Keadaan kereta yang remuk teruk dihempap lori mengakibatkan tiga beranak terkorban di Kilometer 40 Jalan Persekutuan Kuala Lumpur - Ipoh berhampiran Serendah, Hulu Selangor, semalam
SERENDAH
Tiga beranak terbunuh apabila kereta dinaiki dihempap lori di Kilometer 40, Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh di simpang ke Ladang Sungai Gapi berhampiran Serendah, semalam.
Tiga beranak terbunuh di Serendah
SERENDAH 9 April – Tiga beranak yang berpisah selama empat hari hanya sempat melepaskan rindu beberapa jam sebelum kesemua mereka maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 40, Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh di simpang ke Ladang Sungai Gapi berhampiran Serendah dekat sini, pagi ini.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, Mohd. Farid Idris, 29; isterinya, Eirlenna Asrani, 28, dan anak tunggal mereka, Muhammad Faiz Hakimi, 4, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta mereka remuk teruk dirempuh sebelum dihempap lori tanah 10 tayar.
Mohd. Farid dan Eirlenna masing-masing bertugas sebagai pembantu perubatan dan jururawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, ketika kejadian, tiga beranak itu dalam perjalanan dari Kampar, Perak ke ibu kota dengan menaiki kereta Proton Satria.
“Semasa melalui tempat kejadian, kereta yang dipandu Mohd. Farid dipercayai bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.
“Kenderaan mangsa diseret sejauh 70 meter sebelum terjatuh ke cerun sedalam dua meter. Lori yang gagal berhenti itu terbalik lalu menghempap kereta tersebut sehingga menyebabkan kesemua mangsa tersepit di bawah kenderaan berat itu,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, mayat tiga beranak itu hanya berjaya dikeluarkan daripada kenderaan yang remuk selepas tiga jam.
“Usaha mengeluarkan mayat yang dilakukan oleh anggota bomba memakan masa kerana kereta tersebut berada di bawah lori,” ujarnya.
Menurutnya, pemandu lori tersebut, K. Duraisingam, 40, bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan.
Sementara itu, ibu Mohd. Farid, Azmah Zarif, 50-an memberitahu, anak dan menantunya bertolak pulang dari rumahnya di Kampar pada pukul 5.30 pagi ini.
“Ahmad Farid meninggalkan anaknya dengan saya selama empat hari untuk dijaga kerana Eirlenna berkursus di Negeri Sembilan. Pada pukul 9.30 malam semalam, kedua-dua mereka tiba di Kampar untuk mengambil semula Muhammad Faiz Hakimi selepas terlalu rindu empat hari tidak bertemu,” katanya.
Jenazah ketiga-tiga beranak itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampar petang ini.
BALING
Pegawai Khas kepada Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kupang, Yahaya Md. Daud, 40, dan anak bongsunya, Muhamad Fahin Afdal, 2, maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Simpang Empat Telok Pendiat - Charuk Nau, Baling.
Pegawai Khas ADUN Kupang, anak bongsu maut
BALING 9 April – Pegawai Khas kepada Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kupang, Yahaya Md. Daud, 40, dan anak bongsunya maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Simpang Empat, Telok Pendiat - Charuk Nau, Baling, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hasan berkata, kejadian berlaku apabila sebuah lori dari arah Carok Nau menuju ke Simpang Telok Pendiat bertembung dengan kereta Proton Wira yang dipandu Yahaya dari arah bertentangan ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang melintas secara tiba-tiba.
Akibat kejadian itu, Yahaya dan Muhamad Fahin Afdal, 2, tersepit dalam kenderaan mereka dan terpaksa dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat Baling.
Anak mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan Yahaya mati di Hospital Baling pada pukul 2 petang.
Dalam kejadian itu, Yahaya yang memandu kereta bersama isterinya, Rusnani Abu Bakar, 30, anak sulungnya, Mohamad Faiz, 3, dalam perjalanan ke Hospital Baling (HB) untuk mengambil ubat salah seorang anak mereka yang demam.
Md. Daud berkata, akibat kemalangan itu, isteri Yahaya cedera parah dan anaknya dirawat di HB.
Pemandu lori berkenaan, Zakaria Harun, 47, hanya mengalami kecederaan ringan.
KUANTAN
Tiga lelaki maut apabila kereta Proton Saga dinaiki bertembung dengan sebuah lori di hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, Kuantan.
3 warga asing maut bertembung lori
KUANTAN 9 April – Tiga lelaki maut manakala seorang lagi parah apabila kereta jenis Proton Saga yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Ular di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, kejadian pada pukul 5 petang itu berlaku apabila kereta yang dipandu dari arah Kuantan-Kemaman dipercayai memasuki laluan bertentangan.
“Kereta terbabit memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori dari arah Kemaman ke Kuantan.
“Ekoran itu, pemandu kereta dan dua penumpang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, kesemua mangsa dipercayai warganegara Indonesia dan mayat mereka dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa,” jelasnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.