Siasatan awal mendapati, ketika kejadian keadaan hujan dan jalan licin dipercayai menjadi punca kereta dipandu Nasrul Hafriq hilang kawalan.
Inalillahi wainailaihi rojiun
11 Januari 2014
PEKAN – Hasrat seorang wanita untuk menghantar ibunya menunaikan umrah tidak kesampaian apabila dia maut bersama suami dan dua anaknya dalam kemalangan di Kilometer 75 Jalan Kuantan-Segamat dekat Runchang, petang semalam.
Mangsa yang memandu kereta, Nasrul Hafriq Nasaruddin, isterinya, Fara Nor Asmira Jastan, masing-masing berusia 29 tahun bersama dua anak mereka Nasr Afeef Rifqy Nasrul, 2, dan bayi perempuan mereka Fara Adelia Adriana yang baharu berusia tiga bulan, mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Yahaya Othman berkata, dalam kejadian jam 3 petang itu mangsa sekeluarga yang berasal dari Alor Gajah, Melaka dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Melaka.
“Ketika tiba di tempat kejadian, kereta jenis Proton Persona yang dinaiki mangsa sekeluarga tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori tiga tan membawa muatan barangan plastik dari sebuah kilang di Segamat.
“Pertembungan kuat yang berlaku menyebabkan mangsa sekeluarga yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan mati di tempat kejadian,” katanya.
Yahaya berkata, semua mayat mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan kira-kira 30 minit kemudian oleh sepasukan anggota bomba yang tiba di tempat kejadian.
Allahyarham Nasrul Hasriq merupakan kakitangan Bank Simpanan Nasional (BSN) Kuala Terengganu manakala isterinya, Fara Nor Asmira bertugas sebagai Pegawai Perikanan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Beliau berkata, mayat kesemua mangsa kini dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.
Menurutnya, pemandu lori itu bagaimanapun mengalami kecederaan patah tangan dan kaki kanan dan kini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
Kejadian kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/tak-sempat-jumpa-ibu-1.239380
http://www.hmetro.com.my/articles/2014011020251920140110202519/Article/
http://www.kosmo.com.my