loading...

Wednesday, November 14, 2012

Naris Maut Rempuh Lembu



14 November 2012
RANTAU PANJANG – Sepasang suami isteri nyaris maut apabila Perodua Myvi dinaiki merempuh seekor daripada sekumpulan empat lembu di Gual Mesa, kira-kira 7.15 petang kelmarin.

Berikutan kejadian, kereta mangsa rosak teruk pada bahagian hadapan sementara lembu tersebut patah tanduk kiri serta luka di beberapa bahagian badan.

Ketika kejadian, mangsa, dikenali Nabila, 23, bersama suami, Mohd Saiful Putra Che Daud, 23, dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Tok Deh, dekat sini dari Kota Bharu setelah menziarahi datuknya yang menghidap leukemia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZII) .

Nabila berkata, ketika hampir dengan tempat kejadian, dia dan suami ternampak sekumpulan lembu melintas jalan.

Menurutnya, jarak antara kumpulan lembu dengan kereta agak dekat menyebabkan suaminya merempuh salah seekor daripada empat lembu tersebut.

“Saya bersyukur suami memandu tidak laju ketika kejadian sementara saya pula turut memakai tali pinggang keledar. Jika tidak memakai tali pinggang ketika itu, saya percaya saya turut cedera,” katanya yang sedang mengandungkan anak kedua.

Nabila berkata, dia bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi kecewa dengan sikap tidak bertanggung jawab pemilik ternakan tersebut.

Katanya, pemilik sepatutnya tidak melepaskan ternakan berkeliaran di merata tempat tambahan kawasan  berkenaan sentiasa sibuk dengan kenderaan pada setiap masa.

Menurutnya, sikap tidak bertanggung jawab pemilik lembu tersebut bukan sahaja menyebabkan dia dan suami menanggung kerugian terpaksa membaik pulih kerosakan kenderaan, tetapi trauma dengan kejadian.

“Saya berharap selepas ini pemilik ternakan akan lebih bertanggung jawab bagi mengelak kejadian serupa menimpa pengguna lain pada masa akan datang.

“Keadaan tempat kejadian yang gelap tanpa sebarang lampu jalan menyebabkan kami tidak nampak haiwan tersebut dari jarak jauh,” katanya.

Sementara itu pengguna jalan tersebut, Abdullah Che Man,58, memohon pihak berkuasa tempatan turun padang memantau ternakan dibiarkan bebas berkeliaran di tepi jalan.

Menurutnya, sikap tidak bertanggung jawab pemilik bakal mengundang risiko kepada pengguna lebih-lebih lagi pada waktu malam.

“Pengguna berdepan sebarang kemungkinan sama ada kerosakan kenderaan, kecederaan dan kehilangan nyawa. Jalan ini juga merupakan laluan utama pengunjung ke pekan Rantau Panjang, kemunculan ternakan di tepi jalan bakal mengundang imej negatif pengunjung ke kawasan bebas cukai di musim cuti ini,” katanya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/suami-isteri-nyaris-maut-1.103698



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my