11 November 2012
JOHOR BAHRU - Akibat lumba haram dua pelajar tingkatan dua dan seorang mekanik maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dalam satu kemalangan yang berlaku di Kilometer 14 Jalan Simpang Lima-Parit Sulong di sini awal pagi ini.
Dua pelajar berkenaan Muhamad Sharul Ramadhan Maharami, 14, dan Syazwan Muhammad Rosdi, 14, masing-masing dari Parit Haji Abdul Salam dan mekanik Muhamad Fetri Kamsani, 21, meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku kira-kira 1.45 pagi itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Din Ahmad berkata ketiga-tiga mangsa yang menunggang dua buah motosikal disyaki sedang berlumba akibat kecederaan parah yang dialami.
"Siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggang oleh Muhamad Fetri dari arah Parit Sulong bertembung dengan motosikal yang ditunggang Muhamad Sharul dan dibonceng oleh Syazwan sebelum melanggar kereta Toyota Unser yang berada di laluan sama.
"Ekoran hentaman yang kuat, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Berikutan kemalangan itu, Din berkata pihaknya akan meningkatkan operasi membanteras lumba haram terutama di sekitar lokasi berisiko bagi mengelak aktiviti tidak sihat berleluasa di daerah ini. - Bernama
Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/tiga-termasuk-pelajar-maut-dipercayai-lumba-haram-1.102980
No comments:
Post a Comment