Inalillahi wainailaihi rojiun
7 September 2013
PENDANG -
Dua pekerja katering maut selepas van yang mereka naiki bersama 10 yang lain terbabas dan terbalik ke dalam parit di KM62.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah Pendang hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asisten Superintendan L Pubadi berkata, mangsa
Nurul Najwa Mohd Naim, 15, dari Taman Sireh, Bukit Pinang, Alor Setar dan
Muhammad Azrul Adli Sulaimi, 18, dari Taman Tabung Haji, Kepala Batas, Alor Setar maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Beliau berkata, dalam kejadian pukul 9.55 pagi itu, van yang dipandu Ahmad Hazri Ahmad Nazri, 20, dikatakan hilang kawalan selepas tayar belakang sebelah kanan kenderaan itu pancit mengakibatkan ia terbabas ke bahu jalan di sebelah kiri sebelum terbalik ke dalam parit.
"Dua mangsa yang meninggal itu dipercayai ditindih penumpang lain di dalam van. Najwa ketika itu duduk di belakang sebelah kanan sementara Muhammad Azrul di bahagian tengah di belakang pemandu," katanya ketika dihubungi.
Kesemua mangsa yang berusia antara 15 hingga 53 tahun itu bekerja sambilan dengan syarikat katering berkenaan.
Mereka dipercayai dalam perjalanan ke kampung Lubuk Getah di sini untuk menguruskan jamuan di majlis perkahwinan.
Pubadi berkata, lima lagi yang menaiki van itu cedera parah manakala tiga lagi cedera ringan termasuk pemandunya sementara dua lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Yang cedera mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.
Mayat dua remaja itu juga dihantar ke hospital berkenaan untuk dibedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga masing-masing.
Bapa Najwa, Mohd Naim Othman, 48, berkata, anak sulungnya daripada empat beradik itu bakal mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tidak lama lagi.
Dia berkata, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas itu baharu sahaja bekerja secara sambilan dengan syarikat katering itu untuk mendapat duit poket bagi membantu keluarga.
"Memang saya tak bagi dia pergi kerja, tapi dia mahu pergi juga sebab dia kata nak tambah duit poket dan hanya bekerja pada hari minggu. Dia mula kerja Sabtu lepas dan hari ini dia ada majlis kenduri kahwin di Pendang.
"Awal pagi tadi mak dia hantar dia ke tempat katering itu di Kepala Batas, tidak jauh dari rumah kami ketika hujan lebat. Saya kemudiannya terkejut bila pihak hospital hubungi saya bagitau anak saya maut kemalangan kira-kira pukul 10 pagi tadi," katanya ketika ditemui di hospital.
Mohd Naim yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah anaknya itu berkata, sejak seminggu lepas anaknya itu menunjukkan perubahan dengan mengajak adik-adiknya bersama-samanya menunaikan solat secara berjemaah setiap hari.
Beliau berkata, jenazah anaknya itu akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Alor Ganu, Kepala Batas lewat petang ini.
Sementara itu bapa Muhammad Azrul, Sulaimi Din, 50, berkata, anak kedua daripada empat beradik itu bekerja sambilan di syarikat katering itu kerana sedang menunggu panggilan untuk menyambung pelajaran di sebuah Politeknik. - Bernama
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/dua-pekerja-katering-maut-van-terbalik-1.199745