loading...

Saturday, March 9, 2013

Remaja maut dirempuh kereta



Inalillahi wainailaihi rojiun

9 Mac 2013
BALING - Seorang remaja berusia 18 tahun maut setelah motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di kilometer 40 Jalan Sungai Petani-Baling berdekatan persimpangan ketemba di sini, kira-kira jam 1.45 pagi semalam.

Mohamad Wan Muzamir Abdullah, 18, dari Kampung Keda, Kledang, maut ditempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Kejadian berlaku ketika mangsa ingin keluar dari persimpangan ketemba menuju ke rumahnya sebelum dirempuh sebuah kereta dari arah Kulim-Baling.

Anak kedua dari enam beradik itu dipercayai terhentak di bahagian cermin kereta sebelum tercampak kira-kira  10 meter dari ke tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas berjumpa dengan rakannya di Pekan Kuala Pegang.

Mangsa, yang bekerja bekerja di sebuah kilang pemprosesan ayam di Kulim dibawa ke  Hospital Baling untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

Sementara itu, pemandu terbabit yang berusia lingkungan 40-an hanya cedera ringan dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu sehingga mengakibatkan kematian.

Bermula dari Januari tahun ini sehingga kini,  lebih dari tiga penunggang motosikal di daerah maut dalam kejadian kemalangan.

Al-Fatihah


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/remaja-maut-dirempuh-kereta-1.138050


Maut pada hari lahir



Inalillahi wainailaihi rojiun

9 Mac 2013
YAN - Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis tidak sempat menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-31 setelah motosikal ditungganginya merempuh pokok sebelum tercampak ke dalam parit di Kampung Sungai Kering, di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, Mohammad Zambri Mansor, dalam perjalanan dari Alor Setar ke rumah keluarga mertuanya di belakang pasar Pekan Yan Besar, selepas selesai menyertai operasi di Perlis.

Mangsa maut di tempat kejadian disebabkan kecederaan di kepala dan lemas.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh pokok di tepi jalan sebelum tercampak sejauh 1.8 meter ke kawasan parit berdekatan.

“Kita mendapat maklumat kira-kira jam 9.40 pagi berhubung kejadian itu sewaktu seorang petani ingin melakukan aktiviti meracun di kawasan kebunnya dan menemui mayat tertiarap di parit.

“Masa kejadian dikenalpasti melalui pergerakan jam tangan mangsa terhenti pada waktu itu dengan keadaan cermin permukaan jam ada kesan retakan di lokasi,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan di sini, semalam.

Ismail berkata, rempuhan berlaku pada bahagian kanan berdasarkan kepada kerosakan teruk bahagian kanan motosikal.

“Sewaktu ditemui, mangsa masih berpakaian seragam kerja dengan menyarung jaket. Mayatnya dihantar ke Hospital Yan untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan sempat meluangkan masa setengah jam menziarahi jenazahnya ketika dibawa ke Unit Forensik Hospital Yan selepas menghadiri satu mesyuarat.

“Saya turut bersimpati dengan kejadian itu dan JPJ akan menguruskan proses pengebumian jenazah,” katanya.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Pekan Yan selepas Asar.


Tak sempat tatap wajah anak ketiga

YAN - Hasrat arwah Mohammad Zambri Mansor menyambut kehadiran cahaya mata ketiganya dua bulan lagi tidak kesampaian apabila meninggal dunia pada hari kelahirannya ke-31 awal pagi semalam.

Bapa saudaranya, Amzaini Nayan, 52, berkata, arwah bersama keluarga berpindah ke Kedah tiga tahun lalu selepas ditukarkan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis kerana sebelum ini berkhidmat di Sabah.

Menurutnya, arwah mempunyai dua anak masing-masing berumur lima dan dua tahun. Manakala isterinya, Shima Abdual Ghafar, 31, berkhidmat sebagai kerani di Kolej Komuniti Guar Chempedak dan sarat mengandung tujuh bulan anak ketiga.

“Kali terakhir saya bertemu arwah Ahad lalu ketika dia menegur saya di tempat kerja. Arwah seorang yang amat periang selain gemar kepada aktiviti berbasikal beramai-ramai bersama rakannya.

“Dia tidak menunjukkan sebarang kelainan sebaliknya hanya bersikap biasa. Arwah tinggal bersama keluarga mertuanya kerana sering berulang-alik menunggang motosikal ke tempat kerja,” katanya kepada media ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Yan, di sini, semalam.

Amzaini berkata, arwah berasal dari Junjong, Kulim.

Sementara itu, ibu mertua arwah, Che Bunga Mohd Saad, 61, sempat bertemu Mohammad Zambri kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin sewaktu arwah ingin keluar ke tempat kerja.

Isterinya, bagaimanapun enggan ditemuramah kerana masih terkejut dengan kejadian menimpa suaminya.

Al-Fatihah


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/tak-sempat-tatap-wajah-anak-ketiga-1.138014
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-pada-hari-lahir-1.138012


Nyaris rentung bersama kereta




9 Mac 2013
REMBAU – Tiga individu berbangsa Cina mengalami detik-detik mencemaskan apabila kenderaan jenis Nissan Tenna yang dinaiki mereka melanggar satu objek berwarna hitam sebelum terbakar di kilometer 225, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira, jam 8.50 malam itu, kesemua mangsa iaitu dua lelaki dan seorang perempuan yang berusia lingkungan 20 hingga 40an itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun mereka masih berada dalam keadaan terperanjat dan kebingungan.

Menurut jurucakap polis, kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri setelah berhenti di lorong kecemasan apabila menyedari objek yang dilanggar itu bergeser di bahagian bawah kereta.

“Sejurus kesemua mangsa keluar dari kenderaan, dipercayai bahagian yang bergesel sudah mengeluarkan percikan api dan dalam masa yang singkat saja kenderaan itu sudah terbakar.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Abdul Jalil Jasin berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 8.50 malam dan tiba di lokasi kejadian pada jam 9.10 minit.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan sudah terbakar 100 peratus dan sepasukan anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengawal serta memadamkan kebakaran.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/nyaris-hangus-dalam-kereta-1.138036


Elak lori rempuh tiang elektrik



8 Mac 2013
REMBAU – Tiga lelaki nyaris maut apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar tiang elektrik di Kilometer 25, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9.50 malam itu, difahamkan pemandu kereta jenis Proton Saga itu cuba mengelak kenderaannya selepas dihimpit sebuah lori.

Jurucakap Polis berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai cuba mengelak sebuah lori yang tiba-tiba menghimpit kenderaannya sebelum terbabas ke kiri jalan lalu melanggar tiang elektrik.

“Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban bagi rawatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan," katanya.

Sementara itu, penduduk yang tinggal berhampiran lokasi kejadian, Rashidi Ahmad, 47, berkata, kejadian itu bukan kali pertama berlaku di sini, malah sepanjang 20 tahun dia menetap di sini, lokasi berkenaan turut membabitkan kemalangan maut.

Menurutnya, ketika kejadian, dia yang sedang berehat di bilik dikejutkan dengan bunyi brek yang kuat.

"Saya bergegas keluar dan bila sampai di lokasi kejadian, saya lihat tiga lelaki sudah keluar dari kereta," katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/elak-lori-langgar-tiang-elektrik-1.137756


Tiga beranak nyaris maut



8 Mac 2013
TELOK KEMANG - Tiga beranak nyaris maut selepas kereta Proton Perdana yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori treler di Batu, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian 7.45 malam itu, sepasang suami isteri bersama seorang anak berusia lingkungan setahun setengah dari arah Port Dickson ke Telok Kemang terselamat setelah kereta bertembung dengan lori treler tanpa muatan dari arah bertentangan.

Jurucakap polis berkata, pemandu kereta tersepit di tempat duduk apabila bahagian depan kenderaan itu remuk teruk.

Menurutnya, mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang.

"Pemandu mengalami patah kaki kanan dan kecederaan kecil di anggota badan dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

"Isteri dan anak mangsa yang cedera ringan turut dihantar ke hospital sama sementara pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya

Akibat insiden tersebut, laluan lorong Port Dickson-Telok Kemang terpaksa ditutup kerana kereta mangsa menghalang laluan menjadikan lalu lintas sedikit sesak.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tiga-beranak-nyaris-maut-1.137611




Menyuap makanan yang terakhir



Inalillahi wainailaihi rojiun

9 Mac 2013
KOTA BHARU - “Dia sempat bergurau dan menyuapkan makanan kepada cucu sebelum terlibat dalam kemalangan ini,” kata isteri mangsa kemalangan maut, Zamilah Mohamad, 53.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.05 malam kelmarin, mangsa Abu Bakar Awang, 59, yang menunggang motosikal berseorangan dari arah Kok Lanas ke Kota Bharu dipercayai merempuh sisi kanan kereta jenis Perodua Kancil dari arah bertentangan ketika kenderaan itu cuba masuk ke sebuah lorong.

Zamilah berkata, suaminya yang bekerja sebagai buruh binaan, tidak  memberitahu dia hendak ke mana pada malam kejadian.

“Dia memang sering keluar rumah selepas solat Isyak, sama ada ke kedai kopi atau membeli rokok, tetapi semalam (malam kelmarin) saya tidak tahu dia hendak ke mana.

“Terkejut menerima berita kematiannya selepas mendapat panggilan dari anak, saya terus bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki kereta anak perempuan saya dan melihat keadaan mayat suami yang terbujur kaku,” katanya sebak ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kemalangan terbabit berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu kereta berkenaan.

“Penunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah dan mati di tempat kejadian.

“Jenazah mangsa di bawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga untuk urusan pengebumian dan kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/penunggang-maut-setelah-rempuh-kereta-1.137956



Thursday, March 7, 2013

Pelajar SMK Nasiruddin Shah Maut



7 Mac 2013
BESUT -  Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah dekat Alor Lintang di sini, maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta di persimpangan Kampung Amer, Alor Lintang  petang semalam.
  
Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria berkata dalam kejadian 6.30 petang itu Ahmad Imrannaim Mohammad dari Kampung Tanah Merah Kerandang, Jerteh maut di tempat kejadian.
  
Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menyertai aktiviti sukan di sekolahnya dan menunggang dalam keadaan hujan lebat.
  
Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan akibat jalan licin, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
  
Pemandu kereta yang dikenal pasti sebagai Zarina Abdullah, 36, tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.  - Bernama

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/pelajar-tingkatan-2-maut-kemalangan-motosikal-di-besut-1.137436


Wednesday, March 6, 2013

Diseret lebih 20 meter



Inalillahi wainailaihi rojiun

6 Mac 2013
Kuala Lumpur: Seorang penunggang motosikal maut selepas diseret lebih 20 meter hingga menyebabkan sebahagian badannya hancur selepas dilanggar sebuah kereta Proton Waja ketika memasuki simpang jalan berdekatan Stesen LRT Wangsa Maju, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 petang, mangsa Syawaluddin Amrizal, 24, berasal dari Simpang Tiga, Gombak itu menghala dari Wangsa Maju ke Setapak manakala pemandu Proton Waja wanita berusia 30-an itu turut menggunakan laluan sama dan dipercayai memandu di belakang mangsa.


Sumber berkata, ketika masing-masing hendak memasuki simpang jalan pemandu kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan dan gagal mengelak daripada melanggar motosikal Honda EX5 ditunggang mangsa.

Menurutnya, akibat rempuhan dari belakang, motosikal mangsa diseret lebih 20 meter sebelum jatuh di dalam longkang manakala tubuh mangsa pula terhumban ke arah pokok menyebabkan sebahagian badannya hancur.


“Pemandu kereta itu pula dipercayai patah kaki sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala mayat penunggang motosikal dihantar untuk dibedah siasat,” katanya.


Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan Abdullah Roning ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
http://w1.hmetro.com.my/articles/Badanhancurdiseretkereta20meter/Article


Tidak ingin pulang lagi



Inalillahi wainailaihi rojiun

6 Mac 2013
BUKIT BESI - Seorang ibu tidak menyangka kata-kata anak lelakinya yang memberitahu dia tidak akan pulang lagi ke rumah adalah ungkapan terakhir sebelum anaknya itu menemui ajal selepas terbabit dalam kemalangan, di sini, petang kelmarin.

Berkongsi kesedihan, ibu mangsa, Zaleha Ismail, 44, berkata, anak lelakinya, Mohd Helmi Fazreen Mohd Basrin, 22, berkata demikian ketika mahu keluar rumah kira-kira jam 12 tengah hari untuk memancing udang bersama rakan di sungai berdekatan.

Zaleha berkata, dia sama sekali tidak menyangka ungkapan dianggap gurauan oleh anaknya itu petanda arwah bakal menemui ajal.

“Beberapa minit selepas keluar, dia pulang semula ke rumah kerana tertinggal umpan.

“Masa itu, saya tidak sempat bercakap dengannya kerana dia kelihatan tergopoh-gapah, tidak terlintas pula kata-katanya yang menyebut tidak ingin pulang lagi ke rumah rupanya menjadi kenyataan,” katanya.

Menurutnya, dia mendapat tahu berita kemalangan menimpa anak lelakinya yang masih bujang itu kira-kira jam 6 petang, lalu terus mengajak suaminya, Mohd Basri Saman, 47, ke tempat kejadian.

Kata Zaleha, hatinya bagaimanapun luluh seketika sebaik sampai di lokasi kemalangan apabila melihat jasad anak lelakinya terbujur kaku dilitupi kain di atas jalan.

“Arwah anak yang baik, dia tidak pernah lawan cakap saya,” katanya.

Mangsa yang bekerja di sebuah kilang papan berdekatan terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak selepas pulang daripada memancing udang.

Mangsa dilanggar sebuah kereta ketika hendak membelok masuk ke stesen minyak terbabit dan maut serta-merta di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, selain patah kaki.

Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut sebelum dituntut ahli keluarga.

Jenazahnya dibawa pulang ke kampungnya di Besol, Bukit Besi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kemalangan di Kilometer 79 Jalan Jerangau-Jabor dan kejadian itu masih dalam siasatan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tak-akan-pulang-rumah-1.13693


Tuesday, March 5, 2013

Terperosok di cermin belakang



Inalillahi wainailaihi rojiun

5 Mac 2013
MELAKA - Seorang pemuda maut selepas motosikal ditungganginya merempuh belakang sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Kudu, dekat sini, malam kelmarin.


Mohd Nizam Hassan, 31, dari Ayer Molek, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian selepas melekat di bahagian cermin belakang kereta jenis Hyundai Matrix dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5, manakala pemandu kereta yang turut membawa isteri dan dua anaknya datang dari arah Jalan Tun Kudu, lalu memberhentikan kereta sebaik saja lampu isyarat
merah.

Menurut saksi, ketika itu tiada kenderaan lain di situ, sebelum tiba-tiba sebuah motosikal merempuh belakang kereta sehingga penunggangnya tercampak ke atas cermin kereta terbabit.

“Pemandu kereta yang terkejut kemudian menggerakkan kenderaannya sedikit ke hadapan, sebelum mangsa terjatuh atas jalan dan terbaring tidak sedarkan diri, selain cermin kereta bertaburan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Mohd Adnan Basri mengesahkan kejadian tersebut.

“Mayat mangsa yang cedera di kepala dan kaki, dibawa ke hospital untuk bedah siasat. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (1987),” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/melekat-belakang-cermin-kereta-1.136591
http://w1.hmetro.com.my/articles/2matingeri/MA/Article



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my