loading...

Saturday, January 5, 2013

Anggota polis maut dirempuh lori



Inalillahi wainailaihi rojiun

6 Januari 2013
SLIM RIVER 5 Jan. - Seorang anggota polis maut, manakala tiga lagi termasuk dua pegawai cedera selepas kereta Proton Waja yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 112, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam, mangsa, Lans Koperal Zamri Hashim, 55, maut di tempat kejadian, manakala Koperal Khairul Anuar Napi, 29, cedera parah. Dua lagi pegawai iaitu Pemangku Asisten Supritendan Mahazir Ahmad, 36, dan Inspektor Mohd. Khairul Azhar Abdul Halim, 30, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Supritendan Othman Nanyan berkata, kemalangan berlaku ketika hujan lebat ketika kesemua mereka dari Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak dalam penugasan sempena lawatan sehari Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Tanjung Malim hari ini.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori terlibat hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan menyebabkan pemandu kereta Waja itu cuba mengelak ke kiri jalan sebelum bertembung dengan lori tersebut.

"Zamri meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Khairul Anuar yang parah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut. Dua pegawai yang cedera ringan menerima rawatan di Hospital Slim River dan masing-masing sudah dibenarkan pulang sebaik menerima rawatan," katanya.

Sementara itu, anak bongsu Zamri, Mohd Iqbal, 19, berkata, dia terkilan kerana tidak sempat menghubungi bapanya malam kelmarin, walaupun hatinya terdesak untuk berbuat demikian.

"Kali terakhir saya menemui ayah pada hari raya tahun lalu. Biasanya, saya sentiasa menghubungi ayah bertanya khabar, namun semalam saya tidak sempat.

"Terkejut saya bila dimaklumkan jiran ayah sudah tiada sedangkan baru dua hari saya berbual dengannya," katanya sebak.


Hilang kawalan

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nanyan, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan menyebabkan mangsa cuba mengelak ke kiri jalan sebelum bertembung lori itu.

“Zamri maut di tempat kejadian manakala Khairul Anuar yang parah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, untuk rawatan lanjut.

“Dua pegawai yang cedera ringan menerima rawatan di Hospital Slim River dan masing-masing sudah dibenarkan pulang sebaik menerima rawatan,” katanya.
Katanya, pemandu lori terbabit berusia 47 tahun ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan semalam.

Sementara itu, Mahazir yang terselamat dalam nahas itu berkata, kemalangan berlaku ketika hujan lebat dan keadaan gelap menyebabkan kenderaan yang dinaiki mereka sukar dikawal.


Cuba mengelak

“Sebelum kejadian, kami berempat sedang berbual sebelum terdengar arwah (Zamri) menjerit dan melaungkan ‘Allahu Akbar’. Arwah dilihat cuba mengelak sesuatu dengan memusingkan stereng ke kiri.

“Ketika itu saya sempat melihat satu objek hitam meluru ke arah kenderaan kami sebelum terdengar dentuman kuat. Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya melihat kepala arwah terkulai pada bahu saya, manakala dua lagi rakan di belakang tidak sedarkan diri,” katanya.

Katanya, dia cuba mengejutkan kesemua rakannya tetapi tiada tindak balas menyebabkan dia terpaksa menggagahkan diri keluar dari kenderaan untuk meminta bantuan.

"Ketika itu, saya masih tidak tahu arwah sudah tiada sehingga dimaklumkan anggota penyelamat. Kami kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan," katanya yang turut memberitahu arwah sangat periang sebelum terbabit kemalangan.

Anak bongsu Zamri, Mohd Iqbal, 19, yang mengikuti Diploma Pengajian Video dan Filem di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis berkata, dia terkilan kerana tidak sempat menghubungi bapanya malam kelmarin, walaupun ingin berbuat demikian.

"Kali terakhir saya menemui ayah pada Hari Raya tahun lalu. Biasanya, saya sentiasa menghubungi arwah bertanya khabar, namun semalam (kelmarin) tidak sempat berbuat demikian sehinggalah saya menerima panggilan daripada jiran memaklumkan ayah terbabit kemalangan dan meninggal dunia.

"Saya seakan tidak percaya kerana baru dua hari lalu berbual dengan ayah, namun hari ini saya sudah kehilangannya buat selama-lamanya. Namun, saya reda menerima takdir ini," katanya ketika ditemui di kuarters sama, semalam.

Jenazah Zamri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terengganu, Teluk Intan, kira-kira jam 10 pagi semalam.


Al-Fatihah

Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/Anggotapolismautkeretadirempuhlori/Article
utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130106/dn_18/Anggota-polis-terbunuh-3-cedera-kemalangan




Nyaris maut kereta terbalik


6 Januari 2013
KLANG – Tindakan pantas orang awam yang memberi isyarat kemalangan kepada pemandu kenderaan lain yang melalui lorong laju sebaik menyedari sebuah kenderaan terbalik di Persiaran Raja Muda Musa menyelamatkan nyawa seorang pemandu dan penumpang semalam.

Sebaik sahaja kejadian itu berlaku, kedua-dua mangsa dikatakan segera keluar dari kenderaan mereka yang terbalik kerana khuatir dirempuh kenderaan lain yang melalui laluan tersebut.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, kereta jenis Iswara Aeroback dinaiki seorang lelaki dan wanita dipercayai berusia awal 20-an itu dari Pelabuhan Klang menghala Pusat Bandar Klang disyaki hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pengadang jalan sebelum terbalik
sejauh beberapa meter.

Berikutan kejadian itu, anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu dan menyelamatkan mangsa.

Kejadian yang nyaris meragut nyawa kedua-dua mangsa tersebut menyebabkan jalan terbabit sesak hampir setengah jam namun trafik kembali lancar tidak lama kemudian.

Orang awam yang berada di lokasi kemalangan bekerjasama dengan anggota bomba bagi mengalihkan kenderaan mangsa ke tepi jalan dalam usaha memudahkan aliran trafik supaya berjalan lancar di laluan tersebut.

Kedua-dua mangsa yang masih terkejut dengan kejadian itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/kereta-terbalik-2-nyaris-maut-1.118486


Penuntut UMP maut bertembung treler



6 Januari 2013
MUADZAM SHAH - Seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) terbunuh selepas kenderaan yang  dipandunya merempuh sebuah treler di Kilometer 149.5 Jalan Kuantan-Segamat, berdekatan Felda Selancar, di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian jam 11.45 tengah hari itu, mangsa Tee Chen Siang, 23, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, mangsa yang memandu Honda Civic dipercayai terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh treler tersebut.

“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang dari Kuantan menuju ke rumahnya di Tangkak Ledang, Johor.

“Ketika memandu, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan menyebabkannya terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Johari berkata, kenderaan yang dipandu kemudian merempuh bahagian tepi kanan treler hingga menyebabkan pemandu kereta terbabit tersepit selepas rempuhan kuat itu.

“Mangsa yang tersepit di bahagian depan tempat duduk pemandu akhirnya berjaya dikeluarkan pasukan Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah yang tiba di tempat kejadian.

"Mayat dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/penuntut-ump-maut-1.118472


Tragedi Tukar Tayar


Inalillahi wainailaihi rojiun

6 Januari 2013 
ALOR  GAJAH - Dua maut manakala seorang lagi parah selepas dirempuh dari belakang oleh sebuah lori muatan makanan ringan ketika sedang menukar tayar lori perabot yang pecah di Kilometer 199.4, arah utara Lebuhraya Utara-Selatan dekat Alor Gajah, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, mangsa yang maut  di tempat kejadian, Bashier Ahmed Abd Sulami, 45, bersama dua rakannya Hasan, 31, dan seorang lagi rakan sedang membaiki tayar dibantu pemandu lori lain,  Khairunizam Abdullah, 33, sebelum dirempuh sebuah lori muatan makanan ringan dipandu seorang lelaki berusia 51.

Jurucakap polis berkata, Hasan tersepit di bawah lori makanan ringan terbabit selepas dirempuh dan terseret. Khairunizam tercampak di lokasi berdekatan.

“Ketika kejadian keempat-empat mangsa sedang menukar tayar sebelah kanan hadapan lori muatan perabot itu sebelum dirempuh lori mua-tan makanan ringan terbabit.

“Rempuhan kuat menyebabkan tiga mangsa berkenaan gagal mengelak, namun seorang rakan mangsa sempat melarikan diri sebaik menyedari sebuah lori makanan ringan meluncur laju ke arah lori dinaiki mereka bertiga,” katanya.

Jurucakap polis berkata, rempuhan berlaku sekelip mata dan mangsa belum sempat memasang tayar baru selepas dibantu Khairunizam yang memberhentikan lorinya tidak jauh dari lokasi kejadian bersama isteri dan dua anak kecil mereka.

“Hasan dirempuh, diseret beberapa meter sebelum tertimbus dengan tanah tebing jalan dan tersepit di bawah lori makanan ringan berkenaan. Badan mangsa turut bergelumang dengan minyak hitam.

“Sementara itu, Khairunizam yang tercampak selepas dirempuh hanya terbaring, namun berada dalam keadaan sedar sebelum sebuah lori berhenti dan menghulurkan bantuan menghubungi bantuan kecemasan,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan tersepit di celah bawah lori makanan ringan itu, Hasan tidak mampu bersuara, bagaimanapun dia memberi isyarat gerakan perlahan tangannya sebelum anggota bomba dan penyelamat tiba untuk membantu mengeluarkannya.


Sempat hubungi majikan

Majikan mangsa maut, Muhammad Bashar, 35, berkata, ketika kejadian mangsa bersama dua lagi rakan dalam perjalanan pulang ke Nilai, Negeri Sembilan, selepas selesai menghantar perabot di Muar, Johor, sebelum terbabit kemalangan.

“Kira-kira jam 10.45 malam mangsa ada menghubungi saya memberitahu tayar hadapan sebelah kanan pecah sebelum saya kemudiannya menerima maklumat mereka semua terbabit dalam kemalangan tanpa mengetahui mangsa sudah meninggal dunia.

“Saya tak sangka itu panggilan terakhir mangsa kepada saya selama lebih sepuluh tahun mangsa tinggal di negara ini. Sebagai sumbangan akhir kami akan bantu selesaikan segala urusan penghantaran mangsa pulang semula ke Pakistan,” katanya.


Sukar keluarkan mangsa

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan S.A.Pillay berkata, lapan anggota bersama sebuah jentera dan dua unit Skuad Gerak Cepat (SGC) bergegas ke lokasi kejadian dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil.

“Setiba di lokasi mendapati mangsa maut berada di tebing jalan manakala mangsa yang tersepit terperosok di bawah lori makanan ringan yang sudah terbalik mengiring ke kanan dalam keadaan enjin masih hidup kerana penggunaan enjin hidraulik.

“Anggota mengalami kesukaran mengeluarkan mangsa kerana kedudukan mangsa dan bomba menggunakan peralatan khas untuk memotong beberapa bahagian bawah enjin sebelum menarik keluar mangsa.

“Bomba mengambil masa lebih 45 minit untuk keluarkan mangsa yang berada dalam keadaan lemah serta sudah dibasahi minyak lori sebelum diserah kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya.

Pengarah Pertahanan Awam Alor Gajah, Leftenan Muda Hamdan Mohd Saat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kemalangan berkenaan kira-kira 11.20  malam dan bergegas ke lokasi kejadian

“Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Alor Gajah dan Hospital Melaka menggunakan dua buah ambulan dari  JPAM,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka selepas menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU), kira-kira 9 pagi semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/dirempuh-ketika-tukar-tayar-mangsa-terperosok-bawah-lori-1.118413

Imam maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

5 Januari 2013
MELAKA: “Sejak kebelakangan ini ayah mengadu sakit kaki, tetapi apabila kami mahu menghantarnya ke hospital, dia menolak dan menyatakan akan pergi ke klinik sendiri,” kata Mohd Fairus, 29, anak kepada seorang imam yang terbunuh dalam kemalangan ketika pulang dari klinik, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi di persimpangan masuk ke Taman Cheng Perdana, Lebuh Alor Gajah- Melaka - Jasin (AMJ) itu, mangsa Yahaya Hassan, 64, dari Batu 1/2, Kampung Bertam Hulu maut selepas motosikal jenis Demak EX90 ditunggangnya terlanggar belakang sebuah Proton Wira.

Lebih memilukan, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran dan ubat yang diletak di dalam bakul motosikal bertaburan di atas jalan raya.

Menurut anak keempatnya, Mohd Fairus, 29, dia yang bergegas ke lokasi selepas dimaklumkan mengenai kejadian terkejut melihat tubuh bapanya sudah ditutup dengan kain putih.


Katanya, tiada perubahan sikap ditunjukkan bapanya sebaliknya hanya enggan dihantar ke hospital kerana mengalami sakit kaki.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Imammautpulangklinik/Article/index_html
sinarharian.com.my/mobile/edisi/melaka-ns/imam-maut-nahas-jalan-raya-1.118173

Thursday, January 3, 2013

Warga kota bayar saman trafik RM10j setahun


4 Januari 2013
Warga kota bayar RM10j setahun bagi saman trafik

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Pemandu di Kuala Lumpur membayar denda kira-kira RM10 juta setahun atas kesalahan melanggar lampu isyarat.

Menurut Polis Kuala Lumpur, sebanyak 22,054 saman dikeluarkan sejak Januari hingga September tahun ini dan 33,836 saman pada 2010 yang melibatkan RM10.15 juta dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di ibu kota.

Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Rusli Mohd Noor berkata untuk tempoh sama tahun lepas, sebanyak 35,185 saman dikeluarkan bagi kesalahan melanggar lampu isyarat menjadikan jumlah saman RM10.55 juta.

Untuk setiap kesalahan lampu isyarat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, setiap pesalah trafik dikenakan denda RM300.

Beliau berkata saman-saman yang dikeluarkan adalah berdasarkan rakaman kamera yang diletakkan di persimpangan lampu isyarat dan oleh anggota trafik yang ditempatkan mengawal lalu lintas di sekitar ibu kota. - BERNAMA


Sumber:
utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130104/dn_22/Warga-kota-bayar-RM10j-setahun-bagi-saman-trafik


Anggota tentera maut rempuh lori

Mohd Razif Muhamad Nayan, 21, maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah lori di km 134.5 Jalan Kuantan-Segamat dekat Rompin

Inalillahi wainailaihi rojiun

4 Januari 2013
KUANTAN: Seorang anggota tentera maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah lori di km 134.5 Jalan Kuantan-Segamat dekat Rompin, semalam.

Akibat rempuhan di bahagian tengah kiri lori itu, Muhammad Razif Muhammad Nayan, 20, dari Felda Keratong 7, Muadzam Shah, cedera parah di kepala dan badan.

Muhammad Razif mati semasa dalam perjalanan ke Hospital Segamat. Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, berkata motosikal yang dinaiki anggota tentera itu dikatakan tidak sempat mengelak lori berkenaan yang ketika itu membelok untuk memasuki simpang.

Ketika kejadian pada jam 1 petang itu, Muhammad Razif dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Rompin manakala lori berkenaan datang dari arah Segamat. - BERNAMA

Al-Fatihah

Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/Anggotatenteramautnahasjalanraya/Article/


Kemalangan 2 jentera bomba

kereta bomba rempuh pokok


4 Januari 2013
TELUK INTAN - Angkara sebuah kereta rosak di tengah jalan, misi memadamkan kebakaran di Kampung Esso, di sini, terjejas apabila dua jentera bomba dan penyelamat berlanggar sesama sendiri.

Akibat kejadian itu, seorang anggota bomba mengalami kecederaan manakala lapan anggota lain selamat dalam kejadian tengah hari, semalam.

Mangsa, Mohd Hafiz Abdul Rahman, merupakan anggota Bomba dan Penyelamat Teluk Intan cedera di bahagian kaki apabila jentera yang dinaikinya itu merempuh jentera di hadapannya.

Kejadian berlaku di kilometer 1, Jalan Changkat Jong, berhadapan bekas tapak Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak kira-kira 50 meter dari pasar raya terkemuka.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.59 tengah hari semalam itu kedua-dua jentera berkenaan dikatakan sedang dalam perjalanan untuk memadam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Esso selepas menerima panggilan kecemasan beberapa minit sebelum itu.

Seorang jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan ketika ditemui di tempat kejadian berkata, kedua-dua jentera berkenaan bergegas keluar dari balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan yang hanya 200 meter dari tepat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian pemandu jentera di hadapan yang dinaiki tiga anggota tiba-tiba memperlahankan kenderaan selepas terlihat sebuah kereta jenis Nissan Sunny di hadapan yang tidak bergerak dipercayai rosak dan ditinggalkan di situ.

“Sebaik menekan breknya itu, jentera dinaiki enam anggota yang mengekorinya di belakang itu tidak sempat membrek lalu merempuh bahagian belakang jentera hadapan,” katanya.


Jentera bomba terbabas, rempuh pokok

Katanya, rempuhan tersebut mengakibatkan jentera di hadapan terbabas lalu merempuh sebatang pokok di bahagian tepi kiri jalan manakala jentera di belakangnya terhenti pada jarak kira-kira 10 meter di hadapan.

Menurutnya, jentera di hadapan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan belakang manakala jentera belakang mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.


Minta bantuan bomba lain

Beliau berkata, akibat kejadian itu pihaknya terpaksa meminta bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang untuk membantu memadamkan kebakaran di kampung berkenaan.

Kejadian itu telah menyebabkan kesesakan teruk di Jalan Changkat Jong menghala ke pusat Bandar Teluk Intan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan katanya pihak polis sedang menyiasat kejadian itu.


Warga emas nyaris rentung

Manakala, mangsa kebakaran di Kampung Esso, di sini, semalam, nyaris rentung apabila rumah yang didiami bersama suami dan seorang anak hangus dalam kejadian berkenaan.

Mangsa, Siti Asiah Salleh, 67, sendirian ketika kejadian berlaku, terselamat daripada rentung apabila diselamatkan jirannya.

Suami mangsa, Saibani Mohd Khairan, 60, berkata, ketika kejadian dia mengisi minyak pada motosikal manakala anaknya keluar makan bersama-sama rakannya.

Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada anaknya itu yang memberitahu rumah mereka sedang terbakar sebelum menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat Teluk Intan.


20 minit tunggu bantuan

Saibani berkata, sebaik dihubungi, dia bergegas pulang ke rumah dan mendapati isterinya  berada di rumah jiran sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk menerima rawatan manakala sebahagian rumah yang berusia lebih 20 tahun itu sudah habis terbakar.

“Saya bersama anak dan beberapa jiran cuba untuk memadam kebakaran itu tetapi tidak berupaya kerana api semakin marak.

“Kami menunggu bantuan dari pihak bomba tetapi sudah hampir 20 minit namun, bantuan tidak  sampai-sampai menyebabkan saya buntu kerana keseluruhan rumah kami hangus terbakar,” katanya.

Saibani berkata, dalam keadaan kelam-kabut itu sebuah kereta peronda polis tiba dan memaklumkan bahawa kedua-dua jentera Bomba dan Penyelamat Teluk Intan yang sedang dalam perjalanan ke tempat kejadian terlibat dalam satu kemalangan sesama sendiri.

Menurutnya, dia yang sedih apabila dimaklumkan berkenaan kemalangan melibatkan jentera bomba itu.


Kerugian lebih RM40,000

Saibani berkata, dia dan penduduk tidak dapat berbuat apa-apa sehingga bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat dari Hutan Melintang tiba.

Menurut Saibani, walaupun harta bendanya musnah namun dia rasa bersimpati terhadap anggota-anggota bomba yang terlibat dalam kemalangan itu lebih-lebih lagi ketika sedang dalam perjalanan untuk membantu menyelamatkan rumahnya.

“Selain harta benda termasuk peralatan elektrik dan perabot musnah, tiga motosikal turut musnah dalam kebakaran itu.

“Jumlah kerugian di anggarkan lebih RM40,000 dan katanya punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/jentera-bomba-bertembung-sesama-sendiri-1.117807


Pemungut besi buruk maut



4 Januari 2013
SUNGAI PETANI – Seorang pencari barangan lusuh dan besi buruk maut dalam kemalangan dalam kejadian di Jalan Tikam Batu-Sungai Petani berdekatan Giant Hypermarket kira-kira 7.25 malam kelmarin.

Mangsa, Patchamuthoo Thannimalai, 44, yang menunggang motosikal bertembung dengan sebuah kereta Satria Neo yang dipandu Mat Isa Abd Rahman, 57.

Mat Isa berkata, dia sedang dalam perjalanan pulang dari Kepala Batas, Pulau Pinang ke rumah di Taman Delima, Sungai Petani, secara tiba-tiba ternampak cahaya terang di hadapan semasa melalui jalan berkenaan.

“Kejadian berlaku ketika azan sedang berkumandang di radio kereta dan saya bergegas mahu pulang ke rumah kerana ingin menunaikan solat Maghrib.

“Bagaimanapun, dalam sekelip mata muncul cahaya lampu motosikal mangsa dari arah hadapan, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana mangsa terlalu hampir,” katanya kepada Sinar Harian.

Akibat itu, kereta Satria Neo yang dipandu Mat Isa bertembung dengan motosikal Patchamuthoo.

“Saya terkilan kerana dia masuk ke laluan saya. Kenapa dia perlu melalui jalan ini sedangkan ia adalah laluan sehala,” katanya.

Menurutnya, mujur sebuah kenderaan yang mengekori di belakang sempat mengelak dari terus berlanggar.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa keluar dari satu simpang terus memasuki jalan berkenaan mahu melintas walaupun tiada lintasan disediakan.

Tinjauan mendapati, komponen besi, kain lusuh dan beberapa barangan milik mangsa yang diletakkan dalam raga motosikalnya bertaburan di atas jalan raya.

Patchamuthoo maut di lokasi kejadian, manakala Mat Isa hanya mengalami cedera ringan.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk dibedah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/pemungut-besi-maut-bertembung-1.117909


Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut

Pelajar IPT maut kemalangan


4 Januari 2013
LUNAS - Seorang penuntut lelaki berusia 22 tahun dan masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) maut di tempat kejadian apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya merempuh sebuah lori kira-kira jam 1.50 petang, kelmarin.

Ketua Trafik Kulim, Asisten Komisioner Ismail Ayob berkata, siasatan awal mendapati, mangsa datang dari jalan Titi Karangan menuju ke Kampung Bukit Sarang Ayam.

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian sebuah lori tiba-tiba melintas di hadapan mangsa.

“Mangsa gagal mengelak lori terbabit dan terus merempuhnya. Mangsa maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala.

“Manakala motosikal mangsa turut mengalami kerosakan teruk apabila terseret sejauh kira-kira 60 meter,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, penunggang motosikal seharusnya berhati-hati dan tidak menunggang motosikal dengan laju.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 59 kes kemalangan maut direkodkan berlaku di Kulim dan penunggang motosikal merupakan mangsa paling ramai terlibat.

Ismail turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak membenarkan anak-anak di bawah umur menunggang motosikal sekiranya tidak mempunyai lesen memandu yang sah

Beliau berkata, sekiranya berlaku kemalangan, waris mangsa terlibat sukar untuk mengambil tindakan undang-undang.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/motor-terseret-sejauh-60-meter-1.117914



Pembantu kesihatan maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

3 Januari 2013
BATU PAHAT - Seorang pemuda maut apabila kereta Toyota Vios yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 3, Jalan Batu Pahat-Muar, kira-kira jam 5.20 petang semalam.

Mangsa, Mohd Shahrein Md Nasir, 27, yang tersepit di dalam kenderaannya meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kesihatan di Klinik Kesihatan Bagan itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Tanjung.

Dalam kejadian berkenaan, treler terbabit dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh dua kenderaan lain," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Pemandu van yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk menerima rawatan.

Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khaled, Saif Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan berkenaan pada jam 5.40 petang.

“Enam anggota serta pegawai dikerah ke lokasi kejadian. Kami mengambil masa hampir 40 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu kereta itu,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga warung, Rubiah Yanis, 54, berkata, dia yang sedang berniaga di warung yang terletak kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian, terkejut mendengar bunyi brek kenderaan disusuli denganbunyi dentuman.

“Pada mulanya saya sangkakan ia adalah bunyi letupan namun terkejut apabila mendapati treler terbabit merempuh dua kenderaan berkenaan.

“Toyota Vios itu pula melekat pada bahagian depan treler dan diseret sejauh beberapa meter. Saya tidak berani untuk menghampiri lokasi kejadian selepas dimaklumkan oleh orang ramai pemandu kereta itu maut akibat tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.

Al-Fatihah...

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/kereta-melekat-depan-treler-1.117647


Pelajar Kolej Perubatan Ulu Kinta maut

Mayat mangsa ditutup dengan plastik hitam manakala motorsikal dinaiki rentung setelah terbakar akibat kemalangan di KM187.1 Lebuhraya Utara-Selatan


Inalillahi wainailaihi rojiun

3 Januari 2013
GUNUNG SEMANGGOL - Kemalangan ngeri membabitkan dua motosikal dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer (KM) 187.1 Lebuhraya Utara-Selatan (arah Selatan), awal pagi semalam, menguburkan hasrat seorang pelajar perubatan yang maut dalam kejadian berkenaan.

Mangsa, Mohd Kifli Madlan, 21 merupakan pelajar tahun akhir Diploma Perubatan, sedang dalam perjalanan untuk melaporkan diri ke Kolej Perubatan Ulu Kinta ketika terbabit dalam kejadian pada 6.15 pagi itu.

Lebih memilukan, mayat mangsa ditemui dalam keadaan mengerikan dengan tangan kirinya putus dan sebahagian besar kaki kanannya terbakar selepas mangsa bersama motosikal yang dinaikinya di langgar serta digilis MPV terbabit.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan memaklumkan, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Sungai Kechil Ulu, Bandar Baharu, Kedah ke tempat pengajiannya dengan menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC.

Menurut beliau, ketika tiba di tempat kejadian, sebuah motosikal dari jenis sama yang dinaiki seorang lelaki (belum dikenal pasti identiti) dikatakan hilang kawalan lalu terbabas di laluan kecemasan.

"Mangsa yang berada di belakang motosikal terbabit, cuba mengelak dan akhirnya turut hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan (lorong laju).

"Nasib mangsa tidak begitu baik apabila dia bersama motosikalnya digilis oleh MPV jenis Ssanyong yang kebetulan sedang memandu di laluan berkenaan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Mat Fauzi menambah, kejadian telah menyebabkan tangan kiri mangsa putus sehingga paras lengan manakala kaki mangsa melecur teruk setelah motosikal yang ditunggangnya terbakar.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan punca kebakaran motosikal disebabkan percikan api kerana pergeseran setelah motosikal berkenaan dilanggar MPV terbabit.

"Pemandu MPV yang ditemui memaklumkan, dia terlihat sebuah objek di tengah lebuh raya semasa kejadian, tetapi tidak sempat mengelak kerana jaraknya terlalu dekat.

"Tambahan, keadaan masih gelap pada masa itu dan pemandu terbabit memaklumkan MPV yang dipandunya tidak mampu meneruskan perjalanan selepas satu KM meninggalkan tempat kejadian akibat kerosakan," katanya.

Menurut Mat Fauzi, kebakaran motosikal dapat dikawal oleh anggota bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kamunting yang bergegas ke lokasi kejadian.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat, manakala seorang lagi penunggang motosikal dilaporkan cedera parah dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping.

"Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/lapor-diri-terakhir-1.117639



Maut rempuh Plaza Tol Sungai Ramal



3 Januari 2013
KAJANG - Dua beradik maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera parah apabila kenderaan yang dinaiki terbabas dan melanggar tembok penghadang di Plaza Tol Sungai Ramal di Kilometer 24 Lebuhraya Silk di sini, pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa, K Harry Krisnan, 24, K Balamurugan, 19, maut di tempat kejadian, manakala R Ramesh yang berusia 20-an cedera parah.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Superintendan Zulkifli Jonit berkata, kereta jenis Kelisa yang dipandu Harry dari Bangi menghala plaza tol itu dipercayai terbabas sebelum merempuh tembok penghadang.

“Seorang lagi rakan mangsa mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, mayat dua beradik yang maut dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Mishan Benu berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 8.20 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Kita mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit masing-masing di bahagian pemandu, penumpang depan dan belakang dengan mengambil masa selama 15 minit,” katanya.



Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/dua-beradik-maut-rempuh-tembok-tol-1.117578




Pemandu Lori maut dilanggar lari

 Inalillahi wainailaihi rojiun

3 Januari 2013
SUNGAI BESAR - Tindakan seorang lelaki berhenti tepi jalan untuk membetulkan papan pengadang belakang lori yang dipandunya membawa padah apabila dia maut dalam kejadian langgar lari, kira-kira jam 6.45 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, mangsa, Mohd Kamarizam Kari,39, memberhentikan kenderaan di kiri jalan di Kilometer 70 Jalan Teluk Intan - Klang apabila papan pengadang belakang lori dipandunya terbuka.

"Mangsa yang dalam perjalanan pulang ke tempat kerja di Sekinchan selepas menghantar muatan kayu ke Sungai Besar, turun dari kenderaannya untuk membetulkan papan pengadang berkenaan namun dirempuh sebuah lori lain dari belakang, arah sama.

"Lori berkenaan dipercayai dipandu laju oleh suspek sebelum hilang kawalan dan merempuh mangsa," katanya.

Menurutnya, disebabkan rempuhan tersebut, mangsa parah pada kepala dan dada selain cedera di tangan serta kaki.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayatnya di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat," katanya.

Dalam pada itu, Noor Mushar berkata, ada menerima laporan daripada keluarga mangsa berhubung kejadian berkenaan untuk membantu siasatan.

"Bagaimanapun, sehingga kini tiada laporan dibuat pemandu lori yang dipercayai merempuh mangsa dan menyebabkan siasatan lanjut sukar dijalankan.

"Saksi kejadian diharap tampil memberikan kerjasama bagi mengesan individu terbabit dan kes diklasifikasikan sebagai langgar lari," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/mangsa-langgar-lari-maut-1.117690


Wednesday, January 2, 2013

Llans koperal maut


2 Januari 2013
MERSING - Seorang anggota  polis berpangkat lans koperal maut  selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Mersing-Endau, di sini, apabila kereta dipandunya  terbabas dan merempuh sebuah  treler yang diletakkan di tepi jalan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, Stainrod Collin Etian, 26, yang  memandu Proton Wira meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Mersing, di sini, kerana mengalami  kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rashid mengesahkan kejadian dan berkata, mangsa adalah anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Pahang.

 Menurutnya, mangsa dipercayai baru pulang bercuti di kampungnya di Kuching, Sarawak dan baru tiba di Rompin, kelmarin.

“Mangsa dikatakan akan  mula bertugas hari ini (semalam),” katanya kepada Sinar Harian.

“Pemandu treler dilaporkan tidak mengalami  sebarang kecederaan kerana tidak  berada di dalam kenderaan berkenaan disebabkan berehat di rumah  seorang rakannya di Endau,” katanya.

Mohd Nor berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/anggota-polis-maut-1.117233


Peniaga bihun sup maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

2 Januari 2013
YAN - Seorang peniaga bihun sup maut setelah keretanya terbabas lalu merempuh pokok sehingga terputus dua sebelum bahagian depan terjunam ke dalam Terusan Wan Mat Saman di Bukit Besar di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam di Batu 11, Jalan Sungai Petani-Kota Setar ketika mangsa, Mohammad Syawal Ismail, 23,  memandu kereta jenis Honda Civic dalam perjalanan ke rumahnya di Taman Kota Sarang Semut dari arah Gurun.

Mangsa maut di tempat kejadian disebabkan mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di tepi jalan.

“Akibat rempuhan kuat, kereta terputus dua dan mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu terjunam ke dalam terusan bersama separuh badan kereta manakala bahagian belakang kereta tersangkut pada pokok.

“Jarak antara bahagian belakang kereta yang terputus dengan bahagian depan kira-kira 15 meter,” katanya.

Ismail berkata, kereta itu dipercayai dipandu laju dan kemungkinan terbabas disebabkan permukaan jalan licin kerana kejadian berlaku ketika hujan.

“Kita juga akan menghantarnya ke Puspakom untuk mengenal pasti sama ada ia adalah kereta potong atau tidak,” katanya.

Sementara itu, ibu tiri mangsa, Nazila Ariffin, 30, berkata, Mohammad Syawal menunjukkan tanda pelik apabila tidak mahu membantu berniaga bihun sup seperti biasa di pasar pagi Pekan Jeniang awal pagi kelmarin.

“Kebiasaannya arwah rajin membantu ayahnya berniaga di mana-mana pasar pagi tetapi semalam (kelmarin) enggan berbuat demikian.

“Namun saya tidak berfikir perkara buruk kerana menyangka mungkin disebabkan adik-adiknya yang selama ini membantu berniaga sudah mula bersekolah menyebabkannya tidak mahu membuka gerai kerana terpaksa menguruskan perniagaan seorang diri,” katanya.

Nazila berkata, walaupun Mohammad Syawal hanya anak tiri namun hubungan mereka rapat terutama dengan anak bongsunya kerana mereka tinggal bersama dan arwah seorang yang sangat peramah.

Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Sarang Semut kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/peniaga-bihun-sup-maut-1.117217



Sarjan IPD Alor Setar maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

2 Januari 2013
ALOR SETAR - Seorang Penyelia Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar maut selepas cedera parah akibat kemalangan dengan sebuah kereta jenis Honda Civic berdekatan lampu isyarat, Kuil Hindu, di Lebuhraya Darul Aman, di sini Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, pada kejadian 5.25 pagi itu, Sarjan Omar Din, 54, bersama seorang anggota polis dalam perjalanan membawa dua suspek kes pecah rumah di Taman Wira.

“Setibanya di jalan berhampiran kawasan Klinik Kesihatan Alor Setar, kereta polis itu bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan yang dipandu seorang wanita dipercayai ingin membelok ke Jalan Stadium secara tiba-tiba,” katanya selepas melawat keluarga mangsa di bilik mayat, Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.

Mangsa cedera parah di bahagian kaki dan tangan, manakala pemandu kereta peronda mengalami kecederaan ringan.

Katanya, wanita yang melanggar kereta rondaan polis turut mengalami kecederaan ringan dan akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Menurutnya, mangsa dilaporkan meninggal dunia pada jam 8.45 pagi, semalam.

Sementara itu, isteri mangsa, Sabrina Mohd Isa, 51, berkata, mangsa sangat peramah dan rapat dengan kesemua lima orang anaknya, malah tidak pernah memarahi sesiapapun termasuk dirinya yang dikahwini sejak 30 tahun lalu.

Sabrina berkata, dia tidak pernah menyangka pesanan arwah sejak kebelakangan ini merupakan tanda-tanda bahawa dia akan pergi meninggalkannya.

“Arwah berpesan agar belajar hidup sendiri dan teruskan untuk membina rumah.

"Arwah juga memberi nombor pin banknya untuk memudahkan mengambil duit,” katanya.

Sabrina berkata, hasrat membina rumah merupakan hajat arwah sejak dahulu lagi, jadi dirinya akan cuba memenuhi dan menunaikan permintaan terakhirnya itu.

Mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bedong, selepas Asar, hari ini (semalam).

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/tragedi-5-25-pagi-1.117325



2 sahabat maut malam tahun baru


Inalillahi wainailaihi rojiun

2 Januari 2013
KUANTAN - Hasrat tiga rakan keluar makan lewat malam selepas meraikan sambutan tahun baru 2013 bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut setelah kereta yang dinaiki terbabas sebelum melanggar tiang lampu di Jalan Tanjung Lumpur di sini awal pagi semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 3.45 pagi itu, mangsa, Wan Adnan Wan Mustafha, 23 berasal dari Kemumin, Kota Bharu, Kelantan yang berada di tempat duduk penumpang belakang mati di tempat kejadian manakala rakannya  Sahrizal Abu Bakar, 33 dari Kampung Sungai Ular dekat sini meninggal dunia ketika dalam perjalanan menerima rawatan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Seorang lagi rakan mereka  yang memandu kereta Proton Wira  Aeroback itu dilaporkan parah dan kini dirawat di hospital sama.




Hasrat pandu Satri Neo tidak kesampaian

Abang Ipar Wan Adnan, Rashidi Mohd Ramli, 45 ketika ditemui di Unit Forensik HTAA semalam memberitahu, kegembiraan mereka sekeluarga menyambut tahun baru direntap selepas mendapat berita berhubung kemalangan yang menimpa adik iparnya itu.

Menurutnya, sehari sebelum kejadian, mereka sekeluarga sempat berkumpul dan makan bersama di rumahnya di Beserah sempena meraikan hari jadi salah seorang ahli keluarga.

“Ketika itu arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap kerana dia seorang yang agak pendiam dan terus kembali ke biliknya selepas jamuan selesai.

“Malam tadi (kelmarin) rakannya yang turut terlibat dalam kemalangan ini datang ke rumah menjemputnya keluar sebelum kami mendapat berita dia bersama seorang lagi maut dalam kemalangan ini,” katanya.

Rashidi berkata, arwah merupakan anak kelapan daripada sembilan adik beradik dan bekerja sebagai operator kren di sebuah kilang di Gebeng.

“Arwah seorang anak yang bertanggungjawab terhadap keluarga, setiap bulan sebahagian daripada gajinya digunakan untuk membantu keluarga di kampung.

“Baru-baru ini dia menempah kereta idamannya, Proton Satria Neo namun hajatnya untuk memandu kereta itu tidak kesampaian,” katanya.

Rashidi yang turut ditemani isteri, Wan Nor Hayati Wan Mustafha, 44 berkata, jenazah arwah akan dihantar ke Pengkalan Chepa, Kelantan untuk dikebumikan.


Arwah anak yang baik

Sementara itu bapa kepada Sahrizal, Abu Bakar Mat Tahir, 64 berkata, anaknya yang kini bekerja sebagai nelayan tergolong dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) setelah terlibat kemalangan empat tahun lalu.

Menurutnya, arwah merupakan anak kelima daripada 12 beradik dan tinggal bersama keluarga di Kampung Sungai Ular.

“Saya tidak tahu jam berapa dia keluar malam tadi (kelmarin) selepas dua rakannya itu datang ke rumah mengajaknya untuk meraikan tahun baru.

“Lebih kurang jam 4.45 pagi salah seorang anak saya datang ke rumah memberitahu Sahrizal kemalangan dan meninggal dunia,” katanya yang masih terkejut dengan kemalangan yang menimpa anaknya itu.

Abu Bakar berkata, anaknya yang masih bujang itu seorang yang pendiam namun seorang yang baik dan bertanggungjawab.

“Kali terakhir kami bertemu petang kelmarin dan ketika itu sikapnya seperti biasa,” katanya.

Dia berkata, jenazah anaknya itu akan dibawa pulang selepas proses bedah siasat selesai dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Ular.


Kereta terbabas langgar tiang lampu
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, tiga rakan itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Tanjung Lumpur.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian selepas Jambatan Tanjung Lumpur, kereta yang dinaiki tiga rakan itu dipercayai terbabas semasa melalui  laluan berselekoh di situ.

“Kereta terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar tiang lampu yang berada di tengah laluan tersebut,” katanya ketika dihubungi  Sinar Harian petang semalam.

Abdul Aziz berkata, punca sebenar kemalangan yang meragut dua nyawa itu masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/dua-rakan-maut-selepas-sambut-tahun-baru-1.117197


Maut Diambang 2013


Inalillahi wainailaihi rojiun

2 Januari 2013
SETIU – Seorang peniaga sate maut apabila kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah bas ekspres dalam kemalangan di Kilometer 52.2 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di kawasan Kampung Sungai Lerek dekat Sungai Tong di sini menjelang tahun baru malam kelmarin.


Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, mangsa, Ghazali Muhamad, 67, mati di tempat kejadian apabila cedera parah selepas kereta dinaikinya terputus dua.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kemalangan itu berlaku apabila mangsa yang memandu seorang diri dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu dikatakan terbabas di lorong bertentangan.

Menurutnya, pada masa sama bas ekspres dari arah Kota Bharu cuba mengelak kereta tersebut lalu  masuk ke laluan sebelah kanan jalan namun kereta mangsa masuk semula ke laluannya menyebabkan kedua-dua kenderaan berkenaan bertembung.

“Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa merempuh bahagian sisi kiri bas dan diseret sejauh beberapa meter,” katanya.

Ab Rahman berkata, akibat kemalangan itu bahagian depan kereta mangsa terputus dua dan mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Bagaimanapun pemandu dan 30 penumpang bas yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Johor Bharu dan Kluang, Johor itu tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Mangsa yang menjalankan peniagaan sate di Dungun beralamat di Kampung Badak Rekang Hilir Belakang, Bachok, Kelantan dihantar ke bilik mayat untuk bedah siasat.

Kes disiasat oleh Pegawai Penyiasat Trafik Setiu, Inspektor Musa Ali dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/tragedi-ambang-2013-peniaga-sate-maut-kereta-putus-dua-1.117135
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/korban-ambang-tahun-baru-1.117191

Monday, December 31, 2012

Pelajar maut tiada lesen memandu.

Pelajar maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

1 Januari 2013
RAWANG – Kegembiraan seorang pelajar menghabiskan cuti akhir persekolahan bersama rakannya berakhir tragedi apabila motosikal ditungganginya bergesel dengan sebuah kenderaan di kilometer 14 Jalan KL-Ipoh, pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.56 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125z dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mandi di sebuah kolam air panas dekat sini.

Jurucakap Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak berkata, mangsa Izat Muadzam Junaidi, 16, beralamat di Jalan Klang Lama disahkan maut akibat kecederaan dalaman.

Menurutnya, siasatan awal kemalangan mendapati motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah Rawang menghala ke Kuala Lumpur dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan.

Pemandu kenderaan yang masih belum dapat dikenalpasti itu dikatakan melarikan diri selepas kejadian berlaku.

“Mangsa yang hilang kawalan akibat geselan dengan kenderaan lain terpelanting dan tercampak di lorong kiri jalan.

“Kenderaan yang bergesel dengan motosikal mangsa dipercayai melarikan diri dan masih dikesan sehingga kini,” katanya.

Kes dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mangsa didapati tiada lesen memandu.

Sehubungan itu, saksi kemalangan atau mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak,  Inspektor Muhamad Izam Ibrahim di talian 03-61262273, 03-61262257 atau 013-2006111 untuk membantu siasatan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/cuti-akhir-persekolahan-1.116922


Terhumban atas jalan


1 Januari 2013
SEBERANG PERAI - Seorang pemuda nyaris maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang membelok di Jalan Bagan Ajam berdekatan Klinik Xavier di sini, petang kelmarin.

Rempuhan kuat di bahagian hadapan kiri kereta Toyota Vios dinaiki satu keluarga dalam kejadian pada jam 7.20 petang itu menyebabkan mangsa berusia 20-an, tidak sedarkan diri dipercayai kerana mengalami cedera parah.

Mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dikatakan dalam perjalanan dari Bagan Lebai Tahir ke Taman Sri Bagan di Bagan Dalam, untuk bertemu rakan.

Difahamkan, mangsa yang menunggang dalam keadaan laju gagal mengawal motosikalnya sebelum melanggar bahagian hadapan kereta dinaiki keluarga itu yang membelok untuk pulang ke rumah mereka di Taman Meranti Indah di sebelah kanan laluan berkenaan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa terpelanting dan terhumban di sebelah kenderaan berkenaan menyebabkannya cedera dan tidak sedarkan diri kemudiannya.

Pengguna jalan raya yang prihatin dilihat bersama petugas Klinik Xavier memberikan bantuan di lokasi kejadian sebelum mangsa dibawa dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Seberang Jaya kemudiannya.

Laluan berkenaan turut sesak apabila pemilik kenderaan turut memberhentikan kenderaan mereka untuk melihat kejadian itu, bagaimanapun aliran trafik kembali lancar sejurus ketibaan polis mengawal keadaan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/tak-sedarkan-diri-selepas-terhumban-ke-atas-jalan-1.116934


Punca radiator tak berfungsi


HOS getah penyalur air dan penutup kerap menjadi punca kegagalan radiator yang berfungsi menyejukkan enjin dengan sempurna.

Ini berikutan kegagalan dua komponen berkenaan membuatkan air dalam radiator bertukar menjadi wap menyebabkan kandungannya semakin berkurangan.

Sekiranya hos getah gagal berfungsi akibat bocor, ia mungkin berpunca daripada keretakan atau rekahan pada permukaannya kerana komponen itu terlalu lama sehingga menjadi keras.

Jika rekahan itu dibiarkan tanpa mengganti hos, kemungkinan ia bocor menyebabkan semua air dalam tangki kosong, sekali gus menaikkan suhu enjin.

Penutup radiator pula gagal berfungsi apabila springnya menjadi keras dan tidak lagi menganjal menyebabkan komponen itu gagal mencengkam bagi menutup lubang memasukkan air.

Keadaan itu menyebabkan air dalam radiator mendidih menghasilkan tekanan sebelum keluar sebagai wap. Lama kelamaan air dalam radiator kehabisan.

Akhirnya, kereta anda tersadai di tepi jalan kerana tidak boleh bergerak apabila suhu enjin terlalu panas.

Sehubungan itu, anda dinasihatkan memeriksa setiap hos getah dari pangkal hingga ke hujung bagi memastikan tiada rekahan.

Periksa juga pangkal hos yang diikat dengan klip kerana bahagian ikatan itu mudah bocor.

Ujian untuk memastikan ketahanan hos getah adalah dengan memicitnya. Getah, eloklah gantikan hos itu dengan segera kerana ia sebagai petanda akan pecah bila-bila masa saja.

Akhir sekali, periksa semua kedudukan hos supaya tidak bergesel dengan dinding atau alat ganti lain.

Sekiranya mahu menukar hos getah, air dalam radiotor perlu dibuang dengan membuka skru saluran keluar air di bawah tangki. Kemudian, buka klip pengikat kedua-dua pangkal hos menggunakan pemutar skru.

Jangan sekali-kali menggunakan kekerasan ketika mencabut pangkal hos itu kerana puntungnya mudah retak, sebaliknya gunakan pisau untuk memotong hos itu. Selepas hos dicabut, gunakan berus dawai membersihkan sekeliling puntung yang mungkin diselaputi karat.

Jangan lupa masukkan dahulu gelung klip pada pangkal hos sebelum diketatkan semula selepas hos itu disumbatkan pada puntung.

Jika menghadapi masalah memasukkan pangkal hos itu, gunakan minyak atau gris yang disapu pada hujung puntung yang bertindak sebagai pelicin. Selepas pangkal hos dimasukkan ke puntung, ketatkan klip menggunakan pemutar skru.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Hosbocor_radiatortakberfungsi/Article/index_html

Maut pada hari lahir



Inalillahi wainailaihi rojiun

31 Disember 2012
SEREMBAN: Maut pada hari lahir. Itu tragedi yang menimpa seorang mekanik apabila baru beberapa jam genap usianya 24 tahun sebelum terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 12, Jalan Seremban-Kuala Pilah di Bukit Putus, di sini, semalam.



Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, mangsa, Mohamad Yusof Zaharuddin dari Taman Bukit Mutiara, Kuala Pilah maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas lalu merempuh sebuah kenderaan dari arah bertentangan.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Pilah ke Seremban maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa gagal mengawal motosikal Honda EX5 ditunggangnya ketika tiba di satu selekoh sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung kereta Proton Saga BLM hingga tercampak 15 meter,’’ katanya, di sini, semalam.

Katanya, siasatan awal juga mendapat, mangsa ingin bertemu rakannya di Seremban bagi meraikan hari lahirnya.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Harilahir_harimati/Article/index_html
ntv7.com.my/7edition/local-en/SON_OF_EX_POLICEMAN_DIES_IN_CRASH_ON_24TH_BIRTHDAY.html



Jururawat HUKM maut

Norhamiza Abd Rani, jururawat HUKM maut terbabas

Inalillahi wainailaihi rojiun

31 Disember 2012
KUALA KUBU BHARU - Seorang jururawat dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) maut dalam kemalangan di Kilometer 431.4 Lebuh Raya Utara Selatan awal pagi semalam.


Norhamiza Abd Rani, jururawat HUKM maut rempuh besi pengadang jalan



Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, ketika kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, kereta Perodua Alza dinaiki mangsa bersama suami dan tiga anaknya terbabas serta melanggar besi pengadang jalan.

“Siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada tayar depan sebelah kiri kereta dinaiki sekeluarga itu pecah menyebabkan pemandunya, Binorizam Basri, 34, gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan melanggar besi pengadang jalan sebelah kiri.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa, Norhamiza Abd Rani, 34, maut di tempat kejadian manakala dua daripada tiga anaknya cedera,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, anak mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).

Sementara itu, ibu mangsa, Rahmah Itam, 55, bersama suami tiba di Unit Forensik HKKB untuk menuntut jenazah anaknya.

Turut menziarahi mangsa, rakan sekerja serta pegawai dan kakitangan Perodua yang juga rakan sekerja suami Norhamiza yang bekerja sebagai eksekutif di bahagian pengedaran di Kilang Perodua, Sungai Choh.

Rahmah berkata, ketika kejadian anaknya dalam perjalanan kembali ke kediaman mereka di Cheras, Kuala Lumpur setelah menghabiskan cuti seminggu di kampung halaman di Jitra, Kedah.

“Mereka bertolak kira-kira jam 10 malam tadi (kelmarin) kerana bercadang berehat seketika sebelum memulakan kerja malam nanti (semalam).

“Tapi kami terkejut apabila mendapat panggilan mengatakan mereka terbabit kemalangan,” katanya.

Menurutnya, jenazah anaknya akan dibawa pulang ke Jitra untuk dikebumikan.



Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/jururawat-maut-dua-daripada-tiga-anaknya-cedera-1.116704
ntv7.com.my/7edition/local-en/WOMAN_KILLED_HUSBAND_AND_THREE_CHILDREN_INJURED_IN_CRASH.html



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my