loading...

Saturday, June 22, 2013

Pelajar Malaysia maut dalam nahas di Jordan

Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Jun 2013
Kuala Lumpur: Seorang pelajar Malaysia terbunuh manakala empat lagi rakannya cedera dalam kemalangan jalan raya di laluan antara Petra dan Aqabah, kira-kira 320 kilometer dari Amman, Jordan, kelmarin.

Ketika kejadian, semua mangsa dilaporkan sedang dalam perjalanan melawat tempat bersejarah di Petra, sebelum pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam gaung dalam kejadian antara jam 5 hingga 6 petang (waktu Jordan).


Jurucakap Kedutaan Malaysia di Jordan ketika dihubungi berkata, kumpulan lima pelajar terbabit sedang bercuti dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan bagi melawat tempat bersejarah di kawasan berkenaan.

“Sumaiyah Romli berasal dari Kedah yang juga pelajar tahun satu Universiti Kolej London maut dalam kejadian berkenaan. Rakannya yang cedera ialah Nur Ili Dayana Mazalan @ Masgelan (London School of Economy), Mohamad Shukri Alias (Universiti Yarmouk, Jordan), Muhammad Nazirul Mubin Nasruddin (Universiti Yarmouk) dan Humairak Ibrahim (Universiti Yarmouk),” katanya.


Menurutnya, Humairak yang juga isteri kepada Muhammad Nazirul turut mengalami keguguran dalam kejadian berkenaan.


“Semua mereka dibawa ke Hospital Queen Rania Abdullah, Petra, Jordan bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, Sumaiyah mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan belakang tengkuk yang dipercayai menjadi punca kematiannya.


Difahamkan, jenazah Sumaiyah akan dibawa pulang ke tanah air dalam masa terdekat untuk urusan pengebumian.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Keretaterjungaung/Article/index_html



Penunggang motosikal melambung

Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Jun 2013
Melaka: “Siapalah jodoh aku agaknya ya” Begitu status terakhir laman sosial Facebook seorang penunggang motosikal sebelum dia maut dalam kemalangan di Jalan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, motosikal Yahama FZ ditunggang mangsa Mohd Khairil Zulkifli, 27, berlanggar dengan Satria dipandu seorang wanita bersama tiga penumpang yang masuk ke simpang Taman Tasek Utama.


Difahamkan pelanggaran kuat itu menyebabkan arwah melambung sehingga topi keledar dipakainya tercabut sebelum mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala, manakala wanita berusia 43 bersama penumpangnya selamat.

Menurut ibu mangsa, Jamaliah Ali, 50, ketika kejadian anak sulung dari lima beradik itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Pusat Pendidikan Pembelajaran, MITC ke rumah mereka di Selandar, Jasin.


“Saya menerima panggilan daripada polis kira-kira 8 malam menyatakan arwah kemalangan dan tidak sedarkan diri, namun apabila sampai di Hospital Melaka (HM) saya dimaklumkan Khairil belum tiba.


“Saya tidak sedap hati apabila melihat trak polis masuk di bahagian wad kecemasan, luluh hati ini apabila dimaklumkan tubuh yang berbalut plastik hitam itu adalah arwah anak,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat HM di sini, semalam.

Menurutnya, arwah sepatutnya pulang ke rumah untuk mengambil pakaian kerana mempunyai tugasan di luar Melaka keesokan harinya.


Katanya, biarpun seorang yang pendiam, namun sejak seminggu lalu arwah anaknya itu menunjukkan kelainan apabila gemar bergurau bersama adik-adiknya.

“Saya selalu menyatakan hasrat meminta Khairil mencari jodoh dan kebiasaannya dia hanya gelak besar tetapi semalam adiknya terlihat status Facebook arwah yang bertanyakan siapa jodohnya,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Muhammad Koey Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.


“Kemalangan berlaku apabila motosikal dari arah bulatan MITC ke Seri Negeri itu berlanggar dengan Satria dari arah bertentangan yang masuk ke simpang Taman Tasek Utama.


“Kemalangan mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Melaka. Kes disiasat Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Penunggangmotosikalmelambung/Article/index_html



Tak sempat bersara



Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Jun 2013
PARIT - Hasrat seorang pemandu bas bersara daripada pekerjaannya untuk bersama keluarga tidak kesampaian apabila maut selepas bas yang dipandunya terbabas dan terbalik di Jalan Ipoh-Beruas, dekat sini, semalam.


Isteri mangsa, Noraihan Mohd Yan, 49 berkata, suaminya, Ismail Ahmad, 54 pernah menyatakan hasrat untuk bersara setelah hampir 20 tahun menjadi pemandu bas.

"Arwah sepatutnya bersara tahun depan dan dia mahu cari kerja lain. Dia pernah suarakan yang dia dah penat jadi pemandu bas," katanya yang tinggal di Kampung Dendang, Beruas.

Noraihan turut memaklumkan bahawa mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian kecuali tidak banyak bercakap dalam tempoh dua, tiga hari lalu.

Menurutnya, mangsa keluar bekerja seperti biasa di hari kejadian, iaitu pada jam 6.45 pagi serta menjalani rutin yang sama seperti hari-hari biasa.

"Jam 10 pagi tadi dia singgah minum di kedai kopi di kampung kami. Memang itulah rutin hariannya sejak mula membawa bas dari Ipoh ke Beruas.

"Saya sempat minum dengan dia seperti biasa pagi tadi, namun tidak nampak sebarang perubahan ketara pada dirinya. Apapun saya reda dengan pemergiannya," katanya.

Mangsa meninggalkan seorang balu bersama empat orang anak dan jenazahnya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dendang, semalam.

Dengar dentuman kuat

Sementara itu seorang saksi kejadian, Mazuwan Maropi, 25 ketika ditemui berkata, kejadian menyayat hati itu berlaku pada kira-kira jam 1.30 tengah hari dan dia sedang mengalihkan kereta di hadapan rumahnya di Kampung Serapoh, di sini ketika kejadian.

"Saya dengar bunyi dentuman kuat dari arah jalan dan ketika saya berpaling, saya lihat sebuah bas sudah terbalik di tepi jalan, Saya segera berlari ke arah bas itu untuk membantu mereka yang berada di dalamnya.

"Sebaik sampai di situ, saya cepat-cepat tarik tingkap bas untuk membantu tiga penumpang keluar. Seorang penumpang lagi keluar melalui pintu belakang bas berkenaan," katanya menceritakan saat kejadian itu.

Menurut Mazuwan, selepas membantu semua penumpang terbabit, dia melihat mangsa (pemandu bas) tidak bergerak dan tersepit di tempat duduk pemandu.

Katanya, melihat keadaan itu dia serta orang ramai yang berada di kawasan itu mengambil keputusan untuk menunggu polis serta bomba datang bagi mengeluarkan mangsa.

"Ini sememangnya satu pengalaman yang sukar untuk saya lupakan kerana ia berlaku betul-betul di depan mata saya," katanya.


Bas hilang kawalan

Sementara itu Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, kemalangan berkenaan melibatkan sebuah bas yang telah hilang kawalan lalu terbalik di kilometer 42 jalan Ipoh-Beruas.

Menurutnya, bas berkenaan datang dari arah Ipoh menuju ke Beruas dan gagal dikawal ketika mengambil selekoh di Kampung Serapoh, menyebabkan ia terbalik ke sebelah kiri jalan dan bumbung bas remuk.

"Kejadian itu telah menyebabkan pemandu bas tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian. Empat penumpang bas berkenaan hanya mengalami luka ringan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga mangsa bagi urusan pengebumian," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/hasrat-bersara-tak-kesampaian-1.174528



Dua maut Mazda terbabas



23 Jun 2013
PERAI - Seorang lelaki tempatan dan wanita warga Indonesia maut dalam kemalangan selepas kereta yang mereka naiki merempuh pembahagi jalan di Kilometer 138.1 susur keluar ke Butterworth kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, G Muniandi, 42, yang memandu kereta Mazda bersama Kristina Yusuf, 34, maut di tempat kejadian akibat cedera parah.


Mangsa dipercayai berasal dari Kedah, manakala wanita tersebut berasal dari Medan.

Menurut seorang saksi, Mohamad Solehin Azhari, 19, kereta tersebut berada di lorong paling kanan dan dipandu agak laju.

“Pemandu terbabit membelok laju ke kiri menuju ke susur keluar Megamall Pinang secara tiba-tiba walaupun banyak kenderaan menyusuri laluan yang sama.

“Walau bagaimanapun, pemandu tersebut tidak sempat ke laluan kiri menyebabkan kereta itu berpusing sekali selepas melanggar penghadang besi dan pembahagi jalan.

“Saya memberhentikan motosikal di tepi jalan sebelum menahan sebuah bas ekspres yang datang dari arah yang sama supaya berhenti memandangkan kereta yang remuk itu menghalang laluan,” katanya.

Kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-rempuh-pembahagi-jalan-1.174523
kosmo.com.my



Pemandu lori kontena maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Jun 2013
KUALA BERANG - Seorang pemandu lori kontena maut manakala dua kelindan yang merupakan pasangan anak beranak cedera parah, setelah kenderaan dinaiki mereka merempuh sebuah lori kargo di Kilometer 395.6 Lebuh Raya Pantai Timur(Bukit Besi-Ajil), di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.55 pagi itu, mangsa Radi Hairiri Rosli, 30, berasal daripada BatuPahat, Johor maut di tempat kejadian, manakala Hasanuddin Sadi, 51, serta anaknya, Mohd Azwan Shah Hasanuddin, 23, dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lori kontena dipandu mangsa daripada arah Bukit Besi menghala ke Ajil secara tiba-tiba terlanggar lori kargo daripada belakang.

“Lori kargo berkenaan dipandu Rahin Talib, 54, daripada Kota Bharu. Pelanggaran tersebut menyebabkan lori kontena dinaiki mangsa serta dua kelindan yang juga berasal daripada Batu Pahat, Johor remuk di bahagian hadapan.

“Kesemua mereka berada dalam lori kontena juga tersepit tetapi berjaya dikeluarkan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang. Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat cedera parah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, PBK II Mayudin Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.58 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan enam anggota menaiki sebuah jentera bomba.

“Sewaktu tiba di tempat kejadian, didapati tiga individu tersepit dalam sebuah lori kontena. Pemandunya telahpun meninggal dunia, manakala dua kelindan cedera parah.

“Operasi dimulakan jam 6.32 pagi hingga 7.55 pagi. Sebuah kenderaan berat lain turut digunakan bagi menarik lori kontena terbabit yang terperosok di belakang lori kargo,” ujarnya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/pemandu-lori-kontena-maut-1.174564



Kancil rempuh lori



Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Jun 2013
SETIU - Hasrat tiga rakan untuk memulakan tugas di sebuah pelantar minyak di Kerteh, Kemaman, semalam tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan jalan raya.



Kejadian berlaku di Kilometer 86 Jalan Kuala Terengganu- Kampung Raja dekat Kampung Gong Batu, Permaisuri, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.40 malam itu, dua rakan setugas maut selepas kereta dinaiki mereka  bertembung dengan sebuah lori.

Mereka yang maut ialah pemandu kereta Perodua Kancil, Mohd Zuhairi Mohd Kedri, 30, dan rakannya yang duduk di kerusi penumpang hadapan, Muhammad Hazizul Haris, 19.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, sepupu Muhammad Hazizul, Faizal Hasif Sarifudin, 20, yang duduk di kerusi penumpang belakang cedera parah di kepala dan beberapa organ dalaman.

Menurut, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian apabila kereta yang dinaiki mereka dari arah Kampung Raja ke Kuala Terengganu melanggar sebuah lori jenis Daihatsu Delta yang datang dari arah bertentangan.

“Lori tersebut dikatakan cuba membuat pusingan U dan memasuki lorong bertentangan menyebabkan Mohd Zuhairi gagal memberhentikan kenderaan. Keadaan jalan juga gelap di kawasan berkenaan.

"Akibat pertembungan itu menyebabkan bahagian depan kereta dinaiki mangsa remuk, manakala lori terbalik," katanya.

Ab Rahman berkata, kedua-dua mangsa yang parah meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat, manakala Faizal dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

“Ketiga-tiga mereka dilaporkan dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah pelantar minyak di Kerteh. Mohd Zuhairi dari Felda Chalok Barat, manakala Muhammad Hazizul dari Kampung Gong Tiong, Keluang, dan sepupunya dari Kampung Keluang, Besut,” katanya.

Menurutnya, pemandu lori, Muhammad Jefri Md Isa, 35, dari Kampung Pisang, Kupang, Kedah, hanya mengalami kecederaan ringan.

"Kejadian ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/2-rakan-maut-seorang-parah-nahas-ke-tempat-kerja-1.174505
utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130623/dn_11/2-maut-seorang-parah-nahas



Mangsa koma meninggal dunia



22 Jun 2013
KULIM - Seorang lelaki berusia 34 tahun yang koma selepas terlibat kemalangan di Jalan Padang Meha Batu Putih 15 Jun lalu, meninggal dunia semalam.



Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pada hari kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dikatakan berhenti di bahu jalan, bagaimanapun dirempuh oleh lori yang datang dari belakangnya sebaik sahaja mangsa masuk ke jalan utama.

“Pemandu lori ketika memberikan kenyataan berkata, dia nampak mangsa berhenti, tetapi secara tibatiba mangsa masuk ke jalan utama. Pemandu lori terlibat gagal membrek kerana motosikal mangsa terlalu hampir lalu merempuh bahagian belakang motosikal mangsa.

Mangsa tercampak dan mengalami kecederaan di bahagian kepala.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan kecemasan. Setelah menjalani rawatan rapi selama beberapa hari, mangsa dilaporkan meninggal dunia pada 9.15 pagi semalam,” katanya.

Menurutnya, kes itu akan disiasat dibawah Seksyen 41(1) kerana mengakibatkan kemalangan maut.

Difahamkan, mangsa pada hari kejadian mahu pulang ke rumahnya selepas waktu bekerja, namun hasratnya tidak kesampaian setelah terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Dalam pada itu, Ghuzlan meminta penunggang motosikal supaya berhati-hati apabila hendak memulakan perjalanan, selain menggunakan topi keledar yang lebih bermutu untuk menjaga keselamatan bahagian kepala.

“Sehingga kini 45 kemalangan maut dilaporkan berlaku dan 90 peratus darinya melibatkan penunggang motosikal. Dari kecederaan dialami, kebanyakan mangsa yang maut mengalami kecederaan parah di kepala akibat terhentak di kenderaan terlibat atau pada permukaan jalan.

"Saya meminta semua penunggang motosikal supaya mengenakan topi keledar yang lebih bermutu untuk menjaga keselamatan kepala dari hentakan kuat terutama ketika kemalangan,” katanya

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/mangsa-koma-meninggal-dunia-1.174275



Maut tersepit dalam pertembungan kereta


Inalillahi wainailaihi rojiun

22 Jun 2013
PASIR MAS – Seorang maut, sementara lima yang lain cedera ringan apabila dua kereta bertembung di Kilometer 13, Lebuh raya Pasir Mas, Rantau Panjang, pagi semalam.


Mangsa maut dikenali sebagai Norhisham Md Salleh, 23, pemandu kereta Satria yang tersepit di tempat duduk pemandu.

Mangsa berjaya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat dalam tempoh 20 minit dan dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengahari ketika mendapatkan rawatan.

Ketika kejadian, kereta Proton Inspira dipandu seorang lelaki dikatakan dalam perjalanan dari arah Pasir Mas ke Rantau Panjang sementara kereta Satria dari arah bertentangan.

Pertembungan itu menyebabkan tayar hadapan kedua- dua kereta tercabut.

Mangsa terlibat kemalangan, Haris Hirman Shafudin,42, pemandu Inspira, isterinya, Noriah Shafei, 40, serta dua anak perempuannya, Nor Kistina Aisyah Haris Hirman,10, dan Nor Kistina Amisya Haris Hirman, 5, kesemua mangsa cedera ringan.

Sementara penumpang kereta Satria, Mohd Khalil Mohd Zain, 24, turut cedera. Haris Hirman berkata, ketika kejadian, dia yang berasal
dari Kampung Kukang, Kota Bharu dalam perjalanan ke Rantau Panjang bersama isteri serta dua anak perempuannya.

Dia mendakwa, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Satria dipandu seorang lelaki meluru ke arah kenderaan dipandunya menyebabkan dia gagal mengelak.

“Saya dapat melihat kereta Satria meluru ke arah kereta yang saya pandu, tetapi gagal mengelak kerana jarak ketika itu telah dekat.

“Kami bernasib baik, kerana ‘airbag’ (beg udara) berfungsi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Azuhan Ibrahim berkata, bomba bersama dua jentera dari Pasir Mas dan Rantau Panjang bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan pagi semalam.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati hanya seorang yang tersepit dan mangsa berdepan kecederaan parah iaitu kecederaan dalaman dan patah paha kanan dan dibawa ke hospital," katanya

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/maut-tersepit-dalam-kereta-1.174256


Thursday, June 20, 2013

Rempuh perhentian bas



21 Jun 2013
LEDANG - Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku ke atas dua lelaki yang terselamat meskipun kereta dinaiki remuk teruk selepas terbabit dalam nahas di Kampung Parit Turun, Bukit Gambir dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10.55 malam itu, dipercayai berlaku apabila kereta Honda City terbabit yang datang dari arah Muar hilang kawalan lalu merempuh   perhentian bas sebelum terbabas sejauh 30 meter dari lokasi rempuhan tersebut.

Kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 30an yang mengalami kecederaan dan tersepit itu dibantu keluar oleh orang awam yang berada di sebuah kedai makan berhampiran tempat kejadian.

Seorang saksi yang dikenali Ahmad, 45, berkata, kejadian itu disedarinya selepas mendengar bunyi dentuman kuat yang disusuli kepulan asap tebal berwarna putih.

Menurutnya, ketika itu dia sedang berehat di beranda luar rumahnya dan tidak menyangka bunyi tersebut adalah kemalangan kereta kerana tidak mendengar bunyi brek ditekan mengejut.

“Saya segera ke tempat kejadian dan melihat orang ramai sedang membantu mengeluarkan mangsa yang mengerang menahan kesakitan kerana bimbang kemungkinan kereta akan meletup berikutan keadaan ia yang remuk teruk.

“Usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu mengambil masa selama kira-kira 10 minit, sementara menunggu ketibaan ambulans untuk menghantar mereka ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Harun Idris, mengesahkan laporan kejadian.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk menjalani rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/kereta-dinaiki-2-lelaki-rempuh-perhentian-bas-1.173983



Enam kenderaan bertembung



21 Jun 2013
SENAWANG - Enam kenderaan terlibat dalam kemalangan di Kilometer 253 Lebuhraya Utara - Selatan, berhampiran Plaza Tol Senawang di sini, awal pagi semalam.



Kejadian yang berlaku kira-kira 4.30 pagi itu menyaksikan enam kenderaan terdiri daripada Perodua Alza, Toyota Altis, Nissan Almeira, sebuah ambulans bernombor plat Singapura serta dua buah lori bertembung sesama sendiri.

Ketua operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Mohd Akhir berkata, sebuah jentera membabitkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang dikejarkan ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 4.40 pagi.

“Selain itu, dua anggota Unit Gerak Cepat Bermotosi-kal (RIM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban turut bergegas ke lokasi kemalangan bagi memberi bantuan awal kepada mangsa.

“Setibanya di lokasi kejadian, kita dapati salah satu kenderaan mula dijilat api. Bagaimanapun, kebakaran pada Alza berkenaan dapat dikawal dalam tempoh dua minit, sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya 10 minit kemudian,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Ahmad berkata, seramai dua anggota ditugaskan memadamkan kebakaran, manakala dua lagi memberi rawatan kecemasan kepada salah seorang mangsa yang tercampak keluar dari Altis.

“Pada masa sama, mangsa yang masih terikat pada katil dalam ambulans yang menuju ke selatan semasa kemalangan itu juga mendapat bantuan paramedik daripada dua anggota,” katanya.

Menurut beliau, tiada kematian dilaporkan dalam insiden tersebut dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes masih dalam siasatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kemalangan-enam-kenderaan-1.174035



Dua pemandu treler menemui ajal



Inalillahi wainailaihi rojiun

21 Jun 2013
SHAH ALAM - Dua pemandu treler menemui ajal masing-masing setelah tersepit dalam dua kejadian berasingan, malam kelmarin.

Kejadian pertama kira-kira jam 8.30 malam, mangsa dikenali sebagai Azman Zainal, 25, dipercayai cuba membuat pusingan U di kawasan perindustrian Selayang, sebelum muatan yang dibawa menghempapnya.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Azman Mahat berkata, panggilan daripada orang awam diterima kira-kira jam 8.41 malam.

Menurutnya, lapan anggota bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa tersepit.

“Kami terpaksa menggunakan kren mengangkat kontena seberat kira-kira 20 tan itu.

"Mangsa maut di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat,” katanya.

Dalam satu lagi kejadian, kira-kira dua jam kemudian, pemandu treler yang dikenali sebagai Ramali Arashad, 60, maut di lokasi kejadian apabila treler dipandunya terbabas di Jalan Bendahara, Taman Salak Selatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi, Ahmad Fairuz Kamsari berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai cuba mengundurkan treler berkenaan sebelum terbabas.

“Siasatan awal mendapati mangsa membuka pintu treler tersebut ketika mengundurkan kenderaan terbabit dengan keadaan sebahagian badannya berada di luar.”

"Namun, mangsa gagal mengawal treler terbabit ketika mahu mengundur di jalan berbukit itu, sebelum terbabas ke tebing berhampiran kawasan perumahan,” katanya.

Menurutnya, paramedik memaklumkan mangsa tersepit dan maut di pintu treler sebelum anggota bomba dan penyelamat tiba ke lokasi.

“Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/dua-kejadian-treler-makan-tuan-1.174011


Tercampak bawah treler



Inalillahi wainailaihi rojiun

20 Jun 2013
Kuala Lumpur: Malang tidak berbau apabila seorang penunggang motosikal digilis sebuah treler di Kilometer 31, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) arah Bandar Tasik Selatan ke Pandan Indah, di sini, pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 8.45 pagi berhampiran Taman Kencana, Ampang itu berlaku apabila motosikal mangsa dikatakan bergesel dengan sebuah kenderaan yang kemudian melarikan diri.


Menurut sumber polis trafik, mangsa Zakaria Jusoh, 51, berasal dari Jitra, Kedah yang menunggang motosikal bersendirian tercampak ke bawah treler yang sedang bergerak sebelum digilis selepas dipercayai bergesel dengan sebuah kereta dari arah sama.

“Mangsa terjatuh dari motosikalnya dan tercampak ke bawah treler di antara tayar hadapan dan belakang di laluan tengah jalan berkenaan.


“Pemandu treler tanpa muatan yang dalam perjalanan dari Semenyih ke Selayang itu tidak sempat mengelak lalu menggilis badan mangsa,” katanya.


Mangsa yang cedera parah di bahagian badan maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Katanya, kejadian berlaku di laluan susur bertingkat yang menuruni bukit menyebabkan laluan berkenaan sesak teruk lebih 10 kilometer.


“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian manakala keterangan pemandu treler pula sudah direkodkan,” katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain meminta saksi kejadian tampil menghubungi polis bagi membantu siasatan

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Tercampakbawahtreler/Article/index_html



Bas terbabas: Seorang kanak-kanak maut

20 Jun 2013
KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut, manakala enam lagi cedera parah apabila sebuah bas ekspres terbabas dan terbalik di Kilometer 364 Jalan Raub-Bentong, dekat Raub, awal hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, bas ekspress yang dinaiki 19 penumpang itu dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Raub, Superitendan Wan Samsuddin Wan Wan Osman, berkata kanak-kanak lelaki berkenaan, Muhammad Busam Suhaiming mati ketika dirawat di Hospital Raub akibat cedera parah di kepala dan badan.

"Enam lagi cedera parah termasuk pemandu kedua bas berkenaan berumur 53 tahun," katanya ketika dihubungi di sini.

Dalam kejadian itu bas berkenaan dipandu seorang lagi pemandu berusia 40an, dan dipercayai pemandu berkenaan mengantuk menyebabkan bas berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di laluan bertentangan,


Dalam kejadian itu, enam lagi penumpang bas berkenaan turut cedera ringan.

"Mereka yang cedera parah kini dirawat di Hospital Temerloh (tiga mangsa), dan tiga lagi di Hospital Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Raub.

"Pihak polis sudah melakukan ujian air kencing, ujian darah dan ujian alkohol ke atas pemandu terbabit," katanya.

Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- BERNAMA

Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Basekspresterbabas_seorangkanak-kanakmaut_enamlagiparah/Article/?bh


Maut dirempuh kereta curi

kemalangan di Jalan Kulim Mahang

20 Jun 2013
KULIM - Seorang lelaki berusia 43 tahun maut apabila motosikalnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Kulim Mahang di sini kira-kira jam 11.50 malam kelmarin.


Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan balik ke rumahnya dari Kulim ke Sedim, manakala kereta terbabit datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, kereta dinaiki dua lelaki hilang kawalan sebelum merempuh mangsa dan terbabas ke tepi jalan.

“Akibat rempuhan kuat, mangsa tercampak dan cedera parah di kepala serta maut di tempat kejadian.

“Mangsa maut setelah melambung ke atas bonet hadapan kereta yang merempuhnya sebelum tercampak ke tepi jalan,” katanya.

Menurut saksi kejadian, mereka nampak suspek yang merempuh mangsa keluar dari kereta tanpa sebarang kecederaan dan melarikan diri ke jirat Cina berhampiran.

Ghuzlan berkata, ketika pemeriksaan dilakukan terhadap kenderaan digunakan suspek, beberapa peralatan ditemui dipercayai digunakan untuk mencuri kabel.

“Semakan mendapati, nombor pendaftaran kereta terbabit adalah palsu, manakala kereta itu masih dilaporkan hilang di Tasek Mutiara, Pulau Pinang,” katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan dan pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-dirempuh-kereta-curi-1.173492




Wednesday, June 19, 2013

Maut dirempuh pemandu mabuk



19 Jun 2013
Taiping: Bukan satu, tetapi tiga motosikal dirempuh dan diseret sejauh kira-kira 1.5 kilometer (km) oleh sebuah kereta dipandu lelaki mabuk, menyebabkan seorang penunggang dan pembonceng motosikal maut, manakala tiga lagi cedera parah.



Kemalangan ngeri itu berlaku di Kilometer 13.9, Jalan Taiping-Kuala Sepetang, di sini, kira-kira jam 12.10 tengah malam kelmarin dan kereta Mercedes Benz terbabit dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun yang disahkan polis di bawah pengaruh alkohol. Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Yusof Md Diah berkata, mangsa yang terbunuh ialah penunggang motosikal, Harvinder Singh, 28, berasal dari Larut Tin dan pembonceng sebuah motosikal lain, Radzizah Mohd Yusoff, 55, dari Taman Kaya, Simpang, di sini.


Menurutnya, kejadian bermula dengan Mercedes Benz terbabit hilang kawalan lalu merempuh motosikal dinaiki Harvinder bersama rakannya, Mohd Ismail Md Ramli, 22, sebelum mengheret motosikal berkenaan sejauh 500 meter.

“Dalam keadaan motosikal milik Harvinder masih terlekat di bawahnya, kereta dipandu lelaki mabuk itu merempuh pula motosikal dibonceng Radzizah yang ditunggang suaminya (Mohd Zaini Abdullah, 58).


“Rempuhan itu menyebabkan Radzizah maut akibat kecederaan parah manakala suaminya yang turut cedera segera dikejarkan ke Hospital Taiping (HT),” katanya ketika ditemui semalam.


Yusof berkata, selepas perlanggaran kedua itu, motosikal dibonceng Radzizah turut diseret Mercedes Benz terbabit bersama motosikal pertama sejauh kira-kira 300 meter lagi sebelum merempuh pula motosikal ketiga.

Menurutnya, motosikal ketiga itu ditunggang Johari Zakaria, 21, dari Taman Kaya, Simpang, namun suspek masih terus memandu keretanya biarpun tiga motosikal tersangkut di bawah kenderaan itu.


“Akibat dirempuh, Johari patah kedua-dua kaki dan dimasukkan ke HT dan kereta dipandu suspek hanya berhenti berdekatan sebuah kuil, kira-kira 700 meter dari jarak pelanggaran ketiga.

“Akibat tiga rempuhan itu, suspek turut cedera di beberapa bahagian badan, lalu dibawa ke HT untuk rawatan,” katanya.


Yusof berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti suspek dan lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dalam keadaan melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.


Menurutnya, jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara minimum dua tahun atau maksimum sehingga 10 tahun atau dan denda minimum RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000.


“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik HT untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing tengah hari tadi (semalam).


“Jenazah Radzizah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Aur, Simpang selepas solat Zuhur,” katanya.


Sementara itu, anak Allahyarham Radzizah, Sarul Fahmi Mohd Zaini, 30, berkata dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu berikutan ibu dan bapanya baru ditemui beberapa jam sebelum nahas berlaku.


“Ayah dan arwah ibu hadir pada majlis aqiqah anak sulung saya yang juga cucu pertamanya di rumah keluarga isteri saya sebelum mereka bergegas ke rumah seorang saudara di Taman Kaya.


“Dia (arwah) begitu teruja kerana dapat mendukung dan mencium cucu pertamanya itu, namun saya tidak menyangka ia pertemuan terakhir saya dengan ibu,” katanya.


Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Duakorbanpemandugila/Article/index_html
malaysiandigest.com/news/36-local2/375332-drunk-driver-hit-and-dragged-three-motorcycles-along-with-their-riders.html


Warga emas maut bertembung lori



19 Jun 2013
SELANDAR - Seorang warga emas maut selepas kereta jenis Hilux yang dipandu bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan batu bata di Kilometer 30 Jalan Selandar-Kesang, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mangsa Kam Lai, 66, dipercayai dalam perjalanan dari Pekan Selandar ke Kesang.

Bagaimanapun ketika melalui struktur jalan berselekoh dan berbukit kedua-kedua kenderaan terbabit bertembung dipercayai akibat gagal mengawal kenderaan.

Mangsa yang mengalami cedera parah di bahagian kepala dikejarkan ke Hospital Besar Melaka sebelum dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang.

Penduduk, Mohd Rizal Ahmad, berkata, dia terkejut mendengar dentuman yang kuat tidak jauh dari rumahnya sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika itu pemandu lori yang berumur 54 tahun hanya mengalami cedera ringan manakala pemandu kereta yang cedera parah masih bernyawa namun tersepit.

“Saya tidak dapat membantu mengeluarkan mangsa disebabkan keadaannya yang  tersepit sehingga menunggu bomba datang sebelum mangsa dikeluarkan kira-kira 10 minit kemudian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/warga-emas-maut-kereta-bertembung-lori-1.173219



Tuesday, June 18, 2013

Brek treler rosak



17 Jun 2013
Bentong: Berpantang maut sebelum ajal. Itu perumpamaan buat seorang pemandu treler yang terselamat walaupun treler membawa muatan tiang konkrit dipandunya terbabas sebelum terbalik sehingga remuk teruk dalam kemalangan di Kilometer 43.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) berhampiran Karak, di sini, semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, pemandu berkenaan, Wan Mohd Nor Hassyim Abdul Aziz, 41, tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun struktur treler yang dipandunya dalam perjalanan ke Kuantan, remuk keseluruhannya.

Menceritakan semula kejadian, Wan Mohd Nor Hassyim berkata, treler dipandunya mengalami kerosakan brek ketika menuruni bukit selepas mengambil besi di Klang, Selangor.

“Lebih memburukkan keadaan, kereta di hadapan tidak memberi laluan menyebabkan saya terpaksa mengelak dengan melanggar tembok pembahagi jalan sebelum treler berpusing dan terbabas dalam longkang,” katanya.

Sementara itu, jurucakap konsesi lebuh raya itu, ANIH Berhad mengesahkan kejadian berkenaan selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi pusat pertanyaan dan treler berkenaan didapati terbabas sendiri sebelum melanggar penghadang jalan.


Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Musibahbrekrosak//Article




Warga emas maut digilis bas


17 Jun 2013
SEREMBAN - Seorang lelaki warga emas maut selepas digilis sebuah bas penumpang dalam kemalangan di Jalan Sungai Ujong berhadapan Hospital Pakar Seremban (KPJ) di sini hari ini.

Jurucakap polis berkata mangsa, Khoo Eng Koi @ Chiou Yeong Chi, 79, sedang menunggang sebuah motosikal dari arah Seremban 2 menuju ke Seremban apabila kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11 pagi.
   
Katanya siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan terjatuh di atas jalan sebelum sebuah bas yang berada di belakang mangsa tidak sempat mengelak lalu menggilis kepala lelaki itu sehingga pecah.

"Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya. Pemandu bas yang menggilis mangsa sudah membuat laporan polis dan dia dibebaskan selepas keterangannya diambil," katanya.  

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban di sini untuk bedah siasat.
   
Katanya buat masa ini polis sedang menyiasat sama ada mangsa terbabas akibat dilanggar atau bergesel dengan kenderaan lain dan meminta saksi kejadian tampil membuat laporan di balai polis berdekatan. - Bernama


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/warga-emas-maut-digilis-bas-1.172850



Tersepit meraung kesakitan



17 Jun 2013
BAGAN SERAI - Keterujaan seorang pemandu lori untuk pulang ke rumah menikmati makan tengahari bersama keluarga musnah apabila lori dipandunya dirempuh sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 107.9 Jalan Ipoh-Butterworth menghala utara, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, rempuhan kuat menyebabkan mangsa Sharif Ahmad, 39, tersepit dan cedera parah di bahagian badan.

Mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Bagan Serai dan orang awam.

Saksi kejadian berkata, dia berada di halaman rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi geseran tayar sebuah lori  yang terbabas memasuki laluan jalan raya bertentangan.

Menurutnya, lori itu hilang kawalan setelah dirempuh sebuah treler dari belakang sebelum kedua-dua kenderaan itu memasuki laluan bertentangan dan melanggar dua lagi kenderaan lain.

“Akibat rempuhan kuat itu, lori mangsa terbabas sebelum bertindak merempuh dua lagi kenderaan yang sedang melalui lokasi kejadian.

“Kesan kemalangan itu amat mengejutkan saya dan beberapa penduduk berhampiran, lalu kami bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan mangsa kemalangan.

“Setibanya di lokasi kejadian, saya mendapati pemandu lori berkenaan masih hidup dan sedang meraung kesakitan akibat tersepit di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya ketika di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan tersebut.

“Siasatan polis mengenal pasti kemalangan berpunca daripada treler yang sedang dalam perjalanan dari arah Parit Buntar ke Taiping, mengekori terlalu rapat sebelum melanggar lori yang dipandu mangsa dari arah belakang setelah dikatakan gagal mengelaknya.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua kenderaan itu hilang kawalan, terbabas ke arah bertentangan sebelum merempuh dua kenderaan yang sedang melalui jalan bertentangan,” katanya.

Mat Fauzi berkata, dikejarkan ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan susulan manakala pemandu dua kenderaan lain dan treler tersebut hanya mengalami kecederaan ringan.


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/meraung-sakit-akibat-tersepit-1.172646



Maut ketika berbasikal



17 Jun 2013
SUNGAI PETANI - Seorang penggemar sukan berbasikal maut ketika sedang dalam perjalanan menyertai konvoi berbasikal dalam kejadian dekat Semeling kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Mangsa, Ong Zheng San, 52, dari Taman Tiong, Sungai Petani melakukan riadah rutin itu apabila cuba memulakan kayuhan dari Bedong ke Merbok kira-kira jam 7.30 malam bersama kira-kira 20 peserta lain.

Difahamkan, isteri dan anaknya turut menyertai kayuhan tersebut tetapi dikatakan berada dalam kelompok peserta di hadapan.

Mangsa ada beritahu rakan sepasukan supaya bergerak dahulu kerana dia ingin berehat sebentar sebelum meneruskan kayuhan perlahan-lahan dari belakang.

Semasa kejadian, ada antara peserta kelompok di hadapan sudah pun sampai ke Merbok iaitu destinasi terakhir ditetapkan peserta sebelum berpatah balik ke lokasi permulaan di Bedong.

Menurut saksi, mangsa yang keletihan berehat sebentar di tepi selekoh dekat Semeling tetapi secara tiba-tiba jatuh dari basikal.

Rakan mangsa yang menyangka mangsa pengsan segera menghubungi pasukan perubatan untuk membawanya mendapatkan rawatan di hospital.

Peserta konvoi lain juga berpatah balik apabila dimaklumkan salah seorang daripada mereka pengsan di tepi jalan.

Bagaimanapun, pasukan perubatan yang tiba sejurus dimaklumkan, mengesahkan Zheng San meninggal dunia akibat serangan jantung.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani untuk dibedah siasat.


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-ketika-konvoi-berbasikal-1.172639



Diseret 15 meter



17 Jun 2013
RANTAU PANJANG – Seorang wanita hanya mampu menjerit apabila melihat sebuah kereta dipandu laju merempuh belakang sebuah motosikal dalam kejadian di Simpang Empat Salam, tengah hari semalam.

Dia yang ketika itu sedang menyangkut barang dijual di kedainya tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mampu berdoa mangsa tidak mengalami kecederaan serius.

Wanita enggan dikenali itu berkata, bunyi rempuhan kereta itu agak kuat sehingga mengejutkannya dan beberapa peniaga lain.

Katanya, kereta dan motosikal tersebut datang dari arah yang sama iaitu Pasir Mas ke Rantau Panjang.

Menurutnya, sebaik merempuh motosikal tersebut, pemandunya Wira putih berusia sekitar 30-an itu terus meninggalkan tempat kejadian dengan  membuat  pusingan ‘u’ walaupun tayar sebelah penumpang hadapan pecah.

“Saya menekup telinga sebaik kemalangan kerana bunyi rempuhan agak kuat kerana kereta dipandu laju.

“Setelah terlibat kemalangan, tayar bahagian pemandu hadapan kereta Wira pecah, bagaimanapun pemandunya tetap memecut keretanya meninggalkan tempat kejadian.

“Motosikal ditunggang mangsa pula  diseret kira-kira 15 meter dari tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan kejadian, mangsa yang berasal dari Kuin Merah itu  mengalami  kecederaan pada beberapa anggota badan termasuk dahi dan lengan.

Ketika kejadian, mangsa, Zainudin Yunus,50, menunggang sendirian dari arah Pasir Mas ke Simpang Empat Salam dipercayai  untuk makan tengah hari kerana itu rutin harian mangsa yang bertugas sebagai buruh di Taman Rantau Baru.

Setelah dilanggar sebuah kereta Wira , mangsa jatuh tersembam ke tanah dan dibantu orang ramai yang berada di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Pasir Mas dengan Ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Kejadian menyebabkan motosikal mangsa rosak teruk.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/saksi-hanya-mampu-menjerit-1.172580



Monday, June 17, 2013

Parah rempuh kereta



17 Jun 2013
PULAI - Seorang lelaki parah setelah motosikal ditunggangnya merempuh kereta dari arah belakang di Jalan Baling-Kupang berdekatan pasar raya di sini jam 4.30 petang, kelmarin.

Mangsa berusia pertengahan 20-an itu dikatakan dari arah Baling-Kupang sebelum merempuh kereta Perodua Kancil di depannya.

Rempuhan mengakibatkan mangsa terpelanting beberapa meter manakala cermin bahagian kereta itu turut pecah.

Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) turut memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Baling, Deputi Superintendan, Abdul Rahim Abdullah mengesahkan kejadian itu.}

“Kebanyakan kemalangan maut di kawasan ini adalah mereka yang menunggang motosikal dan banyak kes membabitkan kecederaan parah di bahagian kepala.

“Justeru, saya berharap pihak berkenaan perlu mengambil serius mengenai soal keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak dingini,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/penunggang-motosikal-parah-kemalangan-1.172193


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my