loading...

Wednesday, November 14, 2012

Demi nyawa penumpang bas ekspres


14 November 2012
NILAI - Demi menyelamatkan nyawa 25 penumpang sebuah bas ekspres lain, seorang pemandu bas berusaha mengawal kenderaannya daripada berlanggar sehingga termasuk ke dalam longkang di tepi lebuh raya.

Kejadian berlaku kira-kira 2.20 petang di Kilometer 274 Lebuhraya Utara - Selatan, di sini, semalam membabitkan dua bas ekspres dan sebuah kereta jenis Proton Waja.

Difahamkan, pemandu bas ekspres tanpa penumpang berkenaan dalam perjala-nan dari Singapura ke Pantai Remis, ditemani seorang lagi pemandu gantian mengekori sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan ke ibu negara. 


Jurucakap polis berkata, kemalangan ketika hujan gerimis itu bermula apabila bas ekspres diekori mangsa yang memuatkan 25 penumpang berhenti secara mengejut sebelum melintang di tengah jalan.

"Pemandu bas itu terpaksa membrek mengejut untuk mengelak sebuah Proton Waja di hadapannya sehingga bas terbabit melintang di tengah lebuh raya.

“Dalam masa sama, pemandu sebuah lagi bas yang berada di belakang tidak mempunyai pilihan selain sedaya upaya mengelak kenderaannya sehingga ke bahu jalan mengakibatkan bas berkenaan terbabas masuk dalam longkang tepi lebuh raya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian, semalam.

Tindakan pantas pemandu terbabit berjaya menyelamatkan 25 penumpang dalam bas berkenaan dan tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu.

Jurucakap polis berkata, kesemua 25 penumpang yang nyaris terbabit dalam kemalangan itu tetap meneruskan perjalanan ke destinasi selepas berhenti sebentar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusuff Awang mengesahkan menerima laporan kejadian.


Sesak 10 kilometer

Pengguna lebuh raya menghala ke utara terpaksa menempuh kesesakan sepanjang kira-kira 10 kilometer apabila dua bas ekspres terbabit kemalangan di Kilometer 275, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini, petang semalam.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.


Tinjauan mendapati kesesakan turut berlaku di kedua-dua arah apabila sebahagian pengguna lebuh raya memperlahankan kenderaan untuk melihat kejadian.

Begitupun, kecekapan pihak berkuasa termasuk anggota polis trafik dan peronda lebuh raya berjaya mengawal lalu lintas, sekali gus kesesakan hanya berlaku kira-kira 12 minit sebelum bas ekspres yang melintang dialihkan dan trafik beransur lancar.


Sementara itu, seramai 25 penumpang menempuh detik mencemaskan apabila bas ekspres dinaiki hilang kawalan dan melintang di tengah jalan di tempat kejadian.


Menurut seorang pemandu bas yang enggan dikenali berusia 20-an, ketika kejadian dia yang mengekori bas ekspres berkenaan terkejut melihat ia melintang di tengah jalan dipercayai gagal dikawal. “Saya terus menekan brek bagi mengelak merempuh bas itu, sebelum bas dipandu terbabas ke dalam longkang dan terbalik.

“Syukur tiada yang cedera, bagaimanapun, jika saya merempuh bas pertama itu, berkemungkinan ada nyawa penumpang akan melayang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, bas yang melintang di tengah jalan itu dipercayai dari arah Pontian, Johor untuk ke Terminal Bersepadu Selatan (BTS), di ibu negara sebelum hilang kawalan. “Bas yang dinaiki 25 penumpang itu kemudian melanggar besi penghadang lebuh raya sebelum melintang di tengah jalan menyebabkan bas kedua terpaksa membrek kecemasan. “Akibatnya, bas kedua terbalik memasuki longkang dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku berikutan ketika kejadian, tiada penumpang dalam bas dari Singapura ke Pantai Remis, Perak itu,” katanya. Katanya, bagaimanapun, kemalangan itu menyebabkan kesesakan di kedua-dua arah lebuh raya apabila semua pengguna mengambil kesempatan untuk melihat kejadian itu.


“Kita sudah mengambil keterangan kedua-dua pemandu dan siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui punca kemalangan.

“Saksi kejadian diminta tampil di balai berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7991222 bagi membantu siasatan,” katanya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pemandu-bas-sanggup-masuk-longkang-elak-rempuh-satu-lagi-bas-1.103694
hmetro.com.my/articles/Sesak10kilometer2baskemalangan/Article


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my