loading...

Saturday, July 13, 2013

1 maut 3 parah


13 Julai 2013
KUANTAN - Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda terbunuh selepas kenderaan dipandunya dilanggar sebuah kereta dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 118.6, Jalan Kuantan-
Segamat dekat Rompin, petang kelmarin.


Dalam kemalangan kira-kira jam 4 petang itu, penumpang kenderaan terbabit mengalami cedera parah manakala pemandu dan penumpang sebuah lagi kereta turut mengalami nasib sama.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim dalam satu kenyataan berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Buang Awang, 60, petani dari Desa Keranji Muadzam Shah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.05 petang ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah.

Menurutnya, mangsa yang parah, Aliff Shah Fuad Shah, 27 dan Nur Khadijah Mohd Zain, 23 dari Melaka serta Mohd Nazi Busumi, 34 dari Muadzam Shah turut dihantar menerima rawatan di hospital sama.

“Penunggang motosikal, Nur Hasimah Md Isa, 20 dari Perumahan Kampung Feri, Rompin bernasib baik apabila terselamat dan hanya mengalami cedera ringan,” katanya.

Mohamed Fauzi berkata, mangsa memandu kenderaan jenis Mitsubishi Triton dari arah Segamat menghala ke Kuantan bersama seorang penumpang.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, dia dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas ke kiri.

“Ketika pemandu itu cuba masuk ke laluan semula, salah satu tayarnya pecah menyebabkan  kenderaan itu hilang kawalan lalu termasuk ke laluan bertentangan  dan merintangi jalan,” katanya.

Beliau berkata, sebuah kereta jenis Proton Perdana dari arah Kuantan-Segamat dipandu seorang lelaki bersama seorang penumpangnya gagal mengelak lalu terlanggar kenderaan mangsa yang merintangi jalan.

“Akibat nahas itu, kereta Proton Perdana terbabit berpusing lalu terlanggar sebuah motosikal,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang penunggang terbunuh selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori di simpang empat, Jalan Industi Gebeng dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11.50 malam itu, mangsa, Roslan Muda, 41 dari Kampung Baru Felda Neram 1, Kemaman meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila lori terbabit dari arah kawasan industri ke simpang terbabit sebelum meneruskan perjalanan.

“Mangsa yang datang dari arah kanan gagal mengelak lalu melanggar lori jenis Mitsubishi Fuso tanpa muatan itu,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/seorang-maut-3-parah-1.182107


Berpusing kereta



13 Julai 2013
BATU LIMA - Seorang pendawai elektrik terpaksa bertarung nyawa ketika kereta dipandunya berpusing beberapa kali selepas hilang kawalan lalu merempuh tiang di pembahagi jalan.

Bagaimanapun, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Faizal, 28, hanya cedera ringan terkena serpihan kaca cermin sisi yang pecah akibat rempuhan kuat Proton Waja dipandunya pada tiang elektrik di pembahagi jalan terbabit.

Menceritakan pengalaman cemas itu, Mohd Faizal berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari rumahnya di Felda Kerteh 4 ke tempat kerjanya di sebuah bengkel dekat Batu Lima.

Sebaik sampai di lokasi kejadian, kereta dipandunya tiba-tiba hilang kawalan selepas dipercayai melalui permukaan jalan tidak rata sehingga berpusing empat kali sebelum merempuh tiang elektrik di pembahagi tengah jalan.

Menurut Faizal, dia tidak dapat berbuat apa-apa ketika keretanya berpusing dan hanya mampu  berdoa pada Tuhan agar terselamat.

Katanya, dalam keadaan separuh sedar, dia dibantu orang awam keluar melalui cermin pintu sebelah tepi untuk menyelamatkan diri dan sebaik berjaya dikeluarkan, dia mengalami muntah-muntah, selain kepalanya pening.

“Semasa kereta tengah berpusing, saya cuma ingat mati.

"Nasib baik tiang elektrik jadi penghalang, jika tidak, kenderaan saya melambung di laluan bertentangan dan mungkin dirempuh kenderaan lain," katanya yang bersyukur kerana terselamat dalam kemalangan kira-kira jam 9.15 pagi kelmarin itu.

Mangsa yang juga anak peneroka Felda itu hanya cedera ringan di bahagian muka dan dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Berikutan kejadian itu, Faizal membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Dungun.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/saya-hanya-ingat-mati-1.181995




Friday, July 12, 2013

Pekebun maut dirempuh MPV



12 Julai 2013
CHE LIJAH, TERENGGANU – Seorang pekebun maut apabila motosikal ditungganginya dipercayai dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang guru, dekat sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu dipercayai berlaku ketika penunggang motosikal terbabit, Chung Choon Hing, 70, dalam perjalanan dari rumah menuju ke kebun miliknya di Bukit Besi.

Tiba di Kilometer 1 Jalan Dungun-Bukit Besi, MPV Chery Easter dipandu seorang guru dari arah Bukit Besi menghala ke Dungun dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh motosikal mangsa.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

“Kes masih disiasat dan jika ada pihak yang menyaksikan kejadian itu,  kita harap dapat tampil untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/pekebun-maut-dirempuh-mpv-1.181530



Pantang maut sebelum ajal



12 Julai 2013
KUANTAN - Seorang lelaki nyaris maut apabila trak tunda yang dipandunya terhumban ke bawah tebing akibat terbabas apabila cuba mengelak kenderaan di hadapan dalam kejadian di Jalan Semambu di sini, semalam.

Trak itu yang sedang menunda lori muatan gula bagaimanapun tersangkut daripada terus jatuh ke bawah gaung selepas lori yang ditundanya melanggar dan 'melekat' pada sebatang pokok di tepi jalan.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pemandu trak itu cedera dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Seorang lagi lelaki yang berada dalam kenderaan itu difahamkan turut mengalami kecederaan bagaimanapun kelindan lori gula itu terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kelindan terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal, 25 dari Kuantan berkata, dia bersama pemandu dalam perjalanan membawa muatan gula dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

Menurutnya, ketika tiba di Bentong, lori itu mengalami kerosakan tangki air lalu mendapatkan khidmat lori tunda terbabit dari Kuala Lumpur untuk menunda lorinya ke sebuah bengkel di sini.

“Saya berada di atas lori yang ditunda sepanjang perjalanan sebelum dikejutkan dengan gegaran kuat.

“Saya panik apabila melihat lori tunda di depan terhuyung - hayang sebelum terbabas ke kiri lalu melanggar pokok dan jatuh ke bawah tebing manakala lori yang saya naiki terjongket dan melanggar pokok yang sama,” katanya.

Faizal berkata, lorinya yang tersangkut berjaya menghalang trak tunda itu daripada terus jatuh ke bawah gaung.

“Mungkin pemandunya membrek secara tiba-tiba sebelum hilang kawalan akibat permukaan jalan yang licin selepas hujan,” katanya.

Akibat kemalangan itu, berlaku kesesakan kira-kira satu kilometer dari susur keluar Jalan Pintasan Kuantan- Semambu bagaimanapun keadaan terkawal.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/pantang-maut-sebelum-ajal-1.181533



Wednesday, July 10, 2013

Tercampak dari jejambat



Georgetown: Seorang lelaki maut apabila tercampak dari jejambat dengan ketinggian hampir 10 meter, manakala rakannya pula hancur kaki kanannya selepas terbabit dalam satu kemalangan di Batu Lanchang, di sini, awal pagi semalam.



Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa juga pembonceng, Tang Wooi Hang, 30, maut di lokasi kejadian apabila mengalami kecederaan parah di kepala, manakala rakannya yang menunggang, Yeap Ghee Leong, 37, hancur kaki kanan.


Difahamkan, pemandu kereta melanggar kedua-dua mangsa terbabit sempat pulang ke rumahnya tidak jauh dari lokasi kemalangan sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.


Menurut sumber, ketika kejadian dua sahabat terbabit yang menaiki motosikal dalam perjalanan menuju ke Jalan Hamilton, bagaimanapun sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dikatakan hilang kawalan dan merempuh mereka.

“Akibat rempuhan kuat itu, mangsa melambung dan tercampak ke bawah jejambat menyebabkan kepalanya terhentak di jalan raya, manakala rakannya pula hancur kaki kanan dipercayai digilis tayar kenderaan itu.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/2013071001272920130710012729//Article


Empat saudara maut



SRI AMAN: Perjalanan empat bersaudara warga Indonesia ke negeri ini untuk melawat rakan bagi menyambut kedatangan Ramadan berakhir dengan tragedi apabila tiga daripada mereka rentung selepas Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) Toyota Innova yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori dan terbakar di Kilometer 56, Jalan Sri Aman-Sarikei di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, meragut nyawa pemandu Toyota Innova, Tinus Salleh, 45 dan tiga penumpang termasuk seorang wanita mengandung yang masih belum dikenal pasti identiti mereka.
Difahamkan, MPV berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Sarikei ke Sri Aman dan sebaik tiba di satu selekoh, MPV yang dipandu Tinus, hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori yang dalam perjalanan dari Sri Aman ke Sarikei.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mat Jusoh Muhammad berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu kenderaan tercampak keluar dan maut akibat kecederaan parah di kepala.


Bagaimanapun, kenderaan yang terperosok di bawah lori itu terbakar dan meletup beberapa kali.


"Tiga penumpang lain terperangkap dalam kenderaan yang terbakar tidak sempat menyelamatkan diri, selain letupan kuat menyukarkan pemandu lori untuk menghulurkan bantuan.

"Ketika kejadian hujan lebat dan keadaan jalan licin dipercayai punca kenderaan yang dipandu warga Indonesia itu hilang kawalan," katanya ketika dihubungi.

Pemandu lori, Steven Nyaggau bersama dua kelindannya tidak mengalami kecederaan dan ditahan bagi membantu siasatan.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Empatbersaudaramaut//Article



Tuesday, July 9, 2013

Suami isteri maut terperosok bawah traktor



9 Julai 2013
SUNGKAI - Sepasang suami isteri yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Besout 3, maut apabila kereta yang mereka naiki melanggar belakang sebuah traktor muatan buah kelapa, di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku di Jalan Besout, Ladang  Besout, kira-kira 500 meter daripada pondok kawalan polis menyebabkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian.



Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superitendan Othman Nanyan berkata, pemandu kereta jenis  Proton Wira dikenali sebagai Mohd Pohari Mulyati, 61, dan isterinya, Siti Sa’idiah Pardi, 58 tahun.

Katanya, kejadian kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu oleh mangsa dalam perjalanan dari arah Sungkai ke Felda Besout 3 sebelum merempuh belakang traktor menyebabkan kenderaan mangsa terperosok di bawah traktor.

“Traktor yang membawa muatan kelapa sawit itu tiada memasang lampu atau pelekat pantulan cahaya menyebabkan mangsa yang dipercayai rabun jauh merempuh belakang kenderaan berat itu.

“Ini ditambah dengan keadaan jalan lurus, tiada lampu jalan serta gelap mengakibatkan mangsa terperosok di bawah traktor itu dan tersebut,” katanya.

Othman berkata, pemandu mengalami kecederaan parah di kepala dan patah di tangan manakala isterinya alami kecederaan parah di kelapa akibat terhentak serta patah di kaki, maut di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk dibedah siasat dituntut oleh keluarga mangsa sebelum dikebumikan, tengah hari semalam.

Pihaknya kini sedang mengesan pemandu traktor tersebut yang melarikan diri selepas kejadian kemalangan berlaku, bagi membantu siasatan pihak polis.

“Pihak kami sedang mengesan pemandu kenderaan berat itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Faizal di talian 05-4528 222.

“Kami masih menyiasat kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim, Md Zin Mohd Saaidin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang  awam pada jam 9.36 malam dan tiba pada jam 9.56 kerana lokasi kejadian berlaku kira-kira 25 kilometer  daripada balai.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, pihaknya mendapati mayat mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam.

“Seterusnya, pemantauan  di lokasi kejadian dijalankan oleh Pegawai Operasi , Mohd Ehsan Mohd Ibrahim serta anggotanya di tempat kejadian dan operasi selesai pada jam 10.25 malam semalam," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/maut-rempuh-belakang-traktor-1.180595




Monday, July 8, 2013

Maut rempuh pokok mempelam


“Sejurus kemalangan, isteri sempat bertanya ‘macam mana ni bang?’ sebelum terus mendiamkan diri. Ketika itu saya sudah merasakan isteri sudah tiada. Pada masa sama, anak bongsu menangis kesakitan kerana tersepit,” kata Ishak Yaakob, 57, suami Salmah Che Kub, 48, yang maut selepas lori dinaiki mereka melanggar pacuan empat roda sebelum hilang kawalan lalu merempuh pokok mempelam di Kilometer 94.1 Jalan Gua Musang-Kuala Krai

Inalillahi wainailaihi rojiun

8 Julai 2013
KUALA KRAI - Seorang wanita dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Selangor selepas menziarahi keluarga di Tok Uban, Pasir Mas, maut pada kemalangan jalan raya di Kilometer 94.1, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, kelmarin.

Pada kejadian kira-kira jam 2.15 petang, Salmah Che Kub, 48, mati serta-merta selepas lori dipandu suaminya merempuh sebuah Toyota Hilux sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok mempelam.

Nahas berlaku ketika mangsa dan suami, Ishak Yaakob, 56, serta tiga anak mereka dalam perjalanan ke Kuala Lipis untuk menghantar anak getah sebelum pulang ke rumah mereka di Kuala Selangor, Selangor.

Akibat rempuhan itu, seorang anak mangsa berusia lima tahun, Izzah Irdina cedera parah dan dihantar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian manakala Ishak tidak cedera.

Dua lagi anak mereka, Iffah Irdina, 9, cedera ringan dan dirawat di Hospital Kuala Krai (HKK), sementara Syaza Syahrain Shafin, 24, dirawat sebagai pesakit luar.

Kejadian dipercayai berlaku apabila Ishak dikatakan cuba memotong Toyota Hilux membawa getah beku sebelum merempuh kenderaan di hadapannya itu yang tiba-tiba membelok ke kanan.

Rempuhan menyebabkan Toyota Hilux terbabas ke bahu jalan manakala lori lima tan terbabit turut terbabas dan merempuh sebatang pokok mempelam,.

Salmah yang cedera parah terutama pada bahagian dada selain tangan kanan dan kaki kirinya hancur, mati di tempat kejadian dan mayat dihantar ke HKK untuk bedah siasat.

Jenazah kemudian diserahkan kepada ahli keluarga mangsa sebelum dikebumikan di kampung halamannya di Tok Uban, Pasir Mas, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah ini, Deputi Superintendan Nuraddin Wahab mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, saksi kejadian diminta menghubungi Ketua Trafik Daerah, Cif Inspektor Wan Azizi Wan Ahmad atau tampil ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai bagi membantu siasatan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/wanita-maut-anak-cedera-parah-1.180087
hmetro.com.my/myMetro/articles/2013070801443420130708014434/Article/index_html


Dua anggota tentera RAMD 21 Maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

8 Julai 2013
KOTA BHARU- Hajat empat sahabat untuk menghadiri majlis perkahwinan tidak kesampaian apabila dua maut dan dua cedera dalam nahas yang melibatkan empat kenderaan di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh di sini, malam kelmarin.




Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, kereta jenis Honda Accord yang dinaiki keempat-empat mangsa yang merupakan anggota tentera dari Kem 21 Rejimen Askar Melayu (RAMD 21) Pengkalan Chepa, dipercayai dari arah Kota Bharu ke Melor hilang kawalan selepas gagal mengelak sebuah kenderaan lain yang membuat pusingan U dari arah bertentangan.



 Akibat kemalangan itu kenderaan yang dinaiki  mangsa, turut melanggar kereta jenis Iswara yang berada di hadapannya sebelum merempuh treler yang diparkir di bahu kiri jalan.                          

 Kedua-dua mangsa yang maut, adalah Firdaus Abd Rani 23, penumpang belakang Mohd Nor Hamidi, 23, manakala Abdul Halim Husin, 24 juga penumpang belakang cedera parah selain pemandu Ferdaus Che Fadzil 29, hanya mengalami cedera ringan,

Saksi kejadian, Nik Hazan Nik Mat, 40 berkata semasa kejadian, dia dalam perjalanan dari Pasir Tumboh ke Kota Bharu, terkejut melihat sebuah kenderaan yang dipercayai milik rakannya hancur selepas terlibat dalam  kemalangan.



“Saya terkedu apabila melihat dua mayat bergelimpangan di atas jalan di samping kenderaan yang berkecai serta sebuah lagi kereta jenis Iswara yang turut berada di belakang treler yang diparkir dalam keadaan yang tidak sempurna kesan dari pelanggaran terbabit.

“Melihatkan keadaan itu, saya terus mendekati mayat dua rakan dan melaporkan kepada pihak berwajib mengenai kejadian ini,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian, malam kelmarin.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan, dan mayat Firdaus, yang berasal dari Machang dan Mohd Nor Hamidi yang berasal dari Kulim, Kedah telah dituntut keluarga masing-masing.

 “Setakat ini kita masih mengesan pemandu Iswara dan treler berkenaan bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130708/dn_19/Dua-askar-maut-dalam-nahas
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0708&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
hmetro.com.my/myMetro/articles/Putusduapergikenduri/Article
bharian.com.my/bharian/articles/3tenteramautduakemalangan/Article/





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my