loading...

Saturday, May 10, 2014

Terlelap


Inalilahi wainalilahi rojiun

10 Mei 2014
RAUB - Seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan bas henti-henti di Kilometer 345 Jalan Alternatif Kuala Lumpur - Kota Bharu atas jambatan Kampung Melayu Cheroh, di sini kelmarin.

Arisha Qismina Mohd Dani disahkan meninggal dunia pada jam 7 pagi semalam ketika dalam perjalanan dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HosHas) Temerloh ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan akibat parah di bahagian kepala.

Ketua Polis daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian kira-kira jam 6.45 petang kelmarin itu berlaku ketika mangsa sekeluarga dalam perjalanan dari Kampung Hulu Sungai menuju ke bandar Raub.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian, pacuan empat roda yang dipandu bapa mangsa, Mohd Dani Mohamed Dali, 31, terbabas ke kanan jalan dan seterusnya melanggar benteng jambatan.

“Siasatan awal mendapati Mohd Dani terlelap seketika menyebabkan kenderaan yang dipandu terbabas ke kanan jalan dan seterusnya melanggar benteng jambatan.

“Dalam masa sama, sebuah bas henti-henti yang datang dari arah Cheroh ke Batu Malim tidak sempat mengelak dan melanggar kenderaan mangsa,” katanya.

Menurutnya, pemandu dan kesemua enam penumpang bas terbabit tidak mengalami kecederaan.

“Mohd Dani bersama isterinya juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian berasingan, tiga kereta nyaris musnah apabila kesemuanya hampir dihempap sebatang pokok tumbang di hadapan Rumah Rehat di bandar Raub kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Wan Mohd Samsudin berkata, kereta yang terlibat adalah sebuah Perodua Myvi, sebuah Proton Satria dan sebuah van.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan hanya Perodua Myvi sahaja dilaporkan mengalami kerosakan patah cermin,” katanya.

Katanya, enam anggota Bomba dan Penyelamat, enam kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seorang wakil dari Majlis Daerah Raub (MDR) terlibat bagi membantu menyelamat kenderaan terlibat dan membersih pokok tumbang.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/bapa-terlelap-ketika-memandu-1.278416


Kru Pengiklanan Maut



10 Mei 2014
KUALA LIPIS - Hasrat tiga kru untuk membuat penggambaran iklan di Kelantan tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut kemalangan di Kilometer 28, Jalan Kuala Lipis-Merapoh berhampiran Kampung Kechau Tui di sini, kelmarin.

Goh Yeng Liang, 22, yang merupakan pemandu van dan penumpang bahagian belakang, Chin Kuek Min, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian kira-kira jam 4 petang itu dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dinaiki mereka dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis menuju ke Merapoh.

“Sampai di tempat kejadian, van yang dipandu Yeng Liang bertembung dengan sebuah pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, van berkenaan terbalik di sebelah kiri jalan menghala ke Merapoh manakala pacuan empat roda berpusing beberapa kali sebelum masuk ke sebelah kiri jalan hala yang sama,” katanya.

Abdul Razak berkata, seorang lagi penumpang van berserta pemandu pacuan empat roda hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati keadaan jalan raya lurus, cuaca baik dan pandangan tidak terhalang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/dua-kru-pengiklanan-maut-1.278736


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my