loading...
Tuesday, November 13, 2012
200 mat rempit dikepung JPJ
13 November 2012
KULIM - Pihak Cawangan Trafik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama Trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kulim, menahan lebih 200 mat rempit di Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE), malam kelmarin.
Operasi diketuai Pegawai Turus Trafik Kontinjen Kedah, Deputi Superintendan (DSP) Sharum Hashim itu bermula jam 12 tengah malam dan berakhir kira-kira jam 4 pagi dengan lebih 15 anggota trafik dan 20 pegawai JPJ terlibat.
Sharum berkata, dengan kejayaan itu, polis dan JPJ telah mengenal pasti laluan mat rempit melarikan diri ketika serbuan dibuat.
"Ini memudahkan pihak berkuasa menahan mereka sekiranya membuat serbuan di masa akan datang. Dalam serbuan itu, 18 motosikal disita manakala selebihnya dikenakan tindakan saman atas pelbagai kesalahan.
"Ini juga merupakan pendekatan diambil oleh jabatan terlibat bagi menangani permasalahan ini. Operasi seperti ini akan diteruskan bagi memastikan aktiviti seumpama ini dapat dibendung,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, hasil tangkapan dibuat, polis mendapati kebanyakan mereka terlibat berusia antara 12 hingga 17 tahun dan kebanyakan motosikal digunakan dimiliki oleh ahli keluarga.
Menurutnya, kebanyakan saman dikeluarkan kepada mereka yang menunggang motosikal tanpa lesen dan cukai jalan tamat tempoh.
Katanya, perbuatan menunggang motosikal dengan laju membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain kerana sehingga kini beberapa kemalangan maut dilaporkan berlaku di sekitar kawasan itu.
“Ibu bapa seharusnya memantau dan jangan membenarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen atau cukai jalan tamat tempoh. Sekiranya berlaku kemalangan, mangsa tidak akan mendapat sebarang pampasan dari pihak insurans.
"Permasalahan ini akan menjadi lebih serius kepada keluarga apabila mangsa mengalami cedera parah atau maut. Polis dan JPJ tidak ada pilihan lain, selain mengadakan operasi dan menahan mereka terlibat,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/200-si-rempit-kena-kepung-1.103406
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment