loading...

Sunday, November 18, 2012

Bas ekspres dan lori terbabas


19 November 2012 
KUANTAN - Seramai 31 penumpang sebuah bas ekspres termasuk pemandu berdepan detik mencemaskan apabila bas dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori tanpa muatan di Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran simpang masuk Pusat Peranginan Pantai Cherating, dekat sini, awal pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 pagi itu, pemandu bas dan lori serta seorang penumpang wanita cedera, manakala penumpang yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Akibat kejadian yang belum dipastikan puncanya itu, kedua-dua kenderaan terbabit terbabas ke tepi jalan sebelum masuk ke kawasan semak berpaya.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 3.50 pagi sebelum enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba Gebeng dikerah ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan mangsa yang cedera, selain membawa penumpang yang terperangkap di dalam bas naik ke jalan raya.

“Semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital manakala penumpang lain yang terselamat mungkin meneruskan perjalanan dengan bas lain yang disediakan syarikat bas terbabit,” katanya.

Anuar berkata, bas berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Melaka, manakala lori tanpa muatan dari arah Kuantan menghala ke Dungun,
Terengganu.

“Punca sebenar kejadian tidak dapat dipastikan, bagaimanapun berkemungkinan kedua-dua kenderaan terbabit berselisih ketika melalui satu jambatan agak sempit berhampiran lokasi kejadian sebelum terbabas,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/bas-ekspres-terbabas-masuk-paya-1.104808


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my