loading...

Saturday, June 18, 2011

Dua beradik maut dan Ibu Mengandung Parah


Al-Fatihah...
KUALA KUBU BHARU 18 Jun – Dua beradik maut, manakala empat lagi ahli keluarga termasuk ibu mereka yang sarat mengandung lapan bulan cedera parah setelah van dinaiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 46, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Batang Kali, di sini, tengah malam tadi.


Kejadian berlaku pukul 12.40 tengah malam semasa mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Behrang, Perak, setelah membeli-belah di sebuah pasar raya di Rawang dekat sini.



Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suprintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kemalangan berlaku apabila van dinaiki enam sekeluarga itu tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

Beliau berkata, van itu kemudian terbabas melintang jalan dan pada masa sama sebuah lori dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh bahagian sisi kiri kenderaan tersebut.



“Rempuhan kuat menyebabkan dua beradik itu yang duduk di bahagian belakang iaitu Nurfarahanim Ismail @ Sanadi, 18, dan Muhamad Danial, 5, tercampak keluar.

“Nurfarahanim maut di tempat kejadian akibat cedera parah tersepit di bawah tayar kenderaan, manakala Muhamad Danial meninggal dunia di hospital kira-kira pukul 2 pagi ini,” katanya di sini, hari ini.


Beliau berkata, bapa mangsa, Ismail @ Sanadi Othman, 45, dan ibu mereka, Noraida Abd Rahman, 39, pula mengalami kecederaan parah.


Katanya, turut cedera parah ialah dua lagi adik-beradik mangsa iaitu Norzarie Sopiah, 7, dan Mohd. Haikal Ismail berusia lebih setahun.

Tambahnya, empat beranak terbabit kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Semasa kejadian, sebuah kereta yang mengekori belakang van mangsa, dipandu oleh seorang lelaki, Chang Sun Fei, 30, turut terbabas dan merempuh saluran paip di tepi jalan semasa cuba mengelak daripada merempuh belakang kenderaan berkenaan.

“Sun Fei dan pemandu lori, Jamali Mokhtar, 45, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, menurut salah seorang anak Ismail, Muhd. Yusuf, 21, memberitahu, sebelum kejadian, ibu bapa bersama empat adiknya termasuk Nurfarahanim dan Muhamad Danial sempat singgah di rumahnya di Bandar Sungai Buaya di sini, setelah membeli-belah di pasar raya di Rawang.

“Mereka pergi ke pasar raya tersebut untuk membeli barang-barang sekolah Nurfarahanim yang akan memasuki tingkatan enam di Sekolah Menengah Khir Johari, Tanjung Malim, Perak dan persiapan menyambut adik ke-11 yang bakal dilahirkan ibunya, Ogos depan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.



Menurut Muhd. Yusuf, semasa di rumahnya, Nurfarahanim sempat meminjam telefon bimbitnya untuk menghubungi rakan dan tidak menyangka pertemuan tersebut adalah kali terakhir antara mereka.


Katanya, jenazah kedua-dua adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Behrang selepas solat Zohor hari ini.


Dua beradik maut digilis treler


Al-Fatihah...

IPOH 17 Jun - Dua beradik maut, manakala datuk mereka cedera selepas motosikal yang mereka naiki bergesel dengan sebuah treler di Kuala Trong, dekat Taiping, semalam.

Dalam kejadian pukul 6.15 petang, Norshafikah Abdul Rahim, 15, dan adiknya, Mohd. Azizi, 5, meninggal dunia di tempat kejadian akibat digilis kenderaan berat itu selepas terjatuh dari motosikal.

Ketua Polis Trafik negeri, Supritendan Wan Abdullah Ishak berkata, ketika kejadian, Mahmud Din, 75, dan kedua-dua cucunya itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil Norshafikah dari sekolah.

Katanya, sebaik sahaja tiba di sebuah persimpangan, motosikal yang ditunggangi Mahmud dikatakan terbabas selepas bergesel dengan bahagian kiri treler tersebut.

"Motosikal dinaiki tiga sekeluarga itu bergesel dengan treler yang datang dari arah sama, menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak di atas jalan sebelum kedua-dua beradik itu digilis treler berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Abdullah berkata, pemandu treler berusia 40-an itu ditahan untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis.

Mahmud dimasukkan ke Hospital Taiping dan keadaannya kini stabil.

Friday, June 17, 2011

Lihatlah Kanan Anda Sebelum membelok


TANAH MERAH SITE C – Seorang lelaki yang juga pekerja di sebuah syarikat swasta di Bandar Port Dickson, R Maniam, 37, maut di tempat kejadian apabila kenderaan syarikat dipandunya terlibat dalam satu kemalangan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Baljeet Singh berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 5.15 petang, kelmarin melibatkan dua kenderaan iaitu Hilux dan sebuah lori tanpa muatan.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang pulang dari tempat kerja menuju ke arah Lukut ke Sepang sementara lori dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di persimpangan Jimah Jaya, kenderaan yang dipandu mangsa membelok ke kanan sebelum dirempuh lori berkenaan, walau bagaimanapun siasatan secara terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Baljeet berkata, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mangsa meninggalkan seorang balu, T Amutha, 30-an, dan seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

Sementara itu, abang mangsa, R Rajasagaran, 43, berkata, berita kemalangan mengenai adiknya sudah memeranjatkannya apatah lagi turut dimaklumkan tentang kematiannya.

“Petang semalam (kelmarin) sebaik tiba di rumah selepas pulang dari kerja, saya menerima panggilan telefon memaklumkan tentang kejadian kemalangan itu.

“Saya terus bergegas ke tempat kejadian dan tidak lama kemudian, satu lagi panggilan diterima memberitahu Maniam sudah mati,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Port Dickson,

Mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Port Dickson dan dituntut keluarga sekitar jam 11 malam, semalam.

Brek Tidak Berfungsi


GELIGA – Seorang pemandu lori pasir terpaksa bertarung nyawa apabila kenderaan yang dipandunya terbabas ke kiri jalan, lalu merempuh tiang lampu isyarat di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhadapan Stesen Minyak Esso, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, pemuda Melayu berumur 20-an yang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Terengganu dipercayai cuba mengelak daripada melanggar dua motosikal yang berhenti ketika lampu isyarat merah, sebelum terbabas mengakibatkan lori berkenaan terbalik gara-gara brek tidak berfungsi.

Sinar Harian difahamkan, mangsa yang tersepit di tempat duduk ditarik keluar oleh orang ramai sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman oleh ambulans sejurus selepas kejadian.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tidak mengalami kecederaan serius dan hanya luka pada kepala.

Saksi kejadian, Nurul Fatihah Jamaluddin, 22, yang berniaga jambu tidak jauh dari lokasi kejadian berkata, dia melihat lori berkenaan meluncur laju sejauh 500 meter dari kawasan lampu isyarat dan disusuli dengan hon bertalu-talu.

“Pemandu memberi hon bertalu-talu seperti memberi isyarat yang kenderaannya rosak dan gagal dikawal. Ketika itu terdapat dua motosikal berhenti di tengah jalan kerana lampu isyarat merah.

“Justeru, disebabkan mahu mengelak daripada melanggar motosikal, lori berkenaan terbabas ke kiri jalan dan meluncur laju merempuh dua tiang lampu isyarat lalu terbalik,” katanya yang masih kelihatan terkejut dengan nahas yang berlaku depan matanya itu.

Sambil mengakui kejadian itu turut membuatkan jantungnya hampir ‘tercabut’ kerana terlalu terkejut, katanya, hanya dalam tempoh beberapa minit pasukan bomba dan pe-nyelamat tiba di tempat kejadian.

“Alhamdulillah, pemandu lori tidak mengalami kecederaan parah. Ini pengalaman pertama saya saksikan kemalangan depan mata,” katanya.

Sementara itu, penduduk berdekatan yang mahu dikenali sebagai Hassan berkata, laluan itu kerap berlaku kes kemalangan terutama kes nahas yang meragut nyawa.

Oleh itu, katanya, pengguna jalan raya perlu berhati-hati dan tidak memandu laju bagi mengelakkan kemalangan.

Dua Beranak Maut Elak Bangkai Haiwan


JENGKA - Gara-gara cuba mengelak bangkai haiwan, dua beranak maut apabila kenderaan yang dipandu bertembung dengan sebuah kenderaan dari arah bertentangan dalam kejadian jam 6.30 petang di Jalan Besar Jengka 23-22, kelmarin.

Mangsa yang juga anak peneroka Felda Jengka 13, Md Jelani Hassan, 46, dan ibunya, Puteh Ngatinin, 71, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Isteri mangsa, Kamariaton Hamid, 41, berkata, mereka lima beranak dengan kereta dipandu suaminya dalam perjalanan pulang dari Pasar Malam Pekan Awah.

Menurutnya, ketika di lokasi kejadian, arwah suami cuba mengelak bangkai haiwan sebaik melepasi satu selekoh tajam lalu.

“Saya berada di tempat duduk bahagian hadapan dan tanpa disedari, terdapat sebuah kenderaan dari arah bertentangan.

“Saya tergamam apabila melihat kereta berkenaan meluru laju sebelum bertembung dengan kereta kami. Dentuman kuat berlaku menyebabkan kereta dari arah depan itu berpusing lalu terjunam ke gaung,” katanya kepada Sinar Harian.

Ibu kepada lapan anak itu berkata, beliau segera mengeluarkan seorang anaknya, Mohd Saiful Adam, 4, di bahagian belakang manakala seorang lagi anaknya, Zulaikha, 12, tersepit bersama arwah ibu mertuanya.

Menurutnya, arwah suami tersepit dan masih bernafas, namun dalam keadaan amat lemah sementara arwah ibu mertuanya, tidak menunjukkan sebarang pergerakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, kemalangan maut itu membabitkan dua kenderaan yang bertembung dari arah bertentangan kira-kira jam 6.30 petang di laluan Felda Jengka 23 ke 22.

Menurutnya, kereta jenis Proton Wira yang dinaiki lima beranak itu dari arah Temerloh manakala sebuah lagi, Proton Saga BLM dinaiki empat beranak dalam perjalanan pulang ke Felda Jengka 17.

“Kedua-dua kereta ini bertembung sebaik melepasi satu selekoh tajam dari arah Temerloh dan menyebabkan berlakunya kerosakan teruk.

“Pemandu Proton Wira dan ibunya yang berada di bahagian belakang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala sementara isteri serta seorang anaknya hanya mengalami cedera ringan.

“Namun seorang lagi anaknya, cedera parah dan menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh,” katanya.

Ahmad Johari berkata, pemandu Proton Saga BLM dan seorang penumpang cedera parah serta menerima rawatan di hospital sama sementara dua lagi, hanya cedera ringan.

Kedua-dua mangsa maut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Jengka 13, petang semalam.

Thursday, June 16, 2011

Remaja Maut Rempuh Pokok

Remaja Maut Rempuh Pokok

GEORGETOWN - Seorang remaja berusia 18 tahun maut selepas terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang pokok di Jalan Delima, di sini awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi apabila mangsa, S Desmond dari Estet Hong Seng, Mount Eskrine menunggang motosikal seorang diri dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah.

Jurucakap polis berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu untuk mengenal pasti puncanya selain menunggu hasil bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan bahaya hingga menyebabkan kematian.

“Sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Abd Halim Bulat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut melalui talian 04-2181822 atau mana- mana balai polis berhampiran.

Wednesday, June 15, 2011

Tiga peniaga nyaris maut


BATU 31 - Tiga peniaga nyaris maut apabila kenderaan yang dinaiki, terlibat dalam kemalangan di Kampung Batu 31,di sini kira-kira jam 6.20 pagi semalam.

Kemalangan yang melibatkan lori kecil dan kenderaan jenis Mitsubishi Storm itu menggemparkan penduduk apabila turut melanggar sebuah rumah kedai di sini.

Bagaimanapun, ketiga-ketiga mangsa yang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar, walaupun kenderaan yang dinaiki rosak teruk dan terbakar.

Pemilik rumah kedai terbabit, Anuar Berang, 51, berkata, ketika kejadian dia dan isteri bersiap-siap untuk menunaikan solat subuh.

Katanya, dentuman kuat dan bunyi hon menyebabkan dia terkejut lantas berlari keluar rumah bagi melihat kejadian yang berlaku.

“Bunyinya macam perang, ketika keluar rumah saya melihat seorang mangsa (kelindan lori) terbaring di hadapan rumah saya, manakala pemandunya pula berada dalam lori namun dalam keadaan sedar dan selamat.

“Manakala pemandu Mitsubishi Storm pula berlari ke arah saya apabila kenderaan yang dinaikinya terbakar, tanpa berlengah saya menyerahkan alat pemadam api kepadanya namun gagal menyelamatkan kenderaannya.

“Kejadian tersebut sangat mengejutkan dan saya menjadi kelam kabut sampai tidak tahu yang mana mahu ditolong terlebih dahulu. Syukurlah semuanya selamat,” kata anggota Bomba dan Penyelamat Daerah Kuala Krai itu.

Turut mengalami kerosakan, kereta jenis Wira milik Anuar yang diletakkan di hadapan rumah kedainya itu.

Anuar berkata, kedua-dua kenderaan tersebut dipercayai dari arah Kota Bharu ke Kuala Krai untuk menghantar ayam dan sayur-sayuran

Monday, June 13, 2011

Langkah Elak Kemalangan Berhenti Memandu Jika Berasa Mengantuk

IPOH: Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Perak menasihatkan pemandu supaya berhenti memandu jika berasa mengantuk walaupun mereka sudah hampir tiba ke destinasi.


Pengamatan terbaru MKJR mendapati banyak kemalangan maut berlaku terutama sepanjang cuti persekolahan ini ketika kenderaan melalui perjalanan panjang sudah menghampiri destinasi dituju.
Pengerusinya, Datuk Ramly Zahari, berkata pemandu biasanya terlupa aspek keselamatan ekoran kegembiraan mereka sudah hampir selamat ke destinasi.

“Sebagai contoh, apabila kenderaan dari Kuala Lumpur tiba di Simpang Pulai, 15 kilometer dari destinasinya di Ipoh, pemandu rasa mereka sudah ‘sampai’ dan rasa mengantuk atau mahu buang air kecil tidak dihiraukan kerana rasa boleh buat bila tiba di rumah nanti.

“Risiko tinggi kerana kemalangan boleh berlaku dalam tempoh sesaat saja. Ini hasil pengamatan pasukan polis yang dilakukan sepanjang cuti persekolahan ini,” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Untuk Kanak-Kanak 2011 dan Program Selamat Menunggang Basikal Sekeliling Dunia di Taman Dr Seenivasagam di sini, semalam.

Beliau mengulas kemalangan maut membabitkan empat sekeluarga Khamis lalu apabila kenderaan yang dalam perjalanan pulang ke Bukit Chandan, Kuala Kangsar, dari Pasir Mas, Kelantan, merempuh penghadang jalan di Jalan Kuala Kangsar - Grik, dekat Sauk.

Ramly yang juga EXCO Kerajaan Negeri, berkata beliau akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan laluan khas motosikal dan basikal apabila membina laluan baru jalan negeri dan bandaran di negeri ini.
Beliau berkata, laluan khas itu penting kerana perangkaan terbaru dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini menunjukkan 20 pejalan kaki dan 10 penunggang atau pembonceng motosikal maut akibat kemalangan jalan raya.

Ketika ini, katanya, ada PBT membuat laluan khas itu di Kuala Kangsar dan Teluk Intan yang didapati berjaya mengurangkan risiko kepada penunggang motosikal dan basikal serta pejalan kaki daripada dirempuh kenderaan lain.

“Walaupun kita tidak dapat menjamin kenderaan lain tidak masuk ke laluan khas itu seperti berlaku di Kuala Lumpur, tetapi kemudahan itu mampu mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

Sunday, June 12, 2011

Kemalangan Ngeri Honda Civic

 Mayat Mohd Kamal Tersepit di dalam kereta

Al-Fatihah...
SUNGAI PETANI: Kemalangan Ngeri, “Ya Allah abang aku, kenapa jadi macam ni?“ hanya itu kata-kata mampu diucap Mohd Shafik Azman, 21, sambil memeluk jenazah abangnya, Mohd Kamal, 24, selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang di Jalan Tikam Batu-Sungai Petani berhampiran Padang Temusu di sini, kelmarin, apabila kereta dipandu mangsa gagal dikawal lalu terbabas ke sebelah kiri dan merempuh penghadang jalan serta sebuah gerai.

Akibat rempuhan itu, kereta Honda Civic berkenaan ditembusi besi penghadang jalan dan terbalik dengan keempat-empat tayarnya ke atas menyebabkan mangsa tersepit di dalam kenderaan itu.

Mangsa dari Taman Sri Pinang, di sini, parah di kepala termasuk hancur kaki kanan akibat kemalangan itu dan mati di tempat kejadian.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Tikam Batu mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa.

Menurut Mohd Shafik, sebelum kejadian, abangnya yang menjalankan perniagaan komputer di pekan Tikam Batu memaklumkan mahu ke bandar Sungai Petani untuk membeli barang.

Katanya, dia menunggu Mohd Kamal di kedai dan menerima panggilan daripada rakan memberitahu abangnya terbabit dalam kemalangan dekat Padang Temusu.

“Sepanjang perjalanan hati saya terasa tidak sedap walaupun rakan tidak memberitahu keadaan abang.

“Hancur hati dan sangat-sangat sedih apabila tiba ke tempat kejadian, saya melihat keadaan kereta abang dan apabila menjenguk, saya dapat melihat abang tersepit,” katanya.

Mohd Shafik berkata, dia mengagahkan diri memeriksa nadi abangnya.

“Saya tidak dapat merasakan nadinya, dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, jurucakap trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas di kiri jalan sebelum merempuh sebuah gerai dan besi penghadang jalan.

“Akibat kejadian itu, keempat-empat tayarnya ke atas dan kereta berkenaan remuk teruk dengan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu ketika dalam perjalanan dari arah Tikam Batu menuju ke pusat bandar.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat,” katanya.

3 Maut MyVi bertembung Hilux

 KERETA Perodua Myvi yang dinaiki tiga mangsa remuk teruk dan terbalik dalam kemalangan di Kilometer 46 Jalan Klang – Teluk Intan, dekat Sabak Bernam, semalam. Gambar bawah, dari kiri, Siti Aminah Ibrahim, Nor Aini Abdul Razak dan Muhammad Zulhelmee.

Al-Fatihah...

SABAK BERNAM: MyVi bertembung Hilux, dua saudara sepupu serta seorang rakan mereka maut apabila dua kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 46 Jalan Klang-Teluk Intan, berhampiran Kampung Pancang Bedena, di sini, semalam.

Nor Aini Abdul Razak, 19, yang memandu Perodua MyVi meninggal dunia di tempat kejadian manakala sepupunya, Siti Aminah Ibrahim, 19, dan rakan mereka, Muhammad Zulhelmee Muhammad Saidin, 22, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam.

Dalam kemalangan itu, kereta MyVi dinaiki mangsa rosak teruk dan terbalik apabila bertembung dengan pacuan empat roda Toyota Hilux mengakibatkan ketiga-tiga mangsa maut manakala lelaki pemandu Toyota Hilux hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mohd Mushar berkata, kemalangan pada kira-kira jam 1.30 tengah hari itu berlaku apabila kereta MyVi dari arah Klang tiba-tiba masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan Toyota Hilux dari arah Teluk Intan.


“Pemandu Perodua MyVi itu gagal mengawal kenderaannya dan tidak dapat mengelak kenderaan Toyota Hilux dari arah bertentangan sebelum kedua-dua kenderaan itu bertembung.

“Mangsa yang tersepit meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi mangsa disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya.

Harian Metro difahamkan Nor Aini dari Taman Pertama, di sini, masih menuntut di Kolej Pendidikan Perdana Shah Alam, manakala sepupu dan rakannya yang tinggal di Teluk Gong, Pelabuhan Klang ingin pulang ke kampung untuk mengambil peralatan yang tertinggal di rumah.

Rakan karib Nor Aini, Fasha Erma Mohd Khomari, 19, dari Taman Muhibah ketika ditemui berkata, sahabatnya itu menelefonnya pada jam 1.05 tengah hari untuk bertemu jika mereka tiba di bandar Sabak Bernam.

“Arwah meminta saya bersiap untuk jumpa sementara dia dalam perjalanan dan memberitahu hajatnya mahu ke klinik terlebih dulu sebelum pergi makan kerana dia kurang sihat.

“Selepas itu saya tidak lagi menerima panggilan daripada arwah sehinggalah menerima berita mereka bertiga terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi perkarangan rumah mayat HTAJ dengan kehadiran ahli keluarga ketiga-tiga mangsa.

Ibu Nor Aini, Siti Bastiah Samad, 42, berkata, kali terakhir dia menemui anaknya ketika arwah bermalam di rumah kakaknya, Siti Fatimah, 44, untuk melawat seorang saudaranya yang kritikal di sebuah hospital di Petaling Jaya, baru-baru ini.

“Nor Aini masih sempat bergurau seperti kebiasaannya sebelum keluar rumah dan tidak menunjukkan sebarang perubahan. “Walaupun saya tidak dimaklumkan Nor Aini meninggal dunia, saya dapat menjangka dia sudah tiada dan kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.

Brek Lori Pasir Gagal Berfungsi


KUALA TERENGGANU- Seorang pemandu lori pasir berdepan dengan detik mencemaskan, sebelum merempuh pembahagi jalan dan tiang lampu di depan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Jalan Sultan Omar bagi mengelak bertembung dengan kereta lain, kira-kira jam satu tengah hari semalam

Razak Chik, 59, yang dalam perjalanan dari Batu Enam menghala ke Jalan Pejabat di sini berkata, dia membawa muatan tar untuk projek meratakan jalan di situ.

Ketika menceritakan detik mencemaskan itu, Razak berkata, sebaik tiba di depan IPK Terengganu itu, lampu trafik di persimpangan Jalan Sultan Omar itu berwarna merah dan dia memperlahankan kenderaan.

Bagaimanapun katanya, brek gagal berfungsi dan dia cuba menggunakan brek tangan, namun ia juga tidak berhasil menyebabkan lori terus bergerak.



“Melihatkan kereta banyak di hadapan, saya mengambil tinda-kan pantas dengan membelok ke tengah di pembahagi jalan untuk memberhentikan kenderaan sebelum merempuh sebuah tiang lampu di situ,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, menyebabkan tangki air lorinya pecah namun masih boleh bergerak.

Namun katanya, dia bersyukur kerana insiden itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa dan dia juga tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya sebuah kereta Perodua Myvi remuk di bahagian bumbung akibat terkena lampu hiasan jalan di situ.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan masih menyiasat punca sebenar insiden itu berlaku.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my