loading...

Saturday, May 25, 2013

Bertembung lepas tengok kemalangan




26 Mei 2013
TAIPING – Kelekaan melihat keadaan kereta yang terbabit dalam satu kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Viva di Kilometer (KM) 8.1 Jalan Taiping-Selama, berhampiran Kem Tahanan Perlindungan Kamunting membawa kepada berlakunya satu kemalangan lain yang melibatkan tiga kenderaan di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, kemalangan kedua berlaku kira-kira jam 10 malam di KM 8.0 jalan yang sama.

Menurut Yusuf, kemalangan pertama membabitkan sebuah kereta yang melanggar seekor babi hutan manakala kemalangan kedua telah membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga, Proton Persona dan Proton Waja.

"Selepas kemalangan pertama, difahamkan pemandu Proton Saga dari arah Selama ke Taiping melihat kemalangan pertama menyebabkan dia hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

"Kejadian tersebut menyebabkan Proton Saga berkenaan bertembung dengan Proton Persona dari arah Kamunting ke Selama, manakala Proton Waja terbabit gagal mengelak lalu melanggar belakang Proton Persona," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Yusuf, kemalangan itu telah menyebabkan kerosakan kepada ketiga-tiga kereta dan hanya pemandu Proton Saga mengalami kecederaan.

"Pemandu yang cedera dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan," katanya.


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/bertembung-lepas-tengok-kemalangan-1.163963


Remuk gara-gara angin lintang




26 Mei 2013
KERTEH - “Saya lihat kereta itu terangkat kerana angin kencang sebelum ia terbabas melanggar pengadang bahu jalan,” kata saksi kejadian kemalangan yang nyaris meragut dua nyawa di Jambatan Meka, Kilometer 117 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini, petang kelmarin.

Zulkarnain Ismail, 45, berkata, dia yang kebetulan melalui jalan berkenaan tergamam melihat detik menakutkan itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, seorang pembantu kedai, Nurkahidayu Walid, 23, bersama rakannya cedera apabila kereta Toyota Vios yang mereka naiki ditiup angin lintang dalam hujan lebat.

Nurkahidayu yang memandu kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Dungun ke Kemasik hampir tersepit, apabila kereta berkenaan remuk di sebelah kanan dan mengalami kecederaan di bahu kanan.

Mangsa dihantar ke Klinik Kerteh sebelum dirujuk ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut sementara rakannya hanya mengalami lebam di bahagian badan.

Kata Zulkarnain, laluan di Jambatan Meka itu sering berlaku kemalangan kerana tiupan angin lintang.

“Saya cadangkan pihak berkuasa pasang papan tanda di Jambatan Meka bagi memberi peringatan supaya pemandu berhati-hati ketika melalui kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, abang Nurkahidayu, Mat Kamil Walid, 34, berkata, adiknya itu dalam perjalanan ke Mesra Mall sempena cuti hari minggu untuk membeli barang keperluan.

“Semasa tiba di jambatan, saya sangka adik sudah meninggal dunia, kerana kereta dipandu remuk di sebelah kanan. Namun saya bersyukur kerana dia berada dalam keadaan stabil.

“Terima kasih kepada orang ramai kerana menghulurkan bantuan," katanya.


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/cemas-kereta-terangkat-ditiup-angin-lintang-1.163988


Di selekoh maut




25 Mei 2013
MARANG – Seorang bayi berusia 2 bulan terselamat dalam nahas jalan raya apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki bersama ibu bapanya melanggar sebuah lagi MPV yang dipercayai terbabas di selekoh ‘maut’ Serating, di sini, semalam.

Selekoh dekat Kilometer 37 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan itu dikenali sebagai selekoh maut, kerana kerap berlaku kemalangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, ibu mangsa, Shamsinar Mohd Jaya, 36, berkata, MPV jenis Naza Citra itu terbabas ketika membelok sebelum dilanggar dua kenderaan termasuk MPV dipandu suaminya, Mohd Shukri Muda, 35.

“Kami dalam perjalanan dari Dungun menuju ke Kuala Terengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan, manakala Naza Citra itu di laluan bertentangan secara tiba-tiba masuk ke laluan kami.

“Saya bersyukur suami dan bayi berusia dua bulan serta tiga lagi anak kami berusia 7, 5 dan 3 tahun selamat dalam insiden ini, manakala seorang penumpang bersama kami juga tidak cedera,” katanya ditemui di tempat kejadian, semalam.

Akibat insiden itu, MPV jenis Toyota Estima dipandu suaminya mengalami kerosakan teruk termasuk MPV jenis Naza Citra itu, manakala kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger pula terpaksa ditunda.

Sementara itu, Mazlan Awang yang berada di dalam Ford Ranger itu berkata, dia bersama ahli keluarganya sedang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu sebelum sisi kanan pacuan empat roda dinaikinya itu dilanggar lalu hilang kawalan.

“Kenderaan kami terbabas dan berpusing sebelum terhenti di tepi kanan jalan,” katanya yang dalam perjalanan untuk menghantar barang persiapan majlis perkahwinan ahli keluarganya di Kuala Terengganu.

Difahamkan, hanya pemandu dan penumpang yang menaiki MPV jenis Naza Citra yang dalam perjalanan menuju ke arah Dungun itu mengalami kecederaan dan dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/terbabas-di-selekoh-maut-1.163659


Thursday, May 23, 2013

Maut bertembung lori kelapa sawit




Inalillahi wainailaihi rojiun
23 Mei 2013
TELUK INTAN - Seorang maut manakala seorang lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan dengan salah satunya sarat muatan kelapa sawit di Kilometer 9.5 Jalan Changkat Jong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Hilmi Hamzah, 20, meninggal dunia di tempat kejadian apabila van jenis Perodua Rusa yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori muatan sawit dari arah bertentangan.

Rahim Samsuddin, 53, yang mengalami cedera di bibir berkata, ketika kejadian, van muatan santan dipandu mangsa dalam perjalanan menuju ke arah bandar Teluk Intan dikatakan cuba memotong kenderaan lain.

“Saya nampak van itu sedang memotong sebuah kenderaan lain, tetapi sebaik selesai memotong, kenderaan mangsa tidak beralih laluan, sebaliknya kekal memandu di laluan saya.

“Melihat keadaan itu saya cuba memperlahankan kenderaan, tetapi tidak sempat menyebabkan pertembungan berlaku,” katanya.

Akibat rempuhan itu, lori yang dipandu Rahim terbalik menyebabkan dia terpaksa merangkak keluar.

“Sebaik saya dapat keluar daripada lori, saya nampak mangsa sudah kaku di dalam van itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan, mayat mangsa di hantar ke Unit Forensik, Hospital teluk Intan (HTI) untuk di bedah siasat.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/maut-bertembung-lori-sawit-1.162959



Wanita maut bertembung treler




Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Mei 2013
SUNGAI PETANI - Seorang kakitangan wanita sebuah hotel di sini maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dekat kilometer 48 Jalan Alor Setar-Butterworth dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi (Rabu).

Mangsa, Shazwani Shafiee, 28, bekerja di bahagian Sumber Manusia , Hotel Amanpura, Sungai Petani memandu sendirian ke tempat kerja dari rumahnya di Taman Rasa Sayang, Bedong.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila kenderaan mangsa dikatakan bertembung dengan sebuah treler dari arah bertentangan.

Jurucakap polis berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Viva dipandu mangsa terbabas sebelum memasuki laluan treler yang sedang menghala dari arah Sungai Petani ke Bedong.

“Akibat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa merempuh bahagian sisi kanan treler menyebabkan kerosakan teruk di sebelah kanan kenderaan mangsa,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Menurutnya, mangsa yang cedera parah meninggal dunia di HSAH.

Sementara itu, sanak saudara termasuk bapa mangsa, Shafiee Said,70, dan kakitangan Hotel Amanpura turut kelihatan berada di pekarangan Jabatan Forensik untuk menziarahi jenazah.

Turut kelihatan, bekas Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar yang juga merupakan jiran mangsa.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-ke-tempat-kerja-1.162956



Warga emas maut digilis




Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Mei 2013
TANJONG KARANG - Hasrat seorang warga emas yang mahu pulang ke rumah selepas habis kerja di sebuah restoran, di sini, tidak kesampaian apabila maut digilis kenderaan berat di Kilometer 61 Jalan Klang-Teluk Intan berhadapan Hospital Tanjong Karang, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa, Lias Ali, 62, mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala selepas basikal yang ditunggang dipercayai bergesel dengan kenderaan berat sebelum terjatuh dan digilis di persimpangan lampu isyarat.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Anggota polis diketuai Pegawai Penyiasat Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kuala Selangor, Inspektor Azman Husin bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan orang awam pada jam 8.45 malam.

Sementara itu, anak mangsa, Samsul Lias yang juga pengawal keselamatan di Hospital Tanjong Karang terkejut apabila dimaklumkan rakanya bahawa bapanya terlibat dalam kemalangan di hadapan tempat kerjanya.

“Ketika itu, saya tidak berfikir panjang apabila dimaklumkan berita mengejutkan itu dan terus bergegas ke tempat kejadian yang tidak sampai 100 meter jaraknya dari  hospital.

“Saya sangat terkejut apabila melihat keadaan ayah dan tidak menyangka dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga bersama empat beradik lain buat selama-lamanya.

Bagaimanapun kami reda,” katanya.

Samsul berkata, bapanya tidak menunjukkan sebarang petanda atau sikap pelik sebelum ini.

Sinar Harian difahamkan, saksi yang melihat kejadian itu memaklumkan sebuah lori yang dikatakan melanggar mangsa tidak berhenti dan meneruskan perjalanan seolah-olah tidak menyedari kenderaannya melanggar warga emas terbabit.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga bagi urusan pengebumian.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/kepala-pecah-digilis-lori-1.162947




Wanita maut digilis treler




23 Mei 2013
RAUB – Seorang wanita maut serta-merta apabila digilis treler dalam kemalangan di Kilometer 353 Jalan Raub – Lipis pada jam 12.50 tengah hari, kelmarin.



Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, mangsa dikenali sebagai Ng Mun Hing, 28, dan berasal dari Kampung Baru Sempalit.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal berada di kiri jalan, namun setibanya di tempat kejadian, bergesel dengan tayar sebuah treler.

“Kesan geseran tayar belakang di bahagian kiri itu menyebabkan mangsa terjatuh lalu digilis treler tersebut sebelum pemandu membrek kecemasan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Raub bagi tujuan bedah siasat,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, siasatan awal mendapati pemandu treler itu mempunyai cukup syarat sebagai pemandu lori, manakala mangsa pula memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

Katanya, siasatan lanjut dengan mengambil sampel darah pemandu treler dan mangsa dilakukan untuk ujian dadah serta alkohol.

“Kita harap pengguna jalan raya dapat mengawasi jarak antara kenderaan dan wajar berada lebih jauh daripada sebarang kenderaan berat termasuk treler kerana had pandangan pemandunya terutama di bahagian belakang dan sisi, amat terhad,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/wanita-maut-digilis-treler-1.163026



Terhumban dalam longkang





23 Mei 2013
KUANTAN – Seorang warga emas, Ong Kim Tian, 77 terbunuh selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam longkang di simpang 3, Jalan Air Putih 2, di sini, semalam.

Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah setelah keretanya terhumban ke dalam longkang sedalam dua meter.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.57 malam itu, mangsa yang berasal dari Taman Angkasa, Beserah dikatakan memandu kereta Produa Kelisa dan keluar bersendirian.

“Ketika tiba di sebuah simpang di Air Putih, kereta yang dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan sehingga menyebabkan kenderaan itu terbabas dan terhumban ke dalam longkang di hadapannya.

“Difahamkan juga, keadaan cuaca kurang baik dan hujan lebat ketika kejadian turut menyumbang kepada kemalangan,” katanya.

“Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya (APJ) 1987,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/maut-dalam-longkang-1.162944




Mimpi bertemu arwah ibu




Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Mei 2013
KOTA BHARU - Mimpi bertemu arwah ibu sejak seminggu lalu, merupakan petanda ajal seorang remaja perempuan maut dalam nahas jalan raya, di simpang masuk masjid Kampung Tapang di sini kelmarin.

Kejadian pada jam 3 petang itu menyebabkan mangsa, Nurul Ayuni Yusoff, 19, yang dipercayai keluar dari rumah di cabang masjid Cherang menaiki motosikal jenis Yamaha Lagenda bersendirian dari Kota Bharu ke Panji, tercampak ke bawah lori jenis Hino selepas gagal mengelak kenderaan muatan berat itu dari arah bertentangan ketika memotong beberapa kenderaan di hadapannya melalui sisi kiri jalan.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan susulan sebelum disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab ii (HRPZ II) pada jam 6.20 petang.

Abang mangsa, Mukhlis Yusoff, 27 berkata, adik keempat dari tujuh beradik it kerap kali memberitahu, dia bermimpi bertemu arwah ibu, Rohani Mat Diah, yang meninggal akibat barah payudara pada September tahun lalu kepada rakan baiknya yang duduk berjiran.

“Mulanya saya tidak endahkan tentang mimpinya itu, lagipun dia tidak menunjukkan sebarang perangai pelik atau perubahan ketika berada di rumah.

“Dia bersikap seperti biasa dan merupakan adik yang bertanggungjawab serta rajin melakukan kerja-kerja rumah. Jarang sekali dia hendak keluar sendiri, selalunya dia akan ajak adiknya dan bila disuruh barulah dia keluar ke kedai berdekatan dan rutin sehariannya hanya duduk di rumah serta kurang bergaul dengan rakan sebaya,”katanya kepada Sinar Harian.

Mukhlis berkata, dia terkejut menerima berita kemalangan yang melibatkan Nurul Ayuni kira-kira jam 3.30 petang dari ahli keluarga dan terus bergegas pulang dari tempat kerja ke hospital bagi melihat keadaan adiknya itu.

“Tidak saya sangka mimpi terbabit merupakan petanda ajal, bahawa dia akan pergi buat selamannya meninggalkan keluarga.

“Walaupun agak terkejut dengan kejadian yang menimpanya itu, namun saya redha dengan pemergiannya itu dan mengharapkan rohnya di tempatkan dalam kalangan golongan yang beriman, ”katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mayat mangsa dibedah siasat di HRPZ II sebelum di tuntut oleh ahli keluarganya untuk pengurusan jenazah.

“Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,”katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/mimpi-bertemu-arwah-ibu-petanda-ajal-1.162972



Dua Parah terbabas




23 Mei 2013
RANTAU PANJANG – Dua parah sementara empat yang lain cedera apabila dua kereta terlibat dengan kemalangan dalam kejadian di Gual Mesa kira-kira jam 7.45 malam kelmarin.

Ketika kejadian, kedua-dua kereta jenis Wira dan Persona itu dalam perjalanan menuju ke arah Pasir Mas terlibat kemalangan apabila pemandu salah sebuah kenderaan terlibat gagal mengawal kereta dipandu.

Berikutan itu, pemandu serta penumpang kereta Proton Wira tersepit di tempat duduk masing-masing dan hanya berjaya dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.

Mereka yang terlibat kemalangan dikenali sebagai Mohd Asri Abdullah,36, Abdul Aziz Mohd Yusoff,18, Mohd Amir Firdaus Mohd Zaidi,11, Muhammad Adam Iskandar  Mohd Zainuri,3, Nik Rubiah Che Harun,50,dan Siti Fatimah Mohd Yusoff,27, menaiki Persona, sementara penumpang dan pemandu kereta Wira yang parah tidak dikenali identitinya.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas dengan Ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang dan sebuah ambulans lain.

Nik Maznah Che Harun,47, berkata, ketika kejadian kesemua mangsa yang menaiki Persona baru sahaja berlepas dari rumahnya di Taman Wahyu untuk pulang ke Binjai setelah ke pekan Rantau Panjang petang kejadian untuk mendapatkan rawatan Muhammad Adam Iskandar di salah sebuah klinik yang dikatakan tidak sihat.

Menurutnya, dia amat terkejut mendapat panggilan memaklumkan mereka terlibat kemalangan dan terus bergegas ke tempat kejadian.

“Biar pun hampir kesemua cedera, tetapi saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius.

“Pada mulanya saya agak terkejut melihat keadaan kereta agak teruk, tetapi sebaik melihat kesemua mangsa tidak serius, saya merasa lega,” katanya.

Adik mangsa,Nik Rohana,42, dari Taman Rantau Baru berkata, sebelum kejadian kakak serta anak saudaranya ke rumahnya dan sempat makan sebelum ke rumah kakaknya di Taman Wahyu.

Katanya, dia dan keluarga dimaklumkan tentang kejadian oleh pekerja kakaknya yang berniaga di Cameron Highlands dan terus ke tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau panjang, Nashuha Fahd Mohd Mijar berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian kira-kira jam 8.01 malam.

Menurutnya, sebuah jentera bersama  lima anggota diketua Pegawai Bomba Kanan 1(PBK1) Zaini Samad bergegas ke tempat kejadian untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan kereta Wira.

“Kedua-dua mangsa yang tersepit di tempat duduk masing-masing berjaya dikeluarkan dalam masa lima minit sebelum dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan.

“Ketika dikeluarkan mangsa berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas,Assisten Komisioner (ACP) Haliluddin Rahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/dua-parah-gagal-kawal-kereta-1.162993




Maut terperosok bawah bas



Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Mei 2013
TANAH MERAH - Dua pemuda serta seorang gadis maut selepas terlibat di dalam kemalangan yang membabitkan dua buah kereta dan sebuah bas, di sini lewat malam kelmarin.



Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, pemandu kereta Nissan Sunny dikenali sebagai Mohd Zaki Ibrahim, 22, dan rakannya Fatin Nabila Mazlan, 18  meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara seorang lagi mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga Muhammad Faiz Adnan, 20, meninggal dunia kira-kira pukul 5 pagi selepas mendapat rawatan di Hospital Tanah Merah.

Pemandu kereta Nissan Mohd. Zaki berasal dari Kampung Kubang Rusa, Bukit Gading, Fatin Nabila, Kampung Alor Stol, Bukit Emas dan Muhammad Faiz Kampung Jalan Kubur, Bukit Emas.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, DSP Abdul Aziz Mahmud berkata, kedua kereta terbabit dipandu dari arah yang sama iaitu dari Manal menuju ke bandar Tanah Merah.

Katanya, ketika tiba tempat kejadian, kedua kereta ini di percayai bergesel di antara satu sama lain, menyebabkan salah sebuah kereta tersebut terperosok di belakang bas yang sedang berhenti di bahu jalan.

“Salah sebuah kereta lagi terbalik dan terbabas ke bahu jalan, pihak kami masih lagi meneruskan siasatan lanjut berhubung kemalangan tersebut, di bawah seksyen 41(1) APJ 1987“ katanya.


Tak sanggup lihat jenazah


Tanah Merah: “Saya hanya mampu menangis dalam kereta dan tidak sanggup melihat keadaan adik yang sudah tidak bernyawa,” kata Fatin Nazira Mazelan, 18, kakak kembar Fatin Nabila, 18, antara tiga mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah bas persiaran di Kilometer 3, Jalan Ismail Petra, berhampiran Depoh Tahanan Imigresen, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, Fatin Nabila yang menaiki Nissan Sunny dipandu rakannya, Mohd Zaki Ibrahim, 22, bergesel dengan Proton Saga dipandu seorang lagi rakan mereka, Mohd Faiz Adnan, 20.

Akibat geselan itu menyebabkan kereta dipandu Mohd Zaki gagal dikawal sebelum merempuh belakang sebuah bas yang diletakkan di tepi jalan manakala kereta dipandu Mohd Faiz terbabas dalam longkang dengan keempat-empat tayar ke atas.

Fatin Nabila dari Alor Pasir dan Mohd Zaki dari Kampung Kubang Rusa, dekat sini, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan sebelum mayat mereka dibawa ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk bedah siasat.

Mohd Faiz dari Kampung Bukit Mas, dekat sini, meninggal dunia di HTM jam 5 pagi semalam. Jenazah semua mangsa dikebumikan, petang semalam.

Al-Fatihah


Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Taksangguplihatjenazah//Article
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/tiga-remaja-maut-nahas-1.162939




Monday, May 20, 2013

Dihempap lori





20 Mei 2013
LUNAS - Cubaan seorang pemandu lori menyelamatkan diri setelah lori muatan pasir yang dipandunya itu terbabas gagal, apabila secara tiba-tiba dihempap kenderaannya itu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kejadian berlaku di Jalan Titi Karangan menuju ke Baling berhampiran Ladang Bukit Selarung kira-kira jam 9 pagi semalam.

Menurutnya, ketika kejadian lori yang dipandu lelaki berusia 42 tahun itu rosak apabila tayar belakang sebelah kiri lori patah sebelum tercabut.

"Ini mengakibatkan mangsa gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke tepi jalan.

“Dari siasatan dijalankan mendapati punca kerosakan pada lori berlaku apabila muatan dibawa terlalu berat. Mangsa cuba menyelamatkan diri bagaimanapun gagal apabila lori itu menghempapnya dan mangsa maut di tempat kejadian,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/lelaki-temui-ajal-dihempap-lori-1.161898



Maut rempuh pengadang jalan




20 Mei 2013
LUNAS - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut apabila motosikal jenis Honda Wave yang ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 20.6 Lebuhraya Butterworth Kulim Ekspress (BKE) kira-kira jam 2 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, menurut saksi kejadian, mangsa bersama beberapa rakan lain datang dari arah Kubang Semang menuju ke Padang Serai dan menunggang motosikal dalam keadaan laju.

“Remaja itu menunggang motosikalnya di lorong kereta dipercayai terbabas dan terseret hampir 50 meter sebelum merempuh pengadang jalan dan terhumban ke dalam longkang di tepi lebuh raya.

"Dia kemudiannya dibantu beberapa rakan lain sebelum diangkat di tepi jalan," katanya.

Ghuzlan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan  1987 kerana memandu secara bahaya mengakibatkan kematian.

Beliau berkata, sehingga Mei 2013, sebanyak 35 kemalangan maut dilaporkan berlaku dan 90 peratus daripadanya melibatkan penunggang motosikal.

“Jalan raya bukan tempat berlumba. Menunggang motosikal secara melulu dan laju bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi ia boleh mendatangkan kecederaan kepada pengguna lain.

"Perangkaan menunjukkan kebanyakan kemalangan maut melibatkan remaja berusia di antara 14 hingga 19 tahun,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-rempuh-pengadang-jalan-1.161837





Tak sempat pulang kampung




Inalillahi wainailaihi rojiun

20 Mei 2013
BACHANG - Jika sebelum ini, dia bercadang mahu pulang kampung halaman hujung bulan ini, namun kemalangan yang meragut nyawa suaminya memaksa seorang wanita di sini, pulang lebih awal.

Juhairiah Congkenek, berusia sekitar 20an, yang kini hamil tiga bulan juga tidak pernah terfikir akan pulang ke kampung halaman di Indonesia hanya untuk kebumikan jenazah suaminya itu.

Suaminya, Marhawi Suliman, 30-an dari Sampang, Jawa Timur, maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Bachang / Pasir Putih, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, pekerja kontrak pembinaan itu maut apabila motosikal jenis Yamaha Legenda ditungganginya diseret sejauh kira-kira 10 meter oleh sebuah kereta jenis Proton Persona sehingga kaki kanan mangsa putus.

Sebelum kejadian, Marhawi dalam perjalanan ke Hospital Melaka (HM) untuk menghantar kunci kereta abangnya, Syamsul Suliman, 38.

Syamsul ketika berkata, mereka berdua bertemu di HM kira-kira 12 tengah malam sementara menunggu isterinya melahirkan anak keempat.

“Kami sempat minum dan makan biskut bersama ketika menunggu isteri saya melahirkan anak. Saya menyuruh dia balik ke rumah pada 12 tengah malam.

“Jam 2 pagi, saya minta dia datang semula untuk hantar kunci kereta saya yang dia ambil. Tapi 3 pagi, dia masih tidak muncul-muncul,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik HM, di sini, semalam.

Menurut Syamsul, tiada sebarang perubahan ditunjukkan Marhawi ketika berjumpa, namun adik bongsu dari lima beradik itu sempat bergurau meminta merakam gambarnya bersama motosikal besar milik pengunjung hospital sebagai kenangan.

“Dia dan isterinya sudah beli tiket kapal terbang dan merancang untuk pulang bercuti selama sebulan bersama isterinya di kampung di Sampang, Indonesia pada 28 Mei ini.

"Tapi nampaknya, mereka terpaksa pulang awal kerana mahu dikebumikan di sana," katanya yang memberitahu adiknya itu mempunyai seorang anak lelaki berusia tujuh tahun di Sampang.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, akibat kemalangan itu, mangsa putus pangkal pehanya dan kemek di kepala.

“Mangsa dari arah persimpangan Tun Fatimah menghala ke Lebuh AMJ dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah kereta.

“Pemandu kereta seorang wanita hanya cedera ringan, manakala seorang penumpang yang ketika itu sedang tidur tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.

Menurut Adnan, kemalangan itu turut membabitkan sebuah lagi motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang lelaki berusia 53 tahun yang berada di laluan sama dengan kereta menghala ke persimpangan Tun Fatimah.

“Lelaki itu turut hanya cedera ringan selepas disebabkan sempat melepaskan motosikalnya yang kemudian terperosok masuk ke bawah belakang kereta berkenaan,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/terpaksa-pulang-lebih-awal-ke-kampung-1.161822


Pesanan Tok Wan yang terakhir




Inalillahi wainailaihi rojiun

20 Mei 2013
KUANTAN - “Tok Wan jaga diri baik-baik,” pesanan itu menjadi yang terakhir didengari seorang warga emas daripada cucu kesayangannya sebelum warga emas itu terbunuh apabila motosikal ditunggangi terlibat nahas, di Kilometer 16 Jalan Kuantan-Gambang petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, Mohd Hassan Othman, 61, dari Felda Panching Selatan, maut di tempat kejadian selepas dirempuh sebuah kereta.

Menceritakan semula kejadian itu, anak Mohd Hassan, Hasnorinor, 28, berkata, arwah meminta izin untuk keluar dari rumah kerana mahu pergi membeli buah tembikai di Jaya Gading, di sini.

Menurutnya, selepas menunggu hampir empat jam, dia mula curiga dan tidak sedap hati apabila arwah masih tidak pulang ke rumah sehingga tengah hari sedangkan kebiasaannya arwah akan terus pulang selepas selesai membeli barang.

Katanya, bagaimanapun, dia kemudian menerima panggilan daripada orang awam pada jam 1 petang yang menggunakan telefon bimbit arwah sebelum memberitahu arwah terbabit kemalangan jalan raya.

“Saya seperti tidak percaya dengan apa yang diberitahu pemanggil terbabit sebelum bergegas ke tempat kejadian sebelum melihat jenazah bapa sudah ditutup dengan kain putih.

“Kali terakhir saya berbual dengan bapa pagi sebelum kejadian sebaik saja selesai sarapan pagi sebelum bapa meminta izin mahu keluar pergi membeli tembikai dan ketika itulah anak saya meminta bapa menjaga diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di FeldaPanching Selatan, di sini, semalam.

Katanya, dia tidak menyangka arwah akan pergi meninggalkan keluarga buat selamanya dalam keadaan tragedi hampir sama meragut nyawa ibu tiga tahun lalu yang turut dilanggar kenderaan.

Menurutnya, jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Felda Panching Selatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah Kuantan menuju ke Gambang tiba-tiba mengubah laluan dari kiri ke kanan jalan.

Menurutnya, pada masa sama, sebuah kenderaan yang datang dari belakang tidak sempat membrek kenderaannya lalu merempuh mangsa dari belakang. "Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:

http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/tembikai-terakhir-tok-wan-1.161809






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my