loading...

Saturday, September 24, 2011

Sempat Telefon Abang



Inalillahi wainailaihi rojiun

PONTIAN - “Bang aku nak ke Johor Bahru. Bang aku kemalangan.”

Itulah kata-kata terakhir seorang pemuda yang sempat membuat panggilan telefon kepada abangnya dan memaklumkan dirinya terlibat dalam kemalangan di Batu 29, Jalan Pontian-Johor Bahru malam kelmarin.

Mangsa, Mohd Izwan Nul Hakim A Kadir, 24, yang tersepit di bahagian pemandu disahkan meninggal dunia sebaik sahaja dikeluarkan dari keretanya.

Bapa mangsa, A. Kadir A. Majid, 67 , berkata, Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik, telefon abangnya, Mohd Aidil, sebelum talian terputus.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa dipercayai gagal mengawal kereta yang dipandunya dan terbabas dan terhumban ke dalam parit.

Mangsa dalam perjalanan ke Terminal Pengangkutan Awam Larkin, Johor Bahru, untuk menjemput rakannya.

Kadir yang ditemui Sinar Harian di rumahnya di Jalan Parit Ibrahim, di sini, berkata, dia tidak menduga kelmarin adalah hari terakhir dia dan Allahyarham berniaga ikan di Pasar Awam Pontian.

“Tiada sebarang perubahan yang ditunjukkan arwah, namun semalam (kelmarin), dia balik ke rumah awal pada pukul 11.30 pagi tidak seperti kebiasaannya.

“Hanya terdapat tiga peniaga ikan Melayu di Pasar Awam Pontian, dan Izwan adalah salah seorang daripadanya, selain saya dan seorang lagi peniaga,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham yang masih bujang dapat beraya bersama kesemua adik beradik kecuali seorang yang berada di Sabah.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, Mohd Yazid Othman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 12.05 malam dan serama enam anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, kereta yang dipandu mangsa remuk di sebelah kanan menyebabkan mangsa tersepit, sebelum disahkan meninggal dunia sebaik sahaja dikeluarkan dari kereta.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pontian untuk dibedah siasat sebelum jenazahnya dituntut ahli keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Parit Ibrahim selepas solat Zohor, semalam.

Sumber: SH

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my