loading...

Friday, October 26, 2012

2 maut kancil bertembung waja

Inalillahi wainailaihi rojiun 

26 Oktober 2012

KUANTAN -  Dua lelaki maut manakala tiga lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 71 Jalan Lipis - Merapoh dekat Kampung Sungai Yu, semalam.

Dalam kemalangan 7.45 pagi itu, pemandu kereta Perodua Kancil, Mohd Syafiq Mohd Rosdi, 22, dan penumpang di bahagian belakang, Mohd Fahmee Izuddin, 20,
meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di dada dan patah tulang rusuk.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Supt Abdul Razak Hassan berkata jenazah mereka dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan jenazah mereka telah dituntut keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian petang semalam.

Katanya, rakan lelaki mereka yang duduk di sebelah Mohd Syafiq hanya cedera ringan manakala seorang pemandu sebuah lagi kenderaan yang berumur lingkungan 50-an dan seorang penumpang wanita berumur 25 tahun cedera ringan.

Beliau berkata, semasa kejadian, Mohd Syafiq dan rakan-rakannya sedang dalam perjalanan dari arah Lipis menuju ke Merapoh untuk pulang berhari raya di
Kelantan.

"Di lokasi kejadian, dipercayai pemandunya (Mohd Syafiq) hilang kawalan lalu termasuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta Proton Waja yang datang dari arah hadapan menyebabkan Perodua Kancil tersebut berpusing di atas jalan sementara kereta Proton Waja terbabas dan melintang di atas jalan.

Menurut Abdul Razak pada masa yang sama sebuah lori yang datang dari arah belakang melanggar Proton Waja terbabit di bahagian sisi kanan. Bagaimanapun, pemandu lori berumur lingkungan 20-an tidak cedera. - Bernama.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/perodua-berpusing-2-lelaki-maut-3-cedera-1.98047



Tiga sahabat maut

TEMERLOH: Tiga sahabat maut selepas kereta yang dinaiki terbabas sebelum dirempuh kenderaan lain di Kilometer 104.6 Lebuhraya Pantai Timur, dekat Lanchang, awal pagi tadi.

Mangsa yang terbunuh dalam kejadian 5.58 pagi itu ialah pemandu kereta Proton Wira, Gan Kai Lun, 26, dari Kampung Baru Kerdau, Temerloh, penumpang di bahagian hadapan Tan Teh Kang, 26, dari Pekan Kerdau dan penumpang di bahagian belakang, Low Yee Yam, 34, dari Lorong Dato' Yusof Shahbudin, Taman Mewah Jaya, Klang, Selangor.

Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zundin Mahmood berkata, kereta yang dinaiki tiga sahabat itu dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur dari Temerloh, sebelum terbabas dan melanggar penghadang besi di lebuh raya berkenaan.

Katanya, pada masa sama sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah belakang gagal mengelak kereta Proton Wira tersebut, sebelum merempuhnya.

"Semua mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Zundin berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda dan isterinya yang berusia lingkungan 30-an, tidak cedera.

Semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat. - BERNAMA

Sumber:
bharian.com.my/articles/3sahabatmaut_nahasdiLebuhrayaPantaiTimur/Article/


Thursday, October 25, 2012

Pemandu dihempap kayu balak



25 Oktober 2012
SEREMBAN: “Tolong jangan tarik saya, sakit,” rintih seorang pemandu lori balak yang terpaksa menahan azab hampir sejam selepas dihempap kayu balak apabila lori dinaiki membawa muatan hasil hutan itu terbalik di Jalan Seremban-Jelebu di Bukit Tangga, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, lori balak dipandu mangsa bersama seorang kelindan dalam perjalanan dari Jelebu ke Gemencheh dipercayai menurun bukit di satu selekoh apabila hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh lereng bukit laluan berkenaan.

Bagaimanapun, kelindan lori, V Radakrishnan, 48, dapat dikeluarkan orang ramai sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) oleh ambulans manakala identiti pemandu lori belum dikenal pasti.

Saksi kejadian, Amirul Haziq Amir, 18, berkata, ketika kejadian dia yang menunggang motosikal sendirian dalam perjalanan menghala ke Seremban terkejut sebaik melihat lori balak itu terbalik di lereng bukit.


“Saya berhenti di tepi jalan dan cuba membantu mangsa, namun tidak berjaya berikutan dia tersepit teruk di bawah timbunan balak.



Sumber:
hmetro.com.my/articles/2012102506505420121025065054/Article



Padah Ubah Lorong Tiba-tiba

Inalillahi wainailaihi rojiun

24 Oktober 2012
KUANTAN - Seorang penunggang motosikal maut dilanggar kereta di Km11 Jalan Kuantan-Pekan di sini semalam.
  
Dalam kejadian 5.10 petang itu, Haniza Harun, 36, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
  
Menurut Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Pahang, ASP Zainalabidin Othman, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Pekan.
  
"Mangsa yang dipercayai berada di lorong kiri telah mengubah ke lorong kanan secara tiba-tiba untuk membuat pusingan U sebelum dilanggar kereta terbabit," katanya hari ini.
  
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan sementara kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama


Ya Allah, isteri aku

“Ya Allah, isteri aku” raung seorang lelaki sebaik menghampiri lokasi kemalangan di Kilometer 11, Jalan Kuantan-Pekan di Sungai Belat di sini, jam 5 petang kelmarin.

Ketika Zulkarnain Hassan, 38, tiba di lokasi kemalangan yang meragut nyawa isterinya itu, dia melihat motosikal ditunggang Haniza Harun, 36, rebah di tepi jalan dan sebaik melihat tubuh bertutup surat khabar, dia sudah mula gelisah walaupun amat berharap itu bukan isterinya.

Sebaik menyelak akhbar yang menutup mangsa, Zulkarnain, seorang jurukimpal, seakan mahu rebah kerana apa yang amat dibimbanginya menjadi kenyataan dan lebih menyedihkan, isterinya maut hanya kira-kira 50 meter dari rumah mereka.

“Biasanya saya nampak isteri membuat pusingan U setiap kali dia hendak pulang ke rumah dari bengkel tempat kerja saya juga tidak jauh dari rumah. Namun, petang kelmarin saya tidak melihat kelibatnya dan meneruskan kerja seperti biasa.


“Tiba-tiba, saya dimaklumkan ada kemalangan kira-kira 100 meter dari bengkel dan mengambil keputusan untuk pergi melihat. 




Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/wanita-maut-motosikal-dilanggar-kereta-1.97809
hmetro.com.my/myMetro/articles/2012102506244520121025062445/Article/index_html


Maut terperosok dalam lori pasir



Inalillahi wainailaihi rojiun

KOTA BHARU: Sebuah kren terpaksa digunakan untuk mengangkat sebuah lori pasir bagi mengeluarkan mayat seorang pemuda yang terperosok di bawah kenderaan itu selama lebih satu jam selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Salor-Pasir Mas, dekat Tunjung, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.20 pagi itu, Basri Ismail, 21, meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya pecah dan serpihan otaknya terpaksa dikutip anggota bomba. Mayat mangsa dibawa ke Rumah Mayat Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, dekat sini, sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan.


Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Pasir Mas dengan menunggang motosikal jenis Honda Wave apabila sebuah lori pasir dari Pasir Mas ke Kota Bharu terbabas akibat tayar depan pecah secara tiba-tiba lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuhnya.

Rempuhan itu menyebabkan mangsa terperosok di bawah lori berkenaan.


Sepasukan pegawai bersama anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kelantan bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan dan terpaksa meminta bantuan pemilik kren mengangkat lori bagi mengeluarkan mangsa. Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan laporan kemalangan itu dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Mayatterperosokbawahloripasir/Article/index_html
utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri


Tuesday, October 23, 2012

Buruh maut rempuh pokok



Inalillahi wainailaihi rojiun

24 Oktober 2012
 KULIM - Hasrat seorang lelaki berusia 52 tahun yang bekerja sebagai buruh untuk pulang ke rumahnya di Ayer Itam, Pulau Pinang tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal dinaiki merempuh pokok berhampiran Taman Machang Manis bersempadan Kulim-Bukit Mertajam kira-kira jam 12.30 pagi, kelmarin.

Saksi yang berada di tempat kejadian berkata, mangsa dipercayai menunggang motosikal dengan laju sebelum hilang kawalan lalu merempuh pokok di bahu jalan.

Menurutnya, akibat rempuhan itu, bahagian hadapan motosikal milik mangsa mengalami kerosakan teruk.

“Mangsa datang dari arah Kulim menuju ke Bukit Mertajam. Ketika saya sampai di tempat kejadian, mangsa masih hidup tetapi mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.

"Saya menghubungi ambulans dan meminta bantuan mereka supaya dapat memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa. Bagaimanapun kakitangan ambulans yang tiba di tempat kejadian sejurus kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Trafik Daerah Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob yang dihubungi mengesahkan kejadian dan menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika melalui jalan di sekitar Taman Machang Manis kerana sehingga kini beberapa
kemalangan maut dilaporkan berlaku.

Katanya, jalan di sekitar tempat kejadian berombak selain selekoh tajam dan ini mengakibatkan pemandu mudah hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan atau merempuh kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

“Saya dapati jalan dari arah Air Merah menuju ke Taman Machang Manis membahayakan pengguna jalan raya. Ini adalah kerana jalan itu terlalu gelap dan berombak. Ini mengakibatkan pengguna jalan raya gagal mengawal kenderaan mereka sekiranya dipandu laju.

"Saya menasihatkan mereka yang menggunakan laluan itu supaya lebih berhati-hati dan memperlahankan kenderaan untuk memastikan keselamatan lebih terjamin,” katanya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/buruh-maut-motosikal-ditunggang-rempuh-pokok-1.97688


Maut dalam kemalangan 3 kenderaan



Inalillahi wainailaihi rojiun

24 Oktober 2012
 KUANTAN – Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kereta di Kilometer 12 Jalan Kuantan – Kemaman, dekat sini, semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa Muhammad Fakhrul Razi Awang, 24, yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Proton Iswara yang datang dari arah Kuantan menuju ke Kemaman cuba memotong kenderaan lain di hadapannya.

Menurutnya, cubaan memotong kenderaan lain itu menyebabkan kereta terbabit masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta lain jenis Proton Perdana. “Ketika kejadian, sebuah lagi kereta jenis Proton Wira yang berada di belakang kereta Proton

Perdana itu tidak sempat menekan brek lalu merempuh bahagian belakang kereta berkenaan,” katanya.

Zainalabidin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk dibedah siasat.

“Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu diminta tampil untuk membantu siasatan polis dengan menghubungi mana-mana balai berhampiran,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/maut-dalam-nahas-3-kereta-1.97576



Ibu maut bertembung kereta



Inalillahi wainailaihi rojiun

24 Oktober 2012
GUA MUSANG - Seorang wanita maut manakala rakannya parah dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 10 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, awal pagi semalam.

Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian adalah penunggang motosikal dikenali sebagai Halijah Satar, 26, berasal dari Kampung Batu Dua, Kuala Nerus, Gua Musang.

Manakala pembonceng motosikal, Masitah Ramli, 30, cedera parah dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan.

Bagaimanapun, pemandu serta penumpang kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kereta rosak teruk.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi, ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Krai ke Gua Musang dan bertembung kereta dari Kuala Lumpur menghala ke Kuala Krai.

Kereta dipandu lelaki berusia 21 tahun itu dikatakan cuba memotong sebuah lori tetapi gagal lalu merempuh motosikal mangsa.

Ibu Halijah, Asiah Ekram, 52, berkata, dia terkejut menerima panggilan mengenai kemalangan terbabit.

“Saya diberitahu mengenai kejadian itu kira-kira jam 7 pagi dan terus bergegas ke Hospital Gua Musang. Saya sayu melihat mayatnya yang cedera parah,” katanya.

Menurutnya, arwah yang mempunyai tiga anak, bekerja untuk membantu suami menanggung perbelanjaan persekolahan anak mereka.

"Seorang anaknya sudah bersekolah, jadi arwah pilih untuk bekerja sebagai pelayan kedai makan di hadapan stesen minyak di bandar ini semata-mata membantu suaminya yang berada di Singapura.

"Kebiasaannya arwah pulang ke rumah sebaik habis kerja jam 4 pagi. Namun pagi ini, arwah tidak pulang hingga saya menerima panggilan berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, Asiah redha dengan kehilangan berkenaan, walau risau dengan nasib tiga cucunya.

"Mereka masih kecil, tapi kehilangan ibu. Saya akan menjaga mereka dengan baik selepas ini,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/maut-ketika-pulang-dari-kerja-1.97620


2 Maut terjunam dalam parit

Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Oktober 2012
RANTAU PANJANG – Dua lelaki ditemui maut dalam pacuan empat roda dinaiki yang terjunam ke dalam parit di simpang Kampung Kuala Kwong, Lubok Setol, semalam.

Kedudukan lokasi kejadian agak jauh dari kediaman penduduk menyebabkan kemalangan menimpa kedua-dua mangsa disedari penduduk menjelang tengah hari.

Seorang penduduk, Buniamin Yusuff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKP) Mukim Lubok Setol berkata, dia dimaklumkan kejadian oleh anak saudaranya yang melalui tempat kejadian untuk mencari lembunya.

Katanya, anak saudaranya memberitahu terdapat sebuah kenderaan di dalam parit berhampiran simpang tetapi tidak dapat memastikan sama ada mangsa masih berada di dalam kenderaan atau telah diselamatkan.

Menurutnya, selepas ke tempat kejadian, dia memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

“Saya memaklumkan kejadian kepada polis sebelum mereka melaporkannya kepada bomba,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, kedua-dua mangsa dipercayai mati di tempat kejadian akibat lemas memandangkan kenderaan ditemui dalam keadaan keempat-empat tayar berada di atas.

Menurutnya, identiti kedua-dua mangsa belum dikenal pasti disebabkan tidak ada pengenalan diri ditemui.

“Kita menemui sekeping kad terdapat nama dan umur, tetapi tidak dapat mengenal pasti pemiliknya kerana usianya terlalu muda jika hendak dibandingkan dengan mangsa. Justeru kita sedang berusaha untuk mengenal pasti identiti mangsa,” katanya kepada pemberita, semalam.

Haliludin berkata, kedua-dua mangsa dipercayai terbabas kelmarin sebelum ditemui penduduk melalui kawasan kejadian pagi semalam.

Menurutnya, kenderaan dinaiki mereka dipercayai dari arah Panglima Bayu ke Rantau Panjang.

“Kita turut menemui wang tunai RM3,000 bersama mangsa,” katanya. Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Nashuha Fahd Ahmad Mijar pula berkata pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian kira-kira jam 11.28 pagi.

Menurutnya, enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mansor Mohd Nor ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mayat mangsa.

Menurutnya, ketika sampai ke tempat kejadian, anggota mendapati keempat-empat tayar kenderaan berada di atas dan bahagian kabin ditenggelami air.

“Kita terpaksa menarik pacuan empat roda supaya berada dalam keadaan tegak untuk mengeluarkan mangsa. Kedua-dua mayat berada di tempat duduk belakang ketika usaha mengeluarkannya dilakukan, bagaimanapun kita tidak dapat mengenal pasti kedudukan sebenarnya memandangkan kenderaan terpaksa ditegakkan untuk mengeluarkan mayat,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/merangkak-selamatkan-diri-1.97195



Gadis dilanggar lari


Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Oktober 2012
KUANTAN- Seorang mekanik bertindak nekad memecut motosikalnya mengejar sebuah lori treler setelah pemandu kenderaan tersebut gagal berhenti sejurus bergesel dengan motosikal ditunggang seorang gadis hingga menyebabkan mangsa yang dipercayai anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala.

Cubaan, Mohd Samri Samion, 40, berhasil apabila lori tersebut berjaya dipintas sebelum pemandunya dimaklumkan berhubung kejadian yang berlaku.

Bagaimana pun sebaik sahaja dia dan pemandu lori tersebut kembali ke tempat kejadian, gadis yang terbaring berlumuran darah dengan kesan kecederaan parah di kepala sudah kaku tidak bernyawa.

“Menyedari gadis tersebut sudah meninggal dunia, isteri saya mengambil sehelai kain batik  menutup mayatnya.

“Saya memeriksa dompet mangsa dan menjumpai kad pengenalan tertera namanya, Nur Yuhanis Sharifuddin, 18 beralamat di Felda Sungai Panching Selatan dekat sini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian itu, semalam.

Mohd Samri berkata, dia turut menemui beberapa maklumat peribadi milik mangsa termasuk kad anggota JPAM dipercayai milik gadis tersebut.

Menceritakan detik kemalangan yang berlaku di hadapan bengkel membaiki motosikal miliknya di Kilometer 39 Jalan Kuantan- Kemaman kira-kira jam 11.30 pagi itu, Mohd Samri berkata, dia dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah jalan raya dan terus berlari keluar kerana sudah menduga ada kemalangan berlaku.

“Ketika itu saya nampak seorang gadis terbaring kaku di atas jalan berhampiran sebuah motosikal dipercayai miliknya.

“Anak saya, Mohd Samsuri, 15 melihat kejadian itu memberitahu, mangsa dipercayai cuba mengelak lopak air lalu bergesel dengan bahagian belakang lori treler tersebut sehingga tercampak jatuh ke atas jalan,” katanya.

Dia berkata, ketika itu, dia dan isterinya sempat memeriksa  nadi mangsa namun sudah tiada denyutan lagi.

“Selepas dimaklumkan lori treler yang terlibat gagal berhenti, saya mengambil motosikal dan bertindak mengejar kenderaan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung nahas tersebut.

Menurutnya, lori treler yang sarat dengan muatan paip milik sebuah syarikat petroleum itu dipercayai dari arah Kemaman menghala ke Kuantan.

“Mangsa dalam perjalanan dari arah sama cuba mengelak lopak air hingga terbabas ke kanan lalu bergesel dengan bahagian belakang lori terbabit.

“Akibat pergeseran itu, motosikal mangsa terjatuh manakala tubuhnya tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Zainalabidin berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

“Pemandu lori terbabit ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung nahas maut ini,” katanya.

Menurutnya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/merangkak-selamatkan-diri-1.97195


Bas terbalik

23 Oktober 2012 
TUMPAT – “Amat cemas apabila bas yang saya naiki hilang kawalan dan terbalik ke parit,” begitu kata penumpang sebuah bas henti-henti, Fatimah Mohamad, 24, selepas bas yang dinaikinya terbalik dekat Kampung Gerong, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, lima penumpang yang dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Tumpat melalui Sungai Pinang berdepan detik mencemaskan, apabila bas yang dipandu Surah Bilal, 28, hilang kawalan dipercayai cuba mengelak sebuah kereta.

Fatimah menaiki bas tersebut bersama anaknya, Fathil Aqil Asraf Mohd Faiz, 3, dan tiga lagi penumpang adalah pelancong asing.

Bagaimanapun, kesemua penumpang selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Fatimah berkata, mujur dia bersama anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan, walaupun terpaksa merangkak keluar menyelamatkan diri selepas bas itu terbalik masuk dalam parit.

“Masa bas hilang kawalan dan mula membelok ke kanan dan terjunam ke dalam parit, saya hanya ingatkan keselamatan anak saya,” katanya yang tinggal di Bandar Tumpat.

Surah berkata, kejadian kemalangan itu begitu pantas, apabila dia cuba mengelak sebuah kereta dari arah Wakaf Bharu yang ingin memasuki simpang kanan di kampung tersebut.

“Jalan licin menyebabkan bas yang saya pandu hilang kawalan lalu terjunam ke dalam parit sebelah kanan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Akibat kemalangan itu, kereta jenis Nisan Sunny terbabas masuk ke dalam parit sebelah kiri jalan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap ketika dihubungi memberitahu, mangsa kemalangan belum membuat laporan polis berhubung kejadian bas terbalik tersebut.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/merangkak-selamatkan-diri-1.97195


Monday, October 22, 2012

Pelajar cemerlang Sekolah Menengah Vokasional Juasseh

Inalillahi wainailaihi rojiun

22 Oktober 2012
Dua maut sementara dua yang lain cedera parah, selepas terbabit dalam satu kemalangan membabitkan tiga motorsikal pagi tadi.


Kejadian berlaku kira-kira jam 7.00 pagi di kilometer 7, Jalan Kuala Pilah, Batu Kikir, Negeri Sembilan.

Dua yang mati di tempat kejadian ialah pelajar cemerlang Sekolah Menengah Vokasional Juasseh Kuala Pilah Muhd Ibnor Qayyum Abu Hanafiah 16 tahun.

Seorang lagi adalah kakitangan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, JPPH  cawangan Seremban, Asnizaharin Assas, 29 tahun.

Dua lagi yang cedera dihantar ke unit rawatan rapi Hospital Kuala Pilah.

Pegawai penyiasat trafik polis Kuala Pilah Inspektor Abdul Hanif Abd Ghani berkata pelajar yang maut sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Tanjung Jati Kuala Pilah ke sekolah.

Manakala mangsa yang satu lagi dari arah bertentangan ke Seremban untuk ke tempat kerja.

Sementara itu,  bilik mayat Hospital Kuala Pilah dipenuhi keluarga kedua-dua mangsa bagi menantikan proses bedah siasat.

Al-Fatihah:


Sumber:
tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Dua_Maut_Dua_Parah_Nahas_Babit_3_Motorsikal.html

Warden Penjara Maut Digilis Treler


Inalillahi wainailaihi rojiun

22 Oktober 2012
Mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerja dilapor gagal mengawal motosikalnya sebelum melanggar belakang sebuah kereta sebelum digilis.

Kejadian berlaku ketika hujan lebat.

Mangsa Mohd Shahrunizam Mohd Noor, 29 tahun dari Kampung Paloh Nyior, Kuala Berang maut di tempat kejadian.

Mangsa maut akibat kecederaan parah di bahagian badan selepas digilis lori 27 tan yang membawa muatan kabel telekomunikasi.

Dalam pada itu, suasana pilu menyelubungi luar bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Sebelum meninggal dunia, Allahyarham dikatakan pernah berpesan kepada isterinya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam berdekatan rumahnya.

Sementara itu pemandu lori dan pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan itu, ditahan polis untuk diambil keterangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah:


Sumber:
tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Warden_Penjara_Maut_Digilis_Treler.html


Kemalangan 6 kenderaan 1maut 5 cedera

22 Oktober 2012

KAMPAR - Seorang lelaki maut manakala lima cedera apabila sebuah bas yang sedang ditunda trak dan lima buah kereta terbabit dalam kemalangan di Km302.2 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kampar awal hari ini.
  
Dalam kemalangan kira-kira 4.10 pagi ini, Lim Cheng Guan, 30, berasal dari Pulau Pinang meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.
  
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata nahas itu berlaku apabila bas yang sedang ditunda trak itu dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta yang kemudiannya terbabas.
  
Kereta yang dipandu mangsa kemudiannya merempuh belakang kereta yang terbabas itu manakala empat lagi kereta yang mengekorinya turut terbabas, katanya kepada pemberita hari ini.
  
Bagaimanapun pemandu trak dan empat lagi pemandu kereta hanya cedera ringan dan mereka dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kampar, katanya.
  
Beliau berkata anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
- Bernama

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/seorang-maut-5-cedera-dalam-kemalangan-6-kenderaan-1.97025


Maut diselekoh


22 Oktober 2012 
KUANTAN - Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera dalam satu kemalangan yang berlaku di kilometer 17 Jalan Kuantan-Gambang dekat Sri Mahkota Jaya, di sini, semalam.

Pegawai Penguat kuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, Wong Vin Seng, mati di tempat kejadian selepas kereta yang dinaiki terbabas ke kanan jalan akibat hilang kawalan ketika melalui satu selekoh.

“Ketika melalui satu selekoh, pemandu, Chun Teck Man, 29 yang juga rakan mangsa gagal mengawal keretanya menyebabkan kenderaan itu terbabas dan masuk ke semak,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku kira –kira jam 7.05 pagi ketika mangsa dan rakannya dari Kuantan menuju ke Maran.

Beliau berkata, mangsa penumpang hadapan kereta berasal dari Bandar Baru Sungai Jerik,  Jengka mati di tempat kejadian sementara Teck Man cedera dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/pemuda-maut-rakan-cedera-1.96848


Sunday, October 21, 2012

Penyokong Kelantan maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

20 Oktober 2012

Kuantan: Niat dua sahabat untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka Kelantan beraksi di final Piala Malaysia malam tadi tidak kesampaian apabila seorang daripadanya maut selepas motosikal mereka terbabas di kilometer 328, Jalan Raub-Kuala Lipis, pagi semalam.

Pegawai Penguat Kuasa Tadbir/Trafik Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, berkata motosikal ditunggang mangsa dipercayai gagal dikawal selepas memotong kereta menyebabkannya terbabas.

Mangsa yang maut dikenali Muhamad Saiful Daud, 19, berasal dari Kampung Manek Urai Lama, Kuala Krai, manakala rakannya, Mohd Zulkarnain Mohd Yusof, 18, cedera dan dikejarkan ke Hospital Raub untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH).


“Motosikal berkenaan dari arah Gua Musang, Kelantan dan kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Stadium Shah Alam, Selangor bagi menyaksikan perlawanan akhir antara Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jersi, bendera dalam beg

“Ini berdasarkan penemuan jersi dan bendera negeri itu dalam beg dibawa seorang mangsa,” katanya.
Zainalabidin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kilometer 19.5 Jalan Pintasan-Pelabuhan Kuantan, kira-kira jam 7.20 malam kelmarin, seorang pekerja kilang maut selepas Perodua Rusa dipandunya terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan lain.

Zainalabidin berkata, mangsa, Jaisham Jaapar, 32, dari Tanah Putih Baru, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tercampak dari kenderaan dipandunya.

Al-Fatihah

Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/Hajattengokbolatidakkesampaian/Article/
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my