loading...

Saturday, March 26, 2011

Berita Dari Akhbar 27 Mac 2011

Gambar hiasan

Langgar lari: Dua pelajar sekolah maut

KANGAR 26 Mac — Dua pelajar terbunuh dalam kemalangan jalan raya apabila motosikal yang ditunggangi mereka dipercayai dirempuh kenderaan lain berhampiran simpang jalan Kampung Rama, Sanglang, dekat sini, malam tadi.

Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Supritendan Rosli Yahaya berkata, dalam kejadian kira-kira 9.20 malam, pembonceng motosikal itu, Mohd. Shawal Shahabudin, 15, mati di tempat kejadian manakala penunggang, Mohd. Hafizi Kassim, 17, meninggal dunia selepas tiga jam dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Beliau berkata, kejadian berlaku semasa kedua rakan karib itu yang sedang menghala ke Simpang Empat, dipercayai dilanggar kenderaan lain dari arah belakang.

Bagaimanapun, polis masih belum mengenal pasti kenderaan terbabit.

Rosli yang mengklasifikasikan kes itu sebagai langgar lari berkata, ketika kejadian kawasan berkenaan gelap tambahan pula ketika itu hujan lebat mengehadkan jarak penglihatan penunggang motosikal serta pemandu kenderaan.

Menurut Rosli, Mohd. Shawal patah tulang pinggul, manakala Mohd. Hafizi patah tangan kiri dan cedera parah di kepala.

Mayat kedua-dua mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang dituntut keluarga masing-masing di HTF sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sanglang, dekat sini hari ini.

Rosli meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Azly Supuandi di talian 04-9781079.

Beliau juga berharap pemandu kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu untuk membuat laporan di balai polis berhampiran. — BERNAMA




Langar Lari: 2 Maut dirempuh Lexus

BUTTERWORTH - Seorang penunggang motosikal dan pembocengnya mati di tempat kejadian apabila motosikal mereka dirempuh sebuah kenderaan berhampiran jambatan Tuanku Abdul Rahman menuju Jalan Chain Feri, di sini awal hari ini.

K. Paramguru, 28, dan M.Muthu@Muhammad Yasin Abdullah, 37, mati akibat cedera parah di kepala dan badan. Mayat mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah berkata, kedua-dua lelaki itu dipercayai berhenti di persimpangan lampu isyarat sebelum dirempuh sebuah kenderaan pada pukul 2 pagi.

"Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Inderawasih sebelum tiba-tiba datang sebuah kereta dipercayai jenis Toyota Lexus merempuh mereka.

"Menurut saksi kejadian, pemandu kereta itu tidak memberhentikan kereta sebaliknya terus memecut meninggalkan tempat kejadian," katanya hari ini.

Azman meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Azwan Kamaruddin di talian 04-5301977 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.






OKU dirempuh Lori 5 Tan

SEREMBAN – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut ketika dalam perjalanan pulang apabila dilanggar sebuah lori lima tan di Jalan Mambau-Port Dickson, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.50 malam berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Mambau, mangsa, K Gunalan, 25, menunggang motosikal bertembung dengan lori berkenaan daripada arah bertentangan, menyebabkan dia maut serta-merta.

Mangsa yang juga cacat di tangan mengalami kecederaan parah di seluruh anggota badan.

Pemandu lori bermuatan kayu itu melarikan diri dan meninggalkan kenderaannya di bahu jalan, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pringhill, Port Dickson, memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan lori terbabit yang datang daripada arah bertentangan.





Rempuh Rumah Dikejar Polis


JITRA - “Bunyi brek yang kuat sebelum disusuli dengan dentuman seperti guruh mengejutkan kami sekeluarga dari tidur pada malam kejadian sebaik kenderaan terbabit merempuh sebahagian rumah kami,” kata Norizan Mohd Noor, 40, yang mana rumahnya dirempuh sebuah kereta Proton Iswara.

Kejadian awal pagi kelmarin itu berlaku apabila kereta itu merempuh sebahagian rumah Norizan yang terletak kira-kira 25 meter dari selekoh Jalan Kelubi di Kampung Kelubi Luar dekat sini.

Norizan ketika ditemui berkata, dia yang ketika itu baru sahaja hendak melelapkan mata dikejutkan dengan bunyi seakan-akan guruh yang berdentum kuat pada bahagian hadapan rumahnya.

Menurutnya, sebaik bergegas ke arah luar bilik dia mendapati sebuah kereta merempuh rumahnya, namun pemandu itu berjaya melarikan diri.

“Saya tidak sempat melihat pemandu terbabit kerana dia sempat melarikan diri dan terkejut melihat terdapat sebuah kenderaan peronda polis di hadapan rumah saya pada ketika itu.

“Rupa-rupanya saya difahamkan polis, pemandu kereta itu dikejar polis kerana memandu dalam keadaan mencurigakan sebelum dia melarikan diri dengan memandu dengan laju melalui jalan itu sebelum merempuh rumah saya,” katanya.

Norizan yang juga peniaga makanan turut mengalami kerugian kira-kira RM4,000 termasuk kerosakan pada bahagian dinding rumahnya yang retak akibat rempuhan kuat pada bahagian pintu rumahnya itu.

Menurutnya, selain itu motosikal milik keluarganya yang diletakkan di luar rumah turut rosak akibat terkena rempuhan terbabit.

“Kejadian yang berlaku turut menjejaskan pendapatan saya kerana terpaksa menutup gerai makanan yang dijalankan di pekarangan rumah saya pada waktu pagi.

“Bagaimanapun mujurlah tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku kerana masing-masing berada dalam bilik tidur sewaktu kejadian berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kes itu.

“Polis mengekori kenderaan itu dari kawasan Asun kerana berada dalam keadaan mencurigakan dan selepas mendapati ia diekori, pemandu terbabit segera memecut dan memasuki Jalan Kelubi sebelum terbabas.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, kita mendapati dia membawa beberapa kotak minuman keras dalam but kenderaannya dan kini polis masih mencari pemandu yang melarikan diri itu untuk membantu siasatan,” kata Sawaludin.

Friday, March 25, 2011

Gambar Kemalangan Yang Pelik






















Maut Dalam Pertembungan



BERA – Seorang peneroka maut apabila kereta yang dipandu bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 20 Jalan Simpang Kerayong-Mayam, semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, mangsa yang meninggal dunia adalah Ahmad Ismail, 58, manakala pemandu lori cedera parah.

Katanya, kemalangan kira-kira jam 8.20 pagi semalam itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Iswara yang dipandu Ahmad menuju ke arah Bandar Bera cuba memotong kenderaan di hadapan namun gagal lalu merempuh lori yang datang dari arah bertentangan.

“Kenderaan mangsa bertembung dengan lori sebelum berpusing lalu melanggar sebuah kereta Perodua Viva,” katanya.

Mohd Zahid berkata, Ahmad yang tersepit di bahagian hadapan keretanya maut di tempat kejadian manakala lori tanpa muatan itu hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung menyebabkan pemandu lori tersepit dari paras dada ke bawah.

“Mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah �siasat,” katanya.

Sementara itu, pemilik kereta Perodua Viva, Asmida Saari, 25. tidak mengalami kecederaan serius.

Sumber:sinarharian.com.my

Mangsa Langgar Lari Maut


KLANG - “Jaga diri dan anak baik-baik, kalau abang tiada nanti pandai-pandailah hidup berdikari,” itulah antara pesanan terakhir arwah Shamshudin kepada isteri keduanya yang dikenali Azila Yusuf, 29, kira-kira sehari sebelum kemalangan maut menimpanya.

“Saya tidak sangka rupa-rupanya ia adalah pesanan terakhir arwah agar saya menjaga tujuh anak termasuk lima anak bersama isteri pertama.

Beliau yang bekerja di kedai perabot. berkata, suami juga tidak sempat untuk menyaksikan perkahwinan anak sulung pada tahun hadapan.

“Bagaimanapun kami sekeluarga reda di atas pemergiannya cuma kematiannya amat mengejutkan kami.

“Walaupun begitu, saya akan membesarkan anak-anak dan menyekolahkan mereka sehingga mereka berjaya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Dalam kejadian semalam, hasrat seorang pekerja kilang plastik untuk ke tempat kerjanya di Shah Alam tidak kesampaian apabila motosikal yang ditunggang seorang diri dilanggar kenderaan lain di kilometer 19, Lebuh raya Kesas.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Shamshudin Ab Rahman, 48, beralamat di Kampung Kedai Buluh, Badang, Kota Bharu, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abd Rahman berkata, motosikal mangsa dipercayai dirempuh sebuah kenderaan lain ketika mangsa berada di lorong paling kanan menyebabkan mangsa dan motosikalnya terjatuh.

“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa cuba bangun untuk menyelamatkan diri bagaimanapun dalam masa yang sama dia dipercayai dilanggar kenderaan lain.

“Berikutan itu, mangsa yang cedera parah pada anggota badan dan patah tangan kanan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Bilik Mayat, HTAR untuk bedah siasat,” katanya.

“Setakat ini Polis belum menerima sebarang laporan daripada pemandu kenderaan yang melanggar mangsa.

“Oleh itu, kita minta sesiapa yang menyaksikan kejadian terbabit tampil ke Balai Trafik Klang Selatan atau menghubungi Pegawai penyiasat, Inspektor Khairul Naim Saufy di talian 03-33722222 bagi membantu siasatan,” katanya.
Sumber: sinarharian.com.my

Thursday, March 24, 2011

Motosikal Berisiko Terlibat Kemalangan



WANITA yang menunggang motosikal diingatkan supaya tidak lupa dengan petua bahawa 'anda perlu melihat dan harus dilihat' supaya sentiasa selamat ketika berada di jalan raya.

Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar berkata, ini penting kerana motosikal antara yang paling banyak terlibat dalam kemalangan di negara ini pada setiap tahun memandangkan ia kecil dan beroda dua.

Katanya, penunggang motosikal berisiko tinggi untuk terlibat dalam kemalangan bukan sahaja kerana boleh terjatuh seorang diri tetapi terjatuh kerana melanggar sesuatu objek atau ketika jatuh boleh pula dilanggar oleh objek lain.

''Nasihat saya, seorang penunggang motosikal perlu tajam penglihatan dan sebaiknya pastikan kenderaan yang ditunggang itu boleh dilihat oleh pemandu kenderaan lain menerusi cermin belakang dan cermin sisi sebelah kiri dan kanan,'' katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Selain itu katanya, kalangan penunggang wanita juga dinasihatkan supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan memakai pakaian keselamatan untuk menjamin keselamatan di jalan raya.

''Jangan lupa pakai topi keledar dan mengetatkan tali topi supaya dapat melindungi kepala jika terjatuh dan sebagainya,'' katanya.

Sebaiknya memakai sarung tangan kerana ia akan boleh membantu tangan daripada terluka ketika terjatuh.

Di samping itu katanya, kaum wanita dinasihatkan supaya tidak memakai kasut bertumit tinggi kerana akan mengalami kesukaran jika terpaksa menahan kaki ketika membrek mengejut.

Beliau juga mengingatkan kaum wanita supaya tidak lupa untuk 'berkomunikasi' yang merupakan perkara penting ketika berada di jalan raya.

Katanya, bentuk komunikasi itu termasuk tidak lupa memasang lampu supaya kenderaan lain akan nampak ada motosikal di belakang mereka.

''Juga sebaiknya gunakanlah isyarat tangan kerana kadangkala isyarat lampu dari motosikal mungkin tidak dapat dilihat oleh pemandu kenderaan,'' kata Mat Aris.

Selain itu katanya, jangan lupa menggunakan hon jika ada keperluan kerana ini akan mengingatkan pemandu kenderaan yang mungkin sedang leka memandu.
sumber: utusan.com.my


Wednesday, March 23, 2011

Peniaga Maut Terhumban ke dalam Gaung


KAMPAR - Seorang peniaga terbunuh manakala rakannya cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 306.7 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh berkata Thai Keen Chong, 33, yang berasal dari Malim Nawar, Kampar, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Beliau berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 12.15 tengah hari apabila kereta Toyota yang dipandu Thai dalam perjalanan dari Kampar ke Ipoh itu dikatakan gagal dikawal lalu terbabas ke kiri jalan sebelum tercampak ke dalam gaung sedalam tujuh meter.

Beliau yang dihubungi hari ini berkata, mayat Thai dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat, manakala rakan Thai, Goh Soon Fook, 35, dari Ipoh yang mengalami kecederaan parah di kepala, sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua ahli perniagaan itu tersepit dalam kereta berkenaan, dan anggota bomba dipanggil untuk mengeluarkan mereka.

 MPV terhumban gaung berhampiran Gua Tempurung pada tahun lalu


Sumber: sinarharian.com.my 24 Mac 2011

Sikap Pemandu Atau Jalan Berpuaka?

PENDANG – Pelbagai kisah sering diceritakan penduduk kawasan Pendang terutamanya mereka yang daripada beberapa kampung berhampiran sepanjang laluan Titi Haji Idris yang dikatakan mempunyai perkara misteri di situ.

Sinar Harian cuba membongkar cerita mengenai jalan itu yang dikatakan mempunyai kejadian pelik sehingga meragut banyak nyawa penggunanya termasuk lima guru silat yang maut dalam kemalangan di laluan sama, kelmarin.

Selain itu, difahamkan laluan itu sentiasa dilalui pelbagai kenderaan dan menjadi jalan utama pengguna sejak ia diturap untuk ke Langgar, Pokok Sena dan Pendang.

Seorang mangsa kemalangan, Ahmad Jaafar, 47, dari Perumahan Keda Tanjung Setol turut berkongsi pengalaman di sebalik kejadian kemalangan yang berlaku pada dirinya ketika memandu lori tanah di laluan itu kira-kira awal Februari 2009.

Menurutnya, kemalangan itu berlaku di jalan yang sama iaitu dari arah Langgar ke Pendang apabila lori yang dipandunya itu terbabas di tepi kawasan sawah sehingga melanggar tiga pokok besar di bahu jalan itu sehingga semua pokok itu patah.

“Kemalangan itu menyebabkan seluruh bahagian hadapan lori saya remuk teruk, namun saya bersyukur kerana saya tidak mengalami apa-apa kecederaan kecuali masalah pada urat saraf bahagian lutut sahaja.

“Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika saya dalam perjalanan dari Tanjung Bendahara Alor Setar menuju ke Tobiar itu tidak dijangka apabila saya memandu dalam kelajuan 60 kilometer sejam sahaja dengan penuh berhati-hati dan berwaspada, namun tiba-tiba stereng lori saya dipulas kuat oleh satu ‘benda’ ke arah kiri jalan sehingga melanggar pokok,” katanya.

Ahmad berkata, dia bergelut dengan ‘benda itu’ dengan mengawal stereng lorinya, namun tidak terdaya memandangkan stereng lorinya ketika itu terlalu berat.

“Selepas kejadian itu, keadaan diri saya tidak bermaya seolah-olah ada ‘benda halus’ yang menumpang pada diri saya apabila seluruh badan terasa berat.

“Pelbagai ubat daripada hospital dan klinik telah saya makan, namun keadaan saya tidak berubah dan menyebabkan saya pergi berubat secara tradisional kepada seorang bomoh. Namun saya dimaklumkan oleh bomoh berkenaan bahawa ada ‘benda misteri’ yang menumpang pada diri saya pulang ke rumah,” katanya.

Menurutnya, dia cuba mengikut perubatan yang dilakukan secara tradisional apabila bomoh berkenaan memandikan seluruh badannya dan membawanya melepaskan ‘benda halus’ di jalan terbabit di mana tempat kemalangan berlaku.

Sementara itu, pihak bertanggungjawab membuat pemeriksaan terhadap lorinya, namun dimaklumkan keadaan lori itu tidak mengalami sebarang masalah ketika kejadian terbabit.

Selain itu, Chik Abdullah, 59, menceritakan bahawa jalan itu turut meragut nyawa dua kakaknya.

“Kakak sulung saya iaitu Pura Abdullah, 63, meninggal dunia 10 tahun lalu manakala kakak bongsu saya meninggal pada 2009 di lokasi yang sama dan cara kemalangan yang sama apabila motosikal yang ditunggang mereka dilanggar kereta dari arah belakang.

“Saya tidak menyangka nyawa dua kakak saya berakhir di jalan itu apabila mereka mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala,” katanya.



Mangsa sering nampak haiwan



Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Alor Pudak, Yaacob Yunus, 70, mengakui bahawa jalan itu meragut banyak nyawa apabila boleh dikatakan setiap hari berlaku kemalangan.

Menurutnya, kemalangan yang berlaku melibatkan kenderaan mangsa terbabas sendiri tanpa melibatkan kenderaan lain.

“Laluan ini lurus sahaja dan saya akui banyak cerita misteri yang didengari daripada penduduk kampung berhampiran laluan ini apabila mereka sering ternampak benda pelik yang menyerupai pelbagai jenis haiwan seperti kambing, kerbau dan lembu.

“Penduduk yang pernah menjadi mangsa kemalangan pernah ternampak seorang lelaki dan perempuan berpakaian jubah di laluan itu terutamanya pada tengah malam,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JKKKP Kampung Alor Berala, Mohd Noor Awang berkata, beberapa tahun lalu penduduk sibuk menceritakan bahawa ternampak mangsa yang sudah mati berjalan di laluan itu pada awal pagi.

“Isteri saya pernah nampak bayangan wanita di jalan itu sehari sebelum satu kemalangan maut di situ,” katanya.

Sumber: sinarharian.com.my

Dirempuh Lori Di Pasir Puteh


24 Mac 2011; PASIR PUTEH – Keengganan seorang duda menemani ibunya untuk bersolat Subuh berjemaah di masjid selepas keletihan menunaikan solat Tahajjud dan berzikir di sepertiga malam rupanya menjadi petanda yang dia akan menemui ajalnya semalam.

Mohd. Farid Che Nordin (gambar kecil), 27, meninggal dunia apabila dirempuh sebuah lori ketika dia hendak melintas jalan dalam kejadian pukul 7.30 pagi di Kilometer 3.3, Jalan Sri Aman ke lampu isyarat Kemunting di sini.

Bekas pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat komunikasi di Kuala Lumpur itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut ibunya, Khadijah Abdul Rahman, 58, entah mengapa pagi semalam anaknya enggan menemaninya untuk solat Subuh berjemaah di masjid seperti kebiasaannya.

“Mungkin dia keletihan ketika saya mengejutnya kerana pada awal pagi, saya nampak dia sedang solat Tahajjud dan berzikir sebelum terlelap seketika. Sebelum ini dia tidak begitu,” ceritanya di sini semalam.

Sumber: kosmo.com.my

Info & Tips Apabila Anda Terlibat Dalam Kemalangan

Tips apabila anda terlibat dalam kemalangan di jalan raya.

1. Jangan panik, gabra, atau cemas. Kerana situasi ini akan menyebabkan kita menggelabah dan membuat tindakan yang tidak sewajarnya.

2. Beri amaran kepada lalulintas.


  • Letakkan tanda amaran tigasegi “red warning triangle” 90 meter dari tempat kejadian.
  • Beri amaran kepada kereta yang lalulalang. 

3. Hubungi pihak Polis, Ambulans atau JabatanPertahanan Awam.

  • Nyatakan tempat kejadian dan jumlah mangsa.
  • Beritahu berapa orang yang tercedera.



4. Tindakan yang patut diambil.
  • Matikan enjin kereta untukmengelakkan terjadinya letupan.(jika kereta tersebut terbakar,jarakkan diri).
  • Tarik brek tangan kereta.
  • Jangan merokok di tempat kemalangan. Dikhuatiri terdapat kebocoran tangki minyak.
  • Periksa mangsa kalau sedar, tenangkan mangsa kalau sedar.
  • Buat penilaian segera ke atas mangsa.
  • Rawatlah mangsa dalam kedudukan yang anda temui mereka.
  • Tunggu sehingga bantuan sampai.
  • Hubungi 991 Pertahanan Awam

5. Jika melibatkan pihak lain, elakkan berbincang tentang topik-topik seperti: 'Salah Siapa´, 'Aku Tidak Bersalah´, 'Kamulah Puncanya!´, sebagainya. Sebenarnya perbincangan tentang topik tersebut tidak akan membuahkan hasil kepada kedua-dua belah pihak, malah mengusutkan keadaan.

6. Ambil maklumat semua yang terlibat di dalam kemalangan. Maklumat-maklumat seperti nombor kenderaan, nama pemilik, nombor telefon amat membantu untuk memudahkan untuk ke membuat tuntutan. Juga maklumat tentang syarikat takaful / insurans masing-masing.

7. Ketika ini, akan tibalah lori tunda yang menawarkan janji-janji manis kepada tuan-tuan, sebaiknya elakkanlah. Pernah seorang pelanggan saya, akibat terlalu panik, menerima janji manis tersebut sekalipun pernah diberitahu jangan berbuat demikian ketikamengambil polisi. Selepas kereta tersebut diperoleh kembali, didapati beberapa bahagian yangditukar dengan 'spare part´ palsu. Saya mengesyaki ia ditukar untuk mengaut keuntungan keranakebetulan kereta tersebut kereta baru. Apabila ditanyakan kepada bengkel, katanya ia diterimadalam keadaan tersebut daripada pihak lain iaitu lori tunda. Dalam keadaan ini agak sukar untukmencari pihak lori tunda kerana mereka menjalankan secara 'freelance' dan bukan bengkel panel.

8. Sebaiknya hubungi syarikat takaful / insurans untuk mendapatkan lori tunda daripada bengkelyang bertauliah. Di peringkat ini, kerjasama daripada ejen / wakil takaful amat diperlukan untuk melicinkan proses.

9.  Laporkan kejadian tersebut kepada pihak polis dalam tempoh 24 jam. Pastikan balaipolis tersebut adalah balai polis yang berhampiran.

10. Laporkan kemalangan tersebut kepada pihak syarikat takaful walaupun anda tidak berniat untuk membuat tuntutan.

Ibu Anak dirempuh Viva



MELAKA - Orang lain yang cuai, orang lain pula yang terpaksa menerima padah.

Kata-kata itu sesuai untuk menggambarkan mengenai nasib yang menimpa dua beranak apabila mereka nyaris lemas selepas dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva ketika sedang berjalan pulang ke rumah di Semabok di sini semalam.

Kejadian pukul 12.15 tengah hari itu menimpa Nurshamsiah Samawi, 6, dan ibunya, Misliyah Nafhan, 35, apabila mereka tercampak ke dalam longkang sedalam 1.5 meter.

Ekoran itu, Misliyah patah kaki kanan manakala Nurshamsiah pula nyaris lemas sebelum diselamatkan oleh orang ramai yang menghantar mereka ke Hospital Melaka.

Seorang saksi, Sazly Mak Lip, 32, berkata, kejadian berlaku apabila sebuah van yang dipandu laju melanggar belakang Viva sebelum terseret sejauh kira-kira 30 meter ke kiri jalan.

"Pada masa sama, kereta Viva itu telah merempuh dua beranak tersebut mengakibatkan mereka tercampak ke dalam longkang. Kereta Viva dan van itu juga terperosok ke dalam longkang," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Kosmo
23 Mac 2011

Dua kenderaan rempuh 2 beranak

MELAKA: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang terjadi ke atas dua beranak apabila mereka tercampak kira-kira empat meter ke dalam longkang sebelum dihimpit dua kenderaan yang terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di sini, semalam.

Difahamkan kejadian jam 12.30 tengah hari di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran Kampung Semabok, dekat sini, ketika Misliah Nafahan, 34, bersama anaknya perempuannya, Nursamsiah Samawi, 6, berjalan kaki pulang ke rumah mereka.

Sebelum kejadian, ibu kepada tiga anak mengambil anak bongsunya itu dari Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan berjalan kaki di bahu jalan Lebuh AMJ dengan laluan mengikut arus kenderaan.

Tiba-tiba sebuah kereta yang dilanggar van diseret kenderaan itu kira-kira 40 meter lalu merempuh dua beranak itu.

Menurut saksi kejadian, Sazly Mak Lip, 32, ketika kejadian, dia memandu di bahagian kanan jalan dan ketika itu semua kenderaan mula bergerak selepas lampu isyarat di persimpangan Semabok-Duyong bertukar hijau.

Katanya, tiba-tiba dia melihat van meluru laju lalu merempuh Perodua Viva yang berada di lorong sama iaitu bahagian kiri jalan.

“Rempuhan itu menyebabkan Perodua Viva diseret sebelum merempuh dua beranak yang berjalan kaki di kiri bahu jalan.

“Ketika memberhentikan kenderaan bagi melihat kejadian itu, saya mendapati kedua-dua mangsa terjerumus dalam longkang yang dipenuhi sampah-sarap dan keladak berwarna hitam.

“Kedua-dua kenderaan itu terperosok dalam saliran longkang konkrit itu dengan wanita terbabit tersepit di tengah-tengah dua kenderaan itu, manakala anaknya di bahagian belakang van itu,” katanya.

Sazly berkata, orang ramai yang berada di tempat kejadian segera menyelamatkan wanita dan anaknya itu yang ketika itu berada di dalam longkang. Mereka dikejarkan ke Hospital Melaka dengan menaiki kenderaan pengguna jalan raya di situ.

“Mangsa sempat diselamatkan kerana ketika itu laluan berkenaan agak sibuk dan dipenuhi oleh orang ramai,” katanya.

Difahamkan, van berkenaan dikatakan dipandu seorang lelaki, bagaimanapun pemandunya menghilangkan diri selepas kejadian dan hanya meninggalkan kelindannya, manakala Perodua Viva itu dipandu seorang lelaki berusia 40-an.

Sementara itu, suami mangsa, Samawi Masnah, 45, berkata, ketika kejadian, dia masih di tempat kerja sebelum mengambil dua anaknya yang berusia lapan dan sembilan tahun di Sekolah Kebangsaan Semabok sebelum mereka bergegas ke Hospital Melaka (HM).

myMetro

Monday, March 21, 2011

Elak Lembu, Maut Rempuh Pokok

Berita susulan dari entry 5 Guru Silat Maut Pulang Dari Persembahan


21 Mac 2011, ALOR SETAR: “Saya ternampak seekor ‘lembu besar’ berwarna hitam melintas secara tiba-tiba. Saya cuba mengelak tapi gagal,” kata Rashidi Ahmad, pemandu van yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan lima guru silat di Jalan Titi Haji Idris, Pendang dekat sini, awal pagi semalam.
Rashidi, 24, memandu van Ford Econovan membawa lapan penumpang yang dalam perjalanan pulang selepas mengadakan pertunjukan silat di majlis perkahwinan ahli keluarga seorang daripada mangsa di Sungai Buloh, Selangor, kelmarin.

Seorang daripada yang terbunuh dalam kejadian jam 3.30 pagi itu ialah ayah Rashidi, Ahmad Ismail, 60, dari Kampung Alor Rela, Langgar, yang maut di tempat kejadian. Turut maut di tempat kejadian Juhari Darus, 65, dari Kampung Pering, Kodiang dan Jumaat @ Saad Mat Akhir, 65, dari Malau, Jitra.

Sudin Idris, 65, dari Kampung Telaga Mas dan Eshak Awang Kechik, 78, dari Kampung Tualang, Pokok Sena, pula meninggal dunia pada jam 9 dan 11.45 pagi semalam ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Rashidi, Ariffin Mahazon, 56, dan Mohd Idris Mohd Senapi, 20, dirawat sebagai pesakit luar manakala seorang lagi penumpang, Che Ishak Hussin, 54, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Menurut Rashidi, selepas cuba mengelak ‘lembu besar’ hitam itu, van dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok berhampiran sawah.

“Selepas itu, saya tak ingat apa berlaku. Apa yang saya tahu, saya berada di tepi jalan sebelum ternampak ayah masih berada di tempat duduk penumpang hadapan van dan dipercayai sudah meninggal dunia kerana tersepit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Rela, Langgar, dekat sini, semalam. Rashidi dan semua penumpang van berkenaan adalah guru silat yang juga ahli Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah.

Mereka bertolak dari Sungai Buloh dengan diikuti sebuah kenderaan lain berkonvoi untuk pulang ke Kedah, kira-kira jam 6 petang kelmarin dan kejadian berlaku ketika van dipandu Rashidi menghala ke Langgar dari arah Pendang. Rashidi berkata, dia tidak mengantuk ketika memandu kerana sepanjang perjalanan mereka berhenti rehat di lima hentian rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Utara-Selatan sebelum meneruskan perjalanan pulang.

“Ayah tak banyak bercakap cuma ketika berhenti di hentian RnR Bukit Gantang, Perak, dia singgah minum bersama rakan-rakannya manakala saya duduk di meja lain.



“Sejak di Sungai Buloh lagi hati saya tak tenteram kerana berasakan sesuatu yang bakal berlaku, namun saya cuba melupakannya. Akhirnya berlaku kemalangan ngeri ini sehingga menyebabkan kematian ramai termasuk ayah,” katanya.

Rashidi yang juga anak keenam daripada tujuh beradik berkata, sebaik ternampak ‘lembu hitam’ melintas jalan, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana jalan raya di situ gelap dan hanya menyedari kemalangan itu sebaik berada di bahu jalan.

PILU...keluarga Ishak sebak selepas diberitahu mengenai kematian mangsa.


Dia dipercayai tercampak keluar melalui tingkap van akibat rempuhan kuat itu yang menyebabkan dia berada dalam keadaan separuh sedar dan dibawa ke HSB untuk mendapatkan rawatan dengan menaiki ambulans.

“Setahu saya, kawasan itu tidak pernah ada lembu pun dan kalau ada sekali pun hanya waktu siang, tetapi jarang pula ada waktu tengah malam dan awal pagi.

“Saya reda dengan apa yang berlaku kerana kehilangan ayah dalam sekelip mata selain rakannya yang menjadi orang kuat dalam persatuan silat itu,” katanya.

ZIARAH...keluarga dan kenalan menziarahi jenazah Ahmad di Kampung Alor Rela, semalam.

Bas Persiaran Dirempuh Kontena



Bidor: "Sebaik bas kami dirempuh sebuah lori kontena dari arah belakang, saya melihat ada penumpang termasuk datuk saya dan dua kanak-kanak terpelanting selain ada yang terperosok ke bawah bas dan tersepit.

"Ketika itu saya dan ramai lagi penumpang hanya mampu menjerit dan menangis kerana terlalu cemas serta takut melihat kejadian ngeri itu," kata Nurul Najwa Roslan, 17, seorang daripada 43 mangsa kemalangan jalan raya membabitkan bas persiaran yang mereka naiki bersama dua lori di Kilometer 341.9, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Plaza Tol Bidor, di sini, awal pagi semalam.

Kemalangan jam 4.50 pagi itu menyebabkan datuk Nurul Najwa, Sahad@Shariff Md Din, 74, terbunuh di tempat kejadian manakala sebahagian besar lagi penumpang cedera, termasuk enam daripada mereka parah dengan kebanyakannya patah kaki.

Lebih memilukan, kaki seorang daripada kanak-kanak berkenaan hancur selepas dihimpit bas ke pembahagi jalan di tepi lebuh raya. Difahamkan, kaki kanak-kanak itu terpaksa dipotong.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Roslan Bek Ahmad, berkata Sahad meninggal dunia di tempat kejadian, manakala enam lagi parah. -BH




Sudah Suruh Pakcik Lari

TAPAH - “Saya suruh pakcik lari selamatkan diri, tapi tidak sempat dan dapati pakcik sudah dihimpit bas,” kata Wan Chik Mad, 48.

Dia antara 43 penumpang bas yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 341.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran susur keluar Bidor pagi semalam.

Menurutnya, ketika kejadian pada jam 4.50 pagi itu, dia dan kebanyakan penumpang lain yang dalam perjalanan ke Nilai, Negeri Sembilan sedang tidur.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat dan mendapati bas yang kami naiki ini terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori.

“Kami terus berusaha untuk keluar dan mendapati sepasang suami isteri sudah terbaring di luar bas akibat tercampak keluar kerana kemalangan ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Tapah.

Dalam kejadian itu, seorang warga emas, Sahad @ Shariff Md Din, 74, maut di tempat kejadian, manakala enam lagi penumpang cedera parah.

Wan Chik berkata, selepas kemalangan, dia dan pakcik Sahad bersama penumpang yang lain cuba untuk membantu pasangan suami isteri yang tercampak keluar dari bas itu.

Katanya, tiba-tiba sahaja sebuah lori dari belakang bas melanggar bas berkenaan yang sudah berhenti akibat kemalangan sebelum itu menyebabkan Sahad tidak dapat mengelakkan diri.

“Saya sedih dengan kejadian yang terjadi ini kerana ia berlaku di depan mata dan saya sudah menyuruh pakcik melarikan diri, tetapi tidak sempat.

“Saya mengalami kecederaan di muka dan kami sebenarnya dari Pulau Pinang mahu ke Nilai untuk melawat dan membeli-belah di sana,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Azhar Yaakob, 34, berkata, keadaan selepas kemalangan pertama yang berlaku menyebabkan semua penumpang bas segera mahu keluar daripada bas untuk menyelamatkan diri.

“Saya turut terlena dan bas ini sebenarnya baru bergerak selepas berhenti di Hentian Rawat dan Rehat Bukit Gantang.

“Namun setibanya di tempat kejadian, kami hanya sedar apabila bas sudah berlanggar dan dalam usaha menyelamatkan diri untuk keluar daripada bas, sekali lagi bas ini dilanggar di bahagian belakang,” katanya. -SH

5 Guru Silat Maut Pulang Dari Persembahan

Alfatihah...

ALOR SETAR: Empat guru silat yang dalam perjalanan pulang selepas membuat persembahan di majlis kenduri terbunuh, manakala lima cedera selepas van yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh pokok di Jalan Langgar-Tanah Merah berdekatan titi Haji Idris di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu menyebabkan tiga daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa maut ketika dirawat di hospital Sultanah Bahiyah di sini, kira-kira jam 9 pagi tadi.

-------------------------------------------------------------------------------------------

ALOR SETAR – Lima guru silat dari sebuah persatuan silat maut selepas van yang dinaiki sembilan orang terbabas dan melanggar sebuah pokok di Jalan Titi Haji Idris, Pendang, pada 3.30 pagi tadi.

Mereka yang mati di tempat kejadian ialah Ahmad Ismail, 65, Juhari Darus, 65, Jumaat@Saad Mat Akir, 62, manakala yang meninggal dunia di hospital ialah Sudin Deris, 65 dan Ishak Awang Kechik@Hanafiah,78.

Presiden Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah Haris Fazilah berkata mereka dalam perjalanan pulang dari Sungai Buloh, Selangor, selepas mengadakan persembahan gendang silat pada Sabtu lepas.

“Semasa kejadian, pemandu van, Roshidi Ahmad, 24, dikatakan mahu mengelak sesuatu menyebabkan dia hilang kawalan dan melanggar pokok,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini pada hari Isnin.

Kemalangan itu juga menyebabkan seorang cedera parah manakala tiga lagi turut cedera.

Sumber : Berita Harian dan Bernama Online

Sunday, March 20, 2011

Pelajar Tingkatan Tiga Terbunuh Dalam Kemalangan

11 Mac 2011 ;KANGAR: Seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Putra terbunuh apabila motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah bas di Simpang Kampung Pondok, Jalan Abi Tok Hashim, dekat sini malam Sabtu.
Muhammad Shamin Akmal Murkamin, 15, yang cedera parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian pada kira-kira pukul 8.40.
Pegawai Turus Trafik Perlis Asisten Supritendan Rosli Yahaya berkata, bas yang tiada penumpang sedang keluar dari Simpang Kampung Pondok manakala mangsa dari arahAbi Tok Hashim hilang kawalan lalu melanggar bahagian depan bas.
Mangsa yang menetap di sebuah rancangan perumahan awam (RPA) di sini terbunuh di tempat kejadian manakala pemandu bas berusia 60 itu membuat laporan di Balai Polis Kangar berhubung kejadian itu.
"Ketika kejadian mangsa tidak memakai topi keledar dan tidak memiliki lesen memandu," katanya ketika dihubungi, Ahad.
Sementara itu, ibu mangsa, Nor Sabiha Din, 41, berkata beliau sedang bekerja di sebuah restoran sebelum dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh suaminya kira-kira pukul 9.00 malam. - BERNAMA


Bas Terbalik lagi di Simpang Ampat



Alor Gajah: “Saya dengar bunyi pelik di luar tapi tidak syak apa-apa sebelum terasa bas bergegar dan terhoyong-hayang lalu merempuh penghadang tengah lebuh raya dan terus melencong ke kiri jalan.”

Begitu kata penumpang bas pesiaran, Shibli Sabtu, 26, selepas bas dinaiki bersama lapan penumpang lain terbalik di Kilometer 214.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan, kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.

Dalam kejadian itu, semua penumpang yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru itu berdepan detik mencemaskan apabila bas dipandu lelaki berusia awal 30-an hilang kawalan sebelum terbabit dalam kemalangan.

“Ketika leka bermain telefon bimbit, tiba-tiba bas merempuh sesuatu dengan kuat sebelum senget ke kanan. Rakan saya pula tercampak ke lantai bahagian depan.

“Saya dengar penumpang menjerit dan meraung ketakutan selepas bas terbabas ke kiri sebelum terbalik ke kanan dan terseret, mengakibatkan sembilan penumpang lain tercampak dari tempat duduk,” kata penuntut pusat pengajian tinggi awam itu.

Katanya, dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila perjalanan yang dijadualkan jam 12.40 tengah malam dari Perhentian Bas Bukit Jalil ditangguhkan ke jam 1 pagi akibat hal yang tidak dapat dielakkan. Malah bas juga dirasakan tidak stabil kerana halajunya berubah-ubah.

Seorang lagi penumpang, Azlan Abdullah, 46, berkata pemandu lewat memulakan perjalanan kira-kira 30 minit daripada masa dinyatakan dan berhenti di Hentian Sebelah Nilai.

“Selepas memandu 30 minit, sekali lagi pemandu berhenti di Hentian Sebelah Senawang untuk menghilangkan mengantuk dan meneruskan perjalanan 10 minit kemudian sebelum terbabit kemalangan,” katanya.

Katanya, ketika kejadian kebanyakan mereka terlelap dan dia tersedar apabila bas dirasakan senget sebelum terbalik dan terseret sejauh 50 meter.

“Saya cuba pegang tempat duduk depan dengan kuat tapi tetap tercampak. Keadaan huru hara kerana ramai penumpang tercampak dari tempat duduk.

“Saya cuba tendang cermin depan dengan harapan kami semua tidak terperangkap di dalam bas tapi tidak berjaya.

“Kemudian saya cuba membuka pintu kecemasan di atas bumbung bas dan dari situl kami semua merangkak keluar dari bas yang terbalik itu.

“Saya bersyukur kami semua, termasuk pemandu, terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Sementara itu, sumber Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah (IPD) berkata, hasil siasatan awal, pihaknya percaya bas pesiaran dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bharu hilang kawalan selepas terlanggar penghadang jalan dan melencong ke kiri lalu melanggar tebing dan terbalik ke kanan.

Bagaimanapun, bas itu hanya membawa sembilan penumpang dan mereka menyambung perjalanan ke Johor Bahru menggunakan bas pesiaran lain. -hm

Ulasan GB

Terdapat beberapa kemalangan di lokasi yang hampir sama berlaku yang melibatkan kenderaan berat seperti lori dan bas di lebuhraya PLUS berhampiran tol Simpang Ampat, Alor Gajah.

Jika kita masih ingat pada 12 Oktober tahun lalu di Km 223, dua bas, tiga kereta dan sebuah van terlibat dengan nahas yang meragut 12 nyawa dan 40 yang lain cedera.

Pada 13 Mac 2011, sebuah kontena melanggar sebuah kereta diikuti dengan perlanggaran 5 buah kenderaan lain di Km 196 lokasi yang berhampiran.

Dan kini sebuah bas pula terbalik di Km 214.4 Km yang terletak di pertengahan di antara dua kemalangan di atas.

Sesuatu yang patut disiasat mengenai keadaan di kawasan lebuhraya berkenaan sehingga ia menjadi lokasi berbahaya dan mendatangkan banyak kemalangan

Racing Suit Tidak Semestinya Selamat

Walaupun kita pakai racing suit, tetap perlu berhati-hati di jalan raya...



Suami Isteri Maut di Jalan Kluang



BATU PAHAT 19 Mac - Seramai lapan orang termasuk sepasang suami isteri maut dalam empat kemalangan berasingan di daerah ini dan Kluang hari ini.

Di Kluang, kereta Proton Saga dinaiki sepasang suami isteri bertembung dengan Proton Persona dipandu seorang anggota tentera pada pukul 7.45 pagi di Kilometer 9, Jalan Kluang-Teck Wah Heng.

Difahamkan kereta dipandu anggota tentera itu, Norizan Musa, 33, hilang kawalan di selekoh sehingga memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan dinaiki pasangan suami isteri itu.

Ketika kejadian, mangsa, Muaz Abdul Rahman, 57, dikatakan dalam perjalanan membawa isterinya, Maznah Muhamed, 53, ke Stesen Bas Kluang kerana wanita itu berhasrat untuk mengunjungi rumah anak mereka di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Fawzi Arshad berkata, Norizan dan Maznah maut di tempat kejadian manakala Muaz meninggal dunia di Hospital Kluang.

Sementara itu, di Sri Medan, dua maut dalam kemalangan kira-kira 10 pagi membabitkan sebuah treler, dua lori dan sebuah kereta di Kilometer 14.5 Jalan Muar-Yong Peng.

Dua yang meninggal dunia ialah pemandu lori, Mohammad Syukri Musa, 39, dari Taman Tasik Jaya, Seremban dan pemandu kereta Toyota, Selamat Maskor, 44, dari Kampung Sri Maamor, Tangkak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Supritendan Adnan Azizon berkata, dalam satu lagi nahas, dua pemuda maut dalam kemalangan pukul 1.15 pagi di Kilometer 5, Jalan Bukit Pasir berdekatan Parit Bilal di sini apabila motosikal dinaiki mereka terbabas ke bawah lori.

Adnan berkata, dua pemuda itu ialah Muhammad Herman Jehia, 23, dari Kampung Parit Haji Dahlia, Yong Peng dan Mohd. Iezwan Anuar, 18, dari Kampung Sri Wangi.

Katanya, Hafedy Othman, 18 dari Kampung Parit Khalil, Ayer Hitam maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan kereta di Kilometer 28.5 Jalan Kluang tengah malam tadi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my