthini berkata, pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri dalam memantau penjualan topi mainan di kedai-kedai motosikal.

Pakai Topi Keledar Yang Sesuai

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/bahaya-topi-keledar-mainan-kanak-kanak-1.230117



Kepala Putus kemalangan di Rembau


13 Disember 2013
REMBAU - Seorang lelaki putus kepala apabila keretanya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Km39.1, Jalan Seremban-Tampin di sini hari ini.
 
Kejadian berlaku kira-kira 11 pagi ketika R.Sivakumar, 39, dalam perjalanan dari arah Tampin menuju Seremban.
 
Jurucakap polis berkata mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan dan cuba memotong beberapa kenderaan lain dihadapannya sebelum bertembung dengan treler berkenaan.
 
"Tubuh mangsa tersepit di tempat duduk sementara kepalanya putus dan tercampak keluar dari kereta," katanya.
 
Pemandu treler berkenaan yang berusia 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
 
Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Mizan Md Dom memgesahkan kejadian itu.  - Bernama








Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/mangsa-putus-kepala-kemalangan-di-rembau-1.230286
http://www.thestar.com.my/News/Nation/2013/12/13/Man-loses-head-accident.aspx
http://www.tv9.com.my/beritatv9/tajuk_utama/Terputus_Kepala_Apabila_Kereta_Yang_Dipandu_Bertembung_Dengan_Sebuah_Treler.html#.UqsPc9IW2So




Thursday, December 12, 2013

Pekerja cat jalan maut dirempuh


Inalillahi wainailaihi rojiun

12 Disember 2013
JASIN - Seorang pekerja am maut dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika sedang mengecat jalan di Kilometer 19, Lebuh Ayer Keroh-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) semalam.



Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, mangsa Muhamad Syafiq Abdull Talib, 22, sedang menolak mesin berisi cat bagi melakukan kerja-kerja mengecat jalan bersama seorang lagi pekerja warga Indonesia dikenali Mawardi.

Sebuah MPV jenis Nissan Grand Livina dari arah Melaka menghala ke Muar kemudian merempuh mangsa sehingga tercampak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Mangsa yang beralamat di Kampung Cherok Tok Latah, Mukim Wang Tepus, Kedah dikatakan baru seminggu memulakan kerja sebagai pengecat jalan di Melaka dan sudah dua hari melakukan kerja-kerja mengecat jalan di kawasan itu.

Saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai Sofi berkata, ketika kejadian dia berada di dalam lorinya dan ternampak kenderaan MPV dipandu laju memasuki laluan yang diletakkan kon keselamatan.

Menurutnya, dia sempat menjerit ke arah pekerja terbabit, namun mangsa tidak sempat menyelamatkan diri.

“Saya melihat dari cermin sisi lori dan ternampak MPV dipandu laju itu masuk jalan yang diletakkan kon keselamatan dan semakin hampir dengan mereka.

“Saya sempat menjerit menyuruh mereka lari, namun mangsa tidak sempat berbuat demikian dan dirempuh kenderaan terbabit,” katanya.

Sementara itu, pekerja Indonesia terbabit sempat menyelamatkan diri, namun mengalami kecederaan teruk di muka akibat terkena simbahan cat jalan terbabit dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hisamuddin Hashim mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pekerja-cat-jalan-dirempuh-1.229746
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kontrak__8216_garisanmaut__8217_/Article/index_html#child



Tuesday, December 10, 2013

Mahasiswa maut dirempuh lori



Inalillahi wainailaihi rojiun

11 Disember 2013
SEGAMAT - Seorang mahasiswa sebuah pusat pengajian tinggi di Pahang dipercayai dalam perjalanan pulang ke pusat pengajiannya maut apabila motosikal dinaiki terjatuh sebelum dirempuh kenderaan lain di KM 183.8 Jalan Johor Baharu-Seremban, petang kelmarin.


 “Saya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia mengikut sebelum gagal memberi sebarang reaksi,” kata seorang lelaki dikenali sebagai Man, 28, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berdiri di depan sebuah pasar raya berhampiran jalan berkenaan.

“Saya terus berlari untuk melihat keadaan mangsa.

Ketika itu, saya melihat kepalanya berlumuran darah.

“Saya memangku dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, dia menurutinya sebelum terus diam,” katanya.

Katanya, beberapa minit kemudian, polis tiba di lokasi.

“Pada masa sama, beberapa bungkusan kerepek ubi turut bertaburan atas jalan dan ia mungkin bekalan keluarga untuk mangsa,” katanya.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Kamil Sukarmi berkata, dalam kejadian 5.40 petang kelmarin, mangsa, Khairulazhar Azizi Puwiran, 21, berasal dari Kampung Parit Lapis Mukim 4, Batu Pahat, dikatakan dalam perjalanan pulang ke Pahang selepas menghabiskan cutinya di kampung.

“Berdasarkan siasatan awal, motosikal Yamaha 135LC dinaiki mangsa telah bergesel dengan sebuah kereta dari arah sama dan mangsa yang tidak sempat mengelak terus terjatuh sebelum dirempuh sebuah lori treler yang datang dari sebelah kiri arah sama.

“Pemandu lori tersebut yang menyedari melanggar mangsa hanya memberhentikan lorinya 30 meter daripada tempat kejadian dan mangsa juga sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh pengguna jalan tersebut,” katanya.

Menurutnya, mangsa cedara parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Daerah Segamat (HDS) menaiki ambulans.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ucapsyahadahsebelumdiam/Article/index_html
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/mahasiswa-maut-digilis-lori-1.229444




Terbabas di susur masuk ke Rawang,



Inalillahi wainailaihi rojiun

11 Disember 2013
SUNGAI BULOH – Seorang pemuda sempat bersarapan bersama rakannya sebelum menemui ajal apabila motosikal yang ditungganginya terbabas dalam kejadian di laluan susur masuk ke Rawang, Lebuhraya Guthrie, kira-kira jam 1 petang semalam.

Sumber polis memaklumkan, mangsa dikenali sebagai Muhammad Syauqi Mahyudin, 21, berasal dari Kerteh, Terengganu.

“Mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha R6 milik rakan terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum tubuhnya melambung dan jatuh di atas kawasan berumput," katanya.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

“Salah seorang rakan mangsa yang mengekorinya dari belakang  telah dipanggil memberi keterangan dan mayat telah dituntut oleh ahli keluarganya untuk dibawa dikebumikan di Kerteh, Terengganu,” katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pemuda-maut-motor-terbabas-1.229561



Monday, December 9, 2013

Terbabas elak anjing


9 Disember 2013
REMBAU – Seorang bayi berusia dua bulan terselamat dalam kemalangan apabila kereta yang dipandu datuknya terbabas ke kanan jalan selepas mengelak anjing di kilometer 38, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang itu, bayi berkenaan, Kisya Irdina Abu Suffin yang menangis selepas kejadian dikejarkan ke Hospital Tampin oleh orang awam.

Menurut salah seorang mangsa, Nabila Syahira Mohd Ali, 17, ketika kejadian dia bersama empat ahli keluarganya dalam perjalanan dari Kota Tinggi, Johor ke rumah saudara mereka di Chembong, Rembau.

“Ketika itu, saya terlelap seketika sebelum terdengar mak, Mariani Mohd Yassin, 50, menjerit ‘abang’ ke arah ayah saya, Mohd Ali Md Kasim, 52. Sedar-sedar sahaja kami sudah terbabas ke kanan jalan dan separuh kereta di dalam longkang.

“Mujur semasa kejadian, mak memegang erat anak buah saya yang baharu berusia dua bulan. Saya bersama kakak, Fatin Nadhirah Mohd Ali, 21, duduk di belakang,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Ishak Jamaludin, 23, ketika kejadian, dia sedang mengisi minyak kereta pelanggan dan terdengar bunyi dentuman sebelum melihat sebuah kereta jenis Proton Persona terseret di dalam longkang.
“Saya dan orang awam yang berada di kawasan berhampiran terus berkejar ke kereta berkenaan bagi menyelamatkan mangsa.

“Jika diikutkan memang di kawasan ini sudah banyak berlaku kemalangan, namun ini baharu pertama kali membabitkan tembok keluar kawasan pam minyak Petronas Kota dirempuh," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kereta itu dipercayai terbabas ke kanan jalan dan terheret kira-kira empat meter di dalam longkang.  Kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan serius.


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/bayi-dua-bulan-terselamat-1.228892


Sunday, December 8, 2013

Kemalangan Punca Rusuhan Little India di Singapura



8 Disember 2013
Lima kereta polis, sebuah ambulans dibakar pekerja asing


Singapura: Sekurang-kurangnya 10 anggota polis dan penjawat awam cedera selepas lima kenderaan pasukan itu dan sebuah ambulans dibakar kira-kira 400 perusuh terdiri daripada warga asing dalam kejadian di kawasan Little India republik itu, malam tadi.

Rusuhan jam 9.30 malam itu, berlaku selepas kemalangan jalan raya, membabitkan seorang pekerja warga Bangladesh yang terbunuh selepas dilanggar bas dalam kejadian di persimpangan Jalan Race Course dan Jalan Hampshire.


Susulan kejadian itu, sekumpulan pekerja asing bertindak balas dengan merusuh dan merosakkan harta awam termasuk membakar ambulans dan kereta polis yang dikejarkan ke lokasi.

Sekurang-kurangnya dua letupan kedengaran di kawasan kejadian berikutan tindakan perusuh membakar kenderaan terbabit. Beberapa kereta polis turut diterbalikkan.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Teo Chee Hean, berkata rusuhan itu menyebabkan kerosakan harta benda awam yang serius.

“Namun, situasi kini sudah terkawal. Polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap mereka yang terbabit dengan rusuhan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, lokasi tumpuan rusuhan itu sudah dikepung dan orang awam diarah menjauhi kawasan itu.

Polis bertindak mengepung tempat kejadian di Jalan Race Course dan Hampshire di Little India itu dalam usaha mengawal keadaan.

Premis perniagaan sepanjang Jalan Buffalo diarah tutup dengan pasukan bomba dikerah memadam semua kebakaran yang dicetuskan perusuh. - Agensi

Video


Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/10cederarusuhandiSingapura/Article/



Bas ekspres terbalik elak babi



8 Disember 2013
Sembilan penumpang sebuah bas ekspres cedera apabila kenderaan dinaiki mereka terbalik ketika cuba mengelak seekor babi melintas di Kilometer 140.8, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Bukit Kuang dekat sini awal pagi ini.

Kemalangan pukul 3 pagi itu berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Rantau Panjang, Kelantan menghala ke Johor Bahru, Johor.

Pemandu kenderaan tersebut turut mengalami kecederaan manakala 21 penumpang lain terselamat.

Ketika cuba mengelak seekor babi yang melintas, pemandu bas gagal mengawal kenderaannya, lalu merempuh pembahagi jalan.

Bas berkenaan kemudian terbalik di bahagian kiri lebuh raya menyebabkan mangsa mengalami kesukaran untuk keluar.

Kesemua penumpang yang tidak mengalami kecederaan berjaya keluar sendiri manakala mereka yang cedera diselamatkan pengguna kenderaan lain dan dibawa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berpunca keadaan jalan licin akibat hujan serta brek kenderaan itu gagal berfungsi dengan baik.


Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131209/dn_20/Bas-terbalik-elak-babi-9-cedera
http://www.astroawani.com/news/show/cuba-elak-babi-30-penumpang-bas-nyaris-maut-di-kemaman-26667



Aksi maut Fast And Furios


8 Disember 2013
REMBAU: Tindakan lima warga India beraksi ala filem Hollywood, 'Fast And Furios' memakan diri apabila kesemua mereka terbunuh selepas kereta dinaiki terbabas sebelum terjunam ke gaung sedalam 20 meter di Kilometer 240.6, lebuhraya PLUS arah selatan, dekat Plaza Tol Pedas/Linggi, kira-kira 4.30 petang.

Dalam kejadian itu, mangsa D Ponneri, 23; S Annand Meenakshi, 23; V Ragunathan, 28 dan S Karupannan, 29 mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala serta badan.

Keempat-empat mayat dibawa ke Hospital Tampin, dekat sini untuk bedah siasat.

Bagaimanapun, rakan mereka, Vijay Khatik, parah namun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), dekat sini, kira-kira 7 malam.


Sumber polis berkata, lima mangsa terbabit dari Chennai, India, difahamkan melancong ke Singapura beberapa hari lalu sebelum bertindak memasuki negara ini dengan menaiki kereta jenis Toyota Altis bernombor pendaftaran negara itu (Singapura).

Katanya, selepas bersiar-siar dan membeli-belah di Kuala Lumpur, kesemua mereka dikatakan mahu pulang semula ke republik itu.

"Dalam perjalanan pulang, pemandunya dikatakan membawa laju kenderaan dipercayai 160 kilometer sejam sebelum kereta hilang kawalan di lokasi kejadian.

"Akibatnya kereta dipandu terbabas dan 'terbang' ke gaung seperti dalam aksi filem Hollywood, Fast and Furious," katanya.

 Aanad Meenakshi

 V Raghunathan

 Karupannan

D Ponneri

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Keretaterbangjunamgaung/MA/Article
http://www.nst.com.my/opinion/columnist/5-indian-nationals-killed-in-crash-1.425996



Bayi 5 bulan maut dilanggar nenek


8 Disember 2013
JASIN: Seorang bayi perempuan berusia lima bulan maut selepas dilanggar kereta dipandu nenek tirinya di belakang restoran milik keluarga mereka, di Kilometer 30 Jalan Melaka-Muar, Merlimau, di sini, petang semalam.

Difahamkan, ketika kejadian kira-kira 5.30 petang itu, wanita berkenaan, Roda Komeng, 28, yang juga warga Thailand baru pulang dari membuang sampah di kawasan berhampiran.

Dia kemudian hendak mahu meletakkan Proton Wira dipandu ke dalam garaj di belakang restoran terbabit.

Bagaimanapun, dia yang melihat kereta sorong bayi milik cucunya berada di bawah garaj itu cuba memberhentikan kenderaan itu.

Namun, dipercayai tertekan pedal minyak lalu terlanggar kereta sorong terbabit tanpa menyedari mangsa, Norisah Wae-Useng berada di dalamnya.

Difahamkan, rempuhan mengakibatkan kereta sorong dan bayi itu terperosok di bawah kereta, manakala kenderaan itu terhenti selepas merempuh dinding tandas bersebelahan garaj.

Mangsa yang parah di kepala dikejarkan ke Poliklinik Merlimau namun disahkan meninggal dunia kira-kira 5.45 petang.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Bayimaut_nenektertekanpedalminyak/MA/Article



Pemandu lori besi buruk nyaris maut



8 Disember 2013
REMBAU – Seorang pemandu lori nyaris maut apabila lori yang membawa muatan tiga tan besi buruk terbalik, di Jalan Pedas-Kundur, dekat Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, G. Sasitharan, 27, berjaya menyelamatkan diri dan hanya cedera ringan di bahagian kaki selain mengalami saki-sakit badan.

Menurut Sasitharan, ketika kejadian, dia dalam perjalanan menghantar besi buruk bernilai RM3,000 dari Alor Gajah, Melaka ke Lukut, Port Dickson.

“Mujur saya pegang stereng kuat-kuat dan dapat menyelamatkan diri melalui tingkap hadapan lori yang pecah.

"Saya bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan yang teruk," katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pemandu-nyaris-maut-lori-dibawa-terbalik-1.228543



Penunggang motosikal maut kemalangan



Inalillahi wainailaihi rojiun

8 Disember 2013
KOTA BHARU - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya sendirian bertembung dengan sebuah kereta yang keluar dari simpang di Jalan Raja Perempuan Zainab II, Kubang Kerian, di sini semalam.

Kemalangan kira-kira jam 11.45 pagi itu berlaku ketika mangsa, Zaini Abdullah, 40, yang menunggang motosikal dari arah Panji ke Kubang Kerian berhenti di tengah jalan dan motosikal itu melepasi garisan tengah pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX 5 bertembung dengan kereta jenis Proton Wira yang secara tiba-tiba keluar dari sebelah kiri bahu jalan.

“Akibat tindakan pemandu terbabit, penunggang motosikal berkenaan terjatuh dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Mangsa dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dengan ambulans.

“Pemandu kenderaan terbabit tidak memberhentikan kenderaan selepas kemalangan itu, dan setakat ini polis masih mengesan pemandunya untuk tindakan susulan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Azham berkata, mayat mangsa dibawa ke HUSM Kubang Kerian untuk bedah siasat dan dituntut keluarganya yang dipercayai berasal dari Pulai Chondong, Machang untuk urusan pengebumian.

“Setakat ini kita masih mengesan pemandu terbabit bagi membantu siasatan polis. Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/penunggang-maut-dilanggar-1.228463



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my