loading...
Wednesday, November 14, 2012
Anggota polis trafik parah dirempuh motosikal
14 November 2012
GEORGETOWN: Seorang anggota polis trafik parah akibat dirempuh sebuah motosikal di Kilometer 127.6 menghala arah utara Sungai Dua, Butterworth, dekat sini, Isnin lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pada kejadian 2.50 petang itu anggota berkenaan, Lans Koperal Abu Talib Shariff, 23, sedang mengeluarkan surat saman kepada seorang pemandu kereta yang didapati tidak memakai tali pinggang keledar dan memandu melebihi had laju.
"Motosikal yang dipandu laju seorang lelaki secara tiba-tiba merempuh Abu Talib dan mengheretnya sejauh 30 meter sebelum beliau tercampak ke lorong kecemasan," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota berkenaan di Penang Adventist Hospital, di sini, hari ini.
Beliau berkata susulan insiden itu keseluruhan struktur tulang muka dan bahu kiri anggota berkenaan patah selain tulang rusuk di bahagian belakangnya retak.
Difahamkan anggota berkenaan berada dalam keadaan stabil dan ditahan di hospital itu untuk jangka masa yang lama berikutan kecederaan yang dialaminya.
Abdul Rahim menggesa semua pengguna jalan raya agar peka dengan keadaan persekitaran sewaktu memandu terutamanya ketika terdapat sekatan jalan atau seumpamanya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Katanya lelaki yang melanggar Abu Talib yang turut patah bahu kanannya kini berada di Hospital Kepala Batas dan dia akan ditahan sebaik sehaja selesai menjalani rawatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda minimum RM4,000 dan maksimum RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan," katanya. - Bernama
Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Polistrafikparahdirempuhmotosikalketikabertugas/Article/index_html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment